home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	DEWAN MERDEKA, PWTC, KUALA LUMPUR 
Tarikh/Date 	: 	02/08/97 
Tajuk/Title  	: 	MAJLIS PERASMIAN PERHIMPUNAN AGUNG 
			MIC YANG KE-51 


   1.    Saya  ucapkan  terima kasih  kepada  Presiden  MIC
  Dato'  Seri  S.  Samy  Vellu dan ahli-ahli  Jawatankuasa
  Pusat  Parti  kerana  menjemput  saya  untuk  merasmikan
  Perhimpunan Agung Parti MIC yang ke-51 pada hari ini.
  
  2.    Saya ucapkan tahniah kepada Dato' Seri Samy  Vellu
  dan   Dato'   S.   Subramaniam  kerana   dipilih   tanpa
  bertanding  untuk  terus memimpin MIC  sebagai  Presiden
  dan  Timbalan Presiden.  Inilah satu lagi keunikan  yang
  terdapat  dalam  parti komponen Barisan Nasional.   Demi
  kestabilan  parti  ahli-ahli lebih suka  supaya  jawatan
  tertinggi  dalam parti tidak menjadi rebutan.  Ahli-ahli
  parti  kini  sedar  bahawa keghairahan  merebut  jawatan
  boleh  menyebabkan  perpecahan dalam  parti.   Jika  ini
  berlaku  parti  akan  menjadi  lemah  dan  tidak   dapat
  memperjuangkan   kepentingan  ahli  dan   parti   dengan
  berkesan.  Kini ahli-ahli sudah lebih matang dan  bijak.
  Mereka  sedar  bahawa jika pemimpin itu masih  berupaya,
  berkebolehan  dan  boleh  terus memberi  sumbangan  yang
  berkesan  kepada  parti, bangsa dan  negara,  tidak  ada
  sebab  pemimpin  itu  perlu ditukar ganti  hanya  kerana
  kita boleh tukar.
  
  3.    Banyak pihak terutama orang asing yang tidak faham
  mengenai  keunikan amalan ini.  Mereka mendakwa kononnya
  demokrasi   tidak   wujud  melainkan   pemimpin-pemimpin
  ditukar   setiap  kali  pemilihan  diadakan.  Sebenarnya
  pertukaran  yang  kerap  hanya  melemahkan  parti   atau
  negara.    Ini  adalah  kerana  masa  diperlukan   untuk
  mendapat  sesuatu  hasil dari pertukaran.   Namun  belum
  tentu  pemimpin  yang baru akan membawa kejayaan.   Jika
  setelah  diberi  masa pemimpin yang baru  gagal  membawa
  kejayaan  maka sia-sia sahajalah pertukaran  yang  telah
  dilakukan.
  
  4.    Walaupun  begitu  pertukaran patut  diadakan  jika
  pemimpin  yang  ada jelas tidak baik  atau  tidak  dapat
  mendatangkan apa-apa kejayaan.
  
  5.    Di  negara kita ahli-ahli parti komponen BN  bebas
  menyuarakan  pandangan  mereka  mengenai  sesuatu   isu.
  Tetapi   kita   mempunyai  cara  tersendiri  menyuarakan
  pandangan  kita jika dirasakan sesuatu isu  itu  mungkin
  boleh  menyinggung perasaan kaum atau agama lain.   Kita
  tidak  mengenepikan sesuatu isu itu begitu  sahaja  jika
  ianya  penting  demi kebaikan negara dan  rakyat.   Para
  pemimpin  BN akan membincangkannya sesama mereka  tetapi
  tidaklah  secara  terbuka.  Cara  tersendiri  yang  unik
  inilah  yang  telah membolehkan BN menyelesaikan  banyak
  masalah  yang  dihadapi  oleh negara.   Sebaliknya  jika
  masalah  kaum terutamanya di bahas secara terbuka  pihak
  ekstrimis   akan   memainkan  isu  ini  untuk   membakar
  perasaan  dan berlagak sebagai pejuang kaum.   Ini  akan
  menyebabkan  pemimpin menjadi kaku kerana  takut  kepada
  reaksi dan hilang populariti.  Dengan ini masalah  sukar
  diselesai.
  
  6.    Rakyat Malaysia mesti bersedia untuk memasuki abad
  yang  akan  datang.   Kita hanya mempunyai  kurang  dari
  tiga  tahun lagi untuk melangkah ke abad yang ke-21 yang
  pasti penuh dengan cabaran-cabaran yang lebih hebat.
  
  7.    Setakat  ini  Malaysia adalah sebuah  negara  yang
  berjaya  daripada  segi  ekonomi  dan  politik.   Negara
  telah  berjaya mencatat pertumbuhan ekonomi yang tinggi,
  iaitu  lebih  lapan peratus setahun bagi sembilan  tahun
  berturut-turut.   Pendapatan  kita  adalah  antara  yang
  tertinggi  di  kalangan negara-negara  membangun.   Kita
  menikmati   taraf  hidup  yang  tinggi   dan   mempunyai
  kemudahan-kemudahan kesihatan dan pendidikan yang  baik.
  Ekonomi   negara  begitu  baik  sehinggakan  tidak   ada
  pengangguran   di   kalangan  rakyat.    Malaysia   juga
  dianggap   sebagai  model  ekonomi  bagi   negara-negara
  membangun.
  
  8.    Daripada  segi politik negara kita  adalah  stabil
  walaupun  penduduknya  terdiri  daripada  berbagai-bagai
  kaum   dan  agama.   Kita  telah  berjaya  menyelesaikan
  masalah   politik   kita  secara   aman.    Kita   tidak
  menggunakan kekerasan untuk menyelesaikan masalah  kita.
  Setiap masalah kita selesaikan melalui meja rundingan.
  
  9.    Kita  sedar  bahawa semua kaum mempunyai  pendapat
  bahawa  nasib  mereka  kurang baik  dan  masalah  mereka
  tidak  diberi  perhatian oleh Kerajaan.  Kaum  keturunan
  India  juga  berpendapat bahawa mereka  tidak  menikmati
  banyak kemajuan yang dicapai oleh negara.
  
  10.   Pendapat  ini, seperti juga pendapat  di  kalangan
  kaum-kaum   lain   termasuk  kaum   Bumiputera,   adalah
  disebabkan masing-masing tidak memandang keadaan  mereka
  secara  menyeluruh.  Sebaliknya mereka  tumpukan  kepada
  kes-kes  tertentu yang ternampak mereka  tidak  mendapat
  kemajuan.   Demikian bagi kaum keturunan  India  keadaan
  dalam  beberapa  estet memang tidak  memuaskan.   Tetapi
  banyak  juga  kemajuan yang telah berlaku  dalam  estet,
  seperti  perumahan  yang lebih baik dan  sekolah-sekolah
  yang  telah  dipulih  atau  dibina  semula.   Pendapatan
  pekerja  estet  juga telah meningkat.   Di  samping  itu
  ramai   yang   tidak  lagi  bekerja  di   estet   tetapi
  sebaliknya bekerja di kilang atau tempat-tempat lain  di
  mana pendapatan bertambah dan iklim bekerja lebih baik.
  
  11.   Kita  juga tidak boleh lupa bahawa ramai  daripada
  ahli-ahli   profesional,  terutama  doktor  dan   peguam
  terdiri   daripada   mereka  yang  berketurunan   India.
  Peratusan  mereka  jauh lebih tinggi daripada  peratusan
  orang  keturunan  India  di  Malaysia.   Demikian   juga
  dengan  pemimpin-pemimpin  kesatuan  sekerja.   Walaupun
  ramai  pekerja  terdiri daripada bukan keturunan  India,
  pemimpin kerapkali terdiri daripada keturunan India.
  
  12.   Tidaklah  benar  dakwaan  bahawa  keturunan  India
  diabaikan  dalam pembangunan negara kita.  Dalam  bidang
  politik  juga suara kaum keturunan India begitu lantang,
  baik  di  sebelah  Kerajaan  mahupun  di  sebelah  parti
  lawan.
  
  13.   Terdapat ramai juga peniaga dan pengusaha  jutawan
  keturunan  India  di  Malaysia.  Bagi  suatu  kaum  yang
  kecil  jumlahnya, bilangan dan peranan  orang  keturunan
  India  dalam  bidang  perusahaan dan perniagaan  amatlah
  besar.   Mungkin  kerana mereka ini kurang  aktif  dalam
  politik  maka  mereka  tidak  diambilkira  sebagai  kaum
  India.   Tetapi  sebenarnya ramai  daripada  mereka  ini
  giat membantu kaum India dengan sumbangan wang dan lain-
  lain.
  
  14.   Semua kaum di Malaysia mempunyai masalah dan tidak
  puas  hati.  Saya telah berkali-kali berkata  bahawa  di
  Malaysia  yang berbilang kaum ini, keadaan yang  terbaik
  ialah  semua kaum tidak puas hati, tidak gembira.   Jika
  mana-mana  kaum  berasa puas hati dan gembira  maka  ini
  adalah  satu  petanda bahawa layanan berat  sebelah  dan
  tidak  adil  sedang berlaku.  Mereka hanya akan  gembira
  jika  layanan  terhadap  mereka lebih  daripada  layanan
  terhadap  orang  lain.   Dengan itu  orang  lain  berasa
  kecewa dan tidak puas hati.
  
  15.   Kita  tidak  mungkin  memberi  layanan  sepenuhnya
  kepada  semua  kaum, kerana tuntutan masing-masing  kaum
  bertentangan  dan  boleh merugikan  kaum  lain.   Tetapi
  kita  boleh  dan  mudah melayan separuh sahaja  daripada
  tuntutan  setiap  kaum kerana ingin  melayan  juga  kaum
  lain.   Dengan  ini tentulah perasaan  tidak  puas  hati
  didapati  di kalangan semua kaum.  Perasaan  tidak  puas
  hati  ini  menjadi  bukti yang kita adil  kepada  semua.
  Inilah  keadaan yang terbaik bagi negara berbilang  kaum
  --  iaitu  tidak ada satu kaum yang terlalu  puas  hati.
  Saya  sendiri dikecam oleh orang Melayu kerana dikatakan
  tidak  memberi layanan kepada orang Melayu.   Hakikatnya
  ialah  saya  tidak  mampu melayan semua  tuntutan  orang
  Melayu  atau bukan Melayu.  Presiden MIC tidak berhenti-
  henti  meminta  itu  dan ini untuk kaum  India.   Beliau
  berjumpa  saya  selepas  tiap  mesyuarat  Kabinet.   Ada
  sahaja  masalah  yang  memerlukan penyelesaian  daripada
  saya.   Malangnya  banyak daripada  masalah-masalah  ini
  tidak  mampu  saya  selesaikan.   Dengan  itu  timbullah
  perasaan   di  kalangan  kaum  keturunan  India   bahawa
  layanan tidak diberi kepada kaum mereka.
  
  16.   Peluang  untuk kaum keturunan India  terbuka  luas
  seperti   juga  kepada  kaum-kaum  lain.   Jika   mereka
  berusaha lebih sedikit, ramai lagi daripada mereka  akan
  memperolehi  kejayaan.  Kerajaan dan saya sendiri  sedia
  memberi  pertolongan  jika  ia  boleh  dibantu.   Tetapi
  tentu  ada  perkara yang tidak boleh dibuat apa-apa  dan
  dengan itu tentu kekecewaan akan terus berlaku.
  
  17.   Malaysia  hari  ini  tidak lagi  seperti  Malaysia
  semasa  kita  mencapai kemerdekaan pada dekad  lima  dan
  enam  puluhan.  Kita telah maju jauh ke hadapan.  Dengan
  itu  cara hidup lama mestilah ditukar dan diganti dengan
  cara  hidup  baru.   Kita perlu perbaiki  keadaan  hidup
  kita  dengan  menekankan kebersihan dan cara  hidup  dan
  berniaga yang lebih teratur dan tersusun.
  
  18.   Dalam melakukan perubahan-perubahan ini,  Kerajaan
  semata-mata  tidak akan berjaya.  Rakyat  sendiri  perlu
  sanggup  menukar cara-cara mereka bekerja dan  kehidupan
  seharian  mereka.   Dengan perkataan  lain  budaya  kita
  mestilah  disesuaikan dengan kemajuan negara kita.   MIC
  sebagai  parti yang disertai oleh ramai rakyat keturunan
  India   boleh   memainkan  peranan  yang   besar   dalam
  memperkenalkan cara hidup baru ini.  Saya  yakin  dengan
  pertukaran  budaya,  kaum  keturunan  India  akan  dapat
  mengurangkan  sedikit  perbezaan  antara  kaum-kaum   di
  Malaysia dan sekaligus memajukan kaum sendiri.
  
  19.   Dengan harapan ahli-ahli MIC akan terus menyumbang
  ke   arah   pembangunan   kaum   keturunan   India   dan
  mengukuhkan   lagi   Barisan   Nasional,   saya   dengan
  sukacitanya  merasmikan Perhimpunan Agung MIC  yang  ke-
  51.

 
 



 
Google