home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
Oleh/By  	:	DATO SERI DR MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue	:	SERI PERDANA PUTRAJAYA
Tarikh/Date	:	05-12-2001
Tajuk/Title 	:	MAJLIS BERBUKA PUASA DENGAN 
			PEMIMPIN PELAJAR.
Versi 		:	
Penyampai	:  	PM 
		    

  Saya  bersyukur  kerana pada malam  ini  saya  berpeluang
   bertemu   dengan   kepimpinan  baru  persatuan   penuntut
   Universiti.
   
   Mereka  yang hadir tentulah terdiri daripada yang  menang
   dan   kepada   mereka  saya  ucapkan  tahniah   di   atas
   kemenangan mereka.
   
   Alhamdulillah  hari ini kita berkumpul di sini  di  dalam
   majlis  berbuka  puasa.  Kita  telah  pun  berbuka  puasa
   dengan  buah kurma, kita telah makan juadah  dan  selepas
   itu  kita  telah  menunaikan sembahyang  Maghrib  diikuti
   dengan  makan  malam dan diikuti pula  dengan  sembahyang
   Isya' dan kemudian diteruskan dengan sembahyang Terawih.
   
   Kita  lakukan  semua ini dalam keadaan aman,  tenang  dan
   selesa.  Harus  kita  ingat bahawa  semasa  kita  berbuka
   puasa  dalam keadaan yang umumnya  selamat dengan makanan
   yang  bukan sahaja cukup tetapi lebih daripada mencukupi,
   terdapat ramai  orang Islam yang menderita.
   
   Saudara  seagama kita di Afghanistan kerapkali tidak  pun
   mempunyai  makanan, berada dalam musim  sejuk  ini  tanpa
   pakaian  yang bersesuaian dan diserang bukan sahaja  oleh
   musuh  tetapi juga penyakit. Mereka mungkin  tidak  dapat
   menunaikan  ibadah puasa, sembahyang, sembahyang  Terawih
   dan sebagainya.
   
   Mereka  menderita  kerana ramai  daripada  mereka  cedera
   terkena   letupan  bom  yang  dilontar  oleh  musuh-musuh
   mereka.  Kita  harus tanya kepada diri  kita,  mengapakah
   ini  berlaku?  Berlaku kepada orang yang  pada  pandangan
   sesetengah pihak adalah orang yang betul-betul Islam.
   
   Mereka  begitu kuat pegangan kepada agama, mereka sanggup
   mati  kerana  agama.  Mereka sanggup  menghadapi  cabaran
   hidup  dalam  sebuah  negara yang  gersang  yang  kadang-
   kadang  begitu  panas  dan  kadang-kadang  begitu  sejuk.
   Tetapi iman mereka ternampak jelas cukup kuat.
   
   Kita  percaya bahawa pegangan mereka kepada  agama  Islam
   tentulah pegangan yang cukup kuat dan kita tidak  percaya
   bahawa  mereka  akan ditimpa malapetaka sedangkan  mereka
   adalah  orang  yang  begitu kuat pegangan  mereka  kepada
   agama Islam.
   
   Sementara   kita  berkata  bahawa  mereka   begitu   kuat
   pegangan  kepada  agama  Islam,  kita  juga  harus  tanya
   apakah   benar  apa  yang kita lihat? Kita  lihat  mereka
   dengan   perkara   tertentu.  Kesemua   daripada   mereka
   mempunyai janggut yang lebat kerana pemerintahan  Taliban
   tidak membenarkan sesiapa mencukur janggut.
   
   Kita  lihat  mereka selalu beribadat, sembahyang,  wanita
   mereka  ditutup  sehingga tak nampak apa-apa  pun.  Dalam
   keadaan  panas mereka tutup dengan pakaian  yang  dipaksa
   ke   atas   mereka   tetapi  semua  ini   adalah   kerana
   kepercayaan mereka bahawa inilah ajaran Islam.
   
   Tekanan  ialah  kepada perkara-perkara  seperti  janggut,
   serban,  Burqa dan lain-lain, tetapi ajaran  Islam  kalau
   kita  teliti sedikit, renung sedikit, berkehendakkan kita
   bersaudara.  Orang  Islam  itu adalah  bersaudara  Innama
   mukminun na ikhwah.
   
   Tetapi  adakah  orang-orang Islam  ini  menganggap  orang
   Islam  lain bersaudara?  Yang pertamanya mereka berperang
   bukan  untuk  melawan  orang bukan  Islam,  tetapi  untuk
   melawan  puak  Mujahidin, iaitu  Perikatan  Utara  kerana
   mereka ingin menjatuhkan Kerajaan Perikatan Utara ini.
   
   Dan  mereka  berjaya menewaskan Perikatan Utara  ini  dan
   dalam  proses  itu mereka membunuh ramai daripada  musuh-
   musuh mereka yang terdiri daripada orang Islam.
   
   Tetapi  di  waktu  (pemerintahan)  Mujahidin  ini   juga,
   keadaan  tidak lebih baik daripada Taliban.  Mereka  juga
   membunuh ramai daripada pengikut dan orang-orang  Taliban
   yang  bermusuh dengan mereka. Dalam pada itu mereka  juga
   sering   bergaduh  sesama  puak-puak  mereka,   keturunan
   mereka.
   
   Mereka  yang  datang  dari kawasan-kawasan  lain,  orang-
   orang   Pushtun,  orang  Tajik,  dan  lain-lain,   mereka
   sesama  mereka sering bermusuh dan berperang dan membunuh
   sesama sendiri.
   
   Apakah  ini  orang  yang berpegang  kepada  agama  Islam?
   Sedangkan  Islam  menyeru kita bersaudara,  berbaik-baik,
   bersatu  padu  sesama  orang  Islam.  Tetapi  tidak   ada
   perpaduan, tidak ada persaudaraan sesama orang  Islam  di
   Afghanistan. Mereka sering berperang sesama  mereka.  Dan
   hari  ini kita lihat musuh Islam menyerang mereka  dengan
   bom,  dengan roket dan ramai daripada mereka yang cedera,
   ramai  yang  meninggal dunia, lebih ramai  lagi  daripada
   mereka  yang  terpaksa melarikan diri  mereka  ke  negara
   jiran   dalam  keadaan  cemas,  tanpa  kain  baju,  tanpa
   makanan,  tanpa  apa-apa  harta benda  dan  sekarang  ini
   mereka   hidup  merana  di  Pakistan.  Dan  tidak   ramai
   daripada  mereka yang akan dapat mengelak pelbagai  jenis
   penyakit.
   
   Inilah  nasib  yang menimpa orang Afghanistan.  Sedangkan
   kita  fikir  inilah  orangnya yang begitu  kuat  pegangan
   mereka   kepada  agama  Islam,  kenapakah  nasib   mereka
   sedemikian?
   
   Hendaklah  kita  tanya  kepada diri  kita,  kalau  mereka
   betul-betul   berpegang   kepada   ajaran    Islam    dan
   mengamalkan ajaran Islam, kenapakah ini menimpa  ke  atas
   mereka?
   
   Kalau  mereka  tidak  bermusuh sesama sendiri  sebaliknya
   menganggap  semua orang yang tinggal di  Afghanistan  ini
   sebagai  saudara  mereka,  saudara  seagama  mereka   dan
   mereka  tidak berperang sesama sendiri dan negara  mereka
   menjadi  aman,  percayalah,  negara  mereka  akan   dapat
   mencapai  kemajuan  dan mereka akan menjadi  satu  bangsa
   yang kuat.
   
   Kalau  mereka berusaha untuk menguasai ilmu yang  penting
   bagi   memperkayakan  mereka  dan  memperkuatkan  mereka,
   sudah   tentu  Afghanistan  akan  menjadi  sebuah  negara
   membangun   yang  kaya  dan  kuat.  Dapat  bukan   sahaja
   melengkapkan  pasukan tentera Islam dengan  cukup  alatan
   perang   tetapi  dapat  juga  mencipta  dan  mengeluarkan
   alatan  peperangan untuk diri mereka. Dengan  itu  mereka
   akan  menjadi  sebuah  negara  yang  kuat  kerana  mereka
   terdiri daripada orang yang begitu berani sekali.
   
   Tetapi  kita  tahu bahawa mereka adalah satu negara  yang
   amat  miskin, amat lemah dan pemerintahan Taliban  dengan
   mudahnya  dapat  ditumbangkan dengan bedilan  meriam  dan
   bom dan sebagainya.
   
   Inilah  yang  berlaku  kepada  Afghanistan.   Ia  berlaku
   kerana Afghanistan lemah. Sementara itu satu bilion  umat
   Islam  melihat apa yang berlaku di Afghanistan dan  tidak
   dapat  membuat  apa-apa.  Selain daripada  merayu  supaya
   janganlah  diserang  Afghanistan,  merayu  kepada  kuasa-
   kuasa  asing, selain daripada membuat protes  mungkin  di
   negara  sendiri dan cuba menjatuhkan kerajaan  di  negara
   sendiri,  lebih  daripada  itu tidak  dapat  dibuat  oleh
   orang-orang Islam yang seramai satu bilion.
   
   Malapetaka  ini  jatuh  ke atas kita  kerana  kita  tidak
   pegang  sebenarnya  kepada ajaran Islam.  Sementara  kita
   bercakap   berapi-api   berkenaan   nak   berjihad    dan
   sebagainya,  nak berlawan  dengan musuh,  tetapi  sebelum
   kita  lawan  dengan musuh kita berperang  sesama  sendiri
   dan  kita  halang  segala usaha untuk menguatkan  negara-
   negara Islam.
   
   Kalau  ada  sahaja  mana-mana  negara  Islam  yang   cuba
   dibangunkan   oleh  kerajaan,  maka  akan  ada   kumpulan
   tertentu  yang  akan mendakwa bahawa kerajaan  itu  tidak
   Islam, kerajaan itu sekular dan perlu dijatuhkan.
   
   Dengan  itu  kerajaan itu tidak akan  dapat  membangunkan
   negara,  dan  negara Islam semuanya menjadi  negara  yang
   lemah.
   
   Mungkin  kita  akan  berkata bahawa  kita  akan  menerima
   nasib  yang lebih baik di akhirat. Dunia ini adalah untuk
   orang  kafir  dan akhirat adalah untuk kita. Tetapi  kita
   belum dapat pasti akhirat untuk kita sedangkan kita  tahu
   bahawa   ramai  daripada  orang  Islam  tidak  sebenarnya
   berpegang kepada ajaran agama Islam.
   
   
   Mereka   tidak   berpelajaran,  mereka   bermusuh-musuhan
   sesama sendiri, mereka melempar fitnah kepada orang  yang
   seagama  dengan  mereka,  mereka  membuat  bermacam-macam
   angkara  dalam negara Islam sehingga negara  Islam  tidak
   satu pun dapat mencapai kejayaan.
   
   Kita  harus  ingat bahawa malapetaka yang  menimpa  orang
   Islam  ini  bukan boleh dikatakan sebagai kehendak  Allah
   s.w.t.,  kerana  kita  tahu segala kebaikan  sahaja  yang
   datang dari Allah. Keburukan datang dari kelemahan  orang
   Islam  dan disebabkan oleh orang Islam sendiri. Janganlah
   berkata  bahawa ini sudah ditakdirkan. Kalau  kita  tidak
   berusaha  untuk  menguatkan diri kita, kita  akan  terima
   padahnya,   inilah   yang   kita   lihat   sekarang    di
   Afghanistan.
   
   Kita  lihat  sekarang  ini  di  Palestin.    Puak  Yahudi
   dengan  sewenang-wenangnya dapat menyerang  Palestin  dan
   tidak   ada  satu  pun  negara  Islam  yang  mampu  pergi
   menyelamatkan orang Islam di Palestin.
   
   Apakah kita boleh berkata kita tidak berdosa kerana  kita
   tidak  dapat menakutkan musuh kita sedangkan  ugama  kita
   menyuruh   kita  membuat  persediaan  untuk  menggerunkan
   musuh-musuh kita?
   
   Tetapi  kita  tidak. Kita tidak berbuat  demikian  kerana
   kita  berpendapat bahawa memadai dengan  kita  menunaikan
   Fardu  Ain dan kita berdoa meminta kepada tuhan dan lepas
   itu  kita  tidak  buat  apa satu pun untuk  menyelamatkan
   diri kita. Dengan itu kita tidak selamat
   
   Saudara  saudari  yang ada di Universiti sedang  belajar.
   Saya  yakin  saudara saudari berada di Universiti  kerana
   percaya  bahawa pelajaran adalah sesuatu yang baik  untuk
   saudara  saudari, untuk bangsa dan negara kita dan  agama
   kita.  Terpulang  lah kepada kita sendiri  untuk  memikir
   tentang tanggungjawab kita.
   
   Kalau  saudara saudari mengabaikan tugas yang diletak  di
   bahu    saudara   saudari,  sebaliknya  saudara   saudari
   menghabiskan  masa  belajar  untuk  perkara-perkara  yang
   lain  untuk  melempar fitnah, untuk membuat tuduhan  yang
   tidak  berasas dan dengan itu pencapaian orang  Islam  di
   Malaysia ini begitu buruk sekali, dan nasib kita  menjadi
   buruk   di   masa  hadapan,  kita  tidak  boleh  salahkan
   sesiapa.  Kita perlu salahkan diri kita sendiri.
   
   Sama-samalah  kita  fikir berkenaan dengan  perkara  ini.
   Saya   bersyukur  kerana  saudara  saudari  masih   sedar
   tentang  tanggungjawab  dan saya  yakin  saudara  saudari
   tidak  akan  hampakan harapan bangsa,  agama  dan  negara
   kita   di   Malaysia.  Kita  masih  boleh   buka   puasa,
   sembahyang  dalam keadaan tenang  sedangkan ratusan  ribu
   umat  Islam  yang  menderita  dan   tidak  dapat  membuat
   ibadat seperti yang kita lakukan pada hari ni.
   
   Sekian    wabillahitaufik   walhidayah   wassalamualaikum
   warahmatullahi wabarakatuh.

   Sumber : Pejabat Perdana Menteri
    




    
    

             
 


 
Google