home Speechs in the year 2003 2002 2001 2000 1999 1998 1997 1996 1995 1994 1993 1992 1991 1990 --> |
Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD Tempat/Venue : DEWAN MERDEKA, PWTC, KUALA LUMPUR Tarikh/Date : 13/12/98 Tajuk/Title : PERHIMPUNAN AGUNG KHAS UMNO 1998 Hari ini kita bersidang dengan satu agenda sahaja -- iaitu meminda Perlembagaan Parti kita, Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu, atau Pekembar, yang lebih dikenali sebagai UMNO. 2. Ini bukanlah kali pertama kita meminda Perlembagaan Parti kita. Perlembagaan kita dipinda dahulu dan kali ini kerana zaman berubah dan pengalaman serta budaya bangsa kita juga turut berubah. Jika perlembagaan parti tidak dipinda, parti kita akan kaku atau hancur kerana tidak dapat menangani masalah yang berbeza-beza yang muncul mengikut peredaran zaman, mengikut perkembangan negara daripada segi politik, ekonomi, sosial dan budaya, daripada segi bilangan penduduk dan daripada segi jumlah ahli UMNO sendiri. 3. Di waktu UMNO ditubuhkan orang Melayu hanya kenal raja-raja sebagai ketua negeri dan pemimpin. Rakyat tidak terlibat dengan politik -- justeru itu mereka tidak percaya akan kepimpinan yang terdiri daripada rakyat, terutamanya kepimpinan untuk seluruh negara. Tidak ramai yang ingin menonjol diri untuk memimpin sebuah organisasi politik yang dikehendaki mencabar penjajah, bahkan raja-raja sendiri. Mencari pemimpin menjadi masalah besar bagi orang Melayu. Apabila ada tokoh yang berbakat dan berani sedikit, ia mudah diterima tanpa apa-apa cabaran. 4. Budaya ini diteruskan hingga selepas negara mencapai kemerdekaan. Demikianlah mudahnya pemimpin diterima sehingga tidak ada cabaran terhadap Yang di- Pertua, Timbalannya dan Naib-Naib Yang di-Pertua pada tiap-tiap tahun pemilihan Majlis Kerja Tertinggi UMNO diadakan. Selagi mereka tidak undur diri kerana apa-apa sebab, jawatan-jawatan berkenaan tidak ditandingi. Hanya keahlian biasa dalam Majlis Kerja Tertinggi sahaja yang ditandingi. Tidak ada kempen yang dilakukan. Pemilihan dibuat secara terbuka dengan mengangkat tangan. Selepas dipilih tidak ada yang tidak diterima oleh mana-mana pihak, kerana tidak ada 'faction' dalam UMNO. 5. Dengan kerana ini UMNO kuat, tumpat dan berwibawa. Dan UMNO yang berwibawa berjaya menggagalkan Malayan Union dan berjuang untuk mencapai kemerdekaan bagi negara. Setelah merdeka UMNO terus berwibawa, tumpat dan berjaya dalam pilihanraya demi pilihanraya dan dalam mentadbirkan negara, membangunkannya dan mengisi kemerdekaan. 6. Sebenarnya pentadbiran negara pada tahun-tahun awalan Malaysia merdeka tidak begitu sulit. Walaupun pengalaman UMNO dalam bidang politik dan pentadbiran cetek, ia mencukupi untuk menangani masalah-masalah yang dihadapi ketika itu. Tidak ramai rakyat Malaysia, terutama orang Melayu yang berpengalaman mengetuai jabatan-jabatan dan sudah tentu tidak ada yang tahu mengetuai kementerian, sesuatu yang tidak pernah diadakan di zaman kolonial. Namun UMNO berjaya menerajui Kerajaan Perikatan dan menguruskan politik negara secara demokratik. 7. Sebenarnya banyak negara lain yang sama-sama mencapai kemerdekaan selepas Perang Dunia Kedua, tetapi gagal ditadbir dan dibangunkan. Kebanyakannya bukan sahaja tidak dapat dibangunkan tetapi tahap pembangunan yang dicapai di zaman penjajah merosot, kadang-kadang dengan teruknya. 8. Tetapi Malaysia yang merdeka berjaya mengamalkan politik demokrasi dan membangunkan negara walaupun penduduk terdiri daripada pelbagai kaum.Rakyat menikmati kehidupan yang lebih bahagia, lebih makmur. Pilihanraya dapat diadakan tanpa rusuhan dan pembunuhan seperti yang sering berlaku di negara-negara yang baru merdeka. Hanya pada tahun 1969 rusuhan kaum berlaku tetapi itupun dapat diselesaikan oleh pentadbiran yang dipimpin oleh UMNO. Campurtangan orang asing tidak diperlukan. 9. Semua pencapaian ini adalah hasil kekukuhan UMNO sebagai sebuah parti politik. Pemimpin-pemimpin UMNO dapat menjalankan tugas dengan baik kerana parti memberi sokongan padu yang menjamin segala keputusan Kerajaan disokong penuh oleh semua pihak dalam Kerajaan dan parti. Dengan itu, semua anggota Kerajaan, baik pentadbir sivil, pegawai polis atau tentera menghormati dan menurut dasar dan pendekatan yang diputuskan oleh Kerajaan. 10. Jika UMNO berpecah dan pemimpin tidak mendapat mandat dan sokongan daripada parti, tidak akan ada sesiapa di kalangan tentera, polis dan pentadbir yang akan menghormati arahan Kerajaan yang didirikan oleh parti. 11. Di kebanyakan negara, kewibawaan pertubuhan atau individu yang memerintah bergantung kepada pasukan bersenjata yang diberi kedudukan istimewa. Sistem `palace guard' yang bersenjata yang bertanggungjawab mempertahankan pucuk pemerintahan tidak ada di Malaysia. Yang ada hanyalah tentera dan polis biasa yang tidak mempunyai kesetiaan peribadi kepada mana-mana pemimpin. Mereka adalah profesional dan bertindak mengikut undang- undang dan susunan kuasa (authority) pemerintahan. Siapa sahaja yang memegang teraju Kerajaan akan diterima oleh mereka sebagai pihak berkuasa. 12. Seperti yang telah dijelaskan, jika tidak ada badan yang berwibawa, yang mempunyai taraf daripada segi undang-undang dan yang kukuh serta disokong oleh penyokong yang ramai, pihak tentera, polis dan pentadbir awam tidak akan menghormati dan mematuhi arahan mereka. Tetapi seperti kita semua maklum tidak ada siapa yang menyoal hak dan kewibawaan UMNO menerajui dan mengguna kuasa Kerajaan dalam memerintah negara. Pihak raja-raja juga memberi pengiktirafan ini. 13. Kita anggap peranan yang dimainkan oleh UMNO dan pemimpin-pemimpinnya semasa rusuhan 1969 sebagai perkara biasa. Dia mungkin ternampak sebagai perkara biasa. Tetapi kemampuan pemimpin-pemimpin UMNO bertindak menangani rusuhan kaum 1969 adalah luar biasa. Di negara lain, bahkan di negara kita juga anarki dan hura-hara boleh berlaku jika tidak kerana UMNO terus bersepadu dan tidak menyoal hak pemimpin memimpin semasa rusuhan berlaku. 14. Sebenarnya perpaduan dan ketertiban UMNO membolehkan negara berkali-kali mengatasi krisis, selain daripada mentadbir dan membangunkan negara dengan jayanya. Wujudnya gabungan parti-parti politik seperti Perikatan dan Barisan Nasional juga bergantung kepada perpaduan dan ketertiban dalam UMNO. Jika tidak ada UMNO yang terbesar dan bersatupadu, yang memberi kedudukan dan kuasa kepada pemimpin-pemimpinnya, Perikatan dan Barisan Nasional tidak akan terbentuk dan berfungsi secara efektif. 15. Apa yang hendak saya tekankan ialah pentingnya UMNO yang bersatupadu dan berwibawa. Jika UMNO lemah, dan ia sudah tentu akan lemah jika ia berpecah, maka kestabilan politik dan Kerajaan yang berwibawa dan berkuasa tidak akan wujud di negara ini. 16. Memang pun menjadi perkara yang lumrah dalam politik negara-negara yang baru muncul selepas dijajah parti yang berjaya menebus maruah bangsa dan kemerdekaan terus popular buat beberapa lama selepas kemerdekaan dicapai. Tetapi selepas satu jangkasama yang tidak terlalu panjang parti berkenaan akan merosot popularitinya. Terdapat banyak sebab kenapa ini berlaku. 17. Yang pertama, semasa parti berjuang untuk mencapai kemerdekaan sokongan rakyat mudah didapati. Tetapi selepas merdeka sokongan menjadi lebih sukar diperolehi kerana rakyat berharapan kemerdekaan membawa sesuatu perubahan. Ia lebih sukar apabila demokrasi diamalkan kerana demokrasi mendedahkan Kerajaan kepada ugutan oleh rakyat. Mereka tidak akan memberi sokongan jika kehendak mereka tidak dilayan. Malangnya kehendak mereka tidak selalu secocok dengan kepentingan nasional tetapi lebih kerap diasaskan kepada kepentingan kumpulan atau puak. Dan puak-puak ini pula bertelagah sepanjang masa. 18. Demikian di negara berbilang kaum seperti Malaysia, pertentangan kepentingan antara kaum memaksa pilihan dibuat sama ada sokongan satu kaum lebih menguntungkan daripada sokongan kaum lain. Walau apa pun pilihan yang dibuat, sokongan kepada Kerajaan akan berkurangan. 19. Yang kedua, pengalaman Kerajaan negara yang baru merdeka tetap cetek dan dengan itu harapan rakyat untuk merasai nikmat daripada pemerintahan sendiri kerapkali tidak tercapai. 20. Yang ketiga, perselisihan pendapat dan perebutan antara pemimpin untuk mendapat tempat tertentu dalam parti yang memerintah akan berlaku. Semakin lama semakin bercita-cita besar minat pemimpin-pemimpin parti. Usaha mereka merebut tempat akan memecahkan parti kepada 'factions' yang bermusuh antara satu sama lain. 21. Akhirnya parti pemerintah akan berpecah kepada kumpulan-kumpulan yang lemah. Kewibawaan parti sebagai pemerintah akan merosot. Ini akan mengurangkan lagi kemampuan untuk memenuhi harapan rakyat. 22. Dengan itu parti yang memperjuangkan kemerdekaan akan dibenci oleh rakyat dan akan hilang sokongan. Jika parti telah lama memerintah maka ramai di luar parti yang akan kecewa kerana tidak mungkin mendapat tempat, lalu mereka mengapi-apikan kemarahan rakyat. Malangnya parti lawan atau parti yang dibentuk oleh serpihan parti pemerintah tidak juga mendapat kedudukan yang kukuh. Dengan itu tidak ada satu pun parti yang kuat dan mampu mendirikan Kerajaan yang berwibawa. Maka akan berlakulah pertukaran Kerajaan setiap kali pilihanraya diadakan tanpa mendatangkan apa-apa perubahan. 23. Oleh kerana ini maka kestabilan politik dan pentadbiran yang berkesan tidak dapat diadakan lagi. Negara tidak akan dapat dibangunkan dan rakyat akan menderita. 24. Sebarang percubaan untuk mendirikan parti yang berwibawa, yang disokong oleh sebahagian besar daripada rakyat seperti semasa perjuangan untuk kemerdekaan dahulu akan gagal. Tanpa pentadbiran yang kukuh dan kestabilan politik, kemerosotan ekonomi dan sosial akan berterusan dan negara tidak mungkin menjadi negara maju sampai bila-bila pun. 25. Apa yang saya huraikan ini dapat kita lihat di kebanyakan negara yang mencapai kemerdekaan setelah sekian lama dijajah oleh kuasa-kuasa Barat. Hampir tidak ada pemerintahan negara-negara ini yang berwibawa. Ada kalanya mereka menggugurkan demokrasi dan mendirikan Kerajaan satu parti atau pemerintahan kuku besi. Tetapi Kerajaan-Kerajaan tersebut terdedah kepada `corruption of power' dan pembangunan negara juga tidak dapat diadakan. 26. Malaysia sehingga kini masih berjaya mengadakan Kerajaan yang berwibawa. Formula yang dicipta oleh pengasas UMNO masih dapat diamalkan. Bukan sahaja UMNO berjaya mengekalkan susunan parti tetapi cara ia bekerjasama dengan parti-parti lain juga masih dapat diteruskan. Tetapi kunci kepada segala-gala ini adalah UMNO yang berwibawa. 27. Justeru itu menjadi tanggungjawab tiap seorang ahli UMNO, bahkan tiap seorang orang Melayu dan Bumiputera lain di Malaysia, menjadi tanggungjawab semua mereka untuk menentukan UMNO terus kukuh dan berwibawa. Untuk ini kita perlu kepada dua faktor yang terpenting. Kita perlu kepada susunan parti yang baik. Kita perlu kepada budaya parti yang sesuai dengan amalan demokrasi. 28. Di waktu UMNO dibentuk tidak ada pengakuan bahawaYang di-Pertua atau Presiden parti berhak menjadi Perdana Menteri. Tetapi kejayaan UMNO dalam pilihanraya- pilihanraya di negara tercinta ini sejak merdeka telah memberi peluang kepada pucuk pimpinan UMNO memegang jawatan ini. Dan ini sudah menjadi satu `tradisi' sehingga ramai yang berpendapat bahawa yang penting ialah menjadi Presiden UMNO. Jawatan Perdana Menteri akan datang bergolek selepas itu. 29. Memang benar Presiden UMNO mengikut tradisi berhak menjadi Perdana Menteri Malaysia tetapi ia hanya akan memegang jawatan Perdana Menteri jika UMNO mendapat kemenangan dalam pilihanraya umum yang mesti diadakan. Apakah UMNO tetap akan memenangi pilihanraya menerajui Barisan Nasional? Apakah Barisan Nasional akan terus menerima UMNO jika UMNO lemah? Apakah Barisan Nasional tetap akan mendapat majoriti kerusi di setiap pilihanraya? 30. Ketiga-tiga soalan ini bergantung kepada kekuatan UMNO sebagai sebuah parti politik. Kekuatan UMNO datang daripada perpaduan ahli-ahlinya dan kesetiaan ahli- ahlinya kepada parti dengan perlembagaannya. Dan parti tidak boleh berfungsi jika ianya tidak tersusun rapi dan mempunyai pemimpin yang disokong penuh. 31. Apabila pemimpin sudah dipilih maka sokongan padu mestilah diberi kepadanya. Hanya ini sahaja yang boleh menentukan kewibawaannya. Selagi ia menjadi pemimpin selama itulah ia perlu disokong. Kesetiaan dan ketaatan kepadanya bukanlah kerana tubuh badannya, kerana peribadinya.Kesetiaan kepadanya adalah kerana jawatannya, jawatan yang disandang olehnya mengikut perlembagaan dan melalui pemilihan parti. Jika ia gagal mengekalkan kepercayaan parti kepadanya, maka ia boleh digugur oleh parti juga mengikut perlembagaan parti. 32. Kronisma dan 'faction' tidak patut ada dalam parti. Jika ia diamalkan lambat laun parti akan berpecah dan menjadi lemah. 33. Ini adalah oleh kerana kemenangan bagi mana-mana 'faction' akan menyebabkan 'faction' yang kalah tidak menyokong. Pemenang hanya mendapat sokongan daripada sebahagian sahaja daripada parti. Dengan itu ia menjadi lemah. 34. Budaya demokrasi yang sebenar berkehendakkan pemilihan dibuat secara persahabatan, iaitu `friendly competition'. Pemilihan antara parti-parti seperti yang berlaku semasa pilihanraya adalah berlainan daripada pemilihan dalam parti. Dalam parti yang perlu diutamakan ialah kewibawaan parti, keberkesanan parti. Kemenangan menjadi pemimpin tidak bermakna jika ia menyebabkan parti berkecai, menjadi lemah, gagal memenangi pilihanraya dan membentuk Kerajaan. 35. Demokrasi dalam parti hendaklah menjamin kewibawaan parti tidak tergugat. Untuk ini pemilihan hendaklah diasaskan kepada perwatakan atau 'character' calon, kebolehannya dan kualiti-kualiti lain yang menyesuaikannya sebagai pemimpin. Soal kesetiaan kepadanya sebagai individu atau ketua 'faction' tidak harus ada dan mempengaruhi pemilihan. 36. Jika pemilihan tidak diasaskan kepada kesetiaan peribadi atau 'faction' maka selepas pemimpin dipilih barisan parti dapat dirapatkan semula. Tidak ada permusuhan oleh pihak yang kalah terhadap pemimpin yang dipilih atau penyokong-penyokongnya. Sebaliknya semua ahli parti merapatkan barisan dan memberi sokongan padu kepada pemimpin yang dipilih. Dengan itu, parti akan terus kuat dan mampu menangani masalah parti dan masalah Kerajaan dan negara. 37. Keadaan dunia semasa kita mencapai kemerdekaan lebih 40 tahun dahulu dan keadaan sekarang amat berbeza. Namun bahayanya adalah sama. Semasa kita tubuhkan UMNO masalah yang kita hadapi adalah penjajahan oleh kuasa asing secara langsung. Hari ini kita masih terdedah kepada penjajahan. 38. Selepas Perang Dunia Kedua penjajahan dianggap perkara yang buruk yang tidak boleh diterima oleh dunia. Penjajah berasa malu dengan sejarah penjajahan mereka. Mereka tidak lagi berlagak sebagai penguasa dunia. Mereka tidak mahu campur tangan dalam urusan wilayah- wilayah yang telah dibebaskan daripada mereka. Mereka seolah-olah sudah bertaubat dan tidak mahu menjajah lagi. 39. Tetapi mereka tidak ikhlas. Secara tersembunyi mereka cuba melemahkan negara-negara yang baru bebas ini dengan mencuba memecah-belahkan rakyat dan wilayah supaya negara-negara ini tidak dapat diperintah dengan baik dan jayanya. Apabila sahaja ada rusuhan dan perang saudara maka mereka akan membekalkan senjata kepada pihak tertentu bahkan mereka sanggup menjadi askar upahan kepada pihak-pihak yang merebut kuasa. 40. Tujuan mereka ialah supaya pemerintah negara yang baru merdeka ini menjadi lemah dan dapat diperalatkan oleh mereka. Walaupun yang memerintah mendirikan Kerajaan kuku besi, mereka sedia membantu asalkan memihak kepada mereka dan memberi mereka peluang untuk mengeksploitasi kekayaan negara berkenaan. Secara tidak langsung penjajahan oleh mereka dikekalkan. 41. Tetapi ada negara yang telah merdeka ini yang dapat mengurus dan memerintah diri sendiri dengan jayanya tanpa bergantung kepada bekas-bekas penjajah. Demikianlah kejayaan negara-negara ini sehingga mereka dapat bersaing dengan bekas penjajah mereka dahulu. 42. Kebanyakan daripada negara-negara yang merdeka dan berjaya ini ialah negara-negara di Asia Timur. Pertumbuhan ekonomi negara-negara ini dan kejayaan pemerintahan mereka menjadi cabaran besar kepada bekas penjajah dahulu. Ternampak seolah-olah negara-negara ini akan benar-benar merdeka dan mencabar kuasa lama di Eropah dan Amerika Utara. 43. Kejayaan negara-negara ini tidak menyenangkan bekas penjajah dahulu. Mereka ingin tentukan negara-negara yang baru muncul daripada bekas tanah jajahan mereka akan terus tunduk kepada mereka. Walaupun pada mulanya masyarakat dunia berpendapat bahawa tidak ada siapa yang berhak campur tangan dalam urusan dalam negeri negara yang merdeka, kuasa-kuasa Barat berjaya meyakinkan dunia bahawa untuk mengawasi dan mencegah pencabulan hak asasi manusia, mereka berhak campur tangan dalam urusan rumahtangga negara-negara mana yang mereka suka. 44. Dengan dakwaan ini, maka jentera propaganda mereka mula membuat tuduhan-tuduhan tentang kononnya ada pencabulan hak asasi manusia di sana-sini. Demikianlah keangkuhan mereka sehingga mereka sanggup menyerang negara-negara kecil secara langsung dan menangkap pemimpin, bahkan Presiden sebuah negara Amerika Latin untuk dibawa ke negara mereka dan dibicarakan di bawah undang-undang mereka. Bahawa perbuatan ini amat bertentangan dengan undang-undang antarabangsa tidak sedikit pun dihiraukan oleh mereka. 45. Tetapi masih ada negara yang masih bersikap bebas. Di Timur terdapat banyak negara seperti ini yang begitu maju sehingga mendakwa bahawa abad ke-21 adalah abad Asia, di waktu mana Asia akan menguasai dunia. 46. Dakwaan ini mempunyai asas kerana negara-negara di Asia begitu besar dan telah dapat menguasai teknologi tinggi dan mendirikan perniagaan yang tersebar luas di seluruh dunia. Rakyat Asia begitu cekap dan berdisiplin sehingga ternampak tidak ada sesuatu kemahiran yang mereka tidak dapat kuasai dengan paras yang tertinggi. 47. Melihat perkembangan ini maka bekas penjajah barat mula merancang untuk menjajah semula. 48. Mereka akan menafi yang mereka mempunyai rancangan untuk menyekat kemajuan negara-negara Timur. Tetapi kita tahu daripada sejarah kegiatan mereka di Asia dan di wilayah-wilayah lain bahawa mereka memang mempunyai konspirasi untuk menentukan mereka terus mendominasi dunia ataupun sekurang-kurangnya mematah kemungkinan mereka dicabar. 49. Dari sejarah yang dibukukan oleh seorang penulis Amerika sendiri kegiatan menjatuhkan pemimpin-pemimpin negara-negara baru merdeka dilakukan di Indonesia, di Vietnam, di Kampuchea dan di beberapa negara lain. Tidak ada negara yang dibenar aman dan maju melainkan yang pemimpinnya boleh diperalat dan dijadikan boneka mereka. 50. Dalam dunia unipolar, dunia yang dikuasai oleh hanya satu blok sahaja, tidak ada pilihan bagi mana-mana negara menyeberang ke blok yang lain. Malangnya jika negara tunduk kepada kuasa tunggal, penindasan akan berlaku dan kemajuan akan disekat. Penjajahan atau kolonialisme masih hidup dan akan terus hidup walaupun dalam zaman maklumat alaf baru. 51. Malaysia bukan kuat. Kita memang lemah. Malaysia sebuah negara kecil dengan penduduk berbilang kaum. Antara penduduk ini terdapat kaum Bumiputera yang majoritinya orang Melayu. Orang Melayu inilah yang menjadi teras kewibawaan negara. 52. Amat jelas sekali untuk melumpuh dan memperkosa negara ini, orang Melayu mesti dipecah dan dilumpuhkan. Cara untuk melumpuh orang Melayu adalah banyak. Awal- awal lagi orang Melayu telah dipecah dengan penggunaan agama oleh orang yang berkepentingan. Atas nama Islam orang Melayu bermusuh dengan orang Melayu. Tetapi berkat perpaduan majoriti Melayu dalam UMNO, penyalahgunaan agama oleh pihak tertentu tidak dapat melumpuhkan orang Melayu. 53. Namun bibit-bibit perpecahan terus berada dalam masyarakat Melayu di Malaysia. Ia menunggu sahaja isu atau peluang untuk berkembang di celah-celah keretakan yang berada dalam UMNO sendiri. 54. Pihak kuasa asing sedar akan hakikat ini. Mereka mencari boneka yang 'credible'. Apabila mereka sudah kenalpasti boneka ini, mereka mengguna kelemahan yang ada padanya untuk menguasainya. Berbagai-bagai cara diguna untuk menentukan boneka ini mengikut telunjuk mereka. Oleh itu layanan yang istimewa diberi kepadanya. Didikan tertentu diusahakan sehingga ia dan kroninya dapat menyuara segala kehendak mereka. Akhirnya mereka berharap boneka ini akan mengambil tempat sebagai pemimpin negara dan mengikut telunjuk mereka. Secara tidak langsung penjajahan negara sudah berlaku. 55. Apabila boneka yang telah mereka bela begitu lama tiba-tiba hilang kemungkinan ia menjadi pemimpin negara, maka kemarahan dalang asing ini tidak boleh dikawal lagi lalu mereka memberi sokongan terbuka kepada percubaan boneka mereka untuk melumpuhkan kaum yang menjadi teras pemerintahan negara. 56. Inilah yang sedang berlaku. Ternampak jelas bahawa usaha untuk menjajah negara sudahpun dibuat. Kali ini ia gagal. Tetapi tidak ada jaminan yang percubaan tidak akan dibuat lagi. 57. Namun kunci kepada jaya atau tidaknya percubaan kuasa asing untuk menjajah semula negara tercinta ini masih ada di tangan ahli-ahli UMNO. Selagi UMNO pukal dan tumpat, selagi perpaduan dalam UMNO tidak dapat dipecah, selama itulah percubaan oleh kuasa asing untuk melumpuh dan menakluk semula negara ini akan gagal. 58. UMNO bukan sebarang parti. UMNO adalah teras dan tunjang kepada parti yang memerintah negara, iaitu BN. Lemah UMNO, lemahlah BN; lemah BN, lemahlah Kerajaan Malaysia dan lemah Kerajaan Malaysia maka terjajahlah Malaysia. 59. Demokrasi adalah sistem politik yang terbaik yang biasa dicipta oleh manusia. Tetapi seperti dengan ciptaan manusia yang lain, demokrasi ada kelemahannya, bahkan keburukannya. Baik buruk demokrasi bukan bergantung kepada sistem atau perlembagaan atau aturan peraturan. Baik buruknya demokrasi bergantung kepada pengamal demokrasi sendiri. Jika pengamal demokrasi cekap dan tahu batasan-batasan demokrasi, tahu keburukannya maka pengamalan demokrasi akan membawa kebaikan. Sebaliknya jika pengamal demokrasi hanya asyik dengan kebebasan yang diberi dan dengan itu tidak menghiraukan bahaya kebebasan ini, maka demokrasi akan memusnahkan pengamalnya sehingga mereka tidak mungkin dipulih lagi. 60. Pindaan-pindaan yang akan dikemukakan untuk pertimbangan mesyuarat khas ini bertujuan untuk melindungi parti daripada kemungkinan kebebasan demokrasi dalam parti disalahgunakan. Pindaan ini diharap akan menghalang amalan-amalan dan kemungkinan- kemungkinan urusan parti, termasuk pemilihan pemimpin dalam parti, memecahbelah dan melemahkan parti. 61. Pindaan-pindaan ini telah diteliti dengan rapi dan sudah tentu saudara-saudari perwakilan ke mesyuarat ini akan menelitinya lagi. Mungkin juga pindaan dicadang kepada pindaan yang telah dikemukakan. Mungkin juga kita meminda pindaan atau menerima pindaan. Tetapi percayalah perlembagaan tidak akan menjamin kewibawaan parti, atau pengekalan parti. Yang dapat menjamin kewibawaan dan pengekalan parti ialah kefahaman dan kebijaksanaan ahli-ahli parti dalam mengguna perlembagaan yang diluluskan. Jika kita semua dapat membentuk budaya yang mengutamakan kepentingan parti dan matlamatnya maka akan berkesanlah perlembagaan yang kita akan luluskan ini. 62. Budaya yang dimaksudkan ialah budaya yang mengutamakan perjuangan parti dan bukan kepentingan calon-calon tertentu. Mungkin ada yang berpendapat bahawa calon mereka begitu baik sehingga jika ianya gagal maka akan gagallah parti. Mungkin benar. Tetapi jika dalam usaha untuk menjayakan calon berkenaan, parti dikorbankan maka ketaksuban kepada calon tidak akan mendatangkan apa-apa hasil. Yang penting ialah kita tidak keterlaluan dalam usaha menjayakan calon kita, dan jika ia gagal maka hendaklah kita sanggup menerima calon yang dipilih oleh majoriti. 63. Selepas pemilihan dibuat maka barisan kita mesti dirapatkan semula sehingga tidak ada renggang yang membenar musuh mencelah. Ketegangan semasa pemilihan hendaklah dilupakan dan tumpuan diberi kepada menjayakan matlamat parti. Ingatlah dalam politik tidak ada kawan yang kekal, tidak ada musuh yang kekal. Belum tentu dalam pemilihan akan datang kita akan sokong calon yang sama. Pepatah kita ada berkata "sekali air bah, sekali pantai berubah". 64. Parti penting. Individu tidak penting. Individu datang dan individu pergi, tetapi parti kekal jauh lebih lama. Perjuangan tidak tamat kerana individu gagal. Tetapi perjuangan akan tamat jika parti hancur. |