home Speechs in the year 2003 2002 2001 2000 1999 1998 1997 1996 1995 1994 1993 1992 1991 1990 --> |
Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD Tempat/Venue : HOTEL MANDARIN ORIENTAL, KUALA LUMPUR Tarikh/Date : 20/04/99 Tajuk/Title : MAJLIS PERPISAHAN RASMI OLEH KERAJAAN BAGI SERI PADUKA BAGINDA YANG DI-PERTUAN AGONG DAN RAJA PERMAISURI AGONG Kerajaan Malaysia menjunjung kasih kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong kerana sudi berkenan berangkat ke Majlis Perpisahan Rasmi oleh Kerajaan bagi Tuanku berdua pada malam ini. 2. Kerajaan serta pegawai-pegawai perkhidmatan awam dan rakyat ingin merakamkan terima kasih atas jasa dan perkhidmatan Tuanku sebagai Yang di-Pertuan Agong selama lima tahun. Dibawah naungan dan pimpinan Tuanku sebagai Raja yang berdaulat, rakyat hidup dalam keadaan sejahtera disamping mengecapi kualiti hidup yang semangkin meningkat. Walaupun negara masih mengalami kesan-kesan krisis ekonomi yang bermula dari Julai 1997, tanda-tanda menunjukkan bahawa ekonomi negara sedang pulih. Beberapa indikator seperti penjualan kereta, rumah, rezab kewangan negara dan sebagainya menunjukkan ekonomi kian pulih. Pemulihan ekonomi ini tidak mungkin tercapai tanpa sokongan padu rakyat, pegawai-pegawai Kerajaan dan juga kepimpinan serta komitmen Tuanku untuk merangsangkan semangat kerjasama dan perpaduan di kalangan rakyat. Kepercayaan Tuanku bahawa kepentingan rakyat adalah utama dalam menentukan negara aman, stabil dan makmur membolehkan negara terus berkembang maju. 3. Negara di bawah pemerintahan Tuanku juga telah mencapai banyak kejayaan. Tahun 1998 terutamanya menyaksikan beberapa kecemerlangan dan kenangan manis kepada negara. Malaysia berjaya menganjurkan Sukan Komanwel yang ke-16 dimana rakyat telah bersama-sama menunjukkan semangat 'esprit de corp' yang begitu tebal dan menunjukkan bahawa semangat kekitaan sebagai rakyat Malaysia mengatasi perbezaan kaum. Kecemerlangan yang di capai di Sukan Komanwel menunjukkan Malaysia mempunyai kemampuan untuk menganjur acara sukan di peringkat antarabangsa. Begitu juga dengan kejayaan negara menganjurkan persidangan APEC pada tahun lepas. Pencapaian yang cemerlang telah ditunjukkan oleh semua yang terlibat, baik pegawai-pegawai perkhidmatan Kerajaan mahupun rakyat biasa. Kejayaan ini telah mengharumkan nama negara di mata dunia. Dalam hal ini peranan yang dimainkan oleh Tuanku sebagai simbol perpaduan dan wujudnya keutuhan undang-undang adalah penting. Rakyat sedar bahawa semua ini tidak mungkin berlaku tanpa dorongan dan semangat murni serta sikap jujur, dedikasi serta keprihatinan Tuanku terhadap perkara- perkara yang melibatkan kepentingan rakyat. Justeru itu, Kerajaan dan rakyat menyanjung tinggi sumbangan Tuanku dalam membawa negara ke puncak kejayaan yang cemerlang. 4. Namun demikian tidak dapat dinafikan tercetus juga beberapa masalah seperti krisis kewangan dan masalah politik yang melanda negara pada tahun yang sama. Walaupun demikian, dengan kecekalan dan komitmen rakyat, Kerajaan dengan bimbingan Tuanku, telah berjaya mengatasi masalah-masalah itu. Alhamdulillah keadaan negara kini beransur pulih. Berikutan langkah-langkah berani dan segera yang diambil oleh Kerajaan, ekonomi negara kini kian pulih. Ekonomi negara dijangka tumbuh semula walaupun kadarnya tidaklah setinggi dahulu. Insya-Allah dengan usaha yang lebih gigih serta sokongan dan kerjasama padu rakyat, ekonomi negara akan pulih semula. Kemampuan Kerajaan dan rakyat untuk mengatasi masalah ekonomi dan kewangan berpunca dari semangat kental yang tidak mahu mengakui kekalahan. Semangat 'Malaysia Boleh' telah mendorong rakyat untuk bekerjasama dan memberi sokongan kepada Kerajaan dalam usaha-usaha memulihkan ekonomi. Dengan semangat perpaduan yang sedia wujud di kalangan rakyat, Malaysia telah berjaya mengelak daripada mengalami keadaan yang lebih teruk seperti yang dialami oleh negara-negara lain. Negara juga berbangga bahawa dibawah naungan Tuanku, rakyat sentiasa hidup berharmoni dan bersatu- padu. Dalam hal ini, Tuanku berdua merupakan simbol perpaduan yang penting dalam menyatupadukan rakyat. 5. Kerajaan juga berbangga dengan peranan yang dimainkan oleh Tuanku di bidang perhubungan antarabangsa melalui lawatan ke negara-negara asing. Penglibatan Tuanku memberi makna kepada perhubungan antarabangsa dengan perwatakan yang mesra, senang didampingi dan sifat ramah Tuanku sendiri. 6. Pengalaman dan pengetahuan Tuanku sebagai Diplomat banyak membantu mengeratkan lagi hubungan dua hala di antara negara-negara yang dilawati. Melalui jalinan hubungan mesra Tuanku dengan ketua-ketua negara asing, Malaysia lebih terkenal di mata dunia. 7. Justeru itu, Kerajaan ingin merakamkan penghargaan kepada Tuanku dan juga Raja Permaisuri Agong kerana berjaya merapatkan lagi hubungan Malaysia dengan negara- negara asing, terutama dengan negara-negara jiran. 8. Kerajaan dan rakyat juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Tuanku Raja Permaisuri Agong yang telah memberi sokongan padu di sisi Tuanku, bersama-sama mengiringi Tuanku dalam lawatan-lawatan Diraja ke luar negara dan juga di dalam negeri. Tetapi lebih penting Baginda Tuanku Najihah telah menunjukkan keprihatinan kepada keperluan golongan yang kurang berada, orang- orang tua dan cacat dan sebagainya. Budi pekerti Baginda Tuanku Najihah yang lemah lembut, peramah dan sentiasa mesra telah banyak menarik perhatian semua, baik rakyat mahupun orang asing. Kerajaan dan rakyat berdoa semoga Tuanku berdua akan sentiasa memberi bakti kepada rakyat dan negara. Juga didoakan agar Tuanku berdua dirahmati Allah dan dipanjangkan umur. 9. Akhir kata, Kerajaan, pegawai-pegawai perkhidmatan awam dan rakyat berdoa ke hadrat Allah Subhanahu wa Ta'ala Yang Maha Pengasih lagi Yang Maha Pemurah, semoga menganugerahkan kesihatan dan kesejahteraan keatas Tuanku berdua. Sekali lagi Kerajaan dan rakyat menjunjung kasih kepada Seri Paduka Baginda Yang di- Pertuan Agong dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong kerana berkenan berangkat ke Majlis Perpisahan Rasmi ini. |