home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
Oleh/By  	:	DATO SERI DR MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue	:	PUSAT DAGANGAN DUNIA PUTRA, 
			KUALA LUMPUR
Tarikh/Date	:	02-07-2001
Tajuk/Title 	:	UPACARA PERASMIAN SAMBUTAN JUBLI 
			PERAK KEMENTERIAN SAINS, 
			TEKNOLOGI DAN ALAM SEKITAR
Versi 		:	
Penyampai	:  	PM 
		    

  Saya  mengucapkan  terima kasih  kepada  Yang  Berhormat
   Menteri  dan  Kementerian  Sains,  Teknologi  dan   Alam
   Sekitar  kerana  menjemput saya untuk merasmikan  Majlis
   Sambutan Jubli Perak Kementerian Sains pagi ini.
   
   2.     Peranan  Kementerian  ini  kini  menjadi  semakin
   penting  di alaf baru ini memandangkan bidang sains  dan
   teknologi adalah pemangkin pembangunan negara.  Demikian
   juga  kesedaran  akan  pentingnya keadaan  alam  sekitar
   bagi  kehidupan  manusia.   Sambutan  Jubli  Perak   ini
   adalah  tepat pada waktunya untuk kita mengimbas kembali
   kejayaan-kejayaan  yang  telah  dicapai  untuk  membantu
   kita  mempertingkatkan  lagi usaha  ke  arah  pencapaian
   wawasan negara.
   
   3.    Sumbangan sains dan teknologi ke arah perkembangan
   ekonomi  tidak  dapat dipertikaikan.  Bangsa  yang  maju
   dalam  bidang  sains  dan teknologi  ialah  bangsa  yang
   bersifat  ingin tahu atau `curiosity' dan tidak ortodoks
   dan  tradisional,  iaitu tidak terikat dengan  cara-cara
   lama  sehingga  tidak  sanggup menerima  cara-cara  baru
   dalam  membuat atau menangani sesuatu.  Masyarakat tidak
   mungkin  bergerak ke hadapan jika kita hanya  mengulangi
   apa   yang  telah  diamalkan  oleh  nenek  moyang  kita.
   Sebaliknya  masyarakat yang ingin tahu  dan  ingin  cuba
   yang  baru  akan  sentiasa memeriksa  dengan  halus  apa
   sahaja  yang  sedang dibuat untuk mencari  jalan  supaya
   bahan  atau  cara membuat sesuatu dapat diperbaiki  lagi
   dan hasil yang lebih baik diperolehi.
   
   4.     Kemajuan   bangsa  yang  maju   berpunca   kepada
   penyelidikan yang tidak berhenti-henti akan  bahan  atau
   cara  sesuatu dilakukan untuk mendapat pengetahuan  yang
   lebih  mendalam.   Daripada  pengetahuan  ini  cara-cara
   baru  yang lebih baik dan lebih produktif dapat dicipta.
   Cara  yang  baru  ini terus diperbaharui sepanjang  masa
   supaya  menjadi  lebih  baik lagi atau  lebih  produktif
   lagi.
   
   5.    Demikian  kain yang dipakai oleh  manusia  bermula
   dengan  kulit binatang atau kulit kayu.  Tetapi  manusia
   yang  berakal  memikir berkenaan dengan  anyaman  benang
   yang  diperbuat  daripada  jenis-jenis  tumbuhan.    Ini
   diikuti  dengan  menenun dengan  menggunakan  alat  yang
   agak   primitif.    Kemudian  kapas  dipintal   sehingga
   menjadi  benang  dan  ditenun  menjadi  kain.   Kemudian
   proses  tenunan yang lebih canggih dicipta  supaya  kain
   kapas  dapat  ditenun dengan lebih cepat.   Mesin  tenun
   ditingkatkan   kecanggihannya  sepanjang   masa   supaya
   tenunan  kain  menjadi lebih cepat dan lebih  berkualiti
   lagi.   Bahan-bahan lain diguna untuk menambahkan jenis,
   warna   dan   `design'.   Ini  menjadi  penting   kerana
   masyarakat manusia bertambah dengan banyaknya  dan  cara
   pengeluaran  yang  lebih  besar  perlu  dicipta.   Tanpa
   ciptaan   cara-cara  `mass  production'  maka  keperluan
   masyarakat tidak dapat dipenuhi.
   
   6.    Hari  ini  kita tidak fikir lagi  tentang  bekalan
   kain  untuk  kita.   Bermacam-macam  jenis  kain  dengan
   berwarna-warni  dapat kita beli di kedai-kedai  seberapa
   banyak  yang  kita  kehendaki dengan harga  yang  murah.
   Tetapi  kita  harus ingat bahawa kemudahan  ini  bermula
   dengan  cara  yang  begitu primitif.   Orang  yang  suka
   mengkaji  dan  meneliti untuk mendapat ilmu  pengetahuan
   dan  kemudian mencipta cara-cara baru untuk mengeluarkan
   barangan   yang   semakin  diperlukan  oleh   masyarakat
   manusia  yang bertambah adalah orang yang kian maju  dan
   berjaya  serta  kehidupan mereka menjadi  lebih  selesa.
   Sebaliknya   masyarakat  manusia   yang   terlalu   kuat
   berpegang  kepada  cara-cara  dan  barangan  lama   akan
   menjadi mundur dan miskin.
   
   7.     Demikian   juga   dalam  bidang   telekomunikasi.
   Daripada  hanya berkebolehan bercakap dengan jarak  yang
   dekat  sahaja,  hari  ini  kita boleh  berhubung  dengan
   seorang  di sebelah sana dunia, 12,000 batu, seolah-olah
   ia  berada  di  hadapan  kita.  Pertumbuhan  kecanggihan
   dalam  bidang telekomunikasi amat mengkagumkan dan ianya
   masih  dimajukan lagi sehingga jarak seberapa  jauh  pun
   tidak  menjadi  masalah untuk kita  berhubung,  bercakap
   dan melihat rakan kita atau apa-apa juga.
   
   8.     Semua  ini  adalah  hasil  daripada  budaya  yang
   menekankan  ilmu  pengetahuan,  `curiosity'  atau  sifat
   ingin  tahu, dan sikap tidak puas hati dengan  apa  yang
   sedia  ada tetapi sebaliknya ingin memperbaiki lagi  apa
   sahaja  barangan  atau kemudahan yang sedang  digunakan.
   Bangsa  yang mempunyai sikap dan budaya ini,  yang  suka
   memeriksa dan mengkaji semua kurniaan Tuhan, bangsa  ini
   tetap  akan  maju.   Justeru itu, kita  bangsa  Malaysia
   mestilah  menerap budaya ini supaya kita juga akan  maju
   dan  tidak  hanya  bergantung kepada hasil  penyelidikan
   dan ciptaan orang lain.
   
   9.     Saya   amat  berbangga  dengan  kejayaan   rakyat
   Malaysia  merekacipta berbagai-bagai  jenis  alatan  dan
   barangan    yang    telah   pun    memenangi    anugerah
   kecemerlangan  dalam  pertandingan Geneva  International
   Inventions  Exhibition.   Saya yakin  jika  sikap  ingin
   tahu   dan  kesanggupan  untuk  memperbaiki  lagi   tiap
   sesuatu yang ada pada kita, atau mencipta barangan  atau
   alat  yang  baru, bangsa Malaysia tidak akan ketinggalan
   dalam bidang merekacipta barangan dan khidmat yang  baru
   dan  canggih yang akan menjadikan kehidupan  kita  lebih
   selesa   dan  bahagia.   Saya  yakin  kebolehan   rakyat
   Malaysia  merekacipta akan meningkat sepanjang masa  dan
   kita   juga   akan   dapat  menyumbang   kepada   jumlah
   kecanggihan yang diperlihatkan di dunia.
   
   10.    Hari   ini  `research'  dan  `development'   atau
   penyelidikan  dan  pembangunan  berjalan  dengan   lebih
   pesat  dari  dahulu.  Kadang-kadang kita dapati  sesuatu
   yang  baru  akan  menjadi usang dalam jangka  masa  yang
   pendek   sahaja.   `Shelf-life'  sesuatu  ciptaan   baru
   mungkin hanya beberapa bulan sahaja.  Justeru itu,  kita
   tidak  boleh  berhenti kajian dan  ciptaan  yang  dibuat
   oleh  kita  kerana  produk kita  mungkin  menjadi  usang
   dalam  jangka masa yang pendek dan tidak diterima  lagi.
   Kita  tidak  harus  kecewa dengan ini tetapi  sebaliknya
   kita  hendaklah menganggap ini sebagai cabaran dan  kita
   mempertingkatkan    lagi   proses    penyelidikan    dan
   pembangunan yang kita buat.
   
   11.    Kerajaan   amat  menghargai  kesanggupan   rakyat
   Malaysia  mencipta barangan-barangan yang lebih  canggih
   sepanjang  masa.   Bantuan dalam bidang  `research'  dan
   `development' sudah pun diadakan.  Mereka yang  berminat
   dan  menunjukkan  kebolehan  mereka  akan  dibantu  oleh
   Kerajaan.     Yang   harus   diingat   ialah   kecekapan
   merekacipta   sesuatu  tidak  bermakna   kita   memiliki
   kecekapan   untuk   memasarkan  hasil  rekacipta   kita.
   `Commercialisation'  memerlukan kecekapan  dalam  bidang
   lain, iaitu bidang pengurusan perniagaan.  Justeru  itu,
   perekacipta  atau  `inventors'  hendaklah  cuba  mencari
   pihak  yang  berkebolehan dalam  bidang  perusahaan  dan
   pemasaran.    Kita   tahu  hari  ini   banyaklah   hasil
   penyelidikan  yang  dibuat  oleh  rakyat  Malaysia   dan
   institusi-institusi seperti MARDI umpamanya  yang  tidak
   dapat  dipasarkan.  Tetapi ini tidak harus  mengecewakan
   kita.    Sebaliknya   usaha   perlu   diteruskan   untuk
   memperbaiki lagi hasil rekacipta kita.
   
   12.   Satu  lagi perkara yang menjadi amat penting  bagi
   keselesaan hidup manusia ialah kebersihan alam  sekitar.
   Di  waktu penduduk setempat tidak ramai, pencemaran yang
   dibuat  oleh  bilangan yang kecil ini tidak  menimbulkan
   banyak   masalah.   Tetapi  hari  ini   penduduk   sudah
   bertambah  di seluruh dunia sehingga sedikit  pencemaran
   oleh  tiap  seorang  akan  menjadi  masalah  yang  besar
   kepada  masyarakat.   Demikian daripada  sedikit  sampah
   yang  dibuang oleh seseorang anggota masyarakat,  beribu
   tan    sampah   mencemarkan   alam   sekeliling    kita.
   Perbelanjaan  yang  banyak  diperlukan  untuk  menangani
   sampah-sarap  yang dihasilkan daripada  segala  kegiatan
   harian  masyarakat  bandar umpamanya.   Masyarakat  yang
   tidak berusaha mengurangkan sampah yang dihasilkan  akan
   menghadapi  masalah  besar  daripada  persekitaran  yang
   bukan sahaja tidak selesa tetapi juga tidak sihat.
   
   13.   Pengekalan alam sekitar yang semulajadi,  terutama
   pokok-pokok  hutan  menjadi  cabaran  kepada  masyarakat
   manusia.   Sementara  pertambahan yang  tinggi  bilangan
   anggota   masyarakat   memerlukan   kawasan   perumahan,
   perusahaan  dan  perniagaan yang  lebih  luas,  kawasan-
   kawasan  dengan  pertumbuhan  sedia  ada  seperti  hutan
   perlu   dikekalkan.   Jika  kita  ingin   alam   sekitar
   semulajadi   dikekalkan  dan  tidak  terus  dimusnahkan,
   pengurusan  pembangunan  untuk  masyarakat   yang   kian
   membesar mestilah diurus dengan bijak.  Jika tidak  kita
   akan  hilang  sama sekali hutan dan `biodiversity'  kita
   buat selama-lamanya.
   
   14.   Dalam pada itu segala pencemaran perlu diawasi dan
   ditangani  supaya  kualiti alam  tidak  menjadi  terlalu
   buruk  sehingga  menjadi  kehidupan  kita  tidak  sihat.
   Demikian  pelupusan sampah perlu dibuat dengan  berhati-
   hati.    Membakar  sampah  secara  terbuka  tetap   akan
   mencemarkan  udara dan mengganggu kesihatan dan  kualiti
   hidup kita.
   
   15.   Malaysia  adalah  negara  membangun  yang  terawal
   menubuhkan  Kementerian Alam Sekitar.   Dua  puluh  lima
   tahun   dahulu   semasa   alam  sekitar   tidak   begitu
   diutamakan  di  negara-negara membangun kita  sudah  pun
   sedar   akan   pentingnya  pemeliharaan  alam   sekitar.
   Kualiti  hidup telah pun diberi keutamaan oleh  Kerajaan
   dan  peruntukan  yang  semakin bertambah  telah  dibuat.
   Namun  kita  sering dituduh tidak prihatin akan  keadaan
   alam  sekeliling  kita.  Sebenarnya  kita  begitu  sedar
   akan  masalah persekitaran sehingga kita mengawal  hutan
   kita dengan rapi.
   
   16.   Hutan adalah punca kekayaan bagi negara kita.  Dan
   kita    bukanlah   negara   yang   kaya.    Kita   perlu
   mengeluarkan   hasil   hutan   terutama   balak    untuk
   membangunkan  ekonomi negara kita dan juga  untuk  ruang
   bagi  penduduk negara kita yang semakin bertambah.  Kita
   juga   perlu  kawasan  hutan  untuk  takungan  air  bagi
   menjana kuasa elektrik dan untuk pertanian.  Kita  tidak
   boleh ikut desakan orang asing terutama NGO mereka  yang
   mahukan  kita kekalkan hutan kita sebagai `carbon  sink'
   mereka,  untuk menyerap karbon dioksida yang dikeluarkan
   dengan   banyaknya  oleh  mereka,  tanpa   mengambilkira
   keperluan  kehidupan rakyat kita.  Sementara kita  perlu
   selamatkan  hutan kita, hasil dari hutan hendaklah  kita
   keluarkan   dengan  cermat  di  samping   kawasan   yang
   berpatutan dibersihkan untuk keperluan hidup kita.
   
   17.   Kita berhak mendapat hasil dari hutan kita  secara
   yang   tersusun.   Sementara  negara  yang  kaya   telah
   memusnahkan hutan mereka, adalah tidak adil bagi  mereka
   memaksa   kita  mengurangkan  pendapatan   kita   supaya
   kehidupan  mereka menjadi selesa.  Rakyat  Malaysia  dan
   NGO  Malaysia  janganlah  terbawa-bawa  dengan  kononnya
   keprihatinan  terhadap  alam  sekitar  sehingga  memaksa
   kita   mengorbankan  kepentingan  ekonomi   kita   untuk
   keselesaan hidup orang yang sudah kaya.
   
   18.   Hari ini hutan kita adalah antara hutan-hutan yang
   tertua  dalam  dunia dan mempunyai banyak potensi  untuk
   industri  berasas  kepada `genome'  tumbuh-tumbuhan  dan
   kehidupan  lain yang berada dalam hutan  kita.   Potensi
   untuk  industri  berasas kepada `genome'  amatlah  besar
   dan   boleh  menghasilkan  kekayaan  bagi  negara  kita.
   Untuk  ini  kita perlu kawal kekayaan hutan kita  supaya
   tidak  ada  sesiapa yang membawa keluar  tumbuh-tumbuhan
   dan  kehidupan lain dari hutan kita untuk dibuat  kajian
   bagi   mendapatkan  hasil  yang  lumayan  bagi   mereka.
   Sebaliknya  kita  perlu  bekerjasama  dengan  penyelidik
   dari  negara  lain  untuk mengutip dan menyimpan  segala
   data   dan  `sample'  berkenaan  dengan  `genome'   yang
   terdapat  di  negara kita.  Saya yakin  dengan  kekayaan
   jumlah  `genome'  kita, banyaklah industri  bioteknologi
   akan dapat dihasilkan.
   
   19.    Sebab   itu   Kerajaan  telah   bersetuju   untuk
   mengadakan  Lembah Biotek dalam Koridor Raya  Multimedia
   (MSC).    Ia   akan   dapat   menaikkan   lagi   potensi
   pembangunan  MSC.   Usaha  akan dibuat  untuk  mengumpul
   data  dan  menyusunnya supaya kaji selidik dapat  dibuat
   berkenaan  `genome'  yang boleh  menghasilkan  berbagai-
   bagai    jenis   perubatan   dan   sebagainya.    Adalah
   diharapkan  para  saintis Malaysia akan melibatkan  diri
   secara  serius dalam bidang bioteknologi yang dipercayai
   boleh   menyumbang  kepada  pembangunan  industri   yang
   canggih yang akan membantu pertumbuhan ekonomi negara.
   
   20.   Daripada apa yang telah saya sebutkan adalah jelas
   bahawa  Kementerian Sains, Teknologi  dan  Alam  Sekitar
   akan   memainkan  peranan  yang  semakin  penting  dalam
   pembangunan  negara  kita.  Pegawai-pegawai  Kementerian
   hendaklah  memiliki  sikap yang positif  terhadap  tugas
   dan   tanggungjawab   mereka.   Mereka   perlu   memberi
   kerjasama   yang   erat  kepada  saintis-saintis   kita,
   terutama  mereka yang membuat kajian dan  cuba  mencipta
   sesuatu yang berguna hasil daripada kajian mereka.
   
   21.   Kementerian telah diberi tugas mengurus dana untuk
   membuat   kajian  dan  pembangunan  dan  pegawai-pegawai
   Kementerian  perlu bersikap positif terhadap  permohonan
   daripada  saintis  yang membuat kajian dan  pembangunan.
   Memang  pun  sukar untuk menilai ide dan  tujuan  kajian
   yang  hendak dibuat.  Mungkin kebanyakan daripada kajian
   ini   tidak   akan   membawa  apa-apa  hasil.    Mungkin
   peruntukan  ternampak sebagai satu  pembaziran.   Tetapi
   amatlah  sukar untuk penyelidik menerangkan kajian  yang
   ingin  dibuat  olehnya dan hasil yang diharapkan.   Saya
   percaya   kebanyakan   daripada   kajian   tidak    akan
   mendatangkan  apa-apa  hasil.  Tetapi  apabila  terdapat
   kajian  yang  mendatangkan  hasil  yang  baik,  pulangan
   daripada  sumbangan  wang daripada dana  amatlah  besar.
   Justeru  itu  dana  untuk kaji selidik  dan  pembangunan
   hendaklah diurus dengan lebih bersimpati kepada saintis-
   saintis yang melakukan penyelidikan.
   
   22.     Saya    telah   menggariskan   secara    ringkas
   tanggungjawab  dan peranan Kementerian Sains,  Teknologi
   dan  Alam Sekitar sejak penubuhannya 25 tahun yang  lalu
   dan   sebahagian  daripada  faktor-faktor   utama   yang
   kritikal untuk negara ini terus maju dalam ekonomi  yang
   berasaskan  pengetahuan.  Faktor-faktor  ini  merangkumi
   pembangunan   sumber   manusia,  menggalakkan   inovasi,
   sensitif  kepada  keperluan masyarakat dan  pemeliharaan
   serta  perlindungan  alam sekitar.  Kejayaan  kita  akan
   memperkukuhkan lagi pembangunan negara dalam  menghadapi
   cabaran  masa  hadapan. Tidak ada  rumusan  ajaib  untuk
   berjaya  kecuali menghadapi cabaran-cabaran  ini  dengan
   keyakinan  tinggi  bahawa  kita  boleh  melaksanakannya.
   Saya  penuh yakin Kementerian Sains, Teknologi dan  Alam
   Sekitar   akan  terus  menyumbang  ke  arah   menjadikan
   Malaysia  sebuah pusat kecemerlangan sains dan teknologi
   di  samping mempunyai alam sekitar yang bersih, selamat,
   indah  dan  produktif  sesuai  dengan  aspirasi  Wawasan
   2020.
   
   23.   Dengan  ini,  saya  dengan sukacitanya  merasmikan
   Majlis   Sambutan   Jubli   Perak   Kementerian   Sains,
   Teknologi dan Alam Sekitar.

   Sumber : Pejabat Perdana Menteri
    




    
    

             
 


 
Google