home Speechs in the year 2003 2002 2001 2000 1999 1998 1997 1996 1995 1994 1993 1992 1991 1990 --> |
Oleh/By : DATO SERI DR MAHATHIR BIN MOHAMAD Tempat/Venue : ISTANA NEGARA, KUALA LUMPUR Tarikh/Date : 02-06-2001 Tajuk/Title : MAJLIS MENGADAP DAN ISTIADAT PENGURNIAAN DARJAH KEBESARAN SEMPENA ULANGTAHUN HARI KEPUTERAAN SERI PADUKA BAGINDA YANG DI-PERTUAN AGONG Versi : Penyampai : PM Dengan hormat dan penuh takzim pihak Kerajaan, pegawai dan kakitangan Perkhidmatan Awam serta rakyat mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Tuanku sempena ulangtahun Keputeraan Rasmi Tuanku pada hari ini. Rakyat sekalian berdoa ke hadrat Allah Subhanahu wa Ta'ala semoga dilanjutkan usia serta dilimpahkan rahmat dan hidayah-Nya ke atas Tuanku dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajjah Siti Aishah dan semoga Tuanku berdua sentiasa berada di dalam keadaan sihat, sejahtera dan penuh kedaulatan. 2. Kerajaan dan rakyat amat gembira kerana sepanjang pemerintahan Tuanku negara kita berada dalam keadaan aman dan sejahtera, berkat kebijaksanaan pemerintahan di bawah naungan Tuanku. 3. Perpaduan dan keharmonian perhubungan antara rakyat berbilang kaum di bawah naungan Tuanku adalah di tahap yang memuaskan dan negara kita terus aman dan terhindar daripada sebarang bentuk ancaman yang boleh menggugat keamanan dan kestabilan negara. 4. Syukur Alhamdulillah, walaupun terdapat usaha pihak-pihak tertentu untuk menimbulkan kekecohan di dalam negara dengan membangkitkan isu perkauman dan cuba merusuh, pergaduhan antara kaum dan hasutan untuk menggulingkan Kerajaan Tuanku, tindakan tegas pihak berkuasa telah berjaya menangkis segala usaha dan niat buruk mereka. 5. Kerajaan naungan Tuanku ini tidak akan sekali- kali tunduk kepada keganasan, demonstrasi jalanan, tekanan dan taktik kotor sesetengah pihak yang hanya berjuang untuk kepentingan diri mereka sahaja. Kerajaan ini telah dilantik melalui proses demokrasi menerusi pilihanraya. Ini adalah cara kita dan sebarang rasa tidak puas hati di kalangan mana-mana pihak bolehlah dibawa ke pilihanraya dan bukannya melalui cara-cara yang menyalahi undang-undang dan perlembagaan negara ini. 6. Di dalam mempertahankan negara ini daripada sebarang ancaman Kerajaan akan bertindak tegas tanpa kompromi. Walaupun tindakan kita tidak disenangi oleh sesetengah pihak termasuk kuasa asing, Kerajaan ini tidak akan tunduk pada tekanan dari mana-mana pihak dan akan mengambil apa sahaja tindakan yang perlu dan sesuai untuk mempertahankan hak majoriti rakyat untuk terus hidup aman dan makmur. 7. Adalah menjadi tanggungjawab Kerajaan di bawah naungan Tuanku ini memastikan rakyat dapat terus mengejar kemakmuran dan menikmati hasil kekayaan dan kesejahteraan negara. Alhamdulillah, setakat ini tindakan Kerajaan masih mendapat sokongan majoriti rakyat yang cintakan keamanan. 8. Sebenarnya kita dapat melihat dengan jelas apa yang akan berlaku kepada negara apabila rusuhan menjadi amalan untuk menjatuhkan Kerajaan. Apabila satu Kerajaan dilantik maka pihak yang kalah akan merusuh dan berdemonstrasi untuk menjatuhkan Kerajaan tersebut dan apabila Kerajaan yang dilantik itu jatuh dan digantikan dengan Kerajaan yang satu lagi, penyokong Kerajaan yang digulingkan pula akan merusuh untuk menjatuhkan Kerajaan yang ada. 9. Tidak akan ada satu pun Kerajaan yang kekal. Segala usaha untuk membangunkan dan memajukan negara akan terhenti. Pembangunan yang tercapai sebelumnya akan merosot dan negara tidak dapat dibangun dan dimajukan. Nasib rakyat sudah tentu tidak akan terbela, ekonomi akan jatuh dan negara akan terus porak-peranda. Insya-Allah, senario sebegini tidak akan berlaku di negara ini selagi Kerajaan naungan Tuanku ini dimandatkan untuk mentadbir negara. 10. Walaupun Kerajaan dituduh tidak demokratik, tidak menghormati kebebasan bersuara dan hak individu, Kerajaan berpendapat bahawa tanggungjawab terhadap hak majoriti adalah lebih utama daripada kebebasan yang tidak bertanggungjawab oleh individu. Individu mempunyai hak untuk bersuara di negara ini, tetapi bukan untuk menimbulkan kekacauan. Hak majoriti haruslah dihormati. 11. Kerajaan juga akan terus memastikan agar hubungan dan perpaduan antara kaum akan terus rapat dan akrab. Walaupun terdapat sedikit ketegangan baru-baru ini, ianya lebih kepada tindakan pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab yang ingin melihat kekecohan berlaku. Di samping itu Kerajaan juga akan terus berusaha untuk menyatupadukan orang Melayu yang terpisah dengan jurang perbezaan fahaman politik. 12. Hubungan luar negara Malaysia berada di tahap yang amat memberangsangkan. Malaysia terus dihormati kerana dasar luarnya yang tegas mempertahankan hak negara-negara membangun dan menentang ketidakadilan dan penindasan ke atas negara-negara yang lemah. Ini telah sedikit sebanyak memperkuatkan pengaruh kita di kalangan negara-negara yang lemah dan merdeka di samping mempereratkan lagi hubungan kita dengan mereka. Kunjungan Tuanku sendiri ke luar negara juga telah banyak berjaya menguatkan lagi perhubungan diplomatik negara. 13. Walaupun kita tidak disenangi oleh banyak pihak, termasuk media asing yang sering mengkritik kita, Malaysia tetap menerima kunjungan ketua-ketua pelbagai negara membangun yang ingin mempelajari bagaimana kita mentadbir dan membangunkan negara. Ramai yang ingin menjadikan kita sebagai contoh, termasuk dari negara- negara Islam yang mengiktiraf Malaysia sebagai negara Islam yang unggul. 14. Kelembapan ekonomi dunia berikutan kemerosotan ekonomi Amerika Syarikat sedikit sebanyak dijangka memberi kesan kepada prestasi ekonomi negara. Pertumbuhan ekonomi tahun ini dijangka pada tahap antara lima peratus dan enam peratus. Bagaimanapun prestasi ekonomi negara dijangka lebih baik dari kebanyakan negara lain di rantau ini. 15. Untuk mengurangkan kesan ini, Kerajaan sedang dan telah mengambil beberapa langkah untuk meneruskan pembangunan ekonomi. Antaranya ialah menggalakkan pelaburan tempatan, mempertingkatkan penggunaan pelabuhan dan lapangan terbang dan mempercepatkan pembangunan infrastruktur. 16. Kerajaan juga telah mengumumkan pakej rangsangan ekonomi sebanyak RM3 bilion untuk pembangunan infrastruktur termasuk sekolah, kolej komuniti dan perumahan. Di samping itu, Dasar Wawasan Negara yang menekankan rancangan pembangunan negara bagi 10 tahun dari 2001-2010 dijangka membawa negara ke arah pencapaian status negara maju pada tahun 2020. 17. Sempena ulangtahun Hari Keputeraan Rasmi Tuanku, Ahli-ahli Jemaah Menteri dan semua anggota Kerajaan ingin memberi jaminan sekali lagi bahawa segala kerjasama dan sokongan akan diberi kepada Tuanku dalam menjalankan tugas sebagai Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong selaras dengan prinsip-prinsip dan keperluan Sistem Raja Berperlembagaan. Kerajaan yakin di bawah naungan Tuanku, Malaysia akan terus stabil, maju, makmur dan sejahtera. 18. Pada hari yang berbahagia dan penuh istiadat ini, Kerajaan, pegawai dan kakitangan perkhidmatan awam dan rakyat dengan penuh hormat dan takzimnya mengucapkan Selamat Hari Keputeraan kepada Tuanku dan menyampaikan ikrar taat setia yang tidak berbelah bagi kepada Tuanku sebagai Raja yang memerintah dan juga kepada Raja Permaisuri Agong. Sumber : Pejabat Perdana Menteri |