home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
Oleh/By  	:	DATO' SERI DR MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue	:	SERI PERDANA, PUTRAJAYA
Tarikh/Date	:	29-10-2001
Tajuk/Title 	:	MAJLIS MAKAN MALAM SEMPENA LAWATAN 
			RASMI T.Y.T. BOUNNHANG 
			VORACHITH PERDANA MENTERI REPUBLIK 
			DEMOKRATIK RAKYAT LAOS KE MALAYSIA
Versi 		:	
Penyampai	:  	PM 
		    


   Dengan  sukacitanya saya dan isteri saya  mengalu-alukan
   kedatangan  Tuan Yang Terutama dan Puan Khammeung  serta
   ahli-ahli rombongan Republik Demokratik Rakyat  Laos  ke
   Malaysia.  Saya  harap lawatan ini akan memberi  manfaat
   di  samping  membawa  kenangan manis  kepada  Tuan  Yang
   Terutama dan ahli-ahli rombongan.
   
   2.     Saya  sendiri  mempunyai  kenangan  manis  semasa
   melawat  Laos  yang  indah  pada  1994.   Sejak  lawatan
   tersebut dan juga lawatan oleh Perdana Menteri  Laos  ke
   Malaysia  yang  terdahulu pada tahun  1998,  perhubungan
   dua  hala  antara kedua-dua negara terus berkembang  dan
   membangun.
   
   3.    Semasa  mesyuarat delegasi hari  ini,  kita  telah
   berbincang  secara  terbuka dan bermakna  mengenai  arah
   tuju  hubungan dua hala kita di masa depan serta bidang-
   bidang  baru  yang  kita  dapat  terokai  dan  bangunkan
   bersama bagi memperkukuhkan lagi hubungan kita.
   
   4.     Hubungan  perdagangan  Malaysia  -   Laos   telah
   menunjukkan   kemajuan  yang  ketara,  walaupun   jumlah
   perdagangan  kita  pada tahun 2000  hanya  mencapai  USD
   0.66  juta.  Adalah menggalakkan bahawa Laos telah  mula
   mengimport minyak kelapa sawit dari Malaysia pada  tahun
   lepas.    Terdapat   banyak  lagi  produk   yang   boleh
   dibekalkan  oleh Malaysia kepada Laos dan  saya  percaya
   begitu juga sebaliknya.
   
   5.    Melalui dasar `prosper-thy-neighbour' negara  ini,
   sektor  swasta  Malaysia digalakkan melabur  di  negara-
   negara   jiran.   Oleh  itu,  adalah    memberangsangkan
   apabila didapati bahawa pelabur-pelabur Malaysia  sedang
   aktif  menyumbang  ke  arah  pembangunan  ekonomi   Laos
   terutama  dalam bidang pembinaan, perhutanan, perbankan,
   khidmat  runding dan pendidikan. Pada hari ini  terdapat
   sebanyak  18 syarikat Malaysia yang beroperasi  di  Laos
   dengan   jumlah  pelaburan  bernilai  USD  276.9   juta.
   Malaysia  merupakan pelabur keempat  terbesar  di  Laos.
   Pelaburan  terbaru  Malaysia di Laos  melibatkan  kajian
   "feasibility" pembinaan projek kuasa hidro bernilai  USD
   300 juta di Daerah Champassak di selatan negara ini.
   
   6.     Di  Malaysia,  sektor  swasta  merupakan  jentera
   penggerak  pertumbuhan negara.  Saya percaya penglibatan
   sektor  swasta akan  mempercepatkan  proses  pembangunan
   ekonomi  di Laos.  Namun bagi membolehkan sektor  swasta
   bergiat  aktif  dan  berkesan, satu  persekitaraan  yang
   sesuai  dan kondusif adalah amat diperlukan.  Esok  Tuan
   Yang  Terutama akan menghadiri perbincangan  dan  jamuan
   tengahari  dengan tokoh-tokoh perniagaan Malaysia.  Saya
   yakin   dalam  perjumpaan  ini,  masyarakat   perniagaan
   Malaysia  akan dapat pendedahan yang lebih baik mengenai
   potensi pelaburan dan ekonomi  negara Laos.
   
   7.    Malaysia berpendapat bahawa sebagai sebuah  negara
   membangun,   keupayaan   kita   untuk   berdaya    saing
   bergantung  kepada kemampuan kita untuk memahirkan  diri
   dalam  teknologi terkini.  Dengan kemunculan  ICT,  cara
   kehidupan  kita  telah  banyak berubah.   Walaubagaimana
   pun,  teknologi  ini tidak dapat dinikmati  oleh  semua.
   Jurang  digital  di antara negara-negara  yang  berupaya
   dan  yang  kurang  berupaya  semakin  melebar.  Justeru,
   Malaysia   dan   rakan-rakan  ASEAN  yang   lain   telah
   bersetuju  untuk  mengurangkan jurang perbezaan  digital
   dan  pembangunan di kalangan rakan ASEAN.  Malaysia akan
   membantu    rakan-rakan   ASEANnya   terutama   Kemboja,
   Myanmar,  Laos  dan  Vietnam  (CMLV)  menuju   ke   arah
   tersebut.
   
   8.    Di samping itu, Malaysia berpendapat bahawa adalah
   perlu  untuk  mengatasi  jurang  pembangunan  di  antara
   negara-negara  ASEAN yang lebih maju  dan  negara-negara
   CMLV.  Dalam  hal  ini, pada pandangan  Malaysia  adalah
   perlu  bagi ASEAN untuk membantu meningkatkan  keupayaan
   dan  pembangunan  institusi-institusi  sokongan  negara-
   negara  CMLV.  Pendekatan ini akan  membolehkan  negara-
   negara  CMLV mencipta semula sistem perekonomian  mereka
   dan menarik pelaburan asing.
   
   9.    Malaysia  gembira  bahawa kepimpinan   Laos  terus
   melaksanakan  pembaharuan  dan  mewujudkan    institusi-
   institusi   sokongan   ke   arah   pembentukan   ekonomi
   berorientasikan  pasaran.  Malaysia  berpendapat  bahawa
   keinginan    Laos    untuk    menganggotai    Pertubuhan
   Perdagangan  Sedunia (WTO)  merupakan satu langkah  yang
   tepat  dan  Malaysia  menyokong  sepenuhnya  keanggotaan
   Laos dalam pertubuhan tersebut.
   
   10.   Keupayaan  ASEAN untuk menumpukan  usaha  ke  arah
   pembangunan   negara   dan   bangsa   pada    hakikatnya
   bergantung  kepada persekitaran yang  stabil  dan  aman.
   Tarikan   ASEAN  sebagai  destinasi  pelaburan   amatlah
   berkait  rapat  dengan keupayaan kerajaan  negara-negara
   ASEAN   mengekalkan  keamanan  dan  kestabilan  serantau
   dan   memajukan   dasar-dasar  yang   mesra   pelaburan.
   Walaupun  kita  telah berjaya dalam usaha ini,  tindakan
   keganasan  di  New  York  dan Washington  baru-baru  ini
   telah   memberi  ancaman  baru  yang  mungkin  melesukan
   pemulihan ekonomi sedunia
   11.   Malaysia  menentang keganasan dan  percaya  bahawa
   ancaman  kepada manusia sejagat ini memerlukan kerjasama
   masyarakat  antarabangsa  untuk  menangani isu  tersebut
   secara menyeluruh.
   
   12.   Selama tiga dekad, ASEAN telah berjaya mengekalkan
   keamanan  serta kestabilan serantau.  Oleh  itu,  adalah
   penting bagi kesejahteraan kita bersama untuk mengekalkan
   keharmonian  ini  yang akan membolehkan kita  meneruskan
   matlamat  pembangunan  negara tanpa  sebarang  gangguan.
   Malaysia akan bekerjasama rapat dengan Laos di forum-forum
   serantau dan antarabangsa bagi memajukan kepentingan masing-
   masing.

   Sumber : Pejabat Perdana Menteri
    




    
    

             
 


 
Google