home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
Oleh/By		:	DATO' SERI DR. 
			MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	:  
Tarikh/Date 	: 	29/09/98 
Tajuk/Title  	: 	PERSIDANGAN DEWAN RAKYAT SEMASA 
			MEMBENTANGKAN RANG
			UNDANG-UNDANG PERINDUSTRIAN SEKURITI 
			(DEPOSITORI PUSAT) (PINDAAN) 1998 



        Pasaran   saham   diadakan   pada   mulanya    untuk
  membolehkan syarikat-syarikat perniagaan mengumpul  modal
  atau  menambah modal perniagaan.  Oleh kerana  permintaan
  kepada   sesuatu  saham  meningkat,  maka   harga   saham
  berkenaan  kerap  melebihi harga asal yang  ditawar  oleh
  syarikat.   Sebaliknya apabila permintaan menurun,  harga
  sesuatu  saham mungkin jatuh kadang-kadang  lebih  rendah
  daripada  harga  tawaran asalnya.  Dengan  naik  turunnya
  harga  saham  mengikut permintaan,  maka  keuntungan  dan
  kerugian   boleh  didapati  apabila  saham  di  niagakan.
  Dengan  itu juga pasaran saham tidak lagi menjadi  tempat
  untuk   mengumpul  modal  atau  "raise  capital"  sahaja,
  tetapi  menjadi  tempat  perniagaan  saham  sebagai  satu
  komoditi.   Demikianlah keuntungan  yang  boleh  didapati
  daripada  perniagaan saham sehingga prestasi, untung-rugi
  dan  dividen  syarikat  tidak  lagi  diambilkira.   Saham
  syarikat  yang  tidak sihat pun boleh dinaikkan  nilainya
  hanya   dengan   mencetuskan  permintaan   yang   tinggi.
  Kemudian  dengan menjual bertalu-talu, nilai saham  boleh
  diturunkan.   Dengan perkataan lain, nilai sesuatu  saham
  tidak   lagi   menunjukkan  nilai  yang  sebenar   tetapi
  nilainya  menurut  manipulasi oleh pemain-pemain  pasaran
  saham.   Mereka boleh menaik dan menurunkan  nilai  saham
  sesuka hati untuk mendapat keuntungan.
  
  2.    Dengan  cara  yang dikenal sebagai  "short-selling"
  atau  jualan  singkat pemain pasaran saham  boleh  meraih
  keuntungan  yang  besar.   Penurunan  nilai  saham   yang
  mendadak  kerana  "short-selling"  dan  kegiatan-kegiatan
  lain   boleh  merugikan  syarikat.   Ini  boleh   berlaku
  apabila  syarikat meminjam daripada bank dengan  mencagar
  saham  semasa  nilai tinggi.  Apabila harga  saham  jatuh
  lebih   rendah  daripada  paras  harga  ketika   pinjaman
  dibuat,   maka   bank  akan  meminta  syarikat   menambah
  cagaran.   Jika  syarikat  tidak dapat  menambah  cagaran
  maka   hutang   syarikat  menjadi  "non-performing"   dan
  syarikat  tidak  boleh  meminjam  lagi,  bahkan   mungkin
  dibankrapkan.  Bank pula akan menjual saham yang  dicagar
  dan  ini  menyebabkan  nilai saham  menurun  lagi.   Jika
  banyak  syarikat  mengalami  masalah  seperti  ini,  maka
  ekonomi negara juga akan rosak.
  
  3.    Oleh  kerana  kita ingin membuka pasaran  kita  dan
  menerima  modal  asing,  Kerajaan  telah  membenar  saham
  syarikat  Malaysia dimiliki oleh orang  asing.   Biasanya
  pemilikan  oleh  orang asing dihadkan kepada  30  peratus
  sahaja.  Banyak syarikat Malaysia yang mengadakan  "road-
  show"  untuk  menarik pelabur asing.   Penyertaan  mereka
  boleh menaikkan harga saham dengan tinggi.
  
  4.    Pada  mulanya  kita percaya bahawa  pelaburan  oleh
  mereka  adalah  disebabkan  kepercayaan  mereka  terhadap
  ekonomi negara kita dan prestasi syarikat-syarikat  kita.
  Tetapi  sebenarnya  mereka hanya ingin meraih  keuntungan
  daripada menjual beli saham.
  
  5.    Apabila  wang  kita diserang oleh pedagang-pedagang
  matawang  asing,  pelabur-pelabur  asing  dalam   pasaran
  saham   kita  memburukkan  lagi  keadaan  ekonomi  negara
  dengan  menjual bertalu-talu saham milik mereka.   Dengan
  itu   harga   saham  jatuh  dengan  teruknya.   Syarikat-
  syarikat kita mengalami kerugian yang besar, tidak  dapat
  membayar hutang dan mungkin muflis.
  
  6.    Jika  tidak  kerana adanya syarat  yang  menghadkan
  milik  asing  kepada  peratusan tertentu,  pemodal  asing
  akan   membeli   majoriti  saham  syarikat-syarikat   ini
  apabila  mereka  sudah  menurunkan nilai  saham  sehingga
  meletakkan  syarikat dalam keadaan  tenat.   Tetapi  oleh
  kerana   syarat   Kerajaan  menghalang  mereka   daripada
  mengambilalih  syarikat kita, maka mereka  terus  menekan
  turun  matawang  kita  dan  nilai  saham  kita.   Harapan
  mereka  ialah akhirnya kita terpaksa meminta  pertolongan
  IMF  dan dengan itu dikenakan syarat supaya membuka  luas
  pasaran  saham  kita kepada pelabur  asing.   Dengan  itu
  juga  mereka akan dapat menguasai semua syarikat dan bank
  kita dan secara langsung menguasai ekonomi kita.
  
  7.    Manipulasi  harga  saham  oleh  pihak  asing  dapat
  dibuat  melalui pasaran saham CLOB di Singapura. Walaupun
  kita   telah   asingkan  pasaran  saham  Singapura   dari
  Malaysia,  iaitu  mereka tidak boleh  menjual-beli  saham
  syarikat  Malaysia  dalam  SES  atau  Stock  Exchange  of
  Singapore,  Kerajaan  Singapura  menubuhkan  CLOB,   satu
  pasaran "over the counter" yang boleh menjual-beli  saham
  Malaysia tanpa didaftar dengan BSKL.

  8.    Mereka  mendaftar semua saham yang diniagakan  oleh
  mereka   melalui  satu  syarikat  nominee.   Oleh  kerana
  perniagaan  antara  pemilik-pemilik saham  adalah  dengan
  nama   syarikat  nominee,  maka  tuan  punya  saham  yang
  didaftar   dengan  BSKL  tidak  berubah.   Beratus   ribu
  pemilik  saham  didaftarkan dengan BSKL  atas  nama  satu
  syarikat nominee sahaja.
  
  9.    BSKL  tidak  mungkin tahu siapa pemunya  benefisial
  (beneficial  owner) saham-saham tersebut dan  siapa  yang
  menjual atau membelinya.  BSKL juga tidak akan tahu  sama
  ada  orang  asing memiliki lebih daripada peratusan  yang
  ditentukan  oleh Kerajaan, atau mana-mana  pemilik  sudah
  memiliki  lebih daripada lima peratus di  waktu  mana  ia
  perlu   mengisytiharkan  pemilikannya,  atau   ia   sudah
  memiliki  lebih  daripada 33 peratus  di  waktu  mana  ia
  perlu  membuat  "general  offer"   atau   tawaran    umum
  untuk  membeli  saham-saham selebihnya.
  
  10.   Namun harga jual-beli saham ini mempengaruhi  harga
  saham  dalam  pasaran.  Demikian perniagaan melalui  CLOB
  boleh  menurunkan  nilai saham sehingga  menjadi  masalah
  kepada syarikat dan mungkin menyebabkan syarikat muflis.
  
  11.    Adalah   jelas  bahawa  kemudahan  nominee   sudah
  disalahgunakan secara ketara dan membawa keburukan  bukan
  sahaja  kepada syarikat-syarikat kita tetapi juga  kepada
  ekonomi    negara.     Modal   pasaran    atau    "market
  capitalisation"   BSKL   telah  jatuh   dengan   teruknya
  daripada  hampir  RM900  bilion  kepada  kurang  daripada
  RM300   bilion  akibat  permainan  pelabur-pelabur  asing
  melalui   CLOB.   Justeru  itu  pemilikan  saham  melalui
  syarikat  nominee  perlu  ditegah  dan  perniagaan  saham
  melalui  pasaran saham yang tidak diiktiraf  tidak  harus
  diakui sah daripada segi undang-undang negara.
  
  12.   Undang-undang  yang dikemukakan kepada  Dewan  Yang
  Mulia  ini  adalah bertujuan untuk menentukan saham-saham
  syarikat  Malaysia  diniagakan  hanya  di  pasaran  saham
  Malaysia,  iaitu  BSKL atau pasaran yang  diiktiraf  oleh
  BSKL;   mempastikan   semua  saham  didaftarkan   melalui
  Depositori  Pusat  secara langsung, mengharamkan  nominee
  memegang  saham bagi pihak pemunya benefisial, menentukan
  segala  syarat-syarat  pemilikan saham  oleh  pemastautin
  dan  orang asing dipatuhi, serta syarat-syarat lain  yang
  ditetapkan  oleh  Suruhanjaya Sekuriti, BSKL  dan  badan-
  badan lain yang mengendalikan perniagaan saham.   
  
  13.    Hukuman  tertentu  ditetapkan  bagi  mereka   yang
  melanggar peraturan-peraturan dan undang-undang  dagangan
  sekuriti di Malaysia atau dagangan yang melibatkan saham-
  saham syarikat-syarikat Malaysia.
  
  14.   Saya  mohon  mencadangkan iaitu Rang  Undang-Undang
  bernama  Suatu  Akta  untuk  meminda  Akta  Perindustrian
  Sekuriti  (Depositori  Pusat) 1991 dibacakan  kali  kedua
  sekarang.
  
  15.    Krisis   ekonomi   yang   melanda   negara   telah
  menunjukkan  pelbagai  kelemahan  dan  kekurangan   dalam
  industri  sekuriti yang memerlukan langkah-langkah  untuk
  mengatasinya  bagi memulihkan kembali keyakinan  terhadap
  pasaran  modal  di  Malaysia.  Antara kelemahan-kelemahan
  yang telah dikenalpasti adalah seperti  berikut:
  
  (i)   dagangan  saham  dijalankan  dengan  begitu   mudah
        tanpa   dizahirkan   identiti  pemunya   benefisial
        (beneficial  owner).   Pada  masa  yang  sama,  ini
        menyebabkan naik turun harga saham tanpa sebab  dan
        kegiatan  memanipulasi  harga-harga  saham   secara
        artifisial.    Oleh  sebab  identiti  pembeli   dan
        penjual    disembunyikan   oleh    nominee,    maka
        perniagaan  saham  menjadi kabur dan  tidak  telus.
        Pemilik  saham yang lain, bahkan syarikat berkenaan
        mengalami   tekanan  dan  kerugian   yang   ketara.
        Pasaran  yang  tidak diiktiraf dapat ditubuhkan  di
        luar  negara yang meraih keuntungan besar  daripada
        manipulasi harga saham;
  
  (ii)  Dalam  Akta Syarikat  1965 dan  Akta  Perindustrian
        Sekuriti  1983  nilai  ambang   (threshold   value)
        penzahiran  dan  masa  bagi  membuat  laporan  yang
        sukar  dikuatkuasakan telah menyukarkan pihak-pihak
        berkuasa  untuk  menyiasat dan  mengambil  langkah-
        langkah  wajar bagi transaksi-transaksi yang  boleh
        menjejaskan integriti pasaran saham;
  
  (iii) Semua  badan pengawalselia sukar untuk menguatkuasa
        dan  mengambil  tindakan-tindakan  serta  merta  ke
        atas   mereka  yang  melanggar  kaedah-kaedah   dan
        undang-undang  mengenai  industri  sekuriti.    Ini
        termasuklah   Suruhanjaya  Sekuriti,  Bursa   Saham
        Kuala  Lumpur (BSKL), pusat penjelasan diiktirafkan
        iaitu   Securities   Clearing   Automated   Network
        Services  (SCANS)  dan  Depositori  Pusat  Malaysia
        (MCD).
  
  16.    Selaras  dengan objektif Pelan  Pemulihan  Ekonomi
  Negara  dan  keperluan mengembalikan  keyakinan  terhadap
  pasaran, tindakan-tindakan secara pentadbiran dan undang-
  undang  perlu  diambil  dengan serta  merta.   Untuk  ini
  pindaan  telah dibuat kepada kaedah-kaedah BSKL, MCD  dan
  SCANS  yang  mula  berkuatkuasa pada  1  September  1998.
  Tindakan  secara  undang-undang pula  adalah  perlu  bagi
  menyokong tindakan pentadbiran itu.  Tujuan pindaan  Akta
  tersebut adalah seperti berikut:
  
  i)    memberikan sokongan undang-undang  kepada  pelbagai
        pindaan  kaedah-kaedah BSKL,  SCANS  dan  MCD  yang
        berkuatkuasa mulai 1 September 1998;
  
  ii)   mempertingkatkan  tahap ketelusan   dalam  dagangan
        saham  bagi  memastikan semua dagangan  saham  yang
        disenaraikan  di  BSKL hanya dibuat  di  BSKL  atau
        bursa  saham  yang  diiktiraf  oleh  undang-undang,
        sekaligus   mengharamkan  dagangan   luar   pasaran
        seperti CLOB;
   
  iii)  mencegah penyalahgunaan nominee dengan  menghendaki
        semua  pegangan  saham  dibuat  atas  nama  pemunya
        benefisial  (beneficial owner)  atau  nominee  yang
        diberi  kuasa (authorised nominees).  Nominee  yang
        diberi  kuasa ialah mereka yang menjalankan khidmat
        sebagaimana  yang  diluluskan  dalam  kaedah-kaedah
        depositori pusat; dan
  
  iv)   meningkatkan keupayaan  penguatkuasaan  badan-badan
        pengawalselia  untuk  memastikan  bahawa  tindakan-
        tindakan  serta merta dan efektif diambil  ke  atas
        mereka  yang  melanggar kaedah-kaedah atau  undang-
        undang sekuriti.
  
  17.    Pindaan-pindaan  penting yang diperkenalkan  dalam
  Rang  Undang-undang  Perindustrian  Sekuriti  (Depositori
  Pusat)  (Pindaan) 1998 mengandungi 28 fasal dan  meliputi
  perkara-perkara berikut:-
       
  i)    Takrif-takrif Baru
  
  Takrif-takrif  baru  "nominee diberi  kuasa"  (authorised
  nominee)  dan  "pemunya  benefisial"  (beneficial  owner)
  diperkenalkan melalui fasal 2 bagi memberi kesan ke  atas
  kehendak  undang-undang bahawa semua pegangan  saham  dan
  perniagaan  sekuriti mestilah dibuat  atas  nama  pemunya
  benefisial  atau  nominee diberi kuasa.   Nominee  diberi
  kuasa  ditakrifkan sebagai orang yang diberi kuasa  untuk
  bertindak  sebagai nominee seperti yang dinyatakan  dalam
  kaedah-kaedah  depositori pusat. Ini  termasuklah  entiti
  yang  menjalankan aktiviti-aktiviti sah  yang  menyumbang
  kepada   perniagaan  broker  saham  dan  bank-bank   yang
  mengambil  saham  sebagai  kolateral  bagi  kredit   atau
  pembiayaan  margin (margin financing) yang  diperuntukkan
  oleh  mereka dan syarikat-syarikat nominee atau syarikat-
  syarikat  amanah  yang digunakan bagi saham  amanah  yang
  diluluskan,    skim   pelaburan   kolektif    (collective
  investment  scheme)  dan dana yang  diluluskan  (approved
  fund).
       
  ii)  Larangan Pengeluaran Sekuriti
  
  Semua   pengeluaran  sekuriti  telah  deposit  (deposited
  securities)  daripada  depositori pusat  adalah  dilarang
  (tertakluk kepada beberapa pengecualian), yang  sekaligus
  membekukan   sepenuhnya  sekuriti  itu  dalam  depositori
  pusat.   Menurut amalan sekarang di mana BSKL menggunakan
  kuasa   budi   bicaranya  di  bawah  Akta   Perindustrian
  Sekuriti  (Depositori Pusat) [SICDA] bagi melarang  semua
  pengeluaran  sekuriti daripada MCD atas asas pentadbiran.
  SICDA  perlu  dipinda bagi memberikan kuasa undang-undang
  kepada pembekuan penuh kerana semasa SICDA digubal  dalam
  tahun  1991, ia membolehkan sekuriti disimpan  dalam  dua
  bentuk  iaitu  skrip  fizikal dan catatan  buku.   Dengan
  melarang   semua  pengeluaran  sekuriti   telah   deposit
  (deposited   security)  daripada depositori  pusat,  maka
  penggunaan  skrip  untuk mewujudkan  pasaran  saham  yang
  tidak  diiktiraf  dapat  dihalang.   Walau  bagaimanapun,
  beberapa  pengeluaran  yang  sah  adalah  dibenar,  dalam
  keadaan  tertentu, contohnya untuk memudahkan  pembatalan
  saham   berhubungan   dengan   pembelian   balik   saham,
  penyusunan  semula  syarikat  dan  pembetulan   kesilapan
  seperti  yang  dinyatakan  dalam  Perintah  Perindustrian
  Sekuriti  (Depositori  Pusat)  (Pengecualian)  1998  yang
  mula  berkuatkuasa pada 1 September 1998.   Bagi  memberi
  kesan  ke  atas  larangan pengeluaran ini, semua  rujukan
  kepada  terma  "pengeluaran" perlu  dipotong,  contohnya,
  dalam  takrif  "akaun sekuriti" dalam fasal  2  perenggan
  12(1)(a)  dan  13(1)(a)  dalam  fasal-fasal  5  dan  6.1,
  seksyen-seksyen 22 dan 23 dalam fasal 10.

  Sebagai  tambahan, seksyen 24 adalah dipinda dalam  fasal
  12  yang melarang pendeposit daripada mengeluar sekuriti-
  sekuriti  yang  didepositkan  dengan  depositori   pusat.
  Pengecualian  ke  atas  larangan  ini  hanyalah   dibenar
  sekiranya  diperuntukkan  secara  terang  dalam   kaedah-
  kaedah depositori pusat;
  
  iii)    Deposit  Mandatori  bagi  Sekuriti-sekuriti  yang
  ditetapkan
  
  Fasal  7  meminda seksyen 14 supaya menjadikan  mandatori
  bagi   BSKL  menetapkan  bahawa  sekuriti-sekuriti   yang
  tersenarai    atau    yang   akan   disenaraikan    perlu
  didepositkan dengan depositori  pusat.

  Setelah  BSKL  membuat  suatu  penetapan  itu,  pemegang-
  pemegang  sekuriti hendaklah mendeposit sekuriti-sekuriti
  itu   dengan   depositori   pusat   dalam   tempoh   yang
  ditetapkan.    Sekiranya  pendeposit   gagal   mendeposit
  sekuriti-sekuriti  itu  dalam  tempoh  yang   ditetapkan,
  sekuriti-sekuritinya  akan  dipindahkan  kepada   Menteri
  Kewangan.  Suatu tempoh selama enam bulan diberikan  bagi
  rayuan  di  buat  ke  atas pemindahan  itu.   Jika  tiada
  rayuan  dibuat atau rayuan itu ditolak, Menteri  Kewangan
  berhak  melupuskan  sekuriti-sekuriti  itu,  dan  apa-apa
  hasil  daripada  pelupusan  itu  hendaklah  disenggarakan
  menurut undang-undang mengenai wang yang tidak dituntut.
  
  Pemotongan   seksyen  15  dan  16  dalam  fasal   8   dan
  subseksyen   17(2)  melalui  fasal  9   adalah   daripada
  kehendak supaya sekuriti didepositkan.
  
  Adalah  dicadangkan  supaya subseksyen  37(2)  dan  38(1)
  dipinda  melalui fasal 20 dan 21 bagi memastikan  bahawa,
  bagi  terbitan  baru, terbitan bonus atau  terbitan  hak,
  penerbit  adalah dikehendaki mendepositkan  skrip  dengan
  depositori   pusat   dan  depositori   pusat   seterusnya
  mengkredit  sekuriti  itu ke dalam akaun  sekuriti  semua
  pemohon   yang   berjaya  atau  penerima-penerima   umpuk
  (allotee).
  
  Peruntukan  peralihan  yang dimasukkan  melalui  fasal  2
  memerlukan   semua  pemegang  saham  sedia   ada   supaya
  mendepositkan  sekuriti  mereka dengan  depositori  pusat
  dalam tempoh sebulan selepas Rang Undang-Undang ini  mula
  berkuatkuasa.Kegagalan berbuat demikian akan  menyebabkan
  sekuriti-sekuriti  mereka  dipindahkan   kepada   Menteri
  Kewangan,  yang  kemudiannya boleh  melupuskan  sekuriti-
  sekuriti  tersebut.  Hasil pelupusan itu  akan  diuruskan
  seolah-olah ianya wang yang tidak dituntut.
       
  iv)  Larangan  bagi   nominee   memegang  dan    berniaga
  sekuriti
  
  Fasal  13  bertujuan meminda seksyen 25  bagi  memasukkan
  subseksyen  baru (4), (5), dan (6).  Pada dasarnya  semua
  akaun   sekuriti  yang  dibuka  dengan  depositori  pusat
  mestilah  atas  nama  pemunya  benefisial  atau   nominee
  diberi  kuasa.   Apabila akaun sekuriti  tersebut  dibuka
  suatu  deklarasi  perlu dibuat oleh  orang  yang  membuka
  akaun  itu  kepada  depositori  pusat.   Deklarasi  palsu
  adalah satu kesalahan.

  Fasal  14 memasukkan seksyen baru 25A yang memperuntukkan
  bahawa   apabila  nominee  diberi  kuasa  membuka   akaun
  sekuriti,  mereka  adalah dikehendaki memegang  sekuriti-
  sekuriti  telah  deposit  bagi  satu  pemunya  benefisial
  berkenaan dengan setiap akaun sekuriti yang dibuka.

  Fasal  17  bertujuan  memasukkan seksyen  baru  29A  yang
  memperuntukkan  bahawa  semua dagangan  berkenaan  dengan
  sekuriti  telah  deposit  hanya  boleh  dijalankan   oleh
  pemunya  benefisial sekuriti-sekuriti telah deposit  atau
  nominee diberi kuasa.

  Peruntukan  peralihan  dalam fasal 28  menyatakan  bahawa
  jika   sebaik   sahaja   Rang  Undang-Undang   ini   mula
  berkuatkuasa,  suatu akaun sekuriti telah  dibuka  dengan
  depositori  pusat  atas  nama  seseorang  selain  pemunya
  benefisial atau atas nama nominee diberikuasa, orang  itu
  hendaklah dalam masa satu bulan dari tarikh Rang  Undang-
  Undang  ini  mula berkuatkuasa memohon kepada  depositori
  pusat untuk membuka akaun sekuriti di atas nama pemunya
  benefisial  sekuriti  tersebut dan  memindahkan  sekuriti
  tersebut   kepada   akaun  sekuriti  pemunya   benefisial
  itu;Selepas   luput   tempoh   satu   bulan,    sekiranya
  depositori   pusat  mempunyai  sebab  untuk   mempercayai
  bahawa  akaun  sekuriti tidak dibuka  atas  nama  pemunya
  benefisial  atau nominee diberi kuasa , sekuriti-sekuriti
  dalam  akaun sekuriti itu akan dipindahkan kepada Menteri
  Kewangan   dan  Menteri  Kewangan  melupuskan   sekuriti-
  sekuriti itu.  Hasil pelupusan itu akan diuruskan seolah-
  olah ianya adalah wang yang tidak dituntut.
       
  v)  Larangan  ke  atas  transaksi-transaksi  luar pasaran
  (off market)
  
  Kecuali  bagi  dagangan terus diiktirafkan dalam  kaedah-
  kaedah  BSKL,  semua transaksi luar pasaran (off  market)
  adalah  dilarang.   Oleh itu semua rujukan  kepada  "luar
  pasaran"  adalah  dipotong.  Fasal 18  bertujuan  meminda
  seksyen  31  untuk  menghendaki sesuatu depositori  pusat
  atau  agen depositori diberi kuasa membuat catatan  dalam
  akaun  sekuriti  berhubung  dengan  dagangan  terus  atau
  transaksi lain sepertinya yang dijalankan menurut kaedah-
  kaedah  depositori pusat atau bursa saham.   Dengan  ini,
  semua  transaksi luar pasaran lain adalah tidak  sah  dan
  catatan tidak boleh di buat dalam akaun-akaun sekuriti.
       
  vi)   Meningkatkan  Keupayaan Penguatkuasaan  Suruhanjaya
  Sekuriti dan Depositori Pusat
  
  Fasal  23  bertujuan meminda seksyen 41  dengan  menambah
  keadaan-keadaan dalam mana sesuatu akaun  sekuriti  boleh
  digantung.   Satu keadaan ialah apabila depositori  pusat
  mempunyai   sebab   untuk  mempercayai  bahawa   terdapat
  pelanggaran  kaedah-kaedah depositori  pusat,  BSKL  atau
  pusat  penjelasan  yang diiktirafkan.  Satu  contoh  lagi
  ialah  apabila  Suruhanjaya Sekuriti  mengeluarkan  notis
  kepada   depositori   pusat  menyatakan   bahawa   adalah
  dipercayai undang-undang sekuriti telah dilanggar.

  Fasal  25  meminda seksyen 58 dengan menambah jenis-jenis
  perintah  mahkamah  yang  boleh dipohon  oleh  depositori
  pusat   atau   Suruhanjaya  Sekuriti   berkenaan   dengan
  sebarang pelanggaran kaedah-kaedah depositori pusat  atau
  peruntukan-peruntukan SICDA.
  
  Selain   itu,  pelbagai  pindaan  kecil  yang  berbangkit
  daripada  pindaan  langsung daripada  pindaan-pindaan  di
  atas  juga dimasukkan ke dalam seksyen 3, 4, 10, 28,  35,
  39 dan 58.
  
  18.    Cadangan  pindaan  kepada  Akta  berkenaan  adalah
  perlu    bagi    menyokong    tindakan-tindakan    secara
  pentadbiran yang telah diambil oleh BSKL, SCANS dan  MCD.
  Langkah   tidak   mengizinkan  kegiatan  nominee   adalah
  bertujuan  untuk  memastikan  ketelusan  dalam  urusniaga
  sekuriti   di   pasaran  saham  negara  dan   membanteras
  urusniaga saham-saham Malaysia di bursa saham yang  tidak
  diiktiraf.    Matlamat  akhir  kepada  pindaan   tersebut
  adalah  untuk  mengembalikan  semula  keyakinan  pelabur-
  pelabur terhadap pasaran saham negara.
  
  19.   Saya mohon mencadangkan.

 
 



 
Google