home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
Oleh/By  	:	DATO SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue	:	DATARAN PUTRA, PUTRAJAYA
Tarikh/Date	:	04-03-2001
Tajuk/Title 	:	MAJLIS PELANCARAN HARI 
			LANDSKAP NEGARA
Versi 		:	
Penyampai	:  	PM


	 
        Saya   mengucapkan  terima  kasih   kepada   pihak
   penganjur,   Jabatan   Landskap   Negara,   Kementerian
   Perumahan  dan Kerajaan Tempatan kerana menjemput  saya
   untuk merasmikan majlis Pelancaran Hari Landskap Negara
   pada hari ini.
   
   2.    Hari  ini  adalah satu lagi hari yang  bersejarah
   bagi  rakyat Malaysia.  Ini adalah oleh kerana Kerajaan
   telah  bersetuju  untuk menjadikan 3 Mac  setiap  tahun
   sebagai  Hari Landskap Negara.  Sambutan Hari  Landskap
   Negara  pada hari ini merupakan lanjutan kepada  Kempen
   Menanam Pokok yang telah disempurnakan pada 3 Mac 1997.
   
   3.    Manusia yang bertamadun tidak sahaja makan  untuk
   hidup  tetapi  memberi keutamaan juga kepada  kelazatan
   dan  keindahan hidangan.  Lebih tinggi tamadun  manusia
   lebihlah  keutamaan  yang diberi  kepada  persekitaran,
   kepada  ketertiban  dan  kepada  ketinggian  seni   dan
   budaya.   Justeru  itu, kita boleh mengukur  ketinggian
   tamadun  sesuatu bangsa melalui taraf seni  dan  budaya
   dalam segala kegiatan bangsa itu.
   
   4.    Ketinggian  seni  dan  budaya  juga  mempengaruhi
   kemajuan   bangsa  berkenaan.   Demikian  bangsa   yang
   berjaya  membangun seni dan budaya yang tinggi biasanya
   lebih  maju dan gagah daripada bangsa yang tidak  dapat
   membentuk seni dan budaya yang tinggi.
   
   5.    Persekitaran sesuatu bangsa memberi gambaran yang
   awal  akan  tamadun bangsa itu.  Sebab itu kita  dapati
   bangsa  yang bertamadun tinggi hidup dalam persekitaran
   yang  bersih dan indah yang diusahakan oleh bangsa itu.
   Oleh  kerana  ini  adalah budaya  bangsa  maka  seluruh
   negara  bangsa  yang  bertamadun  tinggi  akan  dilihat
   tertib, teratur, bersih dan indah.
   
   6.    Kegagalan  sesuatu  bangsa  memperlihatkan  tahap
   persekitaran  yang  baik ini bukan sahaja  mencerminkan
   tamadun   yang  rendah  tetapi  juga  pembangunan   dan
   kejayaan  yang rendah.  Lebih buruk lagi  ialah  mereka
   yang bertamadun rendah ini tidak pun berasa malu dengan
   budaya  rendah mereka dan tidak dapat membuat penilaian
   akan  perbezaan  di  antara mereka dengan  bangsa  yang
   tinggi tamadun mereka.
   
   7.    Perasaan  malu  lebih utama  daripada  kebanggaan
   dengan  diri sendiri.  Bangsa yang tahu malu  mengambil
   berat  akan  kelakuan  dan prestasi  yang  ditunjukkan.
   Kegagalan  atau  kelemahan dalam apa-apa  bidang  tetap
   akan  memalukan  orang yang tinggi budayanya.   Justeru
   itu,  mereka  akan  berusaha  bersungguh-sungguh  untuk
   mencapai kejayaan dan meningkatkan kebolehan mereka.
	   
   8.     Kita  tidak  ingin  kepada  perasaan  malu  yang
   keterlaluan  sehingga sanggup mengambil  nyawa  sendiri
   untuk  menebus  maruah.  Tetapi kita  harus  tahu  malu
   apabila tamadun bangsa kita begitu rendah sehingga kita
   tidak  pun  tahu  perbezaan di antara yang  bersih  dan
   indah  dengan yang kotor dan hodoh.  Apabila kita tidak
   tahu  maka kita tidak dapat mengubah keadaan  seni  dan
   budaya  kita  dan kita akan kekal sebagai  bangsa  yang
   bertamadun rendah yang tidak boleh berjaya.
   
   9.    Sesuatu  yang  membuktikan tahap  tamadun  bangsa
   ialah  kebolehan membentuk persekitaran yang indah  dan
   menarik.  Seperti juga dengan kebolehan yang lain, pada
   mulanya  kecekapan mengindahkan alam sekeliling  adalah
   rendah.    Tetapi   pengamalan  yang   berterusan   dan
   berpanjangan  tetap  akan  meningkatkan   hasil   usaha
   pengindahan yang dibuat.
   
   10.   Alhamdulillah, sejak kita merdeka rakyat Malaysia
   lebih   prihatin  dengan  persekitaran  mereka.   Bukan
   sahaja  mereka  lebih  gigih dalam  menjaga  kebersihan
   tetapi   juga   kecekapan  memperelokkan   persekitaran
   meningkat sepanjang masa.  Hari ini bukan sahaja pokok-
   pokok  dan pokok bunga ditanam dengan banyaknya  tetapi
   di  landskap  pula taman di sekeliling rumah.   Mungkin
   rumah  yang  tidak  ada halaman sama sekali,  umpamanya
   tingkat atas rumah pangsa sukar dihias dengan landskap.
   Tetapi  pengindahan masih boleh dibuat  dengan  menanam
   pokok  bunga  yang  sesuai di  luar  tingkap.   Arkitek
   Malaysia  belum  tahu  bagaimana  menyediakan   `window
   flower   boxes'   untuk  rumah-rumah  bertingkat   ini.
   Sebaliknya  jurutera yang merekabentuk jalan bertingkat
   lebih cekap mengadakan `planter boxes' di bahagian luar
   sisi jalan-jalan ini.  Saya yakin arkitek Malaysia akan
   belajar  bagaimana  cara penduduk  tingkat  atas  rumah
   bertingkat  dapat  mengindahkan  bangunan-bangunan  ini
   dengan tanaman pokok-pokok bunga.
   
   11.   Di  mana  terdapat kawasan lapang,  bukan  sahaja
   perlu ada tanaman pokok dan pokok bunga secara teratur,
   tetapi hendaklah diadakan landskap yang menarik, dengan
   adanya  bahagian  yang  tinggi dan  rendah,  kolam  air
   dengan  pancutan  air serta ikan  hiasan.   Air  terjun
   tiruan   boleh  diadakan  kerana  bunyi  airnya   dapat
   menenangkan  hati.   Dan  banyaklah  lagi  rekaan   dan
   inisiatif  yang boleh menjadikan satu-satu taman  kecil
   itu unik dan menarik.
   
   12.    Pengindahan  taman  tidak  harus  terhad  kepada
   kawasan  dalam  pagar tetapi kawasan di  pinggir  jalan
   juga harus ditanam dengan pokok dan dihias dengan baik.
   Amatlah  tidak  menarik  jika di  luar  pagar  terdapat
   lalang  yang tinggi yang melindung keindahan  taman  di
   dalam  pagar.  Mungkin ini adalah tugas majlis tempatan
   atau  dewan  perbandaran, tetapi mereka  mungkin  tidak
   mempunyai  cukup  tenaga  dan kewangan  untuk  memotong
   rumput  sekalipun.  Dan tidak ramai yang sanggup  bayar
   cukai  yang lebih tinggi untuk menambah kakitangan  dan
	   khidmat pihak berkuasa tempatan.
   
   13.   Landskap yang cantik mencerminkan tahap  kesenian
   yang  tinggi.   Dahulu kesenian ini tidak  terlihat  di
   Malaysia.    Tetapi  kecekapan  seni   landskap   sudah
   meningkat dengan tingginya tahun demi tahun.   Walaupun
   sudah  ada  ahli  profesional yang  berkelulusan  dalam
   bidang  landskap  dan  mereka pula  mempunyai  syarikat
   landskap  yang dapat memberi khidmat yang baik,  tetapi
   tiap  seorang yang mempunyai kawasan di sekeliling yang
   tidak  terlalu  besar boleh membuat  landskap  sendiri.
   Percayalah  mereka  yang membuat landskap  sendiri  dan
   merawatnya  sepanjang  masa  tidak  dapat  tidak   akan
   meningkatkan kualiti dan keindahan hasil kerja mereka.
   
   14.    Keindahan  alam  sekeliling  memberi  ketenangan
   kepada   jiwa  manusia.   Ia  juga  boleh  mendatangkan
   inspirasi yang boleh menghasilkan idea dan meningkatkan
   kreativiti  atau pembentukan pemikiran  yang  unik  dan
   istimewa  yang  mana ini bukan sahaja  akan  menyumbang
   kepada  pencapaian diri sendiri tetapi juga masyarakat.
   Jiwa  yang  tenang di kalangan anggota masyarakat  juga
   akan  menjadi masyarakat lebih stabil dan lebih berdaya
   maju.
   
   15.   Atas  kesedaran ini maka awal-awal lagi  Kerajaan
   telah memberi perhatian kepada landskap dan pengindahan
   ibu  kota pentadbiran kita yang baru, Putrajaya.   Oleh
   kerana  pembangunan Putrajaya dibuat  di  atas  kawasan
   yang   tidak  mempunyai  bangunan-bangunan  yang  lama,
   rekabentuk   pelannya  tidak  terganggu.   Dengan   itu
   tumpuan  boleh  diberi sepenuhnya kepada  segala  aspek
   keindahan  yang  sesuai  bukan  sahaja  untuk  penghuni
   semasa tetapi untuk dekad-dekad, bahkan abad-abad  yang
   akan datang.
   
   16.    Landskap   menjadi  unsur  yang   penting   bagi
   pembangunan Putrajaya.  Keadaan bukit-bukau dan lembah-
   lembah  yang  sedia ada telah dijadikan  asas  landskap
   bagi Putrajaya.
   
   17.  Biasanya pemaju akan meratakan bukit dan mengambus
   lembah-lembah  antara bukit-bukit kecil  ini.   Lembah-
   lembah ini mengumpul air hujan yang dibawa melalui alur-
   alur  kecil  ke sungai yang akhirnya mengalir  ke  laut
   atau  tasik.  Apabila lembah kecil ini dikambus  dengan
   tanah  dari  bukit  untuk mengadakan tanah  rata  untuk
   perumahan,  air akan menakung di hulu lembah  di  tanah
   jiran.  Dengan ini air hujan akan bertakung dan apabila
   terlalu  tinggi  paras  air  akan  melimpah  semula  ke
   kawasan  yang telah diratakan.  Kadang-kadang air  yang
   menakung  menggali saluran bawah tanah dan `foundation'
   rumah  di sekeliling terutama rumah bertingkat  menjadi
   tidak   kuat.    Rumah   boleh  runtuh   kerana   tanah
   `foundation' terhakis dengan teruknya.
   
   18.    Sepatutnya  semasa  membuat  pelan   pembangunan
   topografi  kawasan  bukan sahaja  di  tapak  tetapi  di
   kawasan  sekeliling  perlu diambil perhatian  dan  arah
   pengaliran   air   hujan   ditentukan.    Dalam   pelan
   pembangunan air dari kawasan di luar kawasan  hendaklah
   diberi  laluan  supaya tidak ada  takungan  di  kawasan
	   jiran sama ada yang telah dibangun atau belum.
   
   19.   Saya tidak faham kenapa kawasan pembangunan rumah
   perlu  diratakan  sehingga hilang  bukan  sahaja  bukit
   kecil dan lembah tetapi juga alur-alur yang kecil  yang
   membawa  air  semasa hujan.  Tabiat membangunkan  rumah
   berderet  dan lurus amatlah tidak menarik.   Sebaliknya
   rumah-rumah  patut  dibangun  mengikut  topografi  asal
   walaupun  ini  akan  meningkatkan  kos  kerana   jumlah
   bangunan  terpaksa  dikurangkan dan  `foundation'  yang
   dalam  diperlukan.   Saya  percaya  nilai  rumah   akan
   meningkat dan ini dapat menampung kekurangan pendapatan
   kerana jumlah rumah yang kurang.
   
   20.   Pengekalan bentuk topografi tanah yang sedia  ada
   dengan   sendirinya  menjadikan  landskap   semulajadi.
   Arkitek   dan   jurutera  kita  harus  tahu   bagaimana
   membangunkan  kawasan berbukit-bukau dan  lembah  tanpa
   meratakan  kawasan dan mengekal pengaliran  air  semasa
   hujan.
   
   21.   Di  Putrajaya  pengaliran air dari  lembah-lembah
   yang    cantik   diambilkira   semasa   membuat   pelan
   keseluruhannya.   Terdapat lebih  sepuluh  buah  sungai
   kecil,  yang kering semasa tidak ada hujan, yang menuju
   ke  arah  lembah  Putrajaya.  Wetland  buatan  diadakan
   untuk  menapis air dari lembah dan alur supaya  air  di
   tasik  menjadi  bersih.  Walaupun ini bermakna  kawasan
   yang  luas  dikorbankan tetapi nilai  tanah  dan  rumah
   meningkat   dengan   tingginya.   Pendapatan   daripada
   memajukan  tanah  tidaklah  terhakis  terlalu   sangat.
   Sebenarnya  harga  tanah  yang dibangun  dengan  cermat
   seperti ini meningkat hingga 2000 peratus.  Namun rumah
   kos  rendah  masih  boleh dibangunkan  tanpa  kerugian.
   Lagipun penjualan tanah mengambil masa yang panjang dan
   harga  tanah tetap meningkat dengan sendirinya.  Pemaju
   tidak   akan   rugi  kerana  memelihara  keadaan   alam
   semulajadi.
   
   22.  Pembangunan negara kita sudah sampai ke tahap yang
   memerlukan  kita  mengubah  sedikit  cara  hidup  kita.
   Persekitaran kita perlu mencerminkan tahap  ini.   Kita
   bukan sahaja perlu mengindahkan kawasan sekeliling kita
   tetapi ia hendaklah setaraf dengan kemajuan yang  telah
   kita  capai.   Ia juga akan membuktikan  tahap  tamadun
   kita.
   
   23.   Selain  daripada  keselesaan hidup,  persekitaran
   yang  indah kerana landskap dan pokok serta pokok bunga
   akan  menjadi  daya  penarik kepada  pelbagai  kegiatan
   sosial dan ekonomi.
   
   24.    Pertumbuhan  industri  pelancongan  juga  banyak
   bergantung   kepada   keadaan   landskap   yang   dapat
   diperlihatkan   di  setengah-setengah   tempat.    Para
   pelancong  tertarik  untuk melihat keadaan  yang  unik,
   indah  dan  bersih.  Salah satu aspek pelancongan  yang
   menarik pelancong antarabangsa dan tempatan adalah yang
   berkonsepkan   mesra   alam.    Pemeliharaan   landskap
   semulajadi  dan  kerosakan yang minima merupakan  teras
   pembangunan   kawasan  pelancongan  di  masa   hadapan.
   Pembangunan resort dan hotel di atas bukit tanpa  perlu
   memotong dan meratakan bukit, pembangunan di atas tasik
   atau  air  tanpa  mencemarkan  keadaan  asal  merupakan
   cabaran  yang  perlu  diambil oleh  pengusaha-pengusaha
   tempatan    untuk   mengekalkan   ciri-ciri    landskap
   semulajadi yang kita miliki.
   
   25.  Kepentingan penanaman pokok tidak dapat dipisahkan
   daripada  aktiviti  landskap.   Penanaman  pokok  perlu
   diteruskan oleh setiap lapisan masyarakat.  Ini  adalah
   kerana  selain  daripada berfungsi membekalkan  oksigen
   dan  menyerap  karbon dioksida, penanaman  pokok  boleh
   menyumbangkan  kepada  corak perdagangan  untuk  negara
   dalam  bentuk `carbon credit'.  Kajian mendapati setiap
   kawasan  seluas  40 meter persegi yang  ditanam  dengan
   pokok   rendang   mampu  menghasilkan   oksigen   untuk
   keperluan  seorang manusia sehari.   Ini  bererti  jika
   negara   kita  memberi  tumpuan  yang  serius  terhadap
   penanaman  pokok, kita mampu menyumbang kepada  bekalan
   oksigen  untuk  kegunaan  negara  maju  di  dunia  yang
   menghadapi  masalah  pencemaran  yang  serius.   Adalah
   menjadi  harapan  kerajaan  setiap  warganegara   dapat
   menanam  sekurang-kurangnya satu  pokok  seumur  hidup.
   Dengan  sebab  itu  kerajaan menyokong  kempen  menanam
   pokok untuk menghijaukan negara perlu diteruskan dengan
   sasaran 20 juta pokok sehingga tahun 2020.
   
   26.   Penjagaan dan penyelenggaraan kawasan yang  telah
   dimajukan  supaya sentiasa kemas, bersih dan berkualiti
   adalah  tanggungjawab  semua  pihak.   Selain  daripada
   Kerajaan  Persekutuan,  pihak  Kerajaan  Negeri   perlu
   memberi   tumpuan   untuk  memelihara   aset   landskap
   semulajadi  yang dimiliki di setiap negeri  di  samping
   memberi  tumpuan  kepada  tahap  penyelenggaraan   yang
   berkualiti  khususnya  di  bandar-bandar.   Pembentukan
   bandaraya-bandaraya  taman  di  seluruh   negara   akan
   menentukan  kejayaan  Malaysia  menjadi  Negara   Taman
   menjelang tahun 2005.
   
   27.    Komitmen   dan   kesungguhan   Kerajaan   Negeri
   melaksanakan  program  landskap harus  disokong  dengan
   penyediaan  peruntukan kewangan yang mencukupi,  tenaga
   profesional  yang  terlatih, organisasi  yang  berkesan
   bagi  pembangunan  landskap  di  negeri  masing-masing.
   Industri  landskap  tidak dapat  berkembang  jauh  jika
   semata-mata   bergantung  kepada  peruntukan   Kerajaan
   Persekutuan  dan  inisiatif  pihak  swasta.   Kerjasama
   daripada  Kerajaan  Negeri untuk  menterjemahkan  dasar
   pembentukan  bandar taman dengan tahap  penyelenggaraan
   dan  taraf  kebersihan yang tinggi adalah amat  penting
   supaya  rakyat keseluruhannya dapat menilai kepentingan
   landskap  sebagai  satu budaya masyarakat  Malaysia  di
   alaf ke-21.
   
   28.        Tugas mengindahkan negara haruslah  dikongsi
   bersama  di  antara agensi kerajaan,  swasta  dan  NGO.
   Dengan sokongan padu semua pihak sahajalah impian  kita
   menjadikan  Malaysia Negara Taman  Tercantik  di  dunia
   menjelang tahun 2020 akan menjadi kenyataan.
   
   29.    Berpaksikan tema hari Landskap negara kali  ini,
   iaitu  `Cintailah  Landskap Kita', saya  menyeru  semua
   pihak  yang  terlibat di dalam pembangunan negara  sama
   ada Kerajaan, swasta, ahli profesional, penggubal dasar
   dan  pemaju  perumahan untuk memberi  keutamaan  kepada
   pembangunan   landskap   serta   pengekalan    landskap
   semulajadi yang kita warisi kerana ia merupakan warisan
   yang akan kita tinggalkan untuk dinikmati oleh generasi
   akan datang.
   
   30.       Dengan ini saya dengan sukacitanya merasmikan
   Hari  Landskap Negara Tahun 2001 dengan tema "CINTAILAH
   LANDSKAP KITA".

   Sumber : Pejabat Perdana Menteri

                                          


 
Google