home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
Oleh/By		:	DATO' SERI DR. 
			MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	STADIUM KUBU, MELAKA 
Tarikh/Date 	: 	27/10/98 
Tajuk/Title  	: 	MAJLIS PERASMIAN TILAWAH AL-QURAN 
			PERINGKAT KEBANGSAAN KE-41 



        Alhamdulillah,   saya  bersyukur   ke   hadrat   Allah
  Subhanahu  wa Ta'ala kerana dengan izin dan limpah  kurnia-
  Nya  kita  semua  dapat  hadir di majlis  Tilawah  Al-Quran
  Peringkat Kebangsaan Kali ke-41 di Melaka ini.  Kita  telah
  berjaya  selama ini meningkatkan minat umat Islam  terhadap
  Al-Quran  melalui majlis ini yang diadakan  pada  tiap-tiap
  tahun di peringkat Kebangsaan yang bermula pada tahun  1957
  dan peringkat Antarabangsa mulai tahun 1958.
  
  2.    Walaupun majlis ini merupakan sebahagian kecil sahaja
  daripada  aktiviti  keagamaan yang dipelopori  Kerajaan  ia
  telah  dapat  meningkatkan syiar Islam di  dalam  dan  luar
  negara  kita.   Tanpa syak lagi, syiar  Islam  telah  dapat
  kita  kembangkan  di kalangan umat Islam daripada  pelbagai
  pelusuk  dunia  melalui tilawah Al-Quran ini.   Umat  Islam
  bukan   sahaja   didedahkan  kepada  cara   pembacaan   dan
  penghafalan  Al-Quran  yang  baik  malah  dapat  menghayati
  kandungannya yang menjadi pegangan kita sebagai  umat  yang
  patuh  kepada agamanya.  Sedikit sebanyak kita telah  dapat
  menyatupadukan ummah Islam yang dipisahkan oleh  benua  dan
  lautan.
  
  3.     Ada   pihak  yang  berpendapat  kita   tidak   harus
  mengadakan  majlis  ini  yang  melibatkan  bacaan  Al-Quran
  dengan  berlagu  kerana  kononnya  ia  bertentangan  dengan
  kehendak   agama.    Mereka  sepatutnya  meneliti   sejarah
  kemajuan Al-Quran.
  
  4.    Pada  mulanya  ayat-ayat Al-Quran disampaikan  kepada
  Nabi  Muhammad  s.a.w.  melalui  suara  Jibrail  dan  Wahyu
  Tuhan.   Ayat-ayat  ini tidak ditulis.  Lagipun  Rasulullah
  tidak   tahu   menulis  atau  membaca.   Baginda   terpaksa
  mengingat  ayat-ayat ini dan kemudian mengulanginya  kepada
  penganut  yang tidak begitu ramai pada mulanya.  Hanya  ada
  beberapa orang sahaja yang dapat menulis ayat-ayat  ini  di
  atas kulit dan daun.
  
  5.    Untuk mengembangkan ajaran Al-Quran kepada orang yang
  tidak  pandai membaca ayat-ayat ini terpaksa diulangi  oleh
  Rasulullah  dan  mereka yang boleh  membaca.   Mereka  yang
  tidak  boleh  membaca perlu menghafal dan mengingati  ayat-
  ayat  ini.  Cara yang mudah memahatkan ayat-ayat ini  dalam
  hati   ialah  dengan  membaca  atau  mengulanginya   dengan
  berlagu.  Ini adalah tabii manusia.
  
  6.     Walaupun  ayat-ayat  Al-Quran  dikutip  dan  disusun
  selepas  wafatnya  Rasulullah, masyarakat Islam  kekurangan
  kitab  Al-Quran.   Semua  Al-Quran  ditulis  dengan  tangan
  kerana  tidak ada mesin cetak semasa Islam mula berkembang.
  Lagipun  buat  beberapa  lama cetakan  Al-Quran  diharamkan
  kerana  ada  ulama yang berpendapat ia bertentangan  dengan
  ajaran Islam.
  
  7.    Oleh  kerana  bilangan kitab  Al-Quran  yang  ditulis
  tangan ini begitu terhad maka amatlah penting ada sekurang-
  kurangnya  seorang  dalam mana-mana masyarakat  Islam  yang
  dapat  menghafal  Al-Quran.  Sekali lagi  untuk  memudahkan
  menghafal   Al-Quran  ayat-ayat  terpaksa   dibaca   dengan
  berlagu.   Sepertimana kita semua maklum  banyak  ayat  Al-
  Quran  diulangi  berkali-kali.  Jika  seseorang  hafiz  itu
  berlagu kemungkinan ayat-ayat Al-Quran daripada satu  surah
  dengan   surah   yang   lain  tercampur-aduk   akan   dapat
  dielakkan.
  
  8.     Tujuan  membaca  Al-Quran  dengan  berlagu  bukanlah
  kerana  hendak  asyik sehingga hilang  akal  tetapi  kerana
  hendak  memudahkan ingatan dan penghafalan ayat-ayat  suci.
  Lagipun  ayat Al-Quran dibaca begitu sahaja tanpa  diiringi
  dengan  sebarang  alat-alat muzik.  Bagi  masyarakat  kecil
  yang  terpisah, yang mungkin tidak memiliki kitab  Al-Quran
  atau  memiliki  hanya  sebuah kitab  sahaja,  adanya  hafiz
  menjadi amat penting bagi mengekalkan ajaran Al-Quran  bagi
  masyarakat   berkenaan.    Jika  kebakaran   atau   apa-apa
  malapetaka  berlaku  dan kitab yang  ada  musnah  semuanya,
  adanya  seorang hafiz menjamin ajaran Al-Quran tidak hilang
  dan dilupakan.
  
  9.     Jika  dalam  sebuah  negara  Islam  setiap  kumpulan
  mempunyai  hafiznya  sendiri, maka  ajaran  Al-Quran  tidak
  mungkin  hilang.   Jika  bacaan  berlagu  diadakan   secara
  beramai-ramai  tidak dapat tidak minat membaca  akan  turut
  berkembang.   Dengan  ini  ayat-ayat  Al-Quran  akan  tetap
  berada dalam hati umat Islam.
  
  10.   Di  zaman  ini  berjuta-juta naskah Al-Quran  dicetak
  sehingga  tidak  mungkin Al-Quran  hilang  sama  sekali  di
  seluruh  dunia,  insya-Allah.  Kita  juga  boleh  mendengar
  bacaan  Al-Quran melalui alat rakaman bahkan  juga  melalui
  komputer.    Hanya   dengan  kerana  ini  sahaja   tidaklah
  bermakna  kita  tidak  harus ada hafiz  di  kalangan  kita.
  Untuk  mengadakan hafiz, bacaan berlagu hendaklah diamalkan
  kerana  ia  boleh  menolong menarik  minat  dan  memudahkan
  hafalannya.
  
  11.   Seperti juga dengan membaca Al-Quran dengan  berlagu,
  penulisan   Al-Quran  dengan  khat  yang  cantik   menolong
  menambah  bilangan  kitab Al-Quran  di  zaman  tidak  ramai
  penulis.   Tabiat  manusia  memang  meminati  sesuatu  yang
  cantik.   Penulis-penulis di zaman silam mencipta  berbagai
  jenis  khat untuk mengindahkan lagi tulisan ayat-ayat  suci
  Al-Quran.   Mereka  menambah  dengan  lukisan-lukisan  yang
  halal  di  sisi  Islam.  Semua ini bertujuan menarik  minat
  untuk  memiliki dan membaca Al-Quran.  Dengan itu juga  isi
  kandungan Al-Quran disebar, dipelajari dan dihayati.
  
  12.   Tetapi  ada  ulama yang berpendapat  bahawa  Al-Quran
  hanya  boleh ditulis dengan tangan.  Ia tidak boleh dicetak
  (mungkin  kerana  mesin  cetak  dicipta  oleh  orang  bukan
  Islam).   Justeru itu, apabila Sultan Turki  membeli  mesin
  cetak  untuk  mencetak Al-Quran, mesin itu  diharamkan  dan
  terpaksa  disimpan  dan  tidak  digunakan.   Tetapi   lama-
  kelamaan  pendapat yang kolot ini ditolak oleh  ulama  lain
  dan  Al-Quran mula dicetak.  Hari ini oleh kerana  Al-Quran
  boleh  dicetak,  ia  dapat  dimiliki  oleh  sesiapa  sahaja
  daripada  umat  Islam, sama ada miskin atau  kaya.   Bahaya
  hilangnya  ayat-ayat  Al-Quran tidak mungkin  lagi,  insya-
  Allah.
  
  13.    Walaupun  membaca  Al-Quran  dengan  berlagu   boleh
  menolong  kita  menghafal  dan  mengingati  ayat-ayat  yang
  dibaca,   tetapi  penghormatan  terhadap  kitab  suci   ini
  bermakna  ketertiban dalam membaca bahkan  menangani  kitab
  Al-Quran  masih  diperlukan.  Sekarang ini  terdapat  minat
  yang  meluas  kepada  nyanyian nasyid.   Walaupun  menyanyi
  nasyid bukan sama dengan membaca Al-Quran, kita dapati  ada
  ketertiban tertentu yang diamalkan oleh penyanyi  lagu-lagu
  nasyid.   Ketertiban yang lebih diperlukan  semasa  membaca
  Al-Quran  dengan  berlagu.   Alhamdulillah  sehingga   kini
  ketertiban  ditunjuk oleh semua pihak  semasa  membaca  Al-
  Quran.
  
  14.    Malaysia   boleh  berbangga  dengan  kemajuan   yang
  ditunjuk  dalam  urusan dan pelaksanaan acara  tilawah  Al-
  Quran.   Banyak  hikmah yang telah didapati daripada  acara
  ini.   Ayat-ayat  yang dibaca, diterjemah  dan  dihuraikan,
  yang mana ini menolong kita memahami dengan lebih lagi  isi
  kandungan Al-Quran.  Sebenarnya tilawah Al-Quran yang  kita
  anjurkan di Malaysia memberi banyak pengajaran kepada  kita
  yang mana kita harus bersyukur dengannya,  Alhamdulillah.
  
  15.    Dengan   berkembangnya  pengetahuan  agama   melalui
  pengenalan  akan  isi  kandungan Al-Quran  maka  kita  akan
  terpelihara  daripada tafsiran-tafsiran  dan  ajaran  karut
  yang dibuat oleh orang yang tidak bertanggungjawab.
  
  16.    Baru-baru  ini  timbul  cerita  kononnya  ada  orang
  tertentu  telah meninggal dunia dan badannya telah bertukar
  menjadi   khinzir   dan  ditanam  di   belakang   rumahnya.
  Kepercayaan  bahawa  cerita ini  adalah  benar  membuktikan
  betapa ceteknya kefahaman dan pegangan kepada ajaran  agama
  terutama  isi  kandungan  Al-Quran di  kalangan  sesetengah
  orang  Islam.  Jika Kerajaan berpendapat ajaran agama perlu
  diawasi  secara  rapi,  sebabnya ialah  kerana  ada  sahaja
  orang  yang berani memperalatkan agama dan nama Allah untuk
  kepentingan  diri.  Bahawa cerita dan dakwaan  yang  dibuat
  oleh  mereka  boleh  merosakkan  akidah  umat  Islam  tidak
  sedikit  pun  dihiraukan oleh mereka.  Jika  mereka  begitu
  tidak   takut  membohong  dan  berdosa,  sebabnya  tentulah
  kerana  pegangan  mereka kepada agama  adalah  lemah.   Dan
  mereka  seperti ini kerap berselindung dengan topeng  agama
  kerana  mereka  tahu  penganut agama Islam  walaupun  cetek
  pengetahuan  agama  tetapi  begitu  kuat  berpegang  kepada
  agama sehingga apa sahaja yang dikaitkan dengan agama  akan
  dipercayai oleh mereka.
  
  17.   Di  masa  yang  sama  perbuatan  mereka  ini  memberi
  gambaran  kepada  orang  bukan  Islam  bahawa  agama  Islam
  begitu  kolot sekali.  Tetapi mereka yang membawa  kehinaan
  orang  bukan  Islam  kepada agama Islam berpendapat  bahawa
  pandangan orang bukan Islam kepada agama Islam tidak  perlu
  diberi apa-apa penghargaan.
  
  18.   Sikap  ini  amat  merugikan  agama  Islam  kerana  ia
  menyekat   perkembangan   agama  Islam   dan   pengaruhnya.
  Siapakah  yang akan dipengaruhi dengan penganut agama  yang
  dianggap  begitu  kolot?  Jika hari ini  umat  Islam  tidak
  berpengaruh  dan  selalunya lemah  dan  ditindas,  sebabnya
  ialah   kerana  kepercayaan  yang  kolot  yang   sebenarnya
  bertentangan dengan agama Islam terdapat di kalangan  orang
  Islam.   Lagipun mereka yang menyebabkan imej  Islam  kolot
  ini  terdiri  daripada  orang  yang  menonjol  diri  mereka
  sebagai  jaguh  dan alim dalam agama Islam.  Mereka  inilah
  yang merosakkan agama Islam.
  
  19.   Oleh  kerana imej Islam mudah dirosakkan  oleh  orang
  yang  berkepentingan maka amatlah penting umat  Islam  tahu
  dengan  lebih mendalam ajaran Islam yang sebenar. Pembacaan
  dan  pendedahan  tafsiran ayat-ayat  Al-Quran  adalah  satu
  cara  yang amat berkesan untuk mengembangkan ajaran  Islam.
  Majlis  Tilawah  Al-Quran yang kita adakan tiap-tiap  tahun
  tetap  menyumbang  kepada matlamat ini.  Pembacaan  berlagu
  memudahkan  hafalan  dan menarik minat  lebih  ramai  untuk
  mendengar bacaan ayat-ayat suci Al-Quran-ul-karim.  Justeru
  itu  kita harus jayakan Tilawah Al-Quran kerana ada  hikmah
  yang banyak yang terdapat daripadanya.
  
  20.   Dengan harapan ini saya dengan sukacitanya merasmikan
  Majlis  Tilawah  Al-Quran Peringkat  Kebangsaan  ke-41  ini
  dengan lafaz Bismillahir rahmanir rahim.

 
 



 
Google