home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
Oleh/By  	:	DATO SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue	:	THE MAGELLAN SUTERA, 
			KOTA KINABALU, SABAH
Tarikh/Date	:	24-03-2001
Tajuk/Title 	:	MAJLIS PERASMIAN KONGRES EKONOMI 
			BUMIPUTERA SABAH 2001
Versi 		:	
Penyampai	:  	PM


	  
   
   Pertama  sekali  saya  ucapkan  berbanyak  terima  kasih
   kerana  jemputan kepada saya oleh pihak penganjur  untuk
   berucap   dan  seterusnya  merasmikan  Kongres   Ekonomi
   Bumiputera Sabah 2001 ini.
   
   2.     Sungguh   pun   kongres  ini  sudah   agak   lama
   tertangguh,  namun  isu-isu serta  perkara-perkara  yang
   akan  dibincangkan dalam kongres ini masih lagi  relevan
   khususnya  yang berkaitan dengan peluang dan masa  depan
   ekonomi kaum Bumiputera di Sabah.
   
   3.    Saya percaya kongres ini sangat dinanti-nanti oleh
   kebanyakan  masyarakat  Bumiputera,  terutama   golongan
   peniaga  dan  usahawan di negeri  Sabah  ini.    Dilihat
   pada   tajuk  dan  temanya  sahaja  "EKONOMI  BUMIPUTERA
   SELEPAS   2000;  CABARAN  DAN  HALATUJU"   ianya   tentu
   menimbulkan  rasa ingin tahu disamping melahirkan  suatu
   harapan  masa depan para usahawan Bumiputera  di  Sabah.
   Mudah-mudahan  usaha  murni  yang  dipelopori   Kerajaan
   Negeri   Sabah   ini,  bersama-sama  dengan   Perbadanan
   Pembangunan  Ekonomi  Sabah  (SEDCO),  Dewan  Perniagaan
   Bumiputera   Sabah   (DBPS),  Dewan  Perniagaan   Melayu
   Malaysia Cawangan Sabah (DPMM) dan Dewan Perniagaan  dan
   Perindustrian Kadazandusun (KCCI) ini, mampu  membuahkan
   hasil  yang  baik  demi memperbaiki,  mempertingkat  dan
   menentukan  nasib  masa  depan  dan  halatuju   golongan
   peniaga dan usahawan Bumiputera di Sabah.
   
   4.    Kedudukan  ekonomi kaum Bumiputera di  negara  ini
   masih  lagi  terkebelakang  berbanding  kaum-kaum   yang
   lain.    Sebilangan  besar masyarakat  Bumiputera  masih
   lagi   terdiri   daripada  nelayan,  petani,   peladang,
   penternak  dan  peniaga kecil-kecilan  yang  tinggal  di
   kampung-kampung  atau  di kawasan-kawasan  luar  bandar.
   Ini  tidak  menepati sasaran menghapuskan identiti  kaum
   dengan   fungsi  ekonomi  di  negara  Malaysia.   Selagi
   majoriti  Bumiputera masih `kais pagi  makan  pagi'  dan
   `kais  petang makan petang' maka kita tidak boleh anggap
   kita  sudah  mencapai kejayaan dalam pembangunan  negara
   kita.
   
   5.    Oleh  itu walaupun tuduhan dibuat bahawa  Kerajaan
   Malaysia mengamalkan kronisma Kerajaan tetap akan  terus
   berusaha membantu Bumiputera supaya pembangunan  ekonomi
   mereka  meletakkan mereka setaraf dengan kaum-kaum  lain
   di    Malaysia.    Kerajaan   akan   mencipta   pelbagai
   pendekatan dan cara untuk tujuan ini.  Sebab  itu  baru-
   baru   ini  kita  telah  perkenalkan  `Prosper'  sebagai
   pendekatan   yang  sesuai  untuk  menentukan  Bumiputera
   terlibat   secara   berkesan  dalam  bidang   perniagaan
   runcit.   Demikian  juga  pelbagai  dana  telah  ditubuh
	   untuk membantu Bumiputera daripada segi modal.
   
   6.    Pelbagai  jenis latihan perniagaan dan  perusahaan
   telah  juga diadakan.  Untuk meningkatkan lagi kecekapan
   Bumiputera  dalam bidang pengurusan, sesuatu  yang  amat
   penting   dalam  perniagaan,  sebuah  universiti   telah
   ditubuh   khusus   untuk  disiplin   ini.    Universiti-
   universiti  lain juga mengadakan pelbagai  jenis  kursus
   sehingga   ke   taraf   kedoktoran  untuk   meningkatkan
   kecekapan  Bumiputera  dalam  ekonomi,  pengurusan   dan
   perniagaan.  Pendek kata sudah banyak usaha yang  dibuat
   oleh   Kerajaan  untuk  memulihkan  prestasi  Bumiputera
   meningkat   dalam  bidang  perniagaan   dan   perusahaan
   sehingga   terhapus  identifikasi  kaum  dengan   fungsi
   ekonomi.    Banyaklah  kejayaan  yang  dicapai  sehingga
   Bumiputera tidak lagi berasa mereka tidak mendapat  apa-
   apa  bahagian  untuk  mereka daripada  kekayaan  negara.
   Puas   hatinya   mereka  dibuktikan  apabila   kegawatan
   menyerang  negara  kita tetapi tidak  ada  rusuhan  kaum
   yang  berlaku,  seperti  yang berlaku  di  negara-negara
   lain.
   
   7.    Walaupun  demikian Kerajaan  akan  berusaha  lagi.
   Tetapi   usaha   Kerajaan  sahaja  tidak  akan   membawa
   kejayaan,  selagi   Bumiputera  sendiri  tidak  mengubah
   sikap  dan berusaha dengan lebih gigih.  Demikian  tidak
   akan  ada  peningkatan bahagian Bumiputera  jika  setiap
   kali  saham  diagihkan  kepada  Bumiputera  maka  mereka
   terus  menjualnya kepada bukan Bumiputera untuk mendapat
   keuntungan   cepat.    Wang  yang  mereka   dapat   pula
   dibelanja  hangus dan mereka menunggu lagi untuk  diagih
   saham-saham  lain.  Tabiat menjual lesen, AP  dan  lain-
   lain  yang  diperuntukkan kepada Bumiputera  juga  tidak
   akan  menolong  meningkatkan bahagian  Bumiputera  dalam
   perniagaan.    Menjual  nama  kepada  bukan   Bumiputera
   adalah  satu lagi cara menggagalkan dasar untuk menambah
   penyertaan Bumiputera dalam perniagaan.
   
   8.    Selain  daripada itu, kelemahan  Bumiputera  dalam
   bidang  pengurusan  menyebabkan ramai  Bumiputera  bukan
   sahaja  gagal  tetapi hilang modal  pelaburan  dan  wang
   yang   dihutang   untuk   perniagaan.    Jauh   daripada
   menjayakan    perniagaan   dan   menaikkan    penyertaan
   Bumiputera    dalam    bidang   perniagaan,    kelemahan
   pengurusan  menghakis  peratusan  penyertaan  Bumiputera
   dalam perniagaan dan perusahaan.
   
   9.     Kurang   modal   kerap  disebut   sebagai   sebab
   Bumiputera tidak dapat memasuki bidang-bidang  tertentu.
   Memanglah benar tanpa modal yang cukup Bumiputera  tidak
   mungkin  memasuki bidang perniagaan.  Tetapi ada  antara
   orang  daripada  kaum  lain yang  juga  tidak  bermodal.
   Namun  mereka  dapat  memasuki  bidang  perniagaan   dan
   perniagaan  mereka  tumbuh  dan  menjadi  begitu   besar
   sehingga     mereka     menjadi    `millionaire'     dan
   `billionaire'.
   
   10.   Lim  Goh  Tong  datang ke Malaysia  untuk  menjadi
   kuli.   Hari ini dia adalah seorang `billionaire'.   Dan
   ramai  lagi orang lain yang bermula tanpa satu  sen  pun
   modal   tetapi   hari   ini  sudah  menjadi   kaya-raya.
   Bagaimana  mereka  dapat mengumpul modal,  berniaga  dan
   mengadakan  perusahaan sehingga menjadi  begitu  berjaya
   sepatutnya  dikaji dan dipelajari oleh semua  Bumiputera
   dan   percubaan  dibuat  untuk  meniru  dan  mengamalkan
   pendekatan yang dibuat oleh mereka yang berjaya ini.
   
   11.   Saya berpendapat mereka bermula dengan makan gaji.
   Kerana  kerajinan  mereka, mereka menjadi  begitu  cekap
   sehingga gaji mereka naik dengan cepat.  Sepanjang  masa
   mereka  menabungkan pendapatan mereka  walaupun  sedikit
   sahaja  pada  mulanya.   Setelah  sekian  lama  tabungan
   mereka  mencukupi  untuk  perniagaan  kecil  atau  untuk
   kontrak kecil.
   
   12.   Kerana  mereka cekap dan mereka menunaikan  segala
   janji  mereka dengan tepat dan mengikut jadual, terutama
   berkenaan  hutang  maka mereka lebih dipercayai.   Hasil
   perniagaan  atau kontrak mereka bertambah.   Pihak  bank
   dan  pelanggan  mereka  sanggup  memberi  pinjaman  yang
   mereka  tetap  membayar balik mengikut  jadual.   Mereka
	   tidak lokek.
   
   13.   Dengan  ini  perniagaan mereka  dapat  dibesarkan.
   Mereka  melayan  sesiapa  yang  menolong  mereka  dengan
   cukup  baik.   Mereka  rela  korban  kepentingan  mereka
   supaya  orang  yang menolong mereka tidak  kecewa.   Ini
   menyebabkan mereka terus diberi pertolongan.
   
   14.   Pengurusan perniagaan dan kewangan  mereka  dibuat
   dengan cukup cermat.  Mereka tidak berlagak dengan  cara
   hidup  yang  mereka  tidak mampu membiayai.   Sebaliknya
   cara  hidup  mereka  lebih rendah daripada  yang  mereka
   mampu.    Walau  bagaimana  kaya  dan  tinggi  kedudukan
   mereka  dalam  perniagaan  yang  mereka  usahakan   atau
   miliki   mereka  tetap  bekerja  kuat,  tetap   menyelia
   sendiri segala urusan perniagaan mereka.
   
   15.   Semua  peniaga dan pengusaha yang  berjaya  adalah
   seperti  mereka  yang  saya gambarkan  ini.   Duit  yang
   mereka  perolehi  tidak  datang dengan  mudah.   Justeru
   itu,  mereka amat menghargai pendapatan mereka dan tidak
   membazirkannya.   Mereka  bukan  kedekut  tetapi  mereka
	   amat cermat dalam mengurus kewangan mereka.
   
   16.   Saya yakin jika kita Bumiputera menjadikan  mereka
   yang  berjaya  ini sebagai contoh dan kita  amalkan  apa
   yang   mereka  amal  kita  tetap  berjaya,  jika   tidak
   setinggi  mereka, sekurang-kurangnya kita tidak terjebak
   dengan  masalah hutang yang tidak dapat dibayar, menjadi
   muflis dan sebagainya.
   
   17.   Kita  harus  ingat  jika  kekayaan  datang  dengan
   terlalu   mudah,  ia  juga  akan  pergi  dengan   mudah.
   Mengatasi pelbagai rintangan dan cabaran dalam  mengejar
   sesuatu  mencanaikan ketajaman kecekapan kita.   Apabila
   projek  dan  hutang didapati dengan mudah  mereka  tidak
   akan  ada  apa-apa  pengajaran  yang  diperolehi.   Juga
   penghargaan  terhadap  apa yang diperolehi  berkurangan.
   Dengan  itu  tidak  ada kecekapan  dan  tidak  terbentuk
   sikap   yang   boleh  menolong  menjayakan  usaha   kita
   merentasi  cabaran-cabaran yang akan datang.  Sebaliknya
   orang    yang   tidak   bermasalah,   apabila   berniaga
   dibebankan  dengan hutang yang tidak dapat  dibayar  dan
   kemungkinan   menjadi  muflis.    Yang   dikejar   tidak
   didapati, yang dikendong berciciran.
   
   18.    Cita-cita   kita  untuk  menjadi   peniaga   atau
   kontraktor  yang  besar  dan kaya  tidak  boleh  dibenar
   terlalu mempengaruhi kita sehingga kita tidak sabar  dan
   kita  buat  apa  sahaja  untuk mencapai  cita-cita  ini.
   Kita  boleh  ada  cita-cita besar  apabila  sudah  layak
   tetapi  kita perlu bersabar dan sanggup mengambil  masa.
   Kata  orang  tua-tua "biar lambat asal selamat".   Tidak
   ada  nasihat yang lebih baik daripada ini.   Kita  lihat
   orang  politik  pun akan jatuh tersungkur  jika  terlalu
   gopoh.   Ahli perniagaan juga akan mengalami nasib  yang
   sama   jika  tidak  sabar  untuk  menjadi  kaya.   Ingin
   menjadi kaya cepatlah yang menyebabkan kita tertipu  dan
   melabur  dalam  `pyramid scheme'  yang  tidak  mempunyai
   asas   perniagaan  tetapi  bergantung  kepada  penipuan.
   Sebenarnya  tidak  ada jalan yang  mudah  untuk  menjadi
   kaya  melalui  perniagaan.  Menjual lesen  atau  kawasan
   balak  yang  diperolehi  bukan  perniagaan.   Perniagaan
   bermakna menambah nilai kepada apa yang ada kepada  kita
   supaya  perniagaan boleh diteruskan sebagai satu kerjaya
   seumur hidup.
   
   19.   Saya  sedar  ramai yang akan berkata  tidak  perlu
   saya   ulangi  perkara-perkara  yang  sudah   pun   kita
   ketahui.   Sebaliknya  Kerajaan hendaklah  menubuh  dana
   baru  dan  memberi kontrak dan menyekat pihak lain  yang
   bersaing  dengan kita, Bumiputera.  Kerajaan boleh  buat
   semua  ini  dan  Kerajaan telah pun membuat  apa  sahaja
   yang  disyor  atau didesak oleh Bumiputera.   Sebenarnya
   jika  Kerajaan  memberi layanan kepada bukan  Bumiputera
   seperti  yang  diberi  kepada  Bumiputera,  mereka  akan
   menguasai  seluruh  ekonomi negara dan  kaum  Bumiputera
   akan  menjadi  pengemis.   Hanya  dengan  tidak  memberi
   layanan  istimewa  kepada  Bumiputera  sahaja  pun  akan
   menyebabkan   bukan   Bumiputera  menguasai   sepenuhnya
   ekonomi   negara.   Tetapi  yang  jelas  ialah   setelah
   mengadakan   bermacam-macam  dasar,   usaha,   keutamaan
   kepada  Bumiputera  selama lebih dari  30  tahun,  iaitu
   sejak  1970,  pencapaian Bumiputera amatlah  rendah  dan
   mengecewakan  -  hanya  19  peratus.   Kerajaan  sanggup
   dikecam,  dituduh  mengamalkan kronisma,  dituduh  tidak
   adil  dan  bermacam  fitnah dan  tohmahan  kerana  ingin
   menolong  Bumiputera memperolehi bahagian  mereka  dalam
   ekonomi  negara.   Tetapi apa gunanya  menerima  kecaman
   jika    matlamat    mengimbangkan   kedudukan    ekonomi
   Bumiputera dengan bukan Bumiputera tidak tercapai.   Dan
   dianya  tidak  tercapai dan tidak akan  tercapai  kerana
   kita  tidak ubati penyakit yang sebenar iaitu  kelemahan
   yang ada pada Bumiputera sendiri.  Selagi kelemahan  ini
   ada  segala  ubat  yang hanya mencerminkan  keistimewaan
   Bumiputera tidak akan membawa hasil yang disasarkan.
   
   20.     Namun    Kerajaan   tidak    akan    mengabaikan
   tanggungjawabnya  terhadap  Bumiputera,  khusus   kepada
	   Bumiputera di Sabah:-
   
   i)     Keutamaan  akan  terus  diberi  kepada  usahawan-
   usahawan   Bumiputera  Sabah  daripada  segi   pemberian
   kontrak-kontrak Kerajaan, dengan syarat ia tidak  diali-
   babakan;
   
   ii)     Kerajaan    akan    membantu    membangun    dan
   mempertingkatkan  lagi program MPPB di  Sabah,  termasuk
   program keusahawanan khusus untuk kaum Wanita;
   
   iii)   Kementerian  Pendidikan  akan  bekerjasama  rapat
   dengan  Kementerian Pembangunan Usahawan untuk  menambah
   bilangan institusi melatih usahawan muda di Sabah;
   
   iv)   Institusi pengajian tinggi di Sabah,  seperti  UMS
   dan  UiTM, akan mengadakan program latihan jangka pendek
   dan  jangka  panjang  keusahawanan,  khusus  untuk  para
   pegawai  kerajaan  dan swasta yang  akan  bersara,  bagi
   melatih  dan membimbing mereka ke arah menjadi  usahawan
   IKS;
   v)     Kementerian  Pembangunan  Usahawan  akan  membuat
   "feasibility  study" di bandar-bandar  utama  di  Sabah,
   bagi   menjayakan   projek  "Prosper"   iaitu   menambah
	   Bumiputera dalam bidang runcit;
   
   vi)     Kementerian   Luar   Negeri   dan    Kementerian
   Perdagangan   Antarabangsa  dan  Industri,   Kementerian
   Pembangunan Perindustrian Sabah, akan memainkan  peranan
   mereka  secara  agresif bagi mempercepatkan  pembangunan
   Kawasan   Pertumbuhan  Asean  Timur,   BIMP-EAGA   untuk
   membuka   pasaran   baru   untuk   usahawan   Bumiputera
   tempatan;
   
   vii)  Kerajaan  akan memperluaskan konsep mentor/mentee,
   vendor/vendee,  francaisor/francaisee  di   Sabah   bagi
   membantu  memperkembangkan  lagi  perniagaan  Bumiputera
   dalam  sektor-sektor  pembuatan,  pengeluaran  peralatan
   elektrik  dan  elektronik, plastik, perabot,  petroleum,
   tenaga dan telekomunikasi;
   
   21.    Dengan   ini,  adalah  diharapkan  agar   program
   pembangunan   MPPB   di  Sabah  dapat   dipertingkatkan,
   sekaligus  dapat melahirkan golongan usahawan Bumiputera
   kelas   menengah,   sesuai  dengan   matlamat   kerajaan
   mengimbangkan    ekonomi   Bumiputera    dengan    bukan
	   Bumiputera.
   
   22.   Usahawan  Bumiputera Sabah perlu mengorak  langkah
   dengan  pantas  bagi mengejar tempoh  waktu  yang  masih
   tertinggal;   bangkit  dan  mempersiapkan   diri   untuk
   berhadapan  dengan  segala cabaran  dan  saingan  sengit
   yang  muncul bersama era globalisasi di alaf  baru  ini.
   Di  pihak Kerajaan, sama ada negeri mahu pun pusat, kita
   akan    terus    berusaha   membantu   bagi   memastikan
   pembangunan MPPB terlaksana dengan jayanya.
   
   23.   Semoga Kongres Ekonomi Bumiputera Sabah  2001  ini
   akan  membuka  ruang dan peluang yang  baru  untuk  kita
   sama-sama  menjayakan matlamat membangun  dan  memajukan
   masyarakat  usahawan Bumiputera di Sabah selaras  dengan
   hasrat   kerajaan  untuk  membentuk  golongan   usahawan
   Bumiputera  kelas menengah yang berwibawa,  dinamik  dan
   berpotensi tinggi.
   
   24.   Dengan  lafaz  `Bismillahir rahmanir  rahim'  saya
   dengan  ini merasmikan Kongres Ekonomi Bumiputera  Sabah
   2001.
   

   Sumber : Pejabat Perdana Menteri

                                          


 
Google