home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
Oleh/By		:	DATO' SERI DR. 
			MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	RADIO DAN TELEVISYEN 
			MALAYSIA (RTM) 
Tarikh/Date 	: 	31/12/98 
Tajuk/Title  	: 	SEMPENA TAHUN BARU 1999 



         Syukur  Alhamdulillah ke hadrat Allah Subhanahu  wa
  Ta'ala  kerana  dapat kita bertemu sekali lagi  menjelang
  tahun baru 1999.  Masa berjalan begitu pantas sekali  dan
  esok  kita  akan  memasuki tahun baru  yang  sudah  tentu
  menunggu  kita dengan pelbagai peristiwa baru.   Walaupun
  begitu  cepat waktu berlalu, pelbagai peristiwa suka  dan
  duka  telah melanda negara kita tahun ini dan ia  dilalui
  oleh  semua rakyat jelata.  Sejak negara merdeka 41 tahun
  lalu,  tahun inilah tahun yang paling mencabar bagi  kita
  semua, baik rakyat mahupun negara.
  
  2.  Negara  kita  telah diuji dengan  rentetan  peristiwa
  suka  dan duka.  Jika tidak kerana kekuatan yang  ada  di
  dalam  diri kita yang telah kita pupuk sekian lama  sudah
  tentu  kita  tidak  dapat menghadapi cabaran  dan  dugaan
  sepanjang  tempoh  tahun 1998.  Kita mungkin  telah  lama
  jatuh  tersungkur dalam tahun ini.  Tetapi  alhamdulillah
  rakyat  dan  negara  kita  berjaya  mengharungi  cabaran-
  cabaran  itu  dengan hati yang penuh tabah  dan  semangat
  yang kental.
  
  3.  Krisis  ekonomi yang melanda negara kita sejak  tahun
  lalu  masih  lagi  berterusan. Spekulator  pedagang  mata
  wang   masih  dapat  bergerak  secara  berleluasa   tanpa
  sebarang  kawalan.   Dunia  masih  belum  dapat  menerima
  hakikat  bahawa  betapa  kawalan  atau  peraturan   perlu
  dikenakan   di  dalam  dagangan  matawang.   Kerana   itu
  pedagang   matawang   masih  bebas  menyerang   mana-mana
  matawang  yang  tidak dikawal untuk  mendapat  keuntungan
  yang  besar  daripada  kesengsaraan rakyat  negara-negara
  berkenaan.
  
  4.  Tetapi  berkat  langkah  dan  tindakan  positif  yang
  diambil    Kerajaan   terutamanya   mengadakan    kawalan
  matawang,  keadaan  kegawatan  ekonomi  di  negara   kita
  semakin  reda  dan beransur pulih.  Ekonomi  negara  kita
  sekarang mulai stabil setelah diserang dengan teruk  oleh
  pedagang  matawang  asing tahun lalu.   Tindakan-tindakan
  memulihkan  ekonomi  yang dipelopori oleh  Kerajaan  kita
  tanpa  bantuan  asing  terutama melalui  Majlis  Tindakan
  Ekonomi  Negara  telah  berjaya  menunjukkan  kesan-kesan
  positif.   Banyak  aktiviti  ekonomi  seperti  pembinaan,
  perniagaan  kenderaan  dan perumahan  kembali  aktif  dan
  berkembang   semula.   Peluang-peluang  pekerjaan   mulai
  semakin  banyak.   Inilah salah satu cabaran  besar  yang
  berjaya kita hadapi.
  
  5.  Tahun ini juga negara kita berjaya menganjurkan Sukan
  Komanwel  yang ke-16, sukan paling besar selepas Olimpik.
  Kejayaan  kita menganjurkannya telah menjulang nama  baik
  dan  maruah  kita sebagai rakyat sebuah negara  membangun
  yang   jika   diberi   apa  peluang  pun   akan   berjaya
  melaksanakan  tanggungjawabnya  dengan  penuh  yakin  dan
  berkesan.  Kejayaan kita ini telah menjadi ukuran  kepada
  penganjuran Sukan Komanwel yang akan datang.
  
  6.   Selepas   Sukom   kita  menghadapi   cabaran   untuk
  mengadakan  persidangan ekonomi bagi rantau  Asia-Pasifik
  atau  APEC.  Persidangan yang paling besar di rantau  ini
  juga   berjaya   dianjurkan  oleh  negara  kita   sebagai
  tuanrumah  dengan baik dan sempurna.  Sekali lagi  rakyat
  negara  kita  membuktikan kebolehan  mereka  menganjurkan
  satu  peristiwa  besar  tanpa cacat  cela.   Syabas  saya
  ucapkan.
  
  7.  Bagaimanapun kegembiraan kita hampir sepanjang  tahun
  itu  tidak  berlalu begitu sahaja.  Sebahagian  ibunegara
  kita  tiba-tiba menjadi medan rusuhan setiap minggu  oleh
  sekelompok  puak tertentu yang cuba menegakkan  pendirian
  mereka  secara kekerasaan.  Tanpa diduga, Kerajaan  kita,
  sebuah  Kerajaan  pilihan  rakyat,  telah  dicabar   oleh
  segelintir  puak itu supaya dijatuhkan secara yang  tidak
  demokratik.
  
  8.  Bagaimanapun, kita berasa amat bersyukur kerana dalam
  tempoh yang singkat mereka yang terlibat itu sudah  mulai
  sedar  bahawa bertindak secara kekerasan sebenarnya tidak
  menguntungkan  sesiapa malah lebih merugikan  rakyat  dan
  negara.    Peristiwa-peristiwa  sedih  dan   ngeri   yang
  berlaku   di   sekeliling   negara   kita    juga   telah
  menimbulkan  kesedaran dan pengajaran kepada  kita  untuk
  tidak  bertindak  di  luar  batasan  undang-undang  dalam
  cubaan  menyatakan  pendirian atau menegakkan  perjuangan
  masing-masing.
  
  9.   Negara   kita  sebenarnya  memang  ada   menyediakan
  pelbagai  ruang atau tempat atau  wadah untuk menyuarakan
  pendapat  atau  meluahkan  perasaan.   Dari  peti   undi,
  mesyuarat  persatuan,  kegiatan NGO,  kepada  televisyen,
  akhbar-akhbar  termasuk akhbar-akhbar parti  pembangkang,
  parti-parti politik, wakil-wakil rakyat dan hinggalah  ke
  medan   parlimen,   setiap   rakyat   jelata   berpeluang
  menyuarakan  pandangan  mereka  kepada  sesiapa  termasuk
  Kerajaan.  Inilah amalan kita selama ini.
  
  10.  Adalah  tidak  tepat  untuk sesiapa  menuduh  bahawa
  negara  kita tidak memberi sebarang hak kepada  mana-mana
  rakyatnya  untuk menyuarakan pendapat mereka.  Malah  ada
  akhbar-akhbar  asing yang bukan milik rakyat  negara  ini
  pun  bebas menulis mengenai negara kita dicetak di  Kuala
  Lumpur.  Terdapat juga akhbar tempatan yang tidak  pernah
  ketinggalan  mengkritik  parti  pemerintah  dalam  setiap
  keluarannya.
  
  11.   Yang  mungkin  menjadi  rungutan  dalam  soal   hak
  kebebasan  bersuara  ini ialah samada  suara  mereka  itu
  disokong  ramai atau tidak.  Pendapat mereka itu  mungkin
  pendapat  minoriti  dan  bukannya  majoriti.   Sebab  itu
  timbul  rasa  tidak  puas  hati apabila  pendapat  mereka
  tidak  mendapat  tempat dalam masyarakat.   Lalu  dituduh
  parti  permerintah  tidak  adil.   Padahal  suara  mereka
  sudahpun  didengari oleh rakyat tetapi ia tidak  mendapat
  sambutan meluas.
  
  12.  Inilah yang perlu difahami oleh setiap phak terlebih
  dahulu  sebelum boleh ia menuduh Kerajaan  tidak  berlaku
  adil   kepadanya.   Dalam  amalan  sistem   permerintahan
  demokrasi  di  negara  kita  suara  ramai  atau  majoriti
  adalah   lebih   utama  walaupun  suara  minoriti   tidak
  diketepikan sama sekali.
  
  13.  Sebenarnya negara kita terlalu bebas.   Kebebasannya
  lebih hebat berbanding di tempat-tempat lain termasuk  di
  sesetengah  negara  maju  yang  mengenakan  kawalan  yang
  lebih   ketat  terhadap  rakyat  mereka  terutama   dalam
  kebebasan   bersuara,   kebebasan  berakhbar,   kebebasan
  berhimpun,    kebebasan   perundangan    dan    kebebasan
  berpolitik.
  
  14.  Kebebasan yang terdapat di negara kita memberi ruang
  yang  luas  untuk mana-mana individu atau kumpulan  untuk
  bersuara    atau    bertindak.    Hanya    jika    mereka
  menyalahgunakan hak mereka atau melanggar peraturan  atau
  undang-undang  negara barulah sekatan dikenakan  ke  atas
  mereka.    Selain  daripada  itu  mereka   adalah   bebas
  bersuara  dan  bergerak ke mana-mana  seperti  yang  kita
  lihat sekarang.
  
  15.   Jika  mereka  tidak  berpuashati  mengenai  apa-apa
  perkara  samada  yang  melibatkan Kerajaan  ataupun  yang
  bersangkutan hal peribadi, mereka berpeluang  menggunakan
  pelbagai  saluran  yang disediakan  oleh  Kerajaan  untuk
  menegakkan hak mereka termasuk melalui mahkamah.   Sistem
  perundangan  negara kita sudah terbukti tidak menyebelahi
  mana-mana  pihak termasuk Kerajaan dalam membuat  apa-apa
  keadilan.  Mereka  sentiasa bersikap  adil  dan  saksama.
  Ini   sudah   dibuktikan  jika  kita   mengkaji   sejarah
  kehakiman negara.
  
  16.  Jika kita tidak berpuashati tentang sesuatu  perkara
  terutama  terhadap Kerajaan tidak perlulah kita bertindak
  di  luar tatasusila dan budaya kita sebagai orang  timur.
  Mengenepikan nilai-nilai murni budaya timur kita  seperti
  kesopanan, hormat menghormati, semangat bermesyuarah  dan
  saling  kerjasama  tidak  akan membantu  sesiapa  mencari
  penyelesaian ke atas sebarang masalah.
  
  17.  Kerajaan  kecewa  melihat  beberapa  peristiwa  yang
  berlaku  baru-baru  ini menunjukkan  tindakan  sekelompok
  masyarakat  kita  yang  di  luar  batasan  orang   timur.
  Tindakan-tindakan  yang mereka lakukan seperti  perbuatan
  merusuh,    merosakkan    harta    benda,    mencederakan
  orangramai,  memaki hamun dan menconteng dinding  tempat-
  tempat  awam  dengan kata-kata nista adalah amalan-amalan
  orang  Barat.  Budaya buruk ini sudah mula menular  dalam
  masyarakat orang timur kerana mereka terpengaruh  hasutan
  orang luar bahawa itu adalah satu amalan demokrasi.
  
  18.  Bangsa kita terlalu tinggi darjatnya untuk melakukan
  perbuatan-perbuatan  buruk  tadi.   Bangsa  kita  terlalu
  matang   untuk  bertindak  memburukkan  bangsa   sendiri.
  Kecualilah  jika seseorang itu memang sudah dihasut  atau
  dipengaruhi  untuk  melakukan sesuatu  yang  buruk  untuk
  kepentingan pihak-pihak tertentu.
  
  19.  Pengalaman kita menunjukkan kejayaan  sesuatu  usaha
  itu  akan  mudah tercapai jika ia dilakukan dengan  penuh
  tertib   dan  mengikut  peraturan-peraturan  yang   telah
  ditetapkan.   Tanpa ketertiban atau disiplin yang  tinggi
  apa  pun  usaha  yang  dilakukan  oleh  kita  tidak  akan
  mencapai  keputusan  yang baik.   Masyarakat  yang  tanpa
  disiplin  atau tiada sebarang peraturan sudah pasti  akan
  hidup porak-peranda.  Kekacauan pasti berlaku kerana  ada
  pihak  yang  akan  sentiasa  berusaha  untuk  menunjukkan
  kekuatan mereka dalam masyarakat sedemikian.
  
  19.  Negara kita sudah merdeka selama 41 tahun.  Ia  juga
  telah  dibangunkan  dengan  pesat  atas  dasar  kekuatan,
  komitmen dan kerajinan yang ditunjukkan oleh rakyat  kita
  sendiri  selama ini.  Rakyat telah bersama-sama  Kerajaan
  membawa  pelbagai  jenis pembangunan  dan  kemajuan  yang
  diinginkan.  Hasil  daripada gandingan  bahu  rakyat  dan
  Kerajaan  ini  sekarang  setiap  daripada  kita   sedikit
  sebanyak  sudah  dapat menikmati faedah  pembangunan  dan
  kemakmuran negara.
  
  20.   Dasar-dasar  pembangunan  negara   termasuk   Dasar
  Ekonomi  Baru  dan Dasar Pembangunan Negara telah  banyak
  memberikan  keadilan  kepada rakyat  kita  pelbagai  kaum
  menikmati kemakmuran dan kekayaan negara.  Samada  secara
  langsung  atau  tidak  langsung setiap  rakyat  sekurang-
  kurangnya  telah mendapat habuan masing-masing.   Masing-
  masing  berpeluang  merebut kekayaan negara  secara  adil
  dan  samarata.  Bagaimanapun, mereka yang lebih  berusaha
  akan mendapat lebih habuannya.
  
  21.  Kita  sebenarnya  masih jauh dari  ambang  kejayaan.
  Perjalanan  kita  menuju wawasan 2020 masih  panjang  dan
  terlalu  sukar.   Kita masih perlu berusaha  lebih  gigih
  lagi  malah  kita hendaklah berusaha berlipat ganda  lagi
  untuk  menjayakan cita-cita besar kita ini.   Kita  perlu
  berkerja  lebih  kuat kerana kedudukan kita  sudah  tidak
  seperti  dahulu  setelah kita ketinggalan akibat  angkara
  krisis   matawang   dan  kegawatan  ekonomi.    Kedudukan
  ekonomi  kita  tidak  lagi seteguh dahulu  iaitu  sebelum
  ekonomi kita diserang oleh pedagang-pedagang matawang.
  
  22.  Pengalaman  yang  kita  lalui  sepanjang  tahun  ini
  membuktikan  kita  masih lemah dalam  menghadapi  cabaran
  dan  ancaman  dari  luar  negara dan  menangani  perkara-
  perkara  yang  di  luar kawalan kita.  Kita  telah  lihat
  bagaimana   orang   luar  secara  terang-terangan   ingin
  mencampuri  hal ehwal urusan dalam negara kita  atas  hak
  asasi   manusia,   keadilan   undang-undang   dan   dasar
  demokrasi mengikut acuan mereka.
  
  23.  Kita  melihat bagaimana kedaulatan  dan  kemerdekaan
  rakyat  dan  negara  kita diperkotak-katikan  oleh  orang
  luar.   Mereka  mencampuri urusan  politik  negara  kita.
  Mereka  mencampuri dalam urusan perundangan negara  kita.
  Dan  mereka  mencampuri urusan pemulihan  ekonomi  negara
  kita.
  
  24.Peristiwa-peristiwa  ini  menunjukkan  betapa   kuasa-
  kuasa  asing ini mempunyai niat buruk untuk memusnah  dan
  menguasai   negara-negara  yang  cuba   bangun   daripada
  kemiskinan  dan  kemunduran untuk maju  setanding  dengan
  mereka.   Mereka  ingin  melihat negara  kita  lemah  dan
  porak  peranda supaya cita-cita wawasan 2020 kita menemui
  kegagalan.    Mereka  tidak  mahu  melihat   kita   kelak
  bersaing  dan  mencabar  kedudukan  mereka  dalam   dunia
  ekonomi dan politik antarabangsa yang mereka kuasai  atau
  monopoli selama ini.
  
  25.   Kita   melihat  bagaimana  mudahnya   mereka   cuba
  menentukan  hala  tuju negara kita.  Mereka  tanpa  segan
  silu  ingin  mencorakkan kepimpinan  negara  kita  supaya
  mudah  mengikut  jari  telunjuk  mereka.   Mereka  dengan
  sombongnya  mengecam  langkah-langkah  pemulihan  ekonomi
  kita  terutama  dalam pasaran matawang dan pasaran  saham
  kita  kerana kononnya ia menyekat kebebasan mereka  untuk
  berdagang di negara kita.
  
  26.  Jadi  di  manakah  letaknya kemerdekaan  rakyat  dan
  negara  kita  jika  kita  tunduk  kepada  semua  kehendak
  mereka?   Di  manakah kedaulatan kita  jika  nasib  hidup
  kita  ditentukan  oleh orang asing?   Di  manakah  hendak
  diletakkan  maruah  bangsa, negara dan  agama  kita  jika
  kita  terus  dipermain  dan dihina  sesuka  hati  mereka?
  Adalah  jelas  sekali  peristiwa  akhir-akhir  ini   yang
  menimpa negara kita menunjukkan mereka benar-benar  ingin
  menjajah semula rakyat dan negara kita.
  
  27.  Inilah yang harus diawasi oleh rakyat kita jika kita
  tidak  mahu dijajah semula oleh orang asing.   Rakyat  di
  segenap lapisan harus sentiasa berwaspada terhadap musuh-
  musuh  negara  yang akan cuba memperalatkan mereka  untuk
  kepentingan  kuasa  asing.   Mungkin  dalam  usaha  untuk
  menegakkan  perjuangan  yang baik  kita  telah  dialatkan
  oleh kuasa asing tanpa kita menyedarinya.
  
  28.  Alangkah malangnya nasib bangsa dan negara kita jika
  fikiran  dan  jasad kita dijajah semula oleh orang  asing
  melalui tekanan-tekanan sosial, ekonomi dan politik  ini.
  Penguasaan  terhadap  kita secara halus  dan  licik  oleh
  kuasa  asing  ini  harus kita sedari  dan  insafi.   Kita
  tidak  mahu  lagi bangsa dan negara kita dijajahi  semula
  oleh  kuasa-kuasa  asing seperti yang ibubapa  dan  nenek
  moyang kita lalui sebelum 1957.
  
  29.   Cukuplah   dengan  penderitaan   dan   kesengsaraan
  kehidupan  yang  dilalui  oleh mereka.   Sanggupkah  kita
  melihat  pula  anak  cucu kita melalui kehidupan  seperti
  itu?   Sudah   tentu  kita  tidak  mahu   ianya   menjadi
  kenyataan.
  
  30.  Sempena  menyambut tahun baru 1999 ini  saya  berdoa
  agar  rakyat  terus  berdisiplin  dan  tabah  hati  dalam
  menghadapi  cabaran  dan  dugaan dalam  tahun-tahun  akan
  datang ini hinggalah menjelang ke alaf baru.  Kita  mesti
  kuatkan  tekad  dan  semangat serta  bersatu  padu  dalam
  menghadapi sebarang tekanan atau ancaman terhadap  bangsa
  dan  negara  kita  di  masa depan.   Tanda-tanda  ekonomi
  negara  kita  semakin pulih sudahpun kelihatan  dan  saya
  berharap  kedudukan  kita pada tahun depan  akan  menjadi
  lebih  baik  agar rakyat terus dapat hidup aman,  bahagia
  dan makmur.
  
  31.   Sebelum  mengakhiri ucapan  ini,  saya  tidak  lupa
  untuk  mengucapkan berbanyak terima kasih kepada  seluruh
  anggota  pasukan  keselamatan  kita  terutama  polis  dan
  tentera   yang  telah  berkorban  dan  terus  menunjukkan
  ketaatsetiaan    yang    tidak   berbelah-bahagi    dalam
  menjalankan   tugas   menjaga  keselamatan   rakyat   dan
  keamanan  negara.  Jasa mereka semua akan tetap  dikenang
  dan  dihargai  oleh rakyat dan Kerajaan.  Kepada  seluruh
  kakitangan  awam  saya  juga  mengucapkan  syabas  kerana
  mereka  telah  melaksanakan  tugas  masing-masing  dengan
  penuh     amanah,     tanggungjawab    dan     cemerlang.
  Kecemerlangan  ini hendaklah diteruskan lagi  pada  tahun
  hadapan dan tahun-tahun akan datang.
  
  Terima kasih dan Selamat Menyambut Tahun Baru

 
 



 
Google