home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
Oleh/By		:   	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	BUKIT JALIL, SG BESI, KUALA LUMPUR 
Tarikh/Date 	: 	11/07/98 
Tajuk/Title  	: 	MAJLIS PERASMIAN KOMPLEK 
			SUKAN NEGARA 



       Saya  bersyukur  kepada  Allah  Subhanahu  wa  Ta'ala
  kerana pada hari ini, negara kita dapat membuka satu  lagi
  lembaran  baru  dalam  sejarah  pembangunan  sukan   kita.
  Pembukaan  Kompleks Sukan Negara yang  indah  dan  lengkap
  dengan  kemudahan  terkini  ini bukan  sahaja  membuktikan
  kesungguhan  negara untuk menjayakan Sukan Komanwel  ke-16
  sebagai  temasya  sukan yang paling gemilang  tetapi  juga
  menjadikannya  simbol  kecemerlangan  sukan  yang  diharap
  akan  menjadi budaya di kalangan masyarakat kita.   Selain
  daripada  itu  kita  harus  bersyukur  kerana  kita  telah
  memutus  untuk membina kompleks ini di waktu negara  belum
  diserang kegawatan kewangan.  Dengan itu kos kompleks  ini
  menjadi   lebih   rendah.   Jika  kita  hendak   bangunkan
  kompleks  ini  sekarang sudah tentu kosnya  akan  berlipat
  ganda,  bahkan  kita tidak akan berupaya  membinanya  sama
  sekali.
  
  Tuan-tuan dan Puan-puan,
  
  2.    Prestasi dan kecemerlangan dalam bidang sukan  kerap
  kali  diiringi  dengan tahap kemajuan sesuatu  masyarakat.
  Bagi   masyarakat  di  negara  maju,  lazimnya  pencapaian
  mereka   dalam   sukan   adalah   tinggi   dan   begitulah
  sebaliknya.   Jelaslah  secara  langsung  kemajuan   sukan
  sedikit   sebanyak  mencerminkan   kemajuan  sosio-ekonomi
  sesebuah  negara.   Negara kita telah  menikmati  kemajuan
  yang  sangat  pesat  sejak merdeka, terutama  dalam  dekad
  80an  dan 90an.  Sungguhpun akhir-akhir ini kita mengalami
  masalah  kejatuhan  nilai ringgit dan kemerosotan  pasaran
  saham,   tidaklah  dapat  dinafikan  bahawa   kita   telah
  mencapai  taraf hidup yang tinggi berbanding dengan  taraf
  hidup  kita  dahulu.   Pelaburan dalam  pembangunan  sukan
  tidak  akan  menjadi  sia-sia kerana sukan  membuat  tubuh
  badan  kita  sihat dan ini akan menghasilkan akal  fikiran
  yang  sihat.  Dan akal fikiran yang sihat akan  menyumbang
  kepada  kejayaan  kita sebagai individu dan  sebagai  satu
  bangsa.
  
  3.    Pelaburan dalam pembangunan sukan tetap akan membawa
  pulangan  yang  besar kepada kemajuan negara.  Penglibatan
  secara   aktif  oleh  masyarakat  dalam  kegiatan-kegiatan
  sukan  akan  dapat membina semangat dayajuang,  kecekalan,
  kegigihan   dan   komitmen  di  kalangan  mereka,   selain
  pembentukan  tubuh badan yang sihat.  Sukan  juga  melatih
  kita  dalam  mendisiplinkan  diri  kita,  memperkenal  dan
  menanam   nilai-nilai   yang  baik   yang   berguna   bagi
  menjayakan   kita  dalam  bidang-bidang  lain.    Walaupun
  sekarang  yang  lebih  utama ialah kemenangan  dengan  apa
  cara  sekalipun, tetapi semangat kesukanan atau  'sporting
  spirit'   tidak  harus  diketepikan.   Semangat  kesukanan
  mempunyai banyak pengajaran yang boleh membentuk  peribadi
  yang mulia yang menguntungkan diri dan masyarakat.
  
  4.    Sama  ada  kita  suka atau tidak  suka  sukan  sudah
  menjadi   satu  industri  yang  boleh  menyumbang   kepada
  pembangunan  ekonomi sesebuah negara.   Acara-acara  sukan
  yang  menarik minat orang ramai mempunyai potensi komersil
  dalam   bidang  iklan,  penyiaran  televisyen  dan  radio,
  majalah   dan   akhbar,   pakaian  sukan   dan   alat-alat
  kelengkapan  yang  digunakan untuk pelbagai  jenis  sukan.
  Di  masa  yang  sama para atlit berpeluang untuk  mendapat
  imbuhan   yang  lumayan  bahkan  boleh  menjadi  kaya-raya
  sebagai ahli sukan profesional.

  5.    Sebenarnya  kompleks ini tidak  mungkin  dibangunkan
  jika  tidak  ada harapan untuk mendapat pulangan  daripada
  acara-acara   sukan  dan  acara-acara  lain   yang   boleh
  diadakan  di  kompleks  ini.   Oleh  kerana  sukan   sudah
  mempunyai nilai komersil maka kemudahan untuk sukan  dapat
  ditingkatkan  kualiti  dan  keselesaannya.    Kita   harus
  bersyukur  kerana  kita  mampu mengadakan  kompleks  sukan
  yang canggih ini.
  
  Tuan-tuan dan Puan-puan,
  
  6.    Dua  bulan lagi kita akan menjadi tuan rumah  kepada
  acara  sukan yang terbesar yang pernah diadakan di  negara
  kita  --  iaitu  Sukan Komanwel.  Acara  sukan  ini  boleh
  dianggap  sebagai  acara  sukan  yang  kedua  terbesar  di
  dunia,  selepas Sukan Olimpik.  Walaupun ada  acara  sukan
  yang  lebih  besar daripada segi skalanya tetapi  biasanya
  peserta  terhad kepada satu kumpulan etnik  seperti  orang
  Eropah  atau  Afrika  atau Asia  sahaja.   Sukan  Komanwel
  disertai  oleh  semua kaum etnik dari enam buah  benua  di
  dunia, iaitu dari Eropah, Asia, Afrika, Amerika Utara  dan
  Amerika Selatan dan dari Oceania.  Justeru itu, kita  akan
  dapat  melihat hampir semua atlit yang handal dari seluruh
  dunia.  Sebab itu Sukan Komanwel menjadi sukan dunia  yang
  kedua terbesar.
  
  7.     Pengurusan  satu  acara  sukan  yang  begini  besar
  tentulah  tidak mudah.  Kemudahan fizikal boleh disediakan
  tetapi  dengan  sendirinya ia tidak akan menjayakan  acara
  berkenaan.   Lebih penting lagi ialah kecekapan pengurusan
  acara ini.
  
  8.    Kita  telah  lihat  urusan persiapan  yang  walaupun
  memuaskan,  kerap  dilanda dengan masalah.   Kadang-kadang
  kita  dapati seolah-olah ada dua nakhoda yang  membawa  ke
  arah   yang  berlainan.   Semasa  persiapan  masalah   ini
  tidaklah  begitu merunsingkan.  Tetapi semasa acara  sukan
  sebenar  diadakan  kerjasama antara  semua  pihak  amatlah
  penting.   Jika  ada pendapat yang berbeza,  selesaikanlah
  melalui  rundingan tanpa dihebohkan di luar. Selesaikanlah
  dengan secepat mungkin.  Masa tidak akan mengizinkan  kita
  bertelingkah  dan mempertahankan 'territory'  kita  semasa
  pertandingan  diadakan.  Tidak perlu  kita  mempertahankan
  empayar  kita  sendiri.   Empayar yang  ada  ialah  negara
  kita,  yang maruahnya perlu dipertahankan oleh semua  yang
  terlibat dengan Sukan Komanwel ini.
  
  9.    Seperti  juga dalam acara sukan, saya  percaya  kita
  rakyat  Malaysia  boleh  mengurus  Sukan  Komanwel  dengan
  jayanya.  Malaysia Boleh jika kita yakin kita boleh.
  
  Tuan-tuan dan Puan-puan,
  
  10.   Sempena dengan perasmian kompleks sukan ini sukacita
  saya   umumkan   nama-nama  baru  yang  diberikan   kepada
  kemudahan-kemudahan   yang  terdapat   di   sini.    Mulai
  sekarang,  Kompleks Sukan Negara Bukit Jalil akan  digelar
  sebagai   Kompleks  Sukan  Negara.   Manakala   kemudahan-
  kemudahan lainnya iaitu:
    
   Stadium Utama       -    sebagai Stadium Nasional;
   Stadium Tertutup    -    sebagai Stadium Putra;
   Stadium Hoki        -    sebagai Stadium Hoki Nasional;
   Kompleks Renang     -    sebagai Pusat Akuatik Nasional;
   Stadium Skuasy      -    sebagai Pusat Skuasy Nasional;
   Stadium Bola Jaring -    sebagai Stadium Juara;
   Stadium  Boling  Padang -  sebagai Pusat  Boling  Padang
                            Negara; dan
   Bukit Jalil         -    sebagai Bukit Komanwel.
  
  11.    Akhir kata saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah
  kepada  Pengerusi  Jawatankuasa Perasmian  serta  saudara-
  saudari,  tuan-tuan  dan  puan-puan  sekelian  yang  telah
  mengurus  dan berusaha membangunkan Kompleks Sukan  Negara
  ini dengan jayanya dalam masa yang ditentukan.
  
  12.    Dengan  ini  saya  dengan  sukacitanya   merasmikan
  Kompleks  Sukan Negara.

 

 



 
Google