home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
Oleh/By  	:	DATO SERI DR MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue	:	PALACE OF GOLDEN HORSES, SG. BESI, 
			KUALA LUMPUR
Tarikh/Date	:	28-08-2001
Tajuk/Title 	:	MAJLIS JUBLI EMAS GABUNGAN DEWAN 
			PERNIAGAAN DAN PERINDUSTRIAN 
			INDIA MALAYSIA
Versi 		:	
Penyampai	:  	PM
		    

  
        Saya  ucapkan  terima kasih kepada Gabungan  Dewan
   Perniagaan  dan  Perindustrian  India  Malaysia  kerana
   menjemput   saya   untuk  bersama   meraikan   perayaan
   sambutan   jubli   emasnya.   Tidak   dapat   dinafikan
   masyarakat India telah turut bersama menyumbang  kepada
   pembangunan  ekonomi  dan negara kita  walaupun  mereka
   merupakan  penduduk minoriti.  Sumbangan mereka  adalah
   juga  besar seperti sumbangan penduduk kaum-kaum  lain.
   Mereka    ternyata   aktif   di   sektor   perladangan,
   pembinaan,  perusahaan,  pengedaran,  hidangan  makanan
   dan  perniagaan  runcit.  Ada juga  yang  amat  berjaya
   dalam  arena antarabangsa.  Selain daripada  penyertaan
   di   bidang   ekonomi,   mereka  juga   menikmati   hak
   kewarganegaraan dan politik seperti rakyat  lain.   Hak
   dan  kepentingan mereka dilindungi dan diberi perhatian
   sewajarnya melalui dasar-dasar Kerajaan.
   
   2.    Kerajaan  mengamalkan sikap terbuka dan  prihatin
   terhadap  isu  dan masalah yang dihadapi oleh  pelbagai
   kaum  di  negara  ini.   Semua pihak  menerima  hakikat
   bahawa   Malaysia  merupakan  sebuah  negara  berbilang
   kaum,   agama  dan  kebudayaan.   Di  dalam   menggubal
   sesuatu  dasar  atau strategi, kepentingan  semua  kaum
   diambilkira.  Tidak ada satu kaum pun di negara ini  di
   mana kepentingan mereka dipinggirkan.
   
   3.     Di   dalam  menggubal  Rangka  Rancangan  Jangka
   Panjang  Ketiga,  2001-2010  (RRJP3),  Kerajaan   telah
   menubuh Majlis Perundingan Ekonomi Negara Kedua  (MAPEN
   II),  yang  dianggotai  oleh 154 orang  ahli,  mewakili
   pelbagai  kumpulan  masyarakat,  termasuk  kaum  India.
   Kerajaan  telah memberi pertimbangan dengan  teliti  ke
   atas  semua  perakuan yang dikemukakan oleh  MAPEN  II.
   Di   mana  sesuai,  perakuan  berkenaan  diterima   dan
   dijadikan   sebahagian  daripada  dasar  dan   strategi
   RRJP3.
   
   4.    Di  sini  saya ingin menarik perhatian  tuan-tuan
   dan  puan-puan kepada pernyataan dasar di  bawah  RRJP3
   mengenai  komitmen Kerajaan untuk memperbaiki kedudukan
   ekonomi  kaum  keturunan India.   Dari  segi  pemilikan
   ekuiti   korporat,   usaha   akan   dijalankan    untuk
   meningkatkan  pemilikan  ekuiti  mereka  daripada   1.5
   peratus  pada tahun 1999 kepada tiga peratus  menjelang
   tahun  2010.   Satu  kajian juga akan dijalankan  untuk
   menilai tahap penyertaan kaum India dalam ekonomi  bagi
   merangka strategi dan program yang bersesuaian.
   
   5.    Di  samping  memperjuangkan hak  dan  kepentingan
   kaum  masing-masing,  sebagai  rakyat  dan  warganegara
   Malaysia,  tuan-tuan dan puan-puan haruslah  memberikan
   perhatian  dan  komitmen yang lebih terhadap  integrasi
   nasional.   Hanya  melalui integrasi  nasional,  hasrat
   dan  cita-cita  semua kaum di negara  ini  untuk  terus
   menikmati   kedamaian  dan  keharmonian   hidup   serta
   mencapai kemajuan pembangunan, dapat dihasilkan.
   
   6.    Usaha memupuk integrasi nasional perlu dijalankan
   setiap  masa  dan di setiap peringkat - di sekolah,  di
   tempat  kerja, di taman perumahan, di gelanggang sukan.
   Kita  perlu  sentiasa berwaspada terhadap anasir-anasir
   yang cuba menggugat kedamaian dan keharmonian hidup  di
   negara  ini.   Kita  tidak boleh bertolak  ansur  dalam
   perkara ini.
   
   7.     Dalam  membangunkan  negara,  setiap  kaum  atau
   kumpulan   yang  ada  di  negara  ini  perlu   bersedia
   melengkapkan diri untuk bersama-sama menyumbang  kepada
   pencapaian  matlamat  yang ditetapkan.   Sekiranya  ada
   sesuatu  kaum  atau kumpulan yang belum bersedia,  kaum
   tersebut akan keciciran.  Kita harus sedar bahawa  kita
   terpaksa  menghadapi pelbagai cabaran  dalam  apa  juga
   bidang  yang kita ceburi.  Hanya mereka yang  mempunyai
   keyakinan   dan  keupayaan  sahaja  yang   akan   dapat
   menghadapi persaingan sengit bagi merebut kejayaan.
   
   8.    Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian India
   Malaysia  telah  wujud selama 50 tahun.   Saya  percaya
   banyak   kemajuan  yang  telah  dicapai  dalam   tempoh
   tersebut  daripada  segi  keahlian  dan  aktiviti  yang
   dijalankan.   Namun demikian, adalah wajar untuk  Dewan
   menilai  semula tahap pencapaiannya sehingga  kini  dan
   merangka  pelan pembangunan seterusnya,  selari  dengan
   pelan  pembangunan  negara.   Pelan  pembangunan  Dewan
   perlu  mengambil  kira perubahan-perubahan  pesat  yang
   sedang  berlaku,  bukan sahaja di  peringkat  nasional,
   bahkan di peringkat antarabangsa.
   
   9.    Pada  masa  ini,  terdapat pemusatan  penglibatan
   peniaga   India   dalam  beberapa  aktiviti   tertentu,
   seperti   perniagaan   runcit,   pengedaran,   hidangan
   makanan  dan  pembinaan.  Kebanyakan  perniagaan   yang
   dijalankan   tertumpu  kepada  memenuhi  kehendak   dan
   kepentingan  komuniti India.  Ahli-ahli Dewan  perlulah
   melibatkan  diri  secara aktif dan lebih  meluas  dalam
   sektor perkilangan dan perkhidmatan, dan juga di  dalam
   industri   lain   yang  sedang  diwujudkan   dan   yang
   mempunyai  potensi  tinggi untuk berkembang,  umpamanya
   bioteknologi,  peralatan dan kejenteraan,  pembungkusan
   dan pembangunan multimedia.
   
   10.    Pihak  Dewan  perlu  menggalakkan  lebih   ramai
   peniaga  dan  usahawan India untuk menjadi ahli  Dewan.
   Dengan  keahlian  yang bertambah dan lebih  menyeluruh,
   ia  akan  memudahkan  usaha untuk meningkatkan  kualiti
   dan  penglibatan  kaum India dalam  perniagaan.   Dewan
   perlu  menggalakkan ahli-ahlinya supaya  saling  bantu-
   membantu  di  antara  satu sama lain.  Selain  daripada
   menggalakkan  jaringan  kerjasama  di  kalangan   ahli,
   Dewan   juga   perlu  berusaha  menyebarkan   maklumat,
   termasuk  mengenai  perisikan  pasaran,  memperkenalkan
   amalan   perniagaan  terbaik  dan  menyediakan  khidmat
   bimbingan pemasaran.
   
   11.   Memandangkan pasaran Malaysia adalah agak  kecil,
   kerjasama    dengan   pelabur-pelabur    asing    perlu
   diwujudkan  untuk  memperolehi  teknologi  dan  pasaran
   baru  serta kaedah baru menjalankan perniagaan.   Dalam
   aspek  ini,  SMIDEC  ada  melaksanakan  program-program
   Rantaian  Industri  dan  Pembekal  Global.   Di   bawah
   program  Rantaian Industri, syarikat-syarikat  industri
   kecil  dan sederhana (IKS) tempatan dirangkaikan dengan
   syarikat-syarikat   besar   dan   multinasional   (MNC)
   sebagai  pembekal alat-alat komponen dan  perkhidmatan-
   perkhidmatan   tertentu.  Di  bawah  program   Pembekal
   Global  pula, kemampuan dan keupayaan syarikat-syarikat
   IKS    dipertingkatkan    bagi    membolehkan    mereka
   membekalkan  barangan dan perkhidmatan  bertaraf  dunia
   kepada  syarikat-syarikat  besar  bukan  sahaja   untuk
   operasi mereka di Malaysia, bahkan di serata dunia.
   
   12.    Usahawan  India  perlu  menyahut  cabaran  untuk
   menyusun   semula  organisasi  dan  amalan   perniagaan
   mereka,  supaya  selari  dengan perkembangan  teknologi
   maklumat  dan komunikasi (ICT), internet dan  e-dagang.
   Perubahan  teknologi  ini telah  merubah  cara  tradisi
   menjalankan   sesuatu  perniagaan.   Barangan   menjadi
   usang  dengan  lebih cepat dan perlu digantikan  dengan
   barangan  baru, begitu juga proses baru mengambil  alih
   proses    lama,    disebabkan   perubahan    teknologi.
   Usahawan  India mestilah peka terhadap kepentingan  dan
   perkembangan   e-dagang   sebagai   satu   lagi    cara
   meningkatkan  daya  saing  mereka.   Di  dalam  ekonomi
   digital, ICT akan mempunyai kesan yang meluas  ke  atas
   setiap aspek aktiviti perniagaan mereka.
   
   13.   Dewan  perlu  merintis dan  melaksanakan  projek-
   projek yang akan menjadikan komuniti India lebih  teguh
   dan   berdaya   tahan   dalam  jangka   masa   panjang.
   Konsortium   besar-besaran  boleh  diwujudkan   melalui
   penggabungan   dan   pengambilalihan  syarikat-syarikat
   kecil,  untuk  membolehkan perniagaan  mereka  mendapat
   manfaat  daripada perluasan operasi di dalam  dan  luar
   negara. Usaha mesti dilakukan untuk menggalakkan  lebih
   ramai   ahli   Dewan   menyertai  pameran   dan   pesta
   perdagangan  di  dalam dan luar negara yang  dianjurkan
   oleh  MATRADE dan pihak-pihak lain.  Ini akan  membantu
   pelabur   dan   usahawan  keturunan  India   mewujudkan
   hubungan  perniagaan  dan  menyediakan  pasaran   untuk
   barangan dan perkhidmatan di peringkat global.
   
   14.   Akhir  sekali  ingin  saya  tegaskan  bahawa   di
   Malaysia  yang  berbilang kaum dan  bangsa  kita  tidak
   perlu   asingkan   perniagaan   kita   mengikut   kaum.
   Penyertaan   yang   bermakna  dalam  perniagaan   milik
   pelbagai  kaum  tidak  menidakkan  kepentingan  sesuatu
   kaum.   Yang  penting  ialah  semua  kaum  di  Malaysia
   mendapat bahagian daripada ekonomi negara kita.
   
   
   15.   Saya mengucapkan selamat menyambut perayaan jubli
   emas  dan  selamat  maju  jaya  kepada  Gabungan  Dewan
   Perniagaan dan Perindustrian India Malaysia.

   Sumber : Pejabat Perdana Menteri
    




    
    

             
 


 
Google