home Speechs in the year 2003 2002 2001 2000 1999 1998 1997 1996 1995 1994 1993 1992 1991 1990 --> |
Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD Tempat/Venue : PUSAT BELIA ANTARABANGSA, KUALA LUMPUR Tarikh/Date : 02/12/98 Tajuk/Title : MAJLIS KONVENSYEN CUEPACS KE-21 Terlebih dahulu saya mengucapkan syukur ke hadrat Allah Subhanahu wa Ta'ala kerana saya dapat hadir di Majlis Konvensyen CUEPACS ke-21 ini dan merasmikannya pada hari ini. 2. Adalah menjadi amalan biasa di dalam konvensyennya, CUEPACS akan melaksanakan satu tanggungjawab yang penting untuk memilih ahli jawatankuasa yang baru bagi menduduki barisan kepimpinannya untuk tiga tahun yang akan datang. Bahkan, saya percaya konvensyen ini akan menjadi forum utama bagi membincangkan isu pokok berkaitan dengan kepentingan Kesatuan Sekerja Gabungan CUEPACS dan ahlinya khusus mengenai perkhidmatan dan faedah saraan. Justeru itu, adalah penting konvensyen ini dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab terhadap kesatuan dan negara supaya ia dapat membuat rumusan yang baik. Ini bermakna segala hasil perbincangan dan persetujuan yang dicapai di dalam konvensyen ini akan menjadi ramuan penting kepada CUEPACS untuk merangka strategi jangka panjang serta arahtuju yang komprehensif, yang akan dapat memberi manfaat bukan sahaja kepada ahli CUEPACS khususnya, bahkan faedahnya akan dapat dirasai oleh semua anggota perkhidmatan awam dan negara amnya. 3. Jumlah keahlian dan kesatuan yang bergabung dengan CUEPACS sudah pasti akan bertambah dari semasa ke semasa kerana sifat serta peranannya dalam menangani isu perkhidmatan anggota perkhidmatan awam. Saya difahamkan bahawa sehingga kini keahlian CUEPACS adalah kira-kira seramai 179,300 orang berbanding dengan jumlah anggota perkhidmatan awam seramai 848,000 orang. Dalam pada itu, jumlah kesatuan yang bergabung dengan CUEPACS pula adalah sebanyak 103 buah. CUEPACS selaku Kesatuan gabungan yang terbesar dalam perkhidmatan awam perlulah sentiasa bersifat bertanggungjawab bukan sahaja kepada ahli dan masalah mereka tetapi juga kepada seluruh anggota perkhidmatan awam. Sebaliknya semua anggota perkhidmatan awam perlu menyokong CUEPACS apabila ia berjuang untuk kepentingan semua anggota. 4. Kesatuan sekerja dicipta dan diwujudkan di zaman kaum kapitalis bermaharajalela mengeksploitasi kaum pekerja. Dengan adanya kesatuan sekerja maka hak pekerja dapat dilindungi dan mereka mendapat pulangan yang sewajarnya daripada hasil kerja mereka. Hak pekerja berkesatuan dan mengambil tindakan perusahaan adalah senjata yang berkesan yang menolong pekerja mendapat bahagian mereka daripada hasil titik peluh mereka. Dan memanglah wajar pekerja mempunyai senjata ini kerana jika tidak puak majikan akan menindas pekerja. 5. Kita sedang lihat sekarang kapitalis kembali semula untuk menindas kaum yang miskin dan pekerja. Kapitalis yang baru ini mempunyai modal yang jauh lebih besar daripada kapitalis di zaman dahulu. Mereka memiliki berbilion dolar dan mereka dapat 'leverage' iaitu hutang dari bank dua puluh kali ganda atau lebih daripada modal mereka sehingga jumlah yang boleh diniagakan oleh mereka meningkat kepada satu trilion dolar, iaitu satu ribu bilion dolar. 6. Tidak seperti kapitalis dahulu yang mendiri kilang dan mengguna pekerja untuk mengeluarkan barangan, kapitalis zaman ini tidak perlu menggajikan pekerja yang ramai. Mereka mengguna modal dan pinjaman besar mereka untuk membeli dan menjual matawang asing, termasuk Ringgit kita. Mengikut kaedah mereka jika matawang dijual nilainya jatuh berbanding dengan dolar Amerika, jika dibeli dengan dolar Amerika maka nilai matawang akan naik. Dengan kaedah ini mereka boleh naik dan turunkan nilai matawang sesuka hati mereka. 7. Yang malangnya ialah apabila nilai matawang diturunkan kita menjadi miskin kerana wang kita tidak lagi dapat membeli barangan import seperti dahulu. Dengan itu walaupun gaji pekerja tidak turun, pekerja menjadi miskin daripada segi kuasa beli barangan import. Kerana barang import naik harga barangan tempatan juga naik harga, maka pekerja menjadi lebih miskin lagi. Perniagaan juga akan rugi dan mungkin terpaksa ditutup dan pekerja dibuang kerja. Dengan ini bilangan pekerja yang menganggur akan bertambah sehingga berjuta-juta pekerja di sebuah negara yang diserang oleh kapitalis pedagang matawang telah menganggur, tidak dapat membeli makanan, susu untuk anak-anak dan ubat-ubatan. Dengan ini negara yang kaya boleh menjadi miskin dalam satu masa yang pendek akibat dieksploitasi oleh kapitalis yang amat kaya ini yang menurunkan nilai matawang. 8. Sebaliknya, sementara kapitalis di zaman dahulu sekurang-kurangnya mewujudkan peluang pekerjaan bagi pekerja, pedagang matawang ini tidak mewujudkan peluang pekerjaan bagi pekerja biasa. Mereka mengguna beberapa puluh pekerja sahaja untuk berdagang dengan berbilion dolar. Pekerja mahir yang sedikit ini memang dibayar upah yang tinggi dan mereka tidak mempunyai kesatuan dan tidak perlu mogok. Tetapi kerana kerja yang dibuat oleh mereka puluhan juta pekerja di negara miskin hilang pekerjaan dan menganggur. Inilah kapitalis moden yang mengganti kapitalis dahulu. Mereka lebih kejam dan ganas daripada kapitalis lama. 9. Malangnya senjata mogok dan tindakan perusahaan yang ada pada kesatuan sekerja tidak berkesan untuk melawan dengan kapitalis moden ini. Sebaliknya senjata ini jika diguna akan memburukkan lagi nasib pekerja. Ini adalah oleh kerana mereka tidak terdedah secara langsung kepada tindakan perusahaan pekerja. Mereka tidak pun berada atau tinggal di negara yang diserang oleh mereka sehingga pekerja menjadi miskin dan menganggur. 10. Demikian apabila nilai matawang dan nilai saham dijatuhkan oleh mereka, bank dan syarikat akan menjadi tenat dan tidak lagi dapat menguruskan perniagaan mereka. Dengan ini mereka bukan sahaja tidak dapat menaikkan gaji untuk menolong pekerja menghadapi inflasi yang berlaku, mereka tidak pun dapat membayar gaji biasa dan kerapkali terpaksa membuang pekerja mereka. Jika pekerja mengambil tindakan perusahaan maka perniagaan akan hancur sama sekali, dan pekerja serta pengurus dan pemilik akan hilang punca pendapatan mereka. Ekonomi negara akan hancur. Tetapi pedagang matawang tidak rugi apa-apa. 11. Demikian apabila kegawatan menyebabkan sebuah syarikat penerbangan asing mengalami kerugian yang teruk dan ia cuba dipulihkan dengan mengurangkan bilangan pekerja dan upah mereka, kesatuan sekerja telah mogok. Akibatnya syarikat itu mengalami kerugian yang lebih besar dan terpaksa ditutup. Semua pekerja, pengurus dan pemilik syarikat berkenaan hilang punca pendapatan mereka. Dan negara kehilangan suatu perniagaan nasional yang penting dan boleh menyumbang kepada pengaliran tukaran wang asing dan cukai Kerajaan. 12. Berhadapan dengan kapitalis baru ini kesatuan sekerja dan pekerja perlu gubal pendekatan lain untuk menyelamatkan diri. Kapitalis baru ini perlu dibanteras.Buat sementara waktu pekerja perlu berganding bahu dengan majikan dan majikan perlu bekerjasama dengan pekerja untuk menyelamatkan perniagaan dan perusahaan dan juga ekonomi negara. Kerajaan juga perlu menyumbang kepada kerjasama ini. Dengan cara ini satu benteng yang kukuh dapat didirikan untuk menghalang serangan oleh pedagang matawang dan pelabur jangka pendek yang hanya ingin mendapat keuntungan cepat bagi mereka, tanpa mempedulikan nasib pekerja. 13. Saya berasa amat gembira kerana kesatuan sekerja dan pekerja di Malaysia amat berhati-hati apabila mengguna senjata mogok dan tindakan perusahaan terutama semasa kegawatan ini. Tidak ada mogok dan tidak ada tuntutan yang bukan-bukan yang dibuat oleh kesatuan sekerja. 14. Majikan harus menghargai sikap kesederhanaan dan bertanggungjawab pekerja Malaysia. Di mana mereka mampu hendaklah mereka layan tuntutan pekerja. Memandang akan ketidaktentuan ekonomi dan keuntungan, upah tidak perlu dinaikkan jika tidak ada kemampuan. Tetapi elaun yang tidak tetap patutlah dipertimbangkan. Kerajaan juga akan bersikap demikian. 15. Negara kita adalah milik kita bersama. Nikmat yang terdapat dalam negara kita hendaklah kita agih secara adil dan saksama antara kita. Sementara pelaburan asing amat berguna dan kita alu-alukannya, tetapi pelaburan tempatan adalah lebih kekal dan memberi pulangan yang lebih banyak. Keuntungan daripada perniagaan perlu dilabur semula. Keuntungan tidak harus dibahagi kesemuanya kepada pemilik saham atau pihak lain. Sebahagiannya hendaklah diasingkan untuk dilabur semula. Dengan cara ini ekonomi negara akan dapat dipulih semula dan dikembangkan. 16. Di masa yang sama daya pengeluaran atau produktiviti hendaklah ditingkatkan melalui kerjasama dan kecekapan pengurusan dan pekerja. Di zaman kegawatan ini amatlah penting kita semua tumpukan kepada pemulihan ekonomi dengan menaikkan daya keluaran kita, terutama dalam bidang eksport. 17. Walaupun CUEPACS adalah kesatuan sekerja kakitangan Kerajaan, ini tidak bermakna tuan-tuan dan puan-puan tidak terlibat dalam usaha membangunkan ekonomi bahkan meningkatkan eksport. Pentadbiran yang efisien dan teratur tetap menyumbang kepada kecekapan dalam meningkatkan keluaran dan eksport kita. Kelambatan atau kurang cekapnya khidmat Kerajaan akan menambah kos pengeluaran barangan untuk pasaran tempatan atau eksport. Sebaliknya jika khidmat diberi dengan pantas dan cekap, kos akan dapat dikurangkan dan kita semua akan menikmati harga yang murah dan inflasi yang rendah. Dengan itu ekonomi akan cepat pulih. Apabila ekonomi pulih maka sudah tentu tuntutan pekerja akan mendapat layanan yang sewajarnya. 18. Saya percaya konvensyen CUEPACS akan membincangkan masalah-masalah yang dihadapi oleh kesatuan dan ahli. Tetapi saya percaya CUEPACS juga sedar dan ingin memainkan peranan memulihkan ekonomi negara. Kita hidup dalam zaman yang penuh ancaman. Jika kita gagal menangani ancaman ini, bukan sahaja ekonomi dan politik kita tidak akan dapat dipulihkan tetapi kemungkinan besar kita akan dijajah semula. Justeru itu, kita semua harus berhati-hati. 19. Saya percaya konvensyen ini akan memilih Jawatankuasa yang baru untuk memimpin Cuepacs. Saya harap apa yang berlaku dalam parti-parti politik di mana sogokan digunakan untuk mendapatkan sokongan tidak berlaku dalam kesatuan sekerja, termasuk Cuepacs. Amatlah malang jika yang berjaya ialah yang mampu sahaja. 20. Saya telah sebut bahawa walaupun ekonomi dan kewangan Kerajaan begitu berkurangan sehingga kita akan mengalami defisit sebanyak RM16 billion bagi 1999 tetapi Kerajaan sedar akan masalah yang dihadapi oleh kakitangan Kerajaan. Kerajaan tidak mampu membayar bonus tahun ini dan saya minta maaf. Walaupun demikian untuk menolong kakitangan Kerajaan di semua peringkat selain daripada Jawatan Utama Sektor Awam (JUSA) menghadapi masalah perbelanjaan untuk pelajaran anak- anak dan lain-lain keperluan, Kerajaan memutuskan untuk memberi bantuan sebanyak RM400 (Ringgit Malaysia Empat Ratus) seorang tahun ini. Saya sedar akan ada yang tidak puas hati dengan tawaran ini, tetapi ini sahajalah yang Kerajaan mampu memberi. 21. Dengan ini, saya dengan sukacitanya merasmikan Konvensyen CUEPACS yang ke-21. |