home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	PUSAT DAGANGAN DUNIA PUTRA, 
			KUALA LUMPUR 
Tarikh/Date 	: 	19/06/98 
Tajuk/Title  	: 	PERHIMPUNAN AGUNG UMNO 



                     " CABARAN KEGAWATAN "  
  
       Dalam  beberapa hari lagi genaplah 12  bulan  negara
  kita  berada dalam kegawatan ekonomi.  Tahun lepas semasa
  kita  mengadakan  Mesyuarat Agung Tahunan  kesan  tekanan
  kegawatan ekonomi belum dirasai oleh kita.  Sekarang  ini
  pun  ramai  yang belum merasai bahang kegawatan  ekonomi.
  Pekebun  kelapa  sawit  umpamanya tidak  merasai  apa-apa
  sama  sekali  bahkan mereka gembira kerana  harga  kelapa
  sawit melambung naik.
  
  2.    Bagaimanapun ramai daripada penduduk di luar bandar
  telah   mula  merasai  tekanan  ekonomi  kerana  beberapa
  barang keperluan seperti gula telah naik harga.
  
  3.    Jika  kita  perhatikan kesibukan  di  bandar-bandar
  termasuk di Kuala Lumpur adalah sukar bagi kita dan  bagi
  pelawat  asing untuk mempercayai bahawa wujud kemerosotan
  ekonomi  di  negara  kita.  Kereta sesak  di  jalan-jalan
  seperti  dahulu,  gedung  membeli-belah  dibanjiri   oleh
  pembeli,  restoran dan hotel tidak kurang  pelanggan  dan
   kren-kren   bergerak  cergas  mengangkut   bahan   binaan
  sehingga ke larut malam.
  
  4.    Jadi di manakah buktinya ekonomi gawat?  Di manakah
  buktinya  ekonomi  merosot?  Di  manakah  bukti  kononnya
  orang  asing  menganiayai  kita dengan  menurunkan  nilai
  matawang  dan  harga saham?  Matawang  dan  saham  adalah
  urusan  orang kaya. Biarkanlah mereka rasa sedikit  pedih
  pahitnya hidup dengan kejatuhan nilai matawang dan  saham
  mereka.   Mereka terlalu mewah, memiliki kereta Mercedes,
  ada  kapal terbang sendiri bahkan ada kapal laut sendiri.
  Biarkanlah  mereka rasa sedikit penderitaan seperti  yang
  dirasai orang miskin, mudah-mudahan mereka akan insaf.
  
  5.    Bukankah  'Mat  Salleh' sudah berkata,  dan  tokoh-
  tokoh  parti  lawan  kita  pula  menyahut,  mereka   yang
  menghadapi  masalah  ekonomi  adalah  'crony'   pemimpin-
  pemimpin  Kerajaan, 'crony' Menteri-Menteri  dan  Perdana
  Menteri.   Mereka  menyamun  duit  negara,  duit   rakyat
  melalui   pelbagai   cara  termasuk  penswastaan   projek
   Kerajaan.   Nah,  hari ini mereka sudah  kehilangan  duit
  bahkan  diburu  oleh  bank kerana  tidak  dapat  membayar
  hutang.  Syarikat mereka mungkin bankrap.  Mereka mungkin
  juga  dipenjara.  Ini amatlah adil. Inilah balasan kepada
  mereka   dan  Kerajaan  yang  tidak  telus,   korup   dan
  sebagainya.  Kejatuhan matawang adalah kerana mereka  dan
  elok  sekali mereka merasainya.  'Mat Salleh' tahu kerana
  mereka  'Mat  Salleh'  dan mereka lebih  pandai  daripada
  kita.
  
  ELAK NAFSU KUASAI DIRI SEMASA KEGAWATAN
  
  6.    Manusia  biasanya  amat gemar melihat  yang  tinggi
  jatuh  merudum.  Perasaan iri hati dan benci memang  kuat
  dalam  hati manusia. Tetapi manusia juga dikurniakanTuhan
  dengan  akal  fikiran,  tahu apa  dianya  keadilan,  tahu
  menimbang  di  antara sesuatu dengan yang  lain  walaupun
  dengan  perkara  yang tidak boleh ditimbang  atau  diukur
  secara fizikal.  Manusia tidak seperti haiwan yang  tidak
  ada  akal fikiran dan tidak tahu membanding dan menimbang
   di   antara  sesuatu  dengan  yang  lain.  Haiwan   hanya
  mempunyai  nafsu.   Masyarakat manusia  yang  membenarkan
  diri   mereka  dikuasai  oleh  nafsu  semata-mata   tidak
  mungkin  dapat  mendirikan tamadun yang  tinggi,  tamadun
  yang  mampu berjaya, yang boleh membawa kebahagiaan hidup
  kepadanya.
  
  7.    Dalam  masalah kegawatan ekonomi yang  kita  hadapi
  ini,   kita,   terutama  UMNO,  ahli-ahlinya,   pemimpin-
  pemimpinnya  di semua peringkat, tidak boleh  membenarkan
  nafsu  menguasai  pemikiran kita.   Sebaliknya  pemikiran
  hendaklah  menguasai  atau sekurang-kurangnya  membendung
  nafsu.   Biarlah orang lain dikuasai perasaan  iri  hati,
  benci,  dendam  dan  sebagainya.   Apa  juga  yang   kita
  lakukan   hendaklah   diasaskan  kepada   pemikiran   dan
  perhitungan  sesuai  dengan tamadun yang  tinggi,  insya-
  Allah.
  
  8.    Apakah  benar  kegawatan  dan  kemerosotan  ekonomi
  disebabkan  oleh Kerajaan-kerajaan negara  Asia  Tenggara
  dan  Timur  tidak cekap, tidak telus, korup,  mengamalkan
   'crony-capitalism'  dan sebagainya?   Jika  benar,  sejak
  bila?   Apakah  ia bermula pada bulan Julai  1997?   Atau
  mungkinkah  dalam beberapa bulan atau tahun sebelum  1997
  keburukan  pemerintahan negara-negara ini telah sama-sama
  menjadi  begitu ketara?  Mungkin.  Tetapi sehingga  bulan
  Julai  1997   negara-negara ini dipuji  kerana  kecekapan
  pemerintah  mereka.  Negara mereka digelar 'Harimau'  dan
  'Naga   Asia',  dengan  ekonomi  yang  berkembang  pesat,
  dengan   industri   yang  bertaraf  dunia,   yang   mampu
  mengeluarkan  barangan yang canggih yang  boleh  bersaing
  dengan  jayanya di pasaran dunia.  Rakyat  mereka  mewah,
  mempunyai pekerjaan, tidak merusuh dan pecah kedai  untuk
  mencuri barang.
  
  9.      Tiada    siapa    menafikan    adanya    korupsi,
  ketidaktelusan  dan sebagainya dalam    Kerajaan-kerajaan
  di  Asia Timur ini.  Negara maju di Barat pun tidak bebas
  daripada  gejala ini.  Tetapi negara yang  terlalu  buruk
  pemerintahannya  tidak mungkin dapat  dibangunkan  dengan
   pesat.   Banyak   negara  membangun  yang   tidak   dapat
  dimajukan  sama  sekali kerana pemerintahan  yang  korup,
  tidak   telus,  tidak  cekap  dan  lain-lain.   Kenapakah
  negara  yang  jelas mempunyai pemerintahan  yang  terang-
  terang  korup  dan tidak telus tidak mengalami  kejatuhan
  nilai  matawang seteruk negara-negara Asia  Timur?   Kita
  hairan  mengapa ada negara-negara membangun  yang  dahulu
  tidak  dapat dibangunkan walaupun di tahap yang sederhana
  tetapi  hari  ini  nilai  matawang  mereka  lebih  tinggi
  daripada  matawang  kita.  Sebaliknya negara-negara  Asia
  Tenggara  yang sekarang dikatakan mempunyai  pemerintahan
  yang  buruk pernah tumbuh dengan pesat dan tinggi dahulu,
  sehingga digelar 'Harimau' ekonomi.
  
  PENGARUH BURUK PENYERANG MATAWANG
  
  10.   Sebenarnya ketidaktelusan dan korupsi serta 'crony-
  capitalism'  yang  dikatakan  terdapat  di  negara-negara
  Asia   Tenggara  ini  hanyalah  alasan  untuk   menyerang
  kewangan  dan  ekonomi  negara-negara  ini.   Kita  tidak
   menafikan  sedikit sebanyak ada kebenaran dalam  perkara-
  perkara  yang  dituduh itu, tetapi penyerang  juga  tidak
  boleh  menafikan bahawa serangan ke atas matawang memberi
  keuntungan   yang  amat  besar  kepada   mereka.    Dalam
  jangkamasa  yang  pendek  sahaja,  hanya  beberapa   jam,
  keuntungan  berjuta-juta  dolar  boleh  didapati  melalui
  dagangan    matawang.    Sebaliknya   perniagaan    biasa
  memerlukan  pelaburan yang besar, kerja-kerja yang  rumit
  dan  memakan  masa yang panjang, berisiko tinggi  sebelum
  keuntungan yang agak kecil diperolehi.  Bagi mereka  yang
  mengurus dana atau bank, dagangan matawang lebih  menarik
  daripada  memberi hutang untuk mendapat faedah.  Sekarang
  ini  bank-bank  besar  di  dunia semakin  banyak  memberi
  tumpuan  mereka  kepada  dagangan  matawang  yang  begitu
  menguntungkan,   walaupun  dagangan   mereka   merosakkan
  kehidupan  orang  lain.   Hari ini  mereka  perlu  alasan
  untuk  menjatuhkan  nilai matawang.   Esok  alasan  tidak
   akan  diperlukan  lagi.   Asalkan keuntungan  yang  besar
  boleh diperolehi apa sahaja akan dibuat oleh mereka.
  
  11.     Mereka   sekarang   membuat   persediaan   dengan
  membesarkan  bank  dan  syarikat  besar  mereka   melalui
  cantuman, belian dan sebagainya.  Baru-baru ini  cantuman
  dua  buah  bank gergasi menjadikan dana mereka  berjumlah
  AS$653   bilion.   Bandingkan  ini  dengan  rizab  negara
  seperti Malaysia yang hanya berjumlah lebih kurang  AS$20
  bilion.   Jika  bank gergasi seperti ini menjual  Ringgit
  umpamanya,  kita  akan  kehilangan semua  simpanan  Dolar
  kita  jika  kita  cuba  mempertahankan  Ringgit.   Kerana
  mereka  tahu  kita  tidak  dapat mempertahankan  Ringgit,
  maka  mereka  bermaharajalela.  Mereka antara  kita  yang
  sering  bercakap berkenaan hak asasi manusia perlu  ingat
  bahawa   bagi   yang  tamak,  ketamakan   mereka   adalah
  sebahagian daripada hak asasi mereka.
  
  12.   Jumlah dana yang dimiliki oleh bank-bank  besar  di
  negara  maju adalah sebanyak AS$28 trilion iaitu 28  ribu
   bilion  atau  28  ribu-ribu juta.  Sementara  itu  'hedge
  fund'  pula memiliki AS$180 bilion. Dengan AS$180  bilion
  ini  mereka  dibenarkan  oleh bank  menggunakan  20  kali
  ganda  nilai dana tersebut untuk dagangan matawang, iaitu
  sebanyak AS$3.6 trilion.
  
  PENJAJAHAN CARA BARU
  
  13.     Penguasaan   tanah   jajahan   melalui   kekuatan
  ketenteraan  tidak  lagi dapat diterima  oleh  masyarakat
  dunia.   Tetapi  penjajahan  fizikal  seperti  ini  tidak
  perlu  lagi.  Penguasaan melalui dagangan matawang  tidak
  kurang  kesannya.  Negara yang berada pun  boleh  dijajah
  dengan  menjadikannya negara miskin  dan  pengemis  dalam
  jangkamasa  yang  amat singkat tanpa  seorang  pun  askar
  penjajah   terbunuh  atau  tercedera.    Apabila   negara
  menjadi miskin maka politiknya akan menjadi tidak  stabil
  dan  rebutan  kuasa  akan berlaku.  Dengan  itu  pemimpin
  akan  ditukar  sehingga  terdapat yang  sanggup  mengikut
  kehendak  kuasa dunia.  Dengan perkataan lain  penjajahan
   sudah berlaku.
  
  14.   Walaupun kita belum dikuasai sepenuhnya oleh  kuasa
  asing  tetapi  sedikit  sebanyak mereka  sudah  menguasai
  ekonomi   kita.   Dengan menjatuhkan  nilai  Ringgit  dan
  harga  saham, syarikat-syarikat milik kita sudah  menjadi
  tenat  dan tidak dapat mengaut keuntungan lagi.   Apabila
  syarikat-syarikat kita tidak untung atau terus rugi  maka
  cukai  Kerajaan  akan berkurangan.  Dengan  itu  Kerajaan
  mungkin   tidak   akan   dapat   membiayai   perbelanjaan
  pentadbiran.   Ini pun boleh mencetuskan kegelisahan  dan
  desakan  supaya dijatuhkan Kerajaan.  Jarum  yang  mereka
  guna  amat halus dan kita mungkin tidak sedar bahawa kita
  sudah diperalatkan oleh mereka.
  
  15.   Kita  telah lihat keadaan ini berlaku  di  beberapa
  negara  lain  yang diserang dengan lebih teruk.   Mungkin
  ada  yang percaya bahawa dengan menukar pemerintahan maka
  masalah   ekonomi   akan   dapat  diselesaikan.    Tetapi
  percayalah serangan tidak akan dihentikan sehingga  kuasa
   terserah  secara  bulat-bulat kepada orang  asing,  iaitu
  sehingga negara dijajah sepenuhnya semula.  Yang  penting
  bagi  mereka  bukan pemerintahan yang  lebih  telus  atau
  demokratik  dan lain-lain.  Yang diutamakan mereka  ialah
  pemerintahan yang lebih sanggup menerima arahan  daripada
  kuasa tertentu.
  
  16.   Apakah  boleh  kita yakin apa yang  berlaku  kepada
  negara  lain tidak mungkin berlaku kepada kita?   Apabila
  Mexico   diserang   kita  sedikit   pun   tidak   gentar.
  'Fundamentals'  atau asas-asas ekonomi kita kukuh.  Tentu
  ada  sesuatu yang tidak baik yang dilakukan oleh Kerajaan
  Mexico  yang  menjadikan mereka lemah dan  diserang  oleh
  pedagang matawang.
  
  17.    Negara-negara  lain  mengkaji  sebab-sebab  Mexico
  menghadapi  masalah.   Mereka  mengambil  tindakan  untuk
  menyelamatkan  diri  mereka.  Slovenia  dan  Chile  tidak
  membenarkan  pelaburan dalam pasaran saham  mereka  tanpa
  wang  pertaruhan serta jaminan tidak akan menarik  keluar
   pelaburan   mereka sehinggalah genap satu masa  tertentu.
  Tindakan  mereka  adalah radikal, tidak  mengikut  amalan
  dan  peraturan  biasa yang telah dicipta di  negara  maju
  untuk  kepentingan  mereka.  Kita  tidak  akan  bertindak
  begitu  kerana  kita  berpegang  kuat  kepada  apa   yang
  dikatakan  amalan biasa  oleh dunia maju.   Lagipun  kita
  suka dipuji oleh orang tertentu.
  
  18.   Demikianlah kuatnya 'orthodoxy' kita dan  keyakinan
  kepada   'fundamentals'   kita  sehingga   kita   sengaja
  membukakan  pasaran  saham kita  dengan  luas.   Ramailah
  rombongan  yang pergi ke Amerika Syarikat  untuk  membuat
  'road  shows'  untuk  menarik dana  asing  melabur  dalam
  industri  terkemuka kita.  Saham kita naik  harga  dengan
  tinggi  kerana  dikejar  oleh  pelabur  asing.   Walaupun
  Kerajaan  berkali-kali memberi amaran bahawa harga  saham
  yang  terlalu  tinggi sehingga tidak  ada  kaitan  dengan
  aset   atau   prestasi  syarikat  adalah   tidak   sihat,
  berbahaya,  tetapi  ramai  pengurus  yang  cuma   melihat
   keuntungan besar daripada kenaikan harga saham.
  
  FAHAMI KESAN PERNIAGAAN SAHAM
  
  19.   Dengan harga saham yang tinggi, pinjaman yang besar
  boleh  dibuat  sementara tukaran  saham  antara  syarikat
  boleh   mewujudkan  syarikat  gergasi.   Bahawa  syarikat
  tidak  begitu  untung tidak mengapa asalkan  saham  boleh
  dijual   atau   dicagar   dengan   harga   yang   tinggi.
  Perniagaan  asal tidak penting lagi.  Yang penting  ialah
  harga  saham  dan  perniagaan saham.   Pengeluaran  saham
  bukan  lagi  untuk mengumpul modal tetapi menjadi  barang
  untuk  dijual-beli.   Kaedahnya samalah  dengan  menjual-
  beli matawang.
  
  20.   Dalam pada itu jualan singkat atau 'short  selling'
  dibenar atau digalakkan.  Saham untuk dijual tidak  perlu
  dibeli lagi.  Memadai jika dipinjam, dijual dengan  harga
  yang  tinggi, dibeli balik dengan harga yang  rendah  dan
  dikembalikan  semula kepada pihak yang memberi  pinjaman.
  Dengan  kemudahan  ini  maka ramai  yang  menumpu  kepada
   pasaran   saham   dan  hilang  minat  dengan   perniagaan
  barangan dan khidmat.
  
  21.   Cara-cara  ini semuanya dicipta di Barat  dan  kita
  mengikutnya  kerana ramai yang ingin  mengejar  apa  yang
  dikatakan   kecanggihan  Barat.   Segala  amaran   supaya
  mengaitkan  nilai  saham dengan prestasi  syarikat  tidak
  diendahkan.   Akhirnya  apabila  pelabur  asing   menjual
  saham  bertalu-talu  harga saham  jatuh  merudum.  Mereka
  mengambil  untung daripada penjualan kerana mereka  telah
  membeli   dengan  harga  yang  rendah.   Melalui   'short
  selling' mereka mendapat lebih banyak keuntungan.
  
  22.   Apabila  harga saham kita jatuh  maka  hutang  kita
  akan  melebihi  nilai saham yang dicagar.  Bank  mendesak
  supaya  peminjam menambah cagaran.  Tetapi  syarikat  dan
  pemilik  saham  tidak  berupaya.   Maka  bank  menjualkan
  saham  yang dicagar dan dengan itu menurunkan lagi  nilai
  saham.   Bank  tidak lagi memberi pinjaman kerana  hutang
  sudah   menjadi  lapuk.   Perniagaan  syarikat   merosot,
   keuntungan  berkurangan dan akhirnya terus  rugi.   Sudah
  tentu   cukai   Kerajaan  berkurangan  dan   kita   sukar
  membiayai kos pentadbiran.
  
  23.   Yang  harus  kita  ambil  perhatian  ialah  apabila
  peniaga  dan  pengusaha  yang besar  menghadapi  masalah,
  kita  yang  kecil  juga  akan mengalami  masalah,  bahkan
  seluruh   negara   akan  menghadapi  masalah.    Daripada
  keuntungan  perusahaan  yang  besarlah  kita  memperolehi
  cukai  untuk perbelanjaan negara.  Justeru itu  janganlah
  kita  terlalu terikut-ikut dengan kegembiraan pembangkang
  apabila  syarikat besar kita menghadapi masalah.  Masalah
  mereka   adalah  masalah  kita  juga.   Percubaan   untuk
  menimbulkan  perasaan  benci  dan  irihati  kepada   yang
  bermasalah adalah tidak wajar.
  
  24.   Kita harus faham semua ini. Kita harus faham kerana
  sama  ada  kita berjaya atau tidak dalam usaha  mengatasi
  masalah  ekonomi  dan  kewangan  kita  bergantung  kepada
  sejauh  mana  kita  semua  memahami  masalah  yang   kita
   hadapi.  Tidak  memahami apa yang menyerang  kita  adalah
  sama  dengan keadaan kita buta dan tidak tahu  dari  mana
  datangnya  serangan.   Orang yang  tidak  tahu  apa  yang
  menyerangnya akan bermusuh dengan orang lain, orang  yang
  tidak bersalah.  Maka ketawa besarlah penyerang.
  
  PERCUBAAN MENUKAR PEMIMPIN
  
  25.   Di  negara  di  mana  mereka  sudah  dapat  menekan
  sehingga menjadi begitu teruk, kuasa mereka tidak  terhad
  kepada  ekonomi  dan  kewangan sahaja.   Mereka  berminat
  menguasai  politiknya  dan  menentukan  siapa  yang  akan
  memimpin negara.  Pada mulanya cara yang digunakan  ialah
  dengan menekan teruk ekonomi dan kewangan negara.   Bank,
  syarikat, perniagaan borong dan runcit, pengangkutan  dan
  sebagainya  semuanya ditekan sehingga bankrap atau  tidak
  boleh   berjalan   dengan   baik.    Pekerja   kehilangan
  pekerjaan dan pendapatan.  Oleh kerana  negara-negara  di
  Asia   Timur   tidak  mempunyai  'unemployment  benefits'
  iaitu  bayaran kepada pekerja yang menganggur seperti  di
   Barat  maka tidak ada pekerjaan bermakna tidak  ada  duit
  untuk membeli makanan atau ubat atau susu untuk anak.
  
  26.   Melalui  media  dunia yang mereka  kuasai,  bersama
  dengan  pengaruh ke atas media tempatan yang tidak  ingin
  dituduh   tidak   bebas  atau  takut   kepada   Kerajaan,
  pemerintah  disalahkan  kerana  kemerosotan  ekonomi  dan
  kejatuhan  nilai  matawang.   Dengan  itu  gerakan  anti-
  Kerajaan   dicetuskan  dan  demonstrasi   serta   rusuhan
  berlaku.   Pendekatan  ini  akan  memberi  kuasa  politik
  kepada  mereka sehingga kepimpinan sesebuah negara  dapat
  ditentukan oleh mereka.  Sudah tentu mereka akan  memilih
  pemimpin  yang  mereka percayai boleh mereka  manipulasi.
  Jika  tidak, pemimpin akan ditukar lagi.  Pada  masa  itu
  kemerdekaan tidak bermakna lagi.
  
  27.   Percubaan  menukar pemimpin juga  telah  dibuat  di
  Malaysia apabila pemimpin didakwa anti-Yahudi.
  
  28.   Kemudian mereka mendakwa bahawa kepimpinan yang ada
  sekarang  menjadi  penghalang kepada  pemulihan  ekonomi,
   pemimpin yang ada sekarang tidak tahu selok-belok  sistem
  kewangan   dunia  moden.   Tujuan  mereka  ialah   supaya
  politik  negara menjadi keruh kerana dakwaan mereka  akan
  menyebabkan  perselisihan faham berlaku antara  pemimpin.
  Penyokong-penyokong  pemimpin  pun  akan  berusaha,  yang
  satunya untuk mempertahankan pemimpin yang sedia ada  dan
  menyingkir  pencabarnya,  sementara  penyokong   pencabar
  pula  akan mendesak supaya dianya mencabar pemimpin  yang
  sedia  ada.   Dengan itu kempen memburukkan masing-masing
  akan  dilakukan sehingga suasana menjadi lebih keruh  dan
  politik   menjadi  tegang.  Dalam  suasana  ini   masalah
  kegawatan  ekonomi  dan kewangan tidak  dapat  ditangani,
  keadaan  ekonomi menjadi lebih buruk.  Akhirnya kegawatan
  menjadi  lebih dahsyat, pemimpin tidak dapat  bekerjasama
  dan  salah  satunya  akan  jatuh.   Walau  siapapun  yang
  berjaya,   serangan  ke  atas  negara   akan   diteruskan
  sehingga pemimpin yang dipilih tunduk kepada kuasa  asing
   -- iaitu rela negara dijajah semula.
  
  SYARIKAT TEMPATAN MUNGKIN DIKUASAI ASING
  
  29.   Apabila ini berlaku, ekonomi akan dibuka untuk dana
  dan   syarikat-syarikat  asing  masuk  dan  mengambilalih
  syarikat-syarikat besar tempatan.  Waktu itu mereka  akan
  pulih  semula  ekonomi  dan nilai  matawang.   Ini  mudah
  dilakukan  kerana  mereka  akan mendakwa  keyakinan  atau
  'confidence'  mereka sudah kembali  dan  oleh  itu  nilai
  Ringgit  boleh dinaikkan.  Dengan Dolar Amerika yang  ada
  dengan  banyaknya pada mereka, mereka akan  beli  Ringgit
  berkali-kali.   Mengikut  sistem  dagangan  yang   mereka
  gubal,  setiap  kali  mana-mana  matawang  dibeli  dengan
  Dolar Amerika, nilai matawang itu akan naik.  Dengan  ini
  bukan  sahaja  ekonomi  akan pulih  tetapi  Ringgit  yang
  mereka  beli dengan harga murah dahulu akan naik harganya
  dan memberi keuntungan yang besar bagi mereka.
  
  30.   Demikian  jika  mereka membeli Ringgit  pada  harga
  RM4.00  pada  satu  Dolar Amerika dan mereka  pulihkannya
   sehingga  RM2.50  satu  Dolar Amerika  maka  mereka  akan
  untung  sebanyak  RM1.50  bagi  setiap  satu  Dolar  yang
  mereka  gunakan  untuk membeli Ringgit.   Dalam  matawang
  Dolar   Amerika,  apabila  satu  Dolar  bernilai  RM2.50,
  keuntungan  RM1.50  samalah lebih kurang  dengan  60  sen
  duit  Amerika,  iaitu keuntungan 60 peratus  bagi  setiap
  satu  Dolar  Amerika  yang mereka  gunakan  dahulu  untuk
  membeli Ringgit.
  
  31.   Yang  jelas ialah mereka boleh mendapat  keuntungan
  sama  ada mereka  terus menekan Ringgit dengan menjualnya
  atau  dengan  menaikkan nilai Ringgit dengan  membelinya.
  Setelah  mereka  membeli  syarikat-syarikat  kita  dengan
  harga   yang  murah  kerana  saham  syarikat  kita  telah
  dijatuhkan  melalui penjualan saham berkali-kali,  mereka
  dapat  pula  menaikkan nilai saham  kita  dengan  membeli
  berkali-kali.  Jika nilai saham mencapai harga asal  yang
  tinggi,  mereka sekali lagi akan memperolehi   keuntungan
  modal  daripadanya.   Melalui cara  ini  mereka  mendapat
   keuntungan   dua  kali,  sekali  dengan  kenaikan   nilai
  Ringgit, sekali dengan kenaikan nilai saham.
  
  32.   Sebab  itu  akhbar-akhbar  mereka  melapor  tentang
  ramainya  pelabur  mereka  yang  berminat  untuk  membeli
  syarikat-syarikat   di  negara-negara   yang   menghadapi
  kegawatan  ekonomi.   Mereka berkata ada  'fire-sale'  di
  Asia  Timur,  iaitu jual murah barangan  kedai  terbakar.
  Menurut  mereka syarikat-syarikat dan bank-bank  di  Asia
  sudah seperti ikan mati yang timbul dengan perut ke  atas
  atau  'belly-up'.   Mereka hanya perlu pilih  dan  kutip.
  Yang   lainnya  boleh  dibiar  mati.   Demikianlah  sikap
  mereka  yang  kononnya  bertanggungjawab  memelihara  hak
  asasi  manusia  di  seluruh  dunia.   Lebih  buruk   lagi
  setelah  pihak asing ini merosakkan ekonomi  kita  mereka
  mendakwa  bahawa  pembelian  syarikat  kita  oleh  mereka
  adalah   bertujuan  menyelamatkan  kita  dan   memulihkan
  ekonomi  kita.   Perbuatan mereka  tidak  banyak  berbeza
   dengan  penyamun  yang menyamun duit  kita  dan  kemudian
  memberi balik separuh daripadanya sambil mendakwa  mereka
  menolong kita.
  
  33.     Sedikit    sebanyak    Malaysia    masih    dapat
  mempertahankan  diri.   Kita  masih  mensyaratkan  bahawa
  orang  asing  hanya boleh memiliki peratusan yang  terhad
  dalam  syarikat  dan  bank Malaysia,  iaitu  30  peratus.
  Dalam  bidang  insuran  kita  terpaksa  membenar  pelabur
  asing  memiliki hingga 51 peratus kerana tekanan ke  atas
  kita  dalam  rundingan  World Trade  Organisation  (WTO).
  Mereka  masih  tidak puas hati kerana mereka  hendak  100
  peratus.   Apa  perlunya  kita  memiliki  syarikat,  kata
  mereka.   Memadailah  jika kita  bekerja  dalam  syarikat
  milik  asing.   Mereka  akan  membayar  gaji  yang  lebih
  kerana  mereka  lebih besar dan lebih berkemampuan.   Ini
  kata  mereka.   Tetapi  setelah  mencapai  tujuan  mereka
  apakah mereka akan tunai janji mereka?
  
  34.   Di  rundingan WTO kita masih mempunyai suara  untuk
   mempertahankan  diri  kita walaupun  kita  sudah  tinggal
  keseorangan.    Tetapi   jika   kita   terpaksa   meminta
  pertolongan  Dana  Kewangan  Antarabangsa  (IMF)   kerana
  ekonomi  kita  terlalu  merosot  maka  syarat  yang  akan
  dikenakan  oleh IMF ialah kita hendaklah membuka  ekonomi
  kita  seratus  peratus kepada orang  asing.   Dengan  itu
  orang  asing  bukan  sahaja boleh  memiliki  100  peratus
  syarikat   dan  bank  kita  tetapi  mereka  boleh   masuk
  berniaga   dalam   negara  kita   tanpa   perlu   apa-apa
  penyertaan  daripada  kita.  Mungkin jawatan rendah  akan
  diberi  kepada  kita  tetapi kerana kita  dikatakan  oleh
  mereka  tidak pandai dan tidak cekap maka jawatan  tinggi
  akan  dipegang  oleh mereka selama-lamanya.  Sudah  tentu
  tidak  akan  ada  kuota Bumiputera kerana  Dasar  Ekonomi
  Baru  (DEB)  adalah suatu ketidakadilan,  kononnya  tidak
  boleh diterima oleh demokrasi liberal mereka.
  
  35.   Sudah  tentu tidak akan ada syarikat gergasi  milik
   Bumiputera.  Dan kita akan gembira kerana tidak akan  ada
  lagi  'billionaire' dan 'millionaire'  Bumiputera  dengan
  kereta  Mercedes mereka, dengan pesawat  jet  mereka  dan
  kapal  mewah mereka.  Semua yang dituduh 'crony' pemimpin
  politik akan hapus.  Yang tinggal hanyalah pekerja  biasa
  dengan  gaji  yang setimpal dengan kebolehan mereka  yang
  terhad  .  Orang asing yang akan bergaji besar. Merekalah
  yang   menjadi   'millionaire'  dan  'billionaire'   yang
  memiliki   Mercedes,  kapal  terbang  dan   kapal   laut.
  Tentulah  mereka  akan  mendakwa  bahawa  mereka  terdiri
  daripada  orang yang betul-betul layak dan bukan  'crony'
  pemimpin  politik  kita.   Keadaan  ini   tentulah  lebih
  adil.   Pengkritik yang terdiri daripada orang asing  dan
  orang kita juga akan gembira dan puas hati kerana amalan-
  amalan yang tidak diingini sudah dapat dihapuskan.   Yang
  sedihnya ialah kita semua akan menjadi hamba orang  asing
  yang bermaharajalela di negara kita.
  
  BUMIPUTERA MUNGKIN KEMBALI JADI HAMBA
   
  36.    Senario  ini  bukan  suatu  ciptaan   saya   untuk
  menakutkan   rakyat   Malaysia,   khususnya   Bumiputera.
  Senario  ini  memang  dikehendaki oleh  pengkritik  kita,
  pengkritik  DEB,  pengkritik pemerintahan  Malaysia  yang
  ada  sekarang.   Jika  kita  cuba  bayangkan  keadaan  di
  Malaysia  tanpa  DEB,  inilah  senario  yang  akan   kita
  dapati.
  
  37.   Mungkin  ada  mereka  yang  berkata  bahawa  mereka
  bersetuju  dengan  DEB  tetapi DEB  disalahgunakan  untuk
  memperkayakan  beberapa 'crony' pemimpin UMNO  khususnya.
  Tetapi  jika orang lain daripada yang kita kenal sekarang
  dapat  menjadi  'billionaire' melalui DEB, apakah  mereka
  tidak   akan   dicap  sebagai  'crony'   pemimpin   juga?
  Sebenarnya  kebanyakan  mereka  yang  menjadi   kaya-raya
  kerana  DEB  tidak  pun  dikenali oleh  pemimpin-pemimpin
  parti   dan   Kerajaan  dahulu.   Yang  pemimpin-pemimpin
  Kerajaan  Barisan Nasional kenal ialah ahli-ahli  politik
  yang  menyokong mereka -- ketua-ketua bahagian, cawangan,
   ahli  EXCO dan lain-lain.  Pemimpin Kerajaan pusat  lebih
  kenal mereka ini.  Mereka benar-benar 'crony'.  Jika  ada
  'crony' yang hendak diperkayakan maka mereka inilah  yang
  patut    diperkayakan,   dijadikan   'millionaire'    dan
  'billionaire'.  Sudah tentu bila 'crony' politik  menjadi
  'crony'  perniagaan maka sokongan politik kepada pemimpin
  Kerajaan  akan  bertambah.  Menolong orang bukan  politik
  tidak   memberi   keuntungan  politik   kepada   pemimpin
  Kerajaan.   Tetapi  hakikatnya ialah  hampir  semua  yang
  menjadi  kaya  raya  kerana dibantu oleh  Kerajaan  ialah
  orang  yang  memang  pun  peniaga  yang  berjaya  sebelum
  mereka  mendapat  apa-apa pertolongan.  Mereka  ditolong,
  diberi  peluang kerana mereka telah membuktikan kebolehan
  mereka  dalam  bidang  perniagaan.  Kemungkinannya  ialah
  jika mereka diberi peluang lagi mereka akan berjaya.
  
  38.   Jika orang yang tidak pernah berniaga, tidak pernah
  berjaya tiba-tiba diberi peluang maka mereka akan mensia-
   siakan  peluang  berkenaan, mungkin  rugi,  mungkin  juga
  mereka  menjual peluang mereka.  Kerana pengalaman inilah
  maka  Kerajaan  tidak  berminat  memberi  peluang  kepada
  mereka  yang tidak berpengalaman dan tidak pernah berjaya
  walaupun  mereka  terdiri daripada 'crony'  politik  yang
  tetap akan membalas budi dengan menyokong pemimpin.
  
  39.    Malangnya  siapa  juga  yang  diberi  peluang  dan
  sokongan   akan  dicap  sebagai  'crony'.   Sebelum   dia
  berjaya  tidak  ada tuduhan bahawa dia  'crony'.   Tetapi
  jika  ia berjaya sehingga menjadi kaya-raya maka ia  akan
  dituduh  menjadi 'crony' walaupun ia tidak mendapat  apa-
  apa  pertolongan daripada Kerajaan dan tidak rapat dengan
  mana-mana  pemimpin.  Dengan dituduh ianya  'crony'  maka
  Kerajaan  tidak  lagi boleh menolongnya  terutama  semasa
  kegawatan   ini.    Sebarang   pertolongan   akan   dicap
  'bailout'.   Kononnya  Kerajaan  yang  telus  dan   lurus
  hendaklah  membiar  syarikat  yang  bermasalah,  terutama
   syarikat  Bumiputera  terus mati.  Ternampak  seolah-olah
  pihak   tertentu  ingin  melihat  Bumiputera  terutamanya
  tidak   berjaya   sehingga  bila-bila.   Mereka   melihat
  kegawatan  ekonomi yang mereka cetuskan  sebagai  peluang
  untuk  membunuh semua syarikat Bumiputera.   Bagi  mereka
  mengekalkan kemiskinan Bumiputera amatlah adil.
  
  40.   Apabila  tuduhan ini dibuat oleh pihak  asing  maka
  orang   tempatan  dan  Bumiputera  juga  akan   menyambut
  tuduhan  itu.   Yang anehnya yang menyambut  tuduhan  itu
  ialah   Bumiputera  yang  juga  telah   mendapat   faedah
  daripada  DEB.   Mereka ini mendapat  pelajaran,  jawatan
  tinggi dan mendapat saham kerana mereka Bumiputera.  Jika
  mereka  ini  dipaksa  bersaing  dengan  bukan  Bumiputera
  kemungkinan  ialah  mereka tidak akan  mendapat  biasiswa
  atau jawatan tinggi dalam Kerajaan atau saham.
  
  41.   Tanyalah kepada diri sendiri sebelum menuduh  orang
  itu  dan orang ini 'crony' pemimpin, apakah tanpa DEB dan
  diskriminasi  yang  mengutamakan  Bumiputera,  kita  akan
   sampai ke tempat yang kita berada sekarang?
  
  42.   Ada orang yang mendapat biasiswa daripada Malaysia,
  dengan  sombongnya  mengecam sistem diskriminasi  positif
  DEB.    Tanyalah   diri  sendiri  kenapa  kamu   mendapat
  biasiswa?   Apakah  supaya kamu akan mendapat  pendapatan
  besar   dengan  bekerja  di  negara  asing  atau   apakah
  biasiswa  itu  diberi  kepada  kamu  supaya  kamu   dapat
  menyumbang  bakti  kepada   rakyat  negara  ini  terutama
  rakyat  yang  miskin?   Memang mudah  bercakap  berkenaan
  'merit'  setelah  kamu  mendapat faedah  daripada  sistem
  tanpa  'merit'.  Janganlah kerana kita percaya kita boleh
  bersaing  secara terbuka dengan jayanya  maka  kita  syor
  ditutup  peluang mereka yang tidak mampu bersaing  kerana
  mereka   bukan   daripada   keluarga   yang   mewah   dan
  berkemampuan.
  
  43.    Sebenarnya  tuduhan  kononnya  pemimpin   Kerajaan
  Malaysia   mengamalkan   'cronyism'  dalam  memperkayakan
  Bumiputera  tertentu  disebabkan  benci  melihat  sesuatu
   yang  diusahakan oleh Kerajaan Malaysia ini berjaya.   Di
  negara  manakah yang 'social engineering' untuk  mencapai
  keadilan   dalam   masyarakat  telah   berjaya?    Sistem
  Sosialis  atau  sistem Komunis tidak berjaya  dan  sistem
  Kapitalis  lebih  buruk lagi.  Hanya di  Malaysia  sahaja
  yang  penyusunan semula masyarakat berjaya tanpa rusuhan,
  tanpa merampas hak dan harta sesiapa.
  
  ATASI KEGAWATAN EKONOMI BERPANDUKAN ISLAM
  
  44.   UMNO  sekarang  terbuka kepada  orang  bukan  Islam
  tetapi  pegangan  UMNO kepada Islam dan  ajarannya  tidak
  luntur.   Dalam  menghadapi  kegawatan  ekonomi  sekarang
  Islam  menjadi panduan bagi kita.  Islam adalah Addin  --
  cara  hidup.   Cara hidup tidak bermakna  hanya  'ritual'
  tertentu  yang wajib kita buat tetapi juga  kegiatan  dan
  tindakan yang kita ambil untuk kesejahteraan hidup kita.
  
  45.   Satu  daripada ajaran yang jelas dalam Islam  ialah
  berhijrah.   Berhijrah  bermakna  berpindah.    Kenapakah
  Rasulullah  berpindah  dari Mekah ke  Madinah?   Sebabnya
   ialah  kerana  tekanan dan halangan  yang  dihadapi  oleh
  Baginda  di  Mekah.   Puak Jahiliah  di  Mekah  menentang
  ajaran  Islam  yang  dibawa  oleh  Nabi  Muhammad  s.a.w.
  Mereka membuat percubaan untuk membunuh Nabi.
  
  46.   Nabi  boleh menyerah kepada takdir.  Bukankah  Nabi
  dilindungi  Tuhan?   Apa perlunya  Nabi  bertindak  untuk
  menyelamatkan dirinya?  Tetapi kita tahu bahawa  Al-Quran
  menyuruh  kita berusaha sendiri untuk menolong diri  kita
  sebelum  Allah Subhanahu wa Ta'ala menolong kita.   Sebab
  itu  Nabi berpindah, iaitu berusaha menyelamatkan dirinya
  dan  tidak hanya menyerah kepada takdir Tuhan sahaja. Ini
  tidak  bermakna  melawan takdir kerana apa  yang  berlaku
  setelah usaha dibuat juga ditentukan oleh takdir.
  
  47.   Berpindah  bukan  semata-mata  melibatkan  bergerak
  dari  satu tempat ke satu tempat secara fizikal.  Apabila
  Nabi  berpindah  dari  Mekah  ke  Madinah,  Baginda  juga
  berpindah  secara  mental.   Sudah  tentu  pemikiran  dan
   pendekatan  Nabi  di  Mekah tidak boleh  sama  dengan  di
  Madinah.  Perpindahan fikiran dan pendekatan Nabi  adalah
  untuk menjayakan perkembangan agama Islam di Madinah,  di
  mana  terdapat bukan sahaja orang yang bersimpati  dengan
  Nabi  dan berminat untuk memeluk agama Islam tetapi  juga
  orang  yang  masih  ragu-ragu dengan ajaran  Islam  serta
  orang Yahudi.
  
  48.   Kita  melihat  kebijaksanaan Nabi  dalam  membentuk
  Perlembagaan   Madinah  yang  mengambilkira   kepentingan
  semua  pihak.  Tumpuan diberi kepada persaudaraan  antara
  pendatang dari Mekah, Muhajirin dengan penduduk  Madinah,
  Ansar.   Mereka ini dahulu bermusuh tetapi  Nabi  berjaya
  merapat  dan  menyatukan mereka supaya wujud  hanya  satu
  ummah,  satu  masyarakat Islam.  Dan kita tahu  bagaimana
  Madinah  menjadi pangkalan untuk perkembangan  Islam  dan
  mempertahankan  ummah.   Akhirnya  Mekah   tertawan   dan
  seluruh penduduk Semenanjung Arab memeluk agama Islam.
  
  49.    UMNO   sebenarnya  adalah  alat   yang   mengambil
   perjuangan  Nabi  sebagai  contoh,  sebagai  cara   untuk
  mengubah nasib orang Melayu Islam dan Bumiputera lain  di
  Malaysia.   Daripada  bangsa  yang  hanya  tahu  bercucuk
  tanam  dan  kerja-kerja  tangan yang  mudah,  UMNO  telah
  membawa   orang  Melayu  dan  Bumiputera  lain  berpindah
  kepada  dunia  ilmu dan industri.  Daripada  bangsa  yang
  kurang  disiplin  dan  tidak yakin  akan  kebolehan  diri
  sendiri ditukar sedikit demi sedikit menjadi bangsa  yang
  lebih  disiplin  dan lebih percaya kepada kebolehan  diri
  sendiri.   Dengan itu mereka lebih berjaya,  lebih  mampu
  bersaing,  lebih  sanggup menghadapi  cabaran  hidup  dan
  mati.
  
  50.   Sepatutnyalah  proses kemajuan  orang  Melayu  yang
  berhijrah  daripada petani kepada pengusaha  dan  peniaga
  yang  terpelajar  berjalan terus.  Tetapi  nampaknya  ada
  pihak   yang   tidak  mahu  mengizinkannya.    Sama   ada
  dirancang  atau tidak, tekanan ekonomi ke  atas  Malaysia
  secara  langsung melibatkan tekanan ke atas orang  Melayu
   dan   Bumiputera  lain.   Kita  disorong  balik  ke  arah
  menjadi  bangsa yang mundur, lemah, bangsa  yang  dijajah
  semula, yang mempertuankan orang lain.
  
  51.   Segala  yang telah kita bina, segala kemajuan  yang
  telah  kita  capai,  ramai  tokoh  perniagaan  yang  kita
  wujud;  semua  ini mereka cuba musnahkan.  Hasrat  mereka
  ialah  sekali lagi bangsa Melayu dan Bumiputera  Malaysia
  diperhambakan.
  
  KUASA PASARAN SUATU DONGENG
  
  52.   Ada antara kita yang tidak percaya bahawa apa  yang
  sedang  berlaku  sekarang boleh  membawa  kita  balik  ke
  zaman  penjajahan.   Ada yang berkata  apa  yang  berlaku
  sekarang  adalah sementara sahaja dan akan  pulih  dengan
  sendirinya.  Ada yang berkata ini hanyalah tabii  pasaran
  dan  kuasa pasaran atau 'market forces'.  'Market forces'
  kononnya   berhasrat  untuk  membentuk  kerajaan-kerajaan
  yang  lebih telus, selamat daripada korupsi dan nepotisma
  dan  bebas daripada segala jenayah pemerintahan.  Justeru
  itu,  jika  kita ikut saranan mereka dengan segera,  jika
   kita  amalkan  'good  governance', maka  'market  forces'
  akan  menghadiahkan kita dengan memulihkan  ekonomi  kita
  sehingga menjadi lebih maju dan lebih kuat dari dahulu.
  
  53.   Ini  adalah cerita dongeng.  'Market forces'  bukan
  kuasa  untuk  kebaikan, untuk memperbaiki  Kerajaan  atau
  memperbaikkan  amalan  dan urusan kewangan  negara-negara
  yang  menjadi sasaran.  'Market forces' didorong  semata-
  mata  oleh  keuntungan yang terbesar bagi  mereka.   Jika
  kebaikan  berlaku tidak mengapa.  Tetapi  kebaikan,  jika
  ia  berlaku  ialah perkara sampingan.  Yang  utama  ialah
  keuntungan besar bagi 'market forces'.  Lebih  tetap  dan
  lebih besar keuntungan lebih baik bagi kuasa pasaran.
  
  54.    Jika   kerana  mereka  mengejar  keuntungan   yang
  terbesar  maka  mangsa  mereka  menemui  kehancuran,  ini
  tidak  dapat dielakkan.  Demikian apabila 'market forces'
  melalui  perniagaan matawang menyebabkan  nilai  matawang
  jatuh  dengan teruk sehingga negara dan rakyat menderita,
   sehingga  pekerja kehilangan pekerjaan, sehingga  berlaku
  kebuluran,  sehingga  merebaknya  penyakit  kerana  tidak
  mampu  membeli  ubat, sehingga lari dari negara  sendiri,
  sehingga  berlaku  rusuhan, pertumpahan darah,  kematian,
  kejatuhan  Kerajaan  --  semua  ini  tidak  mengapa  jika
  keuntungan    yang   besar   diperolehi   oleh    'market
  forces'`ini.
  
  55.   Mengharapkan 'market forces' mewujudkan  kestabilan
  tukaran  wang, kestabilan ekonomi dan kestabilan  politik
  adalah sama dengan menunggu takdir dan tidak membuat apa-
  apa   satu   pun   untuk  menyelamatkan   diri   sendiri.
  Keuntungan  'market  forces'  datang  daripada  huru-hara
  atau  kegawatan  kewangan dan ekonomi.   Apakah  sebabnya
  yang  'market  forces' harus menstabilkan keadaan  supaya
  keuntungan   tidak  lagi  boleh  didapati  oleh   mereka?
  Justeru   itu,   adalah   tidak  logik   kononnya   untuk
  memulihkan  ekonomi dan kewangan, kita harus membuat  apa
  yang  disuruh oleh 'market forces'.  Nabi tidak  mengikut
   kehendak  kaum  Jahiliah  di  Mekah  untuk  menyelamatkan
  agama Islam.
  
  56.   Hakikatnya ialah dalam menangani kegawatan  ekonomi
  yang  dihadapi  oleh negara sekarang,  kita  tidak  boleh
  mengharap   kepada   keyakinan  atau  'confidence'   oleh
  'market  forces'.  Ya, kita ingin bersihkan amalan-amalan
  kita,  tetapi bukan kerana 'market forces' memaksa  kita.
  Kita  ingin  berbuat  demikian kerana  membersihkan  kita
  daripada amalan yang tidak baik memanglah baik.
  
  BELANJA DENGAN BIJAK
  
  57.    Hari   ini  oleh  kerana  'market  forces'   telah
  musnahkan  separuh daripada kekayaan kita, maka hendaklah
  kita   sanggup  hidup  dengan  separuh  sahaja   daripada
  pendapatan  kita.   Apakah boleh kita  berbuat  demikian?
  Sudah   tentu  boleh,  kerana  dahulu,  20  tahun  dahulu
  sahaja,   pendapatan   kita   memang   separuh   daripada
  pendapatan  kita sebelum kegawatan 1997.  Pada  masa  itu
  kita  tidak berbelanja seperti kita berbelanja  sekarang.
  Jika  dahulu  kita boleh, sekarang pun kita  boleh,  jika
   kita  berdisiplin dan mengurus perbelanjaan  kita  dengan
  bijak.
  
  58.   Ada  antara  kita yang mendesak supaya  kita  tidak
  berbelanja  dan kita tabungkan duit kita.   Ini  bukanlah
  tidak baik jika kita tabungkan dalam simpanan tetap  atau
  simpanan  bank.   Perbuatan ini akan  menambah  keupayaan
  bank  mengeluarkan pinjaman.  Dan syarikat-syarikat tidak
  akan    kekeringan   wang   pinjaman   untuk    membiayai
  perniagaan.   Tetapi  jika kita tidak berbelanja  setakat
  yang  kita mampu maka perniagaan akan merosot, keuntungan
  tidak  akan  diperolehi oleh peniaga dan  Kerajaan  tidak
  akan     dapat    memungut    cukai    untuk    membiayai
  perbelanjaannya.   Justeru itu, belanjalah  secara  bijak
  dengan  membeli  barangan perlu  yang  diimport  sebanyak
  yang  diperlukan  sahaja dan barangan  tempatan  sebanyak
  yang  mungkin.  Kita tidak perlu memboikot barangan  atau
  makanan  yang telah naik harganya melainkan kenaikan  itu
  disebabkan   ketamakan  peniaga.   Jangan  sesiapa   cuba
   mengambil  kesempatan  daripada  kegawatan  ekonomi   ini
  untuk mengaut keuntungan yang berlebihan.
  
  59.   Demikian  juga kita boleh kurangkan  perjalanan  ke
  luar  negara, kurangkan menghantar anak belajar  di  luar
  negara,  bahkan  membawa  balik anak  supaya  belajar  di
  dalam negara.
  
  60.   Setiap orang daripada kita mempunyai harta kekayaan
  yang  terpendam  yang  tidak mendatangkan  apa-apa  hasil
  bagi  diri  kita.   Harta ini harus kita 'mobilise'  atau
  gerakkan  supaya  ia  ditukar  menjadi  wang  yang  boleh
  dilabur  atau  dimasukkan  ke  dalam  bank  untuk  diberi
  pinjaman   kepada  perniagaan  yang  memerlukan   kredit.
  Jumlah   harta  yang  terpendam  ini  bernilai  berbilion
  ringgit.   Harta ini tidak akan hilang terus.  Jika  wang
  yang  kita  perolehi  dilabur dalam saham  amanah,  bukan
  sahaja ia akan terus dimiliki oleh kita tetapi akan  naik
  nilainya, insya-Allah.
  
  61.  Kerajaan yang UMNO terajui telah membentuk berbagai-
  bagai  strategi  dan  pendekatan yang  tidak  perlu  saya
   huraikan  di  sini kerana masa belum tiba dan  ada  pihak
  tertentu  yang  akan  cuba menggagalkannya.   Kita  yakin
  kita   boleh   menangkis  serangan  terhadap   kita   dan
  memajukan  semula  negara.  Insya-Allah  dengan  sokongan
  rakyat  usaha kita untuk memulihkan semula ekonomi negara
  kita akan berjaya akhirnya.
  
  JANGAN PERCAYA HELAH BARAT
  
  62.   Rakyat  Malaysia  semuanya  harus  berganding  bahu
  dalam  mempertahankan kedaulatan negara kita.   Apa  yang
  kita  lakukan sebenarnya ialah mempertahankan kemerdekaan
  kita,  tidak  kurang daripada itu.  Ingatlah mereka  yang
  mencetuskan  kegawatan  ekonomi sehingga  kita  mengalami
  masalah  besar,  adalah  orang  yang  lebih  kurang  sama
  dengan  orang  yang  menjajah  kita  dahulu,  orang  yang
  dahulu  menjajah dunia.  Jangan kita fikir tabiat  mereka
  sudah berubah.  Harimau tetap dengan belangnya.
  
  63.    Semasa   mereka  ditentang  oleh  Komunis   mereka
  menunjukkan  muka  yang  manis.   Mereka  begitu   sekali
   mengambil   berat   dengan  hak  asasi  manusia,   dengan
  penindasan yang berlaku sesama manusia, dengan  keganasan
  Komunis  dan  ketidakadilan  lain  dalam  dunia.   Mereka
  mendakwa  mereka  akan  bertindak mencegah  ketidakadilan
  dan  sebarang  penindasan di mana  sahaja.   Mereka  akan
  pertahankan kedaulatan negara yang bebas dengan  kekuatan
  ketenteraan  mereka.   Mereka bayangkan  tindakan  mereka
  seperti  'Rambo' dalam wayang gambar keluaran  Hollywood,
  yang  begitu  berani,  gagah, berjaya  dan  tidak  pernah
  mati.
  
  64.   Tetapi  ingatlah Bosnia-Herzegovina.  Apabila  Serb
  menyerang  puak Islam dan Croat di Bosnia,  mereka  tidak
  membuat   apa-apa.   Orang  Islam  disembelih,   dirogol,
  dibunuh  beramai-ramai di hadapan mata askar  Barat  yang
  kononnya  dihantar  untuk  menyelamatkan  orang  Bosniac,
  tetapi  mereka tidak mengangkat sebelah tangan pun  untuk
  menolong dan menyelamatkan Muslim Bosnia.
  
  65.    Pesawat  pejuang  mereka  berkeliaran   di   udara
   menunjukkan  kehandalan  mereka.   Tetapi  mereka   tidak
  menembak  puak  Serb  atau menyerang dengan  'intelligent
  bomb'  mereka.   Penyembelihan, perogolan dan  pembunuhan
  terus  berlaku.   Kira-kira 300,000  orang  Islam  Bosnia
  dibunuh  dengan  sia-sia sebelum Barat  berani  bertindak
  terhadap puak Serb dan Serbia.
  
  66.   Melihat  peristiwa Bosnia-Herzegovina,  Rwanda  dan
  Burundi  dan  sekarang  ini  Kosovo,  apakah  kita  boleh
  percaya  Barat  akan  mempertahankan  hak  asasi  manusia
  termasuk  hak  untuk  bekerja dan  mendapat  upahan  yang
  halal?   Amat malang sekali ada pertubuhan bukan kerajaan
  (NGO)  di  Malaysia yang begitu taksub dengan  Barat  dan
  sering  mengecam  negara-negara Timur  termasuk  Malaysia
  kerana  kononnya kita mencabul hak asasi manusia.  Tetapi
  apabila  tindakan  kapitalis baru  Barat  menyebabkan  20
  juta  pekerja  hilang  pekerjaan dan  pendapatan  mereka,
  kita  tidak  dengar NGO di mana-mana mengecam  pencabulan
  hak  asasi pekerja dan manusia.  Sudah tentu Barat  tidak
   mempedulikan nasib pekerja yang mereka sendiri cabul.
  
  67.   Sementara 20 juta pekerja menganggur dan yang masih
  bekerja  susut pendapatan mereka, sementara  makanan  dan
  ubat  dan  susu untuk anak berkurangan, yang  utama  bagi
  mereka  ialah penguatkuasaan sistem dagangan  yang  bebas
  dan  bayaran hutang kepada bank mereka, bank  yang  kaya-
  raya,  bank  gergasi  yang lebih  besar  dan  lebih  kaya
  daripada  negara-negara yang mereka serang dan musnahkan.
  Perbuatan  membuli negara yang lemah sudah menjadi  mulia
  kepada mereka.
  
  HANYA UMNO DAPAT PERTAHANKAN NEGARA
  
  68.    Bagi  mempertahankan  kedaulatan  dan  kemerdekaan
  kita,  hanya yang kita boleh harapkan ialah kita sendiri,
  kita  rakyat Malaysia, kita Barisan Nasional,  kita  UMNO
  yang  menerajui  Kerajaan Malaysia, yang bertanggungjawab
  terhadap baik buruknya negara ini.  Selama 40 tahun  kita
  merdeka,   Malaysia  di  bawah  Kerajaan  Perikatan   dan
  Barisan  Nasional yang diterajui oleh UMNO telah  berjaya
   menghindarkan permusuhan dan rusuhan kaum, telah  berjaya
  membangunkan negara dengan pesat, memberi kehidupan  yang
  lebih   baik  kepada  semua rakyat dan  lebih  utama  dan
  bermakna  lagi ialah mengembalikan maruah bangsa,  maruah
  orang  Melayu dan Bumiputera lain, sehingga mereka  bukan
  sahaja  tidak lagi dihina tetapi mereka dianggap  sebagai
  contoh  kepada bangsa-bangsa lain, contoh bagaimana  kaum
  yang  tertindas  selama  beratus tahun  dapat  memulihkan
  diri  sendiri sehingga dapat menduduki tempat  yang  sama
  tinggi   dengan  bangsa-bangsa  yang  maju,  yang  dahulu
  menjajah dan menghina kita.
  
  69.   Segala-galanya ini, pemulihan diri dan pengembalian
  maruah  bangsa ini, diasaskan kepada sebuah parti politik
  yang  ditubuhkan  lebih  50 tahun  dahulu.  UMNO  ditubuh
  bukan  dengan  cita-cita  besar  kerana  pada  masa   itu
  fikiran  kita  orang Melayu sudah begitu dikongkong  oleh
  penjajah  sehingga tidak dapat mimpi bahawa negeri-negeri
  Melayu    yang   berpecah-belah,   yang   taksub   dengan
   kenegerian   masing-masing  boleh  dicantum   dan   boleh
  memerintah  diri  sendiri.   Selama  beratus  tahun  kita
  telah  serahkan pemerintahan negeri-negeri Melayu  kepada
  orang  asing sehingga kita tidak lagi percaya kita  boleh
  mengambilalih   teraju   pemerintahan   dan    memerintah
  sendiri.   Keyakinan  kepada diri sendiri  begitu  rendah
  sehingga  ada  pembesar Melayu yang menasihatkan  aktivis
  yang  menentang Malayan Union bahawa orang  Melayu  tidak
  sepatutnya   melibatkan  diri  dengan   politik,   kerana
  politik  adalah urusan orang atasan dan British.   Mereka
  sahaja  yang berhak dan layak.  Orang atasan  pula  hanya
  dikehendaki  mengikut  telunjuk  British  yang   kononnya
  lebih mengetahui tentang segala-galanya.
  
  70.   Tetapi apabila persatuan-persatuan Melayu bersetuju
  menubuhkan  UMNO,  maka proses pemulihan  keyakinan  diri
  bagi   orang   Melayu  pun  bermula.    Setelah   berjaya
  menghapuskan  Malayan  Union, UMNO meneruskan  perjuangan
  dengan menuntut kemerdekaan.
   
  71.   Kejayaan  dalam sesuatu perjuangan  tidak  bermakna
  kejayaan   yang  kekal.   Cabaran  dan  bahaya   terdapat
  sepanjang  masa.   Jika kita benarkan diri  kita  menjadi
  lemah  kerana  terlalu senang, percayalah  kejayaan  yang
  tercapai  dahulu akan dipisahkan daripada kita.   Justeru
  itu,  amatlah penting UMNO bersiap sedia sepanjang  masa,
  UMNO  bersatu-padu secara berterusan, dan  UMNO  berhati-
  hati   akan  kemungkinan  percubaan  dibuat  lagi   untuk
  mengagalkan kita.
  
  72.   Dakyah  Barat  amat halus.  Kita tidak  akan  sedar
  bahawa  kita  sudah diperalatkan oleh mereka.   Sepanjang
  masa   mereka   mencipta  konsep-konsep   yang   kononnya
  mencerminkan  tamadun  yang tinggi,  tamadun  yang  lebih
  bersesuaian dengan keadaan zaman.  Antara kita akan  ada,
  bahkan  sudah  ada yang tidak ingin dianggap  oleh  Barat
  sebagai   ketinggalan   zaman.   Mereka   ini   selalunya
  menerima   arus  pemikiran  Barat  ini.    Apabila   kita
  menerimanya  maka  secara halus juga mereka  akan  memuji
   dan   menerima  kita  sebagai  anggota  'kelab'   mereka.
  Suntikan  jarum  halus  ini akan  diteruskan  sehinggalah
  mereka  dapat mengasingkan di antara yang menerima konsep
  dan  pemikiran mereka dengan yang dikatakan kolot  kerana
  tidak mahu menerimanya.
  
  DEMOKRASI AMALAN UMNO BERJAYA
  
  73.   Demokrasi dicipta sebagai satu sistem  pemerintahan
  oleh  rakyat untuk menggantikan sistem feudal.  Tujuannya
  ialah  supaya  pemerintahan yang baik untuk semua  rakyat
  dapat  diwujudkan.   Sekarang  Barat  menyarankan  bahawa
  yang  penting bukan pemerintahan yang membawa kebahagiaan
  kepada  rakyat  tetapi yang penting  ialah  rakyat  mesti
  sanggup   mendukung  demokrasi  walaupun  ia  menyebabkan
  rakyat   menderita.   Kita  lihat  di  beberapa   negara,
  pilihanraya  demi  pilihanraya diadakan  tetapi  Kerajaan
  yang  berwibawa  tidak  dapat  ditubuhkan.   Dengan   itu
  masalah   rakyat  tidak  dapat  diatasi,   rakyat   terus
  menderita  dan  mundur, negara tidak  dapat  dibangunkan.
   Tetapi  pihak  liberal  demokrat  berpendapat  ini  tidak
  mengapa asalkan demokrasi cara mereka diamalkan.   Dengan
  perkataan  lain manusia adalah alat demokrasi  dan  bukan
  demokrasi  menjadi alat manusia, alat untuk kesejahteraan
  manusia.
  
  74.   Kita  terima  demokrasi sebagai  satu  sistem  yang
  baik,  yang lebih mungkin menghasilkan pemerintahan  yang
  adil  dan berkesan; lebih mungkin sahaja dan bukan tetap.
  Di  Malaysia  demokrasi memang berjaya  diamalkan.   Kita
  dapat  membentuk Kerajaan dan memilihnya  melalui  proses
  pilihanraya umum.  Negara kita dapat dibangunkan,  rakyat
  hidup  dalam  keadaan aman dan makmur.  Tetapi  janganlah
  kita  fikir  kejayaan demokrasi di Malaysia ialah  kerana
  demokrasi adalah satu sistem pemerintahan yang tidak  ada
  cacat-cela.   Demokrasi berjaya di Malaysia  kerana  kita
  rakyat  Malaysia, ahli politik Malaysia dan parti politik
  Malaysia tahu cara-cara menggunakan sistem demokrasi.
  
  75.   Jika  demokrasi  hanya bermakna  pemerintahan  oleh
   majoriti,  orang Melayu yang menjadi majoriti warganegara
  Malaysia  boleh  menggunakan  sentimen  perkauman   untuk
  mendirikan  pemerintahan 100 peratus oleh  orang  Melayu.
  Dengan   hak  sebagai  Kerajaan  majoriti  yang   dipilih
  melalui   proses  demokratik  maka  orang  Melayu   boleh
  mengambil  semua  kekayaan  negara  untuk  diri   mereka,
  menidak   dan  menindas  kaum-kaum  yang  lain,   menukar
  sempadan  kawasan pilihanraya supaya kuasa  orang  Melayu
  akan  menjadi  lebih  kuat dan  lebih  besar  dan  kekal.
  Segala-gala   ini   boleh  dibuat  tanpa   membelakangkan
  demokrasi.   Tetapi  apakah demokrasi  seperti  ini  akan
  membawa keamanan dan kejayaan kepada negara kita?
  
  76.   Demokrasi mendatangkan hasil kepada Malaysia kerana
  kita  tidak  mengambil  kesempatan  daripada  sistem  ini
  untuk  diri  kita  semata-mata.   Sebaliknya  kita  pilih
  untuk  bekerjasama  dengan  kaum-kaum  lain,  kita  tidak
  mengenepikan hak minoriti dan kita mengutamakan  keadilan
   untuk   semua.   Dengan  cara  ini  semua  kaum,   bahkan
  pembangkang  juga  mendapat faedah dan  manfaat  daripada
  pengamalan  demokrasi di Malaysia.   Dengan  ini  politik
  menjadi stabil dan demokrasi, termasuk pilihanraya  dapat
  diamalkan  secara berterusan.  Dengan ini  juga  Kerajaan
  pimpinan  parti  yang  sama  telah  dipilih  berkali-kali
  untuk menjadi pemerintah negara yang tercinta ini.
  
  77.   Ada  pihak  yang mendakwa tidak  ada  demokrasi  di
  Malaysia  kerana pertukaran Kerajaan tidak  berlaku  tiap
  kali  pilihanraya  diadakan.  Mereka berkata  pembaharuan
  adalah  sebahagian daripada demokrasi.   Jika  tidak  ada
  pembaharuan   tidak  ada  demokrasi.   Dan   ramai   juga
  daripada  kita yang berasa termalu sedikit  kerana  tidak
  ada   pembaharuan.   Tetapi  ingatlah   hak   mengekalkan
  Kerajaan  tidak  bertentangan  dengan  demokrasi,  bahkan
  menjadi   sebahagian   daripada   demokrasi   juga   jika
  pengekalan  itu  adalah  kehendak rakyat  melalui  proses
   yang demokratik.
  
  78.   Demikian dengan negara, demikian juga dengan  parti
  kita.   Parti  kita  UMNO adalah parti  yang  demokratik,
  yang  menerima  prinsip  dan cara demokrasi  kerana  kita
  percaya  benar bahawa demokrasilah cara dan  sistem  yang
  terbaik  bagi  kita.  Demokrasi memberi hak  dan  peluang
  bagi  kita  sebagai  ahli  biasa  menukar,  menjatuh  dan
  menaikkan  pemimpin mengikut kehendak kita.   Dengan  itu
  kita  percaya bahawa pemimpin yang terbaik akan menerajui
  parti sepanjang masa.
  
  79.   Walaupun  kita percaya manusia tidak  akan  membuat
  sesuatu  yang  akan membinasakan dirinya, tetapi  manusia
  kerap  melakukan  perkara-perkara yang tidak  baik,  yang
  akhirnya  mendatangkan keburukan  kepada  dirinya.   Kita
  tahu  apa  yang  baik tetapi kita buat  juga  benda  yang
  buruk  mungkin kerana nafsu atau kerana keuntungan jangka
  pendek.
  
  80.   Tabiat  manusia ialah apabila marah, ia lebih  kuat
  bertindak  dan bergerak berbanding dengan  masa  ia  puas
   hati  atau  seronok kerana mendapat sesuatu.  Oleh  sebab
  itu  kerana  marah kepada yang baik, yang buruk  disokong
  juga.
  
  81.   Demikian  juga  dengan  keuntungan  jangka  pendek.
  Kerana  taksub  dengan keuntungan jangka  pendek  manusia
  sanggup   melakukan   sesuatu  yang  akhirnya   merugikan
  dirinya.   Berhadapan  dengan sogokan  hari  ini  manusia
  akan  lupa  kepada balasan buruk di masa hadapan,  bahkan
  di akhirat.
  
  82.   Sebab  itu  walaupun kita percaya demokrasi  adalah
  baik  bagi  diri  kita,  pengamalannya  hendaklah  dibuat
  dengan  berhati-hati.   Jika ternampak  ada  usaha  untuk
  menggunakan demokrasi untuk tujuan yang tidak baik,  maka
  kita  perlu perketatkan aturan-peraturan demokrasi supaya
  terhindar  yang  tidak baik tadi.   Ingatlah  Barat  yang
  mendakwa   mereka  demokratik  tidak  membenarkan   Parti
  Komunis  wujud  di negara mereka.  Demokrasi  juga  tidak
  menyekat mereka daripada menjajah hingga sekarang ini.
  
  83.   Demokrasi bukan agama yang diwahyukan  oleh  Tuhan.
   Sedangkan  agama boleh disalahtafsir dan diputar-belitkan
  oleh  orang  yang berkepentingan, apatah lagi  demokrasi.
  Oleh  itu  bukan  semua daripada apa  yang  didakwa  oleh
  Liberal  Demokrat Barat akan diamalkan oleh  kita.   Kita
  akan pilih yang jernih dan buang yang keruh.
  BERHATI-HATI TERHADAP GLOBALISASI
  
  84.   Kita  hidup dalam dunia yang semakin cepat berubah.
  Zaman  teknologi  maklumat  sudah  tiba  dan  dengan  itu
  peluang  baru yang boleh menjadikan kehidupan kita  lebih
  bahagia.   Tetapi  peluang untuk merosak masyarakat  kita
  juga menjelma bersama.
  
  85.   Seperti  biasa  Barat yang awal-awal  lagi  melihat
  peluang  ini  menggunakan peluang  yang  datang  daripada
  teknologi   baru  ini  untuk  faedah  mereka.   Menyedari
  bahawa   teknologi   ini  membolehkan  mereka   menembusi
  sempadan  yang  mengasing dan menyelamatkan bangsa-bangsa
  di  dunia, mereka telah mencipta falsafah dan nilai-nilai
  baru yang membenar dan menyokong pencerobohan mereka.
   
  86.   Globalisasi, dunia tanpa sempadan,  deregulasi  dan
  liberalisasi adalah perkataan-perkataan baru  yang  telah
  diperkenalkan  oleh  Barat.   Tidak  ada  satu  pun  yang
  dicipta  oleh kita, oleh Timur, oleh Asia.   Sudah  tentu
  Barat  tidak mencipta pemikiran-pemikiran baru ini  untuk
  merugikan  mereka.   Globalisasi, dunia  tanpa  sempadan,
  deregulasi  dan  liberalisasi  adalah  untuk  kepentingan
  mereka.   Jangan  kita  sambut semua  ini  tanpa  kajian,
  tanpa  curiga.  Jangan sekali-kali kita sambut semua  ini
  kerana  ingin dianggap canggih atau sofistikated.  Jangan
  kita   berbangga   dengan  puji-pujian  daripada   mereka
  apabila  kita  tunjuk  betapa  'up-to-date'nya  pemikiran
  kita.
  
  87.   Manusia yang 'survive', manusia yang berjaya  ialah
  manusia  yang  selalu berhati-hati apabila  sesuatu  yang
  baru  diperkenalkan, manusia yang selalu  mencari  'udang
  di   sebalik   batu'.   Globalisasi,   liberalisasi   dan
  deregulasi  mungkin membawa banyak manfaat  kepada  kita,
   tetapi   pemikiran  baru  ini  boleh  memusnahkan   kita.
  Peristiwa   serangan   ke  atas   matawang   kita   ialah
  sebahagian   daripada   globalisasi,   liberalisasi   dan
  deregulasi  dan  kita  hanya memperolehi  kerugian  besar
  daripada semua ini.
  
  PELIHARALAH UMNO
  
  88.   UMNO  sudah 'survive', bahkan berjaya selama  lebih
  daripada  50  tahun.   Tidak banyak  parti  politik  yang
  berjuang  untuk  mencapai kemerdekaan kekal  selama  itu.
  Kebanyakannya   luput   dan   hilang   sejurus    selepas
  kemerdekaan   berjaya  dicapai.   Tetapi   selama   lebih
  setengah  abad  UMNO bukan sahaja selamat tetapi  berjaya
  dalam   arena   politik,   berjaya   menerajui   Kerajaan
  Malaysia.   Sama  ada  kita  akan  terus  'survive'  atau
  tidak,  bergantung kepada budaya kita,  sifat-sifat  yang
  ada  pada  kita,  sifat berhati-hati, sifat  berjaga-jaga
  terutama apabila sesuatu yang baru diperkenalkan.  Jangan
  sekali-kali membenarkan keuntungan jangka pendek  menutup
   mata kita kepada kerugian jangka panjang.
  
  89.   Tidak ada yang kekal di dunia ini.  UMNO pun  tidak
  akan  kekal.   Tetapi riwayatnya tidak perlu  dipendekkan
  kerana  kita  tidak berhati-hati, tidak  cekap  dan  gila
  dengan  keuntungan  yang cepat.   Perjuangan  UMNO  masih
  belum  selesai.  Banyak lagi yang perlu dibuat oleh UMNO.
  Orang  Melayu dan Bumiputera lain belum lagi  cukup  kuat
  untuk  dibiarkan mereka mempertahankan diri mereka  tanpa
  pimpinan  dan  lindungan UMNO.  Mereka belum  kuat  untuk
  bersaing  dalam  dunia  yang kian mencabar.   Kemerdekaan
  kita  belum  terjamin.  Negara yang lebih gagah  daripada
  kita   pun   sudah   ditewaskan.    Apakah   kita   dapat
  menyelamatkan diri kita tanpa perpaduan dan  persaudaraan
  di  kalangan kita, tanpa berganding bahu dengan kaum-kaum
  lain  yang  sependapat  dengan kita  untuk  menyelamatkan
  negara  bertuah ini?  Jawabnya kita tidak dapat. Jawabnya
  kita masih belum boleh mengamalkan liberal demokrasi  ala
   Barat jika kita ingin selamat.
  
  90.   Oleh  itu  selamatkanlah dan  peliharakanlah  UMNO.
  Pemimpin   tidak  kekal,  pemimpin  boleh   ditukar   dan
  pemimpin  boleh  dicari.  Tetapi UMNO boleh  kekal  lebih
  lama   daripada   pemimpin.   Oleh  itu  berhati-hatilah,
  berjaga-jagalah  dalam menguruskan  pertubuhan  ini.   Ia
  banyak  berbakti kepada kita dan kita hendaklah  berbakti
  kepadanya.   Insya-Allah, Yang Maha Kuasa akan memberkati
  perjuangan yang halal lagi mulia.

 




 
Google