home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
Oleh/By		:	DATO' SERI DR. 
			MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	KUALA LUMPUR 
Tarikh/Date 	: 	27/03/99 
Tajuk/Title  	: 	PERUTUSAN HARI RAYA AIDILADHA 
			1999 / 1419H 



  Saya  dan  isteri  saya  mengucapkan  Selamat  Hari  Raya
  Aidiladha  kepada semua muslimin dan muslimat  di  negara
  ini.
  
  2.    Kita seharusnya bersyukur kepada Allah Subhanahu wa
  Ta'ala  kerana  umat  Islam di  negara  ini  masih  dapat
  menyambut  Hari  Raya  Korban  dalam  keadaan  aman   dan
  sempurna  walaupun masalah kegawatan ekonomi masih  belum
  diatasi sepenuhnya.  Kita bersyukur kerana seperti  biasa
  umat  Islam  masih dapat melakukan upacara  penyembelihan
  korban  sebagai menandakan kesyukuran kita  kepada  Allah
  di  atas  segala nikmat yang dikurniakan-Nya.   Kegawatan
  ekonomi  juga tidak menjejaskan bilangan umat Islam  dari
  negara  ini yang mengerjakan ibadat Haji ke Mekah  setiap
  tahun.
  
  3.    Perayaan tahun ini juga lebih bermakna kerana hasil
  dan  berkat pengorbanan dan kerjasama rakyat Malaysia  di
  dalam  menyokong dasar-dasar kerajaan, kita telah berjaya
  sedikit  sebanyak  menangani  masalah  kegawatan  ekonomi
  yang  menimpa negara kita.  Insya Allah dengan  kerjasama
  yang  berterusan daripada rakyat serta usaha  yang  lebih
  gigih,  kita akan dapat memulihkan kembali ekonomi negara
  kita seperti biasa.
  
  4.    Namun keadaan di Malaysia hari ini, terutama sekali
  kehidupan   harian  rakyat,  jauh  lebih  baik   daripada
  kebanyakan negara di rantau ini yang turut terjejas  oleh
  serangan   keatas  matawang  dan   pasaran   saham   yang
  dilakukan oleh pihak yang tamak yang hanya ingin  mengaut
  keuntungan daripada kesusahan orang lain.
  
  5.    Kita telah berjaya mematahkan niat jahat mereka dan
  mengekalkan  kebebasan  negara  kita.  Dan  yang  penting
  sekali,  langkah-langkah kerajaan mengimbangkan perbezaan
  ekonomi   diantara   kaum   telah   berjaya   mengekalkan
  keharmonian dan keamanan diantara kita sesama  Islam  dan
  rakan-rakan  kita  yang bukan beragama Islam.   Sekaligus
  keharmonian  dan  keamanan inilah yang telah  membolehkan
  kita  umat Islam dan rakyat Malaysia yang menganut  agama
  lain  masing-masing mengikuti ajaran masing-masing dengan
  sempurna tanpa diganggu-gugat.
  6.    Namun kita sedih kerana masih ramai lagi umat Islam
  di  negara-negara lain yang kehidupan mereka tertekan dan
  ditindas  seperti  di  Kosovo dan  Palestin.  Kita  harus
  bersyukur   kerana  malapetaka  sebegini  tidak   menimpa
  masyarakat   Islam  di  Malaysia  yang  dapat   menikmati
  kemajuan dan kesenangan.
  
  7.    Keadaan negara yang aman ini juga telah membolehkan
  kita  memajukan  masyarakat Islam  Malaysia  agar  mereka
  dapat  setanding di dalam apa jua lapangan dengan  rakan-
  rakan  mereka yang bukan beragama Islam.  Sehingga  kini,
  kemajuan masyarakat Islam Malaysia boleh dibanggakan  dan
  sedikit sebanyak, kita dapat membuktikan kemampuan  orang
  Islam  yang  tidak  kurang berbanding  dengan  masyarakat
  lain.  Inilah usaha kita untuk menebus maruah orang Islam
  yang selama ini dipandang rendah oleh sesetengah pihak.
  
  8.    Sempena  hari  yang mulia ini,  saya  ingin  meyeru
  kepada   semua  umat  Islam  di  Malaysia  agar  sentiasa
  menjaga  silaturahim  antara  kita  sesama  Muslim.  Kita
  haruslah  sentiasa  bersatu-padu  dan  mengelakkan   dari
  terjadinya   perpecahan  dan  perbalahan  diantara   kita
  disebabkan    kepentingan  diri  sendiri   atau   sesuatu
  kumpulan.  Saya harap umat Islam di negara ini juga  akan
  sentiasa  menjaga  maruah  mereka  dan  megelak  daripada
  mencemarkan  kesucian agama Islam kerana  dorongan  nafsu
  dan perbuatan yang tidak bertanggungjawab.
  
  9.     Sekali  lagi,  saya  dan  isteri  saya  megucapkan
  Selamat  Hari Raya Aidiladha kepada semua umat  Islam  di
  Malaysia.   Di hari yang mulia ini marilah kita  bersama-
  sama  mendoakan kesejahteraan  para jemaah haji  kita  di
  tanah  suci  agar   mereka dapat  melakukan  ibadah  haji
  dengan  sempurna dan kembali ke tanah air dengan  selamat
  dan   membawa  bersama  pengalaman  mereka   yang   boleh
  dijadikan  manfaat untuk kita semua demi mempertingkatkan
  lagi keimanan kita.
  

 

 



 
Google