home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
Oleh/By		:	DATO' SERI DR. 
			MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	STADIUM PUTRA, KOMPLEK SUKAN 
			NEGARA, KUALA LUMPUR 
Tarikh/Date 	: 	03/07/99 
Tajuk/Title  	: 	PERASMIAN MALAYSIA AGRICULTURE, 
			HORTICULTURE AND
			AGROTOURISM SHOW 1999 (MAHA '99) 


    
       Terlebih   dahulu  saya  merakamkan  terima   kasih
  kepada  pihak  penganjur  iaitu  Kementerian  Pertanian,
  kerana   menjemput   saya  untuk   merasmikan   Malaysia
  Agriculture,  Horticulture  and  Agrotourism  Show  1999
  atau MAHA '99.
  
  2.     Sejak  merdeka,  Kerajaan  telah  membangun   dan
  memajukan  sektor  pertanian sehingga  dapat  menjadikan
  Malaysia  hari ini sebagai pengeluar utama produk-produk
  minyak kelapa sawit, getah, balak, lada hitam dan  koko.
  Kita   telah   mencapai   kecemerlangan   dalam   bidang
   penyelidikan  dan  pembangunan serta pengurusan  ladang-
  ladang  komersil  bagi produk-produk  tersebut  sehingga
  Malaysia  kini  dijadikan  pusat  rujukan  antarabangsa.
  Kita  juga boleh berbangga dengan kemajuan dan  prestasi
  sektor   pelancongan   yang   merupakan   sektor   kecil
  perkhidmatan   yang   penting.    Semenjak   pelaksanaan
  program  pelancongan di bawah Rancangan Malaysia Keenam,
  ianya  telah  berjaya  menjadi antara  penyumbang  utama
  pendapatan negara.  Sektor tersebut telah dapat  menarik
  seramai  5.5  juta  pelancong yang  membelanja  sebanyak
  RM9.3   bilion   pada  tahun  lalu.    Kemajuan   sektor
  pelancongan  ini  selain  daripada  mewujudkan   peluang
  pekerjaan   telah  menggerakkan  perkembangan  aktiviti-
  aktiviti    yang    berkaitan    seperti    perkhidmatan
  pengangkutan, makanan dan penginapan.
  
  3.     Sebagaimana  kita  semua  sedia  maklum,   krisis
  ekonomi  dan kewangan yang melanda negara-negara  rantau
  ini  termasuk  Malaysia  menyebabkan  perlunya  Kerajaan
   mengambil  langkah-langkah  yang  lebih  inovatif  dalam
  membangunkan ekonomi negara.  Selaras dengan dasar  bagi
  mempelbagai  dan mengoptimumkan penggunaan sumber-sumber
  serta  untuk  menangani  krisis-krisis  tersebut,   maka
  amatlah penting kita membangunkan ekonomi negara  secara
  menyeluruh  dan  memperkukuhkan  pertalian   di   antara
  berbagai  sektor bukan sahaja di antara sektor pertanian
  dengan  sektor  pembuatan tetapi juga di  antara  sektor
  pertanian  dengan sektor pelancongan.  Sebagai persiapan
  untuk  menghadapi alaf baru, adalah perlu kita  meneliti
  kekuatan   sektor   pertanian   dan   pelancongan    dan
  memaksimumkan sumbangannya untuk faedah kita  semua  dan
  bagi generasi akan datang.
  
  4.    Sebagaimana kita semua sedia maklum,  negara  kita
  pada  masa  kini mendahului beberapa bidang penyelidikan
  pertanian   tropika.    Sehubungan   ini,   kita   perlu
  menggemblengkan  keupayaan  dan  kebolehan  kita   untuk
  meneruskan   kecemerlangan   dalam   penyelidikan    dan
   pembangunan  industri-industri  dan  produk-produk  baru
  pertanian  daripada komoditi utama dan sumber semulajadi
  seperti   bunga-bungaan,  ikan   hiasan,   produk-produk
  makanan  termasuk  herba  dan ulam-ulaman  serta  hasil-
  hasil kraftangan.
  
  
  5.     Kita   juga   telah   mencatat   kejayaan   dalam
  membangunkan  pelbagai teknologi baru dalam  pembangunan
  pertanian  bersepadu dan pertanian mampan serta  amalan-
  amalan  perhutanan  untuk  memastikan  pembangunan  yang
  seimbang  daripada segi ekologi.  Pada masa  yang  sama,
  negara  ini  kaya  dengan  sumber  semulajadi  umpamanya
  jeram  dan air terjun, hutan rimba, taman laut dan  alam
  semulajadi  yang  boleh dimajukan dengan  pelbagai  cara
  termasuk   pelancongan.   Terdapat  pelbagai  ekosistem,
  flora  dan  fauna  yang menarik di negara  ini  termasuk
  15,000  spesies  pokok  berbunga, 290  spesies  mamalia,
  150,000  invertabrata dan 4,000 spesies ikan  laut  yang
  telah  dikurniakan kepada kita.  Di samping  itu,  kira-
   kira  dua  pertiga daripada spesies orkid dunia terdapat
  di  hutan-hutan  Malaysia.  Negara  ini  juga  mempunyai
  bukit  dan  gunung  yang  sesuai  untuk  tanaman  bunga-
  bungaan  temperate.   Di zaman pemikiran  dan  teknologi
  canggih  semua  ini  boleh digunakan secara  baik  untuk
  meningkatkan lagi pembangunan pertanian, perhutanan  dan
  pelancongan  di  samping mengindahkan lagi  persekitaran
  kita.
  
  6.    Menyedari  akan  semua sumber, bahan  dan  potensi
  dari  alam semulajadi, Kerajaan berpendapat eloklah jika
  rakyat  dan  pelawat diperkenalkan kepada  warisan  kita
  dan  peluang-peluang untuk menambah kekayaan negara  dan
  rakyat  melalui  satu pertunjukan dan pameran  pertanian
  secara besar-besaran.
  
  7.    Mengimbas kembali zaman 60an dahulu, ramai  antara
  kita  pasti  masih ingat akan satu pameran yang  sungguh
  popular  pada masa itu, iaitu Malaysia Agricultural  and
  Horticultural Association Show atau MAHA.   Pameran  ini
  telah  menarik  minat dan sambutan pengunjung-pengunjung
   daripada  pelbagai lapisan masyarakat bukan sahaja  dari
  Kuala  Lumpur dan kawasan-kawasan persekitarannya tetapi
  juga  pengunjung-pengunjung  dari  seluruh  negara   dan
  negara  asing.   Mereka  telah datang  berpusu-pusu  dan
  dengan  penuh  minat  untuk  menyaksikan  ternakan  yang
  terbesar,  buah-buahan  yang  termanis,  ubi  kayu  yang
  paling  berat, bunga-bungaan yang mempunyai  warna-warni
  yang  paling  menarik serta binatang dan ternakair  yang
  eksotik.   Mereka  datang  bukan  sahaja  bagi   melihat
  peralatan  pertanian  yang  terkini  tetapi  juga  untuk
  membeli  anak-anak  benih tanaman  seperti  buah-buahan,
  bunga-bungaan,  kelapa sawit, getah dan sebagainya  yang
  dihasilkan   oleh  agensi-agensi  pertanian,   institusi
  penyelidikan   dan  pihak  swasta.   Di   samping   itu,
  pengunjung-pengunjung mengambil peluang  untuk  membeli-
  belah  hasil-hasil pertanian dan barangan makanan selain
  daripada  menikmati  hiburan  dan  persembahan  daripada
  artis-artis yang terkenal pada ketika itu.
   
  8.    Konsep  pameran MAHA dahulu adalah  untuk  memberi
  fokus    kepada   sektor   petani-petani   kecil    bagi
  menggalakkan   mereka  menerima  pakai  teknologi   baru
  supaya  produktiviti  dan pendapatan  mereka  meningkat.
  Penekanan  dan  hasrat  Kerajaan pada  masa  itu  adalah
  untuk  membangunkan  sektor  luar  bandar  dan  membasmi
  kemiskinan.   Tetapi dengan kejayaan industri  pembuatan
  tumpuan  kepada pertanian selain daripada jenis tumbuhan
  yang  boleh dikomersilkan telah berkurangan.   Kegawatan
  dan  resesi telah memaksa kita memberi perhatian  semula
  kepada  pengurangan  pergantungan kepada  bahan  makanan
  yang  diimport,  dan menggantikan dengan  bahan  makanan
  tempatan.   Lebih  dari  itu kita juga  disedarkan  akan
  potensi   eksport  hasil  pertanian  yang  lain   selain
  daripada getah, kelapa sawit dan sebagainya.
  
  9.    Dengan tumpuan semula kepada pertanian kita dapati
  bahawa pertanian secara teratur dan besar-besaran  untuk
  mengeluarkan  sayur-sayuran,  buah-buahan   dan   bunga-
   bungaan  serta ternakan binatang-binatang seperti  rusa,
  burung  unta  dan lain-lain dan juga ternakan  ikan  air
  tawar  dan  air  masin boleh menyumbang  kepada  ekonomi
  negara  dan membebaskannya daripada pergantungan  kepada
  terlalu  banyak  makanan yang diimport.  Kepakaran  kita
  dalam  mendiri  dan  mengurus  estet  yang  besar  boleh
  membantu kita dalam pembangunan industri pertanian  yang
  lain.   Jika  kita boleh memajukan getah,  kelapa  sawit
  yang  bukan  berasal dari negara kita  tidak  ada  sebab
  kenapa kita tidak boleh majukan tumbuhan-tumbuhan lain.
  
  10.   Mulai  tahun  ini, walaupun MAHA akan  mengekalkan
  suasana  dan  kemeriahan MAHA yang diadakan dalam  zaman
  60an   hingga   70an,   ianya  akan  diubahsuai   dengan
  pendekatan    dan    aktiviti-aktiviti    baru     untuk
  menggambarkan perubahan pembangunan ekonomi  serta  cara
  hidup   dan  citarasa  rakyat  jelata.   Sejajar  dengan
  objektif  ini, perayaan MAHA '99 yang akan  disambut  di
  peringkat  Pusat dan di seluruh negara selama dua  bulan
   mulai  3  Julai  akan dimeriahkan dengan Karnival  Flora
  termasuk  pameran dan jualan hasil dan produk  pertanian
  dan   pelancongan  sebagai  pembuka  tirai.   Ini   akan
  diikuti  dengan  Pesta Flora yang  akan  diraikan  mulai
  esok   dan  berakhir  pada  11  Julai  serentak   dengan
  Karnival  Flora.   Selain daripada promosi  potensi  dan
  destinasi  pelancongan, pesta makanan dan  minuman  yang
  menonjolkan  hasil pertanian khususnya  ulam-ulaman  dan
  buah-buahan  tertentu;  pertunjukan  buah-buahan  nadir,
  ternakan  eksotik  serta sambutan Tahun  Melawat  Negeri
  Sembilan  dan  Pulau  Pinang akan  dianjurkan.   Sebagai
  kemuncak  sambutan  MAHA pula Hari  Peladang,  Penternak
  dan   Nelayan  Peringkat  Kebangsaan  (HPPNK)  dan  Asia
  Agricultural Exposition and Convention 1999  (AGEX  '99)
  akan  diadakan  serentak pada 26  hingga  31  Ogos  akan
  datang di Stadium ini.
  
  11.   Saya yakin perayaan MAHA ini akan memberi  manfaat
  kepada  semua  kumpulan sasar dan  pihak  yang  terlibat
   dalam   pembangunan  sektor  pertanian  dan  pelancongan
  serta  sektor-sektor  yang  berkaitan  dengannya.   Bagi
  golongan  petani,  penternak  dan  nelayan  yang   telah
  menyumbang  tenaga  mereka  sebagai  pengeluar   makanan
  negara  serta  pemaju  sektor berasaskan  pertanian  dan
  pelancongan,  mereka  juga  boleh  memperolehi  maklumat
  yang   tidak  ternilai  mengenai  peluang  dan   potensi
  pelaburan  sektor-sektor berkenaan  menerusi  Konvensyen
  Peladang   dan  menimba  pengalaman  daripada   kejayaan
  Peladang dan Usahawan Jaya.
  
  12.   Para  pelajar  dan  masyarakat  umum  pula  diseru
  merebut  peluang  ini  untuk  mendapat  pendedahan   dan
  memperolehi  pengetahuan terkini mengenai teknologi  dan
  perkembangan   sektor   pelancongan,   pertanian   serta
  industri berasaskan pertanian di dalam dan luar  negara.
  Pengguna-pengguna  pula  boleh  meraih  faedah   melalui
  jualan   terus   hasil-hasil  pertanian   dan   barangan
  berasaskan  pertanian termasuk kraftangan,  cetakan  dan
   tenunan  yang  akan  memberi tambahan pendapatan  kepada
  golongan sasar dan pengusaha yang terlibat.
  
  13.   Para cendekiawan yang meliputi pegawai penyelidik,
  ahli-ahli  sains dan akademik juga akan  dapat  bertukar
  fikiran  dan  pengalaman melalui  persidangan,  seminar,
  konvensyen   dan  sebagainya  sama  ada   di   peringkat
  kebangsaan atau antarabangsa.  Melalui acara  MAHA  ini,
  usahawan-usahawan  termasuk para pelabur  asing,  selain
  daripada  memperolehi maklumat berhubung dengan insentif
  dan   potensi  pelaburan  dalam  sektor  pertanian   dan
  pelancongan,  akan  mendapat peluang untuk  berinteraksi
  dan  menjalin  'network' dengan para pelabur,  pengusaha
  dan Kerajaan-kerajaan Negeri.
  
  
  14.   Pihak  pelancong  dan mereka yang  terlibat  dalam
  industri   pelancongan   selain   daripada   memperolehi
  maklumat  dan pengetahuan terkini mengenai  potensi  dan
  destinasi  pelancongan dan keindahan Malaysia yang  kaya
  dengan  flora  dan  fauna, akan dapat pendedahan  kepada
   pelbagai  sukan rakyat, kebudayaan, adat resam dan  cara
  hidup  masyarakat  majmuk di negara  ini.   Mereka  juga
  akan  dapat  menikmati pelbagai jenis  makanan  pelbagai
  kaum,  hasil  dan keluaran pertanian serta membeli-belah
  hasil-hasil kraftangan, barangan cetakan dan tenunan.
  
  15.   Kehadiran pelancong-pelancong sama ada dari  dalam
  atau  luar  negeri  akan meningkatkan pendapatan  sektor
  pelancongan  daripada  segi kemudahan  hotel,  restoran,
  pengangkutan,  hiburan, pusat-pusat peranginan,  lawatan
  dan  pusat  membeli-belah.  Dengan adanya perayaan  MAHA
  ini,    ianya   akan   membolehkan   pelancong-pelancong
  tinggal  lebih  lama  di  negara ini  dan  mempromosikan
  Malaysia  sebagai  tempat  persidangan,  konvensyen  dan
  pameran   antarabangsa.   Perayaan   MAHA   akan   dapat
  menawarkan   pelbagai  aktiviti   yang   menarik   untuk
  pelancong sebelum dan selepas persidangan.
  
  16.   Dalam hubungan ini, adalah diharapkan pihak swasta
  akan   mempromosikan  pakej  bagi  menarik  lebih  ramai
   pelawat  dan pelancong luar negara ke Malaysia.  Selaras
  dengan  dasar  Kerajaan  untuk menggalakkan  pelancongan
  domestik    pula,   aktiviti   pelancongan    berasaskan
  pertanian,  ekologi,  sukan dan rekreasi,  membeli-belah
  dan  perayaan  seperti  Pesta Flora  akan  dipelbagaikan
  bagi  memenuhi permintaan dan citarasa rakyat  tempatan.
  Konsep  Karnival Flora termasuk jualan akan menggalakkan
  pelancongan    domestik    serta    antarabangsa     dan
  mempromosikan penjualan barangan tempatan.   Di  samping
  itu,  dengan  pelaksanaan  projek-projek  pertanian  dan
  produk-produk  agro-pelancongan  seperti   dusun   buah-
  buahan,   'farm-stay',  'home-stay',  taman   laut   dan
  sebagainya  akan membantu kita mencapai  matlamat  Dasar
  Pertanian  Negara serta sasaran ketibaan pelancong  yang
  dijangka  meningkat  kepada seramai kira-kira  7.6  juta
  orang  dengan jumlah perbelanjaan sebanyak  RM12  bilion
  menjelang tahun 2000.
  17.    Memandangkan  perayaan  MAHA  ini  akan   memberi
   manfaat  besar  kepada  semua  golongan  masyarakat  dan
  pihak-pihak  yang  terlibat,  saya  sekali  lagi   ingin
  menyeru   semua   pihak  terutamanya   Kerajaan-kerajaan
  Negeri,  pihak swasta dan petani, penternak dan  nelayan
  serta   tuan-tuan   dan  puan-puan  untuk   turut   sama
  menjayakan  perayaan MAHA '99.  Menerusi  perayaan  MAHA
  ini   adalah  diharapkan  sektor  pertanian   dan   yang
  berasaskan   pertanian  serta  pelancongan  akan   dapat
  meningkatkan  pendapatan,  menjana  pendapatan   tukaran
  asing   dan   mempercepatkan  pemulihan  ekonomi   serta
  menjadi pemangkin kepada pembangunan negara.
  
  18.    Dengan   harapan  ini  saya  dengan   sukacitanya
  merasmikan MAHA '99.
  
    
 

 



 
Google