home Speechs in the year 2003 2002 2001 2000 1999 1998 1997 1996 1995 1994 1993 1992 1991 1990 --> |
Oleh/By : DATO SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD Tempat/Venue : KUALA LUMPUR Tarikh/Date : 22-02-2001 Tajuk/Title : MAJLIS PERASMIAN PEMBUKAAN WISMA WOMEN'S INSTITUTE OF MANAGEMENT (WIM) DAN PELANCARAN PROGRAM ICT BAGI WANITA TAHUN 2001 Versi : Penyampai : PM Terlebih dahulu saya merakamkan penghargaan saya kepada Yang Berhormat Dato' Napsiah Omar, Yang Berbahagia Dato' Nellie Tan-Wong serta Ahli-Ahli Lembaga Pemegang Amanah Women's Institute of Management kerana sudi menjemput saya merasmikan pembukaan wisma WIM. 2. Ini adalah kali kedua saya datang ke sini. Pada bulan April 1996, saya telah merasmikan majlis Pecah Tanah untuk bangunan ini. Tetapi pada hari ini pula, saya ke sini untuk merasmikan pembukaan wisma WIM. Saya dapati bahawa wisma WIM telah siap dibina pada bulan Januari tahun 2000. Ia adalah bangunan pertama yang dibina di kawasan ini, di tanah yang telah diberi oleh Kerajaan Persekutuan. Ini membuktikan kegigihan Yang Berhormat Dato' Napsiah dan ahli-ahli Lembaga Pemegang Amanah Women's Institute of Management (WIM) yang telah melaksanakan amanah yang diberikan kepada WIM iaitu membantu kaum wanita di negara ini. 3. WIM telah membuktikan kepada kita bahawa barangan tempatan juga boleh menandingi barangan import kerana bangunan yang tersergam indah ini telah dibina dengan menggunakan bahan-bahan tempatan. Secara tidak langsung WIM telah membantu industri tempatan. Untuk mengindahkan lagi wisma WIM, Bunga Raya, Bunga Kebangsaan negara kita telah diberi fokus di dinding ruang legarnya serta di siling ruang istirehat untuk ahli-ahli WIM. Ia dapat menarik perhatian bukan sahaja pengunjung tempatan tetapi juga pengunjung dari luar negara. Saya menghargai perancangan WIM kerana mempunyai perancangan yang baik di dalam rekabentuk Wisma WIM. Wisma WIM ini dilengkapi dengan dewan serbaguna, bilik seminar, asrama penginapan, serta kafeteria yang amat sesuai untuk menjalankan kursus-kursus serta seminar. 4. Saya juga amat berbangga dengan falsafah WIM untuk bekerjasama dengan kaum lelaki di dalam melaksanakan pembangunan masyarakat secara keseluruhan terutamanya kaum wanita. 5. Saya sentiasa memberi perhatian kepada peranan kaum wanita supaya dapat meningkatkan taraf hidup mereka kerana saya percaya apabila kaum wanita maju, kualiti kehidupan keluarga mereka juga akan meningkat. 6. Masa telah berubah dengan perkembangan Teknologi Maklumat. Cara pemikiran harus juga berubah. WIM telah memberi fokus kepada Teknologi Maklumat dan saya mengucapkan syabas dan tahniah di atas pilihan fokus WIM. 7. Usaha-usaha yang memberi kesedaran, pendidikan dan menyalur maklumat dan ilmu pengetahuan dalam bidang I.T atau Teknologi Maklumat harus disokong dan digalakkan. Sekiranya rakyat Malaysia, khasnya kaum wanita, tidak memberi tumpuan terhadap I.T. dalam alaf baru ini, mereka akan ketinggalan dalam kemajuan dan pembangunan masyarakat bukan sahaja di dalam negara, malahan di peringkat antarabangsa atau global. 8. Kita sedar bahawa I.T bukannya satu "trend" sahaja, akan tetapi ia adalah satu revolusi terbesar, yang pasti membawa pengaruh yang luas terhadap komunikasi, pendidikan, perdagangan, kerjasama dan perhubungan antara Kerajaan, komuniti perdagangan, kemajuan sains dan lain-lain di seluruh pelusuk dunia. 9. Bilangan kaum wanita Malaysia adalah lebih kurang separuh daripada jumlah penduduk Malaysia dan 40 peratus daripada jumlah tenaga pekerja Malaysia. Oleh itu wanita perlu menanam minat dan mempelajari penggunaan pelbagai alat dan kemudahan I.T. 10. Program I.T peringkat Kebangsaan yang dianjurkan WIM untuk kaum wanita, terutamanya wanita luar bandar dapat memberi pendedahan yang lebih meluas kepada wanita untuk bersama-sama mengambil bahagian. Melalui program ini, kaum wanita dapat memberi keseimbangan daripada segi ilmu dan kemahiran, seterusnya menyesuaikan dan mempraktikkan ilmu dan kemahiran yang diperolehi di tempat kerja, di rumah, semasa mendidik anak-anak, dalam bidang perniagaan dan sebagainya. 11. Kaum wanita sebagai ibu boleh membimbing dan mendorong anak-anak ke arah penggunaan I.T. untuk perkembangan pengetahuan dan komunikasi. Melalui penggunaan I.T. kaum wanita juga boleh bekerja dari rumah sambil meluangkan masa untuk menjaga serta mendidik anak-anak. 12. Usaha murni seperti ini harus diteruskan oleh organisasi-organisasi lain bagi tujuan melatih dan mendidik wanita. Wanita juga seharusnya lebih terbuka, bersedia dan menggunakan peluang-peluang seperti ini sebaik-baiknya. 13. Syarikat-syarikat seperti go2020.com, skybiz, Millennium Institute of Technology, Sedaya College, Infotrack, Myob Asia, Aims Technology dan syarikat- syarikat yang lain adalah syarikat contoh kerana memberi sokongan dan bantuan kepada WIM di dalam menjayakan program ini. Saya berharap agar banyak lagi syarikat yang lain dapat memberi bantuan serta kerjasama kepada WIM dan organisasi-organisasi wanita yang lain dalam menjayakan matlamat memajukan kaum wanita dengan I.T. 14 Di atas daya usaha dan kepimpinan WIM yang gigih, saya ucapkan syabas dan tahniah kepada pemimpin-pemimpin WIM kerana dapat membuktikan bahawa WIM telah berusaha kuat dalam menjayakan program Teknologi Maklumat yang kedua dengan pelancaran satu laman web yang dipanggil lelong-elektronik. Ini adalah satu cara yang terbaru untuk menjana derma. Melalui laman web lelong- elektronik ini, bukan sahaja pembeli di Malaysia tetapi juga di peringkat antarabangsa dapat melayari laman ini. Secara tidak langsung WIM diperkenalkan ke seluruh dunia. Pendapatan yang diperolehi melalui lelong-elektronik ini, dapat membantu meningkatkan pendapatan WIM. Ia juga dapat membantu WIM menjayakan program-programnya dengan lebih lancar. 15. Syabas sekali lagi saya ucapkan dan saya berharap WIM akan bekerjasama dan terus memberi sokongan kepada organisasi wanita yang lain. Semoga dengan tenaga semua pihak, wanita Malaysia boleh berjaya, mempunyai sikap keyakinan dan positif serta dapat membantu Kerajaan menjayakan usaha-usaha pembangunan negara demi untuk faedah rakyat jelata. 16. Akhir kata, saya sekali lagi ucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Dato' Napsiah Omar dan juga Pengerusi Pengelola Majlis, Yang Berbahagia Dato' Dr. Nellie Tan-Wong serta Ahli-Ahli Lembaga Pemegang Amanah Women's Institute of Management yang telah menjemput saya merasmikan pembukaan wisma WIM. 17. Dengan ini, saya dengan sukacitanya merasmikan bangunan WIM ini dan melancarkan program ICT bagi wanita tahun 2001. Sumber : Pejabat Perdana Menteri |