home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	PALACE OF THE GOLDEN HORSES, 
			SELANGOR DARUL EHSAN 
Tarikh/Date 	: 	18/12/97 
Tajuk/Title  	: 	MAJLIS MAKAN MALAM DEWAN PERNIAGAAN 
			DAN PERINDUSTRIAN KEBANGSAAN MALAYSIA 



     1.   Terlebih  dahulu  saya ucapkan terima  kasih  kepada
    Dewan  Perniagaan  dan Perindustrian Kebangsaan  Malaysia
    kerana  menjemput saya dan isteri hadir di  Majlis  Makan
    Malam Tahunannya dan seterusnya menyampaikan sepatah  dua
    kata di majlis ini.
    
    2.   Majlis ini memberi peluang kepada saya untuk bertemu
    muka  dengan  ahli-ahli Dewan walaupun ramai antara  yang
    hadir   malam   ini  saya  kenali  kerana  mereka   biasa
    mengikuti  rombongan-rombongan  ke  luar  negeri  bersama
    saya.  Majlis seperti  ini penting dan berguna kerana  di
    samping merapatkan lagi hubungan silaturahim antara ahli-
    ahli,  ia  juga  dapat membantu mengukuh dan  memantapkan
    lagi   Dewan   sebagai  badan  yang  mewakili   ahli-ahli
    perniagaan dan pengusaha-pengusaha negara ini.
    
    3.   Saya  gembira  bahawa hubungan di antara  Dewan  dan
    Kerajaan  selama  ini adalah amat erat  dan  kedua  pihak
    sentiasa bekerjasama rapat di antara satu sama lain.   Di
    samping  itu, wujud hubungan dan persefahaman  yang  baik
    di  antara  pucuk pimpinan Dewan dan Kerajaan.   Hubungan
    erat,   kerjasama  rapat  dan  persefahaman   ini   telah
    membantu  kedua-dua pihak memahami peranan  masing-masing
    dan  ini telah membolehkan kedua-duanya menyumbang dengan
    lebih  berkesan  kepada pembangunan dan kemajuan  negara.
    Malah  hubungan dan kerjasama yang erat inilah yang telah
    membolehkan  Malaysia bangun dengan  pesat  dan  mencapai
    pertumbuhan  ekonomi  yang tinggi selama  ini.   Jelaslah
    Konsep  Persyarikatan Malaysia yang menekankan  kerjasama
    rapat  di antara sektor swasta dan Kerajaan telah  benar-
    benar  menghasilkan  kejayaan.  Pada hari  ini  ahli-ahli
    perniagaan  Malaysia  adalah lebih berjaya,  dinamik  dan
    dihormati.   Mereka  membuat pelaburan  bukan  sahaja  di
    dalam  negeri bahkan di luar negeri.  Kerjasama rapat  di
    antara  sektor swasta dan Kerajaan ini adalah satu contoh
    'perkongsian pintar' atau 'smart partnership'  yang  kini
    menjadi  model  ikutan  banyak  negara  membangun   lain.
    Adalah  diharapkan  kerjasama rapat ini  akan  berterusan
    bagi  membolehkan  negara menghadapi  cabaran-cabaran  di
    masa akan datang.
    
    4.   Seperti  yang kita sedia maklum krisis kewangan  dan
    penurunan nilai matawang yang melanda Asia Tenggara  yang
    turut   mengakibatkan  kejatuhan  pasaran   saham   telah
    meninggalkan  kesan  buruk ke atas ekonomi  negara  kita.
    Krisis  yang  bermula di Thailand dan merebak  hingga  ke
    Hong  Kong dan Korea Selatan ini memang tidak diduga  dan
    mengejutkan kita.  Betapa tidak.  Sejak satu  dekad  yang
    lalu  negara  kita  telah mengalami  pertumbuhan  ekonomi
    yang  tinggi.   Dengan  kadar  pertumbuhan  purata  lapan
    peratus   lebih,   inflasi   yang   rendah   dan    tiada
    pengangguran,  negara  kita telah didakwa  sebagai  model
    pengurusan  ekonomi yang berjaya.  Kejayaan ekonomi  kita
    bukanlah  datang bergolek ataupun satu 'miracle'  seperti
    yang   disebut-sebutkan  oleh  sesetengah  pihak,  tetapi
    adalah  hasil  usaha  gigih,  hasil  titik  peluh   kita.
    Banyak   masa,   usaha   dan   perancangan   yang   telah
    dijalankan.   Tetapi  kini  kerana  tindakan   segelintir
    pihak  tertentu negara kita dalam beberapa  bulan  sahaja
    telah menjadi miskin dan dilanda pergolakan ekonomi  yang
    sukar dikawal.
    
    5.    Krisis  kewangan  ini  tidak  menguntungkan  dunia.
    Kemerosotan ekonomi yang dialami oleh negara-negara  Asia
    Tenggara  dan  pengurangan kuasa  membeli   mereka  sudah
    tentu   akan  menjejaskan  eksport  rakan-rakan  dagangan
    mereka.    Akibatnya   perdagangan   dunia   akan   turut
    terjejas.   Jika masalah kewangan ini tidak diatasi  kita
    percaya  ia akan menjejaskan prospek pertumbuhan  ekonomi
    dunia  termasuk negara-negara maju. Oleh itu masalah  ini
    perlu diatasi segera demi kepentingan semua pihak.
    
    6.   Walaupun  kesannya ke atas negara kita  setakat  ini
    tidaklah seteruk yang menimpa beberapa negara lain,  kita
    perlu  bersedia  menghadapi sebarang  kemungkinan.   Jika
    kita  tidak  berhati-hati  dan  tidak  sanggup  mengambil
    langkah-langkah  berani  dan  tegas  keadaan  kita  boleh
    menjadi  sama  buruk dengan negara berkenaan.   Jika  ini
    berlaku  kita  akan  terpaksa  meminta  bantuan  kewangan
    antarabangsa  yang akan mengenakan berbagai-bagai  syarat
    yang akan menjejaskan kedaulatan negara kita.
    
    7.   Namun  demikian kita harus akui bahawa  semasa  kita
    makmur  dan maju kita tidak selalunya mengamalkan  amalan
    yang  baik.  Ada banyak amalan kita yang meletakkan  kita
    dalam  keadaan  lemah dan terdedah kepada serangan  ganas
    oleh  'speculators' asing, sama ada ke atas matawang atau
    pasaran saham.
    
    8.   Telah  beberapa  kali  masyarakat  pelabur  tempatan
    diberi   amaran  supaya  tidak  menjadikan  pasar   saham
    sebagai  kasino.   Tetapi mereka  terus  menaikkan  nilai
    saham   sehingga  tidak  ada  langsung  hubungan   antara
    prestasi  syarikat dengan harga saham.  Mereka mengadakan
    'road  show'  di negara maju untuk menjual dan  menaikkan
    lagi  harga  saham  mereka.  Daripada   tumpuan  berniaga
    untuk  mencari  keuntungan, kita telah  mengalih  tumpuan
    kepada perniagaan saham.  Saham seperti juga dengan  wang
    tidak   ada  nilai  mutlak.   Nilainya  ditentukan   oleh
    kesanggupan  pemain pasaran saham menjual dan membelinya.
    Apabila  mereka  hilang  kepercayaan,  sama  ada   secara
    kebetulan  atau  kerana sengaja dan  tidak  lagi  sanggup
    membeli,   maka  nilai  saham  akan  jatuh  kadang-kadang
    sehingga lebih rendah daripada nilai aset syarikat.
    
    9.   Inilah  yang berlaku sekarang.  Apabila nilai  saham
    jatuh  maka rugilah semua pelabur biasa.  Jika sebaliknya
    nilai  saham  dikait  rapat dengan  keuntungan  syarikat,
    maka  pelabur  tidak  akan  rugi  kerana  pelaburan  akan
    dibalas  dengan dividen yang setimpal.  Dan  hutang  yang
    tidak  terlalu  tinggi  boleh  dibayar  dengan  perolehan
    daripada  dividen.  Bank juga tidak akan meminta  bayaran
    ganti susut nilai saham yang dicagar.
    
    10.  Dalam mengurus perniagaan, kos dibiarkan naik kerana
    harapan   akan   meraih  keuntungan  yang   besar   untuk
    menampung  kos  yang tinggi.  Pengurus-pengurus  syarikat
    dan  semua  pegawai  profesional  dan  eksekutif  meletak
    nilai   yang  amat  tinggi  terhadap  sumbangan   mereka.
    Demikian   juga  dengan  mereka  yang  baru  lulus   dari
    institusi  pengajian tinggi yang meminta dan diberi  upah
    yang  terlalu  tinggi sehingga tidak  munasabah.   Dengan
    ini  kos  barangan dan khidmat menjadi tinggi,  menaikkan
    kos sara hidup masyarakat dan membebankan mereka.
    
    11.  Ramai eksekutif yang melompat dari satu syarikat  ke
    syarikat  lain  kerana  mengutamakan  gaji  yang  tinggi.
    Tidak  ada  kesetiaan  kepada  mana-mana  syarikat.   Dan
    sudah  tentu pengalaman mereka cetek dan kemahiran  serta
    kecekapan  mereka  dan  syarikat  berada  di  paras  yang
    rendah.    Dalam  bidang  yang  ternampak  boleh  memberi
    pendapatan  yang  tinggi dan boleh naik dengan  mendadak,
    terdapat  ramai yang meninggalkan profesion asal.   Dalam
    bidang  broker  saham  umpamanya terdapat  siapa  sahaja,
    daripada  berbagai-bagai profesion yang tidak  berkaitan,
    yang   ingin   semata-mata  untuk  kaya   cepat   menjadi
    'remisier' dan broker.
    
    12.  Dalam suasana mudah untung ini pinjaman diberi  oleh
    sesetengah  bank secara kurang bijak.  Dan  kadang-kadang
    apabila  bank tempatan cuba mengguna kriteria  yang  baik
    untuk   pinjaman,  ramai  yang  pinjam  di  luar  negeri.
    Dengan  itu  hutang  negara meningkat.   Walaupun  hutang
    luar  negara  oleh syarikat-syarikat kita  tidak  sebesar
    negara-negara  tertentu  tetapi  kesannya   buruk   juga.
    Hutang  luar  negara yang besar inilah  yang  menyebabkan
    beberapa negara tersungkur.
    
    13.  Sekarang  kita  menghadapi masalah  kejatuhan  nilai
    ringgit  yang  disertai dengan keruntuhan pasaran  saham.
    Hasilnya  ialah ramai daripada kita yang dahulu  mengejar
    kekayaan cepat, rugi dan mungkin muflis.  Kerajaan  ingin
    menolong   dengan  merangka  cara-cara   bagi   mengatasi
    masalah  yang  kita  hadapi ini dan  memulihkan  keadaan.
    Tetapi   untuk   ini  syarikat-syarikat  tempatan   perlu
    bekerjasama  dengan Kerajaan.  Kita perlu  disiplin  yang
    kuat.   Kita  juga perlu berkorban hari  ini  untuk  masa
    depan.
    
    14.  Saya  ingin merayu kepada masyarakat peniaga  supaya
    tidak  memburukkan lagi keadaan sekarang melalui tindakan
    yang  tidak  bijak seperti tidak percaya kepada  matawang
    kita  sendiri  dan menyimpan dengan cawangan  bank  asing
    atau  bank  di  luar negara.  Saya tidak perlu  terangkan
    kepada  tuan-tuan dan puan-puan yang lebih arif  daripada
    saya  akan kesan perbuatan tersebut.  Apa yang kita takut
    berlaku  tetap  akan  berlaku kerana tindakan  kita  yang
    tidak  wajar.   Kata orang putih apa yang  kita   lakukan
    adalah 'self-fulfilling' iaitu apa yang kita jangka  akan
    menjadi kenyataan kerana tindakan kita.
    
    15.   Kerajaan  sedang  berusaha  untuk  memulih   semula
    ekonomi dengan  mengurangkan perbelanjaan Kerajaan  untuk
    pembangunan  dan  pengurusan.   Kerajaan  dan  kakitangan
    Kerajaan  sanggup  membuat pengorbanan  yang  besar  demi
    masa  depan  kita.   Kita harus sedar  bahawa  jika  kita
    tidak  tabah  hati  dan sanggup berkorban  sekarang  kita
    akan  dipaksa  meminta  pertolongan  dari  Dana  Kewangan
    Antarabangsa.   Pinjaman  yang akan  diberi  oleh  mereka
    mempunyai  syarat-syarat  yang  akan  menjadikan   banyak
    syarikat kita rugi dan muflis.  Mereka akan memaksa  kita
    menaikkan  cukai walaupun kita sudah miskin; mereka  akan
    menaikkan  faedah  bank  dan  mengurangkan  kredit  untuk
    peniaga.  Mereka berpendapat jika syarikat-syarikat  kita
    muflis  dan ditutup, ianya tidak mengapa kerana syarikat-
    syarikat  ini memang lemah, tidak baik dan patut ditutup.
    Bahawa  kelemahan syarikat-syarikat ini  disebabkan  oleh
    kejatuhan   nilai   matawang   dan   syarat-syarat   yang
    dikenakan oleh mereka tidak dihiraukan.  Bahawa ini  akan
    menyebabkan    pengangguran   dan    penderitaan    tidak
    dipedulikan sama sekali.  Ini bukan masalah mereka.   Ini
    masalah kita.
    
    16.  Kita  perlu membuat pilihan antara berkorban  secara
    sukarela  sekarang atau dipaksa berkorban lebih lama  dan
    lebih  teruk lagi oleh kuasa asing.  Bagi kita yang waras
    tentulah  berkorban secara sukarela sekarang  lebih  baik
    daripada  berkorban kerana dipaksakan oleh  orang  asing.
    Untuk   keadilan   semua  kita  perlu   memikul   bersama
    pengorbanan yang perlu kita lakukan.  Tetapi  ada  antara
    kita,   yang  menganggap  bahawa  sementara  orang   lain
    berkorban,  mereka boleh memulihkan diri mereka  sendiri,
    bahkan  mencari  keuntungan untuk  diri  mereka.   Mereka
    berpendapat  bahawa keengganan mereka  berkorban  sedikit
    ini  tidak  akan  menjejaskan usaha pemulihan.   Pendapat
    seperti  ini  berasas  kepada tamak  haloba.   Percayalah
    jika  kita  tidak sanggup berkorban dan mendisiplin  diri
    kita,   orang  lain  juga  akan  tidak  sanggup   berbuat
    demikian.   Lagi  pun tindakan kita akan  diketahui  umum
    dan   pihak  lain  akan  hilang  minat  untuk  berkorban.
    Akhirnya  lebih  ramai yang akan ikut  menangguk  di  air
    yang  keruh  ini dan akan gagallah segala rancangan  kita
    untuk  memulihkan ekonomi negara kita.  Percayalah mereka
    yang  mengkhianati usaha kita akan turut  menjadi  mangsa
    apabila kita gagal dan diletak di bawah pengurusan  orang
    asing.     Ketika  itu  kita  bukan  sahaja  akan  hilang
    kedaulatan dan kebebasan kita, tetapi akibat orang  asing
    ini mengutamakan bayaran balik hutang mereka, tekanan  ke
    atas  kita  akan  lebih teruk lagi dan tiada  siapa  yang
    akan  dikecualikan, majikan atau pekerja,  Kerajaan  atau
    swasta.   Ingatlah  sejak  dahulu  lagi  matlamat  mereka
    ialah  supaya  kita  tidak  akan  mampu  bersaing  dengan
    mereka.   Untuk ini mereka akan menjadikan perusahaan  di
    negara  kita  tidak lagi kompetitif dan terpaksa  ditutup
    atau  diambilalih  oleh mereka.  Apabila  mereka,  secara
    langsung  atau  tidak,  menguasai  ekonomi  negara   kita
    mereka  tetap  akan  berusaha untuk  menjayakan  matlamat
    mereka.  Mereka mungkin tidak merancang semua ini  tetapi
    mereka tidak akan melepaskan peluang yang mereka temui.
    
    17.  Bagi  peniaga dan pengusaha, sikap  yang  terpenting
    ialah   kesetiaan  kepada  Negara  dan  keyakinan  kepada
    matawangnya.   Jika  peniaga dan  pengusaha  mengutamakan
    kepentingan  diri  dan kurang yakin  kepada  Ringgit  dan
    mengambil  tindakan  yang mencerminkan  kurang  keyakinan
    ini,  maka nilai Ringgit akan terus jatuh.  Demikian juga
    dengan  saham.  Mereka yang menjual saham apabila  sahaja
    harga  saham meningkat sedikit kerana mengejar keuntungan
    tetap  akan  menyebabkan pasaran saham terus  lembab  dan
    menurun.    Kita  amat  sedih  melihat  berlaku   'profit
    taking'  apabila sahaja saham naik harga selepas Kerajaan
    mengisytiharkan    tindakan-tindakan    tertentu     yang
    melibatkan  banyak pengorbanan oleh kakitangan  Kerajaan.
    Sepatutnya  peniaga  berkorban  bersama.   Tetapi  mereka
    telah  menjual  saham  yang  naik  harga  untuk  mendapat
    keuntungan.
    
    18.  Selagi  peniaga  dan  pengusaha  meneruskan  amalan-
    amalan  buruk  ini, selama itulah kita tidak  akan  dapat
    memulihkan  keadaan.  Selain daripada  itu  amat  penting
    sekali  kita tidak boros dengan membayar gaji yang bukan-
    bukan  kepada diri sendiri dan kakitangan eksekutif  yang
    lain.   Gaji,  upah dan ganjaran-ganjaran lain  di  pihak
    swasta hendaklah diturunkan sama seperti dalam Kerajaan.
    
    19.  Majlis Tindakan Ekonomi Negara mempunyai banyak cara
    untuk  memperbaiki  dan  memulih  ekonomi  kita.   Tetapi
    semuanya   bergantung  kepada  kesetiaan   dan   disiplin
    rakyat.
    
    20.  Saya  ingin  merayu  kepada masyarakat  peniaga  dan
    pengusaha  supaya  berdisiplin dan  sanggup  mengenepikan
    kepentingan  jangka pendek supaya masalah ekonomi  negara
    dapat diatasi secara berkekalan.
    
    21.    Semua    Dewan   Perniagaan   dan   Perindustrian,
    terutamanya    Dewan   Peniagaan   Kebangsaan    Malaysia
    mempunyai   tanggungjawab   yang   besar   dalam    usaha
    memulihkan  ekonomi  negara dan kesihatan  ahli-ahli  dan
    masyarakat  peniaga  dan  pengusaha.   Saya  harap  semua
    Dewan  Perniagaan  akan menunaikan peranan  masing-masing
    secara  serius  dan berkesan dalam usaha  kita  menangani
    masalah ekonomi yang kita hadapi.

 
 



 
Google