home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	PUSAT ISLAM, KUALA LUMPUR 
Tarikh/Date 	: 	21/02/98 
Tajuk/Title  	: 	MERASMIKAN PERHIMPUNAN AGUNG 
			TAHUNAN PARTI PROGRESIF
			PENDUDUK MALAYSIA (PPP) (BARU) 



  1.   Terlebih  dahulu  saya ucapkan terima  kasih  kepada
  Parti   Progresif   Penduduk  Malaysia  (PPP)(Baru)   dan
  Presidennya Datuk M. Kayveas kerana telah sudi  menjemput
  saya  untuk  merasmikan perhimpunan agung PPP bagi  tahun
  1997.   Pada tahun lalu tidak ada perhimpunan  agung  PPP
  oleh  kerana  saya  tidak dapat memenuhi  jemputan  untuk
  merasmikannya.
  
  2.    Saya minta maaf atas perkara itu.  Tetapi jika saya
  tidak   merasmikannya   kali   ini,   mungkin   mesyuarat
  ditangguhkan  lagi.  Oleh itu saya anggap mesyuarat  yang
  saya  rasmikan  hari ini ialah mesyuarat tahun  1997  dan
  juga tahun ini.
  
  3.    Bagaimanapun saya gembira hari ini kerana PPP telah
  berkembang  maju  dan  berupaya  mengatasi  masalah  yang
  dihadapinya   dengan   baik.    Saya   berharap   masalah
  kepimpinan  dalam  PPP  ini  tidak  akan  'menghantui'nya
  lagi.
  
  4.    Negara  kita  memerlukan kestabilan dan  kepimpinan
  politik  yang  mantap  untuk  menjamin  segala  rancangan
  pembangunan  kita  mencapai kejayaan.   Jika  parti-parti
  komponen  Barisan  Nasional lemah maka lemahlah  Kerajaan
  kita.  Dengan kelemahan itu kita boleh dijajah semula.
  
  5.     Masalah   dalaman  parti-parti  komponen   Barisan
  Nasional hendaklah diselesaikan dengan bijaksana.   Tidak
  perlu  kita mendedahkan masalah kita  kepada orang  luar.
  Kita  ada  mekanisme  masing-masing  untuk  menyelesaikan
  sebarang  perselisihan  atau  perbezaan  pendapat   dalam
  parti komponen BN.
  
  6.     Pendekatan  ini  penting  untuk  menjamin  Barisan
  Nasional  bukan  sahaja ternampak  sentiasa  utuh  tetapi
  benar-benar   kukuh.    Kepentingan  peribadi   hendaklah
  diketepikan.     Kejayaan   bagi   diri   sendiri    yang
  menyebabkan  parti rosak tidak bermakna.  Rosaknya  parti
  maka   rosaklah  kita.   PPP  yang  dahulu  adalah  parti
  politik   yang  berwibawa  telah  menjadi  lemah   kerana
  rebutan  kepimpinan  parti.  Akibatnya  siapa  juga  yang
  menjadi  pemimpin tidak mendapat kedudukan yang dihormati
  dan berkesan.
  
  7.     Jika   anggota-anggota  parti  asyik  `bercakaran'
  kerana  percaya  tempat atau jawatan  dalam  parti  boleh
  memberi pulangan besar, alamatnya porak perandalah  parti
  itu.   Keadaan  malang ini akan menjadi  bertambah  buruk
  jika   pemimpin  cuba  meletakkan  penyokong  atau  orang
  kesukaannya  di tempat tertentu.
  
  8.    Bagi  mempastikan mereka dapat mencapai  niat  itu,
  mereka   mungkin  menyalahgunakan  kuasa  atau   pengaruh
  mereka.   Semua  ini  tidak dapat tidak  akan  melemahkan
  lagi  parti dan menjadikan perjuangan parti semakin tidak
  berkesan.
  
  9.    Parti-parti yang asyik dengan politik dalaman  akan
  lalai  dan lupa tanggungjawab mereka yang sebenar. Apakah
  makna  perjuangan  jika kemenangan atau  kekalahan  dalam
  pemilihan  pemimpin  parti menyebabkan  perjuangan  parti
  tidak berhasil?
  
  10.   Masalah  parti  politik  tidak  boleh  diselesaikan
  melalui  undang-undang.   Jika  undang-undang  menentukan
  kepimpinan  parti, tetapi kepimpinan itu  tidak  direstui
  oleh  majoriti, maka ianya tidak akan berwibawa.  Undang-
  undang  boleh  mengharam atau mengesahkan sesebuah  parti
  politik,  tetapi  jika  majoriti  ahli  mahu  parti   itu
  dikekalkan, keputusan mengikut undang-undang  tidak  akan
  menghasilkan apa-apa.    Ingatlah yang menyebabkan  parti
  politik  wujud  ialah  kesanggupan ahli-ahli  menerimanya
  sebagai  alat  sesuatu perjuangan.  Jika  perjuangan  ini
  diganti   dengan  kepentingan  pemimpin   tertentu   maka
  sokongan  kepada  parti akan hilang dan   pemimpin  tidak
  mempunyai parti untuk dipimpin.
  
  11.   Kita  tidak  nafi bahawa adakalanya pemimpin  perlu
  ditukar.   Tetapi  penukaran hendaklah  dilakukan  secara
  teratur  dan bijak.  Kata pepatah Melayu urusan penukaran
  pemimpin  hendaklah seperti menarik rambut dalam  tepung,
  rambut  dikeluarkan tanpa tepung berkecamuk.  Apa gunanya
  pemimpin  baru yang kononnya lebih baik jika  parti  yang
  hendak dipimpin olehnya hancur berkecai.
  
  12.   Jawatan atau kedudukan dalam mana-mana parti datang
  bersama  dengan  tanggungjawab  dan  amanah  yang  besar.
  Memperolehi  kedudukan adalah satu perkara.  Melaksanakan
  tanggungjawab jawatan adalah perkara yang lain.   Mungkin
  ramai  orang  yang boleh mendapat jawatan,  tetapi  tidak
  boleh   melaksanakan   tanggungjawabnya   seperti    yang
  diharapkan.   Dengan itu urusan memilih pemimpin  menjadi
  sia-sia sahaja.
  
  13.  Yang bertambah buruk lagi ialah apabila ada anggota-
  anggota  parti  menyangka jawatan  atau  kedudukan  dalam
  parti boleh memberi peluang  mengejar kekayaan.
  
  14.   Anggapan  seperti  inilah  yang  boleh  memusnahkan
  Kerajaan, parti dan negara.  Justeru itu, adalah  penting
  setiap  anggota parti komponen Barisan Nasional  sentiasa
  beringat  semasa  memilih  ketua  atau  pemimpin  mereka.
  Pilihlah  mereka  yang  boleh  memimpin  kita   ke   arah
  kebaikan  dan  bukan yang boleh menguntungkan  diri  kita
  sendiri.   Ingatlah, bekerja atau berkhidmat dalam  parti
  adalah suatu perjuangan yang memerlukan pengorbanan  yang
  amat  besar.   Kita jangan mengharapkan sebarang  balasan
  kerana   kita   mungkin  kecewa  apabila  harapan   tidak
  tercapai.
  
  15.    Sepertimana  yang  diketahui  negara  kini  sedang
  mengalami   kegawatan  ekonomi  kesan  daripada   peniaga
  matawang  menjatuhkan nilai Ringgit dan saham kita  sejak
  Julai  tahun  lalu.  Kita tidak berkata bahawa  perbuatan
  mereka  adalah  satu rancangan jahat  untuk  melemah  dan
  menekan  kita,  tetapi  hakikatnya  ialah  perlakuan  ini
  telah  menyebabkan banyak masalah menimpa kita. Penurunan
  nilai  matawang tetap menjadikan negara dan rakyat  lebih
  miskin  bahkan  boleh membankrapkan syarikat  perniagaan,
  bank,  orang perseorangan bahkan negara.  Kerana  tekanan
  ini,  huru-hara dalam masyarakat dan politik negara boleh
  berlaku.    Kerajaan   dan  pemimpin   boleh   disalahkan
  sehingga  usaha  dibuat  untuk menjatuhkan  Kerajaan  dan
  pemimpin-pemimpin  tertentu.  Tetapi kita  bernasib  baik
  kerana keadaan dalam negara kita terus tenang.
  
  16.    Sebenarnya  jika  huru-hara  sosial  dan   rusuhan
  politik  menyusuli  kegawatan ekonomi  maka  keadaan  ini
  akan  disalahkan  sebagai sebab kenapa kegawatan  ekonomi
  menjadi  teruk.  Dengan itu semua pihak akan lupa  bahawa
  sebenarnya kegawatan ekonomi bermula dan disebabkan  oleh
  penurunan  nilai matawang yang sengaja dibuat oleh  pihak
  asing.    Perbuatan   mereka  akan  dilupakan   sementara
  tumpuan diberi kepada rusuhan politik yang berlaku.
  
  17.    Jika  kita  renung  sejenak  tentulah  kita  sedar
  ekonomi  dan politik kita tidaklah buruk sebelum jatuhnya
  matawang.    Demikianlah  kejayaan  kita  sehingga   kita
  digelar  sebagai  satu daripada 'Asian Tiger'  dan  ramai
  pelabur  asing datang ke sini untuk melabur  dan  mengaut
  keuntungan  besar.   Tetapi apabila nilai  matawang  kita
  dijatuhkan  barulah tuduhan dibuat bahawa Kerajaan  tidak
  cekap,  rasuah dan sebagainya.  Dalam sistem  niaga  wang
  yang   dicipta  oleh  mereka,  tiap  kali  wang   dijual,
  nilainya  akan jatuh.  Dengan menjual wang kita  berkali-
  kali  nilai  wang kita jatuh dengan teruk  dan  kegawatan
  ekonomi   pun   berlaku.   Justeru  itu   yang   bersalah
  sebenarnya ialah peniaga matawang.
  
  18.    Tetapi  jentera  propaganda  mereka  begitu  cekap
  sehingga  kita  lupa tentang peranan mereka  dan  percaya
  bahawa  masalah kita disebabkan oleh kita yang  dikatakan
  tidak  cekap, rasuah dan sebagainya.  Justeru itu, mereka
  kononnya  hilang  keyakinan dan melarikan  modal  mereka.
  Jika  sebenarnya  perlakuan kita yang menyebabkan  mereka
  kurang  yakin,  sepatutnya mereka dari  mula  lagi  tidak
  melabur  di  sini dengan begitu banyak.  Mustahil  mereka
  baru  sahaja tahu Kerajaan negara-negara Asia tidak  baik
  sedangkan  mereka memiliki badan penyelidik  yang  cekap.
  Sebenarnya  mereka tahu dan mereka nampak peluang  meraih
  keuntungan  yang  besar daripada kita.  Kemudian  apabila
  kita   sudah  kaya  mereka  merompak.   Hakikatnya  ialah
  mereka    mendapat   keuntungan   yang   besar   daripada
  menjatuhkan  nilai  matawang  kita.   Sebaliknya  negara-
  negara  membangun  yang tidak kaya  walaupun  mengamalkan
  sistem dan dasar pentadbiran yang sama dengan kita  tidak
  menghadapi  kegawatan  ekonomi.   Nilai  matawang  mereka
  tidak  jatuh.   Sebabnya ialah mereka  belum  cukup  kaya
  untuk dirompak.
  
  19.   Apabila kita sudah jadi maju dan kaya sedikit  maka
  ketika   itu   barulah  kononnya  keyakinan  hilang   dan
  matawang  dijatuhkan.  Tetapi demikianlah cekapnya  mesin
  propaganda  mereka  sehingga ramai rakyat  Asia  Tenggara
  menyalahkan  Kerajaan-kerajaan mereka  dan  turut  hilang
  keyakinan, tidak percaya kepada matawang sendiri.  Dengan
  itu  proses  menghancurkan ekonomi  negara  diambil  oleh
  kita  sendiri.   Yang menyedihkan ialah sementara  mereka
  untung  besar  daripada kejatuhan  matawang  kita,  orang
  kita   tidak   dapat   apa-apa  keuntungan   daripadanya.
  Sebaliknya kita terus rugi dengan teruknya.
  
  20.    Kita   telah  menerima  demokrasi  dengan   segala
  kelemahannya.    Kita  lihat  bagaimana   adanya   negara
  demokratik  yang  tidak  dapat menubuhkan  Kerajaan  yang
  berwibawa  yang  menyebabkan masalah negara  tidak  dapat
  diatasi,  kemiskinan dan penderitaan  rakyat  yang  tidak
  putus-putus;   kita  lihat  bagaimana  rasuah   digunakan
  untuk  mendapat  kuasa,  bagaimana  media  menjadi  lebih
  berkuasa  daripada  pemimpin yang dipilih  dan  bagaimana
  minoriti  boleh  menidakkan  hak  majoriti.   Kita  lihat
  semua ini namun kita masih percaya kepada demokrasi.
  
  21.    Tetapi  hari  ini  diperkenalkan  pula   demokrasi
  pasaran   yang  lebih  kuat  dan  lebih  tinggi  daripada
  demokrasi  politik.  Hari ini kuasa pasaran atau  'market
  forces'  didakwa  berhak  untuk  mendisiplinkan  Kerajaan
  yang dipilih oleh rakyat.  'Market forces' ini bukan  pun
  dipilih  atau datang dari negeri sendiri tetapi  berpusat
  di  negara  asing.  Namun tidak ada siapa boleh  mencabar
  usaha  'market forces' untuk menentukan bentuk  Kerajaan,
  pemimpin  Kerajaan  dan negara serta dasar-dasar  negara.
  Bahawa  'market forces' ini hanya mengutamakan keuntungan
  bagi   segelintir   manusia  yang   tamak,   yang   tidak
  mempedulikan  azab  sengsara  yang  melanda  negara   dan
  rakyat  yang  menjadi  sasaran  serangan  mereka,   tidak
  mengapa.   Bahawa  'market forces'  ini  digunakan  untuk
  memaksa penerimaan pendapat mereka, yang mana ini  adalah
  bertentangan  dengan  prinsip demokrasi,  tidak  mengapa.
  Yang  penting ialah hari ini pendapat Barat ialah 'market
  forces'  kononnya lebih tahu tentang bagaimana menentukan
  Kerajaan  menjadi lebih demokratik, lebih  'transparent',
  lebih   bebas  daripada  rasuah  dan  'crony-capitalism'.
  Walaupun  ini  tidak  benar  dan  'market  forces'  hanya
  mengutamakan keuntungan bagi pihak tertentu tetapi  semua
  mesti  tunduk kepada 'market forces'.  Jika tidak 'market
  forces'   akan  mendisiplinkan  Kerajaan  dengan  mendera
  rakyat,  pekerja  dan  peniaga  sehingga  negara  menjadi
  bankrap.
  
  22.    Inilah  perkembangan  yang  baru  dalam   tafsiran
  demokrasi.   Mereka  sudah ubah  tiang  gol  sekali  lagi
  supaya  kita  tetap  tidak akan dapat mengejar  kejayaan.
  Dengan  ini perjuangan untuk mencapai kemerdekaan bermula
  semula.
  
  23.   Alhamdulillah, "God be Praised, up to  now  we  are
  still  able to resist.  We have not been forced to submit
  to  the  agencies which desire to establish control  over
  us."   Bahawa kita masih dapat menangkis penguasaan orang
  asing  keatas  kita  adalah bukti  dasar  dan  pendekatan
  ekonomi  negara dan Kerajaan berjaya menguatkan ketahanan
  negara  kita.  Jika tidak sudah tentu negara  kita  sudah
  lama tunduk kepada tekanan kuasa asing.
  
  24.    Hanya  mereka  yang  mempunyai  kepentingan  lain,
  seperti  kepentingan politik tertentu sahaja  yang  tidak
  mahu  mengakui  bahawa  dasar dan pendekatan  kita  dalam
  membangunkan  negara kita adalah baik dan berkesan.  Saya
  harap tidak ada sesiapa dalam Barisan Nasional yang  cuba
  mengguna   kegawatan  ekonomi  negara  untuk  kepentingan
  politik mereka.
  
  25.   Sebaliknya kita dalam Barisan Nasional  dan  rakyat
  keseluruhannya  hendaklah elak  daripada  pertikaian  dan
  bersatu   hati  dalam  usaha  mempertahankan   kedaulatan
  negara  dan  memulihkan  semula ekonomi  kita.   Kerajaan
  telah  menubuhkan Majlis Tindakan Ekonomi  Negara  (MTEN)
  untuk  menyelaras  usaha  ini  dan  kita  telah  mencipta
  pendekatan  yang  mampu  menangani  masalah  ini.    Yang
  diperlukan  ialah kesanggupan rakyat bersabar,  berkorban
  dan  menolong  menjayakan pendekatan  yang  dicipta  oleh
  MTEN dan Kerajaan.
  
  26.   Dengan harapan kita semua bersatu usaha dan tenaga,
  dan    mengenepikan    segala    kepentingan    peribadi,
  kepentingan  politik, kepentingan kaum  dan  mengutamakan
  bangsa dan negara untuk  memulihkan ekonomi negara,  saya
  dengan  sukacitanya merasmikan Perhimpunan Agung  Tahunan
  Parti Progresif Penduduk Malaysia (Baru) tahun 1997.

 
 



 
Google