Oleh/By : DATO SERI DR MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : DEWAN MERDEKA, PWTC, KUALA LUMPUR
Tarikh/Date : 16-03-2001
Tajuk/Title : MAJLIS PERASMIAN HARI
PENGGUNA SEDUNIA
Versi :
Penyampai : PM
Terlebih dahulu saya mengucapkan ribuan terima
kasih kepada jawatankuasa penganjur kerana sudi
menjemput saya untuk menyampaikan sepatah dua kata dan
seterusnya merasmikan Hari Pengguna tahun 2001 anjuran
FOMCA. Semoga dengan penganjuran Hari Pengguna Sedunia
ini akan dapat menyemarakkan lagi semangat
kepenggunaan di kalangan rakyat di negara ini.
2. Sebelum kita huraikan berkenaan hak pengguna, kita
semua harus ingat bahawa tiap pengguna adalah juga
penyumbang kepada pengeluaran barangan dan khidmat yang
diguna oleh pengguna. Jika sebagai pengguna kita
tuntut berbagai-bagai hak, semasa kita mengeluar
barangan atau khidmat hendaklah kita sendiri bersungguh-
sungguh berusaha menentukan hak pengguna dilayan. Kita
tidak harus tuntut daripada orang lain apa yang kita
sendiri tidak sanggup memberi.
3. Hari Pengguna Sedunia atau dikenali juga dengan
Hari Hak-hak Pengguna Sedunia (World Consumer Rights
Day) disambut pada 15 Mac setiap tahun. Sambutan ini
bertujuan untuk menggalak dan meningkatkan kesedaran di
kalangan orang ramai mengenai hak-hak dan tidak kurang
pentingnya tanggungjawab pengguna di dalam sistem
ekonomi negara. Lapan hak pengguna yang telah diterima
secara universal adalah hak mendapat keperluan asas,
hak mendapat keselamatan, hak mendapat maklumat, hak
membuat pilihan, hak bersuara, hak mendapat gantirugi,
hak mendapat pendidikan pengguna dan hak mendapat alam
sekitar yang sihat dan selamat. Walaupun ramai
pengguna sering mengutarakan hak-hak seperti yang
dinyatakan di atas, namun sebahagian besar daripada
mereka sering lupa atau lalai di dalam melaksanakan
tanggungjawab sebagai pengguna. Sebagai contoh semua
pengguna ingin mendapat persekitaran yang bersih,
sihat dan selamat. Tetapi kita selalu mendengar atau
membaca di akhbar-akhbar bahawa ramai daripada pengguna
masih lagi tidak prihatin terhadap penjagaan alam
sekitar dengan membuang sampah di merata-rata tempat.
Adalah tidak wajar bagi para pengguna menuntut hak-hak
mereka sedangkan pada masa yang sama mereka mengabaikan
tanggungjawab bagi bersama-sama menjaga persekitaran
yang sihat dan selamat. Oleh itu, para pengguna perlu
memainkan peranan dan menerima tanggungjawab bersama
dengan pihak Kerajaan dan persatuan-persatuan pengguna
dan orang ramai di dalam meningkatkan kualiti hidup dan
kesejahteraan pengguna.
4. Di Malaysia, perhatian Kerajaan terhadap hal-hal
yang berkaitan dengan kepenggunaan telah bermula lebih
dari dua dekad yang lalu. Di samping menggalak dan
memajukan perdagangan yang sihat dan beretika, Kerajaan
sentiasa berusaha agar kesejahteraan hidup rakyat
sentiasa terjamin dan terpelihara. Justeru itu,
Kerajaan sentiasa mengambil langkah-langkah yang perlu
dalam perancangan dan pelaksanaan semua program
pembangunan negara agar ianya memberi manfaat yang
setinggi-tingginya kepada semua rakyat.
5. Bagi mencapai matlamat ini salah satu bidang yang
diberikan perhatian oleh Kerajaan adalah aspek
perlindungan pengguna. Pengguna mempunyai hak-hak
yang harus dilindungi sama ada melalui peruntukan
undang-undang mahupun melalui program-program
pendidikan dan kesedaran pengguna. Penguatkuasaan Akta
Perlindungan Pengguna 1999 yang bermula pada 15
November 1999 merupakan satu langkah positif dan
berpandangan jauh oleh pihak Kerajaan bagi melindungi
pengguna terutama daripada amalan-amalan perdagangan
yang tidak beretika dengan menjadikan perilaku yang
mengelirukan dan memperdayakan sebagai satu kesalahan
jenayah. Akta Perlindungan Pengguna 1999 adalah
bertujuan untuk menjaga kepentingan seluruh rakyat di
negara ini dan bukannya bertujuan untuk menyulitkan
mana-mana pihak, malah menjamin ketelusan dalam
perniagaan demi kepentingan dan kesejahteraan pengguna
dan juga peniaga. Akta ini juga tidak bermaksud
menyekat perkembangan perdagangan di negara ini bahkan
akan mewujudkan suasana perdagangan yang sihat dan
berdaya saing berasaskan kepada amalan-amalan yang
beretika.
6. Penubuhan tribunal tuntutan pengguna di bawah
Seksyen 85 Bahagian 12 Akta Perlindungan Pengguna 1999
adalah bertujuan untuk mewujudkan satu lagi saluran
bagi para pengguna membuat tuntutan gantirugi terhadap
kerugian yang mereka alami semasa proses jual beli
mahupun mendapatkan perkhidmatan daripada para peniaga.
Saluran tuntutan melalui Tribunal Tuntutan Pengguna
adalah murah, mudah dan cepat. Sebelum ini para
pengguna yang ingin membuat tuntutan kerugian terpaksa
membawa tuntutan mereka ke Mahkamah Sivil di mana ianya
melibatkan proses yang rumit, kos yang tinggi dan masa
yang panjang untuk diselesaikan.
7. Peranan Persatuan Pengguna dalam membantu pihak
Kerajaan meningkatkan lagi kesedaran kepenggunaan di
kalangan rakyat di negara ini adalah amat penting.
Persatuan-persatuan pengguna seharusnya lebih aktif di
dalam merangka dan melaksanakan program-program
kepenggunaan dengan mengadakan ceramah, seminar,
bengkel kepada ahli-ahli persatuan mahupun kepada
golongan sasar yang dikenalpasti. Malangnya terdapat
persatuan-persatuan pengguna yang tidak aktif di dalam
melaksanakan peranan dan tanggungjawab mereka dan ada
antara persatuan-persatuan pengguna yang mempunyai
keahlian yang kecil. Akibatnya mereka tidak mampu
untuk menganjurkan program dan aktiviti kepenggunaan
dan sentiasa mengharapkan Kerajaan untuk melaksanakan
tanggungjawab tersebut. Perkara seperti ini tidak
seharusnya berlaku dan persatuan-persatuan pengguna
mestilah mempunyai rasa tanggungjawab untuk bersama-
sama dengan Kerajaan mendidik para pengguna,
memperlengkapkan pengguna dengan ilmu dan maklumat agar
pengguna di Malaysia mempunyai kesedaran kepenggunaan
yang tinggi dan mampu melaksanakan tanggungjawab
sebagai pengguna dengan berkesan.
8. Saya ingin menyeru kepada semua pemimpin persatuan
pengguna supaya lebih proaktif di dalam membantu
Kerajaan mendidik pengguna terutama di era globalisasi
dan sistem pasaran terbuka yang sedang berkembang
dengan pesatnya. Persatuan-persatuan pengguna
mempunyai tugas dan tanggungjawab memperjelaskan kepada
orang ramai aspek-aspek positif dan negatif
globalisasi, kesan globalisasi kepada negara, rakyat
dan pengguna. Pengguna juga harus diperjelaskan sistem
pasaran terbuka yang diamalkan oleh negara pada hari
ini supaya pengguna dan orang ramai akan lebih faham
dan tidak menyalahkan Kerajaan semata-mata apabila
berlaku turun naik harga barangan di pasaran. Tuntutan
supaya kualiti dan kecekapan dinaikkan tetapi harga dan
bayaran diturunkan tidak mencerminkan perhitungan yang
waras. Kesedaran bahawa kos segala-galanya sudah
meningkat tetapi dituntut juga supaya harga dan bayaran
tidak dinaikkan bahkan dikurangkan tentulah tidak
munasabah. Sebelum tuntutan dibuat kajian yang
mendalam tanpa melihat hanya kepentingan pengguna
sahaja perlu dibuat. Sudah tentu sebelum pendirian
dibuat oleh kesatuan pengguna berkenaan dengan sesuatu
masalah, kajian perlu dibuat. Semua ini akan
meningkatkan martabat persatuan-persatuan pengguna
sebagai persatuan yang prihatin, cermat dan berwibawa
dan dihormati oleh semua pihak. Persatuan-persatuan
pengguna seharusnya bertindak sebagai pelengkap kepada
usaha-usaha Kerajaan di dalam mendidik para pengguna.
Oleh itu, hubungan yang baik dan mesra di antara
persatuan-persatuan pengguna dengan agensi-agensi
Kerajaan seharusnya dipertingkatkan lagi pada masa-masa
yang akan datang demi kesejahteraan pengguna di negara
ini. Sebagai sebuah persatuan yang mempunyai hubungan
yang rapat dengan kumpulan sasar di peringkat akar
umbi, maklumat yang disalurkan oleh persatuan pengguna
boleh membantu pihak Kerajaan merancang dasar yang
sesuai untuk negara ini keseluruhannya. Janganlah
persatuan membenar diri didorong oleh kepentingan lain
seperti kepentingan politik.
9. Perkembangan dan perubahan di dalam teknologi
komputer dan maklumat telah, sedang dan akan berlaku
dengan pesatnya. Cara urusniaga juga turut berubah
selaras dengan perubahan teknologi komputer dan
maklumat. Jika dahulu pengguna bertemu dengan peniaga
untuk membeli barangan dan perkhidmatan, sekarang
dengan adanya perubahan di dalam teknologi maklumat,
pertemuan "face-to-face" di antara pembeli dengan
peniaga tidak diperlukan lagi. Pada hari ini urusniaga
boleh dilakukan dengan hanya menggunakan sebuah
komputer di mana seorang pembeli di Malaysia boleh
membuat pembelian daripada sebuah syarikat yang
bertempat di luar Malaysia tanpa surat-menyurat.
Urusniaga secara e-dagang akan menjadi perkara biasa.
Walaupun ramai pihak meragui urusniaga secara e-dagang
terutama yang melibatkan aspek pembayaran dan
perkhidmatan syarikat kepada pengguna, namun kita harus
menerima hakikat urusniaga yang sedemikian akan menjadi
begitu penting pada masa akan datang. Justeru itu,
para pengguna haruslah berhati-hati dan berwaspada
semasa berurusniaga secara e-dagang agar mereka tidak
mudah ditipu. Pihak Kerajaan akan sentiasa memantau
perkara ini sama ada yang melibatkan pengguna mahupun
kepentingan para peniaga demi menjamin kejayaan di
dalam e-dagang dan menjaga kepentingan semua pihak.
Oleh itu, saya ingin menyeru para pengguna supaya
menambah kemahiran berkaitan dengan e-dagang untuk
membuat keputusan yang bijak dan tepat tanpa merugikan
diri sendiri. Generasi pengguna yang celik komputer
akan dapat memainkan peranan yang penting bersama-sama
dengan Kerajaan untuk memantapkan ekonomi negara.
10. Pada hari ini negara-negara membangun berlumba-
lumba menawarkan kadar upah dan faktor-faktor
pengeluaran yang lebih murah untuk menarik pelabur.
Negara-negara membangun juga turut membuka pasaran
kerana kononnya ia akan meningkatkan lagi pertumbuhan
ekonomi dan taraf hidup rakyat. Bahayanya ialah bank,
badan korporat dan barangan asing akan menakluki
sepenuhnya pasaran di negara-negara membangun. Negara-
negara membangun akan menjadi "dumping ground" bagi
barangan dari negara-negara maju dan besar kemungkinan
barangan ini tidak bermutu dan setengah-setengahnya
tidak sesuai digunakan oleh manusia. Oleh itu
globalisasi yang dilaung-laungkan oleh negara maju
mungkin merupakan retorik semata-mata. Kita telah
lihat bagaimana penyangak matawang hampir berjaya
melumpuhkan ekonomi kita. Kita tidak ingin lihat
globalisasi pula menyebabkan ekonomi negara kita
dikawal oleh negara lain dan pada akhirnya rakyat akan
mengemis di negara sendiri bila segala-galanya dikuasai
oleh syarikat asing. Oleh itu saya ingin menyeru kepada
para pengguna supaya tidak membelakangkan barangan dan
khidmat tempatan untuk menjaga kebebasan dan kedaulatan
negara.
11. Saya juga ingin menyeru para pengguna di Malaysia
supaya mengikis gaya dan budaya berbelanja secara
mewah, tetapi sebaliknya merancang perbelanjaan
mengikut kemampuan dan seterusnya mengelakkan
pembaziran kerana sifat-sifat yang sedemikian boleh
membawa kesan negatif kepada diri sendiri dan juga
negara. Kepada para peniaga, yang juga pada masa yang
sama adalah pengguna, amalkanlah etika perniagaan yang
baik dan bertanggungjawab. Ingatlah jika sebagai
pengguna peniaga ingin dapat layanan dan barangan yang
baik, semasa menjadi peniaga kita hendaklah juga
memberi layanan dan membekal barangan yang juga baik.
Peniaga tidak akan rugi bahkan akan mendapat
penghargaan dan pengiktirafan oleh pasaran sebagai
peniaga yang beretika dan boleh dipercayakan.
Perniagaan tentu akan lebih laris.
12. Saya difahamkan sambutan Hari Pengguna Sedunia
setiap tahun adalah berasaskan kepada anjuran Consumer
International sebuah pertubuhan pengguna di peringkat
antarabangsa. Saya percaya Malaysia sebagai sebuah
negara yang berdaulat dan merdeka seharusnya mempunyai
sambutan hari pengguna yang lebih bersifat nasional
atau kebangsaan. Ini bertujuan untuk memberikan lebih
fokus kepada isu-isu pengguna di peringkat Kebangsaan
dan menjadikan sambutan lebih bermakna lagi. Saya juga
difahamkan beberapa negara di dunia menyambut hari
pengguna yang bersifat nasional atau Kebangsaan.
Sambutan hari pengguna peringkat Kebangsaan akan
menjadi lebih berfaedah jika sambutan ini dapat
diadakan secara berterusan dalam jangka masa yang
tertentu seperti satu minggu. Saya yakin banyak
program dan aktiviti yang boleh diadakan semasa Minggu
Pengguna peringkat Kebangsaan dengan penyertaan yang
lebih menyeluruh dan meluas daripada pengguna sendiri,
peniaga dan juga pengeluar. Oleh itu saya
mencadangkan, selain daripada menyambut Hari Pengguna
Sedunia, negara hendaklah mengadakan sambutan Hari
Pengguna peringkat Kebangsaan dan diikuti dengan Minggu
Pengguna Kebangsaan.
13. Akhir kata sekali lagi saya merakamkan setinggi-
tinggi penghargaan dan terima kasih kepada pihak
penganjur kerana kesudian menjemput saya pada hari ini.
Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada semua
pihak yang telah sama-sama menjayakan sambutan Hari
Pengguna Sedunia 2001. Dengan ini, dengan lafaz
Bismillahir rahmannir rahim, saya dengan sukacitanya
merasmikan sambutan Hari Pengguna Sedunia Tahun 2001.
Sumber : Pejabat Perdana Menteri
|