home Speechs in the year 2003 2002 2001 2000 1999 1998 1997 1996 1995 1994 1993 1992 1991 1990 --> |
Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD Tempat/Venue : Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur Tarikh/Date : 22/04/99 Tajuk/Title : MEMBENTANGKAN USUL MENGENAI KAJIAN SEPARUH PENGGAL RANCANGAN MALAYSIA KETUJUH DI DEWAN RAKYAT Saya mohon mencadangkan satu usul seperti berikut: "Bahawa Dewan ini, menyedari akan pertumbuhan ekonomi dan pencapaian matlamat sosio-ekonomi secara keseluruhan adalah baik dalam tempoh tiga tahun pertama pelaksanaan Rancangan Malaysia Ketujuh, walaupun prestasi ekonomi kurang memuaskan pada tahun 1998 berikutan krisis kewangan serantau; mengambil maklum dan merestui usaha Kerajaan meneruskan pelaksanaan Dasar Pembangunan Nasional bagi mencapai pembangunan yang seimbang berasaskan pertumbuhan dengan pengagihan yang saksama, selaras dengan matlamat yang terkandung dalam Rangka Rancangan Jangka Panjang Kedua; melulus dan mengesahkan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ketujuh yang bertujuan untuk melaksanakan strategi dan program serta menyediakan peruntukan bagi mencapai hasrat dan matlamat Dasar Pembangunan Nasional seperti yang dibentangkan dalam Kertas Perintah Bil. 8 Tahun 1999; Bahawa semasa meluluskan Kajian Separuh Penggal ini, Dewan yang mulia ini menyeru rakyat Malaysia berusaha dengan lebih gigih dan penuh keazaman ke arah membina satu bangsa yang bersatu padu, adil, maju, berdaya saing serta mempunyai tahap ketahanan yang tinggi selaras dengan cita-cita untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju menjelang tahun 2020." Dengan izin Tuan Yang di Pertua, sekarang saya bentangkan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ketujuh untuk dibahas oleh Ahli-ahli Yang Berhormat Dewan ini. 2. Kira-Kira tiga tahun lalu, saya berdiri di Dewan yang mulia ini untuk membentangkan Rancangan Malaysia Ketujuh. Rancangan tersebut yang merupakan fasa kedua dalam pelaksanaan Rangka Rancangan Jangka Panjang Kedua (1990-2000) mengandungi agenda pembangunan negara bagi tempoh 1996-2000. Sebagaimana yang Ahli-ahli Yang Berhormat mungkin masih ingat, harapan untuk pembangunan pesat amat cerah ketika itu kerana keadaan ekonomi yang baik dan terdapat asas yang kukuh untuk pembangunan sosio-ekonomi yang berterusan dan berkekalan. Semasa itu, cabaran utama yang dihadapi adalah 'managing success', dengan izin, untuk menentukan Malaysia terus mencatat kadar pertumbuhan yang tinggi dan rakyatnya terus menikmati kemakmuran yang meningkat. 3. Hari ini, apabila saya bentangkan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ketujuh yang meliputi tempoh 1996-1998, keadaan ekonomi telah berubah. Cabaran sekarang ialah untuk merangsangkan semula ekonomi, yang telah menguncup sebanyak 6.7 peratus tahun lepas. Begitulah perbezaannya di dalam tempoh dua tahun. Perubahan daripada satu ekonomi yang pesat berkembang dengan asas yang kuat kepada satu ekonomi yang mencatat pertumbuhan negatif, adalah suatu yang mengejutkan dan boleh mematikan keyakinan nasional. 4. Namun, seperti yang lepas kajian ini akan menilai sejauh mana kita telah mencapai objektif dan sasaran kita, mengenalpasti dan menghitungkan halangan yang dihadapi serta menilai prospek, dasar dan keutamaan di dalam pembangunan sosio-ekonomi negara. Kita tidak akan membenarkan apa jua krisis untuk menghentikan kemajuan Malaysia. Jika perlu, kita akan menggunakan krisis ini untuk membuat perubahan pendekatan yang tidak konvensional untuk mengatasi halangan ini. PRESTASI EKONOMI MAKRO 5. Bagi makluman Ahli-ahli Yang Berhormat, izinkan saya mengimbas kembali prestasi ekonomi Malaysia semenjak tiga tahun lepas. Prestasi ekonomi makro bagi tempoh dua tahun pertama Rancangan ini adalah amat memberangsangkan dengan kebanyakan petunjuk ekonomi mencatatkan prestasi yang melebihi sasaran Rancangan. Kadar pertumbuhan purata KDNK ialah 8.2 peratus setahun bagi tempoh 1996-1997 sementara kadar inflasi adalah rendah pada 2.7 peratus dan kadar pengangguran hanya 2.6 peratus pada tahun 1997. Walau bagaimanapun, dalam tahun 1998 berikutan krisis kewangan, ekonomi negara telah mencatat kadar pertumbuhan yang negatif. Sasaran untuk pertumbuhan KDNK sebenar ialah lapan peratus setahun, tetapi ekonomi hanya mencatat pertumbuhan purata tiga peratus antara 1996-1998 yang memerlukan pengubahsuaian sasaran pertumbuhan kepada tiga peratus bagi keseluruhan tempoh Rancangan. Pada dasarnya, kesan krisis ini telah menyebabkan pembangunan negara merosot beberapa tahun kebelakang. Petunjuk-petunjuk ekonomi utama jelas menunjukkan bahawa apabila pendapatan per kapita telah berkurangan daripada RM12,051 pada tahun 1997 kepada RM11,835 pada tahun 1998, kurang daripada sasaran Rancangan iaitu RM14,788; inflasi meningkat daripada 2.7 peratus pada tahun 1997 kepada 5.3 peratus pada tahun 1998 dan pengangguran meningkat sedikit daripada 2.6 peratus pada tahun 1997 kepada 3.9 peratus pada tahun 1998. 6. Pertumbuhan ekonomi di dalam tempoh kajian adalah sebahagian besarnya berikutan permintaan luaran yang kuat. Walaupun permintaan dalam negeri merupakan penyumbang utama kepada pembangunan pada tahun 1996 dan awal tahun 1997, eksport meningkat pada pertengahan tahun 1997 dan terus kukuh berikutan penurunan nilai Ringgit. Eksport sebenar meningkat 5.6 peratus setahun pada tempoh 1996-1998, tetapi ini adalah lebih rendah daripada sasaran Rancangan sebanyak 10.9 peratus. Walau bagaimanapun, disebabkan pertumbuhan eksport berkurangan dan kesan hasil kejatuhan nilai Ringgit, import sebenar jatuh 2.1 peratus setahun dalam tempoh kajian. 7. Namun, satu aspek positif daripada krisis ekonomi ini ialah kedudukan imbangan pembayaran telah meningkat dengan ketara berbanding dengan matlamat Rancangan. Akaun semasa mencatatkan lebihan sebanyak 13.7 peratus daripada Keluaran Negara Kasar (KNK) pada tahun 1998 berbanding dengan defisit 5.1 peratus pada tahun 1996. Kedudukan positif ini adalah hasil daripada lebihan dalam akaun perdagangan akibat daripada pertumbuhan tinggi dalam eksport barangan sebanyak 28.9 peratus pada tahun 1998 dan pertumbuhan yang lebih rendah bagi import barangan pada kadar 2.6 peratus. Walau bagaimanapun, peningkatan dalam lebihan dagangan ini dikurangkan oleh defisit yang besar dalam akaun perkhidmatan dan aliran keluar dalam akaun pindahan. Dalam akaun modal, modal jangka pendek mencatatkan aliran keluar bersih yang besar disebabkan oleh krisis kewangan. Walau bagaimanapun, terdapat aliran masuk bersih modal jangka panjang hasil usaha Kerajaan untuk membiayai perbelanjaan 'counter-cyclical', dengan izin. Dengan itu, imbangan keseluruhan menjadi bertambah baik. ISU DAN CABARAN TERHADAP EKONOMI 8. Walaupun tanda-tanda pemulihan ekonomi semakin jelas, terdapat beberapa isu yang perlu ditangani bagi memastikan pemulihan ekonomi yang mampan dan mengembalikan momentum pertumbuhan. Satu pra-syarat penting ialah untuk terus meningkatkan keyakinan para pelabur dan orang awam. Pada asasnya, Kajian Separuh Penggal mengutarakan enam cabaran utama. 9. Cabaran pertama ialah pengekalan asas-asas ekonomi makro yang kukuh. Sebelum berlakunya krisis kewangan, negara telah menikmati kadar pertumbuhan yang pesat iaitu purata 8.5 peratus setahun semenjak tahun 1990. Kadar pertumbuhan tinggi ini disertai juga dengan inflasi yang rendah dan guna tenaga yang penuh. Pelaburan swasta dan eksport memainkan peranan utama dalam menerajui pertumbuhan manakala kedudukan fiskal adalah memuaskan. Rizab luar negara adalah tinggi dan mampu membiayai import tertangguh secara purata selama empat bulan. Di samping itu, hutang luar negara adalah rendah dengan nisbah khidmat-hutang luar yang sihat sebanyak 6.2 peratus. Kadar tabungan kita di tahap 39.4 peratus daripada KNK adalah setanding, jika tidak lebih baik, berbanding dengan negara-negara lain yang mempunyai kadar simpanan yang tinggi. Sistem perbankan juga kukuh di mana nisbah bersih pinjaman belum berbayar (NPL) mencatatkan 3.6 peratus dan nisbah modal berwajaran risiko sebanyak 12 peratus pada akhir Jun 1997, melebihi standard minima sebanyak lapan peratus yang ditetapkan oleh 'Bank For International Settlement' (BIS). 10. Seperti mana Ahli-ahli Yang Berhormat sedia maklum, dengan bermulanya krisis ini, terdapat pengaliran keluar modal jangka pendek yang besar dan cepat serta kejatuhan mendadak dalam harga saham. Apabila krisis ini menjadi semakin buruk, sektor sebenar ekonomi juga telah mengalami tekanan. Kejatuhan dalam produktiviti amatlah jelas bagi semua sektor utama. Ini disebabkan oleh permintaan lemah dari pasaran domestik dan luar negara. Di samping itu, kadar inflasi meningkat kepada 5.3 peratus disebabkan sebahagian besarnya oleh penurunan nilai Ringgit serta kos input yang lebih tinggi. Sementara itu, kadar pengangguran meningkat kepada 3.9 peratus. Berikutan kemerosotan kutipan hasil dan pakej rangsangan fiskal, akaun Kerajaan Persekutuan mencatatkan defisit buat pertama kali sejak tahun 1993. Oleh itu, amat jelas bahawa asas-asas ekonomi makro perlu diperkukuhkan bukan sahaja untuk menyokong proses pemulihan tetapi juga untuk mengekalkan momentum pertumbuhan bagi memastikan pencapaian objektif negara. 11. Cabaran kedua adalah untuk meningkatkan tahap produktiviti. Salah satu teras penting Rancangan Malaysia Ketujuh adalah untuk meningkatkan sumbangan produktiviti faktor keseluruhan atau 'total factor productivity' (TFP), dengan izin, kepada KDNK. Walau bagaimanapun, dalam tempoh kajian semula ini, ekonomi kita terus bergantung kepada 'input-driven', dengan izin, dengan pertumbuhan tinggi dalam pengumpulan modal atau 'capital accumulation', dengan izin. Produktiviti, jika diukur dari segi sumbangan TFP kepada pertumbuhan KDNK, adalah lebih rendah dalam tempoh 1996-1997 iaitu 19.5 peratus berbanding dengan 28.7 peratus semasa tempoh Rancangan Malaysia Keenam. Arah aliran yang menurun ini perlu diubah dan langkah-langkah bersesuaian diambil jika kita mahu mengekalkan daya saing dan mencapai status negara maju menjelang tahun 2020. Keadaan ini amat kritikal kerana dalam tempoh krisis ini, ekonomi dunia turut berubah. Oleh itu, tumpuan kepada kecekapan, keberkesanan dan produktiviti yang tinggi untuk mengekalkan pertumbuhan dan pembangunan yang berterusan tidak boleh dipandang ringan atau diabaikan. 12. Cabaran ketiga ialah untuk memulihkan kembali sektor swasta. Prestasi sektor swasta dalam tempoh 1996-1997 adalah memberangsangkan tetapi dengan penguncupan ekonomi yang berlaku pada tahun 1998, prestasi sektor swasta telah terjejas teruk. Pada masa yang sama, krisis tersebut juga telah mendedahkan kelemahan yang ada dalam sektor korporat termasuk sektor perbankan. Apabila krisis ini bertambah teruk, sektor korporat telah mengambil sikap amat berhati-hati dan konservatif terhadap pelaburan, disebabkan oleh risiko yang meningkat dan ketidakpastian dalam persekitaran ekonomi akibat daripada ketidakstabilan kadar pertukaran, kenaikan kadar faedah, ketidakupayaan memastikan sejauh mana dan betapa buruknya krisis serta masalah-masalah yang akan menjejaskan ekonomi serantau. Kesannya ialah kekurangan besar dalam pelaburan swasta. Pemulihan ekonomi negara tidak akan dapat dijayakan tanpa pemulihan pelaburan dan aktiviti sektor swasta. Justeru itu tumpuan kepada pemulihan sektor swasta amatlah penting. 13. Cabaran keempat ialah mengatasi rintangan yang dihadapi oleh sektor-sektor produktif. Walaupun ekonomi pada keseluruhannya, dan sektor-sektor produktif khususnya, mengalami perubahan struktur ke arah pertumbuhan yang mampan, perubahan struktur dalam beberapa sektor tertentu perlu dipercepatkan lagi. Kegawatan ekonomi tidak sepatutnya melemahkan usaha kita untuk mencapai matlamat ke arah pembangunan perindustrian yang lebih tinggi. Walaupun kita menghadapi masa depan yang lebih mencabar, negara mesti melengkapkan diri dengan teknologi dan kemahiran yang lebih tinggi, melaksanakan aktiviti berintensifkan ilmu dan mempunyai nilai ditambah yang tinggi demi untuk menyediakan peluang-peluang yang boleh menghasilkan pendapatan dan kekayaan yang lebih tinggi. 14. Cabaran kelima ialah memastikan pencapaian objektif pengagihan yang berterusan. Kita telah mencapai kemajuan yang memuaskan dalam usaha membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat hasil daripada pertumbuhan ekonomi yang mampan terutamanya dalam tempoh 1996-1997, dan pelaksanaan pelbagai program dan projek Kerajaan bagi golongan miskin dan Bumiputera. Walaupun kelembapan ekonomi ini telah mengakibatkan kesan yang mendalam ke atas golongan miskin dan menyekat potensi untuk menyusun semula guna tenaga dengan lebih cepat, program-program sedia ada yang memberi faedah kepada golongan miskin serta langkah-langkah untuk mewujudkan Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera yang kompetitif dan mempunyai ketahanan akan diterus dan diperkukuhkan lagi. Justeru itu, Kerajaan akan terus memberi keutamaan kepada objektif pengagihannya berdasarkan kekayaan baru yang diwujudkan melalui dasar-dasar pertumbuhan ekonomi yang dirancang dengan baik. 15. Cabaran terakhir ialah meningkatkan kualiti hidup masyarakat Malaysia. Pembangunan negara hendaklah pada akhirnya menghasilkan peningkatan dalam taraf dan kualiti hidup rakyat. Kualiti hidup rakyat mesti meningkat selaras dengan pertumbuhan dan pertambahan pendapatan serta meningkatnya kualiti pendidikan, kesihatan, pengangkutan, komunikasi, guna tenaga dan kehidupan kekeluargaan. Walau bagaimanapun, kelembapan ekonomi telah menghalang proses dan perkembangan yang menyumbang kepada peningkatan kualiti hidup dan ini sudah tentu menjejaskan kesejahteraan sosio-ekonomi rakyat. Oleh itu, cabarannya adalah untuk mengatasi halangan berkenaan supaya semua lapisan masyarakat Malaysia akan dapat memasuki alaf baru dengan penuh bangga dan keyakinan akan kemajuan yang akan dicapai. TERAS PEMBANGUNAN 16. Kita perlu mempercepatkan proses pemulihan ekonomi dan melaksanakan usaha ke arah mencapai kadar pertumbuhan ekonomi yang teguh dan berterusan. Oleh itu, kita perlu menangani isu-isu dan cabaran-cabaran yang saya nyatakan sebelum ini. Kita sentiasa bersikap pragmatik terhadap pembangunan. Jika perlu kita akan mengubah suai rancangan, menyusun semula keutamaan dan menukar arah haluan. Dalam hubungan ini, Kerajaan telah mengenalpasti 11 teras pembangunan utama bagi tempoh akhir Rancangan Malaysia Ketujuh. 17. Memperkukuh asas-asas ekonomi makro. Daripada segi pengurusan ekonomi makro, kita akan memberi tumpuan kepada usaha mempercepatkan pertumbuhan ekonomi, membendung tekanan inflasi, memperbaiki lagi kedudukan imbangan luar negara, menghapuskan jurang sumber dan mengekalkan imbangan fiskal yang berhemat. Berhubung dengan pengurusan inflasi, dasar kewangan dan fiskal akan dirangka bagi mengelak munculnya semula tekanan harga di samping memastikan pertumbuhan terus digalakkan. Usaha memperkukuhkan kedudukan luar negara akan dilakukan dengan memberi tumpuan terhadap peningkatan eksport dan mengurangkan defisit dalam akaun perkhidmatan dengan memajukan secara agresif sub sektor seperti pelancongan, pendidikan dan perkhidmatan pelabuhan. 18. Bagi tempoh akhir Rancangan, sektor awam akan memainkan peranan merangsang pertumbuhan di samping terus mengekalkan dasar fiskal berhemat berserta 'corporate governance', dengan izin. Kita akan terus mengekalkan belanjawan defisit pada paras yang terurus dan akan kembali kepada kedudukan belanjawan lebihan sebaik ekonomi kembali kukuh. Perbelanjaan sektor awam akan ditumpukan kepada projek yang memakan masa pendek untuk disiapkan, menyumbang kepada peningkatan eksport dan pengurangan import, menjana permintaan untuk barangan dan perkhidmatan domestik di samping projek-projek yang sasarannya adalah golongan berpendapatan rendah dan isi rumah miskin. 19. Dalam hubungan ini, peruntukan asal pembangunan Kerajaan Persekutuan bagi Rancangan ini akan ditambah sebanyak RM22 bilion daripada RM67.5 bilion kepada RM89.5 bilion. Peruntukan ini akan diagihkan kepada sektor ekonomi sebanyak 48.2 peratus, sosial 30.9 peratus, keselamatan 12.8 peratus dan pentadbiran am 8.1 peratus. Pada keseluruhannya, peruntukan pembangunan yang dicadangkan kekal sebanyak 16.3 peratus daripada KNK mengikut nilai semasa dan 17.6 peratus daripada KNK mengikut nilai sebenar iaitu lebih rendah daripada Rancangan Malaysia Keenam. Ini menunjukkan komitmen kita untuk terus mengecilkan saiz sektor awam. 20. Program penswastaan yang dilancarkan sejak tahun 1983 dan ditingkatkan pelaksanaannya dalam tempoh 1996- 1997 merupakan satu komponen penting dalam usaha untuk terus merasionalisasikan sektor awam. Walaupun masalah dihadapi di peringkat awal daripada segi penerimaan oleh pihak pekerja dan awam yang terlibat, tidak sesiapa dapat menafikan bahawa penswastaan telah membantu negara menghasilkan pertumbuhan yang tinggi. Ia juga membolehkan negara memenuhi permintaan untuk kemudahan infrastruktur berikutan proses perindustrian yang pesat serta memenuhi keperluan meningkatkan kualiti hidup rakyat. Sejak pelaksanaan program penswastaan dalam tahun 1983, sebanyak 434 projek telah diswastakan, yang mana 68 diswastakan dalam tempoh kajian semula. 21. Negara kita telah memperolehi faedah besar daripada program penswastaan. Melalui penswastaan, Kerajaan telah menjimatkan perbelanjaan modal sebanyak RM129.1 bilion, di samping mendapat hasil daripada jualan aset dan ekuiti berjumlah RM21.5 bilion. Selain daripada itu, lebih daripada 105,000 pekerja sektor awam telah dipindahkan kepada sektor swasta. Kumpulan pekerja ini telah mendapat faedah secara langsung daripada segi peningkatan upah dan pendapatan. Syarikat- syarikat yang muncul hasil penswastaan kini memegang 29.3 peratus daripada modal pasaran Bursa Saham Kuala Lumpur atau BSKL. Beberapa faedah daripada program penswastaan, sama ada secara langsung atau tidak langsung, telah dinikmati oleh rakyat melalui rantaian dalam ekonomi. Misalnya, TNB dan Telekom sejak diswastakan telah menyumbang RM4.7 bilion daripada segi cukai korporat. Ini telah membolehkan Kerajaan membiayai projek-projek pembangunan yang lain. Penswastaan juga telah menambahkan penyertaan Bumiputera dan meningkatkan program pembangunan vendor, pemindahan teknologi serta penyelidikan dan pembangunan. Pada amnya, pengguna telah memperolehi faedah daripada kewujudan kemudahan awam yang lebih cekap dan berkualiti dengan peningkatan kos yang minima. 22. Meningkatkan Bilangan Tenaga Manusia Mahir dan Berpengetahuan. Teras strategik pembangunan sumber manusia akan ditumpukan kepada peningkatan penawaran tenaga manusia mahir bagi menyokong penyusunan semula ekonomi negara ke arah intensif modal dan berasaskan pengetahuan. Penekanan akan diberi terhadap meningkatkan akses kepada pendidikan dan latihan berkualiti untuk memperbaiki tahap pendidikan dan kemahiran tenaga kerja dan juga pengukuhan sistem penyampaian. Dalam hubungan ini, pelaburan berterusan akan dibuat untuk meningkatkan keupayaan institusi dan latihan dalam negeri. Penyertaan sektor swasta secara lebih luas juga akan digalakkan dalam bidang pendidikan dan latihan kemahiran ini. Bagi meningkatkan mobiliti buruh di antara negeri, pekerjaan dan jenis kemahiran, prasarana maklumat pasaran buruh akan diperkukuhkan melalui penubuhan satu sistem pertukaran maklumat buruh elektronik yang dapat memastikan penggunaan buruh yang optimum dan penyesuaian di antara permintaan dengan penawaran buruh. 23. Mengurangkan kemiskinan dan menyusun semula masyarakat. Dari dimensi sosial Kerajaan akan meneruskan usaha membasmi kemiskinan dengan memberi tumpuan kepada kawasan dan golongan yang mempunyai kadar kemiskinan yang tinggi. Kerajaan akan mengambil langkah-langkah perlu untuk memperluas dan mempertingkatkan program-program yang bertujuan menyediakan perkhidmatan dan kemudahan asas kepada mereka yang berpendapatan rendah dan miskin. Ini ialah bagi mengurangkan kesan kelembapan ekonomi ke atas golongan tersebut. Sebagai sebahagian daripada usaha meningkatkan taraf hidup golongan termiskin, program untuk menyediakan rumah baru atau membaik pulih rumah akan terus dilaksanakan. 24. Usaha juga akan ditumpukan bagi mengurangkan kesan kelembapan ekonomi ke atas program penyusunan semula masyarakat. Beberapa program akan diubahsuai bagi memperluaskan liputannya dan meningkatkan keberkesanannya. Ini akan dilakukan melalui pelaksanaan program-program yang sedia ada dengan lebih gigih, termasuk memperluaskan beberapa program ke kawasan di luar Lembah Klang. Dalam masa yang sama, bantuan dan peluang akan terus diberikan kepada Bumiputera bagi membolehkan mereka memperolehi kelayakan pendidikan di peringkat tinggi sejajar dengan matlamat meningkatkan bilangan profesional dan kakitangan teknikal Bumiputera. 25. Untuk mengurangkan ketidakseimbangan pendapatan, usaha-usaha akan diambil untuk mewujudkan lebih ramai golongan berpendapatan menengah yang lebih mewah. Sehubungan ini, usaha untuk meningkatkan bilangan Bumiputera berpendapatan menengah, menerusi pembangunan lebih ramai usahawan, profesional dan pengurusan Bumiputera akan terus diberi penekanan bagi mengurangkan jurang ketidak seimbangan pendapatan di antara Bumiputera dan bukan Bumiputera. 26. Memperkukuhkan sektor kewangan. Sektor kewangan kita telah mengalami penyusunan semula secara beransur- ansur dalam tempoh beberapa tahun yang lepas selaras dengan perubahan dalam suasana ekonomi dan kewangan. Usaha untuk memperkukuhkan pengawasan dan kawal selia sistem perbankan akan diteruskan. Bank Negara Malaysia akan terus mengukuhkan keupayaannya untuk mengawal dan mengesan risiko yang muncul dalam sistem kewangan. Untuk tujuan ini, satu sistem amaran awal akan dibentuk bagi membolehkan amaran awal diberi ke atas status institusi kewangan berkenaan supaya langkah pencegahan boleh diambil bagi mengelakkan keruntuhan sistem perbankan dan mengawal risiko sistemik yang bersangkutan. 27. Untuk menyokong pemulihan ekonomi, institusi perbankan perlu memainkan peranan perantaraan dengan lebih cekap dan berkesan. Rancangan yang lebih komprehensif untuk perbankan Islam juga sedang dirangka termasuk membentuk strategi baru bagi alaf yang akan datang. Garis panduan dan sasaran baru untuk perbankan Islam akan diperkenalkan, termasuk mengembangkan lagi unit perbankan Islam dalam institusi perbankan yang sedia ada. 28. Langkah-langkah juga akan diambil untuk terus memperluas dan mempelbagaikan pasaran kewangan bagi mengekalkan kestabilan sistem kewangan. Antara langkah- langkah ini ialah pembangunan pasaran bon sebagai sumber pelaburan tambahan bagi membiayai pelaburan di samping mengurangkan tumpuan risiko dalam sistem perbankan. Usaha juga akan diambil untuk menggalakkan pertumbuhan pasaran modal Islam, terutamanya dalam ekuiti Islam, sekuriti hutang swasta dan aktiviti pengurusan dana. 29. Dalam hubungan ini, Kerajaan telah menubuhkan dua institusi iaitu syarikat pengurusan aset nasional dikenali sebagai Pengurusan Danaharta Nasional Berhad atau ringkasnya Danaharta dan sebuah syarikat khas iaitu Danamodal Nasional Berhad atau Danamodal. Penubuhan institusi-institusi ini bertujuan mengatasi masalah perbankan akibat daripada penurunan nilai matawang serta keruntuhan harga saham. Sehingga 20 April 1999, Danaharta telah mengambilalih pinjaman belum berbayar (NPL) berjumlah RM12.6 bilion serta menguruskan NPL termasuk kadar faedah tertangguh berjumlah RM11.6 bilion bagi pihak Bank Negara. Manakala, Danamodal telah membuat suntikan kewangan sebanyak RM6.4 bilion untuk 'recapitalize', dengan izin, sepuluh institusi perbankan dalam bentuk Pinjaman Modal Boleh Tukar Bersubordinat atau dengan izin Exchangeable Subordinated Capital Loans (ESCL). 30. Memulihkan sektor korporat. Satu rangka kerja yang menyeluruh telah digubal bagi membantu sektor korporat menangani masalah kekangan kewangan termasuk menyusun semula hutang. Dalam hubungan ini, penubuhan satu jawatankuasa bersama di antara sektor awam dan swasta, iaitu Jawatankuasa Penyusunan Semula Hutang Korporat atau dengan izin, 'Corporate Debt Restructuring Committee' (CDRC) akan menyediakan satu rangka kerja penyelesaian hutang antara siberhutang dan sipiutang secara sukarela tanpa melalui proses perundangan. 31. Sementara itu, 'corporate governance', dengan izin, yang diasaskan kepada amalan pasaran, akan dilaksanakan dengan tujuan untuk meraih nilai pemegang saham jangka panjang di samping mengambilkira kepentingan pemegang-pemegang saham lain. Dalam hubungan ini, Suruhanjaya Sekuriti (SC) misalnya, akan meneruskan usaha ke arah memperkukuhkan rangka kerja kawal selia dan menggalakkan pembangunan 'frontline regulation', dengan izin. Langkah ini diambil untuk membolehkan institusi pasaran mengawalselia sendiri. BSKL juga telah memperkenalkan langkah-langkah untuk mengembalikan keyakinan dengan menjamin pasaran yang teratur dan adil serta meningkatkan ketelusan dalam pasaran saham. Pelaksanaan langkah-langkah ini meliputi memperkukuhkan peraturan, undang-undang sekuriti serta prosedur BSKL dan depositori pusat. Salah satu objektif langkah-langkah tersebut ialah untuk melindung pasaran saham tempatan daripada kesan buruk perdagangan saham Malaysia di pasaran yang tidak diiktiraf. Semua langkah ini dilaksanakan bagi memastikan kestabilan sistemik, mengembalikan keyakinan pasaran, memperbaiki ketelusan dan 'corporate governance', dengan izin, serta memudahkan usaha untuk mendapatkan dana. 32. Menggiatkan semula sektor pertanian dan luar bandar. Sejajar dengan Dasar Pertanian Negara Ketiga, kita akan memberi keutamaan kepada usaha untuk mempergiatkan semula sektor pertanian dalam tempoh akhir Rancangan. Ini termasuklah meningkatkan keluaran makanan domestik bagi mengurangkan pergantungan kepada import dan mempercepatkan usaha untuk memodenkan sektor pertanian dan menjadikan Malaysia sebagai pengeluar hasil pertanian yang mempunyai nilai ditambah yang tinggi. Kita akan menggalakkan penggunaan teknologi dan pengurusan moden, menggalakkan pertanian berskala besar dan teratur melalui pengeluaran makanan secara 'estatization', dengan izin. Sebagai khidmat sokongan, Kerajaan akan terus menyediakan kredit pertanian, latihan serta khidmat nasihat dalam proses memodenkan sektor pertanian terutamanya kepada pekebun kecil. Dalam hubungan ini, Kerajaan telah menambah peruntukan bagi Tabung Makanan kepada RM1 bilion. 33. Sebagai satu strategi Kerajaan akan memberi penekanan kepada penggunaan sumber pertanian secara intensif terutamanya sumber tanah dan buruh yang berkurangan sekarang ini. Kita juga akan memberi tekanan kepada pengukuhan sektor eksport dengan menggalakkan penyertaan sektor swasta, terutamanya dalam usaha komersil secara besar-besaran. Di samping itu, Kerajaan akan memberi tumpuan yang lebih bagi menggalakkan innovasi dalam penggunaan teknologi moden dalam pertanian, seperti pemeliharaan ikan laut dalam sangkar dan penggunaan teknologi yang menjimatkan tenaga kerja. Untuk mencapai objektif ini, peruntukan pembangunan sebanyak RM8.3 bilion akan disediakan untuk sektor pertanian dan pembangunan luar bandar. 34. Menggiatkan semula pertumbuhan sektor pembuatan. Memandangkan pertumbuhan perindustrian yang kukuh merupakan pra-syarat bagi pemulihan ekonomi yang berkekalan tumpuan lebih besar akan diberi kepada aktiviti pembuatan. Bagi mengekalkan tahap pelaburan dalam sektor pembuatan, Kerajaan akan memperkenalkan beberapa langkah dan insentif yang akan membantu meningkatkan keyakinan pelabur, menggalak pelaburan semula dan menggalak kepelbagaian eksport. Pengembangan dan kepelbagaian industri secara besar-besaran akan memainkan peranan yang penting bukan sahaja untuk mengimbangkan pembangunan negatif KDNK dan pembentukan modal atau `capital formation=, dengan izin, dalam negeri yang rendah pada tahun 1998, tetapi lebih penting sebagai punca untuk mewujud kekayaan baru menerusi pembangunan industri baru dan teknologi termaju. 35. Teras penting dalam dasar perindustrian negara ialah mengembangkan industri berasaskan sumber dan berorientasikan eksport. Bidang ini mempunyai potensi dalam memperbesarkan aktiviti nilai ditambah dalam negeri dan boleh meningkatkan imbangan perdagangan dan rantaian perindustrian. Tumpuan khas juga akan diberikan kepada usaha meningkatkan produktiviti dan mempergiatkan aktiviti hiliran terutamanya dalam pengeluaran produk baru dan yang lebih baik dalam industri berasaskan sumber. Kedua-dua kategori industri ini akan digalakkan sebagai sumber pertumbuhan baru untuk sektor perindustrian. Pada masa yang sama, usaha akan diteruskan bagi mempercepatkan anjakan strategik ke arah industri berasaskan teknologi tinggi dan pengetahuan dengan memberi tumpuan kepada pengeluaran produk yang mempunyai nilai ditambah yang tinggi dan berpontensi untuk eksport. 36. Usaha-usaha meningkatkan produktiviti adalah kunci bagi meningkatkan daya saing negara di pasaran antarabangsa untuk menggalakkan eksport. Industri baru dan yang sedia ada akan digalakkan supaya lebih cekap dari segi meningkatkan teknologi serta proses pengeluaran barangan bermutu tinggi, alatan dan komponen yang berkualiti serta memperbaiki 'reliability' bekalan. Dalam hubungan ini, industri digalakkan memperolehi pengiktirafan ISO9000 dan Standard Pengurusan Alam Sekitar atau siri ISO14001. Kerajaan akan terus membantu sektor swasta dengan menyedia pelbagai perkhidmatan sokongan bagi membolehkan pengilang-pengilang tempatan menghadapi persaingan pasaran eksport yang semakin sengit. Bank Eksport-Import Malaysia atau EXIM Bank yang mempunyai kemudahan dana sebanyak RM4 bilion akan memainkan peranan utama dalam menyediakan pembiayaan perdagangan bagi sektor pembuatan. 37. Satu lagi teras utama program perindustrian ialah pembangunan sektor Industri Kecil dan Sederhana atau IKS yang moden, berdaya saing dan inovatif daripada segi teknologi. Untuk mengukuhkan lagi sektor ini, IKS adalah digalakkan untuk bersatu atau menggabungkan aktiviti masing-masing bagi mencapai, dengan izin, 'economies of scale', mempelbagaikan asas pasaran mereka dan seterusnya menembusi pasaran dunia. Beberapa tabung telah ditubuhkan untuk IKS seperti Tabung IKS sebanyak RM1.5 bilion dan Tabung Pemulihan IKS bernilai RM750 juta. Kerajaan juga akan terus memudah dan mempercepatkan penyertaan IKS yang lebih besar dalam pasaran ekport melalui MATRADE dan SMIDEC. 38. Mempertingkatkan pembangunan sektor perkhidmatan. Kerajaan akan memperhebatkan usaha bagi mencapai matlamat mewujudkan sektor perkhidmatan yang moden dan berorientasi luaran bagi tujuan memperkukuh dan memperluaskan asas ekonomi negara. Ini akan menyumbang kepada pemulihan akaun perkhidmatan dalam imbangan pembayaran. Dorongan utama bagi pertumbuhan sektor perkhidmatan ini adalah daripada sub sektor pengangkutan udara dan laut, pelabuhan, insurans, kewangan, pelancongan, pendidikan, kesihatan dan perkhidmatan perundingan. 39. Malaysia akan dibangunkan sebagai 'hub' pengangkutan serantau. Pelabuhan Klang akan dimajukan sebagai pusat pemindahan kargo dan muatan, manakala Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) yang dilengkapi dengan 'tate-of-the-art' technology, dengan izin, akan dijadikan `hub' penerbangan serantau. Malaysia juga akan berusaha menjadi pusat kecemerlangan pendidikan di rantau ini untuk membuka peluang bagi penuntut-penuntut kita serta mengurangkan perbelanjaan pendidikan di luar negara, di samping menggalakkan penuntut asing belajar di institusi pendidikan di negara ini. Dengan lebih ramai pelajar asing mendaftar di institusi pendidikan di Malaysia, lebih ramailah ibu bapa pelajar yang akan melawat Malaysia dan ini akan menyumbang kepada aliran masuk perolehan daripada pelancongan. Pada masa yang sama, kita juga sedang berusaha mempromosi pelancongan berasaskan perkhidmatan kesihatan melalui pusat-pusat perubatan swasta yang berupaya menyediakan kemudahan canggih dan perkhidmatan kepakaran yang bertaraf dunia. 40. Malaysia akan terus dimajukan sebagai destinasi pelancongan yang menarik dan berdaya saing di rantau ini. Usaha yang diselaraskan di kalangan peserta- peserta industri pelancongan seperti hotel, syarikat penerbangan dan ejen pelancong serta Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia adalah perlu bagi mengembangkan industri pelancongan di negara ini. Kita akan menggalakkan pelaburan dalam produk pelancongan yang istimewa seperti 'eco-tourism', sukan dan 'adventure tourism'. Malaysia juga akan dimajukan sebagai pusat persidangan, konvensyen dan pameran antarabangsa serta pusat sukan antarabangsa dengan adanya kemudahan Kompleks Sukan Bukit Jalil, kemudahan sukan golf serta litar Formula-1 Sepang. Langkah juga akan diambil bagi meningkatkan pelancongan domestik khususnya melalui pakej cuti dengan harga yang berpatutan. Bagi menyokong usaha sektor swasta, pembangunan dan penyelenggaran prasarana pelancongan seperti kemudahan pengangkutan dan rekreasi akan terus diberi sokongan. 41. Mengembangkan Teknologi Maklumat. Teknologi Maklumat adalah penting dalam pembangunan ekonomi daripada segi meningkatkan kecekapan, produktiviti dan daya saing. Oleh itu, usaha untuk menjadikan negara kita sebagai sebuah ekonomi yang berasaskan pengetahuan dan maklumat atau menuju ke arah ekonomi 'Third Wave', dengan izin, akan dilaksanakan. Negara kita sedang menuju ke arah dunia bermaklumat di mana IT dan multimedia akan menjadi alat strategik untuk mewujudkan masyarakat berpengetahuan. Kita akan membangun dan mengembangkan infrastruktur IT yang diperlukan yang akan menyumbang kepada kewujudan industri berasaskan teknologi serta menanam budaya IT di kalangan orang ramai supaya lebih mudah menerima cara hidup baru dan budaya kerja yang lahir daripada masyarakat yang berasaskan pengetahuan. 42. Kerajaan telah menggubal Agenda Teknologi Maklumat Negara atau NITA yang menjadi tulang belakang kepada pembangunan seimbang yang merangkumi tiga unsur strategi iaitu sumber manusia, infrastruktur dan aplikasi berasaskan IT. Satu Agenda strategik meliputi lima bidang utama iaitu E-Ekonomi, E-Perkhidmatan Awam, E-Pembelajaran, E-Komuniti, dan E-Kedaulatan akan dikaji untuk menyediakan Malaysia menghadapi keperluan ekonomi berasaskan pengetahuan. 43. Koridor Raya Multimedia (MSC), akan terus menerajui pembangunan IT. Dalam hubungan ini, saya suka menyatakan kepada Dewan ini, bahawa pembangunan Cyberjaya sedang berjalan dengan pesat dan ianya akan menjadi 'bandar pintar' yang pertama di Malaysia. Sejajar dengan pembangunan MSC, pelaksanaan aplikasi perdana seperti kerajaan elektronik, kad pelbagai guna, teleperubatan, sekolah bistari, kelompok penyelidikan dan pembangunan atau R&D, jaringan pengilangan sedunia dan pemasaran tanpa sempadan, akan menjadi pemangkin kepada kemunculan industri dan perkhidmatan IT yang baru. Usaha juga dilaksanakan bagi menggalakkan perusahaan kecil dan sederhana bergabung dengan syarikat yang lebih besar dalam mengembangkan rantaian nilai IT dan industri multimedia. Di samping itu, penyelidikan dan pembangunan IT dalam bidang yang diutamakan akan dipergiatkan bagi menyokong pembangunan industri tersebut. 44. Pertumbuhan yang pesat dalam rangkaian telekomunikasi terutamanya penggunaan Internet di seluruh dunia, akan mempercepatkan aplikasi perdagangan elektronik atau 'e-commerce', dengan izin, dalam pasaran yang lebih luas. Saya gembira untuk menyatakan bahawa dalam tempoh tiga tahun akan datang, kita akan mempunyai asas pengguna yang kukuh bagi perdagangan elektronik apabila kita mencapai matlamat satu juta pengguna Internet. Dengan perubahan teknologi IT dan multimedia yang pantas, perdagangan elektronik akan menghasilkan pelbagai inovasi amalan perniagaan dalam pengeluaran serta penghantaran barangan dan perkhidmatan. Di samping mewujudkan peluang perniagaan baru, perdagangan elektronik juga memberi cabaran kepada perniagaan domestik, terutamanya dalam sektor perkhidmatan. Dalam hubungan ini, Kerajaan akan menggubal satu pelan induk bagi memastikan pembangunan perdagangan elektronik berjalan secara teratur. 45. Sebagai sebahagian daripada usaha kita untuk membangunkan tenaga kerja yang celik IT, kurikulum pendidikan dan latihan akan sentiasa diubahsuai sejajar dengan permintaan industri IT. Kerajaan juga akan melancarkan satu kajian bagi menyediakan satu rangka kerja untuk mengimbangkan permintaan dan bekalan bagi tenaga kerja IT di dalam ekonomi. 46. Dalam membangunkan IT, usaha akan ditumpukan kepada menyediakan persekitaran undang-undang yang sesuai bagi meningkatkan penggunaan IT dan multimedia. Ke arah ini, peraturan dan undang-undang berkaitan IT akan dikaji semula supaya selaras dengan perkembangan pesat dalam teknologi IT dan multimedia. Di bawah Kajian Separuh Penggal, Kerajaan telah menambah peruntukan bagi kementerian-kementerian dan agensi- agensi yang terlibat dalam program dan projek IT kepada RM4 bilion. 47. Memperkukuhkan Sains dan Teknologi. Peranan Sains dan Teknologi (S&T) adalah penting bagi pembangunan, terutama memandangkan tumpuan sekarang adalah ke arah kewujudan ekonomi berteknologi dan berpengetahuan tinggi. Kelembapan ekonomi telah menekankan lagi betapa perlunya ditingkatkan daya saing eksport dan ini memerlukan peranan S&T yang lebih besar terutamanya dalam bidang R&D yang akan membantu menggiatkan semula sektor industri dan pertanian serta memajukan lagi sektor perkhidmatan. Kita juga akan dan meningkatkan keupayaan serta kebolehan tempatan dalam bidang inovasi saintifik dan teknologi. Kerajaan telah menambahkan peruntukan untuk R&D kepada RM1.1 bilion. Dalam hubungan ini, saya ingin menarik perhatian sektor swasta bahawa penyertaan dan pelaburan mereka dalam R&D akan menjadi lebih penting kerana mereka perlu memastikan penyediaan teknologi yang sesuai dan berdaya maju untuk memenuhi keperluan ekonomi yang berkembang. 48. Meningkatkan Kualiti Hidup. Kerajaan sedang menghadapi cabaran yang hebat bagi tempoh akhir Rancangan untuk meneruskan tumpuan kepada pembangunan sosial serta mewujudkan masyarakat yang bersatu padu dan berdaya tahan dengan mempunyai nilai-nilai yang kukuh, disiplin diri yang tinggi yang sentiasa bersyukur dan berterima kasih. Dalam hubungan ini, tumpuan kepada penyediaan kemudahan infrastruktur dalam pendidikan dan latihan, perumahan, kesihatan, belia, kaum wanita, keluarga dan pembangunan masyarakat, akan dipertingkatkan. 49. Akses kepada pendidikan asas khususnya di kawasan luar bandar dan kualiti pendidikan juga akan dipertingkatkan sementara pendidikan peringkat tinggi dikembangkan bagi memenuhi permintaan yang semakin bertambah. Dalam hubungan ini, Kerajaan telah menambah peruntukan untuk pendidikan dan latihan kepada RM16 bilion daripada peruntukan asal sebanyak RM10 bilion. Kerajaan juga telah menambah peruntukan bagi Tabung Pendidikan Tinggi Negara daripada RM605 juta kepada RM1.5 bilion. Tabung ini akan memberi faedah kepada 40,000 lagi pelajar di peringkat pengajian tinggi terutamanya dalam menyediakan bantuan kewangan kepada golongan berpendapatan rendah, dengan demikian memudahkan akses ke institusi pendidikan awam dan swasta. Di samping itu, Kerajaan akan menyediakan Tabung Pinjaman Latihan Kemahiran dengan peruntukan awal sebanyak RM500 juta bagi meningkatkan penyertaan terutamanya golongan berpendapatan rendah untuk mendapat latihan kemahiran di semua peringkat. 50. Kerajaan juga akan memberi keutamaan kepada penyediaan perumahan untuk keluarga berpendapatan rendah dan miskin bagi membolehkan mereka menikmati perumahan yang lebih mampu dibeli dan berkualiti. Dalam hubungan ini, Kerajaan Persekutuan dengan sokongan Kerajaan Negeri akan memastikan lebih banyak perumahan kos rendah dibina untuk dijual atau disewakan. Kerajaan Persekutuan akan membina sebanyak 35,000 unit rumah kos rendah di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang akan dilancarkan tahun ini dan sebahagiannya dijangka siap pada akhir tahun 2000. Ini akan membantu menyelesaikan masalah setinggan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang mana terdapat sejumlah 42,000 isi rumah dalam tahun 1998. Di bawah Kajian Separuh Penggal ini, Kerajaan telah menambah peruntukan bagi perumahan kepada RM3.5 bilion. 51. Kerajaan akan meneruskan usaha memperbaiki lagi status kesihatan rakyat. Usaha memerangi virus JE dan Nipah pada masa ini adalah satu pengajaran yang tidak boleh kita pandang ringan. Kerajaan telah memberi bantuan sedaya upaya, tetapi tanggungjawab seterusnya perlu dipikul oleh semua rakyat Malaysia sejajar dengan konsep masyarakat penyayang. Dalam usaha mengembang dan memperbaiki taraf perkhidmatan kesihatan, pembinaan 20 hospital baru telah dimulakan di seluruh Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak. Seterusnya, kegunaan IT di sektor kesihatan akan dikembangkan dan Sistem Maklumat Menyeluruh Hospital dilaksanakan untuk memudahkan pentadbiran dan pengurusan kesihatan. Misalnya, Hospital baru Selayang akan dijadikan sebagai hospital pakar yang pertama berasaskan IT dalam sektor awam. Untuk menyediakan latihan kepada anggota kesihatan bersekutu atau 'allied health personnel', dengan izin, Kerajaan akan membina pusat-pusat latihan di Selangor, Kelantan, Sabah dan Sarawak. Peruntukan bagi sektor kesihatan akan ditambah kepada RM3.4 bilion. 52. Perkhidmatan sosial lain yang disediakan oleh Pihak Berkuasa Tempatan juga akan diberi tumpuan terutamanya untuk memperbaiki perkhidmatan bandar, kemudahan sosial, kebersihan dan keindahan bandar serta sistem perparitan dan tebatan banjir. Usaha untuk memperbaiki kualiti perkhidmatan sosial bagi meningkatkan kebajikan masyarakat juga akan diteruskan sejajar dengan objektif membentuk masyarakat penyayang. Tumpuan akan terus diberikan kepada golongan tertentu seperti golongan berpendapatan rendah, kaum wanita, kanak-kanak, warga tua dan yang kurang upaya. Kerajaan akan terus meningkatkan peranan dan sumbangan kaum wanita dalam pembangunan sosio-ekonomi negara di mana lebih banyak peluang pendidikan dan latihan akan disediakan bagi menggalakkan mereka menyertai secara berkesan dalam pasaran buruh. Peruntukan bagi sub sektor ini akan ditambah daripada RM3.3 bilion kepada RM4 bilion. 53. Satu lagi cabaran yang dihadapi dalam keadaan ekonomi sekarang adalah pengurusan isu alam sekitar dan sumber semulajadi tanpa bertolak ansur dalam produktiviti dan pertumbuhan ekonomi. Kita akan memastikan langkah-langkah yang diambil tidak akan menjejaskan usaha mencapai pembangunan mampan serta tidak membebankan negara. Pendekatan ekonomi akan diberi penekanan dalam menangani isu-isu alam sekitar. 54. Kerajaan juga akan meneruskan agenda bagi memupuk nilai positif dan etika kerja yang baik, menggalakkan `corporate governance', dengan izin, serta sifat tanggungjawab sivik di kalangan masyarakat. Sistem nilai yang baik hanya boleh dibentuk melalui penekanan kepada agama, tradisi dan sivik terutamanya melalui sistem pendidikan. Nilai sejati masyarakat seperti taat setia, warganegara yang baik, menghormati hak warganegara, keadilan sosial dan sikap toleransi antara satu sama lain yang membentuk asas demokrasi yang efektif akan terus dipertingkatkan. Saya yakin melalui sistem nilai yang positif ini, pembentukan Bangsa Malaysia akan dapat dipercepatkan. JENTERA PENYELARASAN DAN PELAKSANAAN 55. Pelaksanaan dasar yang efektif yang bertujuan memulihkan ekonomi negara secara berkekalan memerlukan perancangan dan pelaksanaan yang cekap di semua peringkat Kerajaan. Oleh itu, Kerajaan akan meningkatkan keupayaan, kecekapan dan keberkesanan agensi kerajaan untuk menyahut cabaran dengan efektif supaya projek-projek dapat dilaksanakan mengikut jadual tanpa kelewatan yang mana akan memberi kesan terhadap proses pemulihan dan pencapaian matlamat pembangunan nasional. Dalam hubungan ini, pertindihan kerja dan pembaziran akan dikurangkan, prosedur kerja diselaraskan dan halangan yang mengganggu pelaksanaan projek dihapuskan. Agensi-agensi Kerajaan akan diminta melaksanakan projek-projek dengan berkesan, terutama bagi tempoh akhir rancangan ini. 56. Majlis Tindakan Ekonomi Negara atau MTEN akan terus memainkan peranan sebagai badan perunding kepada Kabinet bagi menangani masalah ekonomi dan memulihkannya. Di peringkat negeri, Majlis Tindakan Ekonomi Negeri akan melaksanakan keputusan yang dibuat oleh MTEN, memberi maklumbalas mengenai kemajuan projek serta merangka dan melaksanakan projek-projek khusus bagi mencapai pemulihan ekonomi. Beberapa Jawatankuasa Kabinet telah diperkukuhkan untuk memantau dengan rapi pelaksanaan program dan dasar Kerajaan. 57. Kerjasama erat di antara pelbagai peringkat kerajaan dengan pelbagai agensi adalah teras kepada pelaksanaan dasar, program dan projek secara berkesan. Kerjasama sedemikian akan disokong dengan penyelarasan yang lebih baik di antara agensi berkaitan supaya pelaksanaan projek tidak tertangguh. Sehubungan ini, saluran komunikasi akan diperkukuhkan lagi dan teknologi maklumat digunakan sepenuhnya untuk memastikan keberkesanan pelaksanaan dan penyelarasan bagi merealisasikan objektif pembangunan yang terkandung dalam Kajian Separuh Penggal ini. 58. Sektor swasta, yang menjadi rakan penting dalam pembangunan, akan terus menerajui pertumbuhan ekonomi dengan kerjasama rapat dengan sektor awam selaras dengan konsep Persyarikatan Malaysia. Ke arah ini, lebih banyak sesi dialog akan diadakan di peringkat kementerian, jabatan, negeri dan daerah. Maklum balas daripada sesi dialog ini akan membolehkan sektor awam meningkatkan kecekapan pengurusan dan kualiti perkhidmatan sejajar dengan permintaan sektor swasta. RUMUSAN 59. Seperti yang saya nyatakan tadi, Kajian Separuh Penggal ini dibuat dalam keadaan yang amat mencabar. Semasa saya membentangkan Rancangan Malaysia Ketujuh di Dewan yang mulia ini, asas-asas ekonomi negara adalah begitu kukuh dan bertenaga dan kita yakin dapat mengekalkan matlamat pertumbuhan sebanyak lapan peratus. Walau bagaimanapun, hasrat kita untuk mencapai matlamat ini telah terjejas oleh faktor luaran, yang telah memberi kesan buruk ke atas sektor kewangan, pertumbuhan ekonomi sebenar serta taraf hidup rakyat. Walau bagaimanapun, Malaysia telah dapat mengelak daripada mengalami kesan yang terlalu buruk akibat krisis ini. Ini adalah kerana asas-asas ekonomi makro kita yang kukuh dan kejayaan Kerajaan memperkenalkan dasar dan strategi yang cepat dan pragmatik dalam menangani krisis ini. Sejak pertengahan tahun 1998, dasar kita telah memberi fokus kepada langkah-langkah bagi menghalang penguncupan ekonomi dan menggerak semula pertumbuhan ekonomi terutamanya dengan melonggarkan dasar fiskal dan kewangan. Langkah-langkah ini adalah berkesan dan tanda-tanda awal pemulihan jelas kelihatan daripada petunjuk-petunjuk penggunaan dan pelaburan swasta serta eksport. 60. Prospek bagi tempoh akhir Rancangan ini bergantung besar kepada keberkesanan pelaksanaan langkah-langkah yang telah saya nyatakan tadi. Mengembali keyakinan pelabur dan perkembangan dalam ekonomi global juga penting. Sekiranya tidak berlaku bencana ekonomi, Insya-Allah, pertumbuhan KDNK sebenar dijangka mengalami arah aliran positif pada kadar satu peratus bagi tahun 1999, diikuti dengan kadar pertumbuhan lima peratus dalam tahun 2000. Senario optimistik ini adalah berasaskan perkembangan yang positif dalam permintaan agregat, jangkaan pertumbuhan pengeluaran sektor-sektor ekonomi, lebihan dalam imbangan pembayaran dan tabungan yang mencukupi untuk memenuhi keperluan pelaburan. Di samping itu, prospek ekonomi dunia juga dijangka menggalakkan dengan purata pertumbuhan sebanyak 2.3 peratus bagi tempoh 1999-2000. 61. Tumpuan Kajian Separuh Penggal ini ialah untuk mempercepatkan pemulihan ekonomi negara dan mengembalikan ekonomi kepada pertumbuhan mampan supaya objektif pembangunan seimbang dan matlamat menjadi sebuah negara maju menjelang tahun 2020 tercapai. Ini memerlukan antara lain pengukuhan asas-asas ekonomi makro dan sektor kewangan, serta mengembalikan keyakinan pelabur dan awam, memajukan sektor-sektor ekonomi yang berpotensi termasuk pembuatan, pertanian dan perkhidmatan, mengambil langkah-langkah bagi mencapai matlamat sosio-ekonomi dan mengurangkan kadar kemiskinan serta meningkatkan kualiti hidup rakyat Malaysia. Semua langkah untuk mencapai aspirasi negara ini hanya boleh dicapai jika setiap daripada kita memberi yang terbaik dalam memainkan peranan masing- masing. Ini juga merupakan peluang keemasan kepada kita untuk membuktikan kepada dunia, terutamanya kepada pengkritik dan skeptik bahawa kita sebagai satu kumpulan masyarakat yang bersatu-padu, boleh melakukannya, berlandaskan semangat `Malaysia Boleh=. 62. Keadaan dunia pada masa ini dan kebolehan kita menghadapi cabaran baru memberi kita keyakinan untuk bersikap optimistik mengenai prospek ekonomi Malaysia. Melihat prospek masa depan, saya yakin jalan ke arah pemulihan ekonomi negara adalah jelas berdasarkan kepada semua faktor yang ada. Dasar-dasar tidak konvensional yang dilaksanakan telah menunjukkan hasil yang menggalakkan tetapi ini memerlukan masa untuk membuahkan hasil sepenuhnya. Saya yakin negara kita sekali lagi akan mencapai pertumbuhan ekonomi yang sihat dengan kadar inflasi yang rendah dan rakyat menikmati kualiti hidup yang lebih baik, Insya-Allah. 63. Kita berdoa kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala supaya sentiasa memberikan kita kekuatan dan keazaman untuk menghadapi serta mengatasi masalah-masalah, berusaha sedaya upaya memulihkan ekonomi dan menjadikan negara lebih makmur serta memelihara maruah negara. Saya percaya, dengan izin Allah Subhanahu wa Ta'ala, kita akan kembali ke atas landasan pesat dalam membangunkan bangsa yang bersatu padu, progresif, makmur, berdikari dan dihormati oleh semua. 64. Saya mohon mencadangkan. |