home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
Oleh/By		:	DATO' SERI DR. 
			MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	DEWAN MUKTAMAR, PUSAT ISLAM, 
			KUALA LUMPUR 
Tarikh/Date 	: 	06/11/98 
Tajuk/Title  	: 	MAJLIS PERASMIAN HARI PENGGUNA 
			SEDUNIA 1998 PERINGKAT KEBANGSAAN 



        Terlebih  dahulu  saya  mengucapkan  setinggi-tinggi
  kesyukuran  ke  hadrat Allah Subhanahu wa  Ta'ala  kerana
  dengan  limpah kurnia dan hidayah-Nya dapat kita bersama-
  sama  hadir  di  Majlis Perasmian Hari  Pengguna  Sedunia
  Peringkat  Kebangsaan tahun 1998 pada pagi  ini.   Majlis
  pada  hari  ini  merupakan yang ketujuh yang  telah  saya
  rasmikan  sejak tahun 1992.  Seterusnya saya  mengucapkan
  terima  kasih dan penghargaan kepada Yang Berhormat  Dato
  Seri  Megat  Junid  bin Megat Ayob,  Menteri  Perdagangan
  Dalam   Negeri  dan  Hal  Ehwal  Pengguna  kerana   telah
  menjemput  saya ke majlis sambutan Hari Pengguna  Sedunia
  1998  untuk menyampaikan mesej di hari yang istimewa  ini
  dan seterusnya merasmikannya.
  
  2.    Tema  Hari  Pengguna Sedunia pada tahun  ini  ialah
  "Bijak  Berbelanja Untuk Negara".  Tema  ini  bersesuaian
  dengan  keadaan ekonomi negara yang mengalami  kegawatan.
  Pengguna  harus menanamkan sikap kepenggunaan  yang  baik
  untuk   menyumbang  kepada  pemulihan   ekonomi   negara.
  Apabila  kita  mengimbau  kembali  detik-detik  kegawatan
  ekonomi di negara kita sejak Julai 1997, kita tentu  akan
  sedar  betapa pentingnya ekonomi negara pada setiap orang
  daripada  kita.   Sebagai anggota  masyarakat,  apa  yang
  berlaku  kepada masyarakat tetap mempunyai kesan terhadap
  kita.   Maju  masyarakat  maka majulah  kita.   Mundurnya
  masyarakat maka mundurlah prestasi kehidupan kita.
  
  3.    Masyarakat dianggotai oleh individu.  Sebabnya yang
  kita  hidup  bermasyarakat ialah  kerana  individu  tidak
  mampu  membekalkan segala keperluannya sendiri.  Individu
  lain  perlu  membekalkan  sebahagian  daripada  keperluan
  seseorang  individu.  Lebih canggih dan besar  masyarakat
  berkenaan  lebih banyaklah keperluan individu yang  perlu
  dibekalkan  oleh  individu lain.   Sementara  itu  setiap
  individu  dalam  masyarakat tidak harus lupa  ia  menjadi
  pembekal kepada individu-individu lain dalam masyarakat.
  
  4.    Keperluan  individu dalam masyarakat meningkat  dan
  bertambah   mengikut   saiz   dan   kecanggihan    budaya
  masyarakat   berkenaan.    Setakat   mana   majunya   dan
  berjayanya budaya masyarakat bergantung kepada  kefahaman
  individu-individu dalam masyarakat akan  tanggungjawabnya
  dan bagaimana mereka menunaikan tanggungjawab ini.
  
  5.     Demikian  ada  masyarakat  yang  anggotanya  hanya
  mengutamakan mudah dan cepatnya mereka mendapat  pulangan
  daripada  usahanya.   Dengan itu perhatian  tidak  diberi
  kepada  kualiti  dan  nilai khidmat  atau  barangan  yang
  dibekal  oleh  mereka.  Kerana yang  diutamakan  hanyalah
  pendapatan sebanyak dan secepat mungkin, kualiti  khidmat
  dan  barangan  biasanya rendah dan bekalan-bekalan  terus
  tidak  mencapai kemajuan daripada segi kualiti atau nilai
  yang ditambah.
  
  6.    Sebaliknya dalam masyarakat yang maju  dan  canggih
  anggotanya  sepanjang masa cuba memperbaiki lagi  kualiti
  kerja  dan  hasil  kerjanya.  Dengan  itu  maka  sebarang
  khidmat  atau  keluaran masyarakat itu menjadi  bertambah
  baik  sepanjang masa.  Dengan itu juga masyarakat menjadi
  lebih   baik,  lebih  berkualiti  dan  lebih  maju  serta
  canggih   dengan  pengaliran  zaman.   Demikian  daripada
  kereta tanpa roda, masyarakat yang maju menciptakan  roda
  yang  tumpat,  kemudian  roda yang  lebih  ringan  dengan
  mengguna  "spoke", kemudian roda bertayar  getah  tumpat,
  kemudian tayar numatik, berputar atas "ball-bearing"  dan
  seterusnya.   Masyarakat  yang tidak  maju  kekal  dengan
  roda  tumpat  yang  dicipta oleh nenek  moyang,  kalaupun
  mereka dapat mencipta roda.
  
  7.    Masyarakat kita ingin menjadi masyarakat yang  maju
  dan  canggih.  Kita tidak perlu cipta roda semula  tetapi
  kita  boleh berusaha untuk menjadikan roda yang kita guna
  lebih efisien dan lebih tahan lama.
  
  8.    Kata  pepatah Inggeris "necessity is the mother  of
  invention",  atau "keperluan membuahkan  rekacipta".   Di
  zaman  gawat ini kita terpaksa bergantung kepada  ciptaan
  dasar,   pendekatan  dan  barangan  kita  bagi   memenuhi
  keperluan  kita.  Lebih cekap kita cipta  cara  menangani
  masalah  kita,  lebih cepatlah pemulihan  ekonomi  negara
  kita.
  
  9.    Kerajaan  telah mencipta beberapa pendekatan  dalam
  menangani  kegawatan  kewangan dan  ekonomi  kita.   Kita
  berjaya menyekat pedagang matawang daripada menaik  turun
  nilai  ringgit sesuka hati mereka.  Kita telah kembalikan
  pasaran  saham  ke  negara kita supaya  perniagaan  saham
  lebih teratur dan telus.  Dengan dua pendekatan ini  kita
  menjadi  lebih  bebas untuk bertindak memulihkan  ekonomi
  negara.   Demikian  kita  telah dapat  menurunkan  faedah
  pinjaman, menambah mudah tunai, memudahkan proses pinjam-
  meminjam dan sebagainya.
  
  10.   Hari ini ternampak tanda-tanda ekonomi akan  pulih.
  Namun  kita  sebagai  pengguna tidak boleh  lepas  tangan
  atau  relaks.  Kita belum selamat.  Tersilap sedikit maka
  kita  akan  diserang dengan kegawatan yang mungkin  lebih
  besar dan lebih sukar diatasi.
  
  11.   Sebenarnya apa yang ditentukan oleh kita boleh kita
  lakukan  kerana  rakyat  negara  kita  ini  tertib.   Ada
  negara  yang rakyat bertindak tanpa memahami masalah  dan
  secara  membuta-tuli.  Mereka merusuh, mogok dan  membuat
  tuntutan  yang  tidak mungkin dilayan apabila  berhadapan
  dengan  masalah.  Akhirnya bukan sahaja pendapatan mereka
  tidak  bertambah tetapi pendapatan yang  ada  pun  hilang
  dan kegawatan serta kos sara hidup meningkat.
  
  12.   Kita  tidak  boleh lupa bahawa  semua  kita  adalah
  pengguna.   Tuntutan  dan desakan  oleh  pengguna  memang
  boleh  melindungi hak mereka, menentukan mutu dan kualiti
  khidmat   dan  barangan  yang  dijual  kepada   pengguna,
  menggalak   peningkatan  kualiti  dan  keupayaan   segala
  khidmat  dan  barangan  yang dipasarkan.   Kualiti  hidup
  kita  akan  menjadi  lebih  baik  sepanjang  masa  kerana
  peranan  yang  dimainkan  oleh  pengguna  dan  organisasi
  pengguna.  Pengawasan oleh pengguna amatlah penting.  Hak
  pengguna  dan  kegiatan organisasi pengguna memang  perlu
  dilindungi    oleh   undang-undang.     Kerajaan    tetap
  berperanan dalam melindungi hak dan peranan pengguna.
  
  13.   Di  masa  yang  sama pengguna juga bertanggungjawab
  terhadap   diri  sendiri.   Oleh  kerana  semua  pengguna
  adalah  anggota  masyarakat, maka tanggungjawab  pengguna
  tidak    dapat    diasingkan    daripada    tanggungjawab
  masyarakat.   Jika masyarakat ingin maju,  maka  pengguna
  bertanggungjawab untuk menentukan kemajuan itu  tercapai.
  Jika   masyarakat   menghadapi  masalah,   maka   menjadi
  tanggungjawab  pengguna sebagai anggota masyarakat  untuk
  menolong mengatasi masalah berkenaan.
  
  14.   Sekarang  ini  kita  menghadapi  kegawatan  ekonomi
  akibat  daripada  penurunan  nilai  matawang  kita   oleh
  pedagang  matawang.  Benar kita telah rebut  balik  kuasa
  menentukan  nilai  matawang kita.   Tetapi  negara-negara
  yang  bersaing dengan kita, terutama negara-negara  jiran
  masih terdedah kepada manipulasi pedagang matawang.  Jika
  kita  menaikkan nilai Ringgit kita terlalu  tinggi,  maka
  barangan  kita akan menjadi terlalu mahal sehingga  tidak
  dapat  bersaing dengan barangan dan khidmat yang  dibekal
  oleh jiran-jiran kita dalam pasaran dunia.
  
  15.   Sebab itu, walaupun nilai asal Ringgit ialah RM2.50
  bagi  USD1.00, kita telah menetapkan RM3.80 bagi USD1.00.
  Ini  menjadikan barangan eksport kita kompetitif.  Tetapi
  ini  juga  menyebabkan kos barangan  import  terus  mahal
  berbanding dengan semasa sebelum kegawatan.
  
  16.   Oleh  sebab  import  kita masih  mahal  kita  perlu
  mengurangkan   import.    Pengguna   mestilah   kurangkan
  penggunaan barangan dan khidmat yang didapati  dari  luar
  negara  kita.  Import yang terbesar ialah makanan seperti
  gula,  tepung,  daging  lembu,  susu  dan  makanan   yang
  diproses  daripada bahan-bahan ini.  Kita harus kurangkan
  penggunaan bahan-bahan ini dan menggantikan dengan  bahan
  dan makanan yang dapat dikeluarkan dari dalam negeri.
  
  17.   Alhamdulillah, kualiti barangan  tempatan  sekarang
  sama  baik  dengan barangan import.  Walaupun  kadangkala
  harga  lebih  tinggi  sedikit tetapi  kerapkali  juga  ia
  lebih  murah.   Lagipun  jika kita  tingkatkan  pembelian
  barangan  tempatan,  pengeluarannya  akan  bertambah  dan
  harga   akan   turun.    Demikian  banyak   sayur-sayuran
  tempatan  yang  sudah menjadi lebih  murah  kerana  lebih
  ramai   pengusaha  yang  mengeluarkannya  untuk  memenuhi
  permintaan oleh pengguna negara kita.
  
  18.   Apabila pasaran tempatan meningkat, maka "economies
  of  scale"  bukan sahaja akan menurunkan kos  pengeluaran
  dan  dengan itu harga dalam pasaran tempatan tetapi  kita
  juga  boleh  eksport  barangan ini.  Pendapatan  daripada
  eksport akan menolong lagi pemulihan ekonomi kita.
  
  19.   Persatuan Pengguna perlu menggalakkan  perbelanjaan
  secara  bijak.  Kita hendak pengguna belanja wang  mereka
  untuk  memulihkan  ekonomi negara.  Tiap  kali  seseorang
  membeli sesuatu, penjual mendapat keuntungan.  Jika  wang
  yang   diperolehi  oleh  penjual  diguna  untuk   membeli
  sesuatu,   maka   penjual  lain  pula  akan   memperolehi
  keuntungan.   Jika  wang  yang diguna  untuk  menjualbeli
  diguna  dengan kerap, bertukar dari satu tangan  ke  satu
  tangan  berkali-kali  dalam satu hari,  maka  ramai  yang
  akan  mendapat  nikmat daripada jumlah  wang  yang  sama.
  Sebaliknya  jika  wang  disimpan  di  rumah   dan   tidak
  digunakan  maka  tidak ada sesiapa yang  mendapat  nikmat
  daripada wang berkenaan.
  
  20.   Apabila  Kerajaan  mendesak  supaya  kita  pengguna
  berbelanja   secara   bijak,  ia  tidak   bermakna   kita
  kurangkan  belanja.  Kita perlu berbelanja untuk  membeli
  khidmat  dan  barangan tempatan dan kita  kurang  membeli
  barangan  yang  diimport.  Jika kita ingin menabung  maka
  tabunglah  dalam  bank  simpanan  atau  bank  biasa  atau
  Tabung  Haji  dan  Bank Islam umpamanya.   Tetapi  jangan
  menyimpan duit dalam peti di rumah kerana duit itu  tidak
  akan  mendatangkan  apa-apa faedah kepada  ekonomi  kita.
  Duit  yang  disimpan di rumah tetap akan hilang  nilainya
  kerana  inflasi  akan  mengurangkan  kuasabelinya.   Jika
  disimpan dalam bank atau lain-lain tabung, duit itu  akan
  diguna  untuk  perniagaan yang mana  keuntungan  daripada
  perniagaan   akan   menambah  pendapatan   Kerajaan   dan
  perbelanjaan untuk membangunkan negara.
  
  21.   Inilah  yang  dimaksudkan dengan bijak  berbelanja.
  Walaupun   persatuan   pengguna   lebih   aktif   sebagai
  "watchdog" bagi pengguna, di waktu ini,  Persatuan  boleh
  memainkan   peranan  yang  amat  menguntungkan   pengguna
  sebagai  penyebar  maklumat dan pengetahuan  tentang  apa
  yang   boleh   dibuat  oleh  pengguna   untuk   mengatasi
  kegawatan  yang  mana  ini  akhirnya  akan  menguntungkan
  pengguna sendiri.
  
  22.   Setakat  ini tindakan Kerajaan mengembalikan  kuasa
  menentukan  nilai matawang kita dan pasaran  saham  telah
  menunjukkan   bukti-bukti  kejayaan.    Banyak   petunjuk
  ekonomi  telah menjadi lebih baik.  Kita yakin  asas-asas
  untuk  pemulihan  ekonomi sudahpun ada dan  kukuh.   Yang
  diperlukan   sekarang   ialah  penyertaan   rakyat   yang
  semuanya  juga  menjadi pengguna dalam  usaha  menjayakan
  strategi  pemulihan  yang telah kita cipta  untuk  negara
  tercinta ini.
  
  23.   Kemerdekaan  negara kita adalah tanggungjawab  yang
  terbesar  sekali bagi kita.  Kita baru 41 tahun  merdeka.
  Kita  masih  ingat kehinaan penjajahan  yang  telah  kita
  lalui  selama  400 tahun.  Kita tidak ingin dijajah  lagi
  sama  ada  secara  langsung atau tidak langsung.   Bangsa
  yang  bebas  tidak  sahaja bebas kerana wilayahnya  tidak
  lagi  ditakluk  oleh  orang  asing.   Negara  yang  bebas
  mestilah    bebas   membentuk   dasar-dasarnya   sendiri,
  membentuk  cara  pentadbirannya, memiliki pendirian  yang
  tersendiri sama ada berkenaan masalah dalaman atau luar.
  
  24.   Kita  menerima  demokrasi, iaitu pemerintahan  oleh
  majoriti   dengan   mengambil  kira  hak   dan   pendapat
  minoriti.   Tetapi  jika kita terpaksa menerima  pendapat
  asing  yang  ditekankan keatas kita melalui paksaan  maka
  demokrasi  kita  dan  demokrasi mereka  hilang  maknanya.
  Sepertimana  juga  dalam  demokrasi  warganegara,  rakyat
  perlu  bebas, begitu juga demokrasi bermakna negara  yang
  merdeka perlu bebas.
  
  25.   Kita  menghadapi  ancaman terhadap  demokrasi  kita
  apabila  kebebasan  kita mentadbir negara  kita  mengikut
  kehendak  majoriti  dihalang  oleh  pihak  lain.   Bahawa
  mereka  tidak  mengguna tentera dan  cuba  menakluk  kita
  secara  fizikal  tidak  bermakna  mereka  tidak  mencabul
  demokrasi dan kemerdekaan kita.
  
  26.   Kita  tidak perlu kepada penerimaan  atau  kepujian
  daripada orang asing yang menganggap diri mereka  sebagai
  hakim  dan  kuasa  pentadbir dan penentu  segala-galanya.
  Jika  kita dipuja oleh mereka, percayalah, sebabnya ialah
  kerana  kita  sudah  diperalat oleh  mereka,  kita  sudah
  khianati diri kita, bangsa kita dan kerapkali juga  agama
  kita.
  
  27.   Bagi  kita  yang harus kita junjung ialah  kebaikan
  bagi  kita  yang tidak datang daripada memburukkan  orang
  lain  yang  tidak bermusuh dengan kita.  Jika kita  lihat
  hasil  usaha  kita  ialah kejayaan dan  kebahagiaan  bagi
  kita,  maka itu sudah mencukupi.  Kepujian daripada orang
  lain  tidak perlu untuk meyakinkan kita bahawa  apa  yang
  kita lakukan untuk negara kita adalah baik.
  
  28.   Semua  warganegara  adalah  pengguna  dan  pengguna
  adalah  kita  semua.   Miskin  atau  kaya,  kitalah  yang
  menjadi  rakyat negara ini, kitalah yang bertanggungjawab
  terhadap  negara  ini.   Sebagai  pengguna  dan   sebagai
  rakyat  kita punya tanggungjawab terhadap negara.  Semasa
  negara  kita  maju  maka  nikmatnya  dirasai  oleh  kita,
  semasa  kita  menghadapi masalah  maka  pemulihan  negara
  mestilah diusahakan oleh kita sendiri.
  
  29.   Usaha yang perlu dibuat oleh kita sebagai  pengguna
  dan   rakyat   ialah  menentukan  negara   kita   stabil,
  menentukan   kita   tidak   memburukkan   lagi   keadaan;
  menentukan kita mengambil bahagian dalam segala  kegiatan
  yang boleh memulihkan keadaan di negara kita.
  
  30.   Jika kita semua faham tentang sebab kita menghadapi
  masalah,  kita akan faham tanggungjawab kita,  kita  akan
  tunaikan  tanggungjawab kita dan dengan itu  Insya  Allah
  ekonomi  negara  kita akan pulih semula.  Apabila  dianya
  pulih,  maka  kita  akan kembali bebas  untuk  menumpukan
  semula  kepada  peranan  kita  mengawasi  supaya  bekalan
  khidmat  dan  barangan kepada pengguna  menepati  dakwaan
  yang  dibuat  mengenainya.  Dengan itu maka mutu  khidmat
  dan  barangan  di  negara kita tetap akan  menjadi  lebih
  baik  sepanjang masa.  Dengan itu pengguna dan organisasi
  pengguna  akan  menyumbang semula  kepada  kualiti  hidup
  semua   pengguna   di   negara   ini.    Sementara    itu
  bekerjasamalah   dengan  badan-badan  lain   dan   dengan
  Kerajaan  supaya dapat kita atasi masalah  kita  sekarang
  secepat mungkin.
  
  31.   Akhirnya, saya merakamkan ucapan tahniah dan syabas
  kepada  pihak  Kementerian Perdagangan Dalam  Negeri  dan
  Hal  Ehwal  Pengguna dan semua pihak yang terlibat  dalam
  menjayakan   majlis   pada  hari   ini.    Dengan   lafaz
  Bismillahir  rahmanir rahim, saya dengan  ini  merasmikan
  sambutan Hari Pengguna Sedunia Peringkat Kebangsaan  bagi
  tahun 1998.

 
 



 
Google