home Speechs in the year 2003 2002 2001 2000 1999 1998 1997 1996 1995 1994 1993 1992 1991 1990 --> |
Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD Tempat/Venue : HOTEL HILTON, KUALA LUMPUR Tarikh/Date : 01/12/97 Tajuk/Title : MAJLIS JAMUAN MAKAN MALAM TAHUNAN PPTD 1997 1. Terlebih dahulu, saya dan isteri mengucapkan terima kasih kerana jemputan PPTD kepada kami berdua untuk menghadiri perjumpaan dan jamuan makan malam tahunannya pada malam ini. Saya percaya majlis seperti ini amat berguna dalam memupuk perasaan `esprit de corp' antara pegawai-pegawai PTD khasnya dan pegawai-pegawai lain yang telah dijemput amnya. Amat baik bagi perkhidmatan apabila sekali setahun diadakan perhimpunan dan perjumpaan seumpama ini dalam suasana relaks dan tidak seperti dalam keadaan majlis rasmi. 2. Setelah mendengar ucapan Dato Presiden PPTD tadi, saya amat bangga di atas penegasan terhadap komitmen PTD dalam meneruskan khidmat cemerlang yang sedang diberi. Saya tidak sekali-kali meragui komitmen tuan-tuan dan puan-puan. Malah saya menghargai jasa bakti yang telah disumbangkan oleh pihak PTD khasnya dan Perkhidmatan Awam amnya dalam menerajui dan menjadi pemangkin pelaksanaan dasar-dasar Kerajaan. Sumbangan yang telah diberi tidak pernah luntur dan sungguh berkesan dalam menentukan kejayaan hampir semua dasar Kerajaan. 3. Seperti semua perkhidmatan awam di seluruh dunia, Perkhidmatan Awam negara ini juga merancang, membuat dan menilai semula dasar serta keputusan-keputusan yang secara keseluruhannya memberi kesan kepada masyarakat awam. Ianya terlibat dalam suatu bidang perkhidmatan yang amat luas yang melayani kehendak serta keperluan masyarakat sejagatnya. Pengharapan masyarakat ke atas keupayaannya memang selalunya menggunung dan terpaksa dipuaskan. Dalam keadaan ini, Perkhidmatan Awam tidak boleh `fall short' daripada harapan atau `expectation' ini kerana dalam dunia yang lebih `transparent' atau telus ini, sebarang kekurangan akan menonjol dan akan mencerminkan kurang kecekapan Perkhidmatan Awam. Individu dalam Perkhidmatan Awam terpaksa menjadi seorang yang `versatile' bagi menjamin kekesanan. Bukan sahaja ianya memain peranan sebagai seorang pemberi perkhidmatan, ia juga menjadi penyelaras pembangunan ekonomi, penguatkuasa undang-undang, pelindung integrasi dan keamanan nasional, dan penjaga kemakmuran generasi- generasi yang akan datang. Ianya juga perlu berkhidmat dalam rangka masyarakat Malaysia yang mempunyai pelbagai bangsa dan agama. Untuk menjalan dan melaksanakan tugas- tugas yang amat kompleks ini, Perkhidmatan Awam perlu dan wajib mempunyai dedikasi yang kuat, bertanggungjawab, adil dan beramanah. 4. Sambil menerima hakikat tadi, apakah yang paling mustahak bagi Perkhidmatan Awam sekarang? Perkhidmatan Awam kita memang berkelayakan. Berkelayakan daripada segi kelulusan, berkelayakan daripada segi pengalaman. Perkhidmatan Awam kita memang diiktiraf daripada segi khidmat bakti dalam dan luar negeri. Perkhidmatan Awam kita bukan sahaja terkenal di dalam negara malah sudah mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa. Pengiktirafan telah jelas diberi menerusi perlantikan ahli-ahli Perkhidmatan Awam kita oleh Badan-badan Antarabangsa serta dilantik menerajui perbincangan- perbincangan serta mesyuarat-mesyuarat antarabangsa. Pandangan-pandangan bernas mereka ini sering disanjung dan diterima. Dan Perkhidmatan Awam kita sudah menjadi contoh banyak negara asing dan mereka sering menghantar pegawai mereka untuk dilatih di sini. Adakah ini mencukupi? Nampaknya secara `on the surface' ianya sesuatu yang amat positif. Adakah ini juga mencukupi? Sebenarnya apa yang diperlukan juga ialah penghargaan dan pengiktirafan menyeluruh oleh awam, serta kepercayaan yang merangkumi keseluruhan perkhidmatan dari kaca mata awam. Ini yang juga patut dikejar. 5. Perkhidmatan Awam diberi kuasa untuk menjalankan tugas-tugas mereka. Kuasa-kuasa ini mungkin sedikit, mungkin banyak, namun kuasa yang diberi sebenarnya adalah amanah dan perlu diguna dengan penuh tanggungjawab. Kuasa dan amanah ini memberi Perkhidmatan Awam kekuasaan ke atas rakyat biasa dan rakyat biasa mempercayai Perkhidmatan Awam akan menjalankan tugasnya dengan adil, saksama dan berkesan. Kepercayaan ini amat mustahak. Justeru itu Perkhidmatan Awam mempunyai `moral obligation' untuk mengekal kepercayaan ini. Bagi menjamin kepercayaan atau `trust' ini berkekalan anggota Perkhidmatan Awam perlu mempunyai prinsip hidup yang terbaik dan moral yang tidak boleh dipertikaikan. Ini adalah bagi menangkis kemungkinan tohmahan-tohmahan rasuah atau amalan buruk laku yang akan menjejaskan perkhidmatan. Perlu dinyatakan juga bahawa Perkhidmatan Awam yang mempunyai integriti dan moral yang suci bersih akan mewujudkan suatu masyarakat yang juga berintegriti dan berhemah tinggi. Sejarah sering mencerminkan bagaimana masyarakat dan negara- negara terdahulu tumbang kerana perkhidmatan awam yang tiada mempunyai integriti dan hemah yang terpuji. 6. Saya rasa apa yang terdapat di negara ini sekarang membanggakan. Nilai-nilai positif dan amalan-amalan yang penuh beretika di kalangan Perkhidmatan Awam sering kali menjadi tunggak kestabilan negara. Dengan itu, saudara-saudari yang terlibat secara langsung dalam mewujudkan keadaan ini bolehlah secara senyap menepuk belakang dan mengucapkan tahniah serta syabas ke atas sumbangan saudara-saudari terhadap keadaan ini. Sudah tentu saya ucap tahniah dan syabas kepada semua anggota Perkhidmatan Awam. 7. Nampaknya pada tahun ini kita telah mengalami cabaran yang amat besar. Kita telah dibawa ke dalam kancah geledakan ekonomi yang tidak pernah kita alami. `Consolation' yang kita hadapi adalah bukan kita sahaja malah keseluruhan ekonomi dunia berkocak kerana apa yang diperbuat oleh pihak-pihak tertentu. Implikasi dan kesan ke atas kita, sama ada pemerintah atau masyarakat umum memang diketahui oleh kita semua. Ekonomi kita menghadapi cabaran demi cabaran. Pengukuhan ekonomi kita bagi membawa balik kepada keadaan yang sebelum menjadi keutamaan kita. Saudara-saudari tentu lebih peka dengan keadaan ini dan saya percaya terlibat secara langsung dan tidak langsung di dalam usaha-usaha memulih kembali ekonomi negara ke tahap sebelum serangan ke atas matawang kita berlaku. Dalam pertemuan saya dengan semua Ketua Setiausaha baru-baru ini saya telah jelaskan tentang apa sebenarnya yang telah dan sedang berlaku serta kemungkinan-kemungkinan yang akan menimpa kita jika kita gagal dalam usaha kita menangani tekanan- tekanan terhadap negara kita. Saya gembira dan berbangga dengan sokongan yang telah diperakui oleh Ketua Setiausaha-Ketua Setiausaha terhadap rancangan dan pendekatan kita bagi mempertahankan negara kita. Saya yakin bahawa apa yang telah dijanji oleh Ketua Setiausaha-Ketua Setiausaha sebagai pengetua Kementerian masing-masing akan ditunaikan oleh semua anggota Perkhidmatan Awam. 8. Strategi untuk kita menangkis dan melumpuhkan kesan hasil penyerang-penyerang matawang ke atas kita sudahpun kita rancang. Strategi ini memerlukan peningkatan daya saing kita dalam pasaran antarabangsa -- memerlukan kita mengawal harga dan perbelanjaan dalam negeri dengan pengurangan import dan pembaziran yang melibatkan matawang asing, memerlukan kita meningkatkan eksport kita ke tahap yang tertinggi sekali untuk menghapuskan defisit imbangan bayaran bahkan untuk mencapai lebihan dalam imbangan bayaran, mempertingkat produktiviti dan kualiti supaya menjadikan barangan kita lebih laris dan menambah keuntungan, menaikkan pengetahuan dan tahap kecekapan kita, menghapuskan segala jenis rasuah yang menghalang kejayaan negara. 9. Dalam semua ini Perkhidmatan Awam tetap mempunyai peranan yang amat penting. Perkhidmatan Tadbir Awam (PTA) perlu cipta dan dirikan jentera dan mengurusnya serta melaksana segala dasar dan tindakan yang dirancang dan dipersetujui. 10. Penubuhan dan susunan Majlis Tindakan Ekonomi Negara atau NEAC sebagai badan yang dilengkapi dengan bilik operasi serta alatan-alatan termasuk komputer yang boleh memberi maklumat yang terkini serta maklumat dan angka-angka yang diperlukan adalah tanggungjawab dan urusan Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik (PTD). Pegawai yang akan ditugaskan menyelenggara Bilik Operasi NEAC dan urusannya adalah juga tanggungjawab PTD. Demikian juga di peringkat negeri. 11. Berjaya atau tidaknya NEAC dan operasinya bergantung kepada kecekapan pengurusan ahli-ahli PTD. Saya ingin tegaskan bahawa kempen kita untuk meningkatkan daya saing kita di pasaran dunia yang akan menentukan negara kita tidak lumpuh kerana serangan oleh pedagang-pedagang matawang banyak bergantung kepada semua matlamat NEAC dicapai pada tahap yang tertinggi. 12. Kita semua perlu berkorban. Anggota Kerajaan akan menjadi contoh dalam pengorbanan yang perlu dibuat demi negara, demi bangsa dan demi kesejahteraan dan keselamatan kita. Contoh pengorbanan ini perlu dicerminkan oleh semua anggota PTD. Kita harus sanggup kerja siang-malam, kerja lebih kuat, kerja secara lebih produktif tanpa rungutan kerana kita kerja bukan hanya untuk upah atau kerana diupah tetapi kerana negara, bangsa dan agama kita. Jika kita gagal maka kita tidak lagi akan dapat menguasai dan menentukan nasib kita. Orang lain yang akan menguasai dan menentukannya. Secara tidak langsung kita akan kehilangan kebebasan, kemerdekaan kita. Walaupun kita mungkin disogok sehingga menjadi lebih kaya, lebih mewah tetapi kita akan diletak di bawah telunjuk orang lain. Kita tidak lagi akan menjadi Tuan dalam rumah dan negara kita sendiri. Inilah nasib yang akan menimpa kita jika kita utamakan kepentingan diri lebih daripada keperluan negara. Percayalah nasib kita berkait rapat dengan nasib negara kita. Jika negara bebas, kita bebas. Jika negara dikuasai orang lain, sama ada secara langsung atau tidak, kebebasan kita akan terjejas. Kita akan dihina. Dan kita akan hilang maruah kita. 13. Hari ini kita sudah diberi rasa pahit-maung penindasan oleh orang lain. Dalam negara yang dikuasai diktator yang berkuasa penuh, sebarang teguran akan terus dibalas dengan tindakan kejam terhadap yang menegur. Dalam beberapa bulan ini kita dapat lihat dan rasa tindakan bengis ke atas kita apabila sahaja kita menyuarakan teguran. Mereka menentukan nilai matawang kita diturunkan dengan serta-merta. Tiap kali kita perkatakan sesuatu yang mereka tidak ingin dengar, nilai matawang kita diturunkan dan kita menjadi lebih miskin. Sekarang mereka ugut pasaran kita dengan memperingati kita kepada siapa kita bergantung untuk pelaburan dan pasaran. 14. Kita hidup dalam dunia yang semakin tersekat kebebasan, dunia di mana undang-undang dan dasar berat sebelah dikuatkuasakan, dunia `double-standard', satu untuk satu pihak dan satu untuk pihak lain. Inilah hakikat yang sebenar. Dan kita perlu susun langkah supaya kita bukan sahaja `survive', tetapi terus kukuh dan kuat. Untuk ini kita perlu tingkatkan sumbangan khidmat kita dan kesanggupan berkorban oleh kita supaya kita dapat menghadapi segala cabaran. 15. Insya-Allah, dengan korban dan dedikasi kita, negara akan terus bebas dan berjaya. 16. Saya bagi pihak Kerajaan ucap berbanyak terima kasih kepada PTD yang telah memberi khidmat yang cemerlang dan saya yakin akan sanggup bekorban bagi agama, bangsa dan negara. |