home Speechs in the year 2003 2002 2001 2000 1999 1998 1997 1996 1995 1994 1993 1992 1991 1990 --> |
Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD Tempat/Venue : RADIO DAN TELEVISYEN MALAYSIA (RTM) Tarikh/Date : 31/12/97 Tajuk/Title : SEMPENA TAHUN BARU 1998 1. Alhamdulillah, saya bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu wa Ta'ala kerana dengan izin-Nya sekali lagi saya dapat menyampaikan Perutusan Tahun Baru kepada rakyat Malaysia. Kali ini saya berhadapan dengan tuan- tuan dan puan-puan ketika ekonomi negara yang biasanya tumbuh dengan pesat, menghadapi kesulitan kejatuhan tukaran matawang dan pasaran modal ekoran daripada serangan dan manipulasi oleh pihak tertentu. Dalam keadaan ini yang penting ialah cara kita menangani masalah berkenaan. 2. Untuk menangani masalah ini kita harus faham bahawa apa yang disebut sebagai kejatuhan nilai ringgit tidak dengan sendirinya menjadi masalah. Yang menjadi masalah kepada kita ialah susutnya kuasa membeli barangan tertentu dengan pendapatan kita. Sebenarnya nilai ringgit kita tidak jatuh. Yang susut ialah jumlah matawang asing apabila kita menukar Ringgit dengan matawang berkenaan, terutama matawang Amerika Syarikat. Jika dahulu kita akan dapat satu dolar Amerika daripada RM2.50, hari ini kita akan dapat hanya 0.64 dolar atau 64 sen Amerika daripada RM2.50. Atau jika dahulu daripada RM1.00 kita akan dapat 0.40 dolar Amerika hari ini kita akan dapat hanya 0.25 dolar Amerika. 3. Kita tidak perlu menukar wang melainkan jika kita ingin mengimport barang. Jika kita ingin membeli barangan di dalam negeri, kita tidak perlu menukar wang kita kepada matawang asing. Jika harga barangan dalam negeri tidak naik maka nilai Ringgit kita atau daya membeli Ringgit kita tidak jatuh. Kita tidak menjadi lebih miskin kerana tukaran Ringgit dengan dollar Amerika sudah berubah. 4. Malangnya banyak juga barangan harian kita diimport dari luar negara dengan matawang asing, biasanya dengan dolar Amerika, dan barangan ini tentulah lebih tinggi harganya, atau dengan perkataan lain nilai ringgit kita sudah turun untuk membeli barangan import ini. Dengan itu kita akan merasai kesan jatuhnya jumlah wang asing daripada tukaran dengan ringgit kita. 5. Ramai daripada kita yang mengeluh apabila dilaporkan bahawa harga-harga barangan seperti gula, tepung gandum dan bawang telah naik. Kita boleh mengelak kesan kenaikan harga barangan ini dengan tidak menggunanya. Malangnya ini tidak selalunya dapat dibuat oleh kita. Tetapi kita boleh kurangkan penggunaannya dan kita tidak membazir seperti di zaman mewah. Jika harga gula naik tetapi kita hanya membeli dan mengguna separuh sahaja daripada kebiasaan, kita sebenarnya akan menjimatkan belanja biasa kita untuk gula. Dengan itu kenaikan harga gula tidak mempunyai kesan terhadap perbelanjaan kita. Sebagai bonus kita menjadi lebih sihat. Dan kita dapat menolong mematah serangan pihak asing ke atas matawang dan ekonomi kita. 6. Barangan lain yang diimport juga boleh kita kurangkan kegunaannya dan sebaliknya kita ganti dengan barangan tempatan jika ada. 7. Dengan cara ini kita tidak akan merasai sangat kesan kejatuhan nilai tukaran ringgit dengan dolar Amerika. Kuasa membeli kita tidak akan berkurangan. Kita tidak akan merasai lebih miskin. 8. Mana-mana negara tetap akan mengalami perubahan nasib. Pada masa dahulu kita dijajah, tidak merdeka, terpaksa memanggil orang asing 'Tuan'. Kita menjadi hamba di negara kita sendiri. 9. Di zaman perang Dunia Kedua kita telah mengalami inflasi dan banyak barang makanan dan lain-lain tidak dapat diperolehi. Kita mengalami tekanan hidup yang lebih dari sekarang. 10. Lepas perang kita berjuang untuk mencapai kemerdekaan, untuk menjadi `Tuan' di negara kita sendiri. Alhamdulillah, perjuangan kita berhasil. Kita merdeka. Kita bekerja keras untuk membangunkan negara kita, untuk mengisi kemerdekaan kita. Kita hadapi berbagai-bagai cabaran -- politik, sosial dan ekonomi. Tanpa pertolongan sesiapa kita atasi cabaran-cabaran ini. Kita rancang pembangunan negara kita. Melalui politik kesederhanaan, kita capai matlamat kita, walaupun belum sepenuhnya. Kita percaya kita akan dapat menjadi negara maju pada tahun 2020. 11. Malangnya sekarang negara kita dilanda masalah ekonomi yang serius kerana tindakan orang asing. Mungkin serangan mereka hanya kerana kurang percaya kepada kesihatan ekonomi kita. Tetapi hakikatnya ialah kejatuhan nilai tukaran matawang kita menjadikan kita miskin sehingga terdedah kepada kemungkinan diletak di bawah telunjuk kuasa-kuasa asing. Jika ini berlaku kita akan hilang kebebasan mentadbir ekonomi negara kita, dan dengan itu kebebasan politik juga. Pendek kata kita akan dijajah semula secara tidak langsung. 12. Hari ini pun kita sudah hilang kebebasan bersuara atau bertindak dalam negara kita sendiri. Jika apa yang disuarakan atau dibuat oleh kita tidak disukai oleh pihak tertentu maka mereka akan menekan Ringgit kita, kerana kononnya perbuatan kita mengurangkan 'confidence' mereka. 13. Alhamdulillah, tekanan ke atas kita telah menyebabkan rakyat Malaysia daripada semua kaum lebih bersatu padu. Mereka juga menyokong tindakan-tindakan Kerajaan untuk mempertahankan kedaulatan dan kebebasan negara. 14. Perpaduan dan sokongan ini amat penting kerana kita lihat bagaimana pertikaian politik dalam negara boleh menjejaskan usaha menangkis serangan oleh orang asing ini. Demikian juga kesatuan sekerja dan pekerja -- mereka tidak membenar diri mereka terperangkap dengan mengambil tindakan liar yang boleh memburukkan lagi keadaan ekonomi negara. 15. Saya bersyukur dengan sokongan yang dinyatakan oleh semua lapisan rakyat terhadap Kerajaan dan juga saya sendiri dalam usaha menangani masalah kejatuhan nilai tukaran Ringgit dan kesan-kesan daripadanya. Tetapi sokongan ini perlu diterjemahkan kepada tindakan dan amalan yang boleh memulih semula ekonomi negara. 16. Untuk ini Kerajaan menubuhkan Majlis Bertindak Ekonomi Negara yang dipengerusikan oleh saya. Majlis ini akan diberi peranan penting dalam merancang dan melaksanakan tindakan-tindakan yang perlu diambil untuk menjadikan negara kita lebih berdaya saing di peringkat global dan untuk mengatasi masalah-masalah kewangan dan ekonomi yang sedang dihadapi. Kempen-kempen tertentu akan dilancar bagi mengurangkan pembaziran dan perbelanjaan dalam Kerajaan dan di kalangan rakyat, mengurangkan kos pengeluaran dan meningkatkan produktiviti, mengurangkan import dan meningkatkan eksport, meningkatkan kemahiran, kecekapan dan pendidikan serta menaikkan kualiti khidmat dan barangan sepanjang masa. Usaha yang lebih gigih akan dijalankan untuk menarik lebih ramai pelancong asing sementara rakyat akan digesa melancong dalam negeri. Kita juga perlu terus menarik pelaburan asing dalam pengeluaran barangan dan khidmat untuk eksport. 17. Semua ini memerlukan kerjasama, kesetiaan dan pengorbanan yang kuat oleh semua rakyat. Kita semua perlu menabung dan melabur dengan penuh keyakinan. Saya sedar bahawa wang yang disimpan akan susut nilainya jika matawang kita terus jatuh. Malangnya jika kita kurang percaya kepada matawang kita dan dengan kerana itu kita tidak menabung atau melabur, dan sebaliknya kita tukar kepada matawang asing atau kita simpan di luar negeri, perbuatan ini tetap akan menjatuhkan nilai matawang kita. Sebaliknya jika kita tekun menabung dan membeli serta menyimpan saham, matawang kita tidak akan jatuh secara mendadak. Oleh itu keyakinan kita kepada Ringgit amat penting kerana hanya jika kita yakin baharulah kita akan menyimpan atau melabur. Ingatlah walaupun Ringgit terus menurun apabila ditukar dengan wang asing, ianya tidak akan hilang kuasa membeli barangan dan khidmat dalam negeri sama dengan susutan yang berlaku. Di sinilah tanggungjawab kita bersama yang penting -- memelihara nilai matawang kita. Orang lain tidak akan pertahankan wang kita. 18. Untuk menjimatkan perbelanjaan, Kerajaan akan menggugurkan beberapa rancangan atau melambatkannya. Kita juga telah memotong gaji dan beberapa kemudahan bagi kakitangan Kerajaan yang bergaji tinggi, termasuk semua anggota Kabinet dan semua ahli politik dalam Kerajaan. Pegawai Kerajaan dalam Jawatan Utama (JUSA) akan dipotong gaji, sementara kenaikan gaji tahunan bagi kakitangan Kerajaan dalam Kumpulan A dan B akan ditangguh. Adalah diharapkan sektor swasta juga akan berbuat demikian terutama mereka yang menerima upah dan kemudahan-kemudahan yang tinggi. 19. Banyaklah tekanan dan korban yang perlu dipikul oleh rakyat negara kita. Tetapi apakah pilihan kita? Yang ada hanyalah meminjam wang daripada kuasa asing. Mereka akan mengenakan syarat yang akan menyebabkan penderitaan rakyat menjadi lebih teruk daripada yang telah saya jelaskan. Mereka akan paksa kita menaikkan cukai (ke atas orang yang sudah menjadi miskin), menaikkan faedah pinjaman, menutup sebahagian besar daripada bank-bank dan syarikat kewangan dan membiarkan syarikat yang lemah atau yang tenat kerana kejatuhan tukaran ringgit menjadi muflis. 20. Mereka akan paksa bank dan syarikat gergasi asing dibenar masuk dan mengambilalih bank-bank dan syarikat- syarikat kita. Dengan itu segala dasar dan pinjaman akan ditentukan oleh mereka dan dasar mereka hanyalah untuk meningkatkan keuntungan mereka seberapa tinggi yang boleh. Kita tidak lagi akan bebas. Rakyat akan menganggur dan menderita. Inilah pilihan yang ada jika kita tidak sanggup berkorban sedikit. 21. Saya bukan memberi gambaran ini untuk menakutkan rakyat. Apa yang saya sebutkan ini telah pun berlaku kepada beberapa negara yang menerima syarat-syarat pinjaman asing. 22. Oleh kerana sebab-sebab ini, meminjam daripada badan antarabangsa bukan pilihan untuk menyelesaikan masalah kita. 23. Inilah cabaran yang terbesar yang kita hadapi sekarang. Hanya kerana manusia lebih pandai, lebih berteknologi tinggi tidak menjamin tamadun dunia menjadi lebih baik. Ingatlah bahawa di zaman inilah yang kita menyaksi dunia berpeluk tubuh sementara 200,000 rakyat Bosnia disembelih dengan kejam. Dunia dan tamadun moden ini tidak akan menunjukkan simpati dan menghulur tangan untuk menolong kita kerana kita menghadapi tekanan ekonomi. Undang-undang hutan (the laws of the jungle) masih berleluasa. Yang berkuasa, dialah yang benar. 24. Namun kita tidak boleh putus asa dan menyerah kalah. Kita mesti sanggup menghadapi cabaran, sanggup berkorban dalam mempertahankan kemerdekaan dan maruah kita. Perjuangan kita bukan sahaja belum selesai tetapi sudah menjadi lebih genting. 25. Sekali lagi ingin saya ulangi bahawa perpaduan dan kesanggupan berkorban amatlah penting. Menjimatkan perbelanjaan dan mengurangkan pembaziran banyak bergantung kepada kaum wanita dan suri rumahtangga. Mereka boleh mempengaruhi masyarakat dengan cukup berkesan dalam segala usaha untuk memulihkan negara. Mereka boleh menjadi teladan yang baik, bahkan memandu masyarakat dalam melaksanakan rancangan pemulihan yang telah kita rancangkan. Saya yakin mereka akan turut serta dan memainkan peranan yang penting memulih dan mempertahankan negara tercinta ini. 26. Sama ada kita terus bebas dan bermaruah bergantung kepada kita. Selama 40 tahun kita daripada semua kaum telah bersama-sama membina negara kita ini. Kita hampir berjaya menebus 400 tahun kehinaan penjajahan oleh orang asing. Apakah kita sanggup membiar segala hasil perjuangan kita dipersia- siakan? 27. Marilah kita semua menghadapi cabaran bersama. Marilah kita berkorban. Marilah kita bersatu padu mempertahankan kedaulatan dan maruah bangsa, negara dan agama kita. Dengan izin Tuhan perjuangan yang terhormat ini akan berjaya. |