home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
Oleh/By  	:	DATO SERI DR MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue	:	HOTEL PALACE OF THE GOLDEN HORSES, 
KUALA LUMPUR
Tarikh/Date	:	16-10-2001
Tajuk/Title 	:	MAJLIS PELANCARAN AMANAH SAHAM 
			NASIONAL 3 IMBANG
Versi 		:	
Penyampai	:  	PM 

       Saya   ucapkan  terima  kasih  kepada   Permodalan
   Nasional    Berhad   kerana   menjemput   saya    untuk
   melancarkan  satu  lagi saham amanah terbaru  PNB  pada
   hari  ini,  iaitu Amanah Saham Nasional 3  Imbang  (ASN
   3).   ASN  3  merupakan salah satu daripada saham-saham
   amanah   PNB   yang  dibuka  kepada  semua  warganegara
   Malaysia  selepas Amanah Saham Wawasan 2020 dan  Amanah
   Saham  Malaysia yang ditawarkan pada harga tetap RM1.00
   setiap unit.  ASN 3 ini juga adalah saham amanah  harga
   berubah-ubah  yang pertama diuruskan  oleh  PNB  dibuka
   kepada masyarakat bukan Bumiputera.
   
   2.   Kerajaan  menyokong penuh usaha PNB memperkenalkan
   saham - saham amanah  yang  dibuka  kepada semua rakyat
   Malaysia  kerana  selaras dengan dasar  Kerajaan  untuk
   memberi peluang kepada  semua rakyat Malaysia menikmati
   hasil kekayaan dan kemakmuran ekonomi negara.
   
   3.    Saham amanah PNB ternyata mendapat sambutan  yang
   menggalakkan  daripada  seluruh rakyat Malaysia di mana 
   lebih tujuh juta  orang telah melabur dalam saham-saham
   amanah  PNB dengan  pelaburan bernilai  lebih  daripada
   RM36 bilion.  Ini adalah  satu  perkembangan  yang amat 
   membanggakan  yang  mana  kejayaan  PNB  menarik rakyat 
   melabur  telah  memberi  sumbangan yang terbesar kepada
   pertumbuhan industri  saham amanah negara. Kejayaan PNB 
   ini  bukannya  dicapai dengan  cara  yang mudah.  Ianya
   diperolehi  menerusi  usaha  gigih  yang berterusan dan
   komitmen  tinggi oleh PNB dan Kerajaan dalam memastikan 
   setiap keputusan pelaburan PNB mampu memberikan pulangan
   yang  terbaik  kepada  para  pelabur,  selain  mencapai 
   matlamat  penubuhan  PNB  dalam menyusun  semula status 
   ekonomi rakyat iaitu menghapuskan idenditi  kaum dengan
   fungsi  ekonomi   dan mengatasi kemiskinan  di kalangan 
   semua  kaum.
   
   4.   Keadaan  yang  ada pada  hari ini dalam masyarakat
   berbilang kaum di Malaysia adalah jauh lebih baik, adil 
   dan saksama  berbanding  dengan keadaan  lebih 30 tahun 
   lalu.  Sesungguhnya  apa  yang dinikmati oleh kita hari 
   ini  adalah  hasil  daripada  usaha - usaha  berterusan 
   Kerajaan untuk  mewujudkan kesaksamaan dan keseimbangan
   taraf hidup di kalangan rakyat di negara ini.
   
   5.    Pembangunan  industri  saham  amanah  menunjukkan
   keberkesanannya   dalam  mengagihkan   kekayaan  negara 
   secara   sama  rata  malah   turut  menyumbang   kepada 
   perkembangan ekonomi negara.Ternyata menerusi mekanisme
   saham amanah kita juga berjaya mendidik rakyat Malaysia,
   khususnya   golongan   Bumiputera   tentang   pelaburan,
   terutamanya  pelaburan  dalam  saham  amanah.  Hari ini,
   kita dapati terma-terma pelaburan seperti dividen,bonus 
   dan risiko  bukan  lagi suatu perkataan yang asing bagi 
   masyarakat kita, terutamanya masyarakat luar bandar.Ini 
   satu perkembangan yang baik. Walau bagaimanapun, usaha-
   usaha  pendidikan  tentang  pelaburan  dan saham amanah
   perlu digiatkan bagi meningkatkan lagi  pengetahuan dan
   kefahaman  rakyat  tentang  elemen - elemen  pelaburan,
   khususnya perkaitan di antara pulangan dan risiko dalam
   pelaburan.
   
   6.   Rakyat Malaysia perlu memahami lebih mendalam lagi
   tentang faktor-faktor yang boleh memberi kesan ke  atas
   pulangan  daripada  pelaburan  yang  dilakukan.  Selain 
   daripada  kepakaran,  profesionalisme  dan  kredibiliti
   pengurus dana, persekitaran  dan iklim ekonomi tempatan 
   dan  global juga turut  mempengaruhi prestasi portfolio
   pelaburan yang diuruskan oleh  pengurus dana.
   
   7.   Para pelabur harus mempunyai maklumat dan matlamat
   pelaburan yang jelas sebelum membuat sebarang keputusan
   pelaburan. Ini bagi memastikan pulangan yang diperolehi
   setimpal dengan tahap risiko pelaburan yang disertainya.
   Pelabur  juga perlu  faham bahawa pelaburan dalam saham 
   amanah adalah  secara umumnya  bersifat  jangka panjang.  
   Dengan  itu, para pelabur tidak seharusnya mengharapkan 
   pulangan  yang  segera  dan tinggi.  Selain  itu,  para 
   pelabur  perlu  memahami  dan  mengikuti   perkembangan
   pasaran saham tempatan dan global. Pasaran saham global
   mempengaruhi perkembangan pasaran saham  tempatan.
   
   8.   Oleh  itu,  para  pelabur  perlu  bijak   menilai, 
   membanding dan memilih jenis-jenis pelaburan yang mampu
   memberi pulangan yang baik. Walau bagaimanapun, pelabur 
   perlulah bersikap realistik dalam membandingkan pulangan
   -pulangan yang diperolehi daripada p elaburan-pelaburan 
   yang dilakukan dengan mengambilkira persekitaran ekonomi
   dan pasaran saham  semasa.  Sekiranya   pelaburan dalam 
   saham-saham amanah mampu memberikan pulangan yang lebih
   baik  berbanding  pelaburan-pelaburan  jenis  lain maka
   pulangan  yang diperolehi itu sudah cukup baik dan kita 
   patut bersyukur dengan pencapaian tersebut.
   
   9.   Pertumbuhan  industri  saham  amanah di negara ini
   masih  mempunyai  ruang untuk terus berkembang meskipun
   pada masa ini ia tidak  setanding dengan industri saham
   amanah di negara-negara maju. Menyedari tentang potensi
   perkembangan industri  saham amanah ini, Kerajaan telah 
   mengambil langkah-langkah  wajar untuk memantapkan lagi
   industri   saham  amanah  di   negara   ini.  Penubuhan 
   Suruhanjaya  Sekuriti  pada  tahun   1993   menunjukkan 
   kesungguhan  Kerajaan   untuk    mengukuhkan   struktur
   penguatkuasaan  bagi menggalakkan dan menggiatkan  lagi
   pembangunan pasaran modal tempatan.Selain itu, ia turut
   berperanan menyelaras dan memperkemaskan lagi  struktur
   peraturan  dan  undang-undang berkaitan  industri saham 
   amanah.
   
   10.   Di samping itu, penubuhan Malaysian Institute  of
   Corporate Gorvenance menyerlahkan usaha Kerajaan  untuk
   memastikan pelaksanaan amalan tadbir korporat yang baik
   dalam pasaran modal dan industri saham amanah di negara
   ini.   Badan-badan  kawal  selia  seperti   Suruhanjaya 
   Sekuriti  dan  Bursa Saham  Kuala Lumpur  diberi mandat 
   untuk  memastikan  akta,  peraturan  dan  etika  tadbir 
   korporat dipatuhi oleh syarikat-syarikat bagi memastikan
   pengurusan yang cekap dan telus. Usaha-usaha ini diharap
   dapat  meningkatkan  keyakinan pelabur-pelabur tempatan
   dan  asing. Ini  penting  bagi  memastikan  pembangunan
   pasaran modal dan seterusnya membangunkan ekonomi negara.
   
   11.  Kebelakangan  ini  kita  sering  mendengar kejadian-
   kejadian di mana wang tabungan orang ramai disalahgunakan
   dan  berlakunya pecah amanah.  Kerajaan  memandang serius
   perkara ini kerana ia akan menjejaskan imej dan keyakinan
   rakyat  serta pelabur  asing terhadap institusi pelaburan
   dan  perbankan   negara.  Oleh   itu,   langkah - langkah 
   keselamatan dan  prosedur urusniaga harian yang jelas dan 
   teratur perlu  diperkemas dan  dikaji  semula dari semasa
   ke  semasa  bagi  memastikan  tahap  profesionalism e dan
   kredibiliti tidak dipersoalkan. Di samping itu, keyakinan
   para pelabur dapat dikekalkan dan dipertingkatkan.
   
   12.  Selain  daripada kepakaran dan kecanggihan teknologi
   masa  kini, pengurus  dana  yang  baik  perlu mengamalkan 
   sifat  yang  mulia seperti amanah,  telus dan jujur serta
   bertanggungjawab   dalam   melaksanakan   tugas   mereka.  
   Permodalan  Nasional  Berhad   adalah   antara  institusi
   pelaburan ciptaan Kerajaan yang telah berjaya melaksanakan
   tanggungjawabnya  dengan   baik  dan  mencapai   matlamat
   penubuhannya.  Selama  lebih  22 tahun  penubuhannya, PNB 
   terus  mencipta  kejayaan  demi  kejayaan.  Saya berharap
   pengurusan PNB dan kakitangannya tidak mudah leka dan akan
   terus melipatgandakan usaha untuk  menangani cabaran masa
   depan, tambahan pula  dengan globalisasi.  Di samping itu,
   kita juga perlu sentiasa bersedia dan bijak mengenalpasti 
   peluang-peluang  yang  dibawa  bersama  arus  globalisasi 
   untuk memastikan kita mampu bersaing di arena antarabangsa.
   
   13.  Sifat  amanah,  jujur,  bertanggungjawab  dan  telus 
   dalam  segala  hal  perlu  dijadikan panduan  dan amalan.
   Usaha Kerajaan melalui perancangan yang teliti, pemikiran 
   strategik   dan   berwawasan   melahirkan   PNB  ternyata
   membuahkan  hasil  yang membanggakan dan begitu bermakna. 
   Hasilnya telah  pun  dinikmati  oleh lebih daripada tujuh 
   juta  pelabur. Malah  menerusi  PNB  juga,  kita  berjaya 
   menguasai  syarikat-syarikat  gergasi    yang   dahulunya
   merupakan  milik  asing. Ini meningkatkan  maruah kita di
   mata masyarakat antarabangsa dan menunjukkan kepada dunia 
   kemampuan  kita  sebagai  pengurus  dana  berwibawa dalam
   dunia pelaburan.
   
   14.   Kerajaan   telah  memberi restu  kepada  usaha  PNB
   menganjurkan  Minggu  Saham  Amanah  Malaysia (MSAM) yang
   disambut setiap  tahun pada 20 April. MSAM adalah program 
   pendidikan bersepadu dan berterusan PNB dalam menyampaikan 
   maklumat  dan  pengetahuan  terkini  mengenai   pelaburan,
   khususnya pelaburan dalam saham amanah kepada orang ramai.
   Saya  yakin  melalui  penglibatan dan komitmen tinggi PNB,
   syarikat - syarikat  pengurus   dana   saham  amanah  dan 
   badan-badan kawal selia serta syarikat-syarikat pelaburan 
   PNB,  MSAM  akan  merealisasikan  matlamat  untuk membina
   masyarakat yang celik pelaburan dan memahami dengan jelas
   akan  kepentingan  pelaburan  dalam  saham amanah sebagai
   penyumbang kepada kemajuan ekonomi negara.
   
   15.   Pelancaran ASN 3 ini,  adalah  tepat  pada  masanya.
   Meskipun pada ketika ini, asas dan sentimen pasaran saham
   dibayangi oleh isu-isu global yang melanda  negara-negara 
   maju, terutamanya Amerika Syarikat, tetapi dengan wujudnya
   kepelbagaian  dan  kekuatan  ekonomi di samping langkah -
   langkah  strategik  yang  diambil  oleh  Kerajaan   untuk
   menangani   keadaan ekonomi  semasa, ekonomi Malaysia pada
   dasarnya berpotensi  dan  mampu untuk terus berdaya saing.  
   Sesungguhnya keadaan ini  memberi peluang kepada pengurus
   -pengurus dana seperti PNB menggembleng dana daripada para
   pelabur individu untuk tujuan pelaburan dalam sektor-sektor
   ekonomi yang berdaya maju.
   
   16.  Sama - samalah  kita  berdoa semoga iklim ekonomi dan
   politik  dunia  akan  kembali  harmoni  dan  pasaran  akan
   kembali  pulih.  Dengan   itu,     dunia   pelaburan  akan 
   berkembang  atas  asas 'fundamentals'  dan prinsip ekonomi
   yang kukuh.Rata-rata penganalisis menjangkakan ekonomi dan
   pasaran saham dunia akan mulai pulih menjelang tahun 2002.
   Oleh  itu, inilah  masa  yang  paling  sesuai untuk rakyat
   Malaysia merebut peluang melabur dalam saham amanah terbaru 
   PNB ini.
   
   17.  Dengan  ini,  saya  dengan   sukacitanya   merasmikan
   pelancaran ASN 3 Imbang.

   Sumber : Pejabat Perdana Menteri
    




    
    

             
 


 
Google