home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
Oleh/By		:	DATO' SERI DR. 
			MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	MELALUI RADIO DAN 
			TELEVISYEN MALAYSIA 
Tarikh/Date 	: 	30/08/99 
Tajuk/Title  	: 	SEMPENA SAMBUTAN HARI KEBANGSAAN 
			NEGARA YANG KE-42 

     
  
       Pada  31  Ogos  tahun ini kita akan merayakan  hari
  kebangsaan  kita buat kali terakhir bagi abad  dan  alaf
  ini.   Penghujung  atau permulaan abad atau  alaf  tidak
  akan   mendatangkan  sesuatu  yang   luar   biasa   atau
  mengejutkan  hanya  kerana ia  menjadi  satu  hari  yang
  istimewa   dalam   perkiraan  masa.   Tetapi   permulaan
  sesuatu  abad  dan alaf amat sesuai bagi  kita  merenung
  akan  keadaan kita sekarang, akan kecapaian kita di masa
  lepas dan arahtuju serta matlamat kita di masa hadapan.
   
  2.    Kita adalah daripada bangsa dan negara yang  biasa
  dijajah.   Selama  450 tahun bahagian-bahagian  daripada
  negeri-negeri Melayu di Semenanjung, Sarawak  dan  Sabah
  telah dijajah.  Penjajahan amat menghinakan kerana  kita
  tidak  dianggap  sebagai manusia setaraf oleh  penjajah.
  Mereka  memandang  kita  sebagai  orang  takluk  mereka,
  orang yang diletak di bawah perintah mereka, orang  yang
  hanya layak menjadi suruhan mereka.
  
  3.    Kita tidak berhak ke atas nasib kaum bangsa  kita,
  nasib  negara  kita.   Segala-galanya  ditentukan   oleh
  mereka,  oleh mereka yang berada di negara mereka,  oleh
  mereka  yang  ditugaskan di negara kita.   Tiap  seorang
  daripada  mereka sama ada tinggi atau rendah  pangkatnya
  lebih  berhak dan berkuasa daripada kita di negara  kita
  sendiri.   Kita  hanya  berhak mengikut  arahan  mereka,
  sama ada baik atau buruk bagi kita.
  
  4.    Mereka  adalah 'Tuan' kita dan kita  adalah  hamba
  mereka.   Tidak  ada  konsep  hak  asasi  manusia   yang
   diperkatakan  oleh  mereka.  Hak  asasi  hanyalah  untuk
  mereka  dan bukan untuk orang takluk mereka.  Tidak  ada
  badan  bukan  Kerajaan di kalangan mereka yang  prihatin
  dan  berjuang  untuk hak asasi bagi  kita.   Kita  bukan
  manusia yang berhak.
  
  5.     Kekayaan  negara  kita  juga  bukan   hak   kita.
  Kekayaan  kita hanyalah untuk mereka kaut  untuk  dibawa
  ke  negara  mereka  dimana  kekayaan  itu  diguna  untuk
  mendirikan   kota-kota   yang   besar,   bangunan   yang
  tersergam indah dan mengkagumkan.  Tidak ada siapa  yang
  menegur  akan  penganiayaan  warga  jajahan  takluk  dan
  pembaziran wang mereka untuk kebesaran negara penjajah.
  
  6.    Pembangunan jajahan takluk diadakan juga tetapi ia
  hanyalah  untuk  memudahkan penjajah mengeluarkan  hasil
  dan  kekayaan  negara yang ditakluki. Untuk  tujuan  ini
  mereka   yang  dijajah  diberi  sedikit  latihan  supaya
  mengurangkan  kos  pentadbiran  dan  pengeluaran  hasil.
  Maka   dibinalah  jalan-jalan  kecil  serta   disediakan
   bekalan  air  dan  elektrik  di  tempat-tempat  tertentu
  untuk   menjadikan  kehidupan  anggota  penjajah   lebih
  selesa.
  
  7.    Rakyat wilayah yang dijajah diberi pelajaran  yang
  hanya  cukup  untuk membantu eksploitasi  negara  mereka
  oleh  penjajah.   Sejarah penjajahan  dengan  penindasan
  dan   kehinaannya  tidak  dibukukan  dan  diajar  kepada
  mereka  yang  diberi  peluang  ke  sekolah.   Dan  minda
  pelajar dikuasai sepenuhnya sehingga mereka tidak  dapat
  berfikir  sendiri melainkan apa yang telah  difikir  dan
  diajar  oleh  penjajah mereka.  Demikianlah  berkesannya
  penguasaan   pemikiran  rakyat  yang  dijajah   sehingga
  mereka menerima kelebihan penjajah sebagai sesuatu  yang
  tidak  boleh  dipertikaikan. Segala-gala yang  ada  atau
  yang  dilakukan oleh penjajah adalah lebih baik daripada
  apa sahaja hasil usaha atau pemikiran diri sendiri.   Di
  peringkat  ini  penjajahan sudah menjadi menyeluruh  dan
  terserap  ke dalam budaya secara berkekalan.  Sebab  itu
   kemerdekaan juga tidak dapat mengikis sepenuhnya  budaya
  kehinaan  diri dan keagungan bangsa penjajah di kalangan
  bangsa  yang  pernah  dijajah.  Tabiat  mengabdi  kepada
  pemikiran penjajah biasanya berterusan.
  
  8.    Hanya sebilangan kecil sahaja daripada mereka yang
  dijajah  yang menyedari akan kehinaan status mereka  dan
  mencari  jalan untuk membebaskan diri.  Di negeri-negeri
  Melayu,  jika  tidak  kerana penjajah  Barat  ditewaskan
  oleh  Jepun, kepercayaan kepada kebesaran penjajah Barat
  tetap  akan  kekal.   Kekalahan  British  membuka   mata
  rakyat negeri-negeri Melayu bahawa penjajah Barat  tidak
  gagah  dan  cekap seperti yang mereka percayai.   Dengan
  itu  kumpulan yang kecil menuntut kebebasan bagi negeri-
  negeri Melayu.
  
  9.    Perjuangan untuk mencapai kemerdekaan bagi negeri-
  negeri Melayu dan Selat tidak melibatkan peperangan  dan
  korban  nyawa  oleh puak nasionalis.  Ini adalah  kerana
  mereka  cekap  menyusun politik mereka  supaya  penjajah
   tidak    mempunyai   alasan   untuk   menolak   tuntutan
  kemerdekaan mereka.
  
  10.   Memandangkan British berpendapat jika  kemerdekaan
  diserah  kepada  Raja-Raja Melayu yang berkuasa  sebelum
  Tanah  Melayu dijajah, kemungkinan kononnya orang Melayu
  akan  menindas  kaum-kaum lain,  maka  pemimpin-pemimpin
  Melayu  telah  menjalinkan kerjasama  yang  unik  dengan
  orang  Cina  dan  India.  Pemimpin-pemimpin  ketiga-tiga
  kaum   ini  kemudian  memilih  sistem  demokrasi   untuk
  pemerintahan  Tanah  Melayu yang  merdeka.   Dengan  itu
  British  tidak  mempunyai alasan untuk tidak  melepaskan
  Tanah  Melayu  daripada penjajahan  mereka.   Peperangan
  atau  pemberontakan tidak perlu bagi  kemerdekaan  Tanah
  Melayu   kerana  kebijaksanaan  politik   penduduk   dan
  pemimpin-pemimpinnya.
  
  11.    Walaupun  terdapat  beberapa  daripada   pemimpin
  Malaysia  yang merdeka yang berpengalaman  dalam  bidang
  pentadbiran,   tetapi   mereka   tidak   pernah   diberi
  tanggungjawab  yang  penuh oleh pihak  British.   Mereka
   hanya    memegang   jawatan   yang   rendah.     Apabila
  kemerdekaan    dicapai    tiba-tiba    mereka     diberi
  tanggungjawab yang amat berat iaitu mengambilalih  semua
  jawatan   dalam  jentera  pentadbiran  dan  pemerintahan
  sebuah  Negara yang merdeka dan demokratik.   Kebanyakan
  daripada    pemimpin   negara-negara    yang    mencapai
  kemerdekaan  gagal  mengawal  nafsu  dan  mendisiplinkan
  diri.   Mereka  menyalahgunakan kuasa dan  menghancurkan
  ekonomi.
  
  12.   Tetapi  pemimpin Malaysia memberi  perhatian  yang
  penuh   kepada  pengisian  kemerdekaan  dan  pembentukan
  jentera  pentadbiran tempatan yang mampu  merealisasikan
  impian  rakyat.   Kesalahan dasar  pentadbiran  penjajah
  dibetulkan   dengan   serta-merta.    Bukan   keselesaan
  pemimpin yang diutamakan tetapi pembangunan rakyat  yang
  terpinggir  dahulu  yang diberi keutamaan.   Dengan  itu
  kawasan  luar bandar dibekalkan dengan segala  kemudahan
  seperti jalan, klinik, sekolah dan lain-lain.
   
  13.   Rakyat  yang  tidak  ada punca  pendapatan  diberi
  tanah  untuk projek-projek pertanian.  Kemudian  apabila
  tidak   ada   lagi   tanah  untuk  diterokai,   industri
  pembuatan   diperkenalkan   untuk   mewujudkan   peluang
  pekerjaan bagi rakyat yang menganggur.
  
  14.   Dari sebuah negara pertanian pemerintahan Malaysia
  yang  merdeka  berjaya mengalih kepada  negara  industri
  yang  memberi  bukan sahaja peluang kepada  pekerja  dan
  menaikkan   pendapatan  mereka  tetapi  juga  mencungkil
  bakat  yang  sesuai  untuk dimajukan  sebagai  pengusaha
  kecil,  sederhana  dan  akhirnya pengusaha  dan  peniaga
  besar.   Mereka  ini muncul daripada semua  kaum  tetapi
  kaum Bumiputera masih ketinggalan.
  
  15.   Memandangkan ketidakseimbangan pembangunan  antara
  kaum,  dan dengan pengajaran daripada peristiwa  13  Mei
  1969,  Kerajaan  Malaysia merdeka telah  mencipta  Dasar
  Ekonomi Baru untuk menyusun semula peranan ekonomi kaum-
  kaum  supaya  mereka  tidak dipisah kerana  jenis  kerja
   mereka  dan  juga untuk membasmi kemiskinan di  kalangan
  semua kaum.
  
  16.   Dasar  ini  dilaksanakan dengan  jayanya  walaupun
  tidak sepenuhnya.
  
  17.   Apabila  Dasar  Ekonomi Baru  (DEB)  tamat,  usaha
  mengimbangkan  pembangunan kaum diteruskan  dalam  Dasar
  Pembangunan  Negara  (DPN).   Bijaknya  dasar-dasar  ini
  diperlihatkan  apabila  kegawatan  ekonomi  berlaku  dan
  kaum  Bumiputera  tidak merusuh dan menyerang  kaum-kaum
  lain.  Sebaliknya semasa kegawatan ekonomi keadaan terus
  tenang  dan ini membolehkan Kerajaan Malaysia  membentuk
  dasar  dan  pendekatan  bagi memulihkan  ekonomi,  tanpa
  meminta   pertolongan   daripada   agensi   antarabangsa
  seperti  Dana Wang Antarabangsa (IMF) yang  sudah  tentu
  akan  mensyaratkan supaya dasar-dasar  seperti  DEB  dan
  DPN digugurkan.
  
  18.   Dasar-dasar kita mampu mengatasi masalah perkauman
  tanpa    menjejaskan   pembangunan   negara.     Setelah
  mengatasi  kemelesetan pada tahun-tahun  lapan  puluhan,
   ekonomi  kita  tumbuh  dengan  pesatnya  sepuluh   tahun
  berturut-turut. Ramalan yang dibuat ialah  ekonomi  akan
  terus  tumbuh  pada paras yang tinggi dan  Wawasan  2020
  akan  tercapai.  Tidak ada masalah sosial  atau  politik
  yang    akan   mengganggu   ketenteraman   negara    dan
  pertumbuhan ekonominya.
  
  19.   Malangnya pada Julai 1997 pedagang matawang  telah
  menyerang  Ringgit kita sehingga nilainya  jatuh  hampir
  100  peratus  iaitu  pada  satu ketika  daripada  RM2.50
  kepada  RM4.80  bagi satu Dolar Amerika.   Ini  bermakna
  semua  barangan  import  naik harga  dan  akan  disusuli
  kemudian dengan inflasi yang tinggi.
  
  20.   Di  masa yang sama serangan dibuat ke atas pasaran
  saham  kita sehingga modal pasaran yang berjumlah  RM800
  bilion  susut  menjadi  kurang  daripada  RM300  bilion.
  Dengan  itu syarikat-syarikat dan bank-bank kita  hampir
  bankrap.  Perniagaan tidak dapat diteruskan kerana  bank
  tidak  dapat memberi pinjaman dan faedah terlalu tinggi.
   Jika   perniagaan   tidak  berjalan   dan   dengan   itu
  keuntungan  tidak diperolehi Kerajaan  juga  tidak  akan
  dapat memungut cukai. Kerajaan tidak akan ada wang  yang
  cukup untuk membiayai kos pentadbiran dan pembangunan.
  
  21.   Hanya  yang akan dapat dibuat oleh Kerajaan  ialah
  berhutang  daripada  IMF.  Dan jika IMF  memberi  hutang
  maka  syarat-syarat akan dipaksa ke atas Kerajaan supaya
  menghapuskan  DEB  dan DPN serta segala  subsidi  kepada
  rakyat.   Dengan  itu kepincangan yang terdapat  sebelum
  DEB,  kepincangan yang menyebabkan rusuhan kaum  berlaku
  pada  tahun  1969  akan  kembali.   Lebih  daripada  itu
  ekonomi  akan  dikuasai sepenuhnya oleh  IMF  dan  kuasa
  besar  yang  ada  dibelakangnya.   Ekonomi  negara  akan
  dibuka luas supaya orang asing dengan syarikat dan  bank
  gergasi  mereka  akan dapat masuk ke  dalam  negara  dan
  akan  mengambilalih semua perniagaan.   Rakyat  Malaysia
  tidak  akan memiliki apa-apa perniagaan yang  besar  dan
  menguntungkan, tetapi hanya boleh menjadi pekerja  dalam
   syarikat-syarikat asing.
  
  22.   Apabila  ekonomi sudah dikuasai oleh orang  asing,
  tidak   dapat  tidak  mereka  akan  campur  tangan   dan
  menguasai  politik juga.  Kita sudah lihat bagaimana  di
  negara-negara  dimana mereka menguasai  ekonomi,  mereka
  dapat  menjatuhkan  Kerajaan  dan  juga  menukar  sistem
  Kerajaan. Mereka dan media mereka akan menentukan  siapa
  yang  menjadi pemimpin negara.  Sudah tentu mereka  akan
  memilih  orang  yang  sedia tunduk kepada  mereka,  yang
  sanggup menjadi boneka mereka.
  
  23.    Memandangkan   akan  kemungkinan   ini   Kerajaan
  Malaysia  tidak  bersedia untuk meminjam  daripada  IMF,
  walaupun  tekanan  ke atas matawang  dan  pasaran  saham
  diteruskan.  Kerajaan  mengkaji  segala  kelemahan   dan
  kekuatan  negara kita.  Seperkara yang menjadi  kekuatan
  utama  negara  ialah  ketenteraman  di  kalangan  rakyat
  Malaysia  dan sokongan kuat yang diberikan oleh majoriti
  terbesar rakyat kepada Kerajaan.
  
  24.    Dengan  kekuatan  ini  Kerajaan  dapat   mencipta
   pendekatan yang boleh mengembalikan balik kuasa ke  atas
  matawang  Ringgit  kita dan ke atas pasaran  saham  kita
  supaya  tidak  lagi  dapat  dimanipulasikan  oleh  orang
  asing.
  
  25.   Kawalan nilai matawang dan pengaliran  modal  oleh
  Malaysia  dikecam  hebat  oleh  hampir  seluruh   dunia.
  Pakar-pakar  ekonomi  dan  kewangan  serta  media  asing
  meramalkan bahawa ekonomi Malaysia akan runtuh dan huru-
  hara  akan  berlaku.   Kerajaan akan  ditumbangkan  oleh
  rakyat  dan  akhirnya  Malaysia  akan  terpaksa  meminta
  pertolongan IMF dan menerima syarat-syaratnya juga.
  
  26.   Malang  bagi Malaysia pada saat yang  genting  ini
  Timbalan  Perdana  Menteri  terpaksa  disingkir  apabila
  didapati  moralnya tidak sesuai untuk  menjadi  pemimpin
  negara.  Ramai sudah Menteri-Menteri, Menteri Besar  dan
  Ketua  Menteri yang disingkir atau digugur  di  Malaysia
  tanpa  menimbulkan  apa-apa  masalah.   Memanglah  dalam
  sistem  demokrasi  penyingkiran Menteri  adalah  perkara
   biasa.   Tetapi Dato' Seri Anwar tidak sanggup  menerima
  penyingkirannya.  Dengan menuduh bahawa  penyingkirannya
  disebabkan oleh satu pakatan untuk menyekatnya  daripada
  menjadi Perdana Menteri, beliau melancarkan satu  kempen
  politik  untuk  membela  diri dan sekaligus  menjatuhkan
  Kerajaan.
  
  27.    Rapat  umum  secara  besar-besaran  diadakan   di
  seluruh  negara.   Walaupun  rapat  umum  ini  kerapkali
  tidak  mendapat kebenaran seperti yang dikehendaki  oleh
  undang-undang, polis tidak menghalangnya.
  
  28.    Memandangkan   polis  tidak   melakukan   apa-apa
  kekejaman  yang boleh menyebabkan kemarahan  rakyat  dan
  kritik  daripada  media  dan negara  asing,  Dato'  Seri
  Anwar  telah  menyuruh  penyokongnya  merusuh  di  Kuala
  Lumpur.   Walaupun tunjuk perasaan menjadi lebih  ganas,
  pihak   polis   cuba   mengelak   daripada   menggunakan
  kekerasan  dalam mengawal keselamatan.   Tetapi  apabila
  rusuhan  menjadi lebih serius, Dato' Seri Anwar terpaksa
   dimasukkan   ke   dalam   tahanan.    Kemudian    beliau
  dihadapkan  ke  mahkamah  atas  tuduhan  menyalahgunakan
  kuasa dan lain-lain.
  
  29.   Penyokongnya terus merusuh.  Walaupun pada mulanya
  bilangan   perusuh   adalah  besar   dan   media   asing
  meramalkan bahawa Kerajaan akan ditumbangkan, ini  tidak
  berlaku. Ketenteraman kembali semula dan Kerajaan  dapat
  menumpukan  segala  usaha  dan tenaga  untuk  memulihkan
  ekonomi.
  
  30.   Selain  daripada  kawalan  ke  atas  matawang  dan
  aliran  modal,  Kerajaan telah mengambil  bermacam-macam
  tindakan  untuk  menentukan  ekonomi  dipulihkan  dengan
  segera. Agensi tertentu ditubuh untuk memulihkan  hutang
  bank  oleh  syarikat  dan menambah  modal  bank,  faedah
  diturunkan  dan  jumlah  wang  untuk  pinjaman  ditambah
  melalui  beberapa  peruntukan  pengurusan  Bank  Negara,
  kempen  penjualan hartanah dan barangan diadakan  dengan
  galakan  tertentu, pendapatan kakitangan ditambah  untuk
  menaikkan  jualan  runcit,  projek  infrastruktur   yang
   telah  dihentikan diteruskan semula dan  langkah-langkah
  lain  diambil.   Majlis Tindakan Ekonomi  Negara  (MTEN)
  menyemak   semua   data  ekonomi   setiap   hari   untuk
  mengetahui  kedudukan  tiap-tiap  sektor  dan  tindakan-
  tindakan yang perlu diambil supaya ekonomi pulih.
  
  31.   Lebihan  dagangan meningkat kerana tumpuan  diberi
  kepada   pengurangan  import  yang   tidak   perlu   dan
  pertambahan   eksport   negara.   Penggunaan   pelabuhan
  tempatan  ditingkatkan supaya proses import dan  eksport
  menyumbang kepada pendapatan negara.
  
  32.   Oleh  kerana pendekatan yang dicipta  sendiri  dan
  usaha-usaha  yang  dibuat, walaupun  dunia  tidak  fikir
  kawalan  kita  akan berhasil; walaupun percubaan  dibuat
  untuk  menggugat  kestabilan  politik;  walaupun  agensi
  penarafan  menyekat  penjualan bon Malaysia  di  pasaran
  dunia, namun ekonomi Malaysia dapat dipulihkan juga.
  
  33.   Hari ini semakin ramai pakar asing mengakui mereka
  salah   apabila  mereka  meramalkan  kawalan   ke   atas
   matawang   dan   pengaliran  modal  akan   menghancurkan
  ekonomi  Malaysia. Mereka akui bahawa  ekonomi  Malaysia
  sudah  pulih dengan kuatnya, lebih kuat daripada negara-
  negara    yang   mendapat   bantuan   daripada    agensi
  antarabangsa   dan   yang   mengikut   cara-cara    yang
  dinasihatkan oleh agensi ini.
  
  34.   Semasa  kegawatan  ekonomi, kewangan  dan  politik
  melanda  kita,  kawan  dan bukan kawan  dapat  dikenali.
  Ada  negara  yang menolong secara ikhlas  tanpa  syarat.
  Ada  yang  ingin menggunakan masalah kita  untuk  meraih
  sesuatu  bagi  mereka.   Ada yang menekan  kita  apabila
  kita jatuh.
  
  35.     Pengalaman   kita   semasa   kegawatan   menjadi
  pengajaran  kepada  kita.   Dan  pengajaran   ini   akan
  menolong  kita  menghadapi cabaran abad ke-21  dan  alaf
  baru.
  
  36.   Kita  sudah  pun  masuk zaman teknologi  maklumat.
  Sedikit  sebanyak kita sudah kenali perubahan pemikiran,
  ideologi  dan  nilai universal yang telah  dicipta  oleh
   Barat  untuk  dunia.   Sebenarnya  kegawatan  yang  kita
  alami  adalah  sebahagian daripada  kesan  konsep  dunia
  tanpa  sempadan  dan globalisasi ciptaan  Barat  susulan
  daripada  perkembangan teknologi maklumat.   Kita  tidak
  lagi  dapat bersembunyi di belakang sempadan kita  untuk
  menyelamatkan  diri.   Tanpa angkatan  perang  melintasi
  perbatasan, kita boleh diserang hanya dengan  menghantar
  maklumat   dan  data  melalui  sistem  komunikasi   yang
  canggih yang telah dicipta.
  
  37.   Serangan  ke  atas matawang kita tidak  memerlukan
  wang  tunai  kita  dibawa keluar  untuk  dijual.   Hanya
  dengan  menekan butang komputer berbilion ringgit  boleh
  mengalir   keluar  daripada  negara  untuk  dijual   dan
  dibeli,  dinaik  dan  diturun nilainya.   Yang  bergerak
  melintasi   sempadan  hanyalah  angka  dalam   komputer,
  tetapi  mengikut  sistem kewangan antarabangsa,  gerakan
  itu  adalah  'real' atau benar.  Apabila angka  bertukar
  di  skrin komputer wang kita bergerak.  Jika ia bergerak
   keluar  daripada  negara kita, kita  jadi  miskin  iaitu
  duit  dalam  bank kita akan berkurangan  sehingga  sukar
  dipinjam untuk perniagaan.
  
  38.   Apabila duit dalam komputer diniagakan, kita  akan
  rasai   kesan  daripada  perniagaannya.   Jika  nilainya
  diturunkan  negara kita menjadi lebih  miskin,  walaupun
  tidak  sesen  pun  wang  tunai yang  dibawa  keluar  dan
  dijual  oleh  pedagang matawang.  Sempadan  sudah  tidak
  menjadi   benteng   lagi   untuk   kita   lindungi   dan
  pertahankan kewangan serta kekayaan kita.
  
  39.    Apabila  kita  miskin  kerana  kegiatan  pedagang
  matawang  dan pelabur jangka pendek maka kita sebenarnya
  tertewas   sama   seperti   pasukan   pertahanan    kita
  ditewaskan.  Kemudian mereka akan memasuki  negara  kita
  untuk  mengambilalih ekonomi dan menguasai politik kita.
  Kemerdekaan sudah tidak bermakna lagi.
  
  40.   Kuasa  asing dan media mereka tetap akan menafikan
  yang  mereka  menjajah sesiapa dan ramai  daripada  kita
   yang   tidak  percaya  akan  diri  sendiri  akan   turut
  mempercayai  mereka.   Tetapi tidak  ada  tafsiran  lain
  yang   boleh  diberi  kepada  keadaan  dimana   ekonomi,
  politik  dan  aspek-aspek kehidupan lain  dikuasai  oleh
  kuasa  asing  selain  daripada  penjajahan.   Apa   yang
  berlaku  semasa  dan setelah serangan  ke  atas  ekonomi
  kita  dibuat merupakan satu daripada bencana yang  sudah
  datang  bersama  dengan zaman maklumat dan  globalisasi.
  Jika  kita  biarkan  sahaja tafsiran globalisasi  dibuat
  oleh  kuasa Barat, bencana yang lebih buruk akan menimpa
  kita.
  
  41.   Kita  adalah  sebuah  negara  yang  kecil,  negara
  membangun  yang  lemah.   Tetapi  kita  telah   buktikan
  bahawa  dengan Kerajaan yang disokong kuat oleh majoriti
  rakyat  kita mampu mempertahankan kebebasan kita.   Kita
  telah  dapat  mengatasi  tekanan  asing  dan  memulihkan
  negara kita.
  
  42.   Tetapi percubaan akan dibuat lagi untuk  menguasai
  kita.   Falsafah,  perkataan dan ide baru  akan  dicipta
   oleh  mereka  untuk  melemahkan ketahanan  kita.   Ramai
  daripada  kita yang akan menerima logiknya ide-ide  baru
  ini  dan akan menolong menyebarkannya.  Akhirnya sesiapa
  yang  tidak menerima akan dianggap sebagai kolot,  tidak
  dapat   menyesuaikan   diri  dengan   peredaran   zaman.
  Sebelum  ini  berlaku  kita harus sedar  akan  berbagai-
  bagai kemungkinan dalam abad yang akan datang ini.
  
  43.    Globalisasi,  dunia  tanpa  sempadan  digambarkan
  sebagai   satu  nikmat  dan  proses  yang  tidak   dapat
  ditangkis.   Kononnya  ia akan memperkayakan  dunia  dan
  kita  juga bersama.  Kononnya dunia tanpa sempadan lebih
  baik daripada kebebasan mengurus negara sendiri.
  
  44.   Sementara  kita  mengakui bahawa  teknologi  sudah
  menjadikan  dunia  ini  terlalu  kecil  untuk  dibahagi-
  bahagikan  kepada  bangsa-bangsa dan negara-negara  yang
  berasingan,  apakah  hanya  tafsiran  globalisasi   yang
  dibuat  oleh  kuasa besar sahaja yang  tepat  dan  perlu
  diterima?  Apakah  globalisasi  hanya  untuk  pergerakan
   wang  dan  modal  tanpa sekatan?  Tidak adakah  taksiran
  lain   berkenaan  globalisasi?   Tidak  bolehkah  negara
  kecil  dan lemah memberi pendapat akan globalisasi jenis
  apa  yang  perlu  diterima  oleh  dunia  atau  sekurang-
  kurangnya oleh mereka yang lemah?
  
  45.   Malaysia  tidak  dapat menerima  apa  sahaja  yang
  dicampakkan  kepadanya.   Negara  berbilang   kaum   ini
  mempunyai  hak, hak yang sama dengan negara-negara  lain
  di  dunia.   Kita telah dijajah selama lebih 400  tahun.
  Kita   baru  merdeka  42  tahun  dan  kita  tidak   rela
  kebebasan  kita  dihapuskan walaupun  zaman  globalisasi
  sudah tiba.  Kita mesti pertahankan kebebasan kita.
  
  46.   Rakyat  Malaysia akan dapat mempertahankan  negara
  tercinta  ini  jika  kita faham akan  bahaya  yang  kita
  hadapi   dan  jika  kita  menguasai  segala   ilmu   dan
  kecekapan  yang diperlukan.  Bukan kekuatan  ketenteraan
  yang  akan  menyelamatkan kita.  Yang akan menyelamatkan
  kita   ialah   kesedaran,  kebolehan   mengenal   bentuk
   serangan  yang  akan  datang dan penguasaan  ilmu  serta
  kecekapan    dalam    bidang-bidang   teknologi    zaman
  komunikasi bebas ini.
  
  47.    Apabila   ide  baru  diperkenalkan  oleh   Barat,
  janganlah   kita   tergesa-gesa  menerimanya.    Sejarah
  mempunyai  banyak  contoh ide-ide yang  disebarkan  oleh
  Barat    untuk   kebaikan   masyarakat   manusia    yang
  kemudiannya  digugurkan  oleh  mereka  kerana   hasilnya
  tidak menepati ramalan yang telah dibuat.
  
  48.    Ideologi  Komunis  dan  Sosialis  adalah   antara
  ciptaan  Barat yang telah merosakkan banyak negara  yang
  mengamalkannya.   Bukanlah sesuatu  yang  mustahil  jika
  ide   seperti   demokrasi,   liberal,   pasaran   bebas,
  globalisasi  akan  digugurkan  pula.   Kita  sudah   pun
  melihat  keburukan  yang  datang  bersama  ide-ide  ini.
  Sebab  itu kita bukan sahaja perlu berhati-hati menerima
  ide  dari  Barat,  tetapi kita sepatutnya  mencipta  ide
  kita sendiri dalam usaha memperbaiki kehidupan kita.
   
  49.    Janganlah  kita  memperkecilkan  kemampuan   kita
  berfikir,  kemampuan kita mencipta ide-ide yang  bernas.
  Sebenarnya  kita tidak kurang daripada orang lain,  jika
  pun  tidak lebih baik daripada mereka.  Sebab  itu  kita
  telah    memilih    slogan   'Malaysia    Boleh'    bagi
  memperkuatkan  keyakinan  kita terhadap  kebolehan  diri
  kita sendiri.
  
  50.   Sejak  kita  terimapakai  slogan  ini  kita  telah
  menunjukkan  beberapa kebolehan kita  yang  luar  biasa.
  Dalam  bidang  politik kita boleh  jalin  hubungan  kaum
  yang  baik  dan  keadaan  politik  yang  stabil.   Dalam
  bidang  ekonomi  kita  boleh  membangunkan  negara  kita
  dengan  lebih  cepat  dan boleh juga menangkis  serangan
  ekonomi oleh orang asing.
  
  51.   Rakyat  kita boleh mendaki Gunung Everest,  terjun
  di  Khutub  Utara, berjalan dalam salji ke Khutub  Utara
  dan  baru-baru  ini  Dato' Azhar  Mansor  telah  belayar
  mengelilingi  dunia seorang diri dari  barat  ke  timur,
  satu rekod dunia.
   
  52.   Tanpa  mendabik  dada, tanpa  bermegah-megah  kita
  boleh  membangunkan  ekonomi negara  kita  dengan  tahap
  yang   tinggi  supaya  tercapailah  Wawasan  2020  untuk
  menjadikan  negara kita Malaysia sebuah negara  maju  --
  Insya-Allah.
  
  53.   Dalam sejarah biasa terjadi bangsa dan negara yang
  mundur,  tetapi  setelah menukar ganti sifat-sifat  yang
  buruk  dengan yang baik, dalam jangka masa  yang  pendek
  dapat  mencapai  kemajuan luar  biasa.   Ingatlah  semua
  negara  yang maju sekarang adalah mundur dahulu.  Mereka
  berjaya  memajukan  negara  dan  bangsa  mereka   kerana
  mereka  dapat  mengenali  apa yang  menghalang  kemajuan
  mereka dan mereka menggugurkannya.
  
  54.    Kita   semua  tahu  apa  yang  menghalang   kita.
  Tidaklah  perlu dihuraikan di sini semua  halangan  ini.
  Yang  penting  ialah  kita sanggup  melakukan  apa  yang
  diperlukan daripada kita.
  
  55.   Permulaan  abad dan alaf baru adalah  ketika  yang
  sesuai  bagi  kita merenungkan akan keadaan  kita,  akan
   kecapaian   kita  di  masa  lepas  dan  arahtuju   serta
  matlamat kita di masa hadapan.
  
  56.   Permulaan  abad dan alaf baru adalah  juga  ketika
  yang  sesuai  untuk kita semua membuat  keputusan  untuk
  menggugurkan   segala-gala   yang   tidak   baik    yang
  menghalang  kemajuan kita, dan untuk  kita  mula  secara
  serius  mengamalkan apa yang baik yang  boleh  memajukan
  kita dan negara kita ini.
  
  57.   Insya-Allah  dengan membuat resolusi  ini  apabila
  kita  menyambut  tahun, abad dan alaf  baru,  kita  akan
  jadikan   sambutan   kita  lebih  bermakna   dan   lebih
  bermanfaat kepada kita.
  
  58.  Selamat menyambut Hari Kebangsaan Malaysia yang ke-
  42.
  

 
 



 
Google