home Speechs in the year 2003 2002 2001 2000 1999 1998 1997 1996 1995 1994 1993 1992 1991 1990 --> |
Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD Tempat/Venue : CHINA WORLD HOTEL, BEIJING THE PEOPLE'S REPUBLIC OF CHINA Tarikh/Date : 19/08/99 Tajuk/Title : MAJLIS MALAM PERSAHABATAN MERAIKAN ULANGTAHUN KE-25 PENUBUHAN HUBUNGAN DIPLOMATIK DI ANTARA MALAYSIA DAN CHINA Saya ucapkan terima kasih kepada Persatuan Persahabatan Malaysia-China dan Persatuan Persahabatan Rakyat China dengan negara-negara luar kerana menjemput saya dan isteri ke majlis ini sempena menyambut ulangtahun ke-25 penubuhan hubungan diplomatik di antara Malaysia dan China. 2. Ulangtahun ke-25 penubuhan hubungan diplomatik di antara Malaysia dan China adalah satu peristiwa bersejarah bagi kedua-dua negara dan saya serta isteri saya berasa sangat gembira kerana dapat ikut serta bersama tuan-tuan dan puan-puan semua menyambut majlis yang meriah ini. Kami juga berasa bangga dan bertuah kerana dapat sekali lagi datang ke Beijing, sebuah ibukota yang menarik dan penuh bersejarah. 3. Hubungan Diplomatik di antara Malaysia dan China hanya baru berusia 25 tahun. Tetapi sesungguhnya, hubungan yang aktif di kalangan rakyat kedua-dua negara kita sudah bermula sejak lebih 600 tahun dahulu. Malah ada ahli sejarah yang mendakwa hubungan di antara rakyat kita telah wujud lebih dari 2000 tahun yang lalu. Bagi rakyat Malaysia, nama-nama seperti Utusan Yin Ching, Laksamana Ching Ho dan Puteri Hang Li Po adalah nama-nama yang telah menjadi sebutan ramai rakyat Malaysia yang terkenal yang mempunyai kaitan rapat dengan sejarah awal Melaka. Kesan perhubungan dan interaksi di antara rakyat kedua-dua negara kita pada masa tersebut masih boleh dilihat hari ini di Malaysia terutamanya di dalam makanan, pakaian dan seni bina. Malangnya hubungan erat negeri-negeri Melayu dengan negara China telah merosot semasa Malaysia di jajah oleh kuasa-kuasa Eropah yang menyebabkan negara di Eropah menjadi tumpuan rakyat negeri-negeri Melayu. 4. Hari ini, saya amat berbangga melihat kemajuan yang menakjubkan di dalam perkembangan persahabatan dan kerjasama di antara Malaysia dan China di dalam jangkamasa 25 tahun ini. Dalam waktu yang agak singkat ini, hubungan dua hala kita telah dipulih dengan baik dan menjadi matang. Sememangnya penjalinan hubungan yang baik ini bukanlah sesuatu yang dicapai dengan mudah. Di samping kekangan yang telah dikenakan melalui pengalaman kolonial kita masing-masing, hubungan kita telah turut terganggu oleh wujudnya perang dingin. Maka, bila kita mengimbas kembali, kita tidak boleh mengenepikan, malah kita harus menghargai kecekalan dan usaha pemimpin-pemimpin kita yang dahulu seperti Allahyarham Tun Abdul Razak, bekas Perdana Menteri Malaysia, Mendiang Pengerusi Mao Tze Tung, dan Mendiang Perdana Menteri Chao En Lai yang mempunyai matlamat dan semangat untuk menjalinkan semula hubungan di antara kedua-dua negara kita pada tahun 1974. 5. Walaupun kita sudah memperolehi kemajuan yang pesat sepanjang 25 tahun, saya percaya kita boleh mencapai lebih banyak lagi di masa hadapan. Dalam masa 25 tahun yang lalu, hubungan dan kerjasama di antara kedua-dua negara kita sudah menjadi kukuh dan dipelbagaikan. Manakala pada peringkat awal hubungan kita, kerjasama di antara Malaysia dan China lebih banyak terhad kepada perdagangan sahaja tetapi sekarang ianya merangkumi pelaburan, pendidikan, pelancongan dan perkhidmatan udara. Baru-baru ini, Menteri Luar Malaysia dan China telah menandatangani 'Kenyataan Bersama untuk rangka kerjasama dua hal di masa hadapan' pada 31 Mei 1999. Ianya akan membawa kita kepada bidang kerjasama yang lebih luas dalam masa kita menuju ke alaf yang baru. 6. Penghargaan untuk pengukuhan hubungan secara menyeluruh di antara kedua-dua negara juga harus diberikan kepada rakyat Malaysia dan China. Saya ingin menyatakan syabas kepada Persatuan Persahabatan dari kedua-dua negara, di atas sumbangan dan peranan penting yang mereka mainkan dalam memupuk hubungan yang rapat dan menjalinkan persefahaman di antara rakyat Malaysia dan China. Peranan Persatuan ini turut membantu usaha- usaha Kerajaan dalam mempromosikan persefahaman yang lebih baik dan kerjasama di antara Malaysia dan China. Saya ingin menggesa kedua-dua Persatuan supaya meningkatkan lagi program-program pertukaran dua hala dan lawatan-lawatan. Interaksi dan hubungan yang terbina daripada program sebegini dan juga lawatan- lawatan akan membantu kita memahami antara satu sama lain dengan lebih baik serta menghargai budaya dan aspirasi masing-masing. Menurut ajaran Conficius, 'manusia dirapatkan di antara satu sama lain melalui sifat semulajadi yang di kongsi bersama tetapi tabiat dan adat memisahkan mereka'. Oleh itu, kita harus menyesuaikan tabiat dan adat supaya tidak memisahan kita tetapi menolong merapatkan kita. Adalah penting PPMC bergerak senada dan seimbang dengan pencapaian dan kemajuan perhubungan antara Malaysia dan China. 7. Tahun ini bukan sahaja bersejarah daripada segi hubungan Malaysia dan China tetapi ia juga bersejarah bagi negara China. Dalam beberapa bulan lagi, Kerajaan China dan rakyatnya akan menyambut ulang tahun ke-50 penubuhan Republik Rakyat China. Di sini saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan tahniah kepada Kerajaan dan rakyat China bersempena dengan ulangtahun ini. Pencapaian China sepanjang 50 tahun ini sungguh mengkagumkan. Saya yakin 50 tahun yang akan daang akan menjadi satu era yang lebih berdaya maju dan makmur bagi negara China. Pemulangan Macau kepada China di akhir tahun ini juga akan menjadi satu lagi tanda penting kepada rakyat China. Penamatan penjajahan di Macau bukan sahaja menandakan pelupusan pemerintahan asing di China tetapi juga di seluruh Asia. 8. Sebelum saya mengakhiri ucapan saya ini, sekali lagi saya ingin mengucap tahniah dan menyatakan rasa terima kasih saya kepada Persatuan Malaysia-China dan kepada Persatuan Persahabatan Rakyat China dengan negara-negara luar kerana telah menganjurkan majlis jamuan makan pada malam ini dan di atas segala usaha yang telah diberikan dalam mempromosi persahabatan yang lebih akrab di antara Malaysia dan China serta rakyatnya. |