Oleh/By  	:	DATO SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue	:	MELALUI RADIO DAN 
			TELEVISYEN MALAYSIA
Tarikh/Date	:	24/12/2001
Tajuk/Title 	:	PERUTUSAN HARI KRISMAS
Versi 		:	
Penyampai	:  	PM 
		    

   
   Saya dan isteri saya mengucapkan selamat menyambut Hari
   Krismas  kepada  semua  rakyat Malaysia  yang  menganut
   agama Kristian.
   
   Saya  berasa gembira sambutan perayaan Hari Krismas  di
   negara  kita  dapat diadakan dalam suasana  tenang  dan
   sempurna  walaupun dunia sedang bergolak dan menghadapi
   kemelesetan   ekonomi  akibat  beberapa   bencana   dan
   peristiwa buruk yang berlaku tahun ini.
   
   Tahun  ini  adalah tahun yang penuh dengan mala  petaka
   buatan manusia.  Keganasan dan peperangan terus berlaku
   dengan  mengorbankan  beribu-ribu  manusia  yang  tidak
   berdosa  seperti  di Amerika Syarikat, Afghanistan  dan
   Palestin.  Di  sesetengah  negara  kehidupan  rakyatnya
   masih  terus  terancam  dan menderita  kerana  pelbagai
   masalah.
   
   Tetapi  di negara kita, rakyat hidup selesa dan  bebas.
   Rakyat kita amat bertuah kerana kita selalunya bersikap
   sederhana  dan  toleran antara satu sama lain  walaupun
   jika  menganut agama yang berlainan.  Dengan itu  dapat
   kita elak daripada bencana buatan manusia.
   
   Tetapi kita tidak boleh lengah dan terlalu  yakin  kita
   akan selalunya selamat.  Terdapat ramai penghasut  dari
   luar dan  dalam  yang  cuba  meretakkan  hubungan  baik
   antara  rakyat  pelbagai kaum dan  agama  di  Malaysia.
   Berselindung dengan kononnya perjuangan untuk demokrasi
   dan hak asasi manusia, mereka ini akan cuba mencetuskan
   huru-hara yang boleh menjejaskan kestabilan negara.  Di
   belakang  semua perjuangan mereka terdapat  kepentingan
   politik tertentu.
   
   Kita  tidak  boleh  benarkan mereka mengguna  kebebasan
   demokrasi  dan pemerintahan  berasas  undang-undang  di 
   negara  kita  di  salahgunakan  oleh  mereka  ini untuk 
   mengancam  kestabilan  negara  yang telah kita usahakan
   dengan begitu bersusah payah.
   
   Jika  hari ini penganut agama kristian dan  agama-agama
   lain dapat mengikuti agama masing-masing sebabnya ialah
   kerana  kita   mempunyai  pemerintahan  yang   prihatin
   terhadap semua rakyat.
   
   Dengan  memperingatkan akan asas kebebasan beragama  di
   Malaysia  ini,  saya dan  isteri  serta  Kerajaan  juga
   mengucapkan Selamat menyambut Hari Krismas kepada semua
   rakyat Malaysia yang beragama Kristian.

   Sumber : Pejabat Perdana Menteri
    




    
    

             
 


 
Google