home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
Oleh/By		: 	DATO' SERI DR. 
			MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	RADIO DAN TELEVISYEN 
			MALAYSIA (RTM) 
Tarikh/Date 	: 	31/12/99 
Tajuk/Title  	: 	SEMPENA TAHUN BARU 2000 




    
       Alhamdulillah   syukur   kita   ke   hadrat   Allah
  Subhanahu  wa  Ta'ala kerana dengan  limpah  rahmat  dan
  kurnia-Nya dapat kita sekali lagi menyambut tahun  baru,
  iaitu  tahun  2000. Tahun baru ini agak istimewa  kerana
  ia  juga menandakan permulaan abad dan alaf baru,  iaitu
  abad ke-21 dan alaf ketiga.
  
  2.    Dengan  beradanya kita di ambang tahun,  abad  dan
  alaf  baru  ini, sepatutnyalah kita renung sejenak  akan
  sejarah  negara  kita,  supaya dapat  kita  memperingati
  diri  kita dari mana kita datang, supaya dengan itu kita
  akan  dapat menentukan di mana kita berada dan  ke  mana
   kita akan pergi.
  
  3.     George  Santayana,  seorang  penulis   dan   ahli
  falsafah Barat telah berkata 'mereka yang tidak  belajar
  dari   sejarah  mereka  akan  didera  dengan  mengulangi
  kesalahan-kesalahan  mereka berkali-kali'.   Kita  sudah
  tentu  tidak  ingin mengulangi kesalahan-kesalahan  kita
  di   zaman   silam.   Oleh  itu  amatlah  penting   kita
  mempelajari daripada sejarah kita.
  
  4.    Sejarah  negara  kita daripada penulisan,  cerita-
  cerita  dan bukti-bukti arkiologi lain adalah  sepanjang
  hampir  dua  alaf.  Negeri-negeri Melayu  mula  dikenali
  lebih  daripada  800  tahun dahulu.   Negeri-negeri  ini
  merdeka  tetapi  terbahagi  kepada  negeri-negeri   yang
  kecil  dan lemah yang sering diserang oleh negara-negara
  jiran.   Hanya  kecekapan memainkan  satu  kuasa  dengan
  kuasa  lain yang mengekalkan negeri Melayu sebagai milik
  bangsa Melayu.
  
  5.    Tetapi  pada  tahun 1511 apabila Melaka  jatuh  ke
  tangan  Portugis bermulalah sejarah hitam  bagi  negeri-
   negeri Melayu.
  
  6.    Kejatuhan  Melaka memberi banyak  pengajaran  bagi
  kita.   Yang  pertamanya  tentera  Sultan  Melaka  tidak
  tersusun   kemas,   tidak  terlatih,   tidak   mempunyai
  panglima-panglima perang yang profesional.   Raja,  anak
  raja,  pembesar-pembesar lain semuanya  menganggap  diri
  mereka   sebagai  panglima  balatentera.   Bentara   dan
  hulubalang  tidak  tersusun rapi.  Arahan-arahan  semasa
  berperang  tidak mempunyai makna yang tepat.  Tidak  ada
  disiplin  dan taktik peperangan dan tidak ada  'standing
  army'.
  
  7.     Balatentera  Sultan  Melaka  memang   besar   dan
  mempunyai gajah perang manakala pasukan Portugis  kecil.
  Tetapi  berhadapan  dengan pasukan Portugis  yang  lebih
  tersusun   dan   berdisiplin,  dengan  senjata   canggih
  seperti  senapang  'muzzle-loaders', balatentera  Sultan
  Melaka ditewaskan dengan mudah sahaja.
  
  8.    Ini adalah pelajaran yang pertama yang perlu  kita
  ingati dan serapkan ke dalam budaya kita.  Susunan  yang
   rapi,  kepimpinan yang bertanggungjawab  secara  khusus,
  disiplin   dan   ketertiban,   perintah-perintah    yang
  spesifik,   latihan  dan  taktik  adalah  penting   bagi
  menjayakan sesuatu perjuangan.
  
  9.    Kekalahan Kerajaan Melaka ditangan Portugis  bukan
  sahaja  kerana  ditewaskan di medan perang  tetapi  juga
  kerana   penderhakaan  beberapa  tokoh  dalam   Kerajaan
  Melaka.   Pembelot  dan penderhaka  ini  memang  manusia
  yang   terkutuk   kerana   mereka   lebih   mengutamakan
  kepentingan diri.
  
  10.   Ini  merupakan  pelajaran yang  kedua,  yang  sama
  penting  dengan  yang pertama.  Mereka  yang  bersubahat
  dengan  musuh adalah lebih buruk daripada musuh.  Kerana
  kepentingan  diri  mereka  sanggup  menjual  bangsa  dan
  negara.
  
  11.    Kejatuhan  Melaka  mempengaruhi  sejarah  negeri-
  negeri  Melayu sehinggalah pertengahan abad ke-duapuluh.
  Sehingga  tarikh  itu orang Melayu merasai  diri  mereka
  rendah  dan  hina  apabila berdepan dengan  orang  kulit
   putih.   Mereka tidak percaya mereka boleh buat  apa-apa
  termasuk memerintah negeri-negeri mereka sendiri.
  
  12.   Selepas kejatuhan Melaka kelemahan semangat  orang
  Melayu  menyebabkan  satu  demi  satu  daripada  negeri-
  negeri   Melayu  jatuh  ke  tangan  orang  kulit  putih.
  Kerapkali  kemasukan  orang kulit putih  dan  penjajahan
  mereka  disebabkan oleh perebutan takhta oleh  raja-raja
  Melayu.   Pihak  yang lemah atau tidak  berhak  biasanya
  meminta pertolongan kuasa asing dari Barat.  Janji  yang
  dibuat   ialah  layanan  yang  istimewa  akan  diberikan
  kepada  orang  putih yang menolong mereka.   Dengan  itu
  Belanda   dan   British  dapat  mendirikan   pusat-pusat
  dagangan  atau  'trading  stations'  yang  memonopolikan
  semua dagangan negeri Melayu.
  
  13.    Demikian  Pulau  Pinang  dan  Dinding  diserahkan
  kepada   British.   Kemudian  apabila   pelombong   Cina
  berperang  sesama sendiri dengan disokong oleh pembesar-
  pembesar  Melayu  tertentu, British  menghantar  pasukan
   bersenjata  untuk  mengawal keadaan.  Selepas  itu  Raja
  meminta  British menasihati Kerajaan Perak dan  mengikut
  seperti  biasa,  bukan  memberi nasihat  tetapi  memberi
  arahan  yang  mesti  diterima.  Akhirnya  semua  negeri-
  negeri  Melayu  dikuasai oleh British melalui  penasihat
  atau   'Adviser'  mereka.   Maka  tertakluklah   seluruh
  Semenanjung serta Sarawak.
  
  14.   Pengabdian  bangsa Melayu kepada  British  menjadi
  total  kerana  orang  Melayu hilang  kepercayaan  kepada
  diri  sendiri.   Apabila  orang Melayu  diketepikan  dan
  perniagaan  serta urusan Kerajaan diserah  kepada  orang
  Cina  dan India, tidak ada protes daripada orang Melayu.
  Sementara  orang  Cina dan India mengejar  pelajaran  di
  sekolah  Inggeris, orang Melayu menolak sekolah Inggeris
  kerana  takut  dikristiankan.  Maka  semakin  lemah  dan
  miskinlah  orang Melayu.  Pada satu masa bilangan  orang
  Melayu di Malaya menjadi kurang daripada orang Cina  dan
  India.   Jika  tidak  kerana  kemelesetan  ekonomi  pada
   dekad  kedua  dan  ketiga yang menyebabkan  ramai  orang
  Cina  kembali  ke  China,  peratusan  orang  Melayu   di
  Malaysia  mungkin seperti di Singapura  sekarang.   Jika
  peratusan  ini  rendah  kemerdekaan  Malaysia   tentulah
  dituntut dan dikuasai oleh bukan Melayu.
  15.   Keyakinan British bahawa orang Melayu  tidak  akan
  menentang  apa  sahaja yang dibuat kepada bangsa  mereka
  dan   negeri-negeri   Semenanjung  menyebabkan   British
  merancang untuk menyatukan negeri-negeri Melayu  selepas
  Perang  Dunia Kedua dan memerintah sebagai tanah jajahan
  terus.   Raja-raja  Melayu akan hanya berkuasa  terhadap
  adat-istiadat   dan   agama  sahaja.    Semua   penduduk
  Malaysia  akan diberi hak kerakyatan yang  sama,  bahkan
  orang  bukan Melayu boleh mengekalkan kerakyatan  negara
  asal   mereka   di  samping  kerakyatan  Malaya,   iaitu
  memiliki 'dual citizenship'.
  
  16.   Pada  saat ini barulah orang Melayu  sedar  bahawa
  mereka  akan  kehilangan  tanahair  mereka  sama-sekali.
   Barulah   mereka   memberanikan  diri  untuk   menentang
  rancangan Malayan Union British.  Senjata yang  mustajab
  yang  digunakan  oleh orang Melayu ialah  perpaduan  dan
  pendirian   yang  sama  dalam  menangani  masalah   yang
  dihadapi.   Mereka baru sedar yang mereka  adalah  orang
  Melayu  dan  bukan  rakyat  negeri-negeri  Melayu   yang
  berasingan.
  
  17.   Perpaduan dan kata sepakat mereka dalam  menentang
  Malayan  Union  memaksa Malayan Union digantikan  dengan
  Federation  of Malaya dengan kerakyatan dihadkan  kepada
  pemastautin  yang  betul-betul setia kepada  Persekutuan
  ini.
  
  18.    Perpaduan  orang  Melayu  semasa  Malayan   Union
  disebabkan  oleh himpitan dari luar dan  bukan  berpunca
  daripada  nasionalisme  semula  jadi.   Apabila   sahaja
  himpitan   dari   luar   ini  sudah   tidak   ada   atau
  terselindung  maka  perpaduan  orang  Melayu  pun  mulai
  retak  dan seperti dengan raja-raja dahulu yang  merebut
  takhta,  orang Melayu pun kembali merebut  tempat  dalam
   Malaysia yang maju dan kaya.
  
  19.   Kita  mungkin berfikir bahawa Malaysia tetap  akan
  merdeka  selama-lamanya  dan  orang  Melayu  tetap  akan
  berkuasa dan negara tetap akan kaya raya.  Kita  mungkin
  percaya  bahawa kita akan memasuki abad  dan  alaf  baru
  dengan  keadaan  negara kita yang tidak berubah,  dengan
  kita terus merdeka dan berdaulat.
  
  20.    Tetapi  bekas  penjajah  sudah  merancang   untuk
  menjajah  kita semula.  Kali ini cara lain  akan  diguna
  untuk   menakluk  negara  kita.   Cara  ini   diperkenal
  sebagai globalisasi dan dunia tanpa sempadan.
  
  21.    Interpretasi   globalisasi  oleh   mereka   ialah
  kebebasan  modal (milik mereka) melintasi  sempadan  dan
  mengatasi sebarang sekatan terhadap penguasaan modal  ke
  atas   ekonomi   mana-mana  negara.    Kononnya   dengan
  kebebasan  modal  maka kemiskinan  boleh  dihapuskan  di
  seluruh dunia.
  
  22.   Mereka  hendaklah  bebas membeli  semua  bank  dan
  perniagaan-perniagaan  kecil dan besar  supaya  akhirnya
   akan  ada  dalam  dunia  ini  hanya  beberapa  bank  dan
  perniagaan  gergasi  milik negara  kaya  sahaja.   Semua
  eksekutif  dan  pekerja akan bekerja untuk  mereka  jika
  khidmat   mereka  masih  diperlukan.   Yang  lain   akan
  digugur supaya pembaziran dihapus demi 'efficiency'.
  
  23.   Sebagai  contoh kereta nasional kita akan  diganti
  dengan   kereta  jenama  antarabangsa  dan   kita   akan
  mengeluarkan  komponen  kereta  berjenama  dan   mungkin
  memasang   kereta-kereta  ini.   Demikian   juga   semua
  keluaran  barangan  perkilangan  akan  diambilalih  oleh
  mereka.   Demikian  juga dengan hotel, restoran  makanan
  segera,   syarikat  penerbangan,  syarikat   perkapalan,
  pemborong   semua  jenis  komoditi,  media   elektronik,
  akhbar,   majalah   serta   perniagaan-perniagaan    dan
  perusahaan  lain.  Penyatuan (mergers), pengambilan-alih
  (acquisition),  sama  ada secara  baik  (friendly)  atau
  bermusuhan (hostile) akan dilakukan oleh yang besar  dan
  yang kaya supaya yang kecil dan lemah dihapuskan.
   
  24.   Yang  anehnya ialah sementara modal bebas bergerak
  melintasi  sempadan, manusia tidak boleh.   Yang  miskin
  dan  daif  akan  dikurung dalam kandang sempadan  negara
  masing-masing supaya tidak mencemar negara yang kaya.
  
  25.   Inilah  dunia tanpa sempadan, inilah  globalisasi.
  Yang  kaya akan menjadi lebih kaya dan yang miskin  akan
  bekerja  untuk  memperkayakan lagi  yang  kaya.   Memang
  negara  miskin juga bebas untuk menembusi  pasaran  yang
  kaya tetapi apakah yang ada pada mereka untuk dijual  di
  pasaran  yang  kaya yang belum diambilalih oleh  pemodal
  gergasi dari negara yang kaya?
  
  26.   Kita  di Malaysia dan di negara-negara Asia  Timur
  telah  berpeluang merasai sedikit akan kesan dunia tanpa
  sempadan  ini.   Negara-negara  yang  terkenal   sebagai
  harimau ekonomi, yang telah berjaya membangunkan  negara
  sendiri dengan begitu pesat, yang mampu bersaing  dengan
  negara  maju,  tiba-tiba  mengalami  keruntuhan  ekonomi
  yang  teruk.   Segala-gala yang dibangunkan selama  tiga
   dekad  runtuh  dan  hancur dalam hanya  beberapa  minggu
  sahaja.  Kononnya kerana korupsi, kronisme, tidak  telus
  maka  matawang dan nilai saham jatuh.  Jika korupsi  dan
  lain-lain  ini  boleh menjatuhkan nilai matawang  kenapa
  hanya  pada  Julai  1997  sahaja  perkara  ini  berlaku?
  Apakah korupsi hanya berlaku pada bulan Julai 1997?
  
  27.   Hakikatnya  ialah penyangak matawang  dan  pelabur
  jangka  pendek telah sengaja menjatuhkan nilai wang  dan
  saham   untuk   mendapat   keuntungan   besar.    Mereka
  memusnahkan  ratusan bilion dolar kekayaan  negara  Asia
  Timur   untuk  mendapat  hanya  berpuluh  bilion   dolar
  keuntungan bagi pemodal mereka.  Berjuta pekerja  hilang
  mata   pencarian,  sementara  rusuhan   dan   pembunuhan
  berlaku.   Kerajaan  jatuh dan negara hilang  kestabilan
  politik, ekonomi dan sosial.
  
  28.   Inilah  hasil  sebenar  globalisasi,  dunia  tanpa
  sempadan  dan  kebebasan gerakan modal yang  dapat  kita
  lihat.   Apabila  mereka  sudah  beli  semua  bank   dan
   perusahaan/perniagaan  dengan  harga  yang  murah,  maka
  mereka  akan  pulihkan  semula ekonomi.   Tetapi  rakyat
  negara  yang diserang sudah tidak lagi memiliki apa-apa.
  Bukan  sahaja  ekonomi akan terlepas ke tangan  penjajah
  Barat  tetapi  politik juga akan dikuasai  oleh  mereka.
  Kebebasan  dan  kedaulatan  sudah  pun  hilang.   Inilah
  pengalaman  daripada  peristiwa kegawatan  yang  dialami
  baru-baru ini.
  
  29.   Segala-gala  ini  bukan ramalan,  bukan  khayalan.
  Segala-gala  ini  sudahpun  berlaku.   Bahawa  ia  tidak
  berlaku  di  negara ini bukanlah kerana  penjajah  moden
  tidak  mencuba.  Mereka cuba dan mereka hampir  berjaya.
  Tetapi Alhamdulillah kita dapat menangkis percubaan  ini
  dan kita dapat memulihkan negara kita.
  
  30.   Namun kita belum selamat.  Percubaan sedang dibuat
  lagi.   Jika  tidak  kerana  rusuhan  menentang  WTO  di
  Seattle  mungkin sebahagian lagi daripada sempadan  kita
  akan  dapat  diruntuhkan.  Tetapi  mereka  akan  mencuba
   lagi.
  31.   Inilah  cabaran alaf baru.  Apakah  kita  bersedia
  untuk  menghadapi  dan mengatasinya?  Ternampak  seolah-
  olah  kita  sudah  lupa  pengajaran  sejarah  atau  'the
  lessons  of history'.  Kita dijajah dahulu kerana  tidak
  berdisiplin,  kerana perebutan tempat dan  kuasa.   Yang
  lemah   meminta  pertolongan  asing.   Jika  yang  lemah
  berjaya   kerana   bantuan   bakal   penjajah,   benteng
  pertahanan  akan  runtuh dan kita akan  dijajah  semula.
  Jelas  sekali  kita  belum bersedia  menghadapi  cabaran
  alaf  baru.   Tabiat  dan budaya lama  yang  menyebabkan
  kita  dijajah selama empat setengah abad masih ada  pada
  kita, khususnya pada orang Melayu.
  
  32.   Kerana  Kerajaan melindungi kita; kerana  Kerajaan
  membangunkan  kita  dan menangkis tekanan  asing  dengan
  jayanya,  kita  berasa  selamat  dan  tidak  lagi  perlu
  kepada  perpaduan dan ketertiban.  Ada antara kita  yang
  berkata  perlindungan yang diberi oleh  Kerajaan  kepada
  kaum  yang  lemah  adalah satu diskriminasi  yang  tidak
   adil,   bahkan   tidak  secocok  dengan  ajaran   Islam.
  Perjuangan   untuk   bangsa  dan  negara   sudah   tidak
  diperlukan  lagi.  Yang utama ialah merebut nikmat  yang
  ada  walaupun ini akan menamatkan perpaduan di  kalangan
  kita.
  
  33.   Alhamdulillah,  perebutan ini  tidak  berjaya  dan
  tidak  menghancurkan  kesemua benteng  yang  telah  kita
  dirikan.   Rakyat Malaysia daripada berbagai kaum  telah
  menentukan   negara   terus   memiliki   Kerajaan   yang
  berwibawa  yang  boleh  menghadapi  cabaran  alaf  baru.
  Tetapi  bibit-bibit perpecahan sudah disemai di kalangan
  rakyat dan sedang menular.
  
  34.    Dakyah   asing  sudah  diterima  oleh  sesetengah
  daripada rakyat dan sedang disebar oleh mereka.   Bahawa
  tuduhan  yang  dibuat  oleh orang  asing  tidak  berasas
  tidak  mengapa.  Yang penting ialah tuduhan-tuduhan  ini
  mudah  dipercayai  dan  boleh  diguna  untuk  menjayakan
  perebutan yang sedang diusahakan.
  
  35.    Semasa  Kerajaan  menumpu  kepada  mempertahankan
   negara  daripada serangan luar, masa itulah yang terbaik
  bagi  menyerang dari belakang.  Cabaran alaf baru  tidak
  harus  menghentikan perebutan tempat  melalui  pemupukan
  perasaan kebencian terhadap pihak tertentu.
  
  36.   Rakyat Malaysia boleh bergembira semasa  menyambut
  abad  dan  alaf  baru.  Tetapi kita tidak  boleh  sambut
  dengan  rela hati globalisasi yang akan datang  bersama.
  Kita  perlu  sedar  bahaya  sistem  globalisasi  ciptaan
  Barat.   Kita  perlu  ubahsuai sistem  ini  supaya  masa
  depan kita terpelihara.
  
  37.   Ingatlah semua ideologi dan sistem Barat  akhirnya
  gagal.    Demikian   feudalisme,   sistem   pemerintahan
  'absolute'   oleh   raja,   republikanisme,    diktator,
  Komunisme   dan   Sosialisme.   Liberal  demokrasi   dan
  kapitalisme  bebas yang diperkenal sekarang  juga  tidak
  akan  kekal.  Globalisme juga akan menerima  nasib  yang
  sama.   Malangnya sebelum sesuatu sistem  atau  ideologi
  dapat ditolak, ramai yang akan terkorban.
   
  38.    Justeru  itu,  hendaklah  kita  berhati-hati  dan
  menyusun   langkah   bagi  membolehkan   kita   mengelak
  daripada   menjadi   korban  mereka.    Hendaklah   kita
  rapatkan barisan kita dan kita ketepikan perbezaan  yang
  boleh  memecahkan  kita  serta kita  menghadapi  cabaran
  yang  akan  datang dengan penuh semangat dan  ketahanan.
  Mudah-mudahan   kita  akan  berjaya  lagi   dan   negara
  tercinta ini akan terus bebas, merdeka dan maju.
  
  
  
  39.    Dengan   peringatan  ini  maka  saya  mengucapkan
  selamat  menyambut  tahun, abad  dan  alaf  baru  kepada
  semua rakyat Malaysia.
  
           
 



 
Google