home Speechs in the year 2003 2002 2001 2000 1999 1998 1997 1996 1995 1994 1993 1992 1991 1990 --> |
Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD Tempat/Venue : ISTANA NEGARA, KUALA LUMPUR Tarikh/Date : 23/09/99 Tajuk/Title : ISTIADAT PERTABALAN SERI PADUKA BAGINDA YANG DI-PERTUAN AGONG YANG KE-11 Dengan segala hormat dan penuh takzimnya pihak Kerajaan, pegawai dan kakitangan Perkhidmatan Awam serta seluruh rakyat Malaysia mengucapkan setinggi- tinggi tahniah kepada Tuanku sempena pertabalan Tuanku sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Yang Kesebelas pada hari ini. Setinggi-tinggi tahniah juga diucapkan kepada Tuanku Siti Aishah sebagai Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong. Semoga Tuanku berdua dilanjutkan usia serta dilimpahkan rahmat dan hidayah oleh Allah Subhanu wa Ta'ala. 2. Alhamdulillah, negara kita terus berada di dalam keadaan aman, maju dan makmur. Walaupun negara telah dilanda kegawatan ekonomi sejak bulan Julai 1997 yang mendatangkan kesan negatif yang teruk terhadap pertumbuhan ekonomi negara, namun usaha dan langkah yang diambil oleh Kerajaan untuk memulihkan ekonomi negara telah menunjukkan kejayaan. Kini ekonomi negara terus mengalami pemulihan yang kukuh sementara keyakinan para pelabur termasuk para pelabur asing terus meningkat. Kerajaan yakin dengan usaha yang bersungguh-sungguh dan lebih gigih serta kerjasama semua lapisan rakyat, ekonomi negara akan dapat dipulih sepenuhnya dengan lebih awal, Insya Allah. 3. Langkah kawalan modal yang diperkenalkan pada bulan September tahun lalu telah berjaya menyekat pedagang matawang asing daripada terus menjatuhkan nilai ringgit dan menghancurkan ekonomi negara kita. Manakala, langkah-langkah lain seperti menurunkan kadar faedah pinjaman dan menambahkan kecairan di dalam sistem perbankan telah berjaya merangsang semula pertumbuhan ekonomi negara. 4. Walaupun terdapat ramalan daripada pelbagai pihak bahawa ekonomi negara akan mencapai pertumbuhan lebih tiga peratus pada tahun ini, jangkaan Kerajaan adalah konservatif iaitu pada kadar satu peratus. Kejayaan negara memulihkan ekonomi sehingga hari ini adalah juga disebabkan berkat kepercayaan dan sokongan rakyat terhadap langkah-langkah radikal yang diambil Kerajaan. 5. Sokongan padu ini membolehkan Kerajaan memberi tumpuan penuh terhadap usaha pemulihan ekonomi di samping menggalakkan pelaburan dari dalam dan luar negara. Kerajaan mahu melihat sektor swasta dapat memainkan peranan yang lebih aktif bagi meningkatkan kegiatan perniagaan dan perusahaan mereka supaya ekonomi negara dapat tumbuh semula seperti dahulu. 6. Sesungguhnya perpaduan dan persefahaman di kalangan rakyat juga semakin erat. Nyata sekali, kegawatan ekonomi telah menyedarkan rakyat tentang pentingnya mengekalkan keharmonian dan perpaduan kaum. Dasar Ekonomi Baru yang bertujuan mengagihkan kekayaan negara kepada Bumiputera dengan mengembangkan 'kek' ekonomi negara tanpa merampas hak kaum-kaum lain, telah berjaya mengelak tercetusnya pergaduhan antara kaum yang disebabkan ketidakseimbangan tahap pencapaian ekonomi. Berbanding negara lain konflik perkauman tidak wujud di negara kita. 7. Rakyat berlainan keturunan, agama, budaya, adat resam dan bahasa yang bersikap toleran dan menghormati antara satu sama lain merupakan kunci kejayaan negara yang boleh dibanggakan. Perpaduan ini merupakan faktor penting yang membolehkan Kerajaan terus menumpukan usaha membangunkan negara. 8. Dalam kita menghadapi abad dan alaf baru yang akan tiba beberapa bulan lagi, Kerajaan telah membuat banyak persediaan yang rapi agar rakyat dan negara dapat menempuhnya dengan penuh yakin dan berani. 9. Pembinaan Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan baru di Putrajaya dan kawasan pembangunan, perusahaan dan penyelidikan teknologi maklumat bertaraf dunia di Cyberjaya adalah dua strategi Kerajaan untuk memajukan pentadbiran negara dan memperlengkapkan rakyat kita dengan ilmu yang canggih bagi mengharungi alaf baru yang lebih sofistikated dan penuh cabaran serta persaingan. 10. Dalam hal agama, Kerajaan Tuanku akan terus mendokong Islam sebagai agama rasmi negara di samping menjamin kebebasan beragama bagi penganut-penganut agama lain. Kerajaan akan meneruskan usaha menerapkan nilai-nilai Islam di dalam pentadbiran negara. Setakat ini kejayaan negara di dalam menerapkan nilai-nilai Islam di dalam pentadbiran seperti memperkenalkan sistem perbankan Islam, insurans Islam dan lain-lain telah menjadi contoh dan diiktiraf oleh negara-negara Islam lain di dunia. 11. Kerajaan akan terus melindungi dan menentukan agar kesucian agama Islam tidak tercemar dan diseleweng oleh mana-mana pihak semata-mata untuk kepentingan mereka baik politik mahupun peribadi kerana ia boleh memecah-belahkan umat Islam dan melemahkan mereka. 12. Dalam hubungan luar, negara akan terus memainkan peranan aktif di dalam mempertingkatkan hubungan kerjasama dengan semua negara di dunia. Negara juga akan terus menumpukan kerjasama istimewa dengan negara- negara membangun dan meningkatkan hubungan Selatan- Selatan. Di samping itu, usaha meningkatkan aktiviti ekonomi akan diteruskan dengan rakan perdagangan tradisi menerusi penggalakkan pengaliran pelaburan asing masuk ke dalam negara. Walaupun negara adalah komited dan menyokong konsep pasaran bebas dan globalisasi, namun Kerajaan tidak akan membiarkan konsep ini disalahgunakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab untuk merosak dan menghancurkan ekonomi negara kita. 13. Sehubungan itu, Kerajaan akan terus berusaha untuk menggunakan forum antarabangsa untuk menyedarkan masyarakat dunia tentang bahaya konsep pasaran bebas dan perniagaan matawang yang tidak dikawal. 14. Sempena hari bersejarah dan mulia ini, Kerajaan serta pegawai-pegawai dan kakitangan Perkhidmatan Awam, sektor swasta dan rakyat sekelian ingin mengambil peluang ini untuk menyampaikan ikrar taat setia kepada Tuanku dan Raja Permaisuri Agong dan berdoa semoga Tuanku dapat memberi khidmat dengan penuh tanggungjawab, adil, bijaksana dan berwibawa demi kemajuan, kemakmuran dan kesejahteraan negara dan rakyat. 15. Semoga Allah Subhanu wa Ta'ala, Yang Amat Pengasih dan Penyayang melanjutkan usia Tuanku berdua dan semoga Tuanku berada di dalam keadaan sihat walafiat. |