home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
Oleh/By : DATO SERI DR MAHATHIR BIN MOHAMAD Tempat/Venue : HOTEL EDEN, JOHOR BAHRU, JOHOR Tarikh/Date : 19-05-2001 Tajuk/Title : MAJLIS PERASMIAN PERSIDANGAN AGUNG TAHUNAN MIC YANG KE-55 Versi : Penyampai : PM Saya ucapkan terima kasih kepada Parti MIC kerana sekali lagi sudi mengundang saya untuk merasmikan persidangan Agung Tahunan MIC yang ke-55 tahun ini. Persidangan MIC kali ini agak menarik kerana ia diadakan di Johor Baru dan tidak di Kuala Lumpur seperti kebiasaannya. Tidak lama dahulu mesyuarat tahunan MIC ini pernah diadakan di Seremban. 2. Langkah menukar tempat persidangan seperti ini dapat memberi peluang kepada ahli-ahli parti di luar Kuala Lumpur mengikuti perjalanan persidangan agung mereka di peringkat kebangsaan secara lebih dekat. Di samping itu, ahli-ahli parti dari pelbagai peringkat di negeri-negeri yang persidangan itu diadakan juga berpeluang mendekati atau mengenali dengan lebih mesra para pemimpin parti mereka di peringkat pusat yang hanya sering dilihat di televisyen atau akhbar. Para perwakilan yang turun dari negeri-negeri lain juga akan dapat melihat kedudukan dan perkembangan sebenar parti mereka dan keadaan ahli parti di tempat lain. 3. Mungkin langkah yang diambil oleh parti MIC ini boleh diikuti atau dicontohi oleh parti-parti komponen Barisan Nasional termasuk UMNO sendiri. Dengan bertukar tempat mesyuarat mengikut giliran negeri, umpamanya, akan timbul rasa kekitaan antara ahli-ahli dari semua negeri terhadap kegiatan parti. Dan yang utama ahli-ahli parti akan merasakan mereka tidak dilupakan dan juga mempunyai peranan sama penting dalam parti walaupun berada jauh dari ibu pejabat. Dengan demikian walaupun mereka tidak terpilih sebagai perwakilan ke persidangan pusat sekurang-kurangnya mereka dapat mengikuti perkembangan parti mereka secara dekat. 4. Walaupun langkah ini mungkin akan melibatkan kos tambahan tetapi ia dapat memberi kesan yang positif kepada perpaduan parti selain menarik minat rakyat untuk mendekati dan memahami perjuangan parti-parti komponen Barisan Nasional. Dengan berbuat demikian para pemimpin parti akan dapat turun padang secara beramai-ramai ke tempat persidangan diadakan sekurang- kurangnya setahun sekali. Ini juga memberi peluang kepada para perwakilan dari kawasan lain yang tidak pernah melawat rakan sejawat mereka di negeri-negeri untuk berbuat demikian. 5. Parti MIC di bawah kepimpinan tegas Dato' Seri S. Samy Vellu didapati terus kukuh dan berkembang maju selari dengan kemajuan rakyat dan negara kita. Walaupun MIC bukannya satu sahaja parti yang dianggotai oleh rakyat kita yang berketurunan India, namun didapati ia membela nasib seluruh masyarakat India di negara kita tanpa mengira kedudukan atau kepentingan politik mereka. MIC masih popular dan mendapat sokongan majoriti rakyat berketurunan India di Malaysia. MIC masih lagi merupakan payung besar yang melindungi hak dan kepentingan mereka di negara kita. Di masa yang sama MIC juga menjaga kepentingan kaum lain melalui sokongannya kepada Barisan Nasional. 6. Saya ucapkan syabas kepada MIC kerana sentiasa gigih, tekun dan bertungkus lumus dalam usaha dan perjuangannya untuk memperbaiki keadaan hidup sosio- ekonomi masyarakat India Malaysia yang masih belum mencapai tahap kemajuan yang memuaskan. Seperti dengan kaum-kaum lain iaitu Melayu dan Cina, masih terdapat di kalangan masyarakat India kelompok-kelompok mereka yang masih ketinggalan atau terpinggir dari arus pembangunan negara. Kelompok ini bukan sahaja terdapat di ladang- ladang di desa-desa malah di pusat-pusat bandar terutama di kawasan setinggan. Dengan pendapatan yang rendah dan tidak tetap kehidupan sebilangan kelompok mereka ini masihlah tidak sempurna dan ini telah menjadi sebahagian punca timbulnya pelbagai masalah sosial dalam masyarakat kita hari ini. 7. Namun begitu, nasib mereka tidaklah dibiarkan tanpa pembelaan. Parti MIC sering meninjau keadaan kehidupan mereka dan memberi bantuan bagi memperbaiki kedudukan mereka. Pelbagai bantuan termasuk kemudahan asas seperti bekalan air, elektrik, jalan raya, sekolah, pusat perubatan dan kesihatan disediakan untuk kelompok terpinggir ini oleh Kerajaan melalui usaha MIC. MIC terutama melalui Presidennya, Dato' Seri S. Samy Vellu, sentiasa berusaha untuk meningkatkan pendapatan golongan yang berpendapatan rendah terutama yang bekerja di estet-estet dan kilang-kilang perusahaan. 8. Walaupun parti MIC berperanan aktif dalam usahanya meningkatkan kedudukan masyarakat India, Kerajaan tidaklah lepas tangan dalam tanggungjawabnya untuk membantu memperbaiki nasib kaum mereka seperti ia membantu kaum-kaum lain yang juga merupakan rakyat Malaysia. 9. Kaum India di negara kita sungguh bertuah kerana walaupun mereka merupakan golongan minoriti, mereka menikmati pelbagai peluang untuk memajukan masyarakat mereka. Peluang ini termasuklah yang disediakan oleh Kerajaan seperti perniagaan dan perdagangan, pendidikan, perumahan dan kemudahan-kemudahan asas. 10. Kita sendiri dapat melihat kejayaan atau pencapaian kaum India di dalam bidang-bidang profesional tertentu seperti kedoktoran, guaman dan kejuruteraan. Selain itu, kaum India cukup diwakili dalam politik. Mereka mempunyai ruang yang luas untuk berpolitik dan mengamalkan demokrasi di dalam negara kita. Daripada segi keagamaan, mereka bebas beribadat. Malah Kerajaan banyak membantu dalam pendirian rumah- rumah ibadat mereka. 11. Jelas sekali walaupun kaum India adalah kaum minoriti mereka mempunyai sama peluang dalam segala bidang seperti yang dinikmati oleh kaum-kaum lain di negara kita. Mereka mempunyai hak sama rata dengan orang lain. 12. Dasar Kerajaan ialah memastikan tidak ada mana- mana kaum di negara kita ketinggalan atau terpinggir berbanding kaum yang lain dalam arus pembangunan sosio- ekonomi dan kemajuan negara. Kedudukan yang tidak seimbang antara kaum dalam apa juga bidang terutama sosial dan ekonomi akan mencetuskan masalah pergeseran atau pertelingkahan antara kaum. Kita telah mengalami keadaan yang tidak seimbang ini. Ia hampir menjerumuskan negara kita ke arah kehancuran dan kemusnahan akibat perbalahan kaum yang berpunca daripada pembahagian kekayaan negara yang tidak seimbang. Inilah yang cuba dielakkan oleh Kerajaan daripada berlaku ke atas rakyat dan negara kita. 13. Oleh itu, jika Kerajaan terlihat cenderung membantu atau memberi keistimewaan kepada satu-satu kaum sahaja ini bukan bermakna Kerajaan bersikap pilih kasih kepada kaum tersebut. Ini juga tidak bermakna Kerajaan menganaktirikan kaum-kaum lain atau meminggirkan mereka daripada perhatian atau pertolongan Kerajaan. Jika Kerajaan terlihat hanya menolong satu- satu kaum sahaja ia adalah disebabkan kaum tersebut memerlukan perhatian atau tumpuan yang lebih daripada Kerajaan. 14. Sudah tentu ada kelemahan atau kekurangan pada kaum-kaum itu yang menyebabkan mereka ketinggalan dan perlukan pertolongan Kerajaan. Kita tidak boleh membiarkan kaum tersebut sendiri memperbaiki nasib buruk mereka kerana sudah terbukti mereka tidak berkemampuan dan tidak berpeluang menangani masalah mereka. Mereka masih memerlukan pertolongan dan perhatian serius Kerajaan. Saya berharap setiap kaum dapat memahami kedudukan ini kerana ia penting kepada keamanan dan kemajuan negara kita di masa hadapan. 15. Kerajaan adalah serius dalam usahanya untuk memperbetulkan masyarakat kita agar sama-sama dapat menikmati kemajuan dan kemakmuran negara. Kita tidak mahu melihat rakyat kita dibahagi-bahagikan atau dipecah-pecahkan mengikut status sosial dan ekonomi mereka. Dasar Ekonomi Baru, Dasar Pembangunan Nasional, Rangka Rancangan Jangka Panjang Ketiga dan Rancangan Malaysia Kelapan, semuanya diarahkan untuk memperbetulkan kepincangan sosial dan ekonomi dalam masyarakat kita pada hari ini. 16. Jika Dasar Ekonomi dan Dasar Pembangunan Nasional memberi penekanan kepada kaum Bumiputera dalam memperbaiki kedudukan sosial dan ekonomi mereka, Rangka Rancangan Jangka Panjang Ketiga dan Rancangan Malaysia Kelapan turut memberi perhatian khas kepada kaum India selain kaum-kaum lain. Dalam kedua-dua rancangan itu Kerajaan menyebut secara khusus bahawa kaum India diberi tumpuan istimewa dalam mendapatkan peluang pembangunan seperti kemudahan-kemudahan asas dan ekonomi. Saya berharap masyarakat India akan menyambut rancangan-rancangan ini dengan positif. Inilah peluang terbaik untuk mereka memperbaiki kehidupan mereka ke arah lebih baik dan sempurna pada masa terdekat ini. 17. Kerajaan sedar bahawa usaha membawa pembangunan dan kemajuan kepada rakyat tidak boleh dilengah- lengahkan. Kita tidak boleh membiarkan rakyat yang ketinggalan terus memperbetulkan nasib mereka sendiri tanpa seliaan dan bantuan. Kita perlu mengadakan rancangan-rancangan khusus untuk membawa rakyat kita yang terpinggir keluar daripada kemelut kehidupan mereka yang buruk. Cara atau budaya penghidupan mereka yang lama juga harus ditukar mengikut perkembangan semasa. 18. Dalam hubungan ini, semua pihak harus bersungguh- sungguh, jujur dan proaktif dalam usaha melaksanakan program-program yang telah disusun oleh Kerajaan. Rancangan-rancangan yang diatur dengan baik tidak akan berguna sekiranya ia tidak dapat dilaksanakan dengan betul. Peruntukan kewangan yang besar yang disediakan oleh Kerajaan juga tidak berguna sekiranya ia tidak dapat dibelanjakan seperti yang dirancangkan. Pembangunan dan kemajuan rakyat dan negara sebenarnya bergantung kepada komitmen kita semua. 19. Saya amat berbangga melihat masyarakat keturunan India di negara kita terus hidup dalam keadaan aman dan bersatu padu. Terbukti mereka dapat hidup bersama-sama dengan masyarakat-masyarakat lain tanpa masalah. Malah masyarakat India dilihat sebagai masyarakat yang sukakan keamanan. Walau di mana pun mereka berada, mereka bukan sahaja boleh menyesuaikan diri mereka dengan suasana sekeliling malah mudah diterima oleh orang lain dengan baik. 20. Sejak sebelum negara kita mencapai kemerdekaan lagi, kaum-kaum utama di negara kita iaitu orang Melayu, Cina dan India, telah dapat hidup bersama-sama. Tiada masalah besar wujud di antara kaum pada waktu itu. Malah kaum-kaum itu yang berbeza warna kulit, bahasa, budaya dan agama telah bersatu padu untuk merebut kemerdekaan bagi tanah air kita daripada penjajah asing. 21. Masing-masing kaum sanggup mengenepikan perbezaan antara mereka semata-mata untuk mempastikan tanah air kita bebas daripada cengkaman penjajah asing itu. Mereka sedar nasib masa depan mereka di Tanah Melayu ini terletak dalam tangan mereka sendiri. Mereka juga sedar hanya melalui pakatan dan muafakat antara mereka sahaja perjuangan menuntut kemerdekaan negara akan tercapai. 22. Dengan demikian lahirlah Perikatan iaitu satu gabungan pertubuhan politik yang terdiri daripada parti- parti UMNO yang mewakili orang Melayu, MCA yang mewakili orang Cina dan MIC yang mewakili orang India. Perikatan telah menjadi satu tenaga yang kuat dalam menuntut kemerdekaan tanah air daripada penjajah British. 23. Berkat persefahaman, kerjasama dan perpaduan yang kuat antara kaum ini, negara kita telah memperolehi kemerdekaan tanpa menumpahkan darah. Dengan itu juga rakyat kita telah memperolehi kebebasan dan dapat memerintah sendiri serta menentukan arah tujuan dan haluan nasib bangsa dan negara kita. 24. Sejak merdeka kita telah membuktikan bahawa kita mampu memerintah dan membangunkan negara kita sehingga begitu aman, maju dan makmur. Daripada negara yang berasaskan pertanian, negara kita telah menjadi sebuah negara perindustrian dan salah satu negara pengeluar barangan buatan yang terbesar di dunia. 25. Rakyat kita berlumba-lumba mengejar kejayaan untuk memperbaiki kehidupan kita yang daif dan miskin pada waktu itu. Hari ini kita telah membuktikan bahawa kita mampu dan berjaya meningkatkan taraf hidup dan tahap kedudukan sosial dan ekonomi kita ke arah kebaikan. 26. Semua ini kita dapat capai berkat daripada perpaduan kaum dan atas kesedaran bahawa keamanan negara adalah katalis, penentu dan jaminan kepada kemajuan dan kemakmuran negara. 27. Justeru itu, sebagai rakyat Malaysia kita harus terus memelihara perpaduan dan keamanan kita. Kita hendaklah berusaha meningkatkan tahap persefahaman dan kerjasama antara kaum agar kita peka atau sensitif terhadap kaum masing-masing. Dengan adanya semangat toleransi dan saling faham memahami mudahlah kita mengelakkan diri kita daripada terjebak ke dalam pertelingkahan kaum. 28. Sama-samalah kita memelihara keamanan negara kita. Kita janganlah mudah termakan hasutan orang hingga kita sanggup melakukan apa sahaja untuk merosakkan perpaduan kita dan negara kita. Saya percaya kita amat sayang dan cintakan negara kita yang sekian lama begitu aman makmur dan indah permai ini. Sama-samalah kita berganding bahu mempertahankan negara kita kerana perjalanan kita untuk memajukan bangsa kita sebagai rakyat Malaysia masih jauh. 29. Saya berharap rakyat kita yang berketurunan India hendaklah terus berusaha memajukan diri sendiri supaya dapat bersaing dan bersama-sama maju dengan kaum lain dalam segenap bidang selaras dengan kemajuan negara. 30. Dengan harapan itu, saya dengan sukacitanya merasmikan Persidangan Agung Tahunan MIC yang ke-55 tahun ini. Sumber : Pejabat Perdana Menteri
Google