home Speechs in the year 2003 2002 2001 2000 1999 1998 1997 1996 1995 1994 1993 1992 1991 1990 --> |
Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD Tempat/Venue : STESEN BUKIT JALIL, KUALA LUMPUR Tarikh/Date : 11/07/98 Tajuk/Title : MAJLIS PERASMIAN SISTEM TRANSIT ALIRAN RINGAN STAR-LRT DARI KUALA LUMPUR KE BUKIT JALIL Saya ucapkan terima kasih kepada syarikat STAR- LRT dan Pengerusinya, Tan Sri Sallehuddin bin Mohamed kerana telah menjemput saya untuk merasmikan pelancaran satu lagi perkhidmatan pengangkutan Rel Ringan Bandaraya Kuala Lumpur. STAR-LRT akan menghubung Kompleks Sukan Bukit Jalil dengan pusat bandar Kuala Lumpur dan kawasan- kawasan lain dan akan memudahkan perjalanan dari Kuala Lumpur ke Sukan Komanwel 1998. 2. Projek pengangkutan LRT ini adalah fasa kedua yang berjaya disiapkan oleh syarikat STAR-LRT, iaitu sebuah syarikat tempatan yang berpengalaman dalam sistem pengangkutan rel ringan. Syarikat ini telah menjadi perintis dalam pembangunan pengangkutan LRT apabila ia berjaya menyiapkan fasa pertama projek mereka, iaitu yang menghubungi Stesen Jalan Sultan Ismail dengan Stesen Ampang yang kini berjalan dengan lancar dan sempurna. 3. Kejayaan STAR menyempurnakan projek pengangkutan LRT ini lebih awal daripada jadual dan yang begitu penting bagi menjayakan sambutan Sukan Komanwel, adalah bukti betapa syarikat Malaysia mampu melaksanakan tugasnya dengan baik apabila ia diberikan tanggungjawab yang besar seperti ini. Ini juga adalah satu bukti syarikat tempatan adalah cekap, berkredibiliti dan boleh diamanahkan dengan tugas-tugas berat oleh Kerajaan dan rakyat. 4. Sukan Komanwel adalah sukan yang kedua terbesar di dunia selepas Olimpik. Negara kita adalah negara yang pertama di Asia yang dipilih untuk menganjurkan sukan ini. Penghormatan yang diberikan oleh negara-negara Komanwel dalam menjayakan sukan ini tidak boleh kita pandang ringan. Kita tidak boleh melihat Sukan Komanwel ini menemui kegagalan kerana kegagalannya akan mencemarkan imej kita di dunia pada masa-masa akan datang. 5. Sukan Komanwel di Kuala Lumpur ini memberi peluang kepada kita memperkenalkan kebolehan kita bukan sahaja dalam bidang sukan tetapi juga dalam bidang-bidang lain termasuk bidang pembangunan, pengurusan dan mengekalkan keharmonian antara kaum-kaum di Malaysia. Oleh itu janganlah kita sia-siakan peluang ini. Layanlah tetamu- tetamu kita dengan baik bukan sahaja semasa acara sukan tetapi sepanjang masa tetamu kita berada di sini. Sudah tentu khidmat pengangkutan seperti STAR-LRT hendaklah membuktikan keupayaannya sepanjang masa. 6. Sistem 'mass transit' iaitu pengangkutan secara beramai-ramai adalah satu kemudahan yang terpenting bagi sebuah bandar besar. Bandaraya Kuala Lumpur yang mempunyai penduduk hanya seramai 300,000 orang di waktu kemerdekaan dicapai telah tumbuh dengan begitu pesat sehingga penduduknya sekarang berjumlah lebih dua juta orang. Jika dicampur dengan penduduk di Lembah Kelang jumlahnya ialah tiga juta. Tidak mungkin memadai jika pengangkutan terhad kepada kenderaan-kenderaan jalanraya. Hanya sistem rel sahaja yang boleh menampung keperluan perjalanan untuk orang yang ramai di daratan. 7. Sepatutnya kita mempunyai hanya satu sahaja sistem rel ringan untuk Kuala Lumpur. Tetapi oleh kerana pelabur-pelabur kita kecil dan kurang modal dan pengalaman kita kurang pada mulanya kita terpaksa mengadakan empat sistem yang dipunyai oleh empat buah syarikat dengan sistem yang berlainan. Saya harap integrasi boleh dibuat di antara sistem-sistem yang berlainan ini supaya tidak menyebabkan masalah berlaku kepada pengguna. 8. Untuk memajukan sistem 'mass transit' amatlah penting perjalanan diadakan secara kerap dan mengikut jadual dengan ketat. Apabila penumpang yakin tetap akan ada pengangkutan pada masa tertentu, atau jika perjalanan adalah kerap dan akan ada pengangkutan bila-bila sahaja setelah menunggu sedikit masa, maka penggunaan sistem pengangkutan 'mass transit' akan mendapat sambutan yang baik dan akan maju. Saya harap STAR-LRT akan dapat memberi khidmat pengangkutan seperti ini. 9. Sistem ini akan mengangkut penumpang ke Kompleks Sukan Bukit Jalil semasa Sukan Komanwel. Ini merupakan satu ujian besar terhadap kemampuan dan kecekapan STAR- LRT. Anggaplah ini sebagai satu cabaran dan tentukanlah segala bahagian berjalan dengan baik dan lancar. Ingatlah ramai pelawat asing akan mengguna sistem transit ini dan apa yang mereka lihat dan alami akan menggambarkan negara kita sebagai tuan rumah kepada Sukan Komanwel. 10. Dengan kata-kata ini, saya dengan sukacitanya merasmikan pelancaran perkhidmatan pengangkutan Sistem Transit Aliran Ringan, Sistem Satu dari Bandaraya Kuala Lumpur ke Kompleks Sukan Bukit Jalil. |