home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
Oleh/By		:	DATO' SERI DR. 
			MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	KUALA LUMPUR 
Tarikh/Date 	: 	01/05/99 
Tajuk/Title  	: 	PERUTUSAN PERDANA MENTERI SEMPENA 
			HARI PEKERJA TAHUN 1999 



       Tahun  1999  merupakan tahun ketiga krisis  ekonomi
  melanda  negara-negara  Asia Timur,  termasuk  Malaysia.
  Krisis   tersebut  telah  menjejas  pertumbuhan  ekonomi
  negara   dan  seterusnya  kesejahteraan   hidup  rakyat.
  Namun kita bersyukur ke hadrat Allah S.W.T. kerana  para
  pekerja  di  negara ini tidak menghadapi  masalah  besar
  seperti  pembuangan  kerja secara besar-besaran  seperti
  yang  berlaku di beberapa negara lain.  Ini ialah kerana
  Kerajaan telah berjaya mengambil langkah-langkah  segera
  dan  tegas  untuk  menghalang percubaan  pihak  tertentu
   untuk  merosakkan  ekonomi kita.  Kini berkat  kerjasama
  semua  pihak,  termasuk  para  pekerja,  langkah-langkah
  yang    telah   diambil   oleh   Kerajaan   ini    telah
  memperlihatkan kesan-kesan yang positif.
  
  2.    Kerajaan adalah sentiasa prihatin terhadap masalah
  yang  dihadapi oleh para pekerja.  Atas kesedaran inilah
  maka  Kerajaan telah mengambil langkah-langkah  tertentu
  memastikan   kepentingan  para  pekerja   terjamin   dan
  pasaran  pekerja  terus mantap ketika negara  menghadapi
  masalah   ekonomi.   Antara  usaha-usaha  ke  arah   ini
  termasuklah  mempergiatkan  projek-projek   binaan   dan
  infrastruktur.   Ini  adalah berasaskan  kepada  andaian
  bahawa  dengan  wujudnya aktiviti ekonomi  dalam  sektor
  binaan  maka  ia akan menghasilkan peningkatan  peluang-
  peluang pekerjaan secara langsung.  Kerajaan juga  telah
  memperuntukkan  modal pinjaman kepada para  peniaga  dan
  usahawan   kecil.    Dengan   wujudnya   peluang-peluang
  pekerjaan   ini,  rakyat  tidak  akan  merasa  kepahitan
   daripada  kesan-kesan  ekonomi yang  lembab  yang  masih
  kita hadapi.
  
  3.    Memandangkan ekonomi kita masih ditahap yang belum
  pulih  sepenuhnya,  diharap rakyat  tidak  akan  terlalu
  memilih  pekerjaan.   Mereka  yang  bekerja  pula  perlu
  menjalankan tugas dan tanggungjawab mereka dengan  penuh
  komitmen  dan bersungguh-sungguh.  Kita sedang  bersaing
  secara  hebat  dengan negara-negara  lain  dan  kejayaan
  dalam   persaingan   ini  bergantung  kepada   tingginya
  produktiviti  kita.  Jika kita gagal maka kesannya  akan
  dirasai  oleh kita semua, termasuklah golongan  pekerja.
  Sebaliknya,  jika produktiviti kita meningkat,  kejayaan
  yang  dicapai akan juga dinikmati bersama.   Saya  ingin
  menyeru  para  pekerja  supaya  lebih  berdisiplin   dan
  mengamalkan   etika   kerja   yang   baik   yang   boleh
  meningkatkan  produktiviti di samping  menjaga  kualiti.
  Selain  daripada upah yang diperolehi daripada sumbangan
  kerja,  balasan  yang memuaskan ialah hasil  kerja  yang
   bermutu dan berharga.
  
  4.    Sesungguhnya  negara amat berterima  kasih  kepada
  kaum  pekerja  Malaysia  yang faham  akan  masalah  yang
  dihadapi  oleh  negara dan dengan  itu  tidak  bertindak
  secara  tidak bertanggungjawab yang mana ia sudah  tentu
  akan  menyukarkan pemulihan ekonomi negara.  Kita  lihat
  bagaimana  di negara di mana pekerjanya sering mengambil
  tindakan  perusahaan dan menuntut upah yang tidak  mampu
  dibayar  oleh  majikan,  keadaan  dan  masalahnya  hanya
  menjadi  semakin  buruk.  Kerapkali nilai  matawang  dan
  inflasi  menjadikan  pendapatan  yang  bertambah   tidak
  bermakna  kerana tidak dapat membeli lebih dari  dahulu,
  bahkan   kurang   daripada  yang  dapat  dibeli   dengan
  pendapatan lama.
  
  5.    Di  Malaysia walaupun tidak banyak  tambahan  upah
  diberi tetapi dengan kestabilan nilai Ringgit dan  kadar
  inflasi  yang  rendah,  sara hidup  kaum  pekerja  tidak
  banyak terjejas.
  
  6.     Peratusan  pekerja  yang  hilang  pekerjaan   dan
   menganggur   tidaklah  ramai  di  Malaysia.   Sebenarnya
  pengangguran  tidak  patut berlaku memandangkan  peluang
  kerja  baru  lebih banyak daripada bilangan  penganggur.
  Lagipun kita masih mempunyai ramai pekerja asing  kerana
  pekerja  Malaysia  terlalu  memilih  kerja.   Di   waktu
  ekonomi  merosot kita patut sanggup membuat  apa  sahaja
  kerja walaupun upah tidak seperti di masa mewah.  Insya-
  Allah  apabila ekonomi pulih kita akan dapat balik kerja
  dan upah yang baik.
  
  7.    Pihak  Kerajaan  ingin melihat pendapatan  pekerja
  bertambah  sepanjang  masa.  Pendapatan  yang  bertambah
  ini  akan  menolong membangunkan ekonomi  negara  kerana
  wang  yang  didapati  tentu akan dibelanja.   Tiap  kali
  seorang   belanja  wang  ada  sahaja  orang  lain   yang
  mendapat   keuntungan.    Keuntungan   ini   pula   akan
  dibelanja,  dan  pihak lain pula termasuk  pekerja  akan
  menikmati   keuntungan.   Lebih  kerap   wang   bertukar
  tangan, lebih baiklah ekonomi.
  
   
  8.    Tetapi  pendapatan  yang  bertambah  oleh  pekerja
  hendaklah  kerana peningkatan produktiviti.  Jika  tidak
  maka  hasil  kerja tidak akan dapat dijual dan  kerugian
  akan  dialami oleh penjual.  Apabila penjual  rugi  maka
  perniagaan  akan  merosot  dan  pekerja  mungkin  hilang
  pekerjaan.
  
  9.    Saya berbangga kerana kesatuan sekerja di Malaysia
  faham   akan   peranannya  dan  betul-betul   memelihara
  kepentingan  pekerja.   Sebab itu  terdapat  'industrial
  peace'  di  Malaysia  dan ini secara  langsung  menolong
  pemulihan ekonomi.  Tidak dapat tidak pemulihan  ekonomi
  akan    memberi    banyak   manfaat   kepada    pekerja.
  'Industrial  peace' ini juga menyakinkan  pelabur  asing
  dan  tempatan untuk melabur di negara kita.  Sekali lagi
  dengan  pelaburan ini peluang pekerjaan akan  bertambah.
  Apabila   peluang  pekerjaan  bertambah  lebih  daripada
  bilangan pekerja maka majikan terpaksa menaikkan upah.
  
  10.   Hari Pekerja bukanlah semata-mata untuk dirayakan.
   Hari  Pekerja juga adalah masa bagi pekerja dan kesatuan
  sekerja   merenung   akan  masalah  pekerja   di   zaman
  globalisasi  ini dan sikap pekerja dalam melindungi  hak
  pekerja.    Jika  kita  tidak  berjaga-jaga  kita   akan
  dipermainkan  oleh  orang  lain  dan  kita   akan   rugi
  kerananya.
  
  11.    Saya  mengambil  peluang  ini  untuk  mengucapkan
  selamat  menyambut Hari Pekerja kepada semua pekerja  di
  negara ini. 
 




 
Google