home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	DEWAN SAN CHOON, WISMA MCA 
			JALAN AMPANG, KUALA LUMPUR 
Tarikh/Date 	: 	30/08/97 
Tajuk/Title  	: 	PERASMIAN PERHIMPUNAN AGUNG TAHUNAN 
			MCA YANG KE-44 



   1.   Saya ucapkan terima kasih kepada Presiden parti  MCA
  Dato   Seri   Dr.  Ling  Liong  Sik  dan  semua   anggota
  Jawatankuasa  Pusat  Parti MCA kerana  sekali  lagi  sudi
  menjemput  saya untuk merasmikan Mesyuarat Agung  Tahunan
  MCA yang ke-44 pada hari ini.
  
  2.    Tahun ini amat bererti bagi kita semua kerana  esok
  negara kita akan genap berusia 40 tahun.  Sudah 40  tahun
  kita  merdeka.   Saya percaya semua rakyat Malaysia  yang
  berbilang kaum akan merayakan Hari Kemerdekaan atau  Hari
  Kebangsaan  ini  dengan  penuh  rasa  insaf,  bangga  dan
  megah.
  
  3.    Nyata  sekali,  selama 40 tahun rakyat  negara  ini
  yang   terdiri  daripada  pelbagai  kaum,  Melayu,  Cina,
  India,  Iban, Kadazan, Murut dan lain-lain yang mempunyai
  pelbagai  kepercayaan seperti agama Islam, Buddha,  Hindu
  dan  Kristian,  telah dapat hidup dan  maju  bersama-sama
  tanpa  menghadapi  banyak  masalah  sesama  mereka   atau
  menimbulkan   banyak  masalah  kepada  negara.    Kecuali
  peristiwa  13  Mei  1969 yang telah menghitamkan  sedikit
  sejarah  gemilang negara kita, rakyat kita  memang  hidup
  harmonis, saling bekerjasama dan penuh bertoleransi.
  
  4.    Sebagai  Perdana Menteri, sudah tentu  saya  berasa
  gembira  kerana  rakyat negara ini hidup aman,  maju  dan
  makmur.   Saya  juga  gembira melihat negara  kita  terus
  membangun  dengan  pesat.  Kita harap  keadaan  sejahtera
  dan  makmur  ini  akan  berterusan bukan  sahaja  setakat
  generasi  kita  yang  ada sekarang malah  untuk  generasi
  akan  datang.   Kita  mahu nikmat kemerdekaan  yang  kita
  perolehi  sekarang  akan  juga  berterusan.   Kita   mahu
  keamanan, kemakmuran dan kemajuan rakyat dan negara  kita
  berterusan   sehingga  ke  alaf  baru  atau   `the   next
  millennium'.
  
  5.    Bagi  memastikan cita-cita kita tercapai  dan  masa
  depan generasi baru dan negara kita terus terjamin,  kita
  hendaklah sama-sama sentiasa memperingati diri  kita  dan
  generasi  muda akan pentingnya sikap toleransi,  sensitif
  dan  hormat-menghormati antara satu kaum dengan kaum-kaum
  yang  lain.  Di samping itu, kita perlu meningkatkan lagi
  azam  dan  semangat patriotik kita untuk berbakti  kepada
  negara.  Kita hendaklah melipatgandakan lagi usaha  untuk
  membawa  negara  ke  tahap  kemajuan  yang  lebih  tinggi
  sehingga ditakrif sebagai negara maju.
  
  6.    Rakyat negara ini sungguh bernasib baik.   Walaupun
  Malaysia  adalah  sebuah  negara  yang  mempunyai  rakyat
  pelbagai  kaum,  budaya  dan  agama,  tetapi  kita  tidak
  tumpukan  kepada  perbezaan-perbezaan  di  antara   kita.
  Sebaliknya  kita fokus kepada persamaan antara  kita  dan
  menggunakan    persamaan   ini    sebaik-baiknya    untuk
  menjayakan   diri  dan  negara.   Ini  berlainan   dengan
  beberapa  negara  lain yang mempunyai keadaan  yang  sama
  tetapi  penumpuan adalah kepada kepentingan kaum  masing-
  masing  sehingga  kepentingan negara  diabaikan.   Dengan
  itu,  rusuhan kaum sering berlaku dan pembangunan  negara
  terjejas.   Dalam  rusuhan-rusuhan ini  tidak  ada  siapa
  yang  menang.   Sebaliknya  apa  yang  dituntut  akhirnya
  hancur  lebur  menjadi  abu  yang  tidak  berguna  kepada
  sesiapa, pihak yang menang atau pihak yang kalah.   Nasib
  negara-negara  ini  perlu  dijadikan  pengajaran   kepada
  kita.
  
  7.     Saya  telah  berkali-kali  menyatakan  bahawa   di
  Malaysia  tidak ada siapa yang puas hati dengan hak  atau
  apa-apa   yang  dituntut  oleh  mereka.   Tiap  kaum   di
  Malaysia  mesti  sanggup berkorban  sedikit  hak  mereka,
  kerana  pihak lain juga menuntut hak yang sama dan mereka
  juga   tidak   akan  dapat  semua.   Jika  kita   sanggup
  berkorban  dan  akui  bahawa  orang  lain  juga  terpaksa
  berkorban,  dan kerana itu negara kita aman  dan  makmur,
  kita,  daripada segi `absolute' akan mendapat semua  yang
  kita  tuntut.   Yang dimaksudkan di sini  ialah  keamanan
  dan   kemakmuran  akan  membesarkan  bahagian  kita   dan
  bahagian   yang  kita  dapat  ini  mungkin  lebih   besar
  daripada  yang  kita  dapat 100  peratus  tetapi  saiznya
  kecil sahaja.  "It is better to get a small portion of  a
  big cake than to get all of a tiny one."
  
  8.    "That is what is happening in Malaysia.  Because we
  work  together  we are able to develop  this  country  to
  such  an extent that our portion is much bigger than  the
  whole of a small disputed piece".
  
  9.    Selama  40 tahun kita merdeka kita telah  sama-sama
  berusaha   untuk   membangunkan  negara   kita,   memberi
  kehidupan  yang  bahagia  kepada semua  rakyat,  terutama
  mereka yang miskin.  Demikian kadar kemiskinan yang  pada
  tahun  1970 adalah sebanyak lebih kurang 50 peratus telah
  dapat  dikurangkan kepada tujuh peratus sahaja pada  hari
  ini.
  
  10.   Kita  percaya dan mengamalkan demokrasi dan  sistem
  ekonomi  pasaran.  Kita buka negara kita  kepada  pelabur
  asing  supaya mereka juga boleh dapat keuntungan daripada
  kemajuan ekonomi kita.  Kita percaya kepada dasar tolong-
  menolong,   dasar  `prosper-  thy-neighbour'   dan   kita
  berusaha  untuk menolong jiran-jiran kita dengan  memberi
  latihan dan melabur di negara mereka.
  
  11.   Malangnya  pelabur asing dari negara tertentu  yang
  tidak  pernah mendirikan apa-apa industri di negara  kita
  tetapi  hanya  berminat untuk main  pasaran  saham  tidak
  kenal  budi.   Setelah  mendapat keuntungan  sekian  lama
  daripada  kemajuan  negara  kita,  mereka  sekarang  cuba
  meruntuhkan ekonomi negara kita dengan menyerang  ringgit
  kita dan pasaran saham kita.
  
  12.   Kegiatan mereka meraih keuntungan sudah melenyapkan
  lebih  250 ribu juta ringgit dari pasaran modal kita  dan
  mengurangkan  kekayaan  kita  sebanyak  sepuluh  peratus.
  Jika  pada  1996  pendapatan per kapita  seseorang  sudah
  meningkat  kepada  AS$4,600,  sekarang  ia  telah   turun
  kepada  AS$4,200.  Hutang negara kita pula dalam matawang
  asing telah naik sepuluh peratus atau lebih.
  
  13.   Inikah pasaran bebas dan dunia tanpa sempadan  yang
  dilaung-laungkan?   Orang yang  tamak  dari  negara  yang
  kaya  boleh  menyamun dari negara dan orang  miskin  atas
  nama  pasaran bebas.  Bagi mereka yang sering  melaungkan
  keadilan   dan   `fairplay',  hak  asasi   manusia   yang
  menentang  kononnya `the exploitation  of  man  by  man',
  yang  begitu mengambil berat tentang nasib buruk  pekerja
  dan  orang  miskin  kita, mereka ini,  orang  ini,  tidak
  segan-segan  menyamun  duit orang  miskin.   Bagi  mereka
  `stealing  candy  from  a child' adalah  hak  yang  halal
  kerana  pasaran mesti terbuka.  Sekiranya  pasaran  tidak
  dibuka,  ianya  bermakna kita tidak menerima  norma-norma
  perhubungan antarabangsa.
  
  14.   Pasaran  terbuka dan Dagangan  bebas  adalah  agama
  bagi  mereka.   Walaupun kita dimusnahkan kerana  pasaran
  terbuka  dan dagangan bebas, kita mesti amalkan  dagangan
  bebas  juga.   Jika  kita  menolak  pasaran  terbuka  dan
  dagangan  bebas,  tindakan akan diambil untuk  merosakkan
  negara  kita.   Demikian  keadilan  zaman  moden,   zaman
  `borderless world' dan `free market'.
  
  15.   Buat  beberapa  tahun mereka  telah  mendakwa  kita
  tidak  boleh mengekalkan pertumbuhan tinggi kita.  Tetapi
  kita  terus  mencatat pertumbuhan yang tinggi.   Kemudian
  mereka   memberi   amaran  bahawa  kita  akan   mengalami
  `overheating' kerana terlalu banyak projek  mega.   Namun
  kita  meneruskan juga projek-projek kita dan  sambil  itu
  terus  tumbuh  pada  paras  yang  tinggi.   Tidak  nampak
  bahawa  kita  akan  `slow-down'.  Demikian  juga  negara-
  negara Asia Tenggara yang lain.
  
  16.   Hari  ini  mereka  tentu  gembira  melihat  ekonomi
  negara-negara   Asia   Tenggara  termasuk   negara   kita
  menghadapi  masalah dan kemerosotan.  Bahawa mereka  yang
  menyebabkan  kemerosotan ini tidak sedikit pun  memalukan
  mereka.   Yang penting ialah ramalan mereka sudah menjadi
  kenyataan   hari  ini.   Mereka  menafikan   bahawa   ada
  konspirasi  oleh mereka untuk merosakkan ekonomi  negara-
  negara  membangun  di  Asia Tenggara.   Tetapi  sama  ada
  konspirasi  atau tidak, hakikatnya ialah  spekulasi  yang
  tidak  bertanggungjawab oleh merekalah  yang  menyebabkan
  ekonomi negara-negara ini merosot.
  
  17.   Semua  yang berlaku kepada kita membuktikan  bahawa
  dunia   tanpa  sempadan  atau  `borderless  world'  boleh
  menjadi hutan liar yang penuh dengan binatang buas.  Kita
  tidak  dapat menutup sempadan negara kita dan  kita  tahu
  bahawa  kita adalah makhluk  yang kecil dan lemah. Tetapi
  kata  perpatah Melayu "Tak boleh tanduk, telinga dipulas"
  atau  "If  we  cannot break the horns we will  tweak  the
  ears".   "We  will learn to live in this  jungle  and  we
  will  develop the skills to handle the wild beasts  which
  roam inside it."
  
  18.   Dalam menghadapi masalah kewangan dan pasaran saham
  kita  semua  perlu  bersatu hati dan  bertindak  bersama.
  Kita  mesti bekerja lebih kuat supaya kita menjadi  lebih
  produktif.   Janganlah  kita menyertai  kegiatan  mencari
  keuntungan  daripada masalah yang dihadapi  oleh  negara.
  Sebaliknya  kita semua patut menolong memulihkan  ekonomi
  kita.   Apabila  harga saham menurun kita  harus  membeli
  dan  tidak menjual.  Ingatlah kejatuhan harga saham  akan
  menghapuskan  modal kita sendiri.  Demikian  juga  dengan
  ringgit,  janganlah  kita turut  `speculate'  dan  tolong
  menurunkan  nilai  ringgit  kita.   Jika  nilai   ringgit
  turun, kita semua tetap akan menjadi mangsa.
  
  19.   Membangunkan ekonomi sebuah negara bukanlah  mudah.
  Dan   ia  lebih  sukar  lagi  di  sebuah  negara  seperti
  Malaysia  di  mana  kita bukan sahaja perlu  membangunkan
  ekonomi,  tetapi  perlu juga menentukan  kekayaan  diagih
  secara  adil  antara  masyarakat  yang  terdiri  daripada
  berbilang  kaum.  Tetapi kita telah berjaya  dan  berjaya
  lebih daripada negara yang tidak menghadapi masalah  kaum
  seperti  kita.  Walaupun kita menghadapi masalah sekarang
  kita   tidak   boleh  kecewa.   Sebaliknya   kita   harus
  menganggap   masalah  ini  sebagai  satu  cabaran,   satu
  `challenge'  yang  akan  memberi pelajaran  kepada  kita,
  pelajaran yang akan menguatkan kita.
  
  20.   Yang  penting  ialah dalam usaha mengatasi  masalah
  ekonomi,  negara  kita  perlu terus mempunyai  kestabilan
  politik.   Lebih  daripada  masa-masa  lain,  kita  perlu
  menentukan  negara  kita stabil.  Kestabilan  negara  ini
  bergantung  secara eksklusif kepada Barisan Nasional  dan
  parti-parti   komponennya.   Parti-parti  dalam   Barisan
  Nasional mestilah menentukan mereka kukuh dan stabil  dan
  setiap  parti  perlu memberi sokongan kuat kepada  konsep
  Barisan  Nasional  dan perhubungan  sesama  kita.   Walau
  apapun  yang  menyerang  kita,  selagi  Barisan  Nasional
  kuat,  mempunyai  majoriti yang besar,  kita  akan  dapat
  mengatasi masalah berkenaan.
  
  21.   Kita harus ingat bahawa kita baru merdeka 40  tahun
  sahaja.   Tempoh  ini  terlalu singkat  untuk  mendirikan
  tembok  yang  boleh  melindungi  kita  daripada  serangan
  negara  maju  yang  ganas.  Kita masih memerlukan  banyak
  tahun lagi untuk mengukuhkan ketahanan negara kita.  Kita
  masih  perlu  berusaha  dengan gigih  untuk  meningkatkan
  martabat,  maruah  dan kemajuan negara  kita.   Dan  kita
  masih  perlu  melengkapkan diri lagi untuk mempertahankan
  kedaulatan  dan kemerdekaan negara kita pada  zaman  akan
  datang.
  
  22.   Dengan harapan setiap anggota parti MCA dan  setiap
  rakyat  kita  insaf  akan  perjuangan  kita  yang   belum
  selesai  untuk  menyelamat  dan  memajukan  negara,  saya
  dengan  sukacitanya merasmikan Perhimpunan Agung  Tahunan
  MCA yang ke-44 hari ini.

 
 



 
Google