Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD Tempat/Venue : WISMA MCA, KUALA LUMPUR Tarikh/Date : 30/05/98 Tajuk/Title : PERASMIAN PERHIMPUNAN AGUNG TAHUNAN MCA KE-45 Saya ucapkan terima kasih kepada Jawatankuasa Pusat Parti MCA kerana menjemput saya sekali lagi untuk merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan MCA yang ke-45. 2. Saya juga ingin merakamkan tahniah dan syabas kepada YB Datuk Seri Dr Ling Liong Sik di atas kepimpinan beliau dalam menerajui parti MCA. Kecekapan dan kejujuran politik adalah penting, terutama sekali pada saat-saat ini di mana Malaysia menghadapi kegawatan ekonomi. Saya berbangga pihak MCA bersama-sama mempunyai azam untuk memulihkan ekonomi negara dan berusaha untuk mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku apabila masalah seperti ini menimpa negara. 3. Sehingga 1997, Malaysia telah menempuh kejayaan yang cemerlang. Selama 10 tahun berturut-turut Malaysia mencapai pertumbuhan ekonomi lebih lapan peratus dan kejayaan ini bukan sahaja telah menghasilkan pembangunan pesat daripada segi kemewahan tetapi negara juga berjaya mencapai keadilan sosial melalui agihan kekayaan negara secara yang saksama. Dalam hal ini, konsep Persyarikatan Malaysia yang merapatkan hubungan diantara Kerajaan dan masyarakat peniaga dan pengusaha banyak membantu bukan bumiputera mencapai kejayaan. Berikutan itu kadar kemiskinan telah menurun dan rakyat dapat mengecapi hasil daripada pertumbuhan ekonomi negara. Kualiti hidup pun meningkat. Kita dipuji dan digelar 'economic tigers' dan sebagainya dan Malaysia menjadi 'model' untuk dicontohi oleh negara-negara membangun lain. 4. Bagaimanapun Malaysia telah diserang oleh peniaga- peniaga matawang atau 'currency traders' pada Julai tahun 1997. Apa yang berlaku bukanlah kerana perbuatan kita yang kononnya salah, iaitu perbuatan Kerajaan ataupun rakyat. Sebenarnya keadaan kelembapan ekonomi sekarang disebabkan oleh segelintir manusia yang tamak, yang sanggup memusnahkan negara-negara yang sedang membangun dengan menjatuhkan nilai matawang negara-negara tersebut untuk keuntungan serta-merta yang besar. Kini negara-negara di Asia Timur mengalami berbagai-bagai masalah sosial dan politik akibat kejatuhan nilai matawang. Kestabilan politik terus tergugat kerana rakyat merasai kepahitan hidup akibat tekanan peningkatan harga barang-barang asas dan penting seperti makanan dan sebagainya. Ramai pekerja kehilangan pekerjaan, menganggur dan tidak berupaya membeli barang keperluan hidup, termasuk ubat-ubatan dan susu untuk anak-anak. 5. Jelas bahawa 40 tahun pembangunan, kekayaan dan kemakmuran yang dicapai telah dimusnahkan dengan sekelip mata. Ini semua disebabkan oleh perbuatan sesetengah golongan manusia yang tidak bertanggungjawab, yang sanggup menjatuhkan ekonomi negara-negara ini kerana 'greed'. Sifat tamak mereka telah menjejaskan kehidupan rakyat semata-mata kerana kepentingan diri masing-masing. Walaupun saya sedih kerana krisis ini bererti nilai matawang kita telah merosot sebanyak 50 peratus, saya masih dapat bersyukur dan berbangga kerana rakyat di negara ini menunjukkan semangat kental, sanggup mengenepikan kepentingan diri dan memberi sokongan padu kepada Kerajaan untuk sama-sama mengatasi masalah kegawatan ekonomi negara. 6. Satu kesan penting yang kita perolehi daripada krisis kewangan ini ialah ianya telah memberi semangat yang gigih untuk kita sama-sama menentang 'musuh' dan 'musuh' yang saya maksudkan ini ialah krisis yang melanda rantau ini. Krisis ini telah menjadikan kita semua lebih kuat daripada segi keyakinan diri, keberanian, dedikasi dan semangat mahu menentang 'musuh' ini 'head on'. Tidak guna kita merungut tetapi tidak membuat sesuatu yang dapat membantu diri sendiri atau negara mengatasi masalah- masalah yang dihadapi sekarang. Demi kepentingan negara, banyak perkara yang boleh dijalankan yang sedikit sebanyak dapat mengurangkan tekanan sara hidup yang meningkat ke atas kehidupan harian rakyat. 7. Ini adalah masanya bagi kita menunjukkan kemampuan kita menghadapi masalah secara rasional, sistematik dan praktikal. Jika itu yang dikehendaki oleh negara-negara maju yang mengagung-agungkan 'market forces' atau konsep seperti globalisasi dan liberalisasi, maka pendekatan untuk mengatasi masalah-masalah ini ialah dengan cara- cara tertentu kita. Pertamanya adalah penting kita kukuhkan perpaduan kita, dan seterusnya kita tingkatkan produktiviti kita, tingkatkan simpanan, dan juga daya saing negara kita. 8. Untuk tujuan ini saya gembira bahawa MCA sebagai parti komponen Barisan Nasional telah menjalankan beberapa program khususnya untuk membantu ahli-ahlinya dan rakyat umum supaya tekanan ekonomi yang menimpa Malaysia secara keseluruhan dapat dikurangkan. Usaha- usaha untuk mengutip derma untuk tabung-tabung tertentu dapat membantu negara dalam usaha membendung tekanan ke atas kewangan negara. Sebenarnya kekayaan ada pada kita tetapi ianya tidak diguna kerana kegunaannya tidak perlu. Kekayaan yang saya maksudkan ialah simpanan wang dan harta benda, terutama barangan kemas yang tidak memberi apa-apa hasil kepada kita. Kekayaan tersimpan ini hendaklah kita gerakkan untuk menjadi modal negara, dan digunakan oleh peniaga dan pengusaha sebagai pinjaman yang boleh menolong membangunkan semula kegiatan ekonomi. 9. Selain daripada itu perbelanjaan kita semua hendaklah lebih bijak. Jika kita berhenti membeli-belah maka ia akan menyebabkan peniaga menghadapi masalah. Sementara kita patut kurangkan perbelanjaan yang membazir, kita seharusnya mengguna duit yang diselamatkan untuk membeli barangan tempatan. Saya ucapkan syabas kepada MCA kerana mengadakan kempen untuk membeli barang-barang tempatan. Ini akan mengurangkan aliran wang kita ke luar negara, di samping memajukan industri tempatan. Kempen ini hendaklah diteruskan. Kita tidak akan rugi kerana barang tempatan kita sekarang adalah setaraf dengan mutu barangan yang sama di dunia. "We supply the world with quality goods. Now we should buy our own quality goods to help our businesses to recover". 10. Malaysia adalah negara yang mempraktikkan kesederhanaan dan toleran. Keamanan yang wujud selama berpuluh tahun adalah bukti rakyat memahami perbezaan- perbezaan kaum yang wujud tetapi sengaja memilih jalan yang "moderate" yang mengenepikan perbezaan-perbezaan ini. Bahawa rakyat negara ini adalah terdiri daripada pelbagai kaum, tetapi berjaya hidup dengan harmonis mendapat perhatian rakyat negara asing yang menghadapi rusuhan kaum, masalah sosial dan sebagainya. Formula yang digunakan adalah 'simple' iaitu semua kaum mestilah sama pembangunan mereka supaya kekayaan negara terbahagi secara yang adil. Di masa yang sama kita tidak akan ambil harta kekayaan mana-mana kaum untuk diberi kepada kaum tertentu. Kita akan wujudkan kekayaan yang baru untuk diberikan kepada kaum yang tertinggal. Dengan ini semua kaum akan berasa puas hati dan tidak teraniaya. 11. Pendekatan ini adalah berbeza dengan cara sosialis yang merampas hak mereka yang kaya untuk diberi kepada yang miskin. Tidak siapa boleh berkata bahawa mereka tidak dapat sesuatu daripada usaha menyusun semula masyarakat yang dimulakan pada tahun 1970. Kita tahu bahawa ramai mereka yang berpindah ke negara lain kerana takut kepada kesan penyusunan semula masyarakat Malaysia telah kembali ke Malaysia atau ingin pulang ke Malaysia. 12. Saya gembira MCA sebagai parti komponen penting dalam Barisan Nasional berjaya memainkan peranan yang berkesan dalam meningkatkan perpaduan kaum dan membantu dalam pembangunan ekonomi dan sosial negara. 13. Sekali lagi saya ucapkan syabas kepada Datuk Seri Dr Ling Liong Sik yang mempunyai keazaman yang kuat untuk memelihara perpaduan dalam parti dan seterusnya menyumbang kepada kesejahteraan negara. Bersama-samalah kita berusaha memulihkan semula ekonomi kita supaya kita akan terus maju dan mencapai cita-cita yang kita telah tetapkan. 14. Dengan ini saya dengan sukacitanya merasmikan mesyuarat Agung Tahunan MCA ke-45.