home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	PUSAT ISLAM, KUALA LUMPUR 
Tarikh/Date 	: 	14/11/97 
Tajuk/Title  	: 	MAJLIS PERASMIAN HARI PENGGUNA 
			SEDUNIA PERINGKAT KEBANGSAAN 
			TAHUN 1997 



     1.    Terlebih   dahulu   saya  ucapkan   setinggi-tinggi
    kesyukuran  ke  hadrat Allah Subhanahu wa  Ta'ala  kerana
    dengan  limpah kurnia dan hidayah-Nya dapat kita bersama-
    sama  hadir  di  Majlis Perasmian Hari  Pengguna  Sedunia
    Peringkat Kebangsaan Tahun 1997 pada hari ini.
    
    2.     Saya   juga   mengucapkan  terima   kasih   kepada
    Kementerian  Perdagangan  Dalam  Negeri  dan  Hal   Ehwal
    Pengguna   kerana   menjemput  saya  untuk   menyampaikan
    sepatah dua kata dan seterusnya merasmikan majlis ini.
    
    3.     Pengakuan  bahawa  pengguna  mempunyai  hak  sudah
    diterima  di  seluruh  dunia.  Namun  hak  itu  hendaklah
    munasabah.   Keterlaluan  dalam  menuntut  hak  pengguna,
    terutama  melalui gantirugi yang amat tinggi  hanya  akan
    membebankan   masyarakat.   Hak  pengguna   bukan   untuk
    mengguna segala kecelakaan untuk mendapat gantirugi  yang
    tinggi.   Hak  pengguna  ialah  menuntut  keadilan   yang
    berpatutan  dan  mengurangkan  kemungkinan  sesuatu  yang
    boleh  mendatangkan kecelakaan diulangi.   Harus  diingat
    bahawa  walaupun ternampak gantirugi dipikul  oleh  pihak
    yang  terlibat  tetapi akhirnya yang membiayai  gantirugi
    itu ialah masyarakat pengguna sendiri.
    
    4.    Saya  ingin mengulangi bahawa pengguna dan pembekal
    adalah  orang  yang  sama.  Sementara seseorang  mengguna
    barangan  atau  khidmat orang lain  ia  juga  membekalkan
    barangan  atau khidmat kepada orang lain.   Jika  sebagai
    pengguna  ia tidak suka bekalan yang tidak baik,  sebagai
    pembekal   janganlah  pula  ia  membekal  barangan   atau
    khidmat  yang tidak baik.  Jika kita dapat ingat  hakikat
    ini,  insya-Allah,  kita  sebagai  pengguna  akan  selalu
    mendapat bekalan yang baik.
    
    5.    Tema  Hari  Pengguna Sedunia pada tahun  ini  masih
    `Inflasi Sifar Sasaran Kita'.  Kerajaan merasakan  kempen
    ini  perlu diteruskan kerana ianya munasabah dan  penting
    untuk  menentukan kos hidup di negara kita akan  sentiasa
    stabil.   Jika kos sara hidup tidak meningkat maka  usaha
    kita  untuk menaikkan pendapatan rakyat negara  ini  akan
    menambah   kuasa   beli  kita  atau  `purchasing   power'
    pendapatan  kita.  Jika kos hidup meningkat,  iaitu  jika
    ada  inflasi,  kuasa  beli kita  akan  merosot  dan  kita
    menjadi  semakin miskin, walaupun percubaan dibuat  untuk
    menambah  pendapatan.   Yang penting  bukan  jumlah  wang
    yang  kita  dapat,  tetapi  kuasa  beli  wang  itu.   Apa
    gunanya  mendapat kenaikan pendapatan jika  kenaikan  itu
    tidak  dapat  menambah barangan atau  khidmat  yang  kita
    boleh  beli.  Jika inflasi berlaku, pendapatan yang  sama
    tidak akan dapat membeli barangan yang sama.
    
    6.    Ada  antara  kita  yang  berpendapat  bahawa  untuk
    melawan  inflasi  kita hanya perlu menaikkan  pendapatan,
    sama  ada gaji atau `margin' keuntungan.  Tetapi kenaikan
    gaji  atau  keuntungan tetap akan menaikkan kos  barangan
    atau  khidmat, iaitu menyebabkan inflasi berlaku.  Dengan
    itu  kenaikan  gaji atau keuntungan tidak dapat  menambah
    kuasa beli yang sebenar.
    
    7.    Inflasi  hanya boleh diatasi dengan  menambah  daya
    keluaran  atau produktiviti, sama ada melalui cara  kerja
    yang  lebih  efisien  atau pelaburan  untuk  alatan  yang
    lebih  produktif.  Sepanjang masa dalam  sejarah  ekonomi
    moden,  tambahan  produktiviti dapat  dilakukan.   Bangsa
    yang  cekap  menambah  produktiviti  akan  berjaya  dalam
    saingan  dengan  bangsa-bangsa  lain,  dan  akan  menjadi
    lebih   mewah  serta  menikmati  kehidupan   yang   lebih
    bahagia.
    
    8.    Oleh  yang demikian adalah penting kita  membendung
    inflasi melalui peningkatan produktiviti kita dengan  apa
    juga  cara yang mungkin.  Tetapi peningkatan produktiviti
    perlu  dibantu  dengan  amalan kepenggunaan  yang  sihat.
    Jika   kita   terus   mengejar   barangan   sehingga   ia
    berkurangan  maka  sudah  tentu  harga  akan   meningkat.
    Sebaliknya jika kita sanggup membeli barang gantian  atau
    kita  kurangkan  permintaan untuk  barangan  yang  kurang
    bekalannya,  maka  dengan sendirinya inflasi  tidak  akan
    berlaku.
    
    9.    Apabila kita bercakap tentang inflasi, tumpuan kita
    ialah  kepada barang-barang perlu dan bukan barang mewah.
    Inflasi  kita  disebabkan terutamanya  oleh  pengimportan
    barangan  makanan yang tinggi.  Sebahagian besar daripada
    indeks kos sara hidup adalah barang makanan.  Kita  tidak
    mungkin  mengurangkan harga barang makanan yang  diimport
    tetapi  kita boleh mengurangkan makanan berkenaan sebagai
    bahan  makanan  kita.  Kita boleh menggantikannya  dengan
    barang  makanan  yang  lain.  Seberapa  yang  boleh  kita
    makan   barangan  yang  dikeluarkan  oleh   negara   kita
    sendiri.    Demikian  juga  dengan  barangan  lain   yang
    terdapat dalam indeks kos sara hidup.
    
    10.    Dalam   usaha  membendung  inflasi  pengguna   dan
    persatuan-persatuan mereka boleh memainkan  peranan  yang
    amat  berkesan.   Kesatuan  pengguna  boleh  menasihatkan
    pengguna dengan nasihat yang baik supaya mereka tahu  dan
    mereka  mendapat  maklumat  yang  boleh  menolong  mereka
    membantu dalam usaha membendung inflasi.
    
    11.   Sebaliknya jika kesatuan pengguna menggunakan cara-
    cara  yang  terasing daripada budaya  kita,  maka  mereka
    akan   menyebabkan  inflasi  meningkat.   Umpamanya  kita
    sedar  akan  pentingnya  memelihara  alam  sekitar  kita.
    Untuk  ini kita mensyaratkan supaya diadakan Kajian Kesan
    Ke  atas  Alam Sekitar atau Environment Impact  Assesment
    (EIA)  sebelum sesuatu projek dilaksanakan.  EIA  sendiri
    akan  menambah kos bukan semata-mata kerana upahan tetapi
    kerana   kelewatan  pelaksanaan.   Kita   patut   sanggup
    memikul kos ini.
    
    12.   Tetapi apabila persatuan pengguna membuat bermacam-
    macam  teguran  dan tindakan yang tidak  bertanggungjawab
    dan  mendesak  lebih daripada yang diperlukan,  maka  kos
    akan  meningkat  dan pengguna sendiri yang  akan  memikul
    bebannya.  Demikian harga barangan, rumah atau  tol  akan
    meningkat   kerana   bantahan  yang   berpanjangan   oleh
    kesatuan  pengguna.  Projek dan pembangunan yang  penting
    telah  meningkat  kosnya  dan  lambat  disiapkan  (dengan
    tambahan  kos lagi) kerana syarat-syarat yang berlebihan.
    Kita  patut  sanggup  menanggung kos kerana  syarat  yang
    perlu.   Tetapi menambah kos kerana pendapat persendirian
    orang   tertentu   tidaklah  wajar.   Kesatuan   pengguna
    sepatutnya   menolong   mengurangkan   kos   sara   hidup
    pengguna, bukan menaikkan kos.  Kita ingin hidup  seperti
    orang  di  negara maju, tetapi kita tidak perlu mengikuti
    cara-cara  mereka  yang membazir atau yang  tidak  perlu.
    Sebenarnya kos sara hidup kita boleh dikurangkan  separuh
    jika  kita  tidak  ghairah mengikuti cara-cara  bertindak
    masyarakat  yang  sudah maju yang  lebih  mampu  membazir
    daripada kita.
    
    13.   Baru-baru  ini kita telah lihat bagaimana  tindakan
    `speculators' asing dapat merugikan kita.  Apabila  nilai
    ringgit  dijatuhkan maka kos import meningkat. Sebaliknya
    jika  eksport kita tidak meningkat pendapatan kita  dalam
    bentuk  wang asing akan menurun.  Dengan ini bukan sahaja
    defisit  dagangan kita akan bertambah,  tetapi  kos  sara
    hidup kita iaitu inflasi juga meningkat.
    
    14.   Untuk  mengatasi  masalah jatuhnya  nilai  matawang
    kita, kita perlu kurangkan penggunaan barangan import  --
    bukan  sahaja  barangan `consumer' tetapi  juga  `capital
    goods'.   Jika sebaliknya kita menuntut supaya upah  kita
    dinaikkan  kerana  kos  barangan tertentu  yang  diimport
    telah  meningkat  harganya, maka  kos  barangan  keluaran
    kita   untuk  eksport  akan  naik.   Walaupun  ia   tidak
    meningkat dalam bentuk wang asing tetapi kita tidak  akan
    menjadi  kompetitif  dan  bersaing  dengan  produk   dari
    negara   jiran   yang  juga  mengalami  kejatuhan   nilai
    matawangnya.   Kenaikan upah kita  tetap  akan  menaikkan
    inflasi  lagi  dan  ini  akan menyebabkan  kenaikan  upah
    tidak  menambah dayabeli kita.  Lebih dari  waktu  biasa,
    kejatuhan  nilai  matawang perlu diatasi dengan  kenaikan
    produktiviti yang lebih.
    
    15.   Dalam  usaha  memerangi inflasi dan  mempertahankan
    hak   pengguna,  apa  yang  perlu  dibuat  oleh  kesatuan
    pengguna  ialah  menerangkan perkara-perkara  ini  kepada
    orang  ramai.   Dan  jika  pihak asing  yang  menyebabkan
    kejatuhan   nilai   matawang  kita,   kesatuan   pengguna
    hendaklah  mengecam  pihak yang  berkenaan  kerana  usaha
    Kerajaan  untuk memakmurkan rakyat selama 40 tahun  telah
    digagalkan  oleh  mereka yang tamak ini dalam  jangkamasa
    hanya  beberapa  minggu.   Mereka  yang  mendakwa  bahawa
    masalah  kejatuhan nilai matawang kita adalah  disebabkan
    kita  tidak  cekap mentadbir negara kita  amatlah  jahil.
    Mereka  hanya  pandai  menganalisa ekonomi  tetapi  tidak
    pernah  mengurus  apa-apa dan sudah  tentu  tidak  pernah
    mentadbir  mana-mana negara dengan jayanya.   Kita  tidak
    harus dipengaruhi dengan pandangan mereka.
    
    16.   Akhirnya,  saya ucapkan tahniah dan  syabas  kepada
    pihak  Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal
    Pengguna  dan semua pihak yang terlibat dalam  menjayakan
    majlis   pada   hari  ini.   Dengan  ini,   saya   dengan
    sukacitanya  merasmikan sambutan  Hari  Pengguna  Sedunia
    Peringkat Kebangsaan Bagi Tahun 1997.

 



 
Google