home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
Oleh/By  	:	DATO SERI DR MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue	:	RADIO DAN TELEVISYEN MALAYSIA
Tarikh/Date	:	30-08-2001
Tajuk/Title 	:	PERUTUSAN SEMPENA HARI 
			KEMERDEKAAN NEGARA YANG KE-44
Versi 		:	
Penyampai	:  	PM 

 
        Alhamdulillah,  bersyukur  kita  ke  hadrat  Allah
   S.W.T.  kerana  esok  genaplah  44  tahun  negara  kita
   mencapai  kemerdekaan. Sekali lagi kita sebagai  rakyat
   Malaysia dapat merayakannya dalam keadaan aman,  meriah
   dan bersatu padu.
   
   2.    Semua rakyat Malaysia sudah tentu berasa  bertuah
   dan bersyukur kerana di dalam masa yang singkat, negara
   kita  telah berjaya mencapai tahap kemajuan  yang  amat
   membanggakan.    Negara  kita  juga  aman   dan   mampu
   menangkis  bermacam-macam serangan ke atas ekonomi  dan
   politiknya.  Alhamdulillah, segala puji bagi Allah yang
   Maha Berkuasa.
   
   3.    Mentadbir sebuah negara berbilang kaum, berbilang
   agama,  budaya dan bahasa bukanlah sesuatu yang  mudah.
   Negara  yang  diduduki oleh satu kaum pun  tidak  mudah
   ditadbir.   Tetapi  dengan  kerjasama  rakyat  Malaysia
   daripada  semua  kaum, pentadbiran yang berkesan  dapat
   diadakan.   Demikian kejayaan kita  sehingga  hari  ini
   kita menjadi negara membangun yang termaju dan dianggap
   sebagai  contoh  kepada  negara-negara  membangun  yang
   lain.
   
   4.    Pembangunan di Malaysia adalah menyeluruh.  Tahap
   kemiskinan  hanya 5.5 peratus sahaja.   Kawasan-kawasan
   luar  bandar  dibekal  dengan air dan  elektrik,  jalan
   bertar,  sekolah  dan  klinik perubatan  dan  kemudahan
   telefon.   Sudah  tentu  masih ada  tempat-tempat  yang
   terpencil  terutama  di Sabah dan  Sarawak  yang  masih
   belum  mempunyai  kemudahan yang  disebut  tetapi  kita
   merancang untuk membekal kemudahan ini secepat mungkin.
   Kita  tidak mungkin hidup dengan cara asli kita  tetapi
   perlu  berubah untuk menikmati kemudahan  yang  canggih
   dan moden.
   
   5.    Bandar-bandar kita sudah berubah  menjadi  bandar
   yang   maju  dengan  mempunyai  semua  kemudahan   yang
   didapati di negara maju.
   
   6.     Sebenarnya  bandar-bandar  kita  sudah  bertaraf
   bandar  negara  maju.   Pelawat yang  datang  ke  Kuala
   Lumpur,  ibu  kota  negara,  mendakwa  Malaysia  adalah
   negara  maju  dan  bukan negara dunia  ketiga.   Segala
   kemudahan yang ada di bandar-bandar moden di dunia  ada
   di   Kuala  Lumpur.   Keretapi  elektrik,  LRT,   jalan
   bertingkat,  pusat beli-belah yang memasarkan  barangan
   dari  seluruh  dunia,  bangunan  pencakar  langit  yang
   tertinggi  di dunia, taman-taman yang indah dan  lampu-
   lampu  yang  terang-benderang - semuanya ada  di  Kuala
   Lumpur.    Di  bandar-bandar  lain  di  Malaysia   juga
   demikian.
   
   7.    Ya,  memang  benar kita juga ada  setinggan  yang
   tinggal  di rumah tanpa elektrik dan air, kawasan  yang
   kotor dengan sampah-sarap, jalan yang tidak bertar  dan
   becak.   Memang setinggan miskin.  Tetapi tidak  kurang
   pula  terdapat  rumah setinggan yang  mempunyai  siaran
   ASTRO dan kereta bermotor diletak di depan rumah.   Dan
   ramai  juga  yang  enggan berpindah apabila  disediakan
   dengan rumah kos rendah yang mempunyai cukup kemudahan.
   Jika  mereka,  setinggan di Kuala  Lumpur  terutamanya,
   sanggup berpindah, mereka tidak akan menjadi tandatanya
   sama  ada bandar kita benar maju.  Insya-Allah,  dengan
   usaha  yang sedang dibuat untuk mengadakan rumah  murah
   untuk  semua  setinggan, kita akan  selesaikan  masalah
   ini.   Dengan  itu tidak akan ada rakyat Malaysia  yang
   menidakkan  kemajuan  yang  dicapai  oleh  negara  kita
   kerana  adanya  setinggan, kerana  adanya  rakyat  yang
   miskin  di  negara  yang begitu maju  ini.   Sebenarnya
   tidak   ada  negara  yang  maju  di  dunia  yang  tidak
   mempunyai  rakyat  yang miskin dan  merana.   Oleh  itu
   janganlah  menidakkan kemajuan yang  telah  kita  capai
   dengan   menimbulkan   kemiskinan  golongan   tertentu.
   Sebaliknya   pencemuh  yang  terdiri  daripada   rakyat
   Malaysia  perlu bertanya kenapakah ada rakyat  Malaysia
   yang  miskin sedangkan hampir dua juta orang asing yang
   berjaya  meraih  pendapatan  yang  lumayan  bagi   diri
   mereka.   Tidak mungkinkah kita mengganti  dan  membuat
   kerja-kerja yang dibuat oleh orang asing ini dan meraih
   pendapatan   yang  baik  bagi  kita?    Kenapakah   ada
   pengangguran  di  kalangan  rakyat  Malaysia  sedangkan
   peluang  kerja dapat menampung keperluan rakyat  asing?
   Sebenarnya  jika kita sanggup merebut hanya  sebahagian
   sahaja  daripada peluang yang terbaik yang  ditawarkan,
   tidak  akan ada seorang pun rakyat Malaysia  yang  akan
   menganggur.
   
   8.    Walau  apa pun hakikatnya ialah tidak seperti  di
   negara-negara  membangun  yang  lain,  rakyat  Malaysia
   mempunyai  pilihan.  Mereka boleh pilih  untuk  bekerja
   atau  tidak  bekerja, berpindah atau  tidak  berpindah,
   menderita  atau tidak menderita.  Mereka yang menafikan
   kemakmuran dan kebahagiaan hidup di Malaysia sebenarnya
   tidak  bersyukur  dengan nikmat yang  banyak  yang  ada
   dalam negara kita ini.
   
   9.   Demikian juga dengan mereka yang lain yang sengaja
   tidak  mahu mengiktiraf keIslaman negara Malaysia  ini.
   Kerana  ingin  memupuk perasaan kebencian kepada  musuh
   politik,  mereka menafikan keIslaman Malaysia.   Bahawa
   dunia  Islam bukan sahaja mengiktiraf Malaysia  sebagai
   negara  Islam, tetapi sebagai negara Islam yang menjadi
   contoh kepada negara-negara Islam lain tidak sedikitpun
   mempengaruhi `state of denial' atau sikap tidak sanggup
   mengaku hakikat yang sebenar ditunjuk oleh mereka  ini.
   Kerana   kepentingan  politik  mereka  terus  menafikan
   keIslaman Malaysia.
   
   10.   Mereka mungkin memandang ringan terhadap penafian
   mereka  akan keIslaman Malaysia.  Mereka mungkin anggap
   ianya  hanyalah  satu strategi untuk mengalahkan  musuh
   politik mereka dan tidak lebih daripada itu, tetapi ada
   antara anggota kumpulan mereka yang benar-benar percaya
   dakwaan   mereka  dan  ingin  mengguna  kekerasan   dan
   keganasan  untuk  menjatuhkan  pemerintahan  yang   ada
   sekarang.   Bagi kumpulan ini pembentukan negara  Islam
   mereka  melalui proses demokrasi tidak memadai.  Mereka
   ingin membunuh, mengganas dan mendapat bantuan daripada
   fanatik-fanatik  asing untuk menjayakan  usaha  mereka.
   Kegiatan  mereka  ini  berjaya  menghalang  pembangunan
   negara-negara Islam, menjadikan mereka lemah dan  tidak
   mampu    menyelamatkan   negara   dan    umat    Islam.
   Sesungguhnya  puak ini adalah pengkhianat kepada  agama
   Islam dan umat Islam.
   
   11.   Walau parti tidak terlibat secara langsung tetapi
   pengikut yang fanatik dari parti ini mengadakan pasukan-
   pasukan  ketenteraan kononnya untuk merebut  kuasa  dan
   menggulingkan  Kerajaan  yang sah.   Mereka  meyakinkan
   diri  mereka bahawa apabila mereka melancarkan serangan
   mereka   maka  rakyat  akan  bangun  menyokong  mereka.
   Mereka   juga  meyakinkan  diri  mereka  bahawa  mereka
   mempunyai kuasa ghaib yang menjadikan mereka kebal  dan
   selamat  daripada  peluru  dan  senjata  lain.   Mereka
   menghalalkan keganasan mereka kerana orang yang  mereka
   musuhi  sudah tidak Islam lagi atau mengamal  cara-cara
   yang  bukan  Islam.  Demikian merompak bank  dihalalkan
   bagi  mereka kerana bank mengamalkan sistem riba.   Dan
   banyaklah  lagi ajaran sesat yang diterima oleh  mereka
   supaya mereka sanggup melakukan jenayah.
   
   12.   Kerana  percaya kepada dakwaan  pemimpin  politik
   yang  berkepentingan,  kerana  yakin  perbuatan  mereka
   dihalalkan, bahkan diwajibkan oleh agama Islam,  kerana
   tidak  yakin  sistem  demokrasi  akan  berjaya  memberi
   kemenangan  kepada  puak  mereka  dan  kerana  inginkan
   impian  negara Islam khayalan mereka dicapai, hari  ini
   mereka  terpaksa menghadapi undang-undang  negara  bagi
   orang   yang  melakukan  jenayah  bersenjata.    Mereka
   mungkin  akan  menerima  hukuman  yang  berat  setimpal
   dengan   jenayah  mereka.   Tetapi  orang  yang   telah
   membakar  semangat mereka, yang secara  tidak  langsung
   mendalangi  keganasan mereka, orang ini  akan  selamat.
   Orang  ini  tidak  pun  akan  mengakui  mereka  sebagai
   sebahagian  daripada gerakan mereka.   Orang  ini  akan
   terus  menikmati  strategi membenci  yang  diguna  oleh
   mereka untuk kepentingan politik mereka.
   
   13.   Tetapi  ada  juga pihak lain yang menjadi  mangsa
   penafian keIslaman negara Malaysia oleh pihak ini;  dan
   kebencian yang disemai terhadap musuh politik puak ini.
   Fikiran  generasi  muda  Melayu  begitu  diganggu  oleh
   perasaan kebencian sehingga mereka tidak dapat  menumpu
   kepada  pelajaran dan penguasaan ilmu.   Guru-guru  dan
   pensyarah  juga tidak dapat menyampaikan pelajaran  dan
   ilmu.    Sebaliknya   ramai  mereka   terlibat   dengan
   penyemaian  kebencian  terhadap pihak  tertentu.   Yang
   lebih   malang   lagi   ialah  guru-guru   agama   yang
   dipertanggungjawabkan  untuk membentuk  peribadi  Islam
   yang  mulia,  mengemaskan pegangan kepada agama,  telah
   ketepikan  tanggungjawab ini sehingga aqidah  dan  iman
   pelajar dan anak muda menjadi lemah.
   
   14.   Dengan  itu  bukan  sahaja ilmu  pelajaran  tidak
   diperolehi  oleh  pelajar-pelajar  dan  golongan  muda,
   tetapi kefahaman dan pegangan mereka kepada Islam  juga
   turut  lemah.   Maka berlakulah keruntuhan  akhlak  dan
   moral  yang ketara sehingga ada yang menolak Islam  dan
   menyembah  syaitan, melangkah Al-Quran dan membakarnya,
   merogol,   membunuh,  menolak  ibubapa  dan   melakukan
   jenayah  terhadap  mereka.   Ada  antara  mereka   yang
   berkelakuan seperti ini yang terdiri daripada  penuntut
   sekolah agama.
   
   15.    Negara  Malaysia  terus  maju  hasil  usaha  dan
   kecekapan  kaum-kaum lain tetapi orang  Melayu  menjadi
   semakin mundur.  Kepercayaan bahawa mereka akan selamat
   selama-lamanya  menyebabkan mereka tidak  lagi  bersatu
   untuk  mempertahankan kepentingan kaum  bangsa  mereka.
   Mereka   percaya  walau  siapa  pun  menjadi   Kerajaan
   Malaysia  layanan baik terhadap mereka akan berterusan.
   Justeru  itu,  mereka tidak berusaha untuk melengkapkan
   diri  mereka dengan ilmu pengetahuan, dengan  kecekapan
   dan dengan kekuatan politik.  Pecah-belah antara mereka
   semakin buruk sehingga mereka tidak sanggup bertemu dan
   berbincang tentang masalah dan bahaya yang kaum  bangsa
   mereka sedang dan akan menghadapi.
   
   16.   Namun pada tahun ke-44 kita merayakan kemerdekaan
   kita,  kita masih boleh gembira.  Majoriti rakyat masih
   tahu bersyukur dan sedar akan nikmat hidup di Malaysia.
   Negara kita masih aman.  Ekonomi negara masih baik  dan
   hubungan   antara  kaum  masih  harmoni.   Kita   bebas
   daripada cengkaman agensi-agensi antarabangsa dan kuasa
   besar.   Ringgit kita stabil dan mempunyai  nilai  yang
   berpatutan;  tidak  terlalu tinggi  dan  tidak  terlalu
   rendah.   Rizab  negara mampu menampung lebih  daripada
   tiga bulan nilai import.  Pasaran saham juga sihat  dan
   inflasi kurang daripada tiga peratus.
   
   17.   Kemerosotan  ekonomi Amerika  Syarikat  mempunyai
   kesan   ke  atas  pertumbuhan  ekonomi  negara   tetapi
   tidaklah  sehingga  berlaku  resesi.   Suntikan   modal
   sebanyak  RM3 bilion akan membantu pertumbuhan  ekonomi
   negara dari dalam.
   
   18.   Walaupun  eksport  ke  negara-negara  maju  telah
   menurun,   usaha  sedang  giat  dibuat  untuk  mendapat
   pasaran  baru.   Tanda-tanda menunjukkan  yang  negara-
   negara  Asia Barat dan Afrika dapat dibangunkan sebagai
   pasaran  baru  bagi eksport negara.   Yang  lebih  baik
   ialah  pasaran  baru ini akan menerima barangan  buatan
   Malaysia  yang bukan elektronik.  Lagipun barang-barang
   ini adalah keluaran syarikat-syarikat tempatan.
   
   19.   Sesuatu   yang  menggembirakan ialah  pertumbuhan
   jumlah pelancong yang datang ke Malaysia.  Dalam  empat
   bulan pertama tahun ini jumlah pelancong melebihi  satu
   juta  tiap bulan.  Dan ramai pelancong ini datang  dari
   negara-negara Arab.  Mereka tinggal lebih lama daripada
   pelancong  lain  dan  ini adalah  lebih  baik  daripada
   jumlah pelancong yang tinggi tetapi hanya tinggal 3 - 4
   hari.
   
   20.   Hubungan  luar  Malaysia sudah menjadi  bertambah
   baik.   Malaysia  sekarang terkenal di  seluruh  dunia.
   Negara-negara membangun melihat Malaysia sebagai contoh
   bagi mereka.  Demikianlah kehormatan yang diberi kepada
   Malaysia   sehingga   jumlah  perwakilan   asing   yang
   ditauliahkan ke Malaysia sudah melebihi seratus negara,
   dengan  lebih daripada 80 bermastautin di Kuala Lumpur.
   Pemimpin-pemimpin negara asing sering  membuat  lawatan
   rasmi  dan  tidak  rasmi  ke  Malaysia  untuk  menjalin
   hubungan  yang erat dengan kita dan bekerjasama  dengan
   kita dalam arena antarabangsa.
   
   21.   Kita  tidak memihak kepada mana-mana blok  tetapi
   berbaik-baik dengan semua negara di dunia.  Sikap bebas
   kita  dan  kelantangan  kita menyuarakan  ketidakadilan
   yang  berlaku dalam dunia kadang-kadang tidak disenangi
   oleh  pihak  tertentu.  Media asing  terutamanya  tidak
   mempunyai  apa-apa pandangan yang baik  terhadap  kita.
   Mereka  sering  memburukkan imej negara kita,  mencemuh
   kita  dan  mencuba  memesongkan pandangan  pelabur  dan
   pelancong  daripada  kita.  Usaha mereka  berjaya  juga
   tetapi semakin ramai yang tidak lagi percaya akan  imej
   buruk yang diberi oleh media asing kepada kita.  Mereka
   yang  datang  ke Malaysia melihat dengan  sendiri  akan
   betapa  tidak  tepat laporan media  terhadap  kita  dan
   mereka  dapat memperbetulkan imej Malaysia di  kalangan
   rakan dan kenalan mereka.
   
   22.   Negara-negara yang pada tahun 1998 mencemuh  kita
   kerana  kononnya kita tidak demokratik, tidak adil  dan
   sebagainya,  hari  ini  berusaha  memperbaiki  hubungan
   mereka dengan kita.  Masalah tertentu sudah tidak  lagi
   disebut   oleh  mereka.   Kebanyakan  daripada   mereka
   sekarang mengakui kebenaran dan kewarasan tindakan kita
   dan  pegangan kita kepada prinsip `the rule of law' dan
   undang-undang Malaysia yang tidak memilih  bulu.  Semua
   rakyat Malaysia adalah sama daripada segi undang-undang
   dan  kedudukan  tinggi seseorang tidak memberi  apa-apa
   keistimewaan kepadanya.
   
   23.   Negara-negara  yang  mengharap  bahawa  kejatuhan
   Kerajaan  Malaysia  akan memberi peluang  kepada  calon
   mereka  mendapat  kuasa, hari  ini  sedar  bahawa  yang
   mungkin  mendapat kuasa dan mengganti Kerajaan Malaysia
   ialah  puak  ekstremis  yang  memperalatkan  Islam  dan
   hubungan mereka dengan puak ekstremis ini tidak mungkin
   lebih baik daripada hubungan dengan pemerintah yang ada
   sekarang.   Realiti ini mengecewakan mereka  dan  usaha
   memburukkan Kerajaan Malaysia sudah berkurangan.
   
   24.    Malaysia   adalah  negara  demokratik.    Rakyat
   Malaysia sahaja yang berhak menentukan siapa yang  akan
   memerintah  negara bertuah ini.  Walaupun  agama  Islam
   boleh   disalahtafsir   untuk  menipu   rakyat   supaya
   menyokong  pihak tertentu, tetapi rakyat semakin  sedar
   akan  penyalahgunaan  agama.   Sehingga  ke  hari   ini
   cabaran supaya dijelaskan secara terperinci akan negara
   Islam  yang  kononnya hendak didirikan tidak  terjawab.
   Mendakwa bahawa negara Islam yang akan didirikan  ialah
   yang mematuhi ajaran Islam yang terdapat dalam Al-Quran
   dan  Hadis  tidak  dapat diterima kerana  Al-Quran  dan
   Hadis  tidak  menyuruh orang Islam  tolak  persaudaraan
   sehingga  tidak  pun  sanggup berjumpa  dan  berbincang
   tentang  masalah  pertahanan umat  Islam  di  Malaysia,
   tidak  menyuruh  orang Islam mengkafirkan  orang  Islam
   lain  dengan  sebab  tidak menyertai  kumpulan  mereka,
   tidak menyuruh orang Islam melempar fitnah bertalu-talu
   kepada  orang  Islam  lain dan bermacam  lagi  larangan
   dalam  Islam  yang tidak diendahkan.  Juga soalan  sama
   ada hanya mahkamah syariah sahaja yang akan dibenar dan
   mahkamah sivil dihapuskan tidak juga dijawab.
   
   25.   Demokrasi adalah ciptaan manusia dan ianya  tidak
   bebas  daripada  kecacatan.  Banyak sudah  negara  yang
   menjadi tidak stabil dan tidak dapat dibangunkan kerana
   penerimaan  sistem demokrasi.  Negara-negara  demokrasi
   Barat tahu mengawal diri dan mengadakan hanya dua  atau
   tiga  parti sahaja.   Tetapi mereka menggalakkan negara
   demokrasi  yang  baru mengadakan banyak parti  politik.
   Dengan  itu  tidak  ada satu parti  pun  yang  bertaraf
   nasional.   Terbahagi  kepada  terlalu  banyak   parti,
   Kerajaan  yang berwibawa tidak dapat didirikan.   Sudah
   tentu  negara  tidak  dapat  mencapai  kestabilan   dan
   pembangunan tidak dapat diadakan.
   
   26.  Walaupun di Malaysia terdapat banyak parti politik
   tetapi  parti  pemerintah berjaya dicantumkan  13  buah
   parti  dalam sebuah parti campuran.  Kerajaan  Malaysia
   memang   berwibawa  tetapi  kawalan  yang  rapi   perlu
   diadakan  supaya  pihak  yang menyalahgunakan  hak  dan
   kebebasan  untuk mencetuskan huru-hara dapat  dibendung
   awal.
   
   27.   Sementara  itu negara terpaksa berhadapan  dengan
   globalisasi.  Kita tidak nafi bahawa kemajuan teknologi
   komunikasi  dan kemudahan penerbangan telah  menjadikan
   dunia  semakin kecil dan pemisahan antara negara-negara
   tidak   lagi  dapat  dipertahankan.   Namun  ini  tidak
   bermakna kita tidak boleh pertahankan kebebasan  negara
   kita.   Kita tidak percaya orang asing akan pertahankan
   kepentingan kita, terutama jika mereka terdiri daripada
   pedagang wang dan barangan yang mengutamakan keuntungan
   bagi    mereka   sahaja.    Sementara   kita   menerima
   globalisasi,   kita  percaya  bentuknya   masih   boleh
   diperbaiki  supaya  negara-negara  membangun   terjamin
   bahagian  mereka daripada oder baru ekonomi dunia  yang
   akan diterima.
   
   28.   Sementara  itu  rakyat negara ini  perlu  membuat
   persediaan.   Kita perlu menguasai I.T. atau  teknologi
   maklumat   dan   mahir   dengan  penggunaan   komputer.
   Kerajaan  telah melancarkan beberapa `flagship'  projek
   yang  direka untuk memudahkan pentadbiran dan interaksi
   rakyat  dengan  Kerajaan  supaya  kita  menjadi   lebih
   efisien.    Setakat  ini  sambutan  terhadap   Kerajaan
   elektronik    dan    kad   pintar   serbaguna    adalah
   menggalakkan.
   
   29.    Insya-Allah  rakyat  dan  Kerajaan  akan   mampu
   menangani  kehidupan  zaman teknologi  maklumat,  dunia
   tanpa  sempadan dan budaya bebas tanpa sekatan,  budaya
   lucah  dan kehidupan tanpa moral yang akan dibawa  oleh
   dunia  luar.  Ramai yang tidak kuat iman akan  tercicir
   di sepanjang jalan.  Tetapi lebih ramai yang akan kekal
   dengan  fikiran  yang  rasional dan  menyumbang  kepada
   ketahanan masyarakat dan negara.
   
   30.   Telah 44 tahun negara kita berdaulat dan merdeka.
   Kita  berhak berbangga dengan kecapaian kita.  Dan hari
   ini  sempena  merayakan ulang tahun  kemerdekaan  kita,
   marilah  kita memperbaharui komitmen kita  untuk  terus
   bersatu  padu  dan bersama-sama bergerak memajukan  dan
   mempertahankan  negara  kita Malaysia,  sama  ada  kita
   daripada  kaum  Bumiputera  mahupun  bukan  Bumiputera.
   Malaysia  adalah  negara kita, hak kita.  Marilah  kita
   mempertahankannya agar kita dapat terus merdeka, bebas,
   berdaulat,  maju  dan makmur dan terus  dihormati  oleh
   masyarakat dunia.
   
   31.   Selamat  merayakan  Hari Kebangsaan  yang  ke-44.
   Kepada semua rakyat Malaysia, pasukan keselamatan serta
   petugas-petugas  Kerajaan yang lain, kepada  kakitangan
   Kerajaan  dan swasta, pelajar dan penuntut sekolah  dan
   universiti  di  dalam  dan  luar  negeri,  bagi   pihak
   Kerajaan,  ingin  saya ucapkan berbanyak  terima  kasih
   kerana  sumbangan  tidak ternilai terhadap  kestabilan,
   kemajuan  dan  pembangunan  negara  yang  bertuah   dan
   tercinta ini.
   
   32.   Selamat  maju  jaya  dan selamat  merayakan  hari
   Kemerdekaan.

   Sumber : Pejabat Perdana Menteri
    




    
    

             
 


 
Google