home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
Oleh/By		:	DATO' SERI DR. 
			MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	DEWAN TUN HUSSEIN ONN PUSAT 
			DAGANGAN DUNIA PUTRA, 
			KUALA LUMPUR 
Tarikh/Date 	: 	04/08/99 
Tajuk/Title  	:	PELANCARAN MAJLIS PERUNDINGAN 
			EKONOMI NEGARA KEDUA (MAPEN II) 


 
  
       Terlebih  dahulu saya ucapkan terima  kasih  kepada
  semua  yang  hadir kerana dapat melapangkan  masa  untuk
  bersama-sama  di  upacara  yang  besar  maknanya  kepada
  negara  ini. Majlis serupa ini pernah diadakan 10  tahun
  lalu.   Majlis Perundingan Ekonomi Negara Pertama (MAPEN
  I)  yang  dilancarkan   pada bulan  Januari  1989  telah
  memberi  banyak input dalam menggubal Dasar  Pembangunan
  Nasional   yang  telah  dilaksanakan  di  bawah   Rangka
  Rancangan Jangka Panjang Kedua.
   
  2.    Proses  perundingan antara wakil-wakil  masyarakat
  pernah  diadakan sebelum ini iaitu apabila  Kerajaan  di
  bawah  pentadbiran MAGERAN menubuhkan Majlis Perundingan
  Negara   pada  bulan  Januari  1970,   bertujuan   untuk
  mendapat  konsensus  masyarakat  mengenai   garispanduan
  kerjasama   antara  kaum  dan  integrasi  sosial   untuk
  membentuk identiti nasional Malaysia.  Proses yang  unik
  ini  telah  membantu Kerajaan mengenalpasti  dasar  masa
  depan  negara untuk dilaksanakan dalam rancangan  jangka
  panjang.  Ini telah meyakinkan Kerajaan untuk meneruskan
  tradisi ini dan Majlis Perundingan Ekonomi Negara  Kedua
  atau  MAPEN  II  akan memulakan tanggungjawabnya  dengan
  cara yang sama.
  
  Perancangan Pembangunan
  
  3.     Proses   perancangan  pembangunan  negara   telah
  melalui  satu  evolusi, bermula dengan Rancangan  Malaya
  Pertama  yang  digubal dalam tahun  1956  iaitu  sebelum
  negara  mencapai  kemerdekaan.   Sejak  itu  kita  telah
  melaksanakan  sembilan  rancangan  lima  tahun  dan  dua
   rancangan   jangka  panjang.   Berbagai-bagai  perubahan
  telah  dilakukan daripada segi pendekatan dan  kandungan
  untuk  memantap  dan menjadikan rancangan-rancangan  ini
  sebagai  alat  yang  boleh membantu  kita  melangkah  ke
  hadapan.
  
  4.   Strategi perancangan telah beralih daripada semata-
  mata   berasaskan   kuasa  pasaran   kepada   pendekatan
  'hybrid'  yang  mengimbangi  sistem  perancangan  dengan
  sistem  kuasa  pasaran.  Kepentingan  persendirian  atau
  'private  interest'  telah  disepadukan  dengan  wawasan
  awam   atau   'public  vision'  dalam  usaha   ke   arah
  perancangan  berasaskan masyarakat  atau  'society-based
  planning'.   Teras  utama adalah untuk mengisi  aspirasi
  masyarakat   sejajar   dengan  agenda   nasional   iaitu
  memajukan  negara serta mengekal dan memperkuatkan  lagi
  perpaduan kaum.
  
  5.     Melalui  dailog  dengan  berbagai-bagai   lapisan
  masyarakat,  sesuatu yang menjadi amalan  Kerajaan  ini,
  dasar  nasional telah ditetapkan dan diubahsuai mengikut
   keperluan.  Kerajaan sentiasa mengamalkan sikap  terbuka
  dan   sedia  menimbangkan  cadangan  yang  membina  demi
  kebaikan   dan   kesejahteraan   rakyat.   Sesungguhnya,
  pendekatan   melalui  rancangan  jangka  panjang   untuk
  menggariskan    arahtuju   pembangunan   negara    telah
  menentukan kemajuan negara tidak lari daripada asas  dan
  matlamat asal yang ditetapkan.
  
  Dasar Ekonomi Baru
  
  6.    Di  bawah Rangka Rancangan Jangka Panjang  Pertama
  (RRJP1) kita telah melaksanakan Dasar Ekonomi Baru  atau
  ringkasnya  DEB  yang  meliputi tempoh  1971-1990.  Kita
  telah  mencapai  pembangunan  sosio-ekonomi  yang  pesat
  walaupun   kita   memberi  perhatian   serius   terhadap
  reformasi  sosial dan ekonomi melalui strategi serampang
  dua  mata  iaitu  membasmi kemiskinan di kalangan  semua
  kaum  dan  menyusun semula masyarakat bagi  menghapuskan
  identifikasi   kaum   dengan   fungsi   ekonomi   supaya
  perpaduan   kaum  dapat  diperkukuhkan.   DEB  merupakan
  titik  permulaan proses 'social engineering'  yang  kita
   laksanakan   bagi  menangani  masalah  ketidakseimbangan
  kedudukan kaum dalam masyarakat majmuk Malaysia.
  
  7.      Sungguhpun   kita   sering   dikritik   mengenai
  pelaksanaan   DEB  yang  kononnya  menguntungkan   hanya
  segelintir   Bumiputera,  kita  telah  meneruskan   juga
  rancangan kita sehingga ia mencapai kejayaan yang  dapat
  dirasai  oleh  rakyat keseluruhannya.  Sebenarnya  bukan
  segelintir  tetapi  semua  Bumiputera  menikmati   hasil
  pelaksanaan  DEB, mengikut kebolehan dan  bakat  mereka.
  Demikian  juga  semua mereka diberi pelajaran  asas  dan
  yang  berbakat serta rajin mendapat biasiswa dan peluang
  untuk  belajar  ke institusi pengajian tinggi  di  dalam
  dan  luar  negeri.  Permodalan Nasional  Berhad  ditubuh
  untuk  membolehkan lebih tujuh juta Bumiputera  memiliki
  saham  dalam  perniagaan dan perusahaan besar.   Latihan
  berniaga,  lesen,  modal  dan  tempat  disediakan   bagi
  mereka  yang  berkebolehan dan  serius  untuk  menyertai
  bidang ini.
   
  8.    Bagi Bumiputera yang betul-betul berkebolehan  dan
  sudah   mencapai   kejayaan,  peluang   diberi   melalui
  penswastaan supaya perniagaan dan perusahaan yang  besar
  boleh  dimiliki  dan  diurus oleh mereka  sendiri.   Ini
  menjadi  agenda  yang  penting  kerana  DEB  tidak  akan
  dianggap  berjaya  jika  imbangan  antara  kaum   terhad
  kepada  kegiatan  kecil-kecilan dengan  pendapatan  yang
  rendah.   Walaupun  seperti biasa ada  pihak  yang  cuba
  mengapikan  kebencian  kepada korporat  Bumiputera  yang
  berjaya dan kaya-raya, tetapi kemarahan Bumiputera  akan
  lebih  tinggi  jika yang kaya-raya, yang  tinggal  dalam
  mahligai,  yang berkereta Mercedes dan memiliki  pesawat
  terbang  sendiri  hanyalah bukan Bumiputera.   Kemarahan
  orang   tertentu  kepada  Bumiputera  yang  kaya  adalah
  disebabkan  oleh  politik  dan  perasaan  irihati  biasa
  kepada  Bumiputera  yang  lebih  berjaya  daripada  diri
  mereka  sendiri.   Perasaan ini pula  diapi-apikan  oleh
  orang  asing  yang  melihat  dasar  menolong  Bumiputera
   sebagai   halangan   terhadap   mereka   untuk    meraih
  keuntungan   besar   dengan  memiliki  syarikat-syarikat
  gergasi di Malaysia melalui proses penswastaan.
  
  9.    DEB  yang  berteraskan pertumbuhan  dengan  ekuiti
  atau  'growth with equity' tidak menghalang  pertumbuhan
  ekonomi  seperti  yang sering berlaku apabila  percubaan
  dibuat untuk mengagih kekayaan negara secara yang  lebih
  adil   dan   saksama.   Harus  diingat  bahawa  ideologi
  Komunis  dan  Sosialis juga bertujuan mengagih  kekayaan
  negara   dengan  sama  rata.   Tetapi  setelah  mengamal
  ideologi-ideologi  ini  selama 70  tahun,  negara-negara
  berkenaan  terpaksa menggugurkan pendekatan  ini  kerana
  pembangunan  ekonomi terjejas dengan teruknya.  Demikian
  juga  apabila  sebuah  negara maju mencuba  'affirmative
  action'   supaya   mereka  yang   kurang   upaya   dalam
  masyarakat  diberi sedikit pertolongan, tentangan  hebat
  dibuat  oleh  mereka  yang mempunyai kelebihan  tertentu
  sehingga    'affirmative   action'   tersebut   terpaksa
   dihentikan  dan  puak  yang lemah  terus  menderita  dan
  miskin.   Tetapi  DEB disokong oleh semua  lapisan  kaum
  dan  dengan  itu berjaya mengurangkan jurang  perpisahan
  antara  kaum  daripada segi sosial dan ekonomi.   Betapa
  jaya  dan  baiknya  DEB dapat dilihat  semasa  kegawatan
  ekonomi  baru-baru  ini.   Tidak  ada  perpecahan  dalam
  perpaduan  rakyat kita dan tidak ada rusuhan  kaum  yang
  berlaku  seperti yang terjadi di negara  di  mana  tidak
  ada agihan saksama antara kaum.
  
  Dasar Pembangunan Nasional
  
  10.    Masa   yang  diberi  kepada  DEB  untuk  mencapai
  matlamatnya  hanyalah  20 tahun.  Oleh  kerana  matlamat
  DEB   tidak   tercapai  sepenuhnya,  usaha  menghapuskan
  kemiskinan   di  kalangan  semua  kaum  dan  penghapusan
  identifikasi  kaum  dengan  fungsi  ekonomi   diteruskan
  secara   'modified'  dalam  Dasar  Pembangunan  Nasional
  (DPN)   yang   meliputi   tempoh  1991-2000.    Walaupun
  kemiskinan  di  kalangan  semua kaum  dapat  dikurangkan
   lagi,  imbangan  pembangunan tidak  juga  dapat  dicapai
  sepenuhnya.    Kaum   Bumiputera  masih   terkebelakang,
  kerana  sikap  dan  budaya  mereka  masih  tidak  sesuai
  dengan  kemajuan diri.  Ramai yang mensia-siakan peluang
  yang diberi atau menyalahgunakannya.
  
  11.   Lebih  malang  lagi  ialah serangan  oleh  pemodal
  asing  yang  mencetuskan kegawatan ekonomi dan  kewangan
  dalam  negara.  Disebabkan kejatuhan nilai  Ringgit  dan
  harga saham syarikat-syarikat, banyak daripada syarikat-
  syarikat  mengalami kerugian yang teruk  dan  menanggung
  hutang  yang  tidak dapat dibayar.  Syarikat  Bumiputera
  yang  baru  saja  muncul dan mempunyai banyak  kelemahan
  adalah  yang  terbanyak  sekali  menghadapi  kemungkinan
  menjadi muflis.  Syarikat mereka terpaksa dijual  kepada
  orang   asing   atau  bukan  Bumiputera  atau   terpaksa
  ditutup.   Dengan itu imbangan ekonomi  di  antara  kaum
  merosot semula.  Peratusan susutan prestasi belum  dapat
  dipastikan lagi.
  
   12.   Tentulah jelas bahawa satu daripada matlamat MAPEN
  II  ialah untuk memulihkan semula dan memajukan matlamat
  mengimbangkan  kedudukan ekonomi  antara  kaum.   Semasa
  kita  melaksanakan  DEB kita tidak mempunyai  pengalaman
  dalam  penyusunan  semula masyarakat  atau  'affirmative
  action'.  Kita telah mencuba apa sahaja yang kita  fikir
  boleh  memajukan Bumiputera supaya mereka dapat mengejar
  kaum  lain.   Kita tidak begitu mengambilkira  kemampuan
  mereka  yang  diberi  peluang  atau  menyediakan  mereka
  untuk  peranan  yang akan dimainkan oleh mereka  melalui
  latihan  dan pendedahan kepada pengalaman.   Dengan  itu
  banyak   daripada   usaha   kita   gagal   dan   berlaku
  pembaziran.   Walaupun  ada juga kejayaan  tetapi  ianya
  tidaklah setimpal dengan pelaburan yang kita buat.
  
  13.    Dalam  melaksanakan  DPN,  kita  lebih  prihatin.
  Pemilihan  Bumiputera  dibuat dengan  lebih  teliti  dan
  berhati-hati.   Hanya  yang mempunyai  rekod  yang  baik
  sahaja  yang diberi peluang dan bantuan.  Yang  berbakat
   diberi  latihan  dan  pendedahan secara  beransur-ansur.
  Pendekatan  yang lebih berhati-hati ini  lebih  berjaya.
  Jika  dahulu perniagaan dan perusahaan yang besar  tidak
  sama  sekali mempunyai penyertaan Bumiputera, kini dalam
  tempoh  DPN  beberapa orang Bumiputera telah muncul  dan
  menunjukkan   kemampuan  yang  mengkagumkan.    Walaupun
  kemunculan  Bumiputera ini tidak disenangi  oleh  mereka
  yang   tidak  berjaya,  tetapi  hakikatnya  mereka  yang
  muncul   dan  berjaya  ini  dapat  mengurangkan  keadaan
  ketidakseimbangan di antara kaum di peringkat tinggi.
  
  14.   Kali  ini  cabaran  yang dihadapi  oleh  MAPEN  II
  adalah  lebih  besar.   Ekonomi  negara  telah  merosot.
  Dengan  itu pendekatan yang bergantung kepada pembesaran
  kek  ekonomi sebelum agihan dibuat menjadi lebih  sukar.
  Namun  kita  masih perlu menentukan pertumbuhan  ekonomi
  yang  pesat  dan  ini  tidaklah semudah  dahulu.   Ramai
  daripada   Bumiputera  yang  berbakat  sudah  tersungkur
  kerana  beberapa sebab.  Apakah dapat kita mengenalpasti
   bakat baru yang berwibawa yang boleh diberi peluang  dan
  tanggungjawab?
  
  15.   Perniagaan  dan  perusahaan  menjadi  lebih  rumit
  kerana  kawalan  lebih  ketat  yang  perlu  dibuat  oleh
  Kerajaan.   Di  masa  yang sama Kerajaan  perlu  menumpu
  kepada  pemulihan ekonomi supaya pertumbuhan yang tinggi
  dicapai.   Persaingan  antara peniaga  dan  antara  kaum
  serta  dengan  orang  asing akan  menjadi  lebih  hebat.
  Pembukaan  pasaran perlu dibuat mengikut AFTA  dan  juga
  WTO.   Dan  kita  tidak boleh lupa bahawa  Wawasan  2020
  masih menjadi matlamat kita.
  
  Wawasan 2020
  
  16.   Untuk  menjadikan  Wawasan  2020  satu  kenyataan,
  usaha  yang  lebih  gigih  dan  pertumbuhan  yang  lebih
  tinggi  perlu dicapai.  Mengikut perkiraan,  pertumbuhan
  tujuh peratus setahun akan menaikkan GDP atau KDNK  kita
  sebanyak   lapan   kali  ganda  jika  diasaskan   kepada
  prestasi  kita  pada tahun 1990.  Setiap 10  tahun  kita
  akan   lipatkan  GDP  kita  sekali  ganda.    Sebenarnya
   sebelum  kegawatan  pada  tahun  1997,  pendapatan   per
  kapita  kita  ialah kira-kira 4500 Dolar Amerika  kerana
  pertumbuhan  kita  adalah lebih  tinggi  daripada  tujuh
  peratus yang diperlukan.
  
  17.   Walaupun  pendapatan kita dalam  matawang  Ringgit
  tidak  banyak  turun  tetapi oleh kerana  nilai  Ringgit
  sekarang  lebih  rendah, iaitu RM3.80  bagi  satu  Dolar
  Amerika,  berbanding  dengan  RM2.50  bagi  satu   Dolar
  Amerika  dahulu, maka pendapatan per kapita  kita  dalam
  matawang  Amerika  tentulah  berkurangan.   Tetapi  oleh
  kerana pendapatan per kapita kita melebihi sasaran  4000
  Dolar  Amerika  pada  dekad  pertama  tahun  2000,  maka
  kemajuan  negara  ke arah Wawasan 2020  tidaklah  begitu
  terjejas.   Sekarang  kita masih memerlukan  pertumbuhan
  sebanyak  tujuh  peratus  setahun  sehingga  tahun  2020
  untuk  mencapai matlamat GDP yang lapan kali  ganda  GDP
  tahun 1990.
  
  18.   Pengalaman kita dalam menangani kegawatan  ekonomi
  dan  resesi  akibat  jatuhnya nilai  Ringgit  dan  harga
   saham  boleh  menolong  kita  dalam  usaha  membangunkan
  semula  ekonomi  kita ke arah Wawasan  2020.   Kegawatan
  telah  mendedahkan  banyak  kelemahan  dalam  pengurusan
  ekonomi kita.
  
  19.   Umpamanya  kita mendapati jentera  Kerajaan  tidak
  dapat   membelanjakan  peruntukan   pembangunan   secara
  efisien.    Tiap   tahun   sebahagian   besar   daripada
  peruntukan  tidak  dibelanjakan.   Ini  mempunyai  kesan
  negatif  terhadap ratusan perniagaan dan  industri  yang
  terlibat  dengan projek-projek Kerajaan, dan menjejaskan
  sumbangan Kerajaan kepada pertumbuhan ekonomi.
  
  20.     Pemantauan   perbelanjaan   pembangunan    untuk
  menentukan  peruntukan dibelanja mengikut  jadual  telah
  meningkatkan  prestasi pembangunan  sumbangan  Kerajaan.
  Dan   ini   menjadi  pemangkin  kepada  banyak  kegiatan
  ekonomi negara.
  
  21.   Sektor swasta juga diberi perhatian yang rapi oleh
  Majlis  Tindakan Ekonomi Negara atau MTEN daripada  segi
  kemajuan  mereka.  Segala halangan dan  kelambatan  yang
   disebabkan  oleh  kerenah  birokrasi  dan  bank  diatasi
  melalui  campurtangan  Kerajaan, terutama  Bank  Negara,
  Suruhanjaya Sekuriti dan institusi-institusi lain.
  
  22.    Maklumat  secara  terperinci  berkenaan  prestasi
  semua  kegiatan ekonomi dikumpul dan disemak  oleh  Exco
  MTEN  tiap-tiap hari.  Jika didapati prestasi  mana-mana
  sektor  tidak  baik  atau tidak memuaskan,  penyelidikan
  dibuat   dan  setelah  menentukan  sebab-sebab  prestasi
  kurang   baik,   tindakan  diambil.   Demikian   apabila
  penjualan   hartanah   tidak  laris,   Kerajaan   dengan
  kerjasama   sektor  swasta  mengadakan  bulan  pemilikan
  harta  di waktu mana segala kemudahan disediakan,  harga
  diturunkan   dan   cukai  berkenaan  dihapuskan   supaya
  penjualan  menjadi laris.  Demikian juga apabila  jualan
  runcit  kurang memuaskan, cukai keatas barangan tertentu
  dimansuhkan,  pendapatan  kakitangan  Kerajaan  ditambah
  dan bulan membelibelah diadakan.
  
  23.   Banyak  lagi tindakan diambil untuk menggerak  dan
   mempergiatkan aktiviti ekonomi bagi menghalang  kuncupan
  dan  membolehkan  pertumbuhan dicapai  sehingga  ekonomi
  negara pulih.
  
  24.    Cara   kita  menangani  kegawatan   ekonomi   dan
  pemulihannya  boleh diguna semasa menjayakan  MAPEN  II.
  Bidang-bidang   baru   yang  boleh   menyumbang   kepada
  pertumbuhan    ekonomi   mestilah    dikenalpasti    dan
  diterokai.   Teknologi maklumat umpamanya  boleh  diguna
  untuk   pembangunan   industri  baru   yang   berasaskan
  kepadanya.   Koridor Raya Multimedia atau MSC  mempunyai
  potensi  yang besar dan latihan dalam bidang  ini  perlu
  dipergiatkan.   Industri  yang  berasas   kepada   bahan
  komposit  yang  semakin banyak digunakan untuk  otomobil
  dan  pesawat terbang boleh juga memberi sumbangan kepada
  industri pembuatan.
  
  25.   Bidang  pertanian  telah mendapat  perhatian  yang
  kurang  semasa  kita  membangunkan  industri  pembuatan.
  Pertanian  tertumpu  kepada  pembangunan  estet   getah,
  kelapa  sawit dan koko sahaja.  Sektor-sektor  pertanian
   lain tidak mendapat perhatian yang sewajarnya.
  
  26.   Kita  tahu  bahawa  import makanan  negara  adalah
  'item'  yang terbesar yang menyebabkan pengaliran keluar
  tukaran asing.  Ia juga menyebabkan kos sara hidup  kita
  naik  kerana barangan import naik harga sepanjang  masa.
  Sebaliknya  pendapatan daripada keluaran  sayur-sayuran,
  buah-buahan   dan   bunga-bungaan  jauh   lebih   tinggi
  daripada  hasil  pendapatan daripada getah  atau  kelapa
  sawit atau koko.
  
  27.   Kita memiliki kecekapan yang terkenal dalam bidang
  pengurusan  estet besar-besaran.  Sebab  itu  kita  amat
  berjaya  memajukan getah, kelapa sawit dan koko;  jenis-
  jenis  tanaman yang bukan asli bagi negara  kita.   Oleh
  itu  jika  kita  memasuki  bidang  pertanian  yang  lain
  secara besar-besaran dengan mengadakan estet, maka  kita
  pasti  boleh  memajukan  lagi industri  pertanian  bukan
  sahaja  untuk  mengurangkan import makanan  tetapi  juga
  mengeksport  lebihan daripada keluaran  yang  diperlukan
   dalam negara.
  
  28.   Pekebun  kecil tidak akan rugi jika  estet  sayur-
  sayuran  dan  buah-buahan diadakan kerana  seperti  juga
  dengan  kelapa sawit, estet boleh membeli produk pekebun
  kecil untuk digred, diproses dan dipasarkan.  Kilang  di
  mana  hasil  pertanian boleh digred dan  diproses  boleh
  didirikan  oleh  estet, yang mana boleh dibekalkan  juga
  oleh  pekebun  kecil.   Oleh kerana  keluaran  pertanian
  bermusim  maka  keluaran berlebihan semasa  musim  boleh
  diproses  untuk jualan di luar musim.  Dengan  cara  ini
  pekebun  kecil  dapat  menjual  keluaran  mereka  dengan
  harga yang berpatutan semasa musim dan luar musim.
  
  29.   Nelayan,  terutama yang di  Pantai  Timur,  adalah
  antara  kumpulan yang termiskin dalam negara.   Bilangan
  mereka  semakin  berkurangan  kerana  anak-anak  nelayan
  mendapat  pelajaran dan tidak lagi mahu menjadi nelayan.
  Tetapi  negara memerlukan lebih banyak ikan segar kerana
  bilangan  penduduk  bertambah.   Adalah  penting   usaha
   dibuat  untuk menaikkan pendapatan nelayan dan tangkapan
  ikan  supaya permintaan untuk ikan segar dapat  dipenuhi
  tanpa mengekalkan kemiskinan nelayan.
  
  30.   Untuk  ini cara-cara baru menangkap dan  menternak
  semua jenis ikan hendaklah diperkenalkan.  Nelayan  baru
  hendaklah  terdiri  daripada mereka  yang  terlatih  dan
  sanggup  mengguna  peralatan dan cara  baru  yang  boleh
  meningkatkan  pengeluaran  ikan  segar  serta  menaikkan
  pendapatan nelayan baru dan lama dengan lebih tinggi.
  
  
  Penyelidikan dan Pembangunan (R&D)
  
  31.   Penyelidikan dan pembangunan amatlah penting dalam
  meningkatkan   ekonomi  negara.   Masalah   besar   yang
  dihadapi   ialah  kurangnya  keyakinan   terhadap   ide,
  pendekatan  dan  produk baru yang tidak datang  daripada
  negara  maju.   Umumnya  pengusaha  dan  pengguna  tidak
  sanggup  menerima pendekatan dan barangan hasil  ciptaan
  rakyat  negara  sendiri.  Dengan itu R&D  tidak  menarik
  minat dan kurang berhasil.
  
   32.   Sikap  ini perlu diubah.  Pengusaha  dan  pengguna
  hendaklah sanggup menerima ciptaan rakyat Malaysia.
  
  33.   Oleh  kerana  hampir  semua  barangan  dicipta  di
  negara  yang  mempunyai iklim sederhana atau  'temperate
  climate'   dengan  'humidity'  yang  rendah,  kebanyakan
  daripada barangan ini kurang sesuai dalam iklim  tropika
  Malaysia  yang panas, 'humidity' yang tinggi  dan  hujan
  yang  lebat.   Barangan ciptaan Eropah  dan  Jepun  juga
  tidak mengambilkira budaya dan agama penduduk tempatan.
  
  34.   Demikianlah  dengan pertanian dan tangkapan  serta
  ternakan  ikan.   Kajian dan pendekatan  baru  hendaklah
  dicari   supaya  hasil  keluaran  kita  akan  meningkat.
  Ternakan  ikan air masin perlu diselidik dan disesuaikan
  dengan  keadaan memandangkan permintaan ikan segar  akan
  meningkat sedangkan bilangan nelayan akan berkurangan.
  
  35.   Alaf   yang  akan  datang ini akan  membawa  lebih
  banyak  perubahan.  Komitmen yang dibuat oleh masyarakat
  sejagat   di   bawah  berbagai-bagai   perjanjian   akan
   menjadikan globalisasi sebagai satu realiti.   Arus  ini
  tidak  dapat dielak memandangkan pergerakan perdagangan,
  modal,  pekerja,  teknologi dan maklumat  semakin  tidak
  mengenal  sempadan kerana kemajuan sains dan komunikasi.
  Ia  akan  membawa  cabaran dalam semua  aspek  kehidupan
  kita,   baik  di  bidang  ekonomi,  sosial,  pendidikan,
  perniagaan,  perindustrian, perdagangan  dan  lain-lain.
  Ini  bermakna kita perlu menggubal strategi yang berbeza
  dari  yang pernah dibuat dahulu untuk membolehkan negara
  menghadapi  arus globalisasi dan liberalisasi.
  
  36.   Sebenarnya kita telahpun memulakan usaha  ke  arah
  menjadikan   Malaysia   sebagai   sebahagian    daripada
  masyarakat  global.   Kita  telah  meletakkan   matlamat
  untuk  menjadi  pusat serantau atau 'regional hub' dalam
  pelbagai  bidang  seperti pengangkutan udara  dan  laut,
  pelajaran,   kesihatan,  pelancongan   serta   teknologi
  maklumat  dan multimedia.  Berbagai-bagai   usaha  telah
  dimulakan tetapi banyak lagi yang perlu dilakukan  untuk
   menjadikan  negara  ini sama maju  dengan  negara-negara
  lain.  Oleh itu saya berharap di samping melihat isu  di
  peringkat   makro,  ahli-ahli  MAPEN  akan  juga   dapat
  meneliti  di  peringkat mikro untuk menajamkan  strategi
  yang  ada  agar  pusat serantau ini bukan  sahaja  dapat
  dibentuk  tetapi  kualitinya adalah tinggi  atau  'world
  class'.   Inilah  warisan yang perlu dibangunkan  supaya
  negara dapat sentiasa maju ke hadapan dan menjadi  pusat
  berkelas    dunia   untuk   pelbagai     aktiviti    dan
  kecemerlangan.
  
  37.   Sehubungan  dengan  ini  kita  perlu  membangunkan
  usahawan  yang  juga  berkelas dunia.   Kalau  dahulunya
  strategi   DEB   dan  DPN  tertumpu  kepada   mewujudkan
  usahawan   tempatan  Bumiputera  sekarang   kita   perlu
  memikirkan   bagaimana  mewujudkan   usahawan   Malaysia
  termasuk  Bumiputera  yang berkelas  dunia.   Pengalaman
  juga  telah mengajar kita bahawa usahawan daripada semua
  kaum  perlu saling sokong-menyokong untuk berjaya  dalam
   dunia  global.  Dalam kegawatan yang baru  berlaku  kita
  dapati  bukan sahaja usahawan Bumiputera terjejas  malah
  juga  usahawan bukan Bumiputera.  Ini bermakna  usahawan
  bukan  Bumiputera  juga rapuh atau 'fragile'  dan  perlu
  diperkukuhkan.     Usahawan   Bumiputera    dan    bukan
  Bumiputera  perlu   bergandingan  bahu  dan  bekerjasama
  demi  memantapkan keupayaan menghadapi  cabaran  global.
  Jika  kita  bersatu kita akan mampu mewujudkan  usahawan
  Malaysia yang teguh, mampu bersaing dan tahan diuji.
  
  38.   Dalam  era  liberalisasi, kita perlu  meningkatkan
  lagi  daya saing negara. Ini dapat diukur daripada  segi
  peningkatan  bahagian pasaran atau 'market  share'  yang
  kita   perolehi.    Untuk  mencapai  tujuan   ini   kita
  memerlukan  produk yang kompetitif. Usaha ini memerlukan
  peningkatan   produktiviti  negara  melalui  pembangunan
  tenaga manusia daripada segi kecekapan.
  
    39. Sebagai sebuah negara yang muda dengan umur median
  rakyat  hanya  23  tahun, masa depan  negara  bergantung
   kepada  bagaimana kita menyediakan generasi  muda  untuk
  mengambilalih tanggungjawab membina negara.  Kita  telah
  membuktikan  anak  muda  kita mudah  dilatih  dan  lebih
  produktif   jika   mereka  disemai  dengan   sifat-sifat
  kerajinan,  ketekunan dan disiplin diri.  Satu  daripada
  agenda    penting    adalah   untuk    memupuk    budaya
  kecemerlangan di kalangan rakyat kita.
  
  40.   Perolehan  teknologi adalah penting.  Tetapi  yang
  lebih  utama adalah mencapai kecanggihan sezaman.  Untuk
  ini  kita  perlu  menguasai sepenuhnya  kecekapan  dalam
  membuat  pembaharuan  dan inovasi kita  sendiri.   Tidak
  ada  negara  yang maju jika ianya miskin  daripada  segi
  keupayaan teknologi tinggi.
  
  41.   Sesungguhnya banyak yang perlu kita lakukan  untuk
  pembangunan  ekonomi negara ke arah status negara  maju.
  Tetapi kemajuan ekonomi tidak bermakna jika kualiti  dan
  budaya  kita tidak dapat membangunkan satu tamadun  yang
  tinggi  dan  mulia. Dalam hal ini, saya harap  ahli-ahli
   MAPEN   akan   juga  melihat  kepada  soal   moral   dan
  kerohanian  kerana  kita  ingin melahirkan  negara  maju
  yang  kukuh ciri-ciri moral dan etikanya dengan pegangan
  teguh  kepada nilai keagamaan dan kerohanian murni serta
  berpekerti luhur.
  
  42.   Saya  tidak berniat untuk memperincikan dasar  dan
  strategi  yang  harus kita laksanakan dalam  alaf   akan
  datang.   Terpulanglah  kepada  ahli-ahli   MAPEN  untuk
  merangka  dan membuat perakuan agar kita dapat  mencapai
  Wawasan  2020 dan dapat mengatasi sembilan cabaran  yang
  telah kita gariskan dahulu.
  
  
  Pembentukan MAPEN II
  
  43.   Sesungguhnya  tugas ahli-ahli  Majlis ini  amatlah
  berat  kerana  Majlis  ini  ditubuhkan  bertujuan  untuk
  mengadakan   perundingan   antara   semua   pihak   yang
  mempunyai  hak atas negara ini demi menentukan  arahtuju
  masa  depannya.   Ia bukanlah bermaksud  untuk  mencapai
  faedah  politik  seperti  yang  disangka  oleh  beberapa
  pihak  yang menolak jemputan Kerajaan untuk turut  serta
   memberi   sumbangan.   Tempoh  hayat  Rancangan   Jangka
  Panjang   yang   hendak  digubal  itu  sendiri   menolak
  prasangka tersebut.  Tempoh 10 tahun atau 20 tahun  yang
  diliputi  adalah  satu jangka masa  yang  melebihi  dari
  satu  tempoh  pemerintahan sesuatu  parti  politik  yang
  memenangi  pilihanraya.  Keahlian Majlis ini yang  tidak
  mengenal  bulu  juga  membuktikan  Majlis  ini  bukanlah
  condong kepada agenda politik.  Pemilihan dibuat  dengan
  hasrat  supaya  semua  pihak dalam  masyarakat  Malaysia
  diwakili,  agar  teras  dan  arahtuju  yang  dicadangkan
  nanti  adalah hasil  buah fikiran bernas daripada  semua
  cerdik  pandai negara ini, dengan nafas baru dan   telah
  mengambilkira semua sudut dan aspek yang penting.
  
  44.   Inilah  peluang  yang sepatutnya  disambut  dengan
  hati   yang  terbuka.   Sesiapa  sahaja  yang  sayangkan
  negara   seharusnya  mengenepikan  kepentingan   sendiri
  termasuk     kefahaman   politiknya.     Ini    bukanlah
  gelanggangnya.    Seseorang  yang  bijak   patut   dapat
   menimbang  sesuatu  langkah dan tahu  menyesuaikan  diri
  dengan  keperluan  semasa.   Di  gelanggang  pertarungan
  kita  menyingsing lengan tetapi di majlis  bermusyawarah
  kita  bertemu  sila.   Kita  perlu  bermuafakat  apabila
  kepentingan  negara  menjadi pokok  persoalan.   Seperti
  kata  pepatah 'bulat air kerana pembetung, bulat manusia
  kerana muafakat; yang ringan sama dijinjing, yang  berat
  sama  dipikul'.   Lebih-lebih  lagi  membincangkan  masa
  depan  negara  adalah  satu  perkara  yang  tidak  mudah
  kerana keadaan sekitar kita tidak boleh ditentukan  oleh
  kita.   Tindakan  orang lain dan perkembangan  teknologi
  boleh  menjejaskan  rancangan kita.   Namun  kita  tidak
  boleh  hanyut  dengan  arus sahaja  tanpa  mengenalpasti
  destinasi  dan  pendekatan kita.  Generasi  akan  datang
  akan  mengutuk  kita jika kita hanya memikirkan  tentang
  masa  dan zaman kita sahaja dan tidak membina asas untuk
  kemajuan    mereka    yang   menjadi    pewaris    kita.
  Sesungguhnya kita bertanggungjawab terhadap mereka  yang
   akan menyambung pembangunan yang kita telah usahakan.
  
  45.   Sebenarnya Kerajaan berupaya untuk membentuk dasar
  baru.   Kerajaan boleh memilih untuk menggubalnya secara
  sendiri  tanpa berunding dengan  mana-mana  pihak  lain.
  Tetapi  itu  bukanlah cara Kerajaan yang ada.   Kerajaan
  ini  ingin  memberi  peluang kepada  semua  pihak  untuk
  memberi  sumbangan  dalam menentukan masa  depan  negara
  kerana   Kerajaan   percaya  semua  lapisan   masyarakat
  mempunyai hak.  Mudah-mudahan dengan sumbangan  tersebut
  kita  dapat  membina satu bangsa dan  satu  negara  yang
  gemilang,  yang  dihormati  dan  dikenali  oleh   dunia.
  Mereka  yang berani, berjiwa besar dan berwawasan  tentu
  akan  menyahut cabaran ini.  Sebaliknya, yang berfikiran
  sempit  akan  lari dan hanya bertempik di  belakang  dan
  berlindung di sebalik lalang sehelai.  Adakah  itu  akan
  mendatangkan  apa-apa faedah atau akan  membawa  apa-apa
  perubahan?
  
  
  46.   Majlis  ini  menyediakan forum untuk  ahli-ahlinya
   bertukar  fikiran dan pendapat.  Sekiranya ada  cadangan
  untuk membuat perubahan atau reformasi, inilah masa  dan
  tempatnya  untuk ide-ide itu diketengahkan supaya  dapat
  dibahas,  dipertimbang dan dihalusi  oleh  semua  pihak.
  Tidak  guna  jika  ada  ide  tetapi dilaung-laungkan  di
  tempat-tempat  yang tidak sesuai -- di  jalan-jalan,  di
  kedai  kopi,  di tempat beribadah atau di  rumah  sakit.
  Cara  sedemikian  tidak memberi manfaat  kerana  kualiti
  ide  itu  sendiri tidak dapat diuji, tidak diperdebatkan
  secara  rasional  atau dibahaskan untuk penerimaan  oleh
  semua  lapisan  masyarakat.   Saya  yakin  ide-ide  yang
  bernas  dan tahan diuji akan diterima oleh Majlis kerana
  ahli-ahli  Majlis sendiri bukanlah calang-calang  orang.
  Mereka  telah  diberi  mandat untuk menggubal  arahtuju,
  teras  dan  dasar baru untuk membawa kita ke  alaf  baru
  yang  penuh  cabaran.  Liku perjuangan kita  masih  jauh
  dan  jalan  yang ingin dirintis bukanlah  dialas  bunga-
  bungaan.   Ianya dipenuhi ranjau dan duri.   Kita  perlu
   penuh  bersedia  untuk  mara  dan  sampai  ke  hujungnya
  sebagai wira dengan kejayaan sejati.
  
  47.    Saya   ingin  mengambil  kesempatan   ini   untuk
  mengucapkan tahniah kepada ahli-ahli yang telah  dipilih
  untuk  menganggotai MAPEN II serta merakamkan  setinggi-
  tinggi  penghargaan  di  atas kesudian  mereka  menerima
  jemputan  Kerajaan. Seramai 155 ahli telah dilantik  dan
  kesudian  tuan-tuan  dan puan-puan  menganggotai  Majlis
  ini  membuktikan  keprihatinan serta rasa  tanggungjawab
  tuan-tuan dan puan-puan ke atas nasib masa depan  bangsa
  dan negara kita terutama sekali di dalam alaf baru.
  
  48.   Saya  juga  dengan sukacitanya  ingin  mengumumkan
  bahawa  Kerajaan telah bersetuju supaya  Y.Bhg  Tan  Sri
  Dato'  Seri Ahmad Sarji bin Abdul Hamid dilantik sebagai
  Pengerusi MAPEN II. Saya yakin dengan pengalaman  beliau
  yang  luas  dan  pengetahuan yang mendalam  beliau  akan
  dapat melaksanakan tanggungjawab ini dengan berkesan.
  
  49.   Saya berharap ahli-ahli MAPEN  dapat membuat  syor
   yang   bernas   dan  'futuristic'  yang  terus   relevan
  sepanjang  tempoh pelaksanaan dasar baru.    Kita  tidak
  dapat  menyisihkan  diri daripada perubahan  semasa  dan
  cabaran  masa  hadapan.  Kita harus  mengambil  langkah-
  langkah  yang lebih agresif dan strategik untuk mencapai
  hasrat  pembangunan  negara dalam  konteks  globalisasi.
  Kita   perlu  mewujudkan  satu  'mindset'  yang  sanggup
  menerokai   dan  memperluaskan  kemampuan  kita   keluar
  daripada  paradigma yang sedia ada.    Sikap  sedemikian
  akan   memberanikan  kita  memasuki  bidang-bidang  yang
  dahulu dianggap sebagai di luar kemampuan kita.
  
  Penutup
  
  50.   Hasrat  Kerajaan menubuhkan MAPEN  II  ini  adalah
  untuk   memberi  peluang  kepada  masyarakat   memainkan
  peranan  dengan  lebih  bermakna dalam  menentukan  masa
  depan  dan  nasib negara. Saya harap matlamat mengadakan
  MAPEN  II ini akan tercapai.  Di masa yang sama  Wawasan
  2020 juga akan tercapai.
  
  51.   Sekali lagi, bagi pihak Kerajaan, saya mengucapkan
   terima  kasih  kepada semua ahli MAPEN  II  kerana  sudi
  menerima  jemputan  Kerajaan.  Saya harap,  perbincangan
  Majlis  ini  akan berjalan lancar dan menghasilkan  ide-
  ide  bernas  serta  membawa kejayaan  dalam  usaha  kita
  bersama-sama membentuk masa depan negara.
  
  52.       Dengan     ini,     saya     dengan      lafaz
  Bismillahirrahmanirrahim dengan sukacitanya  melancarkan
  Majlis   Perundingan   Ekonomi   Negara   Kedua   dengan
  rasminya.
  
  
 

 



 
Google