home Speechs in the year 2003 2002 2001 2000 1999 1998 1997 1996 1995 1994 1993 1992 1991 1990 --> |
Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD Tempat/Venue : TECHNOLOGY PARK MALAYSIA, KUALA LUMPUR Tarikh/Date : 24/02/98 Tajuk/Title : PERASMIAN MASTERCENTRE TECHNOLOGY PARK MALAYSIA 1. Saya ucapkan terima kasih kepada pihak Technology Park Malaysia (TPM) kerana menjemput saya untuk merasmikan MASTERCentre Technology Park Malaysia pada hari ini. Sejak lawatan saya ke TPM 15 bulan dahulu, banyak kemajuan telah dicapai oleh TPM. 2. Penubuhan TPM adalah selaras dengan hasrat Kerajaan untuk meningkatkan bidang 'knowledge-based and high-tech industries' kerana ini adalah cara yang diperlukan bagi negara kita maju dengan pesat dan dapat bersaing dengan negara-negara lain. Negara-negara yang lebih maju seperti Taiwan, Jepun dan Amerika Syarikat memberi banyak tumpuan kepada industri kecil dan sederhana khasnya yang berlandaskan 'knowledge-based' iaitu isi kandungan pengetahuan yang tinggi. Oleh itu, perkembangan serta kemajuan industri jenis ini dalam pembangunan ekonomi adalah penting. 3. Saya difahamkan bahawa di Taiwan syarikat-syarikat industri sedemikian yang beroperasi terutamanya di Hsin Chu Science Park dapat menyumbang sejumlah besar kepada ekonomi negara tersebut melalui pengeluaran barangan dan khidmat atau 'service' bermutu untuk dieksport. Saya yakin jika kita mengambil langkah yang sama dalam membangunkan syarikat-syarikat tempatan yang kecil dan sederhana dalam bidang ini, kita juga akan beroleh kejayaan yang cemerlang. Kita percaya dan yakin bahawa rakyat kita juga mempunyai kemampuan dan keupayaan yang tidak kurang daripada rakyat negara yang lebih maju. 4. Saya gembira bahawa setakat ini semua ruang pejabat bagi syarikat tenan di TPM telahpun dipenuhi dalam masa setahun operasinya di sini. Kecapaian ini adalah menggalakkan dan saya percaya bahawa pembangunan Fasa Kedua TPM yang telahpun menerima banyak tempahan juga akan berjaya. Oleh kerana TPM juga terletak di tengah- tengah Koridor Raya Multimedia atau MSC, TPM mampu menambahkan nilai kepada penempatan syarikat-syarikat yang beroperasi di sini. 5. Saya difahamkan bahawa setakat ini perkembangan syarikat-syarikat tenan TPM adalah memuaskan. Saya harap semua syarikat tenan TPM akan berusaha menggabungkan daya kreatif dan kemudahan teknologi canggih supaya dapat mengeluarkan barangan dan 'service' yang bermutu hasil daripada penyelidikan yang dijalankan di sini. 6. Selaras dengan tarafnya sebagai institusi penyelidikan dan pembangunan, TPM di bawah program 'Industrial Research Priority Area' atau IRPA, hendaklah menerajui pembangunan teknologi yang inovatif supaya kita boleh menjadi pengeluar barangan dan perkhidmatan yang ulung di dunia. Kecapaian ini bukanlah mustahil bagi rakyat negara ini. Sebab itu Kerajaan telah banyak melabur dalam membangunkan kemudahan berteknologi tinggi seperti yang terdapat di TPM. Peralatan yang canggih dan terkini bagi industri Teknologi Maklumat dan Kejuruteraan telah pun dilengkapkan dan pekerja mahir juga diadakan di TPM. 7. Syarikat-syarikat tempatan digalakkan untuk menggunakan kemudahan yang tersedia di TPM supaya mereka tidak lagi terlalu bergantung kepada teknologi dari luar negara. Dalam keadaan ekonomi sekarang, syarikat-syarikat tempatan hendaklah mencari jalan yang bijak untuk berdikari sambil mengurangkan kos perbelanjaan. Kita mesti berkebolehan dan berupaya untuk menghasilkan teknologi sendiri supaya kita dapat mengeluarkan barangan bagi kegunaan tempatan dan antarabangsa. Pengimportan segala teknologi serta barangan untuk keperluan kita adalah jalan mudah yang harus kita kurangkan. 8. Kerajaan akan sentiasa memberi perhatian kepada usaha-usaha untuk menghasilkan barangan kita sendiri. Dalam hal ini, pengguna juga mestilah menyokong dan membeli barangan Malaysia. Kita hendaklah percaya sepenuhnya kepada keupayaan kita mencipta dan mengeluarkan barangan 'world standard' yang menyaingi apa yang dihasilkan di luar negara. Kalau pengguna kita tidak dapat menerima barangan buatan Malaysia sendiri, bagaimanakah industri kita dapat berkembang dengan lebih pesat lagi? 9. Malaysia sekarang ini adalah negara pengeluar yang ke-16 di dunia dengan hasil eksport sebanyak US$78.2 billion. Walaubagaimanapun, kedudukan kita ini haruslah dipertingkatkan melalui pengeluaran yang lebih pesat oleh industri tempatan. Umpamanya, Malaysia adalah pengeluar pendingin udara yang terbesar di dunia tetapi kebanyakan alat ini adalah dikeluarkan oleh syarikat- syarikat besar yang mempunyai kilang di Malaysia. Bahawa kita dapat mengeluarkan barangan ini untuk syarikat asing bermakna kita mampu dan boleh mengeluarkan barangan ini untuk dan oleh syarikat milik kita. Kemungkinannya ialah kos kita dapat dikurangkan sementara mutu keluaran terus tinggi. 10. Dalam hal ini, syarikat-syarikat tempatan harus bertindak dengan menguasai teknologi asing dengan cepat. Mereka juga perlu berusaha bukan sahaja memasang atau 'assemble' barangan daripada komponen yang kebanyakannya diimport, tetapi mereka hendaklah mengeluarkan komponen buatan sendiri. Pengeluaran komponen memerlukan 'volume' yang besar dan mutu yang bertaraf antarabangsa. Tujuan dan matlamat pengeluaran komponen hendaklah tidak terhad kepada membekal kilang-kilang tempatan sahaja tetapi untuk dieksport ke negara lain supaya 'volume' dapat menolong mencapai 'economies of scale' yang boleh mengurangkan kos. Industri pengeluaran komponen memerlukan 'precision engineering' kerana kebanyakan daripada 'child parts' untuk komponen amatlah kecil dan perlu kepada 'precision' untuk berfungsi dengan baik. Bidang 'precision engineering' termasuk dalam takrif 'hi- tech' yang sesuai dengan peningkatan teknologi di negara kita. 11. Dalam bidang perkhidmatan pula, Malaysia boleh menggunakan kedudukannya dengan menawarkan khidmat runding kepada negara yang sedang membangun. Untuk mengambil peluang nilai matawang kita yang kini lebih rendah, Malaysia boleh menyediakan 'service' dalam bidang teknologi maklumat umpamanya dengan nilai yang agak kompetitif. 12. Semua usaha ini akan dapat dilaksanakan melalui penyediaan kemudahan serta pekerja mahir dan berilmu yang cekap lagi produktif. Malaysia kini sedang membangunkan sektor pendidikan supaya pelajar-pelajar kita boleh mendapatkan pengajian tinggi di pusat-pusat pengajian tinggi tempatan. Saya difahamkan bahawa TPM sedang merancang untuk menawarkan kursus-kursus khas serta latihan kemahiran kepada kakitangan industri dalam bidang berteknologi tinggi seperti robotik dan kejuruteraan melalui kerjasama dengan institusi pengajian tinggi dan universiti yang terulung di dunia. Tujuannya adalah untuk mempertingkatkan tenaga mahir dalam industri sambil memberi peluang kepada pelatih untuk mendapatkan ijazah selepas tamat latihan. Rancangan ini adalah bersesuaian dengan keperluan negara yang tidak mencukupi sumber infrastruktur pendidikan dan latihan. TPM sebagai pusat kecemerlangan dalam bidang pengajian tinggi memang wajar menyediakan peluang sedemikian selaras dengan objektifnya. 13. Saya gembira bahawa pada hari ini TPM melancarkan MASTERCentrenya yang menempatkan makmal Robotiknya, hasil daripada perjanjian dengan Fanuc Ltd dan Mitsui and Co. dari Jepun yang saya saksikan 15 bulan dahulu. Dalam masa ini TPM bukan sahaja dapat menyediakan kemudahan daripada segi peralatan, tempat dan pekerja mahir dan terlatih tetapi juga sudah berupaya menjalankan latihan bagi industri otomotif dan yang berkaitan. 14. Peranan TPM dalam menyediakan kemudahan ini bukan terhad kepada melatih pekerja mahir untuk industri berteknologi tinggi tetapi juga untuk membantu memenuhi keperluan tenaga kerja. Di samping itu, TPM dapat membantu Malaysia meningkatkan tahap pengetahuan, kemahiran dan kepakaran sumber manusia. Seperti negara- negara maju yang lain, sumber manusia dari Malaysia yang mempunyai kepakaran tertentu juga akan dapat mengeksport kepakaran mereka ke luar negara. 15. Buat masa ini, banyak pembaharuan telah pun ditingkatkan dalam pembuatan peralatan dan perisian yang menjadikan peralatan Robotik lebih murah seperti juga yang dialami di dalam industri komputer. Penggunaan Robotik di dunia juga adalah lebih terjalin dengan terdapat lebih daripada sejuta pemasangan Robot di seluruh dunia pada masa ini. 16. Langkah TPM membantu industri tempatan adalah tepat dan pihak industri disarankan supaya bekerjasama dengan TPM untuk memperolehi hasil daripada kekuatan masing-masing. Pertamanya kerjasama ini boleh menjadikan Malaysia sebagai pusat pengeluaran yang pintar dengan terdapatnya kemudahan infrastruktur khas, pekerja mahir dan tumpuan teknologi tinggi. Kemudiannya, kita boleh mengurangkan beban import melalui proses pengeluaran 'upstream' seperti pengeluaran 'mould and dies' komponen dan 'precision child parts' yang diguna untuk membuat komponen. 17. Pelaburan Kerajaan yang tinggi untuk membangunkan kemudahan robotik serta pekerja mahir di MASTERCentre TPM adalah bagi membantu industri di Malaysia mengambil manfaat daripada kegunaannya. Saya menyeru semua pihak supaya menggunakan sepenuhnya kemudahan robotik yang disediakan ini dalam kegiatan latihan, pembuatan komponen dan barangan mereka serta bagi penyelidikan, penciptaan dan pembangunan supaya kita boleh meningkatkan mutu dan jumlah pengeluaran negara kita. Kita hendaklah berani mencipta cara dan produk yang baru yang belum pernah dicuba atau dikeluarkan oleh sesiapa. Janganlah kita terlalu terkongkong dengan produk yang sedia ada yang dicipta oleh orang lain. Yakinlah kepada diri sendiri. 18. Dengan ini saya dengan sukacitanya merasmikan MASTERCentre Technology Park Malaysia. |