home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
Oleh/By  	:	DATO SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue	:	DEWAN NEGARA
Tarikh/Date	:	06-12-2001
Tajuk/Title 	:	PERUTUSAN BELANJAWAN TAHUN 2002
Versi 		:	
Penyampai	:  	PM
		    

  Saya  mohon  mencadangkan  supaya  suatu  Rang  Undang-
   undang  bertajuk "Suatu Akta bagi menggunakan  sejumlah
   wang    daripada   Kumpulan   Wang   Disatukan    untuk
   perkhidmatan  bagi  tahun 2002 dan bagi  memperuntukkan
   wang  itu  untuk  perkhidmatan bagi tahun  itu"  dibaca
   bagi kali yang kedua.
   
   2.         Syukur  kita  ke hadrat Allah  Subhanahu  Wa
   Taala   kerana  dapat  bersama  pada  pagi  ini   untuk
   membentangkan   Belanjawan   2002   yang   telah   saya
   bentangkan  dalam  Dewan Rakyat pada  19  Oktober  yang
   lalu.   Belanjawan  ini disediakan  dalam  persekitaran
   luar  yang sukar dan mencabar.  Prestasi ekonomi  dunia
   yang  semakin  lemah  sejak awal tahun  ini,  berikutan
   kelembapan   ekonomi   Amerika  Syarikat   dan   Jepun,
   diburukkan lagi oleh kejadian serangan 11 September  ke
   atas Amerika Syarikat. Untuk mengurangkan kesan negatif
   ke  atas ekonomi negara, Kerajaan telah bertindak cepat
   dengan  melaksanakan  pakej rangsangan  ekonomi  dengan
   peruntukan sebanyak 4.3 bilion ringgit sebagai tambahan
   kepada 3 bilion ringgit yang diumumkan dalam bulan  Mac
   2001.
   
   3.         Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada suku
   ketiga telah mengalami pertumbuhan negatif sebanyak 1.3
   peratus  berbanding dengan pertumbuhan positif sebanyak
   3.1  peratus pada suku pertama dan 0.5 pada suku kedua.
   Kita   masih  dapat  mengelak  kemelesetan  pertumbuhan
   ekonomi  bagi  tempoh sembilan bulan  pertama  di  mana
   pertumbuhan  KDNK  masih positif,  iaitu  sebanyak  0.7
   peratus,  berbeza dengan beberapa negara di rantau  ini
   yang  telah mengalami kemelesetan. Singapura umpamanya,
   telah  mengalami kemerosotan sebanyak 0.5 peratus  pada
   suku  kedua dan 5.6 peratus untuk suku ketiga, manakala
   Taiwan,  2.4  peratus bagi suku kedua dan  4.2  peratus
   untuk suku ketiga.
   
   4.           Keadaan   ekonomi   dunia   yang    kurang
   memberangsangkan,  pastinya  tidak   membolehkan   kita
   terlalu  bergantung  kepada sektor luar  untuk  menjana
   pertumbuhan.    Oleh   yang   demikian,   kita    perlu
   melaksanakan strategi domestic-led growth, dengan izin.
   Punca pertumbuhan kini perlu lebih dipelbagaikan dengan
   disokong   oleh  dasar  rangsangan  fiskal  dan   dasar
   kewangan yang akomodatif.
   
   5.           Kerajaan   telah   melaksanakan   strategi
   rangsangan  fiskal sejak tahun 1998. Namun,  pengurusan
   kewangan yang berhemah telah membolehkan Kerajaan terus
   melaksanakan strategi ini. Kadar tabungan  negara  yang
   tinggi  sebanyak 33.6 peratus daripada KDNK membolehkan
   Kerajaan   menggunakan  sumber   dalam   negeri   untuk
   membiayai  sebahagian besar defisit.  Pada  tahun  ini,
   keseluruhan  defisit fiskal masih terkawal  pada  paras
   6.5  peratus daripada KDNK. Di samping itu, hutang luar
   negara  berada  pada  paras rendah iaitu  46.9  peratus
   daripada  KDNK, manakala nisbah khidmat  hutang  kepada
   eksport adalah rendah sebanyak 5.8.
   
   6.         Asas  ekonomi negara yang terus  kukuh  juga
   memberi fleksibiliti kepada Kerajaan untuk melaksanakan
   rangsangan fiskal.   Asas-asas ekonomi ini meliputi:
   
   i.    rizab   antarabangsa  negara  yang kukuh berjumlah
   116.5 bilion ringgit atau 30.7 bilion dolar Amerika pada  
   akhir  November,   mampu   membiayai   5  bulan   import
   tertangguh. Paras rizab ini melebihi 6 kali hutang  luar
   negara   jangka  pendek;
   
   ii.   imbangan perdagangan luar masih  mencatat  lebihan
   untuk  48 bulan berturut-turut bagi tempoh November 1997
   hingga Oktober tahun ini;
   
   iii. akaun semasa imbangan pembayaran negara berada dalam
   kedudukan lebihan sebanyak 7.9 peratus daripada  Keluaran
   Negara Kasar (KNK);
   
   iv.  jumlah pengaliran masuk  bersih  pelaburan  langsung
   asing telah kembali meningkat sebanyak 3.8 bilion ringgit
   bagi  tempoh  suku  ketiga  tahun  ini.  Peningkatan  ini
   merupakan pertama kali semenjak suku pertama tahun 2000;
   
   v. sistem  perbankan  negara kekal  teguh  dengan  nisbah
   modal  berwajaran risiko sebanyak 12.7 peratus,  melebihi
   paras  8  peratus piawaian antarabangsa,  manakala  paras
   pinjaman  tidak berbayar (NPL) masih terkawal, iaitu  8.2
   peratus pada akhir Oktober; dan
   
   vi. tekanan inflasi kekal rendah pada kadar  1.4  peratus
   dalam tempoh Januari hingga Oktober.
   
   7.        Selain rangsangan fiskal, dasar kewangan yang
   akomodatif   terus   dilaksanakan,  terutamanya   untuk
   meningkatkan    sentimen   pelabur   dan    mengukuhkan
   keyakinan   pengguna.  Pelbagai  kemudahan   pembiayaan
   pinjaman   pada   kadar  faedah   yang   rendah   telah
   disediakan,  terutamanya  untuk  Perusahaan  Kecil  dan
   Sederhana.   Aktiviti pinjaman dijangka meningkat  lagi
   dengan langkah Bank Negara Malaysia mengurangkan  kadar
   campur  tangan  3  bulan sebanyak  5  peratus  pada  20
   September  2001. Kadar berian pinjaman asas (BLR)  bagi
   bank    perdagangan   dan   syarikat   kewangan   telah
   berkurangan ke paras terendah pernah dicatatkan, masing-
   masing sebanyak 6.4 peratus dan 7.45 peratus.
   
   8.        Berasaskan kedudukan ekonomi makro yang masih
   kukuh,   langkah  Kerajaan  untuk  merangsang   ekonomi
   merupakan  tindakan  yang bijak. Walaupun  langkah  ini
   dipersoalkan   oleh  Institusi  Kewangan  Antarabangsa,
   namun dalam situasi yang sama, negara-negara maju  juga
   telah melaksanakan langkah yang sama.
   
   9.         Untuk  makluman  Ahli-ahli  Yang  Berhormat,
   Kerajaan sedang memperkemaskan lagi jentera pelaksanaan
   untuk  memastikan peruntukan yang disediakan  di  bawah
   Belanjawan 2001 dan peruntukan tambahan di bawah  pakej
   rangsangan   sebanyak   7.3   bilion   ringgit    dapat
   dibelanjakan.  Daripada jumlah  pakej  rangsangan  ini,
   sebanyak   1.2   bilion  ringgit   diperuntukkan   bagi
   meningkatkan infrastruktur pendidikan seperti pembinaan
   kolej  universiti, kolej komuniti dan  makmal  komputer
   serta   perbelanjaan  penyelenggaraan  sekolah-sekolah.
   Kerajaan  juga  sedang membelanjakan 1  bilion  ringgit
   bagi  projek-projek kecil untuk dilaksanakan di seluruh
   negara.  Projek-projek  tersebut  melibatkan  pembinaan
   jalan-jalan kampung dan kemudahan asas seperti  bekalan
   air  dan  elektrik  luar bandar serta  balai  raya  dan
   sebagainya.  Dalam hubungan ini, rakyat akan  menikmati
   kemudahan tersebut,  syarikat kecil Bumiputera mendapat
   kontrak,   peniaga dapat membekalkan bahan  binaan  dan
   seterusnya   pertumbuhan   ekonomi   terjana.    Adalah
   dianggarkan  sebahagian  besar daripada  hampir  17,500
   kontraktor Kelas F Bumiputera berpeluang terlibat dalam
   projek-projek  kecil ini.  Oleh yang demikian,  amatlah
   penting   sekali  supaya  semua  pihak   iaitu   agensi
   Kerajaan,  kontraktor  dan pembekal  memastikan  bahawa
   program   ini   berjaya  dilaksanakan  dan   seterusnya
   mengelakkan negara daripada mengalami kemelesetan.
   
   10.        Di  bawah pakej rangsangan ini  juga  kerja-
   kerja  penyelenggaraan bangunan dan  kuarters  Kerajaan
   bagi Kementerian Kesihatan, Kementerian Pertahanan  dan
   Polis  DiRaja Malaysia sedang giat dilaksanakan.  Tidak
   ketinggalan juga, kerja-kerja penyelenggaraan jalan  di
   kawasan  industri akan dimulakan segera. Kerajaan  juga
   telah  memperuntukkan sebanyak 300  juta  ringgit  bagi
   pemulihan   projek-projek   rumah   kos   rendah   yang
   terbengkalai di seluruh negara.
   
   11.        Kelembapan ekonomi yang mula  dirasai  telah
   menjejaskan  pasaran buruh di mana ramai pekerja  telah
   diberhentikan   sementara   peluang   pekerjaan    baru
   berkurangan,  terutamanya  bagi  graduan  baru  lepasan
   institusi pengajian tinggi.  Bagi mereka ini,  sebanyak
   300  juta  ringgit  telah  disediakan  di  bawah  pakej
   rangsangan  untuk melatih mereka dalam bidang  ICT  dan
   kemahiran bahasa.
   
   12.        Walaupun  bagi  suku tahun  ketiga   ekonomi
   negara  telah  mengalami pertumbuhan negatif,  Kerajaan
   yakin  bahawa  dengan  terlaksananya  pakej  rangsangan
   fiskal  ini,  ekonomi negara akan mencapai  pertumbuhan
   positif bagi keseluruhan tahun 2001, Insya Allah.
   
   13.        Prospek pertumbuhan ekonomi bagi tahun  2002
   banyak  bergantung kepada perkembangan luar yang  masih
   sukar  dan  kian mencabar.  Pertumbuhan  ekonomi  dunia
   kini  diramalkan  lebih perlahan.  Memandangkan  kepada
   kedudukan   ini,  pertumbuhan  ekonomi  negara    perlu
   didorong  oleh  kegiatan dalam negeri. Dengan  wujudnya
   asas ekonomi negara yang kukuh serta langkah rangsangan
   fiskal  yang  dilaksanakan oleh  Kerajaan,  pertumbuhan
   ekonomi  dijangka meningkat antara 4 hingga  5  peratus
   pada   tahun  hadapan.  Kesemua  sektor  ekonomi  utama
   dijangka  akan  terus  mencatat pertumbuhan,  diterajui
   oleh   sektor  pembuatan  dan  perkhidmatan.   Meskipun
   perkembangan sektor luar tidak menentu, negara dijangka
   terus  mencatat  lebihan dalam  akaun  semasa  imbangan
   pembayaran. Pendapatan per kapita bertambah 4.7 peratus
   kepada  13,962 ringgit bagi tahun 2002, melebihi  tahap
   sebelum krisis kewangan serantau, iaitu 12,314 ringgit.
   
   
   STRATEGI BELANJAWAN 2002
   
   14.        Dengan  mengambilkira  perkembangan  ekonomi
   dunia yang semakin mencabar, pertumbuhan ekonomi negara
   akan  terus  didorong oleh kecergasan aktiviti  ekonomi
   dalam  negeri. Justeru, Belanjawan 2002 akan ditumpukan
   kepada tiga strategi berikut:
   
   i.  memperkukuhkan semula  pertumbuhan  ekonomi  negara
   melalui    peningkatan   perbelanjaan   dalam   negeri,
   mempergiatkan   lagi   peranan  sektor   swasta   serta
   meningkatkan daya saing;
   
   ii. mempelbagaikan  sumber pertumbuhan melalui  aktiviti
   dagangan dan perusahaan dalam  negeri tanpa mengurangkan
   peranan  pelaburan  dari luar  dan mempastikan   eksport
   negara terus berkembang; dan
   
   iii. menentukan agihan kekayaan  supaya  lebih   saksama
   antara bandar dan luar bandar, antara yang berpendapatan
   rendah dan yang berpendapatan tinggi dan antara negeri-
   negeri yang kurang maju dengan yang lebih maju.
   
   
   Strategi Pertama: Memperkukuhkan Semula Pertumbuhan 
                     Ekonomi Negara
   
   15.        Untuk  mengukuhkan  semula  ekonomi  negara,
   Kerajaan berusaha untuk meningkatkan perbelanjaan dalam
   negeri    dengan    meneruskan    rangsangan    fiskal,
   menggalakkan penggunaan dan menggiatkan peranan  sektor
   swasta.   Untuk  meneruskan  rangsangan  fiskal,   saya
   mencadangkan    sejumlah    100.52    bilion    ringgit
   diperuntukkan   bagi  Belanjawan  tahun   2002,   iaitu
   pertambahan  10.4  peratus berbanding  peruntukan  asal
   tahun  2001.  Daripada jumlah tersebut, sebanyak  66.98
   bilion  ringgit adalah untuk Perbelanjaan Mengurus  dan
   33.54  bilion  ringgit untuk Perbelanjaan  Pembangunan.
   Dengan  mengambil  kira anggaran  hasil  sebanyak  73.4
   bilion  ringgit, akaun keseluruhan Kerajaan Persekutuan
   dijangka   mencatatkan  defisit  sebanyak   5   peratus
   daripada KDNK, lebih rendah dari 6.5 peratus pada tahun
   2001.
   
   16.         Di   bawah   Perbelanjaan   Mengurus   yang
   dicadangkan,    sejumlah    33.33    bilion     ringgit
   diperuntukkan  kepada  Pemberian  dan  Kenaan   Bayaran
   Tetap.  Antaranya, adalah untuk bayaran khidmat  hutang
   negara,  bayaran  pencen dan ganjaran  serta  sumbangan
   kepada kumpulan-kumpulan wang terkanun. Sebanyak  17.58
   bilion   ringgit  lagi  untuk  Emolumen,  12.07  bilion
   ringgit  untuk  Perkhidmatan dan Bekalan,  1.53  bilion
   ringgit   untuk  pembelian  kelengkapan  dan  kemudahan
   pejabat  serta  2.47 bilion ringgit  bagi  perbelanjaan
   lain, termasuk bayaran balik cukai.
   
   17.       Daripada jumlah Perbelanjaan Pembangunan yang
   dicadangkan,  sebanyak 13.11 bilion ringgit  atau  39.1
   peratus  adalah untuk sektor ekonomi, di samping  12.21
   bilion  ringgit atau 36.4 peratus untuk sektor  sosial,
   3.31  bilion  ringgit  atau  9.9  peratus  bagi  sektor
   keselamatan  dan 2.91 bilion ringgit atau  8.7  peratus
   untuk sektor pentadbiran am. Bakinya, sebanyak 2 bilion
   ringgit atau 5.9 peratus untuk Simpanan Luar Jangka.
   
   18.       Aktiviti ekonomi dalam negeri boleh digiatkan
   lagi    sekiranya   pendapatan   boleh   guna    rakyat
   dipertingkatkan  untuk menggalakkan penggunaan.  Dengan
   ini,  kadar  cukai  pendapatan individu  dikurangkan  1
   hingga 2 mata peratusan bagi semua kumpulan pendapatan.
   Bagi  mendorong daya usaha bekerja, pendapatan bercukai
   yang   tertakluk   kepada  kadar  tertinggi   dinaikkan
   daripada melebihi 150 ribu ringgit kepada melebihi  250
   ribu ringgit dan sekatan ke atas bonus yang diberi oleh
   sektor swasta dimansuhkan.
   
   19.        Sektor swasta  juga perlu tampil ke  hadapan
   untuk   memainkan  peranan  yang  lebih   utama   dalam
   menggerakkan  ekonomi.  Bagi  mendorong  sektor  swasta
   meningkatkan  pelaburan dan mengurangkan kos  kendalian
   perniagaan,  Kerajaan telah mengambil pelbagai  langkah
   percukaian seperti berikut:
   
   i. Tempoh Elaun Pelaburan Semula dilanjutkan daripada 5
   tahun kepada 15 tahun;
   
   ii. Perbelanjaan dan sumbangan syarikat dalam pengurusan
   RosettaNet Malaysia dan  dalam membantu  syarikat  kecil
   dan  sederhana  menggunakan  RosettaNet  diberi potongan
   cukai;
  
   iii. Elaun Bangunan Industri dikaji  semula  melibatkan
   kenaikan  elaun  tahunan daripada 2  peratus  kepada  3
   peratus,  elaun  permulaan 10  peratus yang kini  hanya
   diberi kepada bangunan yang dibina diperluaskan  kepada
   bangunan yang dibeli dan Elaun Bangunan Industri diberi
   kepada semua hotel;
   
   iv.   duti  import  ke  atas  226  barangan dikurangkan
   daripada  di  antara  5  peratus dan 105 peratus kepada 
   di antara  0   peratus dan 50 peratus;
   
   v.  pendapatan sewa  kontena yang diterima  oleh  bukan
   pemastautin  daripada syarikat perkapalan  di  Malaysia
   dikecualikan daripada cukai pendapatan; dan
   
   vi.   pendapatan   persatuan    perdagangan    daripada
   subscription fee dikecualikan cukai pendapatan
   
   20.        Bagi  menggalakkan  industri  melabur  dalam
   aktiviti   bernilai   tambah   yang   tinggi    seperti
   perkhidmatan  logistik, perkhidmatan  sokongan  pasaran
   bersepadu  dan  pusat  perkhidmatan  utiliti,  syarikat
   terlibat diberi pengecualian cukai pendapatan selama  5
   tahun dan pengecualian duti import dan cukai jualan  ke
   atas peralatan yang digunakan.
   
   21.        Peranan  sektor  swasta juga  penting  dalam
   usaha negara untuk beralih ke arah kegiatan pertumbuhan
   K-economy    atau   ekonomi   berasaskan   pengetahuan.
   Penyertaan  mereka dalam pembangunan  ICT  negara  akan
   diberi   perhatian  oleh  Kerajaan  melalui   penubuhan
   Malaysia Venture Capital Management Berhad atau  MAVCAP
   dengan  dana  berjumlah  500  juta  ringgit.   Daripada
   jumlah  tersebut, 100 juta ringgit adalah untuk  dengan
   izin,  local  outsourcing program, yang akan  diuruskan
   oleh 4 syarikat modal teroka tempatan dalam bidang ICT,
   bioteknologi dan industri-industri yang berkaitan.
   
   22.        Bagi menggalakkan lagi penggunaan ICT  dalam
   perdagangan  yang membolehkan Malaysia  menjadi  lokasi
   perniagaan   yang  menarik,  mempercepatkan  penguasaan
   teknologi  terkini  dan menambah  tenaga  kerja  mahir,
   galakan berikut turut disediakan:
   
   i.  cukai  ke atas pendapatan daripada perdagangan  luar
   pesisir melalui website di Malaysia dikurangkan daripada
   28 peratus kepada 10 peratus selama 5 tahun;
   
   ii. kos  bagi membangunkan website untuk perniagaan juga
   diberi  potongan tahunan sebanyak 20 peratus  selama  5
   tahun;
   
   iii. potongan tahunan  ke  atas perbelanjaan memperolehi 
   hak empunya  dinaikkan  daripada  10  peratus kepada  20
   peratus untuk tempoh 5 tahun; dan
   
   iv.    perbelanjaan  menyediakan  latihan  amali  kepada 
   bukan kakitangan diberi potongan cukai.
   
   
   23.         Kerajaan   turut   menyediakan   peruntukan
   sebanyak 300.8 juta ringgit untuk melaksanakan Aplikasi
   Perdana    Kerajaan   Elektronik,   Sekolah    Bistari,
   Teleperubatan,  Kad  Pintar  dan  Integrasi   Aplikasi.
   Sejumlah  693.2  juta  ringgit  juga  disediakan  untuk
   meningkatkan program pengkomputeran di kementerian  dan
   jabatan   Kerajaan   dan   di   sekolah-sekolah.   Bagi
   meningkatkan  penggunaan kad pintar pelbagaiguna  dalam
   urusniaga kewangan, kad pintar dan peralatannya  diberi
   pengecualian cukai jualan.
   
   
   Strategi Kedua:   Mempelbagaikan Sumber  Pertumbuhan
   
   24.          Sebagai   usaha   mempelbagaikan    sumber
   pertumbuhan  dalam negeri, terdapat banyak bidang  yang
   boleh diceburi dalam sektor perkilangan, pertanian  dan
   perkhidmatan. Keluaran perkilangan, terutamanya  produk
   oleokimia  berasaskan minyak kelapa  sawit,  getah  dan
   perabot   perkayuan  serta  produk  industri  peralatan
   elektrik  rumah, semuanya mempunyai potensi  permintaan
   yang  tinggi, terutamanya dari Asia Barat  dan  Afrika.
   Begitu juga dengan keluaran industri fabrikasi besi dan
   aluminium  serta  pengeluaran  mesin,  perlu  digiatkan
   lagi,  terutamanya  bagi menampung  keperluan  industri
   tempatan  dan  juga  eksport.  Justeru,  galakan  cukai
   disediakan seperti berikut:
   
   i.  kadar pengecualian cukai Taraf  Perintis  dinaikkan
   daripada 70 peratus kepada 100 peratus dan Elaun  Cukai
   Pelaburan  daripada 60 peratus kepada 100 peratus  bagi
   aktiviti  pengeluaran machine tools, plastic  injection
   machines,  material handling  equipment  dan   robotic, 
   factory automation equipment serta components and parts;
   dan
   
   ii.  kriteria  nilai  ditambah  bagi Taraf Perintis dan
   Elaun Cukai  Pelaburan dilonggarkan daripada 30 peratus
   kepada 20 peratus bagi pengeluaran mesin dan peralatan.
   
   25.        Kerajaan sentiasa memastikan eksport  negara
   terus  berkembang.  Untuk ini, galakan cukai  berkaitan
   disediakan:
        
   i. syarikat  Malaysia yang diiktiraf  sebagai  syarikat
   perdagangan  antarabangsa  diberi  pengecualian   cukai
   pendapatan  bersamaan  10  peratus  ke atas peningkatan 
   nilai eksport dan kriteria kelayakan dilonggarkan;
   
   ii. pengecualian  cukai  pendapatan  bagi   pengeksport
   perkhidmatan ditingkatkan daripada 10 peratus kepada 50
   peratus daripada peningkatan nilai eksport;
   
   iii. penganjur  pameran  perdagangan  antarabangsa  yang
   melibatkan  sekurang-kurangnya 500 orang pelawat  asing
   setahun diberi pengecualian cukai pendapatan;
   
   iv. skop perbelanjaan bagi tujuan potongan cukai  dalam
   promosi eksport barangan dan perkhidmatan diperluaskan;
   
   v.  perbelanjaan  pendaftaran paten di luar  negara  dan
   bayaran  sewa  hotel  kepada bakal pengimport  barangan
   Malaysia diberi potongan cukai; dan
   
   iv.  galakan potongan cukai dua kali diperluaskan kepada
   kos pengiklanan jenama Malaysia yang telah didaftarkan di
   luar  negara dan perbelanjaan ke atas yuran profesional
   kepada syarikat yang mempromosikan jenama Malaysia.
   
   26.        Sektor pertanian perlu dibangunkan ke  tahap
   yang  lebih  tinggi,  supaya negara dapat  mengeluarkan
   pelbagai   hasil  tanaman  dan  ternakan,  di   samping
   mengurangkan  bil import negara.  Pengeluaran  makanan,
   termasuk  keluaran daging burung unta dan rusa, sayuran
   dan  buah-buahan,  akuakultur ikan air  tawar  dan  air
   masin,  udang dan tiram serta ikan hiasan  dan  tanaman
   bungaan  boleh  diceburi. Bidang herba tradisional  dan
   makanan  halal  perlu  juga  dipergiatkan.   Sehubungan
   dengan  ini, sejumlah 1.58 bilion ringgit diperuntukkan
   kepada  sektor  pertanian untuk  meningkatkan  kegiatan
   penanaman    dan    penternakan   serta    menggalakkan
   pengeluaran  bekalan  bahan makanan.  Di  samping  itu,
   galakan cukai berikut disediakan:
   
   i. syarikat pengeluar bahan makanan yang melabur semula
   diberi pengecualian cukai pendapatan 100 peratus selama
   5 tahun;
   
   ii. elaun  100  peratus ke atas perbelanjaan modal  bagi
   menggalak pengeluaran bahan makanan secara besar-besaran
   diperluaskan;
   
   iii.  aktiviti penternakan ayam itik  di  Koridor  Timur
   Semenanjung   Malaysia, Sabah dan Sarawak  diberi  Taraf
   Perintis atau  Elaun Cukai Pelaburan; dan
   
   iv.   syarikat pengeluar produk berasaskan  sumber  yang
   membuat  pelaburan  semula diberi  Taraf  Perintis  atau
   Elaun  Cukai Pelaburan selama 5 tahun.
   
   27.       Peranan sektor perkhidmatan juga mesti diberi
   tumpuan,    terutamanya   dalam   bidang   pelancongan,
   pendidikan  dan  pengangkutan. Untuk menggalakkan  lagi
   aktiviti   pelancongan  negara,  sejumlah  613.9   juta
   ringgit  diperuntukkan  kepada Kementerian  Kebudayaan,
   Kesenian dan Pelancongan. Daripada jumlah tersebut, 200
   juta  ringgit  adalah  untuk  aktiviti  promosi.  Untuk
   meningkatkan  penyertaan sektor swasta  dalam  industri
   pelancongan,  Kerajaan akan menambah dana  bagi  Tabung
   Khas  Pelancongan daripada 200 juta ringgit kepada  400
   juta  ringgit.  Langkah-langkah cukai turut  disediakan
   seperti berikut:
   
   i. pendapatan  sewaan  kapal  layar  atau  kapal  mewah
   bermotor diberi pengecualian cukai selama 5 tahun;
   
   ii.  duti  import  ke  atas motosikal  mewah  dikurangkan
   daripada  120 peratus  kepada 60 peratus dan bagi  tujuan
   penyelarasan, duti import bagi motosikal lain dikurangkan
   daripada 80 peratus dan 100 peratus kepada 60 peratus;
   
   iii.  had  tempoh  pengecualian cukai pendapatan  daripada
   perniagaan   pengendalian  pelancong  asing  dan  tempatan
   dilanjutkan selama 5 tahun lagi;   dan
   
   iv.   duti  eksais ke atas pembelian kereta nasional  oleh
   pengusaha kereta sewa dikecualikan.
   
   28.        Bidang  pendidikan juga diberi tumpuan  bagi
   menampung  keperluan tenaga mahir  dalam  era  kemajuan
   teknologi maklumat dan persediaan untuk beralih ke arah
   ekonomi   berasaskan  pengetahuan.   Kerajaan  berharap
   sektor  swasta  berupaya  untuk  menarik  lebih   ramai
   pelajar dari seluruh dunia untuk menimba ilmu di negara
   kita.  Untuk  mengurangkan  kos  menyediakan  kemudahan
   pendidikan, semua Institusi Pengajian Tinggi Swasta dan
   institusi   bahasa  swasta  diberi  pengecualian   duti
   import,  duti eksais dan cukai jualan ke atas peralatan
   pembelajaran  dan  royalti  yang  diterima  oleh  bukan
   pemastautin dari Institusi Pengajian Tinggi Swasta bagi
   skim  pendidikan  francais  diberi  pengecualian  cukai
   pendapatan.  Di  samping itu, Kerajaan   memperuntukkan
   sejumlah   22.46   bilion   ringgit   untuk   keperluan
   pendidikan negara.
   
   29.          Langkah-langkah   percukaian    di    atas
   menyebabkan  Kerajaan  kehilangan  hasil  sebanyak  1.2
   bilion  ringgit.   Bagi memastikan  kedudukan  kewangan
   Kerajaan  terus  kukuh dan perolehan  hasil   terjamin,
   langkah-langkah berikut diambil:
        
   i.  nilai  jualan  tahunan bagi tujuan  pengenaan  cukai
   perkhidmatan  bagi  restoran, bar, snek bar  dan  coffee
   house,  kelab  persendirian   dan  syarikat  pengiklanan
   dikurangkan  daripada 500 ribu ringgit kepada  300  ribu
   ringgit;

   ii.  nilai  jualan  tahunan  sebanyak 300 ribu ringgit ke
   atas perkhidmatan profesional dikurangkan kepada 150 ribu
   ringgit; dan
   
   iii. harga  petrol dinaikkan  sebanyak  10 sen  seliter.
   30.       Berhubung dengan kenaikan harga petrol, ianya
   adalah  wajar  memandangkan Kerajaan selama  ini  telah
   mengorbankan   begitu  banyak  hasil.  Tambahan   pula,
   sumbangan  kos  petrol  dalam  perbelanjaan    isirumah
   adalah   kecil  iaitu  kira-kira  0.4  peratus  sahaja.
   Memandangkan kenaikan  harga petrol hanya  8.3  peratus
   sahaja,  saya  percaya kenaikan yang  kecil  ini  tidak
   membebankan rakyat.
   
   31.       Dalam Belanjawan 2002 yang dibentangkan dalam
   Dewan   Rakyat  baru-baru  ini,  Kerajaan  juga   telah
   mencadangkan  kenaikan  harga diesel  sebanyak  10  sen
   seliter    bagi   mengurangkan   perbelanjaan   subsidi
   Kerajaan.   Kerajaan  amat  prihatin  terhadap   rayuan
   pelbagai   pihak,   khususnya  golongan   nelayan   dan
   pengusaha     perkhidmatan    pengangkutan.      Dengan
   keprihatinan  ini  serta  penurunan  harga  diesel   di
   pasaran antarabangsa, Kerajaan  telah menimbang  semula
   dan  memutuskan  untuk mengekalkan  harga  diesel  pada
   paras  asal.  Dengan keputusan ini,  Kerajaan  terpaksa
   menanggung  tambahan subsidi sebanyak 471 juta  ringgit
   setahun  berasaskan  harga  semasa  diesel  di  pasaran
   antarabangsa, menjadikan jumlah subsidi diesel sebanyak
   1.1   bilion  ringgit  setahun.   Oleh  yang  demikian,
   Kerajaan  berharap pihak tertentu tidak lagi  mengambil
   kesempatan   untuk   menaikkan   harga   barangan   dan
   perkhidmatan.
   
   32.          Untuk   menyokong   perkembangan    sektor
   pengangkutan,  Kerajaan  memperuntukkan  sejumlah   5.7
   bilion    ringgit   bagi   pembangunan    infrastruktur
   melibatkan pembinaan jalan raya dan jambatan,  landasan
   kereta  api, pelabuhan dan lapangan terbang.  Kemudahan
   yang  disediakan  ini  harus  kita  gunakan  sepenuhnya
   sebagai   pemangkin  pertumbuhan  dan   penjana   hasil
   dagangan.  Dalam  hal  ini, lokasi strategik  Pelabuhan
   Johor dan Lapangan Terbang Senai yang berdekatan dengan
   Singapura hendaklah diketengahkan sebagai pelabuhan dan
   lapangan  terbang  hub  pergerakan  kargo  dan  tarikan
   utama,   dengan  izin,  integrated  express   operators
   tempatan  dan  antarabangsa.  Kita  yakin,  ini   dapat
   dijayakan  jika  sistem  pengangkutan  bersepadu   bagi
   menghubung semua rangkaian pengangkutan darat, laut dan
   udara  di  selatan Semenanjung dibangunkan  segera  dan
   diurus dengan lebih cekap dan berkesan.
   
   
   Strategi Ketiga:   Memastikan Agihan Kekayaan Adalah
                      Saksama
   
   
   33.        Dalam  kita menikmati kemajuan negara,  kita
   perlu  juga memastikan agihan kekayaan adalah  saksama,
   baik   antara  bandar  dan  luar  bandar,  antara  yang
   berpendapatan  rendah dengan yang berpendapatan  tinggi
   mahupun  antara negeri-negeri yang kurang  maju  dengan
   yang   lebih  maju.  Bagi  meningkatkan  kualiti  hidup
   masyarakat   di   luar  bandar,  Kerajaan   menyediakan
   peruntukan   yang  terbesar  pernah  diberikan,   iaitu
   sebanyak   5.34   bilion   ringgit.   Ini,   antaranya,
   melibatkan  1.58  bilion ringgit untuk  pertanian,  378
   juta  ringgit bagi pembangunan tanah dan wilayah  serta
   392   juta   ringgit  untuk  pembangunan  kampung   dan
   masyarakat.   Peruntukan  ini  juga   bertujuan   untuk
   melaksanakan  projek jalan luar bandar,  jalan  kampung
   serta  menyediakan  bekalan  air  dan  elektrik.   Bagi
   bekalan  air  luar  bandar, sebanyak 185  juta  ringgit
   diperuntukkan dengan tumpuan khas diberi kepada kawasan
   pedalaman,  terutamanya  di Sabah  dan  Sarawak.  Untuk
   bekalan elektrik luar bandar, sejumlah 211 juta ringgit
   disediakan,   manakala  sejumlah   712   juta   ringgit
   disediakan untuk pembinaan jalan luar bandar.
   
   34.       Kesihatan dan pendidikan di kalangan penduduk
   luar  bandar juga diberi perhatian. Sejumlah  886  juta
   ringgit diperuntukkan bagi meningkatkan taraf kemudahan
   perkhidmatan  kesihatan, termasuk melaksanakan  program
   kesihatan   keluarga  seperti  teleprimary  care   yang
   disediakan  di  klinik bidan, klinik  desa  dan  klinik
   kesihatan di luar bandar.
   
   35.        Sebagai  langkah  merapatkan  jurang  antara
   bandar  dan luar bandar dari segi pendidikan,  sebanyak
   900  juta  ringgit disediakan bagi melaksanakan  projek
   sekolah rendah dan menengah, sementara 100 juta ringgit
   lagi  disediakan  untuk 6 buah kolej matrikulasi  baru.
   Bagi  mengurangkan jurang digital, sejumlah 205.5  juta
   ringgit   diperuntukkan   bagi   melaksanakan   program
   pengkomputeran  sekolah.  Di  samping   itu,   Kerajaan
   memperuntukkan  sejumlah 180 juta  ringgit  khas  untuk
   meningkatkan  pendidikan di luar bandar  di  Sabah  dan
   Sarawak,  termasuk  menyediakan kemudahan  bekalan  air
   bersih  dan  elektrik di sekolah-sekolah serta  membina
   dan menaik taraf rumah guru.
   
   36.        Dalam  memupuk budaya masyarakat  penyayang,
   Kerajaan  sentiasa  prihatin  terhadap  kesukaran  yang
   dihadapi    oleh   golongan   rakyat   miskin.    Untuk
   meningkatkan     kesejahteraan     mereka,      Program
   Kesejahteraan  Rakyat  yang  dulunya  dikenali  sebagai
   Program Pembangunan Rakyat Termiskin telah dilaksanakan
   dengan  memberi  keutamaan  kepada  negeri-negeri  yang
   mempunyai  ramai  rakyat miskin  seperti  Kelantan  dan
   Terengganu.   Bagi  tujuan  ini,  sejumlah  204.5  juta
   ringgit  diperuntukkan di bawah Kementerian Pembangunan
   Luar  Bandar.   Di  samping itu,  sebanyak  114.1  juta
   ringgit  disediakan  untuk  program  pembangunan  Orang
   Asli.  Ini,  termasuk  usaha  untuk  mengatasi  masalah
   keciciran  di 412 buah kampung mereka, melalui  Program
   Pembangunan Minda dan mempergiatkan Program  Pendidikan
   Pra-Sekolah melalui aktiviti TASKA dan TADIKA.
   
   37.       Bagi membolehkan rakyat, terutamanya golongan
   berpendapatan  rendah, memiliki rumah pada  harga  yang
   mampu  dibeli,  sejumlah 943 juta ringgit diperuntukkan
   bagi  menampung pelbagai projek termasuk Perumahan Awam
   Kos  Rendah,  Perumahan  Rakyat  Bersepadu  di  Wilayah
   Persekutuan  Kuala  Lumpur dan  di  bandar  lain.  Bagi
   mengurangkan  masalah  perumahan  yang  dihadapi   oleh
   kakitangan  sektor awam, terutamanya  anggota  Angkatan
   Tentera  dan  Polis,  peruntukan sebanyak  1.08  bilion
   ringgit juga disediakan.
   
   38.        Kerajaan  juga  terus  melaksanakan  Program
   Kebajikan  Masyarakat.  Sebanyak  193.8  juta   ringgit
   disediakan,  termasuk  bagi kerja-kerja  pembaikan  dan
   naik  taraf  di  52 institusi kebajikan. Bagi  pelajar-
   pelajar   cacat  pendengaran  yang  memasuki  institusi
   pengajian   tinggi  tempatan,  bantuan   dalam   bentuk
   pelajaran percuma disediakan oleh Kerajaan. Mereka juga
   akan  diberi  kemudahan penginapan dan makanan  percuma
   serta  diberikan wang saku sebanyak 300 ringgit sebulan
   mulai 1 Januari 2002.
   
   39.         Bagi  meningkatkan  kualiti  hidup  wanita,
   terutamanya  di  luar  bandar, Kerajaan  memperuntukkan
   sejumlah  59  juta  ringgit  untuk  membiayai  pelbagai
   program khusus meliputi pembangunan usahawan wanita. Di
   samping  membantu meningkatkan taraf hidup ibu tunggal,
   Kerajaan  juga  membenarkan  balu-balu  terus  menerima
   bayaran  pencen  suami  yang  telah  meninggal   dunia,
   walaupun selepas mereka berkahwin semula.
   
   40.        Bagi  menerapkan gaya hidup  sihat  Kerajaan
   berusaha   mengurangkan  tabiat  merokok  di   kalangan
   masyarakat.   Sehubungan ini, Kerajaan  menaikkan  duti
   import  bagi  tembakau daripada 180 ringgit  sekilogram
   kepada  216  ringgit sekilogram, manakala  duti  eksais
   dinaikkan  daripada  40 ringgit  sekilogram  kepada  48
   ringgit sekilogram.
   
   41.        Kerajaan  menghargai  khidmat  dan  komitmen
   anggota   perkhidmatan  awam  dalam   menerajui   usaha
   pembangunan   negara.   Bagi  mengiktiraf   pengorbanan
   kakitangan  awam,  Kerajaan telah  menyediakan  imbuhan
   dan kemudahan  seperti berikut:
   
   i.  bonus  sebanyak setengah bulan gaji  atau  sekurang-
   kurangnya 1,000 ringgit telahpun dibayar dan para pesara
   juga  diberikan bayaran khas sebanyak 200 ringgit  bagi
   tahun 2001;
   
   ii. kenaikan gaji kakitangan awam sebanyak  10  peratus
   mulai 2002;
   
   iii.  elaun Kerja Luar Waktu  untuk  pegawai  perubatan 
   awam dinaikkan   antara  25  hingga  50 peratus mulai 1 
   Oktober  2001;
   
   iv.  menaikkan kadar  sagu  hati  tahunan  bagi  anggota
   sukarela  di  dalam pasukan keselamatan,  daripada  400
   ringgit kepada 520 ringgit;
   
   v.  kadar pemberian pakar untuk pegawai anggota sukarela
   Angkatan Tentera Malaysia dinaikkan 100 peratus daripada
   150 ringgit kepada 300  ringgit  setahun,  manakala bagi
   lain-lain pangkat dinaikkan daripada 100 ringgit dan  75 
   ringgit setahun kepada 200 ringgit setahun; dan
   
   vi. Skim Wang Pinjaman Kenderaan untuk guru-guru ditambah
   lagi  1  bilion ringgit daripada  jumlah asal   250  juta
   ringgit untuk kemudahan membeli kenderaan.
   
   PENUTUP
      
   42.        Dalam  lebih seminggu lagi, umat Islam  akan
   meraikan  Aidil Fitri setelah berpuasa selama  sebulan.
   Di  beberapa  negara  Islam,  rakyat  mereka  menderita
   kerana   peperangan,  keganasan  atau   bencana   lain.
   Syukur  Alhamdulillah, negara kita  tetap  aman.   Kita
   dapat   menyempurnakan  ibadah  puasa  tanpa   sebarang
   kesulitan  dan  gangguan. Rakyat Malaysia  terus  hidup
   dalam  suasana  aman dan harmonis. Kesemua  ini  adalah
   hasil    kejayaan   kita   membangunkan   negara    dan
   keprihatinan  Kerajaan  terhadap kesejahteraan  rakyat.
   Kerana  itu,  negara  terus  menikmati  kemakmuran  dan
   kestabilan.   Dalam hubungan ini, Kerajaan  akan  terus
   memantau kegiatan pelampau yang mahu menjadikan  negara
   ini   berada  dalam  kancah  pergolakan.  Jangan   kita
   membiarkan  mereka yang berpandangan sempit  merosakkan
   perpaduan ummah dan menggugat kestabilan dan kemakmuran
   negara.  Kita  tidak mahu menjadikan  Malaysia  sebagai
   Afghanistan kedua.
   
   43.       Ramai antara kita yang akan meraikan perayaan
   seperti  Krismas,  sambutan Tahun Baru dan  Tahun  Baru
   Cina tidak lama lagi. Kerajaan telah mengambil pelbagai
   langkah   untuk  menambah  pendapatan  rakyat   melalui
   potongan  cukai  individu, bayaran bonus  dan  pelbagai
   elaun insentif.  Oleh yang demikian, berbelanjalah bagi
   memeriahkan  hari-hari  perayaan  nanti,   di   samping
   membantu  menambah  aktiviti  ekonomi  dan  pertumbuhan
   ekonomi  negara. Sama-samalah kita mengindahkan bandar,
   pekan, kampung dan rumah-rumah kita. Buktikanlah kepada
   dunia  bahawa Malaysia adalah sebuah negara  yang  aman
   dan sejahtera.
   
   44.        Pertumbuhan  ekonomi  negara  yang  perlahan
   berlaku   ketika   kita  mula  melaksanakan   Rancangan
   Malaysia  Kelapan dan Rangka Rancangan  Jangka  Panjang
   Ketiga.   Oleh itu, dalam persekitaran luar yang  tidak
   menentu    dan    semakin    mencabar,    kita    mesti
   melipatgandakan  usaha bagi memastikan  ekonomi  negara
   digerakkan  melalui kecergasan kegiatan  dalam  negeri.
   Dengan  usaha  rakyat  yang  gigih  kita  pasti   dapat
   menjaminkan  ketahanan negara. Semangat dan kesungguhan
   untuk  menguasai  ilmu pengetahuan  serta  meningkatkan
   produktiviti dan daya saing akan dapat membawa kemajuan
   negara   ke  tahap  yang  lebih  cemerlang.  Ini   akan
   membolehkan  negara mencapai pertumbuhan  seperti  yang
   disasarkan dalam kedua-dua rancangan pembangunan negara
   untuk  menjadi  sebuah  negara  maju  sepenuhnya.  Saya
   percaya dengan berkat dan keredhaan Allah Subhanahu  Wa
   Taala,  kita  mampu membentuk Malaysia  sebagai  sebuah
   negara yang progresif, aman dan makmur serta bermaruah,
   bebas dan dihormati oleh masyarakat antarabangsa.
   
   Malaysia Boleh.  Insya Allah.

   Sumber : Pejabat Perdana Menteri
    




    
    

             
 


 
Google