home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
Oleh/By		:   	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	DEWAN MUKTAMAR, PUSAT ISLAM 
Tarikh/Date 	: 	06/07/98 
Tajuk/Title  	: 	MAJLIS SAMBUTAN MAULIDUR RASUL 
			1419H/1998M 


       Alhamdulillah   kita   bersyukur   ke   hadrat   Allah
  Subhanahu  wa Ta'ala kerana dengan limpah kurnia-Nya  dapat
  kita  mengadakan majlis sambutan Maulidur Rasul pada  tahun
  ini.    Selawat  dan  salam  kepada  junjungan  kita   Nabi
  Muhammad  s.a.w.,  penghulu segala  Rasul,  pembawa  rahmat
  seluruh alam.
  
  2.    Setiap  tahun  kita  mengadakan  majlis  memperingati
  kelahiran   Nabi   Muhammad  s.a.w.   Ini  adalah   sebagai
  kenyataan  akan  kasih dan sanjungan kita terhadap  Baginda
  serta   perjuangan  dan  pengorbanan  Baginda.   Perjuangan
  Baginda    tidak   berhenti   dengan   wafatnya    Baginda.
  Sebaliknya   ia  diteruskan  oleh  penganut   agama   Islam
  sehingga  agama  yang  mulia ini dianuti  oleh  lebih  satu
  bilion  manusia  di  seluruh dunia  sekarang  ini.   Dengan
  mengingati   dan  menyambut  Maulidur  Rasul,  umat   Islam
  sebenarnya  memperbaharui  azam  untuk  mengembangkan  lagi
  agama  yang  diwahyukan  oleh  Allah  Subhanahu  wa  Ta'ala
  kepada Nabi Muhammad s.a.w.
  
  3.     Agama  Islam  yang  dibawa  dan  dikembangkan   oleh
  Rasulullah  s.a.w.  adalah addin atau  cara  hidup.   Kesan
  cara  hidup  Islam yang jelas sekali ialah  perubahan  yang
  berlaku  kepada kaum Arab Jahiliah.  Daripada  bangsa  yang
  mempunyai budaya yang primitif, yang sanggup membunuh  anak
  sendiri,  yang menyimpan berpuluh isteri dan  gundik,  yang
  terlalu   taksub  dengan  kabilah-kabilah  mereka  sehingga
  mereka tidak berhenti-henti berperang sesama sendiri,  yang
  suka  dipuji dan mempunyai sifat-sifat keji yang lain, Arab
  Jahiliah  ini  bertukar menjadi umat Islam yang  bertamadun
  tinggi,  yang  berjaya  menguasai berbagai-bagai  ilmu  dan
  dapat  mendirikan  sebuah empayar yang terbesar  di  dunia.
  Jelaslah cara hidup Islam boleh membawa kebahagiaan  kepada
  penganutnya.   Inilah yang harus kita ingati  apabila  kita
  menyambut Maulidur Rasul.
  
  4.    Tetapi sambutan sahaja tidak bermakna jika kita tidak
  gunakan  hari berkenaan untuk merenung sejenak akan keadaan
  umat  Islam di zaman ini.  Kita dapati di mana-mana  sahaja
  umat  Islam tertindas.  Di Bosnia, di Kosovo, di  Iran  dan
  Iraq,  di  beberapa  buah negara di Asia  dan  Afrika  umat
  Islam  hidup merana, dibunuh dan dicedera dan dihalau  dari
  wilayah  mereka. Apakah ini yang dimaksudkan  sebagai  cara
  hidup Islam?  Sudah tentu tidak.
  
  5.    Hari  ini  umat  Islam tidak lagi mendahului  manusia
  lain  dalam  bidang ilmu dan anika jenis  kecekapan.   Hari
  ini  umat  Islam  lemah  dan tidak berupaya  mempertahankan
  diri.   Hari  ini  umat  Islam  berpecah  sehingga  sanggup
  berperang  sesama sendiri bahkan memihak kepada musuh-musuh
  Islam   untuk   melawan  orang  Islam   lain.    Sesetengah
  perbuatan  orang  Islam di zaman ini tidak  banyak  berbeza
  daripada kaum Jahiliah pra-Islam.
  
  6.    Dalam bidang agama, tafsiran yang berbeza-beza dibuat
  yang  kerapkali dipengaruhi oleh kepentingan kaum atau puak
  atau  parti.   Dengan itu ajaran yang berjaya menukar  Arab
  Jahiliah  kepada  yang bertamadun tinggi  berubah  sehingga
  kadangkala  bertentangan dengan ajaran Islam yang  sebenar.
  Inilah  yang  berlaku sedangkan Islam menyuruh  umat  Islam
  bersaudara.   Ada  orang Islam yang  membunuh  orang  Islam
  lain  kerana  ajaran Islam yang berbeza dan  lari  daripada
  ajaran  yang  sebenar.  Begitu juga, sedangkan  umat  Islam
  disuruh     bersiap-sedia    dengan     peralatan     untuk
  mempertahankan   ummah,  umat  Islam   mengabaikannya   dan
  terpaksa  bergantung kepada belas kasihan orang lain  untuk
  mempertahankan  diri.  Senjata orang Islam  pun  dibekalkan
  oleh orang lain.
  
  7.    Jika  hari  ini kita umat Islam tidak  lagi  berjaya,
  bahkan  kita  ketinggalan zaman,  lemah  dan  dijajah  oleh
  orang  lain,  sebabnya ialah kerana kita  tidak  menjadikan
  Islam sebagai addin, sebagai cara hidup.
  
  8.    Apabila  kita  berkata bahawa kita tidak  mengamalkan
  cara  hidup Islam maka ramai yang akan berkata kita  kurang
  membuat  ibadat  'ritual' tertentu.   Mereka  akan  berkata
  kita  akan  hidup  bahagia jika kita lebihkan  amal  ibadat
  tertentu  ini.   Mereka  berkata  amalan  ibadat  ini  akan
  menentukan tempat kita di akhirat walaupun tidak di  dunia.
  Dunia  adalah untuk orang lain.  Akhirat adalah untuk kita.
  Justeru  itu, anggaplah usaha di dunia ini sebagai sekular,
  tidak Islam dan tolakkan semuanya.
  
  9.    Tetapi  ajaran Islam yang dibawa oleh  Nabi  Muhammad
  s.a.w.  tidak  terhad kepada ibadat tertentu sahaja.   Jika
  ia  terhad  kepada ibadat ini ia tidak boleh  menjadi  cara
  hidup.   Apakah memadai jika umat Islam hanya tahu  membuat
  ibadat  sahaja dan menghabiskan sepanjang masa untuk amalan
  ibadat  tertentu  semata-mata?   Apakah  umat  Islam  dapat
  hidup  sempurna jika tidak tahu bercucuk tanam,  menternak,
  menangkap  ikan, mengeluarkan bahan makanan  secara  besar-
  besaran  untuk jumlah umat yang berjuta-juta?  Apakah  umat
  Islam   tidak   perlu  menguasai  dan  mengembangkan   ilmu
  perubatan  dan  kesihatan? Apakah umat  Islam  tidak  perlu
  menguasai  semua  ilmu yang boleh menolong  menyelamat  dan
  mempertahankan umat Islam dan negara-negara Islam?
  
  10.   Dalam al-Quran berkali-kali disebut berkenaan  dengan
  alam   sekeliling,  bukit-bukau,  awan   dan   hujan   yang
  menyuburkan bumi. Tetapi jarang sekali ada alim ulama  yang
  menjelaskan   tentang  perkara-perkara   ini,   seolah-olah
  ajaran Islam seperti yang terdapat dalam al-Quran ada  yang
  penting  dan ada yang boleh diketepikan.  Tidak ada tekanan
  diberikan  kepada  perkara-perkara  ini  sepertimana   yang
  diberi  kepada  hukum-hakam, soal  seks  serta  wanita  dan
  seumpamanya.
  
  11.   Oleh kerana cara hidup yang kita amalkan tidak  Islam
  secara   menyeluruh,  sebaliknya  terhad  kepada   perkara-
  perkara   tertentu   sahaja,  maka  kita   tidak   mencapai
  kebahagiaan  hidup seperti yang sepatutnya bagi  umat  yang
  menganggap  Islam sebagai addin, cara hidup.  Keadaan  kita
  sekarang  jauh  berbeza daripada umat Islam dalam  beberapa
  abad  awalan  di mana mereka begitu berjaya sehingga  dapat
  menguasai  dunia  bukan sahaja secara fizikal  tetapi  juga
  secara mental.
  
  12.   Pada  hari  kita menyambut Maulidur  Rasul  hendaklah
  kita  mengingati diri kita betapa tidak menyeluruh pegangan
  kita  kepada  ajaran Islam.  Jika hari ini  kita  tertekan,
  dihina  dan  dijajah secara langsung atau  tidak  langsung,
  sebabnya  ialah kerana kita tidak menjadikan Islam  sebagai
  cara  hidup.   Ramai  daripada kita yang  menganggap  Islam
  sebagai  bekalan  untuk  maut  semata-mata,  bekalan  untuk
  akhirat.   Yang  malangnya ialah bekalan itu mungkin  tidak
  mencukupi  kerana kita telah meninggalkan sebahagian  besar
  daripada  ajaran  Islam  seperti yang  terdapat  dalam  al-
  Quran.   Apakah  tempat  kita di akhirat  jika  kita  hanya
  mengamalkan  separuh sahaja daripada ajaran Islam?   Apakah
  kita  tidak bersalah jika kita mengenepikan, bahkan menolak
  bahagian  kita di dunia sepertimana yang dituntut  daripada
  kita?
  
  13.    Baginda   Rasulullah  tidak  hanya  membuat   ibadat
  tertentu.  Kita tahu bagaimana susahnya perjuangan  Baginda
  untuk  mengembangkan  agama  Islam.   Allah  Subhanahu   wa
  Ta'ala   boleh  menjadikan  sesuatu  hanya  dengan  berkata
  'jadi'.   Sudah  tentu Allah boleh menjayakan  Nabi  dengan
  tidak  mengadakan berbagai-bagai cabaran bagi Nabi.   Agama
  Islam  boleh  dijadikan  agama  bagi  semua  Arab  Jahiliah
  dengan  hanya dikata 'jadi' oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala.
  Tetapi  sebaliknya Allah mengutuskan Nabi  Muhammad  s.a.w.
  dan  menciptakan  berbagai-bagai ujian  dan  halangan  yang
  boleh  menggagalkan usaha Nabi.  Tetapi kita tahu bagaimana
  Nabi  telah berusaha dengan tekun dan bijaksana, menghadapi
  segala cabaran sehinggalah Islam dapat dikembangkan.   Nabi
  tidak   hanya  beribadat  dan  berdoa  meminta  pertolongan
  daripada Allah Subhanahu wa Ta'ala.
  
  14.   Apakah  umat Islam boleh berharap kita boleh  berjaya
  tanpa  usaha  yang  gigih yang tidak  tahu  kecewa?   Sudah
  tentu  tidak.  Kita  harus  berusaha  lebih  daripada  Nabi
  kerana kita bukan Nabi pilihan Allah s.w.t.
  
  15.   Jika  pada  hari kita menyambut Maulidur  Rasul  kita
  dapat memperingati diri kita akan perjuangan Nabi dan  kita
  jadikan  perjuangan ini sebagai teladan  untuk  cara  hidup
  kita,  maka  perayaan ini akan menjadi  lebih  berguna  dan
  bermakna.   Tidak akan sia-sialah sambutan ini kepada  kita
  dan kepada umat Islam amnya.
  
  16.   Perutusan Baginda Rasulullah s.a.w. juga adalah untuk
  mendidik   umat  manusia  supaya  menjaga  martabat   insan
  sebagai  makhluk yang sebaik-baiknya.  Allah  Subhanahu  wa
  Ta'ala tidak memberikan tanggungjawab untuk mentadbir  alam
  ini  selain  kepada  manusia.  Kelebihan  yang  ada  kepada
  manusia  adalah daripada segi anugerah akalnya.  Kepintaran
  akal  manusia  menjadi  lebih  bermutu  apabila  diturunkan
  wahyu dan diutuskan pula Rasul yang bijaksana.  Kerana  itu
  anugerah  akal perlu dijaga dan dipelihara agar benar-benar
  dapat   berfungsi  sebagai  nakhoda  yang  dapat   melayari
  bahtera  kehidupan yang luas. Sepanjang zaman  manusia  ini
  hidup,  kejayaan dan kemajuan sentiasa berubah-ubah  sesuai
  dengan  perkembangan tamadun yang dicapai.   Kemajuan  demi
  kemajuan  telah  diciptakan, tetapi masih wujud  penerokaan
  baru  di  dalam  dunia sains dan teknologi.  Dalam  suasana
  keghairahan manusia berfikir dan sentiasa mencari  penemuan
  baru,   kita   tidak  boleh  lupa  untuk  mencari   suasana
  ketenangan sebagai langkah untuk mengelak daripada  tekanan
  perasaan.    Di   sinilah  umat  Islam  dikehendaki   untuk
  meluangkan   sedikit  masa  untuk  merendahkan   diri   dan
  menyembah   Allah  Subhanahu  wa  Ta'ala  dengan  melakukan
  ibadat  tertentu.  Ini tidak bermakna perbuatan  lain  yang
  mengikut  ajaran  Islam, mengembang  dan  mempertahankannya
  bukan  ibadat dalam Islam.  Tetapi ibadat sembahyang, puasa
  dan lain-lain tidak boleh diabaikan.
  
  17.   Islam  mengajar  kita untuk  berlapang  dada  apabila
  menghadapi  sesuatu kesusahan dan kesempitan.  Tidak  semua
  cita-cita  dan  impian  akan dapat  dicapai  dalam  sekelip
  mata.  Tetapi usaha dan tekad mestilah diteruskan  sehingga
  kejayaan  dicapai.  Suasana kegawatan ekonomi yang  melanda
  negara   kita  sekarang  ini  telah  mengajar  kita   untuk
  menginsafi diri untuk lebih bertenang dan bertindak  secara
  positif   dan  berwawasan.  Kita  masih  bersyukur   kerana
  kegawatan yang berlaku tidaklah separah negara-negara  lain
  yang  ditimpa berbagai-bagai bala bencana seperti  rusuhan,
  peperangan,   bencana   alam  dan  sebagainya.    Sekurang-
  kurangnya  kesusahan yang kita hadapi  sekarang  ini  dapat
  menginsafkan  diri kita terhadap kebesaran Allah  Subhanahu
  wa  Ta'ala  dan  berdoa  kepada-Nya  agar  segalanya  dapat
  dipulihkan seperti sediakala.
  
  18.   Akhir  kata  marilah  kita gunakan  kesempatan  untuk
  menyambut  Maulidur Rasul ini dengan melipatgandakan  usaha
  dan  ikhtiar  agar segala permasalahan dapat  diselesaikan.
  Tanggungjawab   kita  bersama  ialah   untuk   berdoa   dan
  menghindarkan   diri  kita  daripada  sikap-sikap   negatif
  seperti  tamak haloba, rasuah, pecah amanah,  hilang  sabar
  dan   sebagainya.   Apa  yang  lebih  penting  adalah  kita
  menggunakan  peluang yang ada untuk terus  mempertingkatkan
  daya  kreativiti  kita untuk memajukan  agama,  bangsa  dan
  negara kita.

 
 



 
Google