home Speechs in the year 2003 2002 2001 2000 1999 1998 1997 1996 1995 1994 1993 1992 1991 1990 --> |
Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD Tempat/Venue : MENARA PGRM, KUALA LUMPUR Tarikh/Date : 16/08/97 Tajuk/Title : MAJLIS PERASMIAN PERSIDANGAN PERWAKILAN KE-26 PARTI GERAKAN MALAYSIA 1. Saya ucapkan terima kasih kepada Presiden Parti Gerakan Dato' Seri Dr. Lim Keng Yaik dan ahli-ahli Jawatankuasa Kerja Parti kerana menjemput saya untuk merasmikan Persidangan Perwakilan Parti Gerakan yang ke- 26 pada hari ini. Persidangan Perwakilan atau Perhimpunan Agung bagi parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) adalah penting dan sesuatu yang dinanti- nantikan oleh ahli-ahli. Ini ialah kerana di sinilah ahli-ahli menerusi para perwakilan mereka berpeluang memberi pandangan dan pendapat mereka mengenai isu-isu yang berhubung dengan parti khususnya dan negara amnya. Di sini jugalah para wakil berpeluang untuk menghentam atau mengkritik pucuk pimpinan parti dan dasar-dasar parti. Di sini jugalah nasib para pemimpin ditentukan sama ada para perwakilan akan memberi sokongan dengan memilih semula mereka untuk menerajui parti atau mahukan perubahan dalam barisan kepimpinan. 2. Jika diperhatikan, para perwakilan parti-parti komponen BN -- sama ada UMNO atau MCA atau MIC atau Gerakan -- betul-betul menggunakan sepenuhnya peluang yang diberikan kepada mereka di persidangan agung. Itu sebabnya saya sendiri sebagai Presiden UMNO dan Dato' Seri Dr. Lim Keng Yaik dan pemimpin-pemimpin lain dalam BN tidak dapat lari daripada turut dikecam oleh ahli- ahli parti. Tetapi ini semua kami terima dengan hati yang terbuka sebagai risiko menjadi pemimpin dalam parti yang mengamalkan demokrasi. 3. Sebagai sebuah parti komponen BN yang penting, parti Gerakan telah turut menyumbang besar kepada pembangunan ekonomi dan kestabilan politik negara ini. Kepimpinannya yang sederhana, bertanggungjawab tetapi berterus terang serta sedia bertolak-ansur demi kepentingan negara telah membantu mengukuh dan memantapkan BN. Namun ini tidak pula menyekat parti Gerakan daripada menyuarakan isu-isu tertentu yang difikirkan penting oleh parti dan ahli-ahlinya. Tetapi semua ini dibangkitkan dengan niat yang ikhlas dan dalam semangat kekeluargaan Barisan Nasional. Sebagai Kerajaan Barisan Nasional yang peka kita mendengar pandangan-pandangan yang jujur dan membina dan dalam banyak hal pandangan-pandangan ini mendapat pertimbangan Kerajaan. Dalam perkara-perkara yang difikirkan agak sensitif untuk dibicarakan secara terbuka kita bangkitkan perkara-perkara ini dalam mesyuarat Majlis Tertinggi BN dan mesyuarat Kabinet. Ini boleh saya akui kepada tuan-tuan dan puan-puan. Banyak perkara dan masalah yang telah dibangkitkan oleh Dato' Seri Dr. Lim Keng Yaik dalam mesyuarat-mesyuarat ini. 4. Sepertimana yang saya katakan ketika merasmikan Persidangan Agung MIC dua minggu yang lepas, kita tidak dapat melayani semua tuntutan dan permintaan yang dibuat. Dengan itu sudah tentulah berlaku rasa tidak puas hati di kalangan sesetengah pihak. Ahli-ahli komponen parti BN tidak boleh melihat kedudukan mereka dari sudut diri sendiri sahaja. Kita perlu melihat dari semua sudut -- sudut yang lebih luas. Kalau kita kaji secara rasional, semua kaum telah memperolehi faedah daripada pembangunan ekonomi negara. Tidak ada kaum yang diketepikan. Berkenaan penswastaan umpamanya, semua kaum memperolehi faedah daripadanya -- sama ada usahawan yang ditawarkan projek penswastaan, pekerja yang bekerja dengan syarikat yang diswastakan dan rakyat biasa yang berpeluang membeli saham syarikat yang diswastakan yang disenaraikan di Bursa Saham dan mengguna kemudahan yang disediakan -- semua mereka ini terdiri daripada pelbagai kaum. 5. Sebenarnya bukannya mudah untuk mentadbir negara yang berbilang kaum, agama dan budaya. Pemberian semua yang dituntut atau diminta oleh semua kaum tidak mungkin kerana kerapkali permintaan ini bertindih atau bertentangan di antara satu kaum dengan kaum yang lain. Jika pihak yang berkuasa melayani hanya tuntutan daripada kaumnya sahaja, ia mungkin popular dengan kaumnya tetapi tetap akan dikecam dan ditolak oleh kaum lain. Dan kita tahu dalam pilihanraya kita perlu undi daripada semua kaum untuk mendapat kemenangan. Yang boleh kita buat ialah melayan separuh sahaja daripada tuntutan oleh semua kaum. Ini akan menjadikan semua kaum sama-sama tidak puas hati. Tetapi mereka akan tahu tidak ada pilih kasih oleh Kerajaan Barisan Nasional dan mereka akan menyokong kita. 6. Para pemimpin dan ahli-ahli BN hendaklah sentiasa bekerja keras bagi menentukan rakyat akan sentiasa menyokong penuh BN. Ini adalah tanggungjawab yang besar yang perlu kita pikul dengan serius. Jawatan bukan untuk kebanggaan kita yang boleh kita guna sesuka hati kita. Jawatan adalah untuk memudahkan pengurusan bagi menjayakan dasar parti untuk negara. 7. BN merupakan parti politik yang berjaya sehinggakan ia menjadi contoh kepada negara-negara membangun lain yang berbilang kaum dan mempunyai banyak parti politik. Mereka sering meminta maklumat yang terperinci mengenai susunan BN dan cara parti-parti di dalamnya bekerjasama. 8. Namun ahli-ahli BN tidak boleh berpeluk tubuh dan bersifat angkuh dan sombong. Kita tidak boleh terlalu yakin dengan sokongan rakyat kepada BN. Kita tidak boleh `over confident' kerana ini boleh menyebabkan kita lalai. Para pemimpin dan ahli-ahli BN mestilah sedia merendah diri dan sentiasa mendampingi rakyat. Para pemimpin dan ahli BN hendaklah sentiasa sedia mendengar rintihan dan masalah rakyat dan cuba membantu menyelesaikannya. Tanggungjawab ini berat tetapi ingatlah kita yang memilih untuk menjadi Wakil Rakyat, dan oleh itu kita perlu memikul tugas Wakil Rakyat. 9. Saya menyatakan bahawa BN adalah parti yang terbaik di negara ini kerana ia adalah satu-satunya parti yang mempunyai kredibiliti dan komited untuk memajukan rakyat dan negara. BN adalah satu-satunya parti yang boleh memenuhi kehendak pelbagai kaum dan boleh diterima oleh sebahagian besar rakyat. Oleh kerana dasar-dasarnya yang pragmatik maka negara kita hari ini stabil dan telah mengalami pembangunan yang pesat. Di samping itu, BN telah berjaya menentukan semua kaum di negara ini menikmati faedah daripada kemajuan pesat ekonomi negara. Kerajaan BN juga telah berjaya menjadikan negara kita lebih dihormati dan disegani. BN juga adalah parti yang mempunyai wawasan yang jelas untuk membawa negara ke tahap yang lebih tinggi dan cemerlang. Oleh itu, kita perlu meyakinkan rakyat bahawa hanya BN yang dapat menjamin masa depan rakyat dan negara yang lebih cerah. 10. Rakyat kini sudah berubah. Mereka kini lebih bijak dan matang membuat penilaian terhadap sesuatu perkara. Mereka tidak lagi hanya menerima sesuatu perkara atau keadaan begitu sahaja. Jika pemimpin- pemimpin BN dilihat tidak berminat dengan masalah rakyat dan mementingkan kedudukan mereka, sama ada dalam parti atau Kerajaan, BN akan kehilangan sokongan. 11. Oleh itu para pemimpin BN dan ahli-ahli hendaklah sentiasa bekerja kuat untuk mendapat sokongan terus rakyat. Kita juga hendaklah elak daripada bertelagah antara satu sama lain yang boleh melemahkan parti kita. 12. Kita kini sedang berada dalam era Teknologi Maklumat atau I.T. Dunia juga kini semakin menjadi `borderless' atau tidak mempunyai sempadan kerana teknologi satelit telah memudahkan perhubungan dan komunikasi antara negara. Dalam perkataan lain dunia pada hari ini semacam satu `village' atau kampung. 13. Sudah tentulah cabaran-cabaran yang akan kita hadapi dalam memasuki abad yang akan datang ini lebih hebat. Pendekatan dan strategi yang kita ambil selama ini untuk memajukan negara mungkin tidak sesuai lagi, tidak boleh diguna- pakai lagi. 14. Seperti masa yang lalu, kita perlu membuat perubahan dan penyesuaian untuk mengikuti peredaran zaman. Perubahan ini tidak dapat dielak dan kita perlu berubah mengikut masa jika kita mahu terus maju dan berjaya. Saya yakin jika dahulu kita enggan mengubah ekonomi kita kepada perindustrian dan terus bergantung kepada getah dan bijih timah kita tentu akan menjadi mundur dan miskin dan mengalami masalah sosial dan politik yang buruk. 15. Justeru itu, dalam menghadapi era teknologi maklumat kita perlu membuat perubahan -- seperti mengubah cara kita berfikir, cara hidup kita dan cara menangani masalah kita. 16. Parti-parti komponen BN seperti Gerakan boleh turut memainkan peranan menyediakan rakyat menghadapi perubahan ini supaya ia tidak datang sebagai satu kejutan besar. Parti-parti komponen BN boleh membantu menyedarkan rakyat tentang perubahan yang akan datang dan membantu membuat persiapan untuk menghadapinya supaya negara akan terus maju. 17. Saya yakin, jika rakyat bersama-sama kerajaan dan memberi sokongan penuh terhadap usahanya membawa Malaysia dengan jayanya ke abad yang akan datang, negara kita akan terus mencapai kejayaan. Kita telah membuktikan bahawa kita boleh mencapai apa juga kejayaan jika kita menumpukan usaha dan tenaga. 18. Dengan harapan para pemimpin dan ahli-ahli Parti Gerakan akan berusaha dengan gigih menentukan Barisan Nasional akan terus mendapat sokongan rakyat demi kestabilan, kemajuan dan kemakmuran negara, saya dengan sukacitanya merasmikan Persidangan Perwakilan Parti Gerakan Malaysia yang ke-26. |