home Speechs in the year 2003 2002 2001 2000 1999 1998 1997 1996 1995 1994 1993 1992 1991 1990 --> |
Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD Tempat/Venue : MENARA PGRM, CHERAS, KUALA LUMPUR Tarikh/Date : 20/11/98 Tajuk/Title : PERASMIAN PUSAT REKABENTUK PERABOT MALAYSIA (MFDC) Saya mengucapkan terima kasih kepada Majlis Kayu Kayan Malaysia (MTC) kerana menjemput saya untuk merasmikan Pusat Rekabentuk Perabot Malaysia (MFDC). Penubuhan pusat seperti ini bukan sahaja penting dalam pembangunan industri perabot tetapi adalah tepat pada masanya memandangkan industri hiliran dan bernilai tambah telah muncul sebagai sumber pendapatan tukaran wang asing yang utama dalam sektor komoditi. Lagipun industri berasas bahan mentah tempatan yang dimiliki rakyat Malaysia boleh menolong meningkatkan pendapatan negara kerana segala hasil akan dikembalikan ke negara kita hampir sepenuhnya. 2. Pendapatan daripada eksport perabot di negara ini telah bertambah dengan banyaknya sejak tahun 1990. Pada tahun 1990, pendapatan eksport perabot berjumlah hanya RM269.5 juta, akan tetapi pada tahun 1997, ianya telah melebihi RM2.6 billion iaitu peningkatan sebanyak 10 kali ganda. Dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, industri ini telah terus maju dan mencatatkan perolehan eksport sebanyak RM1.97 billion. Walaupun sebahagian daripada pendapatan ini ialah keuntungan yang tidak dijangka disebabkan kejatuhan nilai Ringgit, tetapi apa yang penting ialah prestasi industri perabot yang membanggakan. Keupayaan industri ini untuk menyesuaikan diri hingga mencapai kejayaan, walaupun negara sedang menghadapi pergolakan ekonomi, perlu diberikan sokongan dan galakan supaya ianya akan terus maju dan berdaya saing. 3. Dalam tempoh lima tahun yang lepas, industri perabot tempatan telah diiktiraf sebagai pengeluar dan pengeksport perabot yang berkualiti dan bertaraf dunia. Walau bagaimanapun, persaingan yang semakin meningkat berikutan proses globalisasi dan liberalisasi dagangan di peringkat ASEAN dan antarabangsa, seharusnya tidak menjadikan kita terlalu berpuas hati dengan tahap pencapaian sekarang. Sebaliknya, kita perlu menguatkan azam dan berusaha ke arah kecemerlangan dengan mengeluarkan produk-produk kayu atau perabot bernilai tambah yang lebih berkualiti tinggi dan mampu menjadi standard antarabangsa. Saya yakin, ini akan dapat dicapai melalui perkembangan rekabentuk asli yang tinggi mutunya serta mengamalkan proses dan teknologi perkilangan yang lebih kos efisien. 4. Industri perabot di negara ini masih banyak bergantung kepada rekabentuk sedia ada di pasaran dan juga citarasa pembeli dan mengikuti kaedah pembuat peralatan asal (Original Equipment Manufacturer) (OEM). Keadaan ini menyebabkan penekanan harga yang berterusan di mana pengilang-pengilang kos rendah dari negara- negara di rantau ini telah muncul dengan barangan yang berharga rendah serta kompetitif. Sebagai pengilang yang beroperasi mengikut OEM, kita berpandukan kepada rekabentuk-rekabentuk yang disediakan oleh pembeli dari negara-negara asing dan harganya ditetapkan oleh mereka. Dalam kegawatan ekonomi, saya difahamkan bahawa pembeli- pembeli asing telah meminta supaya diskaun diberikan berasaskan kejatuhan nilai Ringgit. Bagi menentukan pasaran, para pengilang dan pengeksport kita terpaksa memenuhi permintaan mereka dan mungkin keuntungan jangka pendek dapat dikekalkan. Sebaliknya, sekiranya nilai Ringgit kita kembali kukuh, tidak pasti harga yang lama akan diberikan kepada pengeksport-pengeksport perabot tempatan. Dengan demikian, margin keuntungan akan berkurangan sementara kos pengeluaran akan meningkat, yang akhirnya industri perabot di negara ini akan menghadapi pelbagai masalah. 5. Bagi jangka masa panjang, penekanan perlu diberikan kepada keupayaan pengeluar-pengeluar perabot untuk bersaing dengan faktor bukan harga seperti kualiti yang unggul, rekabentuk yang unik serta kaedah pasaran yang inovatif. Pengeluar-pengeluar perabot perlu beralih dari kaedah pengeluaran "OEM" kepada pengeluaran mengikut "Original Design Manufacture" atau "pengilangan rekabentuk asal" secara agresif dengan mengamalkan strategi seperti mencipta rekabentuk dan jenama yang tersendiri. Selain daripada itu, ia juga boleh dilakukan melalui "networking", membentuk hubungan strategik ataupun perkongsian pintar dengan pembeli-pembeli luar negara atau firma-firma rekabentuk perabot di negara-negara pengimport. Tindakan-tindakan ini bukan sahaja akan menjamin kewujudan industri perabot Malaysia yang tulin tetapi juga pembangunannya akan memberi faedah "spin-off" yang lebih meluas kepada penduduk di negara ini. 6. Daripada segi perniagaan dan perdagangan perabot, matlamat utama kita ialah untuk menarik minat pembeli jangka panjang dan menggalakkan mereka membeli produk tempatan berdasarkan kualiti barangan dan "value for money", bukan semata-mata sebagai pembeli runcit yang inginkan harga rendah. Walau bagaimanapun, kita harus mempelbagaikan barangan daripada produk berharga rendah dan sederhana hingga ke produk premium yang berharga tinggi. Setelah itu barulah kita berpeluang untuk bersaing tanpa tekanan harga yang ditetapkan secara terang-terangan oleh kuasa pasaran. 7. Sudah tiba masanya bagi industri perabot mengamal dan menggunakan "value-strategy" dan beralih dari "volume-strategy" melalui rekabentuk asal dan jenama sendiri. Dalam perkara ini, pengilang-pengilang tempatan perlu memberi tumpuan untuk mengeluarkan produk yang berkualiti tinggi dan konsisten, mempunyai fungsi serta rekabentuk yang menarik. 8. Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Kementerian Perusahaan Utama di atas inisiatifnya menubuhkan pusat ini bagi membantu industri perabot kearah kecemerlangan serta menjadikannya sebuah industri bertaraf dunia. Dengan adanya pusat ini, kita mempunyai tempat untuk mempamerkan perabot buatan Malaysia yang terkini sepanjang tahun. Di samping itu, pameran yang diadakan oleh "Malaysian International Furniture Fair" setiap tahun memastikan promosi serta kejayaan yang berpanjangan untuk industri perabot Malaysia. 9. Saya yakin dengan adanya kemudahan seperti ini dan di atas usaha inovatif industri serta sokongan dari Kementerian Perusahaan Utama, maka industri perabot kita akan bertambah maju dan meningkat ke tahap yang lebih tinggi lagi supaya menjadi salah satu tunggak pendapatan tukaran wang asing bagi negara kita. 10. Saya difahamkan bahawa Pusat Rekabentuk Perabot Malaysia dibuka kepada semua pengilang, peniaga dan pengeksport dan akan menjadi tempat untuk mempamerkan rekabentuk perabot Malaysia yang terkini serta menyediakan khidmat nasihat teknikal dalam merekabentuk perabot yang bercirikan rekabentuk tempatan. Dengan itu, saya berharap mereka yang terlibat dalam perniagaan dan perdagangan perabot akan mengambil peluang untuk menggunakan kemudahan serta perkhidmatan yang disediakan. 11. Saya dimaklumkan juga bahawa dalam tahun 1997, dianggarkan terdapat 3,009 kilang perabot dan kilang kerja kayu di negara ini. Akan tetapi hanya 500 hingga 600 kilang sahaja yang terlibat dengan aktiviti eksport. Oleh yang demikian, industri kecil dan sederhana digalak untuk mengambil bahagian dalam perniagaan eksport perabot yang bernilai lebih kurang USD55 billion setiap tahun di seluruh dunia. Mereka boleh bermula dengan menjadi pembekal komponen tertentu kepada pengeksport lain. 12. Bagi memastikan pusat ini memainkan peranan yang berkesan untuk memanfaatkan industri perabot, terdapat satu persoalan yang penting mengenai perlindungan harta intelek. Isu ini mungkin menjadi batu penghalang dimana pengilang-pengilang pintar yang mempunyai rekabentuk ciptaan mereka sendiri, enggan mempamerkan barangan di MFDC kerana khuatir pengilang-pengilang lain akan meniru rekabentuk mereka. Seperti yang telah kita ketahui, ia merupakan satu masalah universal di mana tidak terdapat penyelesaian yang mudah dan jelas. 13. Walau bagaimanapun, saya telah diberitahu bahawa MFDC akan mengemukakan cadangan untuk pertimbangan Kerajaan supaya pendaftaran bagi perlindungan hak harta intelek bagi rekabentuk perabot dapat diwujudkan di negara ini. Adalah diharapkan dengan adanya proses pendaftaran yang cekap ianya akan meyakinkan pengimport dan peniaga perabot asing untuk menempah kontrak OEM dengan para pengilang negara ini tanpa takut rekabentuk mereka ditiru. Isu rompakan rekabentuk merupakan punca utama timbulnya kebimbangan di kalangan pengimpot terutamanya dari negara Jepun di mana mereka telah banyak membuat pelaburan wang dan masa untuk penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam aspek rekabentuk perabot. 14. Sukacita saya mengulangi bahawa pengilang perabot harus menumpukan perhatian kepada pembeli dari negara asing yang bersedia untuk membeli produk berkualiti dan bernilai tambah, bukan hanya menuntut harga yang terendah. Saya berharap dalam masa dua hingga tiga tahun kehadapan, pusat ini akan mempunyai pelbagai barangan untuk memenuhi keperluan setiap sektor dagangan perabot. 15. Saya juga telah diberitahu bahawa MFDC merupakan tempat di mana perekabentuk tempatan yang berbakat boleh mempamerkan kreativiti dalam merekabentuk perabot, melalui pameran "works-of-art" yang kerap kali diadakan oleh para perekabentuk Malaysia. Ini akan memberi peluang kepada para pengilang Malaysia memperolehi rekabentuk yang anggun serta berfungsi hasil daripada perekabentuk tempatan. Para perekabentuk tersebut juga berpeluang untuk menjual koleksi rekabentuk mereka kepada pengilang-pengilang yang berpotensi. Langkah ini dapat melahirkan perekabentuk perabot yang mampu untuk menghasilkan produk bertaraf dunia dengan mewujudkan rekabentuk Malaysia yang asli. 16. Dalam era teknologi maklumat, saya difahamkan perdagangan elektronik, dan laman Web telah diwujudkan oleh pusat ini sebagai salah satu alat pemasaran untuk mempromosikan industri perabot Malaysia. Saya berharap rekabentuk terbaik dan terkini dapat disebarkan kepada dunia melalui rangkaian "Internet". 17. Akhir kata, saya yakin pengilang, perekabentuk dan pembeli bersama-sama akan memperolehi faedah daripada penubuhan pusat ini sepertimana yang disarankan dalam Pelan Induk Perindustrian Kedua menerusi konsep "manufacturing plus-plus". Selanjutnya pusat ini akan menjadi jambatan kepada rekabentuk cemerlang dan hubungan perniagaan. 18. Dengan kata-kata ini, saya dengan sukacitanya merasmikan Pusat Rekabentuk Perabot Malaysia ini. |