Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD Tempat/Venue : PUSAT DAGANGAN DUNIA PUTRA, KUALA LUMPUR Tarikh/Date : 18/12/97 Tajuk/Title : MAJLIS PENYAMPAIAN ANUGERAH KECEMERLANGAN INDUSTRI 1. Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak penganjur kerana menjemput saya ke Majlis Penyampaian Anugerah Kecemerlangan Industri ini. Semoga kejayaan ini akan mendorong mereka untuk meningkatkan lagi usaha bagi terus mencapai prestasi cemerlang dan kejayaan dalam bidang-bidang yang diceburi di masa hadapan. 2. Ketika kita sedang menghadapi masalah ekonomi adalah penting semua pihak -- industri, kerajaaan dan orang awam -- bekerjasama rapat untuk membina benteng yang teguh bagi menangkis segala ancaman yang dihadapi. Dalam masa yang sama, semua pihak perlulah berganding tenaga dan usaha meningkatkan produktiviti dan daya kompetitif negara bagi memanfaatkan negara daripada peluang yang timbul di sebalik permasalahan yang dihadapi. Sekiranya mana-mana pihak tidak bersedia bekerjasama atau sengaja mengambil kesempatan daripada situasi yang bermasalah ini, kerana kepentingan jangka pendek diri masing-masing, akhirnya semua pihak akan menerima akibatnya dan ketahanan ekonomi serta keutuhan negara akan tergugat. Kita telah melihat di negara lain, yang menghadapi masalah ekonomi, di mana golongan perniagaan dan politik bertelagah sesama sendiri, yang akhirnya membawa kepada kelemahan dalam mengatasi masalah yang merugikan negara. Kita haruslah sedar bahawa selagi kita bekerjasama dan menguatkan azam serta ketekunan memperbaiki diri sendiri, dalam apa jua bidang, kita akan lebih berupaya menghadapi dan mengatasi apa jua permasalahan yang dihadapi negara. 3. Oleh kerana industri merupakan sektor terpenting dalam pertumbuhan ekonomi negara, adalah amat mustahak industri mengambil langkah-langkah strategik mempastikan prestasinya terus utuh dan tidak tergugat dengan cabaran ekonomi yang dihadapi kini. Ini bermakna industri perlulah memperlengkap dan memperkukuhkan kedudukan dan prestasi setiap syarikat dan firma dalam semua sektor. Persatuan-persatuan industri perlu lebih aktif dalam mengesan masalah-masalah yang mungkin dihadapi oleh ahli-ahli dan merumuskan langkah-langkah yang wajar untuk mengatasinya. Di mana perlu maklumat yang benar mestilah disampaikan kepada Kerajaan supaya kita dapat sama-sama mengatasi kesulitan yang dihadapi. 4. Aspek pengawalan kos perlu diberi perhatian dalam menghasilkan barang atau perkhidmatan. Penyusutan nilai Ringgit mengakibatkan kos input dan komponen yang diimport menjadi lebih mahal. Bagi menjimatkan kos, pengeluar perlulah sedapat mungkin mengalihkan pembelian input dan komponen kepada sumber bekalan tempatan yang tidak kurang kompetitif. Cara ini juga akan dapat menjimatkan pertukaran asing dan memperbaiki imbangan pembayaran negara. 5. Dunia perniagaan adalah dinamik dan sentiasa berubah. Barang yang dikeluarkan atau perkhidmatan yang disediakan pada hari ini mungkin tidak lagi diperlukan atau diperlukan dalam bentuk lain oleh pengguna pada hari esok. Kita tidak dapat menyekat arus perubahan. Salah satu arus utama dunia perniagaan sekarang ialah proses globalisasi dan liberalisasi. Industri tidak dapat dilindungi, malah perlu bersama arus tersebut. Industri perlu bersedia beroperasi dan bersaing dalam dunia perniagaan yang lebih luas dan terbuka. 6. Proses globalisasi memaksa syarikat memberi fokus kepada produk atau perkhidmatan yang boleh memenuhi ciri- ciri yang dikehendaki oleh pengguna di pasaran dunia daripada segi kualiti dan harga. Proses liberalisasi pula membawa implikasi bahawa, walaupun produk atau perkhidmatan yang dikeluarkan tidak dieksport, persaingan dari pengeluar asing di pasaran tempatan masih akan dihadapi, memandangkan bahawa proses liberalisasi melibatkan penurunan atau penghapusan sekatan-sekatan, sama ada dalam bentuk tarif atau bukan tarif, yang dahulunya didirikan untuk melindungi industri tempatan. Proses liberalisasi ini tertakluk kepada peraturan-peraturan dan jadual pelaksanaan tertentu yang telah dipersetujui oleh Malaysia di bawah Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) dan juga kumpulan perdagangan serantau ASEAN dan secara bersendirian termasuk di bawah APEC. Walaupun terdapat beberapa kelonggaran yang bersifat sementara bagi Malaysia dalam melaksanakan proses liberalisasi tersebut, pada akhirnya pasaran tempatan dan pengeluar tempatan akan menghadapi persaingan sepenuhnya daripada pengeluar asing. 7. Industri perlulah melengkapkan diri menghadapi persaingan tersebut daripada sekarang. Industri yang bergantung kepada pasaran domestik yang terlindung semata-mata tidak akan berupaya bertahan dan bersaing apabila berhadapan dengan pesaing-pesaing dari luar negeri yang jauh lebih teguh dan berkeupayaan. Pertumbuhan dan `survival' industri akan bergantung kepada keupayaan industri untuk mempertingkat dan memodenkan operasi syarikat ke tahap yang sekurang- kurangnya sama dengan pesaing. Oleh itu industri perlu mengubah pendekatan operasi mereka kepada pendekatan secara global, tanpa mengira sama ada mereka mengeluarkan barang untuk pasaran tempatan ataupun untuk eksport. Sekiranya saiz operasi merupakan satu halangan untuk meningkatkan daya saing, industri perlulah mencari jalan mengatasi halangan tersebut, umpamanya melalui penyatuan, usaha bersama atau perkongsian pintar. 8. Pertumbuhan ekonomi negara selama ini lebih berteraskan penggunaan faktor pengeluaran daripada berteraskan produktiviti. Pelaburan telah merupakan faktor utama dalam menggerak dan meningkatkan pertumbuhan. Memandangkan bahawa di masa akan datang, persaingan untuk mendapatkan pelaburan akan menjadi lebih sengit, penekanan perlu diberikan kepada produktiviti, khususnya faktor produktiviti keseluruhan (total factor productivity - TFP), bagi menerajui pertumbuhan. TFP yang lebih menekankan `knowledge', cara pelaksanaan dan pengawasan yang lebih efisien bagi mencapai `efficiency' dan produktiviti faktor pengeluaran, akan menjadi teras pembangunan ekonomi. Untuk menjayakan pendekatan ini, industri perlu mengambil langkah-langkah tertentu, seperti meneliti semula sistem pengurusan, mengutamakan aktiviti penyelidikan dan pembangunan, melaksanakan otomasi, menggunakan teknologi maklumat dan meningkatkan kecekapan sumber manusia melalui latihan dan latihan semula. 9. Industri yang tidak berorientasikan eksport perlu mengurangkan pergantungan kepada buruh asing yang kebanyakannya tidak mahir dan kurang produktif. Pergantungan ini tidak membawa kepada peningkatan produktiviti. Operasi pengeluaran perlu diubahsuai untuk menjimatkan penggunaan buruh yang sedemikian. Sebalikya industri perlu melatih buruh berilmu dan berkemahiran untuk membolehkan industri beralih kepada pengeluaran nilai ditambah yang lebih tinggi dan peningkatan penggunaan teknologi. 10. Industri perlu lebih peka terhadap penggunaan dan aplikasi teknologi baru dan teknologi yang dipertingkat bagi mencetuskan inovasi dalam industri dan memperkukuhkan asas teknologi negara. Pelaburan dalam teknologi perlu dipertingkatkan. Berbagai-bagai kemudahan telah disediakan oleh Kerajaan bagi membantu industri memperolehi teknologi yang bersesuaian, termasuk Skim Tabung Komersilisasi Penyelidikan dan Pembangunan untuk mengkomersilkan hasil penyelidikan ahli penyelidik tempatan dan Tabung Perolehan Teknologi untuk memudahkan pemilikan teknologi strategik dari luar negeri oleh industri tempatan. Peluang kemudahan ini perlulah dimanfaatkan sepenuhnya oleh industri. 11. Walaupun ekonomi negara menghadapi tekanan dan cabaran, sektor perkilangan telah menunjukkan prestasi yang meyakinkan. Sektor ini telah berkembang pesat dan telah menyumbangkan sebanyak 78.2 peratus kepada jumlah pendapatan eksport negara bagi tempoh tujuh bulan pertama tahun ini, berbanding dengan 56.8 peratus pada tahun 1990. Perkembangan sektor perkilangan diterajui oleh pertumbuhan industri berorientasikan eksport yang telah mencatatkan pertumbuhan keluaran sebanyak 13.3 peratus dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun ini, berbanding dengan 11.4 peratus dalam tempoh yang sama tahun lalu. Kerajaan yakin sektor perkilangan akan terus berupaya menunjukkan prestasi yang diharapkan dan terus menjadi penggerak penting dalam proses pembangunan ekonomi negara. 12. Di samping sektor perkilangan, sektor perkhidmatan juga perlu dibangunkan sebagai satu sektor yang produktif, berdaya saing dan yang berasaskan sumber kepakaran dan perkhidmatan profesional tempatan. Pada masa sekarang, negara banyak bergantung kepada sumber kepakaran dan perkhidmatan profesional luar negara, yang mengakibatkan pengaliran keluar pertukaran asing. Keadaan ini perlu diperbaiki. Sektor perkhidmatan perlu diperkukuhkan agar ianya dapat menyumbangkan secara berkesan kepada pertumbuhan ekonomi dan pembetulan imbangan pembayaran negara. 13. Salah satu `senjata' yang boleh meningkatkan produktiviti dan daya saing industri ialah teknologi maklumat (IT). Penggunaan IT dalam perniagaan telah menjadi semakin meluas. Mereka yang gagal menguasai dan menggunakan IT akan menghadapi masa depan dunia perniagaan yang sempit dan tidak berkembang. Pembangunan Koridor Raya Multimedia (MSC) perlu diceburi dan dimanfaatkan bersama oleh syarikat tempatan. Syarikat tempatan perlulah merebut peluang yang dihasilkan oleh MSC daripada segi pembangunan perisian multimedia, peralatan otomasi, robotik dan perkakasan (instrumentation). 14. Di samping memperlengkapkan kemahiran dan kepakaran teknikal, industri juga perlu mengutamakan disiplin diri dan menghayati amalan-amalan perniagaan yang beretika. Dalam hal ini, industri perlu mengelakkan diri daripada melakukan amalan yang boleh membawa kepada keuntungan yang tidak wajar (profiteering). Kerajaan sentiasa mengesan dan mengawasi aliran pergerakan harga barang dan perkhidmatan di seluruh negara dan tidak akan teragak-agak menghukum mereka yang didapati melakukan amalan `profiteering'. 15. Menjelang abad ke-21, negara memerlukan lebih ramai usahawan yang mempunyai pemikiran strategik dan berilmu pengetahuan dalam bidang perniagaan bagi menghadapi persaingan global. Usahawan ini harus berani menghadapi risiko untuk menceburkan diri dalam bidang-bidang baru dan pasaran-pasaran bukan tradisional. Usahawan ini perlu agresif, menggunakan kaedah dan amalan perniagaan yang terkini dan dapat memanfaatkan sepenuhnya peluang - peluang perniagaan yang ada seperti meneroka dalam industri teknologi maklumat dan multimedia. Golongan usahawan baru ini ialah usahawan-tekno (techno- entrepreneurs), iaitu ahli perniagaan yang dapat menggabungkan kemahiran menggunakan teknologi dengan kemahiran menguruskan syarikat. 16. Kecemerlangan merupakan satu sasaran yang dinamik dan tidak statik, malahan tafsiran bagi maksud kecemerlangan akan terus menjadi lebih kompleks serta ukuran pencapaian kecemerlangan akan terus meningkat pada tahap yang lebih tinggi. 17. Melalui anugerah ini, diharapkan industri dapat mengekalkan keupayaan untuk meningkatkan produktiviti mereka dengan menggabungkan secara bijak sumber pengeluaran yang sedia ada dan mampu bersaing dengan lebih hebat dalam usaha untuk membangunkan industri ke peringkat global. Pendekatan ini memerlukan industri menerap dan mempraktikkan budaya kecemerlangan (culture of excellence) supaya keupayaan dan ketahanan mereka untuk bersaing di pasaran dalam dan luar negeri akan dapat dikekalkan dan seterusnya dipertingkatkan.