home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	PUSAT DAGANGAN DUNIA PUTRA, 
			KUALA LUMPUR 
Tarikh/Date 	: 	18/12/97 
Tajuk/Title  	: 	MAJLIS ANUGERAH KUALITI PERDANA 
			MENTERI DAN SIMPOSIUM KEBANGSAAN 
			KERAJAAN ELEKTRONIK 



     1.    Syukur Alhamdulillah kerana dapat kita sekali  lagi
    berkumpul  untuk meraikan tiga organisasi cemerlang  yang
    telah  terpilih menerima Anugerah Kualiti Perdana Menteri
    bagi  tahun  1997  dan seterusnya bersama-sama  menyertai
    Simposium mengenai Kerajaan Elektronik.
    
    2.    Saya  ucapkan  syabas kepada  ketiga-tiga  penerima
    Anugerah  Kualiti Perdana Menteri pada kali ini.   Selain
    merupakan  pengiktirafan  Kerajaan  kepada  agensi  awam,
    swasta  dan badan sosial-ekonomi yang cemerlang, anugerah
    ini  diharapkan  akan  memupuk semangat  persaingan  yang
    sihat.
    
    3.    Kejayaan  ketiga-tiga  organisasi  ini  membuktikan
    kesungguhan mereka untuk sentiasa cemerlang dalam  bidang
    masing-masing.   Kecemerlangan  mereka  perlu   dijadikan
    teladan  kepada  yang lain.  Pembelajaran  yang  berkesan
    ialah  mengikut  jejak mereka yang telah  berjaya  kerana
    dalam  usaha  mencapai kejayaan tersebut,  berbagai-bagai
    dugaan   dan  ranjau  telah  dilalui,  malah  setengahnya
    pernah  mengalami  kegagalan.   Daripada  pengalaman  ini
    kita  bukan sahaja dapat belajar daripada kekuatan mereka
    yang berjaya tetapi juga kesilapan yang telah dilakukan.
    
    4.    Hakikat  ini  adalah benar dalam semua  bidang  dan
    relevan  kepada  semua  bentuk  organisasi  malah  kepada
    sesebuah  negara.  Kita terpesona dengan  kejayaan  Jepun
    yang  telah bangkit daripada kekalahan yang paling teruk.
    Jepun  berusaha  dengan cekal dan  terus  membina  semula
    negara  mereka sehingga menjadi contoh bagi banyak negara
    lain.   Dalam  proses  menuju kejayaan  ini,  Jepun  juga
    mempelajari   daripada  pengalaman  negara   yang   lebih
    berjaya  pada masa itu, seperti Amerika Syarikat.   Jepun
    dengan  tekun  menerima setiap ilmu dan  pengalaman  yang
    boleh  dimanfaatkan.  Jepun tidak hanya menjadi  pengikut
    secara  membuta-tuli.  Mereka mengkaji, menilai dan  yang
    lebih  penting mengubahsuai ilmu dan pengalaman  tersebut
    supaya  hasilnya  adalah  yang terbaik  mungkin.   Mereka
    menerima  konsep QCC dan TQM yang dipelopori  oleh  Barat
    tetapi  mengolah  dan  menyesuaikannya  dengan  keperluan
    serta  budaya  kerja mereka.  Mereka pintar dan  inovatif
    dalam  menambah  nilai  teknologi yang  dipelajari  untuk
    mengeluarkan  barangan yang lebih menarik dan  berkualiti
    tinggi.   Berasaskan prinsip kaizen,  Jepun  tidak  jemu-
    jemu  berusaha  meningkatkan  kecemerlangannya  sepanjang
    masa.   Dengan tekad untuk menjadi jaguh, akhirnya  Jepun
    berjaya melonjak ke mercu ekonomi dunia.
    
    5.     Contoh   kejayaan  Jepun  ini   memberi   beberapa
    pengajaran  kepada  kita.  Pertama,  kita  harus  belajar
    daripada  mereka yang telah berjaya.  Kedua,  kita  harus
    menambahnilai  ilmu  dan pengalaman yang  diperolehi  dan
    memanfaatkannya  mengikut  acuan  kita  sendiri,  secocok
    dengan visi dan aspirasi kita yang berteraskan nilai  dan
    budaya  masyarakat  dan organisasi  kita.   Ketiga,  kita
    harus  mempunyai cita-cita yang tinggi dan matlamat  yang
    jelas.    Satu  lagi  pengajaran  ialah  bahawa  sesebuah
    organisasi  atau negara mungkin menjadi jaguh  pada  satu
    ketika  tetapi mungkin kecundang pada ketika  yang  lain.
    Keadaan  ini  boleh  berlaku kerana kealpaan  dan  tabiat
    mudah puas hati dengan kejayaan yang dicapai.
    
    6.    Jelaslah bahawa kecemerlangan yang berterusan hanya
    wujud   kepada  organisasi  yang  sentiasa  peka   kepada
    perubahan.  Mereka berupaya mengalih haluan dengan  cepat
    dan  mengembleng  usaha secara tersusun  serentak  dengan
    arus  perubahan  tersebut.  Di sinilah pentingnya  setiap
    organisasi  sentiasa kritis terhadap  hubungannya  dengan
    persekitaran  dan  sentiasa  menyoal  tentang  relevannya
    usaha  mereka  dengan  apa yang  berlaku  di  sekeliling.
    Organisasi  yang  berjaya mengambil  berat  kehendak  dan
    keperluan  pelanggan.  Standard kualiti perkhidmatan  dan
    barangan   yang   disediakan  perlu  disesuaikan   dengan
    citarasa  dan  kehendak pelanggan yang sentiasa  berubah.
    Penentuan standard kualiti ini perlu dilaksanakan  secara
    sistematik  dan berpandukan kaedah-kaedah  yang  diterima
    umum  seperti  siri standard ISO 9000.   Bagi  memastikan
    standard   sentiasa  berada  pada  tahap  terbaik,   maka
    organisasi  terpaksa mengkaji semula dan menilai  proses-
    proses   yang   berkenaan.   Penambahbaikan   ini   boleh
    diasaskan  melalui ukurtakat atau `benchmarking'.   Malah
    setengahnya  pula memerlukan rombakan semula  keseluruhan
    proses.     Di   sinilah   pentingnya   konsep   `process
    reengineering' untuk menghasil `breakthrough' yang  telah
    banyak   diamalkan  oleh  syarikat-syarikat  besar   yang
    pernah  digugat oleh kemerosotan bisnes atau yang  pernah
    dikalahkan   dalam   persaingan.    Melalui   peningkatan
    kualiti    yang   berterusan   inilah   syarikat-syarikat
    tersebut  berupaya mengekalkan prestasi  dan  daya  saing
    yang tinggi dan sukar ditandingi.
    
    7.    Sementara kita harus belajar daripada  mereka  yang
    berjaya,  kita  juga  patut  mengambil  iktibar  daripada
    kekalahan.   Kekalahan  bukan  bermakna  tidak   langsung
    berjaya.   Kekalahan  harus  dijadikan  pengajaran  untuk
    perjuangan    yang   lebih   gigih.    Kekalahan    patut
    memuncakkan   semangat   baru.    Kita   patut   menerima
    kegagalan  sebagai  ukuran pencapaian dan  berazam  untuk
    terus  berusaha sehingga menjadi johan.  Kita patut terus
    bersaing  dan  mengambil peluang untuk  mendapat  manfaat
    daripada  penyertaan dalam persaingan itu sendiri.   Kita
    patut  mempunyai keyakinan kepada keupayaan diri  sendiri
    untuk meningkatkan prestasi kita sepanjang masa.
    
    8.     Kita   menempa  kejayaan  yang  dinikmati   negara
    sekarang  kerana  kita  yakin bahawa  kita  boleh.   Kita
    sanggup  mencuba  sesuatu yang baru  dan  besar  walaupun
    setengah   pihak   menganggapnya   angan-angan.    Dengan
    ketabahan  dan  keyakinan  yang tinggi  kepada  keupayaan
    kita,   akhirnya   sesuatu  yang  tidak  dijangka   boleh
    dicapai.  Banyak contoh yang kita telah saksikan.
    
    9.     Apabila  kita  bercita-cita  mengeluarkan   kereta
    nasional,  ada pihak yang senyum sinis meragui  kebolehan
    kita.    Kesangsian   mereka  akhirnya   terbukti   tidak
    berasas.    Dengan   kegigihan  dan  kesediaan   menerima
    risiko,  kita  berjaya mengeluarkan kereta nasional  yang
    amat  popular dan dapat menguasai pasaran otomobil  dalam
    negeri  malah  berjaya menembusi pasaran beberapa  negara
    termasuk negara maju.
    
    10.   Dahulu  kita terpesona dengan kecanggihan  komputer
    dan  kebijaksanaan negara-negara maju menerokai teknologi
    multimedia. Kita mengekorinya dengan tekun dan  mengikuti
    perubahan  pesat teknologi maklumat ini.   Akhirnya  kita
    bertekad  untuk  membangunkan koridor multimedia  sendiri
    untuk  dijadikan medan bagi kita menjana, mengembang  dan
    mengguna  teknologi maklumat secara terancang.  Inisiatif
    ini  diusahakan kerana kita yakin bahawa kita tidak boleh
    selama-lamanya menjadi pemerhati atau pengguna  teknologi
    yang  berkembang  pesat  ini.  Kita  yakin  bahawa  orang
    Malaysia  berupaya untuk belajar dan seterusnya menguasai
    bidang  ini seperti juga bangsa-bangsa lain.  Kita  yakin
    bahawa   kita   boleh  mencipta  dan  membangun   sendiri
    berbagai-bagai  aplikasi  supaya  kita  dapat   menyertai
    negara-negara  yang  lebih  maju  dalam  menghadapi   era
    `global  village'  yang bercirikan  perkongsian  maklumat
    berteknologi canggih.
    
    11.   Saya  berbangga bahawa sikap yakin  pada  keupayaan
    diri  sendiri  yang dipupuk di kalangan  Bangsa  Malaysia
    telah   semakin  menyerlah.   Semangat  baru  ini   telah
    memungkinkan matlamat yang dihasratkan tercapai.
    
    12.   Tidak ada yang mustahil jika kita tidak membelenggu
    minda   dengan   paradigma  sempit  atau  dihantui   oleh
    kompleks  rendah diri.  Ia juga membuktikan  bahawa  jika
    kita  yakin kepada keupayaan diri, kita tidak akan gentar
    untuk  mencuba sesuatu yang baru atau menghadapi apa  jua
    bentuk saingan.
    
    13.   Pada  hari  ini, selain meraikan  pemenang-pemenang
    Anugerah  Kualiti  Perdana Menteri, kita  akan  sama-sama
    memperkemaskan   lagi   kefahaman  mengenai   pelaksanaan
    Kerajaan  Elektronik,  salah satu `flagship  application'
    penting  dalam  pembangunan  MSC.   Pelaksanaan  Kerajaan
    Elektronik  menjanjikan satu perubahan  dalam  cara  kita
    mengurus  dan mentadbirkan Kerajaan.  Malah ia  merupakan
    lonjakan  besar  dalam  gerakan kualiti  dan  usaha  kita
    mewujudkan   perkhidmatan  yang   lebih   berorientasikan
    pelanggan.
    
    14.   Pelaksanaan Kerajaan Elektronik amat penting kepada
    persediaan   kita  memasuki  alaf  baru  dan   menghadapi
    cabaran  era  teknologi  maklumat  dan  multimedia   yang
    semakin  pesat berkembang. Justeru itu kita  perlu  terus
    memberi   tumpuan  utama  kepada  program   ini.    Dalam
    Belanjawan  1998, Kerajaan telah memperuntukkan  sejumlah
    RM400  juta  untuk pembangunan teknologi dan  pelaksanaan
    Kerajaan Elektronik ini.
    
    15.   Pembangunan  teknologi  maklumat  di  agensi-agensi
    Kerajaan   sebenarnya   telah   lama   bermula.    Jumlah
    peruntukan bagi maksud ini telah meningkat dari tahun  ke
    tahun.   Pada tahun 1987 umpamanya Kerajaan membelanjakan
    sebanyak  RM47.4  juta  untuk program  pengkomputeran  di
    agensi-agensi   Kerajaan.   Angka  ini  meningkat   lebih
    sembilan  kali  ganda iaitu kepada RM429.9  juta  sepuluh
    tahun  kemudian.  Dalam Rancangan Malaysia  Keenam  pula,
    sejumlah RM 1.36 bilion telah diluluskan bagi projek  dan
    perolehan  teknologi maklumat.  Hasil daripada  pelaburan
    ini  telah  menunjukkan peningkatan dalam  mempercekapkan
    urusan  pentadbiran Kerajaan.  Tetapi  kita  masih  belum
    berpuashati   kerana   masih  banyak   potensi   daripada
    pembangunan  teknologi maklumat terkini yang masih  belum
    kita   manfaatkan.    Itulah  sebabnya   kita   mengambil
    inisiatif yang lebih besar dan menyeluruh.
    
    16.   Kerajaan Elektronik menjangkau lebih jauh  daripada
    semata-mata   menggunakan  komputer  di  pejabat-pejabat.
    Visinya  lebih  tinggi  merangkumi konsep  hubungan  yang
    lebih  bermakna  antara petugas-petugas  dalam  Kerajaan,
    Kerajaan  dengan  rakyat dan Kerajaan  dengan  masyarakat
    perniagaan.   Matlamatnya lebih  besar  daripada  semata-
    mata   meningkatkan   kualiti  dan  produktiviti   tetapi
    merangkumi  hasrat  untuk  mewujudkan  persekitaran  yang
    menggalakkan   perkongsian   pintar   dalam   pembangunan
    teknologi  maklumat negara. Visi ini tentunya  memerlukan
    usaha yang lebih gigih, terancang dan bersepadu.
    
    17.   Bagaimanapun usaha kita sebelum ini tidak  sia-sia.
    Kejayaan  kita  membangunkan program  pengkomputeran  dan
    infrastruktur   asas  selama  ini   sudah   tentu   dapat
    menyediakan   asas   yang  penting   kepada   pelaksanaan
    Kerajaan  Elektronik.  Kita juga melihat  semakin  banyak
    agensi  Kerajaan  yang  telah mula menggunakan  teknologi
    maklumat  dalam  melaksanakan fungsi mereka.   Penggunaan
    rangkaian  kawasan  setempat  atau  `local  area  network
    (LAN)'  dan rangkaian jarak jauh atau `wide area  network
    (WAN)'  semakin  meluas.  Banyak  pula  yang  telah  mula
    beralih  kepada teknologi pelanggan-pelayan atau `client-
    server'  untuk menggantikan komputer kerangka utama  yang
    tinggi  kosnya.  Beberapa sistem yang lebih cekap seperti
    Sistem  Maklumat Geografi atau GIS telah digunakan  untuk
    mempercepatkan   urusan  pentadbiran  tanah,   pertanian,
    perhutanan  dan perancangan bandar dan desa.   Penggunaan
    teknologi  imejan  juga telah semakin berkembang.   Dalam
    usaha memperkemaskan sistem kewangan, khususnya di badan-
    badan  berkanun,  pakej `Standard Accounting  System  for
    Government  Agencies'  atau SAGA  terbukti  berkesan.  Di
    pusat-pusat   pengajian   tinggi   pula,   hampir   semua
    rangkaian   kampus  telah  menggunakan  tulang   belakang
    gentian  optik  dan  teknologi  ATM.   Terdapat  juga  di
    kalangan   institusi  ini  yang  telah  mula   menawarkan
    program-program pengajian jarak jauh melalui  persidangan
    video.
    
    18.   Dalam  pembangunan infrastruktur, projek  Rangkaian
    Telekomunikasi  Bersepadu Kerajaan  atau  GITN  misalnya,
    merupakan  salah  satu infrastruktur telekomunikasi  yang
    amat  berfaedah  kepada pelaksanaan Kerajaan  Elektronik.
    Keupayaannya   mengintegrasikan   keperluan    komunikasi
    Kerajaan  dengan  menggunakan teknologi  multimedia  akan
    dapat  menyediakan kemudahan kepada sistem maklumat  yang
    diperlukan  oleh  pusat  pentadbiran  baru  di  Putrajaya
    nanti.
    
    19.   Untuk mencapai matlamat Kerajaan Elektronik,  masih
    banyak  yang  perlu  dilakukan.   Peraturan,  sistem  dan
    prosedur kerja yang ada sekarang perlu diubahsuai  dengan
    mengambil  kesempatan daripada potensi dan  faedah-faedah
    aplikasi   multimedia  yang  baharu.    Ini   termasuklah
    pelaksanaan  `proses re-engineering' yang  sesuai  dengan
    keperluan dan persekitaran multimedia.  Dengan cara  ini,
    pengguna,  iaitu  rakyat umum dan  masyarakat  perniagaan
    dapat   berurusan  dengan  Kerajaan  secara   elektronik.
    Mereka  boleh  mendapatkan maklumat mengenai perkhidmatan
    Kerajaan  dengan  lebih cepat secara elektronik.   Mereka
    boleh    mengemukakan   permohonan   untuk    mendapatkan
    perkhidmatan  dan  melakukan pembayaran terhadap  sesuatu
    perkhidmatan  secara  lebih mudah.  Teknologi  multimedia
    ini  juga berupaya menyediakan forum di mana orang  ramai
    boleh   berinteraksi  secara  terus  untuk   menyampaikan
    maklum balas atau menyelesaikan sesuatu masalah.
    
    20.   Di  pihak  Kerajaan pula penggunaan  teknologi  ini
    dapat    dimanfaatkan   untuk   meningkatkan    kecekapan
    perkhidmatan  dan  produktiviti.   Pada  peringkat   awal
    mungkin  lebih banyak sumber kewangan dan tenaga  manusia
    diperlukan.   Tetapi kesan jangka panjangnya  akan  dapat
    mengurangkan  kos  seperti kos operasi  dan  perbelanjaan
    emolumen.    Malah  melalui  urusan  yang  lebih   cekap,
    Kerajaan  akan  dapat meningkatkan kutipan hasil  seperti
    cukai  pendapatan,  hasil tanah dan cukai  taksiran  atau
    menambah sumber-sumber pendapatan Kerajaan yang lain.
    
    21.    Satu  lagi  elemen  penting  yang  boleh   menjadi
    pemangkin terhadap pelaksanaan Kerajaan Elektronik  ialah
    penggunaan   teknologi  Internet.   Internet   menawarkan
    banyak  kemudahan jika digunakan dengan bijaksana.   Saya
    sukacita   melihat   semakin   banyak   agensi   Kerajaan
    menggunakan    teknologi   Internet,    misalnya    dalam
    membangunkan  laman  atau  `homepages'  masing-masing  di
    samping    memanfaatkan    kemudahan    Internet     bagi
    meningkatkan kecekapan pengurusan dan pentadbiran.
    
    22.   Sistem  maklumat  rasmi  Kerajaan,  `Civil  Service
    Link'  atau  CSL  telah juga diubahsuai supaya  ia  dapat
    berfungsi  dalam  persekitaran  Internet.   Sistem   yang
    dikenali  sebagai `CSL Gateway' ini menjadi  pintu  masuk
    utama  kepada maklumat Kerajaan melalui saluran Internet.
    Oleh  kerana  kejayaan  `CSL Gateway'  bergantung  kepada
    pembentukan laman jabatan, keputusan telah dibuat  supaya
    semua  agensi  Kerajaan membangunkan laman  masing-masing
    sebelum  tahun 2000.  Saya berharap setiap agensi memberi
    perhatian  kepada usaha ini.  Di samping  itu  saya  juga
    menyeru agar lebih ramai lagi menggunakan `gateway' ini.
    
    23.   Sebagaimana yang telah saya sebutkan tadi, Kerajaan
    telah  menawarkan kepada syarikat-syarikat  swasta  untuk
    mengemukakan cadangan kepada Kerajaan mengenai  cara-cara
    yang  sesuai  bagaimana konsep Kerajaan Elektronik  dapat
    dilaksanakan.   Di  peringkat  permulaan  sebanyak   lima
    projek  printis  Kerajaan Elektronik telah  dikenalpasti,
    iaitu  Perkhidmatan Elektronik untuk Pendaftaran Pemandu,
    Kenderaan,    Pengeluaran   Lesen   dan    Saman    serta
    Perkhidmatan  Pembayaran Bil Utiliti  dan  Maklumat  Atas
    Talian;  Perolehan  Kerajaan  secara  Elektronik;  Projek
    Persekitaran  Generik  Pejabat Elektronik  untuk  Jabatan
    Perdana   Menteri;  Projek  Sistem  Maklumat   Pengurusan
    Sumber  Manusia  dan  Projek  Sistem  Pengesanan.    Saya
    difahamkan  kira-kira  50  cadangan  telah  diterima  dan
    sedang   dibuat   penilaian   terperinci.    Insya-Allah,
    perlantikan  syarikat yang berjaya akan  diumumkan  dalam
    Februari 1998.
    
    24.   Pelaksanan  Kerajaan Elektronik  adalah  satu  fasa
    penting   yang   akan  mengubah  cara   agensi   Kerajaan
    berurusan    dengan   pelanggan.    Melalui   kecanggihan
    teknologi   multimedia,   hampir   semua   urusan   boleh
    dilaksanakan  secara  elektronik.   Sebahagian  kemudahan
    ini   boleh  kita  saksikan  sekarang  misalnya   apabila
    menggunakan   ATM   yang   disediakan   oleh   bank-bank.
    Pelanggan  hanya  perlu sekeping kad serbaguna  dan  satu
    siri  nombor pin yang memberi identiti pengguna.  Borang-
    borang  tidak  lagi diperlukan.  Konsep  berurusan  tanpa
    kertas   inilah   yang   kita  akan  kembangkan   melalui
    penggunaan  kios dan kad serbaguna bagi memudahkan  orang
    ramai  mendapat perkhidmatan dari agensi Kerajaan.   Jika
    kemudahan  ini  dapat  disediakan  secara  meluas,   maka
    kebanyakan    perkhidmatan    yang    diberikan    secara
    tradisional  melalui kaunter-kaunter di jabatan  Kerajaan
    tidak  lagi  diperlukan atau boleh dikurangkan  ke  tahap
    minima.   Seorang  pelanggan yang ingin membaharui  lesen
    memandu  misalnya,  tidak lagi perlu mengisi  borang  dan
    beratur  di  JPJ.   Dia  tidak  lagi  perlu  berinteraksi
    dengan  kerani  di  kaunter tetapi  hanya  perlu  menekan
    beberapa  butang  pada kios, memasukkan kad  serbagunanya
    dan  akan  mendapat  lesen yang diperlukan  melalui  kios
    tersebut.   Begitu  juga dengan perkhidmatan-perkhidmatan
    yang  lain.  Malah cara penyampaian perkhidmatan ini akan
    lebih  canggih  melalui  aplikasi-aplikasi  baru  seperti
    penggunaan  `interactive voice response, interactive  TV'
    dan  komputer peribadi yang menggunakan saluran internet.
    Di  bawah konsep `seamless government', seorang pelanggan
    tidak perlu bersusah-payah untuk memikirkan jabatan  mana
    yang menyediakan perkhidmatan yang mereka perlukan.   Apa
    yang   penting   bagi  mereka  ialah   untuk   memastikan
    perkhidmatan  yang  diperlukan  terdapat  pada  kios  dan
    memaklumkan  kepada  alat tersebut  perkhidmatan  pilihan
    mereka.
    
    25.    Pembaharuan   ini   banyak   implikasinya   kepada
    keseluruhan  pentadbiran  kita.   Amalan  birokrasi  yang
    menekankan kepada pembahagian tugas mengikut fungsi  yang
    khusus  tidak  lagi  relevan.  Fokus  bukan  lagi  kepada
    fungsi  tetapi  kepada  proses.  Hirarki  yang  berlapis-
    lapis  boleh dikurangkan kerana dengan proses yang jelas,
    keputusan  boleh  diprogramkan lebih  awal.   Fail  tidak
    lagi  perlu  bergerak  dari seorang  pegawai  ke  seorang
    pegawai  untuk  menentukan  keputusan.   Cara  ini  bukan
    sahaja  lebih  cepat tetapi lebih telus.  Ketelusan  akan
    menyukarkan  berlakunya penyelewengan.   Di  samping  itu
    sebahagian  besar  kakitangan  boleh  dikurangkan   tanpa
    menjejaskan  kualiti  perkhidmatan.   Kebanyakan  kaunter
    mungkin   tidak   lagi  diperlukan  setelah   `Electronic
    Government'   dilaksanakan  dan   petugas-petugas   boleh
    dilatih untuk melaksanakan tanggungjawab lain yang  lebih
    penting  dan mencabar. Inilah sebahagian daripada senario
    yang  kita  harapkan  berlaku  kepada  pentadbiran  kita.
    Organisasi  awam  tidak  lagi  terikat  dengan   struktur
    birokrasi   yang  terlalu  khusus;  bilangan   anggotanya
    adalah  pada  tahap  optima dan kemahiran  mereka  adalah
    lebih  berbagai-bagai dan luas.  Sistem dan proses  kerja
    lebih  teratur  dan jelas dan dengan itu keputusan  dapat
    dibuat  dengan cepat.  Jika ini berlaku, kita  sebenarnya
    berjaya  meninggalkan model birokrasi lama dan menuju  ke
    arah  satu model baru pengurusan organisasi yang berupaya
    beroperasi dalam persekitaran `virtual'.
    
    26.   Bagi  mencapai matlamat ini, banyak lagi  perubahan
    yang   perlu  dilakukan.   Transformasi  dari   birokrasi
    kepada    `seamless   government'   memerlukan   `process
    reengineering'  dan  bukan  semata-mata  berharap  kepada
    penggunaan komputer dan otomasi.  Rombakan kepada  proses
    ini   perlu   diadunkan   dengan  kecanggihan   teknologi
    terkini.    Oleh  kerana  perubahan  teknologi   bergerak
    begitu  pantas,  maka proses juga perlu berubah  serentak
    dan    secara   berterusan.    Ini   bermakna   mekanisme
    perancangan  dan pelaksanaan usaha-usaha pembaharuan  ini
    perlu   dikaji   semula  dan  ubahsuai   sejajar   dengan
    perubahan   tersebut,  terutama  yang  berkaitan   dengan
    pembangunan  IT  dalam pentadbiran awam.  Seiring  dengan
    itu  usaha  menambah  dan  melatih  tenaga  manusia  bagi
    bidang ini juga perlu diberi keutamaan yang tinggi.
    
    27.    Perubahan  yang  saya  sebutkan  tadi   memerlukan
    struktur  pengurusan IT yang lebih  lengkap.   Pada  masa
    ini   kita   mempunyai  National  Information  Technology
    Council (NITC) yang bertanggungjawab menggubal dasar  dan
    strategi  bagi  pembangunan  dan  penggunaan  IT   negara
    terutama  daripada  segi menggalakkan industri  IT  serta
    mewujudkan  jalinan hubungan dengan sektor swasta.   Saya
    berpendapat adalah wajar juga bagi sektor awam  mempunyai
    badan  induk untuk menggubal visi dan strategi yang lebih
    bersepadu  bagi pembangunan IT di agensi-agensi Kerajaan.
    Majlis  ini  juga  boleh dijadikan mekanisme  utama  yang
    bertanggungjawab  membuat  susulan  terhadap  pelaksanaan
    dasar  dan  strategi  IT  negara lantas  membudayakan  IT
    dalam   sektor  awam.   Salah  satu  fungsi  yang   boleh
    dirangkumkan dalam `terms of reference' Majlis ini  ialah
    merancang   dan  menentukan  pelaksanaan  langkah-langkah
    keselamatan  dan penggunaan standard yang  sesuai.   Satu
    lagi    peranan   penting   Majlis   ini   ialah    untuk
    mengembangkan  dan mengawalselia penggunaan  internet  di
    sektor  awam memandangkan pendedahan kepada internet  ini
    amat   terbuka  dan  kita  telah  bersetuju  untuk  tidak
    mengadakan  apa-apa  dasar  bagi  menapis  daripada  segi
    `content' bahan-bahan yang disalurkan melaluinya.  Majlis
    yang  saya  maksudkan bolehlah dinamakan  Majlis  IT  dan
    Internet  Kerajaan (MITIK) atau dalam bahasa  Inggerisnya
    Government   IT  and  Internet  Council  (GITIC).    Saya
    berharap     MAMPU,    selaku    agensi    pusat     yang
    bertanggungjawab  kepada pembangunan IT  di  sektor  awam
    dapat meneliti cadangan untuk MITIK ini dilaksanakan.
    
    28.   Di  kesempatan ini juga ingin saya tekankan  sekali
    lagi  bahawa  perubahan paradigma ekonomi dan pentadbiran
    yang  sedang  kita  usahakan ini  memerlukan  penglibatan
    semua  pihak.   Perubahan yang akan berlaku  bukan  kecil
    tetapi  akan menyentuh keseluruhan cara hidup kita,  sama
    ada  di  pejabat  atau di rumah; sama  ada  dalam  urusan
    rasmi  atau  urusan  peribadi.  Pendeknya  perubahan  ini
    memerlukan  penerapan dan pengamalan budaya  baru,  iaitu
    budaya  IT.  Proses pembudayaan sememangnya memakan  masa
    yang  panjang,  tetapi  ia mesti dimulakan  dengan  penuh
    yakin  dan  terancang.  Setiap orang yang terlibat  perlu
    diyakinkan  bahawa perubahan yang akan dibawa ini  adalah
    lebih  baik  dan menguntungkan mereka, organisasi  mereka
    dan seterusnya bangsa dan negara.
    
    29.   Sekurang-kurangnya terdapat dua kelompok utama yang
    menjadi  sasaran  dalam usaha pembudayaan  ini.   Pertama
    ialah  mereka  yang terlibat dalam mengoperasikan  setiap
    aplikasi   yang   dibangunkan.  Bagi   program   Kerajaan
    Elektronik  misalnya, setiap anggota  Perkhidmatan  Awam,
    dari   peringkat  yang  paling  tinggi  kepada  serendah-
    rendahnya, perlu mempunyai kefahaman yang cukup  mengenai
    IT  dan  berupaya untuk menggunapakai teknologi berkaitan
    dengan  cekap.  Saya sukacita mendapat tahu  bahawa  satu
    program  latihan  yang  menyeluruh  telah  disusun   oleh
    INTAN.  Buat permulaan seramai lebih 130,000 pegawai  dan
    kakitangan akan diberi latihan mengikut kesesuaian  tahap
    jawatan sehingga tahun 2000.
    
    30.   Sasaran kedua ialah pengguna, iaitu seluruh  rakyat
    negara  ini.   Mereka  perlu disediakan  untuk  menikmati
    sepenuh faedah daripada pembangunan IT ini.  Bagi  maksud
    ini,  setiap daripada kita adalah bertanggungjawab  untuk
    memastikan matlamat ini berhasil.
    
    31.    Akhirnya   saya  mengucapkan  syabas   atas   daya
    inisiatif  untuk menganjurkan Simposium ini.   Melihatkan
    kepada  program  yang  disediakan,  berbagai-bagai  aspek
    mengenai    Kerajaan   Elektronik   akan    dibincangkan,
    merangkumi   penjelasan  mengenai   konsep,   dasar   dan
    strategi   kepada   aspek-aspek  mikro   yang   menyentuh
    perundangan,  sumber  manusia,  standard,   latihan   dan
    projek-projek khusus seperti kios elektronik.  Saya  juga
    tertarik  dengan  penyertaan semua pihak dalam  simposium
    ini  termasuk pemimpin politik dan pakar-pakar dari  luar
    negeri.  Adunan pengalaman dan kepakaran ini sudah  tentu
    akan  merancakkan  lagi pertukaran  ilmu  dan  melaluinya
    diharapkan  dapat memperkayakan idea dan  strategi  untuk
    menjayakan pelaksanaan Kerajaan Elektronik.
    
    32.    Dengan   harapan  ini,  saya  dengan   sukacitanya
    merasmikan Simposium Kebangsaan Kerajaan Elektronik.

 
 



 
Google