home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	:	KEDAH DARUL AMAN 
Tarikh/Date 	: 	12/05/97 
Tajuk/Title  	: 	PERASMIAN KILANG BEAM & SECTION 




   1.  Terlebih  dahulu  saya ucapkan berbanyak-banyak terima
  kasih  kepada  Pengurusan Perwaja  kerana  menjemput  saya
  untuk  berucap  pada majlis ini dan seterusnya  merasmikan
  Kilang Beam & Section Perjawa di Kompleks Gurun ini.

  2.   Saya  berasa  bangga   kerana   Perwaja,  di  sebalik
  masalah   serta  kritikan  pelbagai  pihak,  masih   dapat
  mengekalkan  operasinya  bukan  kerana  sokongan  Kerajaan
  semata-mata  tetapi  berkat  hasil  usaha  gigih  daripada
  pihak   pengurusan  serta  pekerja-pekerjanya.    Sokongan
  Kerajaan   semata-mata   dalam  mempertahankan   kewujudan
  Perwaja  tidaklah  mencukupi dan tidak  akan  menghasilkan
  sebarang  kejayaan tanpa kesungguhan, komitmen,  kejujuran
  serta  dedikasi pengurusan dan pekerjanya.   Walau  berapa
  banyak  sekalipun  pelaburan  yang  dibuat  oleh  Kerajaan
  kepada  Perwaja,  ia  akan  menjadi  sia-sia  jika   tiada
  kerjasama dan sokongan daripada semua pihak.

  3.  Untuk  menjadi   sebuah   negara   perindustrian  yang
  berjaya,  negara  ini perlu mengeluarkan sendiri  barangan
  kelulinya   bagi   memenuhi  keperluan  sektor   pembinaan
  tempatan   dan  lain-lain.   Industri  keluli   memerlukan
  pelaburan  yang  besar  yang tidak semestinya  menjanjikan
  pulangan  keuntungan dalam masa yang singkat.  Pengalaman-
  pengalaman industri keluli di Amerika Syarikat, Jepun  dan
  Korea Selatan menunjukkan mereka melalui proses yang  sama
  dengan   keuntungan   hanya   diperolehi   selepas    lama
  beroperasi.

  4.   Kita  mahu   menjadi   sebuah  negara   perindustrian
  sepenuhnya  menjelang  2020, di mana  kita  setanding  dan
  setaraf  atau lebih baik lagi daripada negara-negara  yang
  telah   lama  mencapai  status  negara  maju.     Kemajuan
  industri  keluli  sesebuah negara  menjadi  kayu  pengukur
  kepada  pembangunan ekonomi sesebuah  negara.   Sekira  di
  perhatikan sejarah beberapa negara yang maju, kita  dapati
  industri  keluli telah memainkan peranan terpenting  dalam
  membawa  kemajuan  kepada negara-negara  itu.   Ini  telah
  jelas   berlaku   kepada  negara-negara  seperti   Amerika
  Syarikat,  Jepun, Korea dan Jerman.  Malaysia  juga  harus
  menyedari  hakikat  ini  dan  mempastikan  agar   industri
  keluli  kita  akan turut mengiringi kemajuan negara  kita.
  Malahan  lebih  daripada  itu,  Malaysia  sepatutnya  cuba
  menjadi pengeksport keluli yang utama di rantau ini.

  5.  Dalam  kerancakan  dan kepesatan kemajuan negara  pada
  masa   ini  dengan  pelbagai  projek  pembangunan  gergasi
  seperti   lapangan  terbang  antarabangsa  Sepang,   Pusat
  Pentadbiran  Kerajaan Putrajaya, Koridor  Raya  Multimedia
  (MSC)   dan   bandar  Cyberjaya,  pertumbuhan   permintaan
  barangan   keluli   pasti  meningkat   dengan   banyaknya.
  Sehubungan  dengan itu, Perwaja sebagai perintis  industri
  keluli   negara   perlu   proaktif  dengan   perkembangan-
  perkembangan  ini  dan  membuat  perancangan  rapi   serta
  praktikal,  menjurus  kepada  memenuhi  keperluan   sektor
  pembinaan tempatan.

  6.  Kita   bukan  sahaja  mahu dikenali sebagai  pengeluar
  utama   barangan  keluli  tetapi  barangan   keluli   yang
  dikeluarkan   turut   tinggi   mutunya   serta   konsisten
  pengeluarannya.   Dengan kekuatan ini  negara  tidak  lagi
  perlu  bergantung kepada import barangan  keluli  tertentu
  bagi menampung keperluan tempatan.

  7.  Dalam  hubungan  ini juga, Kerajaan berharap syarikat-
  syarikat   pengeluar   barangan  keluli   tempatan   dapat
  meningkatkan daya inovasi dan daya inisiatif mereka  untuk
  mengeluarkan   produk-produk   baru   yang   sangat-sangat
  diperlukan  oleh  sektor-sektor pembinaan serta  fabrikasi
  tempatan.

  8.  Memang mudah  untuk  sesiapa membuat kritikan  apabila
  sesuatu   projek  Kerajaan  itu  menghadapi  krisis   atau
  masalah.    Sifat   seperti  ini  adalah  perkara   biasa.
  Kerajaan   memang  bertekad  dengan  keputusan  meneruskan
  industri  keluli  negara.   Kita  sememangnya  masih  baru
  dalam   kepesatan   dan   kecanggihan   industri   keluli.
  Bagaimanapun,  saya  yakin  kita  telah  mendapat  sedikit
  sebanyak  kepakaran dalam bidang keluli, selepas berbelas-
  belas   tahun  menceburi  dalam  industri  ini.   Walaupun
  Perwaja  pernah  mengalami masalah, saya yakin  pengalaman
  lalu  yang  pahit  itu  tidak akan disia-siakan  dan  akan
  dijadikan teladan dan panduan bagi membawa semula  Perwaja
  kepada mercu kejayaan. Kita tidak boleh mudah kecewa  atau
  menyerah  kalah  atau semata-mata menyerah  kepada  takdir
  akan  nasib kita.  Kita perlu berusaha dan berusaha dengan
  sepenuh komitmen kita.

  9.  Dalam  lawatan  saya ke Kompleks Perwaja Kemaman  pada
  12  Disember  1996, saya telah berpeluang  bertemu  dengan
  pekerja-pekerja  Perwaja  di Kompleks  tersebut  dan  saya
  menyaksikan   sendiri  betapa  tingginya  semangat   kerja
  mereka.   Hari  ini, saya bersyukur kerana dapat  berjumpa
  dengan  pekerja-pekerja di Kompleks Perwaja Gurun  setelah
  kunjungan terakhir pada tahun 1994.  Saya nampak  pekerja-
  pekerja di sini juga mempungai semangat kerja yang  tinggi
  dan  saya  berharap  semangat  ini  dapat  dikekalkan  dan
  ditingkatkan lagi.  Pada saya semangat untuk  bekerja  ini
  perlu  kerana  tanpa  semangat, kita  tidak  ubah  seperti
  robot   atau  mesin  yang  hanya  mengikut  arahan   tanpa
  menggunakan minda kita untuk berfikir bagi kebaikan  kerja
  kita  dan  untuk meningkatkan pencapaian kita.  Kita  juga
  tidak  boleh  kerja  kerana upah semata-mata.   Sebaliknya
  kita  harus  kerja kerana ingin melihat hasil  kerja  yang
  memberi  kepuasan kepada kita, bahkan kita dapat berbangga
  dengannya.

  10.   Kilang  Beam  &  Section  ini  adalah  yang  pertama
  seumpamanya  di  Malaysia.   Kilang  ini  dibina   sebagai
  sebahagian   daripada  rancangan  Perwaja  untuk   menjadi
  sesebuah kilang pengeluar barangan keluli bersepadu.

  11.  Pengeluaran  `medium and heavy  steel  section'  oleh
  kilang  Perwaja  ini  akan  dapat  menyediakan  alternatif
  kepada  industri  pembinaan tempatan di mana  sebelum  ini
  hanya  menggunakan  "reinforced concrete"  dalam  struktur
  pembinaan mereka.

  12.   Kekuatan  keluli  binaan  adalah  enam  kali   ganda
  dibandingkan  dengan "reinforced concrete".  Mutunya  pula
  lebih   tinggi   dan   menepati   piawaian   antarabangsa.
  Penggunaan  keluli juga menjimatkan masa dan  mengurangkan
  tenaga  buruh.  Tambahan lagi, keluli boleh dikisar semula
  dan  ini  merupakan  suatu penjimatan  jangka-panjang  dan
  menjadikan    keluli    sebagai    suatu    bahan     yang
  `environmentally-friendly'.  Justeru  itu,  keluli  adalah
  suatu  bahan  yang  amat wajar dan patut digunakan  dengan
  meluasnya di dalam bidang pembinaan di negara kita.

  13.  Masalah-masalah  seperti  kekurangan  bekalan  simen,
  tenaga  buruh  yang  menyebabkan  pembanjiran  buruh-buruh
  asing  ke  negara  akan  dapat diatasi  dengan  penggunaan
  keluli  dalam  struktur  binaan  ini.   Ini  adalah   satu
  alternatif   yang   perlu   diambilkira   oleh   perunding
  pembinaan   termasuk  arkitek,  jurutera  dan  kontraktor.
  Saya   yakin,  kebolehan  kita  untuk  mencari  alternatif
  terhadap  penyelesaian segala masalah ini akan  menentukan
  kejayaan  dan  kemajuan  kita dalam  industri  keluli  dan
  perindustrian negara.

  14.  Dengan ini saya dengan sukacitanya merasmikan  kilang
  Beam & Section Perwaja di Gurun.

 
 



 
Google