home Speechs in the year 2003 2002 2001 2000 1999 1998 1997 1996 1995 1994 1993 1992 1991 1990 --> |
Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD Tempat/Venue : ISTANA NEGARA, KUALA LUMPUR Tarikh/Date : 06/06/98 Tajuk/Title : MAJLIS MENGADAP DAN ISTIADAT PENGURNIAAN DARJAH KEBESARAN SEMPENA ULANGTAHUN HARI KEPUTERAAN BAGINDA YANG DI-PERTUAN AGONG UCAPAN TAHNIAH DAN IKRAR TAAT SETIA Dengan penuh hormat dan takzim-Nya pihak Kerajaan, pegawai dan kakitangan dan seluruh rakyat mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Tuanku sempena ulangtahun Keputeraan rasmi Tuanku pada hari ini. Semua pihak berdoa ke hadrat Allah Subhanahu wa Ta'ala semoga dilanjutkan usia serta dilimpahkan rahmat-Nya ke atas Tuanku dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Najihah dan semoga Tuanku berdua berada di dalam keadaan sihat, sejahtera dan penuh kedaulatan. 2. Syukur Alhamdulillah, negara kita terus dapat berada dalam keadaan aman damai dan rakyat hidup dalam iklim bersatu padu dan berharmoni walaupun negara kita sedang dilanda masalah ekonomi. Hanya pada tahun lalu sahaja pada majlis yang sama ini Kerajaan meramalkan negara akan mengalami pertumbuhan ekonomi yang kukuh dan mampan. Negara dipercayai akan terus dapat mengekalkan kadar pertumbuhan lebih lapan peratus setahun dan kadar inflasi terus rendah di paras tiga peratus. 3. Bagaimanapun, seperti yang semua sedia maklum, negara ini tiba-tiba menjadi mangsa serangan ekonomi oleh spekulator-spekulator matawang asing. Akibatnya, nilai matawang kita jatuh dengan teruk disusuli dengan nilai saham-saham di Bursa Saham Kuala Lumpur jatuh menjunam. Kesannya, kuasa belian dengan matawang Ringgit kita merosot dan syarikat-syarikat yang disenaraikan di BSKL menjadi lemah dan tidak bermaya. Kerajaan pula terpaksa mengkaji semua unjuran kadar pertumbuhan negara yang mungkin jatuh di bawah paras empat peratus dan inflasi meningkat pada enam atau tujuh peratus. 4. Selama lebih satu dekad Malaysia mencapai pertumbuhan ekonomi yang pesat dan tinggi dan rakyat menikmati hasil pembangunan dan kemakmuran negara yang begitu tinggi. Kita digelar 'negara ekonomi harimau' dan pencapaian ekonomi kita dianggap satu 'keajaiban'. Tetapi, seperti yang diakui Kerajaan, mempertahankan kejayaan lebih sukar daripada menciptanya. 5. Tiba-tiba tanpa apa-apa pertukaran Kerajaan atau dasar atau pendekatan, pihak tertentu mendakwa mereka sudah tidak yakin akan pertumbuhan ekonomi negara ini, lalu mereka bertindak untuk menjatuhkan nilai matawang kita dan nilai saham kita. Negara yang maju sekali pun akan merosot ekonominya jika nilai matawang jatuh 50 peratus dan saham juga jatuh dengan teruk. Apatah lagi negara membangun seperti Malaysia. 6. Oleh sebab semua ini keadaan ekonomi negara kita tidaklah seperti yang diramal pada ulangtahun Hari Keputeraan Rasmi tahun lalu. Namun demikian ekonomi negara belum menjadi begitu buruk sehingga terpaksa meminta bantuan badan antarabangsa. Jika kita terpaksa meminta pertolongan maka bukan sahaja ekonomi kita akan menjadi lebih buruk tetapi urusan ekonomi kita tidak lagi akan dikuasai oleh kita. Dengan lain perkataan secara langsung kemerdekaan kita akan tergugat. 7. Ada rakyat yang berpendapat adalah lebih baik kita serah urusan ekonomi kita kepada pakar-pakar badan antarabangsa. Malangnya penyerahan sedemikian tidak menjamin ekonomi akan pulih semula. Kebanyakan negara yang menerima apa yang dikatakan sebagai bantuan antarabangsa mengalami kemerosotan ekonomi yang semakin teruk sehingga politik menjadi tidak stabil, pengangguran meningkat sehingga berjuta-juta hilang pekerjaan, pendapatan mereka yang masih bekerja susut daripada segi kuasa membeli, syarikat-syarikat dan bank-bank muflis dan inflasi meningkat secara mendadak. 8. Memang benar semua ini boleh juga berlaku jika tekanan yang lebih teruk dikenakan kepada Ringgit kita dan saham kita. Tetapi sekurang-kurangnya kita bebas menentukan dasar ekonomi kita, menolong memulihkan syarikat-syarikat kita dan akhirnya menyelamatkan negara kita. Pemulihan sudah tentu tidak mudah tetapi kita yakin dengan mengurangkan pergantungan negara kita kepada tukaran asing, sedikit sebanyak kita akan terselamat daripada ancaman serangan ke atas matawang dan ekonomi negara kita. 9. Pemulihan ini akan mengambil masa yang panjang dan akan memerlukan ketabahan hati serta pengorbanan daripada semua rakyat. Rakyat Malaysia dipercayai menghargai kemerdekaan negara dan saranan untuk tabah hati dan sanggup berkorban bukanlah tidak mampu dipikul oleh mereka. 10. Kerajaan telah dan sedang menggubal strategi bagi mengurangkan kesan kejatuhan nilai Ringgit berbanding dengan dolar Amerika. Perkara yang terpenting ialah mengurangkan import. Ada barangan yang tidak perlu, barangan mewah umpamanya yang boleh dihentikan sama sekali penggunaannya. Ini akan mempunyai kesan kepada peniaga yang mengimport dan menjual barangan ini. Kerajaan berharap peniaga akan beralih kepada barangan ganti yang diperolehi dalam negeri. 11. Bagi barangan perlu seperti gula, gandum, susu dan lain-lain, rakyat dikehendaki bersedia mengurangkan kegunaannya sebagai bahan makanan. 12. Barang yang penting ini sudah tentu akan naik harganya. Tetapi perbelanjaan bulanan tidak akan naik terlalu sangat jika penggunaannya dikurangkan. 13. Bagi menambah pendapatan negara, eksport barangan akan ditingkatkan. Jika daya keluaran atau produktiviti dapat ditingkatkan maka daya saing barangan kita boleh meningkat dan dengan itu eksport akan bertambah. 14. Selain bahan mentah keluaran tempatan seperti kelapa sawit dan getah, barangan eksport Malaysia memerlukan bahan mentah atau komponen yang diimport yang mana semua ini meningkat harganya. Pengurusan serta pekerja hendaklah menentukan kos dalam negeri tidak meningkat untuk memelihara daya saing barangan kita. 15. Selain itu Kerajaan akan menentukan dagangan di antara Malaysia dengan negara-negara asing menggunakan matawang Ringgit dan matawang negara berkenaan. Dengan cara ini kita tidak perlu membeli dolar Amerika yang akan menyebabkan nilai Ringgit kita jatuh. Juga kita akan dapat mengurangkan risiko kadar pertukaran iaitu dengan tidak melibatkan risiko dengan dolar Amerika. Cara-cara untuk berniaga dengan penggunaan matawang negara berkenaan telahpun digubal dan Bank Negara akan mengurus 'clearing house' yang diperlukan untuk tujuan ini. 16. Kerajaan juga telah mengambil banyak tindakan lain untuk menyelamat ekonomi negara. Bahawa sehingga kini kita belum terpaksa meminta pertolongan badan-badan antarabangsa mungkin disebabkan oleh tindakan-tindakan tersebut. Namun kepercayaan rakyat kepada Kerajaan amatlah penting kerana tidak semua daripada pendekatan negara dapat diumumkan. 17. Alhamdulillah, berbagai-bagai tekanan, termasuk usaha untuk melemahkan keyakinan kepada Kerajaan, memecahbelahkan kepimpinan negara, menjadikan syarikat- syarikat kita muflis, melaga-lagakan peniaga-peniaga kecil dan besar dan bermacam-macam lagi tidak berjaya mencetuskan huru-hara. Percubaan untuk menyalahkan peniaga Bumiputera kononnya kerana peluang yang diberi kepada mereka melalui penswastaan adalah sebabnya kegawatan ekonomi berlaku juga tidak berkesan. 18. Masalah ekonomi yang melanda negara tidak boleh tamat dalam jangkamasa yang pendek. Kita mesti bersedia untuk menghadapi masalah ini walaupun ia berterusan seberapa lama. Usaha ke arah ini mestilah berasas kepada keupayaan kita sendiri dan ketabahan hati kita. Sementara kita tidak menolak peranan orang asing dalam meredakan keadaan ekonomi kita, kita tidak boleh bergantung semata-mata kepada menyakinkan mereka. 19. Kerajaan percaya negara kita akan dapat mengatasi masalah ekonomi lambat laun, InsyaAllah. Kepercayaan ini diasaskan kepada kekukuhan dan kestabilan politik dan sosial kita. Kerajaan akan menangani sebarang usaha untuk mencetuskan ketidakstabilan dengan bijak. Semua pihak daripada pekerja yang menganggur, peniaga hingga ke pengusaha kecil dan besar akan diberi pertolongan supaya mereka tidak terlalu tertekan kerana sebab-sebab yang bukan di bawah kuasa mereka. Tidak ada siapa yang akan diabaikan oleh Kerajaan atau masalah mereka diambil ringan. 20. Sebelum mengakhiri ucapan ini dan sempena hari yang mulia ini, Kerajaan dan seluruh rakyat sekali lagi memberi ikrar taat setia kepada Tuanku sebagai Yang di-Pertuan Agong dan Tuanku Najihah sebagai Permaisuri Agong semoga Tuanku berdua dapat memerintah negara ini dengan adil dan saksama serta sentiasa berada dalam keadaan sihat walafiat dan sejahtera. |