home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
Oleh/By  	:	DATO SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue	:	RADIO DAN TELEVISYEN MALAYSIA
Tarikh/Date	:	01-05-2001
Tajuk/Title 	:	PERUTUSAN HARI PEKERJA
Versi 		:	
Penyampai	: 	PM

   
        Warga  pekerja  di  negara  kita  sungguh  bertuah
   kerana  sekali lagi dapat menyambut Hari Pekerja  tahun
   ini   dalam   keadaan   terselamat   daripada   ancaman
   pengangguran secara besar-besaran.  Kerajaan pula terus
   menghargai  dan mengiktiraf sumbangan dan  jasa  mereka
   kepada kemajuan negara.
   
   2.   Hari Pekerja diraikan kerana negara dan masyarakat
   menghargai sumbangan pekerja kepada pembangunan negara.
   Sementara  kita tidak menafikan peranan majikan  tetapi
   majikan dengan sendirinya tidak mungkin menjayakan apa-
   apa  usaha.   Tetapi di masa yang sama kita juga  perlu
   mengakui  bahawa tanpa pelabur dan majikan, tidak  akan
   ada peluang pekerjaan dan tidak akan ada pekerja.
   
   3.    Sebenarnya  kita semua saling gantung  bergantung
   kepada  semua  pihak.  Seperti kata orang,  kita  tidak
   mungkin bertepuk dengan sebelah tangan.
   
   4.   Pada satu masa dahulu pemodal atau Kapitalis telah
   menindas  pekerja mereka secara tidak bertimbang  rasa.
   Untuk   mendapat  keadilan,  masyarakat  pekerja  telah
   menubuhkan  kesatuan-kesatuan sekerja  dan  parti-parti
   buruh.  Melalui tindakan perusahaan dan sokongan kepada
   parti-parti  buruh,  penindasan ke atas  pekerja  dapat
   dikurangkan.  Malangnya  kekuatan  kesatuan  dan  parti
   buruh menyebabkan mereka membuat tuntutan-tuntutan yang
   keterlaluan.   Kerajaan-Kerajaan  yang  didirikan  oleh
   parti  buruh atau Sosialis telah memiliknegarakan semua
   perusahaan  dengan kepercayaan bahawa segala keuntungan
   yang  didapati  akan  dapat  diagihkan  kepada  pekerja
   dengan lebih saksama.
   
   5.   Malangnya ini menyebabkan produktiviti menurun dan
   kos   pengeluaran  meningkat  dengan   tinggi.    Hasil
   keluaran  menjadi  tidak berdaya saing  dan  keuntungan
   tidak  diperolehi.   Akhirnya  ekonomi  negara  merosot
   dengan teruknya.
   
   6.    Kepercayaan kepada Kerajaan Sosialis  atau  buruh
   merosot  kerana ini dan pekerja sendiri  menolak  parti
   mereka  dan  memilih  parti yang lebih  memihak  kepada
   majikan dan Kapitalis.
   
   7.    Oleh kerana Kerajaan-Kerajaan Kapitalis ini tidak
   lagi  begitu  menekan pekerja untuk mendapat  sokongan,
   parti-parti  buruh terpaksa menghargai peranan  pelabur
   Kapitalis.  Dengan itu kita lihat sekarang parti  buruh
   tidak banyak berbeza daripada parti yang disokong  oleh
   kapitalis.   Mereka  juga menerima penswastaan  sebagai
   pendekatan yang baik untuk menjaga kepentingan pekerja.
   Demikian kita melihat perbezaan antara peranan  pekerja
   dengan  majikan tidak sebegitu ketara lagi.  Masyarakat
   terpaksa mengakui akan peranan kedua-dua pihak, pelabur
   dan  Kapitalis  di satu pihak dengan pekerja  di  pihak
   lain, adalah sama penting.
   
   8.    Tetapi proses menentukan peranan siapa yang lebih
   penting  dan  perlu dihargai belum tamat.   Sepertimana
   kita  semua tahu semasa Perang Dingin, persaingan ialah
   antara   negara  Sosialis  dan  Komunis  yang  kononnya
   memihak  kepada pekerja atau buruh dengan puak  pasaran
   bebas   yang  mengutamakan  kepentingan  pelabur   atau
   Kapitalis.    Persaingan  ini  berakhir  apabila   blok
   Sosialis ditewaskan oleh blok Kapitalis pasaran  bebas.
   Kekalahan  blok  Sosialis  adalah  `total'   dan   puak
   Kapitalis  tidak  ada  lagi sesiapa  yang  mencabarnya.
   Dengan   itu  mereka  tidak  lagi  menerima   keperluan
   mengawal nafsu tamak mereka.
   
   9.     Niat  mereka  yang  lama  untuk  menguasai   dan
   mengeksploitasi  seluruh dunia sudah  kembali.   Mereka
   mencipta  pelbagai pendekatan untuk menjayakan matlamat
   mereka.   Antaranya ialah globalisasi atau dunia  tanpa
   sempadan  di mana wang yang bertimbun-timbun  yang  ada
   pada   mereka  boleh  melintasi  semua  sempadan  untuk
   menguasai segala-galanya.
   
   10.  Dalam perancangan mereka pekerja tidak ada peranan
   selain daripada menyumbang kepada keuntungan besar bagi
   mereka.   Demikian jika upahan pekerja di  satu  negara
   tinggi  sedikit,  mereka akan mencabut  perusahaan  dan
   perniagaan  mereka untuk pergi ke negara di  mana  upah
   adalah  lebih  murah.  Penderitaan  pekerja  yang  akan
   menganggur  akibat  tindakan mereka tidak  sedikit  pun
   akan  mempengaruhi fikiran mereka.  Bahawa sebelum  ini
   mereka  meraih  keuntungan yang besar  hasil  sumbangan
   tenaga  pekerja  mereka  tidak  dihargai  sama  sekali.
   Tidak akan ada kesetiaan bagi yang setia kepada mereka?
   
   11.   Kesan  daripada tindakan ini tidak terhad  kepada
   pekerja  mereka sahaja, tetapi juga kepada  negara  dan
   kepada  masyarakat  pekerja  keseluruhannya.   Akhirnya
   mereka yang sudah kaya, Kapitalis jenis baru ini,  akan
   lebih   kaya   dan  yang  miskin  akan  lebih   miskin.
   Keadaannya tidaklah banyak berbeza daripada pengguguran
   pekerja  tempatan kerana ingin mengganti dengan pekerja
   asing yang sanggup menerima upahan yang lebih rendah.
   
   12.    Kemungkinan-kemungkinan  ini  hendaklah   diberi
   perhatian  oleh masyarakat pekerja di zaman globalisasi
   ini.   Jika Kerajaan sekarang tidak begitu senang  hati
   dengan  globalisasi dan ingin mengadakan  syarat-syarat
   tertentu, sebabnya ialah kerana kita tidak yakin dengan
   keikhlasan  mereka yang mencipta globalisasi  dan  cuba
   memaksa  penerimaannya  secepat  mungkin.   Kita  telah
   melihat  bagaimana kebebasan yang diberi untuk menjual-
   beli   matawang   telah  menyebabkan   jutaan   pekerja
   kehilangan   pekerjaan  dan  menjadi   miskin   semula.
   Perniagaan  matawang adalah sebahagian daripada  proses
   globalisasi.  Apakah tidak mungkin globalisasi  seperti
   yang  dilaksanakan  sekarang tidak akan  membawa  kesan
   yang  sama  atau lebih buruk kepada negara  dan  kepada
   pekerja khususnya?
   
   13.   Semasa  tuan-tuan  dan puan-puan  merayakan  Hari
   Pekerja  ada baiknya jika kita memperingati  diri  kita
   sendiri   akan   bahaya   yang  akan   datang   melalui
   globalisasi.   Dalam menangkis bahaya ini Kerajaan  dan
   pekerja  harus  berganding bahu  dan  menyusun  langkah
   bersama supaya pertahanan kita menjadi lebih berkesan.
   
   14.   Tema  Hari  Pekerja tahun  ini  ialah  "K-Pekerja
   Pemangkin  Kecemerlangan  Negara".   Tema  ini  dipilih
   kerana  pekerja  zaman ini memerlukan pengetahuan  yang
   lebih   untuk  meningkatkan  produktiviti  mereka   dan
   menjadikan hasil kerja mereka lebih kompetitif.   Sudah
   tentu  ini  bermakna pekerja mestilah  sanggup  dilatih
   semula.   Adalah diharap kecekapan yang baru  ini  akan
   menolong  meningkatkan pendapatan pekerja.   Tidak  ada
   jaminan yang ini akan berlaku tetapi perkara yang tetap
   akan berlaku ialah kegagalan kita menguasai pengetahuan
   yang  diperlukan  akan  membawa  bencana  kepada  kita,
   termasuk pengangguran akibat pelaburan dibawa ke negara
   lain.
   
   15.   Dalam  Rangka  Rancangan  Jangka  Panjang  Ketiga
   (RRJP3) Kerajaan memberi fokus kepada usaha melatih dan
   mendidik   tenaga   kerja  kita   dengan   pengetahuan,
   kemahiran   dan  kepakaran  agar  mereka  dapat   terus
   mendapat   peluang   bekerja  dan   menyumbang   kepada
   pembangunan negara.
   
   16.   Kerajaan  ingin  menegaskan  sekali  lagi  bahawa
   kemajuan yang dicapai oleh negara sejak merdeka  adalah
   hasil  daripada keamanan yang wujud selama  ini,  serta
   sokongan  dan  sumbangan semua pihak kepada  usaha  dan
   dasar  Kerajaan.   Dengan ini kita bukan  sahaja  dapat
   membangunkan  negara dan memulihkannya apabila  berlaku
   kemerosotan,  tetapi juga menyelamatkan  kebebasan  dan
   kemerdekaan kita.
   
   17.   Justeru  itu, adalah wajar kita  semua  bersyukur
   dengan  nikmat  yang kita perolehi  selama  ini.   Kita
   harus  insaf  hidup  kita  selama  ini  begitu  selesa,
   bahagia, aman dan makmur.  Dengan kesedaran ini diharap
   kita   akan   lebih  berazam  untuk  memperbaiki   lagi
   kehidupan  kita  di masa akan datang, masa  yang  lebih
   mencabar.
   
   18.   Kerajaan berjanji akan terus membela  nasib  kaum
   pekerja  kerana  mereka  adalah  nadi  penting   kepada
   pembangunan  dan kemajuan rakyat serta negara.   Tetapi
   Kerajaan  juga  berharap  para  pekerja  akan  sentiasa
   bertindak  dengan  berhati-hati supaya  kestabilan  dan
   daya penarik negara sebagai lokasi pelaburan dari dalam
   dan luar akan berterusan.
   
   19.   Akhir  sekali, bagi pihak diri saya dan Kerajaan,
   saya  sekali lagi mengucapkan terima kasih kepada semua
   warga  pekerja  yang telah tekun bekerja untuk  membina
   negara  kita  ke  arah  kecemerlangan.   Negara  sangat
   menghargai  sumbangan saudara saudari  semua.   Selamat
   menyambut Hari Pekerja.


   Sumber : Pejabat Perdana Menteri

Download Teks Ucapan
                                          


 
Google